Sunday, November 14, 2010

Minyak sawit RM3,600 setan


KAHERAH 12 Nov. - Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka mencecah paras RM3,600 satu tan dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata pakar strategi pasaran.
Ketua Strategi Pasaran NextView Group, Benny Lee berkata yang menyediakan perkakasan pelaburan tepat masa untuk pelabur runcit dan profesional berkata, faktor-faktor teknikal menunjukkan harga minyak sawit yang tinggi dalam tempoh setahun akan datang.
"Untuk tempoh jangka pendek, dalam tempoh tiga bulan akan datang, saya menjangkakan harga antara RM3,000 dengan RM3,300 setahun.
"Kami mengunjurkan RM3,300 satu tan untuk tempoh terdekat dan ia akan turun sedikit kepada RM3,000 sebelum dijangka melonjak kepada RM3,600 dalam tempoh jangka panjang, kata Lee.
Beliau berkata, unjuran harga meningkat untuk tahun depan akan kekal selagi harga semasa kekal melepasi paras sokongan pada RM2,550 satu tan.
Lee sebelum itu membentangkan kertas kerja pada Seminar dan Pameran Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-Mesir 2010 (POTS Mesir 2010) yang berlangsung di sini pada Isnin, anjuran bersama Majlis Minyak Sawit Malaysia dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia dengan usaha sama Pihak Berkuasa Am Mesir bagi Pelaburan dan Dewan Industri Makanan Mesir.
Lee berkata, trend harga untuk MSM terus kekal dalam aliran meningkat dan ia kini melepasi purata pergerakan jangka pendek hingga jangka panjang 30 hingga 90 hari.
Purata pergerakan tempoh jangka pendek 30 hari kini sekitar RM2,645 satu tan, manakala purata pergerakan jangka panjang 90 hari kira-kira RM2,530 satu tan.
Beliau berkata, ia merupakan trend yang sihat memandangkan pada puratanya ia terus meningkat dengan kedudukan minat terbuka yang tinggi yang menyokong trend itu.
Pada asasnya beliau berkata, harga dijangka meningkat berdasarkan permintaan yang lebih tinggi berikutan musim perayaan akhir tahun dan alternatif minyak makan lain yang murah, pengeluaran yang rendah dan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah.
Semalam, harga-harga MSM terus meningkat, yang berkisar antara RM3,392 dan RM3,404 satu tan, dirangsang oleh pengeluaran yang rendah.
Peniaga bagaimanapun berkata, peningkatan selanjutnya disekat oleh pembetulan selepas MPOB pada Rabu mengumumkan bahawa stok minyak sawit meningkat pada paras tertinggi dalam tempoh sembilan bulan. - BERNAMA

UMNO perlu berundur secara terhormat: Hadi




SHAH ALAM – UMNO perlu berundur secara terhormat jika tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat, sekali gus mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-13, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada masa yang sama katanya, UMNO perlu bersikap terbuka menerima kekalahan dan tidak menggunakan taktik kotor seperti yang dilakukan di Perak apabila bertindak ’merampas’ Kerajaan Negeri itu daripada Pakatan Rakyat (PR). 

“Parti yang memerintah, kalau menghadapi masalah kenalah berundur, beri peluang kepada kami untuk memerintah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pas Sedia Ganti UMNO, di sini, semalam. 

Hadir sama, Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali; Naib Presiden, Salahuddin Ayub; Ketua Muslimat, Nuridah Mohd Salleh; dan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman. 

Abdul Hadi berkata, walaupun UMNO cuba menyembunyikan masalah yang berlaku dalam parti itu, tetapi lama-kelamaan terdedah juga.: 

"Pas ada kekuatan dan strategi yang baik, bukannya menumpang kelemahan UMNO untuk menang dalam pilihan raya," katanya. 

Menurutnya, kekuatan Pas perlu dibina kerana cabaran paling besar bukan untuk menang, tetapi kekuatan untuk mengisi kemenangan. 

“Kalau nak lawan, Pas kena ada kekuatan sendiri. Strategi sendiri dan kena ada cara untuk berlawan dengan musuh. Pas kena gerakkan di peringkat akar umbi,” katanya. 

