Tuesday, January 11, 2011

Anwar: Hadi, Nik Aziz rakan karib saya



Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesa rakyat supaya tidak mempercayai dengan cerita-cerita musuh yang mahu melihat Pakatan Rakyat berpecah, lapor TV Selangor.

ceramah selamatkan malaysia pas shah alam 090111 anwar ibrahim dan hadi awangSambil menyifatkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai rakan karibnya, Anwar ketika ceramah di Gombak malam semalam mempertahankan presiden PAS itu yang kini berhadapan dengan kritikan berikutan pertemuan bersama pemimpin Umno pada 24 Disember lalu.

Kata Anwar, Hadi dan PAS telah memperlihatkan sokongan padu mereka kepada beliau ketika berhadapan dengan hukuman penjara pada 1999.
Rakan karib

“Ketika saya dipenjarakan, mereka yang menyokong saya ialah PAS, (Mursyidul Am PAS) Tok Guru Nik Aziz, dan Tok Guru Hadi Awang.

“Mereka menghimpunkan ribuan penyokong mereka untuk mendoakan kesejahteraan saya. Mereka rakan karib saya,” katanya.

NONEKelmarin PAS mengadakan program solat hajat dan pidato perdana di Stadium Malawati Shah Alam yang antara lain berdoa agar negara ini diselamatkan daripada dimusnah oleh BN.
Selain itu, 12 ribu hadirin berkenaan juga berdoa agar Pakatan Rakyat diberi kemenangan dalam menangani beberapa 'serangan' seperti yang berlaku di Selangor dan juga bidasan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipalitkan dengan dakwaan meliwat.

Malam semalam, Anwar juga memberikan amaran bahawa Umno akan melakukan apa sahaja untuk memperlekehkan Pakatan Rakyat.

NONE“Ada banyak dakwaan tetapi semua itu hanya cerita semata-mata. Jangan percaya mereka,” katanya.

Selepas pertemuan kelmarin, Anwar berkata Pakatan Rakyat sudah menyelesaikan kontroversi berhubung pertemuan kepimpinan PAS bersama Umno sempena santapan di Istana Terengganu di Kuala Lumpur pada 24 Disember lalu.

Anwar berkata, Pakatan Rakyat sudah dimaklumkan mengenai pertemuan bulan lalu, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya pada majlis anjuran Yang di-Pertuan Agong.
Tiada tafsiran lain

azlan“Tidak perlu nak panjangkan lagi, kita sudah ambil maklum.

“Tiada masalah dan tafsiran lain (pertemuan 24 Disember) itu,” kata Anwar.

Pada sidang media yang diadakan malam Ahad lalu, Hadi juga dilaporkan berkata, pihaknya telah menjelaskan “pertemuan 24 Disember itu” kepada Pakatan Rakyat.

Anwar, yang juga pemimpin PKR meminta penyokong-penyokongnya supaya meletakkan keyakinan dan percaya pada Pakatan Rakyat yang bercita-cita mahu menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13.

Sambil itu Anwar memaklumkan negara boleh mencapai perubahan jika setiap kaum boleh bekerjasama ke arah satu matlamat.

azlan“Kita perlukan sokongan daripada semua orang. Kita tidak boleh melakukannya menerusi perhimpunan politikatau slogan politik. Kita hanya boleh menang menerusi keyakinan, kesabaran dan strategi yang kukuh.

“Kita mesti faham bahawa kita hanya boleh menang jika masyarakat Cina, India, Melayu, Iban, Kadazan bekerjasama dan mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Naik empat kali ganda

SH

SHAH ALAM - Krisis kenaikan harga bawang semakin parah apabila harganya melambung tinggi berikutan bencana alam di beberapa negara pengeksport iaitu India, China dan Thailand.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, setiap kawasan menjualnya dengan harga yang berbeza-beza kerana ia bukanlah kategorikan sebagai barang kawalan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Harga bawang merah dilaporkan naik sehinggakan empat kali ganda dan berbeza-beza mengikut kawasan dan ada antaranya mengalami kenaikan sehingga RM4 sekilogram.

Trend ini mengalami kenaikan dikesan sejak dua bulan lalu selepas peruncit memaklumkan kenaikan mendadak ini terpaksa dilakukan berikutan stok yang semakin berkurangan.

Di PERAK, pengguna dan peniaga semakin bimbang dengan kenaikan harga beberapa barangan keperluan harian terutama bawang di pasar dan kedai runcit sekitar bandar raya ini.

Kenaikan harga bawang itu berlaku hampir di semua pasar dan kedai runcit di bandar raya Ipoh termasuk beberapa daerah lain.

Melalui pemantauan Sinar Harian, terdapat beberapa kedai di sini menjualnya sehingga RM8 sekilogram walaupun sebelum ini hanya RM2.50.

