Showing posts with label pukul. Show all posts
Showing posts with label pukul. Show all posts

Thursday, January 24, 2013

Kes Sugumar : Tangkap dan gantung tugas anggota polis terlibat - Latheefa Koya

Pengarah Guaman KEADILAN, Latheefa Koya berkata, saksi melihat Sugumar Cheliah, 40 dikejar empat anggota polis menaiki dua kereta peronda sebelum kejadian pembunuhan kira-kira jam 6 petang, semalam.
Selepas diberhentikan, mangsa dibelasah sekumpulan individu berhampiran rumahnya di Taman Seri Nanding, Hulu Langat  dalam keadaan tangan bergari dan ditekan dengan pengusung.
“Mangsa yang bergari turut dipukul beramai-ramai oleh orang sekeliling tanpa halangan polis. Polis memijak tengkuk mangsa dan menyapu muka mangsa dengan serbuk kunyit,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan,  Sugumar yang tiada rekod jenayah, turut dicampakkan ke bahu jalan dalam keadaan bogel, selepas kematiannya.
“Profesionalisme polis juga amat diragui kerana pasukan forensik hanya datang selepas jam 11 malam untuk mengambil mayat,” katanya.
Menurutmangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, namun keluarganya tidak dibenar masuk ke bilik mayat untuk membuat pengecaman selepas dimaklumkan lewat malam semalam.
“Keluarga mangsa datang awal pagi hari ini ke hospital namun selepas pukul 2 petang barulah keluarga mangsa dan peguam dibenarkan masuk,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mendesak polis yang terlibat dalam pembunuhan itu ditangkap dan digantung tugas kerana insiden itu di bawah tanggungjawab polis.
“Saya desak polis segera menangkap dan mendakwa semua yang terbabit dalam pembunuhan ini. Insiden ini berlaku ditempat awam dan ramai saksi melihat kejadian itu,” ujarnya kepada Keadilan Daily.
Timbalan Pengerusi Biro Hak Asasi dan Guaman KEADILAN, S. Jayathas berkata kehilangan nyawa akibat kecuaian polis bukan isu baru kerana rekod menunjukkan banyak orang awam mati di tangan polis.
“Polis gagal bertindak waras dengan mengenepikan undang-undang ketika berhadapan suspek. Ini akibat kegagalan polis melaksanakan Suruhanjaya Bebas Terhadap Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC),” ujarnya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43818sumber

Tuesday, July 31, 2012

Inspektor didakwa



Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
         
SEREMBAN: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret di sini semalam, bagi menghadapi enam tuduhan termasuk memukul dan mengugut dua pekerja hotel serta memecahkan dua kereta orang awam, bulan lalu.

Mohd Azuan Yasin, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap enam dakwaan itu apabila jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, Majistret Haslina Basarudin dan Majistret S Megaswary.


Bagi tuduhan pertama dan kedua di hadapan Mohamad Izwan, dia didakwa dengan sengaja mencedera dan menakutkan Mohamed Nadzeem Zainal Larifin, 25, menggunakan objek menyerupai pistol di Hotel S2 di sini, jam 2.50 pagi, 17 Julai 2012.

Pada tarikh sama, dia didakwa memecahkan cermin tingkap kereta jenis Perodua Kancil milik Tan Chee Luan, 25, menyebabkan kerugian RM150 di kedai kopitiam berhampiran Temiang di sini, jam 5.45 pagi.


Bagi tuduhan keempat dan kelima di hadapan Haslina, dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban didakwa mencedera dan menakutkan Koh Wen Gio, 32, menggunakan objek menyerupai pistol di Hotel S2 di sini, jam 2.50 pagi, 17 Julai 2012.


Bagi tuduhan keenam di hadapan S Megaswary, dia dituduh memecah cermin tingkap belakang kereta milik Tan Chee Hold, 32, menyebabkan kerugian RM180 pada jam 5.45 pagi di tempat dan tarikh sama.

Bagi tuduhan mencedera, Mohd Azuan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun manakala tuduhan menakutkan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Bagi kesalahan memecah cermin kereta, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.


Mohd Azuan dibenar diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin bagi semua enam tuduhan berkenaan dan tarikh sebutan semua kes ditetapkan 13 September depan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam bela Hanif Hassan.


Sementara itu, Haslina dan Mohamad Izwan memerintah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar luas di Youtube bertajuk ‘Polis memukul pekerja hotel di Seremban’ selama tiga minit 41 saat dikeluarkan serta-merta dari laman berkenaan.

Tuesday, June 5, 2012

Thursday, April 12, 2012

Belasah angkara fitnah

Belasah angkara fitnah
KUALA ROMPIN – Presiden Najib Razak Rompin Kelab (NRRC) cedera di bahagian kepala, mata dan pergelangan tangan selepas dibelasah dua lelaki di sebuah kedai makan di bandar ini, Isnin lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.45 pagi ketika mangsa, Amir Hamzah Othman, 31, bersama rakannya sedang minum di premis tersebut sebelum didatangi empat lelaki dikenalinya.

Amir berkata, dia terkejut apabila secara tiba-tiba dua daripada empat suspek menghampiri lalu bertindak memukulnya dengan menggunakan kerusi dan tangan.