Abdul Hadi secara sinis berkata, menyedari bahawa UMNO tidak boleh memerintah selama-lamanya, parti itu menawarkan diri memerintah supaya UMNO boleh 'berehat'. 

Beliau turut menggesa jentera pilihan raya Pas mendapatkan sokongan daripada semua pengundi, termasuk bukan Melayu dan ahli UMNO. 

Terdahulu, dalam ucapannya, Abdul Hadi menggariskan tiga perkara bagi membina kekuatan dalam Pas agar parti itu mampu memerintah negara. 

Perkara itu adalah kekuatan akidah dalam kalangan ahli, kekuatan pada organisasi termasuk cawangan yang aktif dan banyak di samping bilangan keahlian tinggi, serta strategi baik untuk digerakkan ke akar umbi.

Dikehendaki baca Al-Quran tiap hari mulai tahun depan


14/11/2010 1:34pm

BESUT 14 Nov. – Setiap pelajar Muslim di Terengganu akan dikehendaki memulakan sesi persekolahan harian mereka dengan membaca Al-Quran selama 10 minit mulai tahun depan.
Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu, Razali Daud berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha pihaknya memberi penekanan serius kepada pembangunan sahsiah seiring dengan kecemerlangan akademik yang dicapai pelajar.
Beliau berkata, pihaknya akan berusaha memastikan warga sekolah memiliki sahsiah dan akhlak yang mantap, selaras dengan usaha membasmi masalah disiplin kalangan pelajar sekolah di Terengganu.
"Bagi pelajar Islam yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil pula, tenaga ustaz akan digunakan bagi menguruskan mereka secara berkumpulan,” katanya kepada pemberita, di sini.
Selain itu, katanya, semua program pembangunan sahsiah pelajar seperti perkhemahan akan dilaksanakan di dalam kawasan masjid dan tidak lagi di resort atau di hotel sebagaimana yang diamalkan sebelum ini. – Bernama

Komputer riba rendahkan kualiti sperma lelaki



NEW YORK - Penggunaan komputer bimbit di atas riba mungkin bukan sesuatu yang baik bagi kesuburan lelaki, menurut kajian terbaru. 

Cara terbaik mengatasi masalah itu adalah dengan meletakkan komputer bimbit di atas meja, menurut ketua penyelidik dari Universiti Kebangsaan New York, Yelim Sheynkin. 

Dalam kajian itu, pengukur haba digunakan bagi mengukur suhu skrotum 29 lelaki muda yang menggunakan komputer bimbit di atas riba. 

Walaupun pelapik diletakkan di bawah komputer, suhu skrotum peserta didapati meningkat dengan cepat. 

"Jutaan pengguna komputer bimbit adalah lelaki dalam lingkungan umur yang mempunyai kesuburan tinggi dan penggunaan komputer di atas riba dalam tempoh 10 minit mampu merendahkan kualiti sperma," katanya

22 jemaah haji Malaysia meninggal di Tanah Suci





2010/11/14

MAKKAH: Seramai 22 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di tanah suci manakala 85 masih dirawat di hospital menjelang jemaah haji dari seluruh dunia mula bergerak ke Arafah hari ini untuk berwukuf di Arafah esok. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika mengumumkan perkara itu bagaimanapun tidak memberikan pecahan jemaah lelaki dan wanita yang meninggal dunia.Bagaimanapun, katanya, Lembaga Tabung Haji (TH) sudah memaklumkan kematian mereka kepada keluarga masing-masing sambil menambah bahawa mereka sakit sebelum meninggal dunia.
Bercakap kepada pasukan media TH yang membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah selepas meninjau operasi TH Mekah di Hotel Al-Janadriyyah petang semalam, Jamil Khir berkata TH akan membayar dam haji sebagai penghormatan kepada jemaah yang meninggal dunia bagi menyempurnakan haji mereka. 

Dalam tinjauan itu, beliau disertai Pengerusi TH, Tan Sri Abi Musa Asa''ari Mohamed Nor serta Pengarah Urusan kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail. Taklimat disampaikan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Salleh Abdul Mubin mengenai persiapan agensi itu menghadapi wukuf. 