Di LANGKAWI, peniaga terpaksa menaikkan bawang merah sehingga RM8.90 sekilogram akibat krisis ini terutamanya tanah besar mengalami musibah banjir.

Di SEREMBAN, dilaporkan pengguna terus mengeluh kenaikan secara mendadak ini sejak minggu lalu kerana amatlah membebankan pengguna.

Salina Osman, 44, berkata, bawang besar juga mengalami peningkatan sama, sebelum ini harganya sekitar RM1.80 sekilogram sahaja tetapi naik berperingkat dalam tempoh sebulan sebelum meningkat mendadak pada minggu lalu iaitu RM4.50 sekilogram.

“Begitu juga dengan kenaikan harga bawang kecil, sebelum ini hanya RM6 sahaja berbanding harga di pasaran sekarang mencecah RM9,” katanya.

Di KUANTAN mendapati harga bawang merah dan bawang besar yang siap dibersihkan dijual pada kadar harga yang berpatutan iaitu RM6 sekilogram.

Bagaimana pun, peniaga yang ditemui, Ghani Nordin, 63, berkata, sejak kebelakangan ini, bekalan bawang yang diterima daripada pembekal banyak mengalami kerosakan kerana basah.

Menurutnya, dia terpaksa memilih bawang yang elok sebelum dijual kepada pengguna menyebabkan dia perlu mengeluarkan kos upah kepada pekerja untuk membersihkan bawang itu.

“Jika tidak dibersihkan, saya boleh jual bawang itu dengan harga RM4.50 sekilogram. Tapi, pengguna boleh memilih sendiri walaupun ada beberapa rungutan mengenai bawang yang tidak elok dan harga yang mahal.

“Saya sudah menjelaskan kepada pengguna situasi yang dihadapi peniaga setiap kali mereka merungut kerana ada yang membandingkan bawang yang dijual di pasar raya lebih murah, tetapi mereka tidak tahu bawang itu elok atau tidak,” katanya.

Berlainan pula di PULAU PINANG, tinjauan kami di beberapa kedai di pusat bandar mendapati kebanyakan peniaga mengehadkan stok bawang merah masing-masing.

Di pasar raya utama, bawang merah langsung tidak dijual dan yang ada hanya bawang besar serta bawang putih.

77 maut nahas pesawat


Pasukan bomba dan persatuan bulan sabit merah membantu menyelamatkan mangsa nahas pesawat Boeing 727 yang terhempas di barat laut bandar Orumiyeh di barat wilayah Azerbaijan dekat Iran, kelmarin. - AFP


TEHERAN 10 Jan. - Sekurang-kurangnya 77 orang terbunuh dan 35 lagi cedera apabila pesawat Boeing 727 milik Iran terhempas dalam cuaca buruk di barat laut negara ini, lewat semalam.
Ketua Bulan Sabit Merah Iran, Mahmoud Mozafar berkata, kebanyakan mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Katanya, seramai 106 orang iaitu 12 anak kapal dan 94 penumpang berada di dalam pesawat milik Iran Air itu ketika nahas berlaku.
Seorang lagi pegawai Bulan Sabit Merah, Heidar Heidari memberitahu agensi berita IRNA, angka kematian dijangka meningkat.
Ahli keluarga mangsa nahas berkumpul di lapangan terbang Mehrabad, Teheran untuk mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa.
Beberapa pegawai berkata, nahas berlaku sejurus sebelum pesawat itu mendarat di lapangan terbang di bandar Urumiyeh, yang terletak kira-kira 1,000 kilometer ke barat laut Teheran di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Turki.
Seorang pegawai berkata, seramai 50 orang terselamat dan operasi menyelamat terhalang ekoran salji dan kabus tebal.
Menurut Mahmoud kepada televisyen kerajaan, pesawat itu berkecai kepada beberapa bahagian, tetapi tidak meletup.
Shahrokh Nioushabadi, jurucakap penerbangan kebangsaan Iran, Air Iran, memberitahu agensi berita separuh kerajaan, Mehr bahawa dua kanak-kanak adalah antara penumpang pesawat itu.
Menurut televisyen milik kerajaan, pesawat Iran Air itu dalam penerbangan dari Teheran ke Urumiye ketika nahas berlaku. - Reuters