Menurutnya, dia amat terkejut selepas dua lelaki itu datang dan memukulnya kerana mendakwa dia bertanggungjawab menyebarkan fitnah untuk memburuk-burukkan kelab mereka.

“Pergelutan itu berlaku kira-kira 15 minit sebelum dileraikan pelanggan yang berada di kedai sama.

“Selepas kejadian itu, saya bertindak membuat laporan polis kerana bimbang jika keselamatan diri, keluarga dan ahli persatuan ini (NRRC) terancam akibat tindakan kumpulan terbabit,” katanya.

Beliau turut menafikan khabar angin mengaitkan ahli NRRC yang cuba memburuk-burukkan kelab dianggotai ahli kumpulan berkenaan semata-mata mahu menarik lebih ramai ahli menyertai persatuannya.

“Kami adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak aktif di sekitar daerah ini dan sentiasa memberi tumpuan kepada aktiviti kemasyarakatan. Kami juga menyokong penuh segala program anjuran kerajaan.

“Tiada isu kami cuba bersaing dengan kelab atau persatuan lain kerana setiap persatuan mempunyai agenda masing-masing,” katanya.

Amir berkata, dia juga khuatir jika terdapat cubaan pihak tertentu untuk menyebarkan berita palsu dan melaga-lagakan persatuan diterajuinya dengan persatuan dianggotai kumpulan lelaki terbabit.

“Perlakuan seperti ini bukan penyelesaian terbaik, sebaliknya hanya memburukkan lagi keadaan. Sepatutnya pihak terbabit bertanya terlebih dahulu sama ada berita itu benar atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Johari Jahaya mengesahkan menerima laporan itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Monday, April 9, 2012

Masuk hospital angkara hutang




MANGSA yang cedera selepas dipercayai diculik oleh ah long dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera parah dipercayai menjadi mangsa sekumpulan ah long yang menculik dan membelasahnya selepas gagal melangsaikan hutang sebanyak RM40,000 yang didakwa dipinjam mangsa.
Sebelum kejadian itu, mangsa yang berusia 54 tahun keluar dari rumahnya di Sungai Long di sini pada pagi Jumaat lalu dengan menunggang motosikal seorang diri sebelum dia dipercayai dilarikan ah long di satu lokasi yang belum diketahui.
Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan selain patah tulang rusuk kini dirawat di sebuah hospital di ibu negara selepas ditemui di sebuah kawasan di Petaling Jaya pada malam pada hari sama.
Sebelum kejadian, anak perempuan mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa bapanya berhutang sebanyak RM40,000.

Thursday, January 19, 2012

Datuk mahu guru pukul cucu diambil tindakan




ZULKEFLI Lop dan isterinya, Rokiah Arshad menunjukkan halaman akhbar Kosmo! yang turut memaparkan berita mengenai cucu mereka, Muhamad Ziqril Hakin Mohd. Farol di rumahnya di Kampung Baru Changkat Jong, Teluk Intan, semalam.


TELUK INTAN 18 Jan. - Jabatan Pelajaran negeri diminta mengambil tindakan terhadap seorang guru yang memukul seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Jalan Changkat Jong, di sini sehingga pengsan semalam.
Penjaga yang juga datuk kepada pelajar tersebut, Zulkefli Lop, 61, berkata, guru tersebut tidak sepatutnya menggunakan kekerasan dengan memukul cucunya sehingga pengsan dan dimasukkan ke hospital.
"Saya akui cucu saya nakal dan saya tiada masalah jika guru menggunakan rotan untuk mendidik, tetapi jangan pukul sampai dia masuk hospital.
"Pukul pula di tempat bahaya iaitu di tengkuk. Macam mana kalau terputus urat atau berlaku kematian, siapa yang hendak bertanggungjawab kerana bapanya tiada di sini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Changkat Jong di sini hari ini.
Dalam laporan Utusan Malaysia hari ini, pelajar berkenaan mendakwa dipukul sehingga pengsan oleh seorang guru sekolah tersebut semalam.
Pelajar tersebut, Muhamad Ziqril Hakin Mohd. Farol, 14, mendakwa kejadian itu berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika dia sedang bergaduh dengan seorang pelajar lain di tingkat atas sekolah berkenaan.
Menurut Zulkefli lagi, dia kesal kerana tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai kejadian yang menimpa Muhamad Ziqril dan hanya mengetahuinya melalui seorang rakan kepada cucunya petang semalam.
"Sampai pukul 6 petang saya tunggu cucu saya tidak pulang ke rumah. Selepas itu, seorang kawan dia beritahu Muhamad Ziqril ada di perhentian bas depan sekolah kerana baru keluar hospital akibat dipukul guru.
"Saya pun terus pergi ke sana untuk membawa cucu saya pulang ke rumah," katanya sambil menyatakan turut kesal kerana pihak sekolah tidak membuat laporan polis berhubung insiden itu.
Susulan kejadian itu, Zulkefli memberitahu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini tengah hari ini.
Dalam pada itu, seorang Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Changkat Jong, Ayub Harun, 58, yang melawat pelajar itu berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana seorang guru sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada murid dan masyarakat.
"Memang ada sesetengah murid sangat nakal di sekolah, tetapi kita ada undang-undang. Kalau hendak pukul untuk mengajar, guna rotan supaya tidak mendatangkan kecederaan kepada pelajar," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mohd. Rauhi Mohd. Isa ketika dihubungi berjanji akan menyiasat perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika guru tersebut didapati bersalah.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai insiden tersebut.