Jamil Khir berkata empat jemaah yang meninggal dunia berumur 80 tahun ke atas; 70-79 tahun (lapan orang); 60-69 tahun (empat orang); dan 50-59 tahun (enam orang). 

"Lapan puluh lima jemaah yang sakit tidak akan dihalang dari mengerjakan rukun haji. Mereka akan dibawa terus dengan ambulans ke Arafah dan dibantu urusan melontar jamrah serta tawaf haji dan saie haji," katanya. 
Jamil Khir berkata 71 orang dirawat di dua hospital Malaysia dan 14 lagi di hospital Arab Saudi di Madinah dan Makkah. 

Mereka yang dirawat terdiri daripada 46 lelaki dan 39 perempuan. Kebanyakan mengalami penyakit kulit dan sendi dan batuk. 

Katanya, 28 jemaah yang lemah daya ingatan, kelainan upaya atau uzur akan dibantu secara satu pesakit satu petugas TH sehingga selesai mengerjakan rukun haji. 

"Saya berpuas hati dengan persiapan yang dibuat....marilah sama-sama berdoa agar semua jemaah kita kuat dari segi mental dan fizikal supaya ibadah mereka lengkap dan mendapat haji mabrur," katanya. - BERNAMA 

Ribuan sambut pembebasan Suu Kyi



SEBAHAGIAN penyokong pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang berkumpul di hadapan rumahnya di Yangon semalam. - AP


YANGON - Pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi disambut lebih lima ribu penyokong di luar kediamannya di sini semalam selepas dipercayai dibebaskan daripada tahanan rumah tujuh tahun oleh junta tentera Myanmar.
Suu Kyi yang memakai jaket tradisional Myanmar, tersenyum sambil melambai kepada para penyokongnya ketika muncul di halaman rumahnya dengan disambut sorakan gamat mereka yang kemudian melaungkan slogan "Hidup Aung San Suu Kyi".
Beliau kemudian menyeru mereka supaya meneruskan perjuangan ke arah membina demokrasi di Myanmar.
"Ada masa untuk membisu dan ada masa untuk bersuara. Rakyat perlu bersatu. Hanya dengan cara ini, kita dapat mencapai matlamat kita (demokrasi)," kata Suu Kyi kepada para penyokongnya sebelum masuk semula ke rumah dengan diiringi pegawai-pegawai kanan parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) pimpinannya.
Dalam ucapannya, ikon demokrasi Myanmar itu turut mengundang orang ramai supaya hadir di ibu pejabat NLD hari ini bagi untuk mendengar beliau berucap.
"Saya menganggap Suu Kyi sebagai ibu, kakak dan nenek saya kerana beliau ialah anak perempuan pemimpin kemerdekaan kami, mendiang Jeneral Aung San," kata seorang penyokong pemimpin berkenaan, Naing Naing Win, 45.
PEMIMPIN prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi berdiri di pagar rumahnya di Yangon Myanmar selepas dibebaskan daripada tahanan rumah semalam. - AP


Terdahulu, pihak berkuasa mengundurkan pasukan polis dan turut membuka sekatan-sekatan di hadapan rumahnya sekali gus membayangkan beliau kini bebas daripada tahanan rumah walaupun tanpa pengesahan rasmi oleh pihak junta.
Suu Kyi yang pernah dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan, menghabiskan 15 tahun kehidupannya dalam tahanan sepanjang 21 tahun lalu.
Penahanan terbaru Suu Kyi, 65, berlaku pada Ogos lalu apabila sebuah mahkamah mendapati beliau melanggar undang-undang keselamatan negara kerana membenarkan seorang seorang penceroboh warga Amerika Syarikat (AS), tinggal di rumahnya selama dua malam.
Sementara itu, para pemimpin Barat menyambut baik pembebasan ikon demokrasi Myanmar itu dengan Perdana Menteri Britain, David Cameron menyifatkannya sebagai 'terlalu lewat' manakala Presiden Perancis Nicholas Sarkozy memberi amaran supaya pihak junta tidak membatasi pergerakan Suu Kyi.
Turut menanti pembebasan Suu Kyi di Thailand ialah anak lelaki bongsunya, Kim Aris, yang tidak berpeluang melawat ibunya sejak 10 tahun lalu.
Mendiang suami Suu Kyi, Michael Aris membesarkan dua anak lelaki mereka di England sebelum meninggal dunia akibat kanser pada 1999. - Agensi

Aktres porno goda menteri Indonesia




2010/11/14

Vette mahu serah diri kepada Tifatul Sembiring

JAKARTA: Bintang filem porno dari Norway, Vicky Vette, dianggap cuba menggoda Menteri Komunikasi Indonesia, Tifatul Sembiring apabila menawarkan beliau untuk berbuat apa saja pada tubuhnya. 