Lupa tutup pintu pagar, penjenayah tertangkap

Utusan Malaysia Online - Kota


KUALA LUMPUR 10 Jan. - Seorang penjenayah tersilap langkah apabila membiarkan pagar sebuah rumah yang disamunnya di PUJ 6/14, Puncak Jalil dekat sini terbuka sehingga mendatangkan curiga kepada anggota polis yang kemudian berjaya menangkapnya.
Suspek berusia lingkungan 30-an telah memecah masuk ke dalam rumah teres dua tingkat, milik seorang pengusaha salon pada pukul 1 petang, Jumaat lalu dan sempat mengambil beberapa barang berharga setelah menggeledah kediaman tersebut.
Namun, semasa melakukan jenayah itu, suspek membiarkan pintu pagar rumah terbuka menyebabkan sepasukan anggota polis yang menaiki kereta peronda dan melalui tempat kejadian berasa curiga lalu berhenti untuk membuat pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, suspek yang masih berada dalam rumah mungkin berasa terkejut dengan kehadiran polis lalu terburu-buru melarikan diri membawa bersama sebuah beg kertas berwarna hitam berisi barang-barang yang dicuri.
Beliau berkata, suspek yang terdesak melepaskan diri bertindak merempuh anggota polis yang baru memasuki rumah menyebabkan anggota terbabit mengalami kecederaan di kaki dan siku.
"Suspek bagaimanapun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.
"Polis yang memeriksa beg kertas yang dibawa menemui sebuah komputer riba dan tiga botol minyak wangi dipercayai dicuri dari rumah mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dekat sini hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda yang digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah yang didaftarkan di atas nama isterinya.
Menurut Abd. Razak, suspek yang merupakan seorang penagih dadah kemudian membawa polis ke rumahnya di Presint 9, Putrajaya yang membawa kepada penemuan 21 keping pelbagai mata wang asing, lapan telefon bimbit dan seutas gelang tangan emas tiruan.
Katanya, kesemua barang-barang dirampas bernilai kira-kira RM8,000 itu dipercayai dicuri dari beberapa rumah yang dipecah masuk oleh suspek sebelum ini termasuk satu kes dilaporkan berlaku di Putrajaya.
"Suspek yang pernah dipenjara kerana satu kes berkaitan dadah dan dua jenayah curi sebelum ini, didapati menumpang di rumah saudaranya yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan di Putrajaya.
"Modus operandi suspek ialah melakukan pecah rumah pada waktu pagi atau tengah hari. Dia akan membuat pemerhatian awal sebelum memasuki rumah mangsa dengan merosakkan pagar dan jeriji pintu hadapan rumah," katanya sambil memberitahu lelaki terbabit masih direman untuk siasatan lanjut sehingga esok.
Abd. Razak turut berbangga dan mengucapkan syabas kepada anggotanya kerana keprihatinan mereka berjaya memberkas penjenayah sebelum mangsa membuat laporan.

Air mata sasterawan


ABDULLAH Hussain mengesat air mata kerana tidak dapat menahan sebak di dada ketika memperkatakan nasib malang novel Interlok karyanya itu di Petaling Jaya, Selangor, semalam. – UTUSAN/HAFIZ JOHARI


TIADA apa yang lebih meremukkan hati seorang penulis apabila melihat karyanya dihina dan dipolitikkan pihak tertentu hanya kerana kandungannya tidak difahami secara keseluruhannya.
Itulah yang dirasakan oleh Sasterawan Negara, DATUK ABDULLAH HUSSAIN, 91, ketika menatap gambar sekumpulan penduduk kaum India membakar novel Interlok karya beliau di Klang, Selangor yang disiarkan akhbar ini, dua hari lalu.
Dalam linangan air mata, Abdullah yang ditemui oleh wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL bersama jurugambar, HAFIZ JOHARI di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor, semalam turut melahirkan kekesalan yang mendalam apabila karyanya yang diterbitkan 40 tahun lalu disalahertikan oleh pihak tertentu.
Abdullah yang berkerusi roda ketika ditemui meminta untuk berbaring ketika menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kerana keuzurannya.
Malah, beliau juga hanya mampu menjawab soalan-soalan itu secara bertulis kerana tidak berdaya lagi untuk berbicara.
Ikuti soal jawab itu yang terpaksa dilakukan dengan ringkas ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Bagaimana perasaan Datuk dengan apa yang menimpa karya Interlok?
ABDULLAH: Saya berasa dukacita kerana maksud saya baik, tetapi orang salah menerima.
Apa yang tidak difahami oleh kaum India menerusi buku Interlok itu?
ABDULLAH: Di India (terutamanya di India Selatan), masih kuat dengan fahaman ‘paria'. Saya ikut Mahatma Gandhi. Tetapi orang India di sini cuba melupakannya.
Apa sebenarnya yang cuba disampaikan menerusi Interlok?
ABDULLAH: Ia merupakan kisah Maniam, iaitu watak utama seorang India dari India Selatan. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di sini. Dia seronok menaiki kapal bersama orang India yang lain dan seronok apabila sampai di Pulau Pinang. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di Malaysia.
Nasihat Datuk kepada kaum India yang menolak buku ini?
ABDULLAH: Baca betul-betul (Interlok) apa maksud sebenar saya tulis. (Saya) bukan mahu menghina masyarakat India.
Datuk masih menulis?
ABDULLAH: Saya tidak lagi boleh menulis. Menulis memerlukan saya bergaul dengan banyak orang.