Monday, January 16, 2012

Penjara nafi pukul 200 banduan

KUALA LUMPUR - Jabatan Penjara menafikan dakwaan warga kerja Penjara Sungai Buloh menggunakan kekerasan berlebihan sehingga menyebabkan kecederaan ke atas 200 banduan Blok Berkat dalam satu kejadian 4 Januari lalu.

Ketua Seksyen Dasar Bahagian Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Supri Hashim berkata hanya empat banduan dan dua petugas mengalami cedera ringan dalam bentuk calar dan telah diberi rawatan di klinik penjara itu.

"Begitu juga tiada kejadian memukul berlaku selepas banduan berkenaan  telah dapat dikawal dan dimasukkan ke bilik masing-masing," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita pada Rabu lepas yang mendakwa  kekerasan berlebihan diguna bagi mengawal banduan terbabit yang dikatakan tidak berpuas hati dengan pemeriksaan ke atas diri dan sel mereka.

Supri berkata ketegangan itu berlaku dalam tempoh kira-kira 10 minit dan telah dapat dikawal oleh 10 anggota yang bertugas.

Sementara itu, Lembaga Siasatan Jabatan Penjara telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut, dan laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Batu Arang pada 5 Januari bagi mengelakkan sebarang bentuk keraguan.

"Jabatan Penjara tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota yang bertindak melakukan kekerasan di luar dari batasan peraturan yang ada," katanya. - Bernama

Monday, September 26, 2011

Polis contoh


Pekerja pembersihan dakwa dipukul selepas tegur polis buang sampah

Seorang pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal mendakwa dipukul oleh anggota polis ketika sedang menjalankan tugas di sebuah taman perumahan di Kodiang dekat sini pada 11.30 pagi Sabtu lepas.

Mohd Ridzuan Mohd Noor, 23, berkata ketika kejadian dia sedang mengangkut sampah di kawasan itu dan dia menegur seorang lelaki yang tidak membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di situ.

"Saya hanya menegur supaya dia buang sampah ke dalam tong sampah.  Mungkin dia tidak puas hati dengan teguran saya dan dia terus tinggikan suara dan masa tu berlaku pertengkaran mulut."

"Dia juga mengugut nak tembak saya kalau dia ada pistol sebelum dia beredar dari tempat itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya kira-kira 30 minit selepas kejadian pertengkaran mulut berlaku, dia didatangi lima lelaki lain yang datang dan memukulnya tanpa sebab.

"Depa (mereka) menendang saya hingga jatuh.  Kemudian depa heret saya dengan tangan bergari bawa saya ke Balai Polis Kodiang dengan menaiki motosikal.  Sampai di balai, saya dibawa masuk ke dalam sebuah bilik dan dipukul."

"Kemudian lelaki yang bertengkar dengan saya datang ke bilik itu dan turut memukul saya sebelum saya dibawa masuk ke dalam lokap tanpa sebab.  Masa tu baru saya tahu dia (lelaki yang bertengkar dengannya) adalah anggota polis," kata mangsa.

Dia berkata dia ditahan di dalam lokap kira-kira setengah jam sebelum anggota polis tersebut melepaskannya.

"Selepas kejadian itu, saya pergi ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan dan doktor memberitahu pipi kiri, bahu dan tulang rusuk kiri ada kesan lebam.  Saya juga membuat laporan polis tentang kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Ibrahim Mohamad Yusof ketika dihubungi berkata beliau telah menerima laporan tentang kejadian itu.

"Kita telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan," katanya.

Saturday, August 27, 2011

Terpaksa berlakon

KUALA LUMPUR: “Orang nampak saya bahagia bersama suami, tetapi derita di hati siapa yang tahu kerana hakikatnya saya ibu tunggal yang sudah bercerai kira-kira dua tahun setengah,” luah seorang wanita dikenali sebagai Aminah.
Aminah, 54, mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertama bersama arwah suami dan seorang anak menerusi rumah tangga yang didirikan bersama bekas suami kira-kira 12 tahun lalu.

“Saya menyembunyikan identiti sebagai ibu tunggal kerana saya tidak mahu anak-anak tertekan dan dipandang serong masyarakat,” katanya kepada Harian Metro.

Aminah menyara kehidupannya dengan wang pencen arwah suami RM250 sebulan yang pernah bekerja sebagai posmen dan tidak mempunyai pendapatan tetap lain kerana tidak mampu bekerja kerana disyaki menghidap barah otak.

Katanya, dua anaknya berusia 19 dan 23 tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka kurang cemerlang manakala seorang lagi masih meneruskan persekolahan dalam tingkatan satu.

“Saya buntu kerana wang sara hidup tidak mencukupi walaupun bekas suami masih memberi sedikit wang nafkah bergantung kepada kemampuan setiap bulan sekitar RM300 hingga RM500,” katanya.


Menurut Aminah, ibunya di kampung masih bergantung kepadanya bagi melangsaikan sewa rumah iaitu RM100 setiap bulan tidak termasuk wang makan minum serta bayaran sewa rumahnya iaitu RM124 sebulan.