Vette membuat tawaran itu di laman web Twitter dengan media Indonesia menganggap pelakon itu mengikuti perkembangan berita isu Tifatul berjabat tangan dengan Wanita Pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama, baru-baru ini.Tifatul yang bersungguh-sungguh cuba melawan unsur pornografi di Indonesia juga sudah lama menyatakan bahawa beliau tidak akan berjabat tangan dengan wanita bukan muhrim.
Tetapi, Tifatul dilihat berjabat tangan dengan Michelle ketika menyambut isteri Presiden Amerika, Barack Obama, di lapangan terbang. 

Berikutan kontroversi itu, Vette menulis pesan dalam akaun Twitternya: @tifsembiring Come to the USA and shake anything you want :) 

Pelakon porno itu juga berkata, Tifatul boleh menyentuhnya sekalipun di depan orang ramai. 

Hmmm, saya ingin menjadi orang yang berguna juga bagi Menteri Komunikasi Indonesia! Adakah anda suka melakukannya dengan cepat, perlahan, genggam erat atau menggunakan kedua-dua belah tangan? tambahnya lagi dalam komen terbaru di Twitter. 
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung PKS, Anis Matta, membidas pihak yang cuba menghina Tifatul sedangkan ada isu lain yang lebih penting bagi penduduk Indonesia. 

Perbincangan dan kritikan mengenai isu berjabat tangan ini perkara remeh. Mengapa tidak kita berbincang perkara lebih penting daripada lawatan Obama, katanya. 

Anis berkata, penduduk Indonesia sepatutnya mempersoalkan mengapa kunjungan Obama tidak membawa sebarang faedah kepada negara terbabit. 

Beliau membandingkan lawatan Obama ke India apabila pemimpin Amerika itu memeterai perjanjian perdagangan bernilai AS$10 bilion (RM32 bilion) dengan negara terbabit. Agensi 

Laporan polis terhadap dua ADUN biadab

 


2010/11/14

KUALA LUMPUR: Tindakan dua anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap UMNO ketika sidang DUN, Selasa lalu, dianggap biadab kerana tidak menghormati persidangan itu selain turut menyentuh sensitiviti kaum lain. 

Sehubungan itu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini semalam melalui Setiausaha Khas Kebangsaannya, Zainol Abidin Ahmad yang ditemani Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay.Zainol Abidin berkata, laporan polis itu dibuat terhadap kedua-dua ADUN DAP iaitu ADUN Seri Delima, RSN Rayer dan ADUN Komtar, Ng Wei Aik yang menggelar Pemuda UMNO Pulau Pinang sebagai monyet yang diikat berikutan satu demonstrasi yang diadakan pada 2 November lalu.
Penggunaan perkataan itu satu penghinaan amat serius dan boleh mencetuskan perkauman kerana UMNO mewakili kaum Melayu. Penghinaan itu tidak boleh diterima oleh mana-mana kaum sekalipun, katanya. 

AC jawab dakwaan

JELAS... AC Mizal ditemani jurucakap AC Konsortium, Khai menunjukkan surat penganugerahan gelaran Datuk yang diterima daripada Setiausaha Pejabat Negeri Pahang.
JELAS... AC Mizal ditemani jurucakap AC Konsortium, Khai menunjukkan surat penganugerahan gelaran Datuk yang diterima daripada Setiausaha Pejabat Negeri Pahang.