Aminah berkata, dia tidak mahu kembali kepada bekas suaminya kerana lelaki itu kaki pukul dan kaki perempuan kerana hatinya seolah-olah sudah ‘kering’ walaupun itu adalah antara jalan penyelesaian kepada kebuntuannya. “Bekas suami curang dan wanita yang mendampinginya bersilih ganti sehingga membabitkan hubungan sulit di rumah kami sendiri ketika ketiadaan saya, malah saya dan anak menjadi mangsa barannya sehingga dipukul dan ditengking,” katanya. Katanya, dia pernah rujuk dua kali dan perangai suaminya itu tetap tidak berubah dan dakwanya dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Kata Aminah, bekas suaminya masih ke rumah untuk menjenguk anak dan mereka ‘berlakon’ di hadapan masyarakat sekeliling seolah-olah masih suami isteri.

“Saya tidak mahu burukkan bekas suami kerana semua orang anggap kami pasangan bahagia dan setakat ini belum ada jiran yang menghidu mengenai pertengkaran kami sebelum ini. “Saya berharap ada pihak yang boleh tampil membantu saya terutama bantuan kepada anak saya menyambung pelajaran,” katanya.

Pada masa sama, dia juga berharap agar pihak kerajaan menaikkan kadar pencen yang diterimanya kerana baginya jumlah yang diperoleh sekarang tidak mencukupi bukan saja untuk dia sekeluarga, tetapi juga rakannya yang mengalami nasib serupa.

“Ada beberapa orang rakan saya turut mengalami kesempitan hidup akibat wang pencen yang terlalu sedikit jumlahnya,” katanya.

Tuesday, August 23, 2011

Masyarakat dunia kagum sifat murni Asyraf

KUALA LUMPUR: “Mungkin ada hikmah dengan apa yang menimpa Asyraf di London,” kata Rossli Harun, 49, bapa pelajar Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 20, yang dibelasah dan disamun sekumpulan perusuh di Barking, Timur London, 8 Ogos lalu.
Menurutnya, kini masyarakat dunia terutama di Eropah mengagumi sifat murni Asyraf sebagai rakyat Malaysia dan Muslim yang sanggup memaafkan sekumpulan perusuh yang membelasah sebelum menyamun anak sulungnya itu.

Rossli bersama isteri, Maznah Abu Mansoor, 47, dan anak bongsu mereka, Muhammad Fitri, 8, baru saja pulang ke tanah air petang kelmarin selepas seminggu melawat Asyraf di London, 13 Ogos lalu.

“Sambutan serta layanan pemimpin dan masyarakat tempatan negara itu amat baik, termasuk mereka berulang kali meminta maaf kepada Asyraf dan kami sekeluarga dengan kejadian yang berlaku.

“Mereka berasa malu dengan tindakan kumpulan lelaki yang antaranya mungkin kanak-kanak yang masih bersekolah rendah,” katanya.

Katanya, selain lega dan gembira dapat melihat sendiri keadaan Asyraf yang beransur pulih, dia dan isteri akur dengan keputusan anak sulungnya itu untuk meneruskan pelajaran di London.


“Asyraf semakin pulih, cuma dia sekarang masih tidak boleh makan makanan keras dan doktor mengatakan dia mungkin mengambil masa lima hingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya.

“Semangatnya untuk meneruskan pelajaran di London sangat tinggi dan kami yang melihat kesungguhan itu bersetuju membenarkan dia terus berada di negara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sumbangan wang ringgit yang diterima Asyraf daripada pelbagai pihak dan masyarakat dunia, Rossli berkata, setakat ini wang yang diterima mencecah STG 40,000 (hampir RM200,000).

“Asyraf akan meneruskan niatnya untuk menyalurkan wang sumbangan itu kepada pihak yang lebih memerlukan dan dia kini sedang dalam proses mencari pusat atau badan kebajikan yang bersesuaian,” katanya.

Tuesday, August 16, 2011

Klip video Asyraf ditonton 3 juta orang



SEORANG pengunjung laman web YouTube melihat klip video yang menayangkan
serangan ke atas Asyraf Haziq di London baru-baru ini.

LONDON - Klip video YouTube mengenai serangan kejam dan kejadian samun ke atas seorang pelajar Malaysia, Mohd. Asyraf Haziq Rossli (gambar kecil) di Barking, East London, telah ditonton hampir tiga juta orang, menurut sumber-sumber pemantauan British.
Ini adalah klip video single mengenai rusuhan dan rampasan di London dan di bandar raya lain di Britain.
"Cakap-cakap mengenai serangan kejam terhadap pelajar Malaysia itu telah tersebar luas yang hampir semua yang saya tahu, mahu melihat klip itu di YouTube. Orang ramai bersimpati dengan nasib pelajar itu dan ketabahannya," kata Percy Higgins, ahli kimia di London dalam temu bual melalui telefon dengan Bernama.
Asyraf, 20, pelajar tahun pertama jurusan perakaunan tajaan Mara di Kaplan College, yang telah keluar dari Royal London Hospital selepas pembedahan berkata kepada wartawan bahawa beliau tidak ada perasaan dendam atau sakit hati dengan rakyat Britain.
Katanya, beliau akan meneruskan pengajiannya di London kerana itulah tujuannya datang ke Britain, walaupun ibu bapa Asyraf menggesa anaknya itu untuk pulang ke Malaysia dan meneruskan pelajarannya di sana.
Perdana Menteri Britain, David Cameron, yang telah menonton filem itu, mengutuk serangan tersebut dan menyifatkan ia perlakuan yang memalukan.kosmo

Thursday, August 11, 2011

Rahang patah ditumbuk perusuh

MUKHRIZ dan Noorzalina melawat Asyraf Haziq di Royal London Hospital, semalam.
MUKHRIZ dan Noorzalina melawat Asyraf Haziq di Royal London Hospital, semalam.