SELEPAS beberapa hari membuat laporan polis kerana mendakwa dirinya diugut, malah menjadi bahan cacian di Internet, pelakon, penyanyi dan pengacara, Datuk Mizal Zaini, 39, atau AC Mizal tampil memberi penjelasan berhubung beberapa isu yang ditimbulkan penulis blog, forum tertentu dan laman sosial Facebook, antaranya mendakwa harga gelang AC cuma AS$25 (RM78) tetapi dijual pada harga RM1,000, penjualan gelang AC di gedung Marks & Spencer di London, tiada lesen jualan langsung dan gelaran Datuk tipu.
Beliau yang kini bergelar ahli perniagaan selaku Pengerusi Eksekutif AC Konsortium Sdn Bhd (AC Konsortium) menyifatkan dakwaan terbabit sebagai fitnah dan berniat jahat untuk mencemarkan nama baik dan menjatuhkan perniagaannya.
Akibat keselamatannya turut diancam, AC terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengupah pengawal peribadi bagi melindungi keluarga dan kakitangannya.

Sambil mencabar pihak yang menyerangnya itu tampil, terutama penulis blog yang menggunakan nama Aidid Mu’addib, AC menganggap mereka sebagai pengecut. Atas dasar ‘berani kerana benar’, AC dengan tenang menghabiskan masa hampir dua jam ditemubual wartawan Metro Ahad, ISMA ISMAIL, ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan FIRDAUS SAHAT di pejabatnya di Ampang, baru-baru ini. Ikuti luahan AC.


“SAYA tidak menaruh dendam berhubung fitnah yang dilemparkan kepada saya. Ia sedikit pun tidak melemahkan semangat saya untuk meneruskan perniagaan AC Konsortium.

Saya akan meneruskan tugas selaku Pengarah Eksekutif AC Konsortium. Walau apa saja fitnah dilemparkan, saya ada tanggungjawab terhadap keluarga, kakitangan dan ribuan ahli AC Konsortium.

Saya tidak mahu membuat tuduhan siapa memulakan semua itu, tetapi berdasarkan penggunaan ayat dan maklumat disebarkan itu, terutama membabitkan hal perniagaan, saya dapat agak siapa dalangnya.

Jika diikutkan, serangan terhadap saya bermula sejak tahun lalu tetapi ia semakin menjadi-jadi selepas saya terlepas daripada hukuman penjara berkaitan kes syariah baru-baru ini. Mungkin individu itu tak puas hati sebab saya tidak dipenjarakan.

Jika saya dipenjarakan, barangkali individu itu puas kerana dia memang mahu melihat saya menderita. Apa pun, saya membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan biar pihak berkenaan melakukan siasatan.

Cuma, kepada penulis blog yang mencetuskan serangan kepada saya, sila tampil ke depan dan dedahkan identiti. Jangan jadi pengecut! Kata orang, berani kerana benar, takut kerana salah.

Jangan sekadar menunjukkan keberanian dengan penulisan. Saya sendiri tampil memberi kenyataan dan membalas dakwaan yang ditimbulkan. Saya bukan mahu meraih simpati, tetapi apa yang dilakukan terhadap saya adalah keterlaluan. Bukan saya seorang yang terpaksa menanggung kesan fitnah, termasuk ugutan dilemparkan, tetapi juga keluarga dan kakitangan AC Konsortium.

Kenyataan ‘elok sembelih saja kot’ bukan kenyataan yang boleh dibuat main-main. Walaupun penulis blog yang mengeluarkan kenyataan itu mengatakan ia hanya metafora sehari selepas saya buat laporan polis, saya tidak boleh terima.

Penulis yang buat kenyataan itu boleh menganggapnya perkara kecil tetapi tidak bagi sesiapa saja yang ditujukan ayat seperti itu. Terus terang saya katakan, saya, keluarga dan kakitangan AC Konsortium hidup dalam ketakutan.

Saya terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengupah pengawal peribadi. Sudah pasti apabila saya mengupah pengawal peribadi, ada nanti yang mengatakan saya berlagak dan mahu tunjuk hebat, tetapi tiada langsung niat seperti itu kerana saya hanya mahu menjaga keselamatan diri, keluarga dan kakitangan seramai 33 orang.

Akibat fitnah yang dilemparkan, saya akui perniagaan saya merosot dalam tempoh sebulan, tetapi kini ia perlahan-lahan bangkit kembali kerana dalam pada ada yang membenci, masih ramai mengetahui situasi sebenar dan memberi sokongan.