Pelajar Malaysia di London cerita saat cemas jadi mangsa keganasan London

LONDON: "Ini kejadian paling mencemaskan dalam hidup saya dan berlaku pantas. Saya menaiki basikal tiba-tiba dikerumuni 20 lelaki berpisau yang mahu merampas basikal. Mereka kemudian menyeluk poket seluar dan mengambil telefon bimbit.
“Mereka menumbuk di dagu dan rahang hingga berdarah. Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu dan apabila tersedar, saya terduduk di kaki lima dengan mulut berdarah,” kata Asyraf Haziq Rosli, 20, yang terlantar di Royal London Hospital di sini, sementara menunggu pembedahan bagi membetulkan rahang bawahnya yang pecah dan tulang pipinya yang patah.
Banyak perkara yang tak kena dengan masyarakat apabila kita lihat orang berpura-pura membantu seorang pemuda yang cedera sedangkan sebenarnya mereka merompaknya. - David Cameron, Perdana Menteri Britain
Asyraf Haziq tidak dapat bercakap banyak kerana rahang bawahnya diikat dawai sebelum pembedahan, walaupun cuba melayani pelawat petang semalam termasuk Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom (UK), Datuk Zakaria Sulong; Pengarah MARA, Dr Noorzalina Mohd Noor dan Pengerusi UMNO London, Dzuhair Hanafiah.

Pelajar tahun satu bidang perakaunan di Kolej Kaplan, di sini itu diserang ketika berbasikal bersama rakannya, Sheikh Muhammad Faris Jamil Azhar, 20, di Barking, timur London iaitu satu daripada tempat berlaku kekacauan untuk berbuka puasa Isnin lalu.

Asyraf Haziq berkata, penyerangnya tidak menyedari kejadian dirakamkan individu dari bangunan berdekatan dan klip video satu minit 14 saat dimuatkan dalam YouTube serta diguna stesen penyiaran di sini termasuk BBC dan Sky TV.

Beliau berkata, selepas diserang, beberapa lelaki seolah-olah cuba membantunya tetapi mencuri barangan dalam beg sandang.
Asyraf Haziq berkata, beliau enggan memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapanya bagi mengelak mereka bimbang.

Sementara itu, 11 pelajar dipindahkan dari Barking dan Mile End. Dzuhair juga memindahkan dua pelajar wanita di Peckham ke asrama MARA di Bayswater.

Zakaria berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia, MARA dan Jabatan Pelajar Malaysia sentiasa memantau keadaan dan mengeluarkan arahan apabila perlu, memandangkan rusuhan merebak cepat. bharian

Tuesday, August 2, 2011

Hidup bagai pelarian


ALOR GAJAH: Seorang guru mendakwa terpaksa hidup seperti pelarian apabila bekas suami tidak henti-henti mengancam keselamatannya termasuk mengupah samseng menyerang suami barunya sehingga telinga hampir putus dan menerima 65 jahitan.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurul, 30, berkata biarpun dia berjaya mendapatkan perintah perlindungan sementara daripada mahkamah awal Disember tahun lalu, bekas suaminya mengganggunya dan terbaru, suami barunya dikenali sebagai, Kafi, 35, cedera akibat diserang samseng upahan.
“Kejadian pada malam 3 Julai lalu apabila kami bersiap untuk berangkat ke Kuala Lumpur. Ketika suami sibuk memasukkan beg pakaian ke dalam but kereta, tiga lelaki secara tiba-tiba datang menetaknya dengan senjata tajam.

“Kejadian di laman rumah di Besut, Terengganu berlaku terlalu pantas, dalam tempoh lima minit akibat tetakan itu suami menerima 65 jahitan dengan telinga suami hampir putus, retak tulang lengan, luka ibu jari dan sakit di seluruh badan.


“Dia terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selama dua minggu dan saya percaya kejadian serangan ini didalangi bekas suami kerana dendam,” katanya ketika ditemui di sini bagi mendapatkan bantuan Pembela Barisan Nasional (BN) Melaka.
http://www.hmetro.com.my

Friday, May 27, 2011

Pelajar cedera dibelasah dalam kelas sendiri





TELINGA Abdul Rahman yang terkoyak akibat dibelasah di sebuah sekolah di Kuala Terengganu kelmarin.


KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar tingkatan dua terpaksa menerima tujuh jahitan di telinga selepas dia mendakwa dibelasah seorang pelajar lain dalam kejadian di sebuah sekolah dekat sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 1 petang itu berlaku ketika mangsa, Abdul Rahman Abdul Ghani, 14, berada di dalam kelasnya bagi memulakan pembelajaran sesi petang.
Difahamkan, mangsa kemudian didatangi 20 pelajar lain dari kelas lain dengan seorang daripadanya bertindak menyepak pipi mangsa sambil disaksikan oleh rakan-rakan pelajar yang bertindak ganas itu.
Semasa kejadian, guru belum masuk ke kelas dan selain mangsa dipercayai terdapat beberapa rakan sekelas mangsa yang menyaksikan kejadian itu.
Akibat tindakan itu, mangsa yang berasal dari Kampung Kandis dekat Bukit Tunggal di sini rebah ke tepi tingkap dengan telinga kirinya terkena cermin kaca tingkap menyebabkan ia luka dan berdarah.
Kosmo! Online - Negara

Monday, May 23, 2011

Belasah isteri separuh mati dek cemburu

KOTA BELUD (Sabah): Seorang lelaki 'naik hantu' apabila melihat isterinya berjalan dengan lelaki lain.

Dia membelasah isterinya separuh mati dan menetak hingga putus jari keempat kaki kirinya.
Lelaki itu kemudian membunuh diri dalam kejadian di Kampung Gentoung Rosok, di sini, itu.Dalam kejadian 12.40 tengah Jumaat lalu itu, Cik Dua Tulis, 46 tahun, parah di kepala selain patah tangan kiri selepas suaminya, Sibin Tetobok, 46 tahun, membelasahnya menggunakan parang dan kayu.Sibin dikatakan berang melihat isterinya itu berjalan bersama lelaki lain di sawah lalu mengamuk keliling kampung sambil menjerit akan membunuh isterinya.Beberapa penduduk kampung menghubungi polis.Seorang jiran mangsa berkata beliau terdengar pergaduhan antara pasangan itu sebelum polis tiba beberapa minit kemudian dan menemui mangsa dalam keadaan parah manakala suaminya menghilangkan diri.Ketua Polis Daerah Kota Belud, Timbalan Superintenden (DSP) Mohan Nadasen, mengesahkan kejadian itu dan berkata mangsa kini dirawat di Hospital Kota Belud kerana cedera parah di beberapa bahagian tubuhnya.Menurutnya, polis kemudian menjejaki suaminya di sebuah pondok tetapi sebaik saja menyedari kehadiran polis, dia meminum sejenis cecair, dipercayai racun, lalu rebah dan tidak sedarkan diri.Dia meninggal dunia di hospital, kata DSP Mohan. -- Harian Metro.Cyberita Online Luar Negara

Sunday, May 22, 2011

Suami ‘naik hantu’

KOTA BELUD: Seorang lelaki yang cemburu melihat isterinya berjalan bersama lelaki lain ‘naik hantu’ apabila membelasah wanita itu separuh mati termasuk menetak hingga putus jari hantu tangan kiri mangsa sebelum membunuh diri dalam kejadian di Kampung Gentoung Rosok, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari, Dua Tulis, 46, parah di kepala selain patah tangan kiri selepas suaminya, Sibin Tetobok, 46, membelasahnya menggunakan parang dan kayu.

Difahamkan, suami mangsa dikatakan berang melihat isterinya berjalan bersama lelaki lain di sawah padi kampung berkenaan lalu mengamuk, termasuk mengeliling kampung dan menjerit akan membunuh isterinya.

Beberapa penduduk yang menyedari perkara itu menghubungi polis berikutan bimbang berlaku perkara tidak diingini.

Selain itu, jiran mangsa mendakwa terdengar pertelingkahan antara pasangan berkenaan sebelum anggota polis yang tiba beberapa minit kemudian menemui mangsa dalam keadaan parah manakala suaminya menghilangkan diri.


Ketua Polis Daerah Kota Belud, Deputi Superintendan Mohan Nadasen mengesahkan perkara itu dan memberitahu, mangsa kini dirawat di Hospital Kota Belud akibat cedera parah di beberapa bahagian tubuhnya.

“Sebaik menerima maklumat, sepasukan polis menuju ke rumah pasangan berkenaan dan menemui mangsa terbaring berlumuran darah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan di dalam rumah terbabit.

“Polis turut menemui parang dan kayu dengan kesan darah, dipercayai digunakan suspek untuk menetak dan memukul isterinya,” katanya.

Mohan berkata, pemeriksaan di tempat kejadian juga menemui jari hantu mangsa dan dihantar ke hospital untuk disambung semula, namun doktor mendakwa sudah terlambat.

“Polis kemudian menjejaki suspek sebelum dimaklumkan penduduk bahawa lelaki itu berada di sebuah pondok di sawah padi.


“Bagaimanapun, suspek yang menyedari kehadiran polis meminum sejenis cecair dipercayai racun sebelum rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya.


Katanya, suspek dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.


“Polis masih menunggu laporan bedah siasat suspek untuk mengetahui punca kematiannya.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.
myMetroSuami ‘naik hantu’

Monday, May 16, 2011

Dibelasah polis


Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID


KESAN cedera di badan Muhammad Farhan yang didakwa dipukul bertubi-tubi dengan cota oleh seorang anggota polis di Jalan Pegoh-Alor Gajah, Melaka, semalam.