Di sini saya mahu menjawab pelbagai dakwaan yang ditimbulkan:

1) Gelang AC Mizal dibeli dengan harga AS$25 (RM78) tetapi dijual RM1,000

Apa yang dipaparkan di blog hanya gambar yang diubahsuai. Harga RM1,000 yang ditawarkan bukan sebab saya tamak, tetapi ia membabitkan pelbagai kos, antaranya kos kotak, operasi dan pemberian bonus. Malah, daripada RM1,000 itu, sebanyak RM500 diberi kepada ahli sebagai komisen.

2) Tiada Lesen Jualan Langsung

Dakwaan saya tiada lesen jualan langsung juga tidak benar. Lesen jualan langsung syarikat saya memang bukan di atas nama AC Konsortium tetapi anak syarikat AC Konsortium, Ilham Prestij Sdn Bhd. Lesen itu tergantung di pejabat saya. Untuk lebih jelas, saya tidak menjalankan perniagaan jualan langsung pemasaran berbilang tingkat (MLM) tetapi pemasaran satu tingkat (SLM). Lesen diberikan bermula dari 16 Mac 2010 hingga 15 Mac 2011.

3) Penjualan gelang AC Mizal di gedung Marks & Spencer, London

Saya tidak beri apa-apa kenyataan bahawa gelang saya dijual di gedung Marks & Spencer, London. Saya hanya kata akan dijual di gedung berkenaan. Ia masih dalam proses perbincangan sebelum menjadi kenyataan. Memang saya ada kata gelang saya dijual di London tetapi dijual kepada orang perseorangan.

4) Testimoni yang ditiru daripada laman web

Testimoni itu dihantar dari London untuk usaha memasuki pasaran di gedung Marks & Spencer. Bukan saya yang menghasilkannya. Manalah saya tahu jika ia ditiru daripada laman web lain.

5) Gelaran Datuk

Kenapa ada yang mahu mempertikaikannya? Saya bukan mahu berlagak menggunakan gelaran berkenaan, tetapi sememangnya ia adalah penganugerahan daripada Sultan Pahang. Saya ada dokumen pengurniaan kebesaran dan pingat negeri Pahang oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang ditandatangani sendiri oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Muhammad Safian Ismail.

Kini, saya menunggu tarikh untuk menerima pengurniaan itu yang dijadualkan untuk sesi kedua pada bulan ini atau Disember nanti.”

UMNO tidak akan terima semula Zaid




PUTRAJAYA - UMNO tidak akan menerima semula bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim (gambar) menyertai semula parti itu, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
"Zaid, kita buang dia. Kita nak bawa dia balik buat apa?," katanya ketika ditanya peluang Zaid sekiranya ingin kembali kepada UMNO.
"Dia juga akan bagi masalah. Kita tidak suka orang yang beri masalah. Kita hendak orang yang masuk parti kita, orang-orang yang menjiwai perjuangan bukan untuk mencapai sesuatu bagi diri masing-masing," katanya selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kanak-kanak Tabika dan Taska Kemas di sekitar Putrajaya di sini semalam.
Pada 8 November lalu, Zaid telah menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan meletak semua jawatannya dalam parti itu berikutan dakwaan bahawa pemilihan parti itu tidak telus.
Namun, Zaid yang dipecat daripada UMNO pada Disember 2008 dan menyertai PKR enam bulan selepas pemecatannya, sehingga kini belum menyatakan untuk kembali ke pangkuan UMNO dan hanya dilaporkan bercadang untuk menubuhkan parti politik baru. - Bernama

'Ini mungkin balasan Tuhan'



AKSI mesra Nabil dan Qasha seperti tersiar di dalam Internet.