MELAKA 15 Mei – Bukan sahaja dituduh terlibat dalam lumba haram yang didakwa tidak dilakukannya, seorang remaja berusia 22 tahun mendakwa dia dibelasah bertubi-tubi menggunakan cota oleh seorang anggota polis di Jalan Pegoh, di sini semalam.
Remaja terbabit, Muhammad Farhan Abdul Malek mendakwa, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, dia sedang menunggang motosikal seorang diri menuju ke rumah seorang saudaranya di Pegoh.
Menurutnya, ketika melalui Jalan Pegoh, dia terkejut apabila tiba-tiba melihat satu kon polis melayang entah dari mana sehingga mengenai seorang penunggang motosikal lain di hadapannya.
“Saya cuba mengelak motosikal terbabit, tetapi tidak sempat menyebabkan saya melanggarnya sebelum terjatuh di atas jalan,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka di sini hari ini.
Dia yang berasal dari Taman Kebaya, Alor Gajah di sini menambah, ketika menahan kesakitan, seorang anggota polis tiba-tiba datang ke arahnya dan mengheretnya ke tepi jalan sambil menghamburkan kata-kata kesat terhadapnya.
Menurut Muhammad Farhan, polis berkenaan turut mendakwa sedang membuat sekatan jalan raya dan menuduhnya merempit serta hendak melanggar sekatan jalan raya walaupun tiada sekatan polis atau penghadang dibuat sebelum kejadian.
“Tanpa usul periksa, polis itu terus memukul belakang badan saya beberapa kali menggunakan cota tanpa menghiraukan kesakitan yang saya alami akibat kemalangan.
“Setelah melemparkan kata-kata kesat kepada saya selama kira-kira 30 minit, polis berkenaan dan rakannya menghantar saya ke Hospital Alor Gajah menaiki kereta peronda polis dan meninggalkan saya di sana,” dakwanya lagi.
Tambahnya, selepas mendaftar sebagai pesakit, dia yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang automotif di sini terus menghubungi sepupu dan bapanya memaklumkan kejadian itu.
Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Malek Enden, 57, berkata, akibat kejadian itu anaknya kini mengalami kecederaan serius di kedua-dua belah tangan dan patah tulang rusuk belakang badan dipercayai akibat dipukul dengan cota.
Katanya, dia kesal dengan sikap anggota polis itu yang bertindak tanpa usul periksa terhadap anaknya.
Berikutan kejadian itu, Abdul Malek kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Pegoh

Saturday, May 14, 2011

Patah tulang rusuk kena belasah senior




  SUFFI SHUKAIRI   menunjukkan   tulang rusuknya yang patah selepas ditendang   pelajar senior di asrama sebuah sekolah menengah di  Kuala Lipis, kelmarin.
SUFFI SHUKAIRI menunjukkan tulang rusuknya yang patah selepas ditendang pelajar senior di asrama sebuah sekolah menengah di Kuala Lipis, kelmarin.

Pelajar dituduh kurang ajar, ingkar arahan buang sampah

KUALA LIPIS: Seorang pelajar Tingkatan Tiga mendakwa dibelasah sehingga patah tulang rusuk oleh sekumpulan pelajar senior yang menuduhnya kurang ajar dalam satu kejadian buli di asrama sebuah sekolah menengah, di sini, pagi kelmarin.
Mangsa turut diugut akan dibelasah lebih teruk jika tidak mengikut arahan sebelum dibenarkan pulang ke bilik asrama dalam keadaan menahan sakit.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi, Suffi Shukairi Abdul Hakim, 15, mendakwa ditampar, dada dan perut ditendang selain badannya dipijak walaupun merayu meminta belas ihsan tetapi tidak dihiraukan enam pelajar terbabit.

Malah, pelajar malang itu turut dipukul seorang daripada kumpulan pelajar senior berkenaan kira-kira jam 10.30 malam Selasa lalu, dan mengalami sakit dada akibat kejadian berkenaan.

Mangsa dari Tanjung Besar, Benta, di sini, mendakwa dipukul bertubi-tubi dan tidak seorang pun berani membantu kerana takut menjadi mangsa kerakusan pelajar senior berkenaan.

“Mereka tuduh saya ponteng. Saya tidak ponteng tetapi mendapat cuti sakit kerana sakit dada selepas ditampar dan dipukul mereka yang menuduh saya kurang ajar selepas saya berkata, ‘tak pe la nanti saya buang’ apabila disuruh membuang sampah malam Selasa lalu.
“Saya tidak memaklumkan kejadian itu kepada guru kerana bimbang dan keesokannya saya dibawa ke Hospital Kuala Lipis oleh seorang guru selepas demam serta sakit dada dan diberi cuti sakit,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau juga mendakwa, turut dipanggil seorang daripada pelajar senior supaya pergi ke bilik mereka kira-kira 12.45 pagi kelmarin (Khamis) dan disoal mengapa tidak hadir ke sekolah pada Rabu lalu.

“Saya memaklumkan cuti sakit namun mereka mempersoalkannya dengan berkata ‘banyak pula sakit kau’ dan turut mengungkit mengenai kejadian pada malam Selasa lalu dan berterusan menuduh saya kurang ajar,” katanya yang membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Lipis kira-kira jam 4 petang, kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. -bharian

Tuesday, April 26, 2011

‘Oh bapa mentuaku’


KESAL...Md Rosdi menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
KESAL...Md Rosdi menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.