KUALA LUMPUR - Bekas juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad, 27, mendakwa ada pihak telah mengkhianati dirinya dengan menyebarkan gambar-gambar panas miripnya di laman-laman web dengan niat untuk menjatuhkan reputasi dia dan keluarga.
Sambil menafikan gambar aksi bercium mulut itu dirinya serta wanita itu Nik Zarith Uqasha Senrose Nik Sen atau Qasha, 18, Nabil menganggap apa yang berlaku mungkin balasan Tuhan ke atas dirinya yang semakin lalai.
"Mungkin ini balasan Tuhan. Saya cuba berfikiran positif, nasib baik saya belum berkahwin, kalau tidak keadaan akan jadi lebih teruk.
"Walaupun apa orang kata, saya masih dengan pendirian bahawa itu (bercium mulut) bukan saya atau Qasha. Ini kerja orang dengki," katanya ketika dihubungi semalam.
Nabil bagaimanapun belum membuat keputusan untuk membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang.

Pendakwah Zainuddin MZ 'hilang'




JAKARTA: Selepas melarikan diri daripada hospital, pendakwah 'sejuta umat', Zainuddin MZ, kini tidak diketahui berada di mana kerana beliau juga tidak pulang ke rumahnya di Gandaria, Jakarta Selatan.
Ketika tinjauan dibuat di rumahnya, seorang penjaga di situ mendakwa Zainuddin tiada di situ.Apabila ditanya lebih lanjut, penjaga itu enggan menjawab lagi.Sementara itu, rumah tersebut kelihatan sepi dan hanya ada sebuah kereta di garajnya.Zainuddin dirawat di hospital sejak Selasa lalu kerana menghadapi tekanan darah tinggi, sekali gus membatalkan majlis berdamai dengan penyanyi dangdut, Aida Saskia, yang mendakwa menjadi mangsa rogolnya ketika berusia 16 tahun.Selepas dirawat dua hari, tekanan darah Zainuddin dilaporkan turun tetapi masih belum cukup untuk membolehkan beliau pulang.Dalam keadaan begitu, Zainuddin keluar juga daripada hospital tanpa izin daripada doktor dengan alasan mahu mencuba kaedah rawatan lain.Doktor peribadi Zainuddin, Encik Gatot Soeseno, pula mengesahkan pendakwah itu memang kembali ke rumahnya tetapi kesihatannya belum pulih.'Saya melarang Zainuddin keluar hospital tapi beliau berdegil,' katanya.Jumaat lalu, Aida ditukil sebagai berkata:'Yang jelas, Zainuddin sudah bersetuju minta maaf kepada saya. Dan saya juga akan meminta maaf. Tetapi bukan kepada Zainuddin, sebaliknya kepada orang ramai dan masyarakat yang mungkin selama ini resah dengan pengakuan saya.' - Agensi.

Beginda murtad: JAIS minta bantuan Jakim


KUCHING 13 Nov. - Sarawak akan mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyiasat dan mengesahkan sama ada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Beginda Minda sebelum ini merupakan seorang Islam atau sebaliknya.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) tidak mempunyai rekod yang mengatakan Beginda atau nama Islamnya, Nor Azman Abdullah telah memeluk Islam.
Jelasnya, Beginda juga tidak pernah mengaku kepada jabatan tersebut dia seorang Islam atau tidak pernah keluar daripada Islam walaupun namanya menunjukkan dia seorang Islam.
''Kita akan menyiasat perkara ini dan kerajaan negeri akan meminta bantuan Jakim yang akan bekerjasama dengan jabatan agama Islam lain di negara ini untuk membantu sama ada Beginda pernah mempunyai rekod sebagai seorang Muslim atau tidak.
''Sebaik sahaja kita mendapat laporan itu, kita akan membuat susulan mengenai perkara tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ditanya mengenai penggunaan nama Islam oleh Beginda, Daud memberitahu, perkara itu bukan merupakan sesuatu yang baru di Sarawak kerana banyak masyarakat bukan Islam turut menggunakan nama seperti orang Islam.
''Saya sendiri hairan bagaimana Beginda mempunyai nama Islam dan kita akan menyiasat perkara ini," katanya.
Sementara itu, Daud berkata, di Malaysia, setiap individu yang murtad termasuk di Sarawak hanya akan diberikan kaunseling tidak seperti amalan sebelum ini iaitu diambil tindakan ke atas mereka yang murtad.
Ujarnya, jika mereka mengakui hanya memeluk Islam dan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, jabatan itu akan membenarkan mereka keluar agama Islam.
''Namun kes-kes seperti ini amat jarang dan kita tidak menggalakkan ia daripada berlaku," tegas beliau.