KUALA LUMPUR: Tindakan seorang juruteknik mahu membawa isteri dan anak lelakinya keluar dari rumah mentuanya di Pantai Dalam, di sini, mengundang padah apabila dia bukan saja dibelasah sebaliknya turut diludah dan dibaling dengan batu hingga cedera, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, isteri mangsa yang berusia 24 tahun turut cedera selepas dibaling batu oleh adik iparnya, sepupu isterinya dan bapa mentuanya yang masing-masing berusia 20 hingga 56 tahun.


Mangsa turut dibelasah ketiga-tiga lelaki itu.


Difahamkan, keluarga sebelah isteri mangsa tidak merestui hubungan perkahwinan pasangan itu kerana ‘sentimen kenegerian’ dan sering menyumpah seranah mangsa menyebabkan mangsa nekad keluar dari rumah mentuanya bagi memulakan hidup baru.


Mangsa, Wan Md Rosdi Wan Md Amin, 25, berkata ketika tiba di rumah bapa mentuanya itu, adik iparnya yang berusia awal 20-an membaling batu ke arahnya dan isteri seperti mahu memulakan pergaduhan.


“Pada mulanya, balingan itu tidak mengenai saya dan isteri. Dalam keadaan bimbang, saya turun daripada motosikal sebelum mengetuk pintu rumah mentua.




“Saya meminta izin bapa mentua untuk mengambil pakaian dan anak lelaki berusia lima bulan untuk berpindah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Beliau berkata, pada mulanya, bapa mentuanya itu mendiamkan diri, namun selepas keluar dari rumah, adik iparnya melontar batu ke arah mereka sambil diperhatikan bapa mentua dan sepupu isterinya.
“Biarpun balingan itu tidak mengenai saya, namun mengenai kepala isteri yang gagal mengelak. Adik ipar saya berhenti sebaik melihat kakaknya cedera.


“Pada mulanya saya sangkakan mereka akan berhenti, namun kemudian bapa mentua, adik ipar dan sepupu isteri saya itu menyerang dan membelasah saya,” katanya ketika ditemui.


Ketika itu, dia merayu dikasihani sambil menutup kepalanya dengan tangan.


Md Rosdi mendakwa bapa mentuanya tidak membenarkan isteri dan anak lelakinya itu mengikutinya.


“Anak dan isteri saya dipaksa masuk ke dalam rumah itu sebelum mereka mengarahkan saya meninggalkan kawasan berkenaan,” katanya.


Katanya, penderitaannya tidak berakhir di situ apabila kumpulan yang diketuai bapa mentuanya terus melontarkan batu sehingga dia keluar dari kawasan rumah.


Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini.

Thursday, April 14, 2011

Tak masuk akal



KUALA LUMPUR: Membalas segala kebaikan dan pengorbanan isteri yang selama ini bersama menempuh kesenangan serta kepayahan hidup menggunakan kekerasan adalah tindakan terlampau yang tidak dapat diterima akal, kata penceramah bebas dan Pengetua Program Imam Muda, Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz.
Beliau berkata, ikatan perkahwinan yang dibina berlandaskan dasar cinta dan kasih sayang sejak awal hubungan perlulah diteruskan tanpa mengambil kira faktor luaran seperti usia mahupun paras rupa selain mempraktikkan sifat positif serta romantik bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga.


“Rasa cinta dan kasih yang wujud dalam hati dua insan harus disemai untuk mengelak berlakunya sebarang masalah ataupun kesulitan dalam hubungan selain pasangan terutama yang sudah berusia digalakkan untuk lebih mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.


“Kukuhnya hubungan antara individu itu dengan penciptanya banyak mempengaruhi sifat dan tingkah laku seharian. Sikap negatif antaranya panas baran sama ada si suami mahupun isteri dapat dielakkan apabila individu itu mempunyai pegangan agama yang kukuh,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.


Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai tindakan kejam seorang warga emas berusia lewat 60-an yang bukan saja memukul isterinya menggunakan tongkat malah turut kencing di muka wanita terbabit yang dikahwininya selama 26 tahun.


Kejadian mengaibkan itu berlaku di hadapan rumah pasangan terbabit apabila mangsa yang ketika itu menyapu sampah meminta bantuan suaminya untuk membuang sampah ke dalam tong di hadapan rumah menyebabkan lelaki terbabit berang dan menumbuk muka selain memukul mangsa menyebabkan wanita terbabit terjatuh.


Selepas puas membelasah isterinya, lelaki terbabit hilang pertimbangan bertindak jijik kencing di muka dan tubuh mangsa sebelum meninggalkan rumah dan masih tidak pulang sehingga kini.


Hassan berkata, tindakan kejam warga emas terbabit melakukan beberapa penyiksaan sehingga kencing ke atas muka isterinya satu tindakan jelas membelakangi agama dan dilaknat Yang Maha Esa.
“Ini adalah peristiwa menyedihkan kerana isteri seharusnya dijaga dan dibelai dengan limpahan kasih sayang suami diperlakukan sebegini. Sepatutnya lelaki terbabit perlu mensyukuri anugerah kerana masih dipanjangkan usia,” katanya.