Monday, January 2, 2012

Sherie Merlis akhiri zaman janda



Sherie Merlis dan Ash selepas akad nikah di Madrasah Jalan Taman Ibu Kota di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Jan. - Hari pertama dalam kalendar 2012 menjadi pilihan pelakon Sherie Merlis dan pasangannya yang juga penyanyi kumpulan Gabba Gabba, Ash untuk bergelar suami isteri.

Pasangan berbeza usia hampir 10 tahun itu dinikahkan sendiri oleh bapa pelakon itu, Wan Zainal Abidin Wan Kassim di Madrasah Islahiyah Addiniyah, Taman Ibu Kota di sini, hari ini.

Dengan mas kahwin RM200 dan dua kali lafaz, Ash atau nama sebenarnya, Tengku Shafiz-Rullah As Syafiee Tengku Mohd. Shahidd, 29, bergelar suami kepada Sherie Merlis atau nama sebenarnya Sharifah Saadah Wan Zainal, 39.

"Syukur semuanya berjalan lancar. Saya benar-benar lega kerana selepas 17 tahun hidup bersendirian akhirnya hari ini saya kembali menjadi isteri orang," kata Sherie Merlis ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis pernikahannya.

Pasangan itu mula berkenalan setelah sama-sama terlibat dalam penggambaran sebuah drama bersiri pada awal 2011.

Ini adalah perkahwinan kedua buat pasangan ini di mana Sherie Merlis pernah bernikah dengan pelakon Esma Daniel pada awal 1990-an dan dikurniakan dua anak lelaki, Habib Daniel, 19, dan Harris Daniel, 18.

Ash pula pernah bernikah dengan pengacara Dira Abu Zahar dan dikurniakan seorang cahayamata perempuan, Tengku Anggun Deandra, 4.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran keluarga kedua-dua belah pihak termasuk lebih 20 ahli keluarga pengantin perempuan dari Sarawak.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Badrolamin perjelas isu video Imam Mahadi


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : January 2, 2012
Badrulamin_Bahron

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Kerajaan Selangor, Dr Badrolamin Bahron menafikan beliau menyamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Imam Mahadi.

Beliau sebaliknya menjelaskan, berlaku kekeliruan apabila beliau menyebut hadis kebangkitan dari Timur.

Menurutnya, beliau hanya menyebut secara ringkas dan umum tentang hadis tersebut di mana akan berlaku kebangkitan Islam dari Timur, namun bagi kebanyakan orang mengatakan ia merujuk kepada Imam Mahadi.

“Saya tidak pernah sebut nama Imam Mahadi dalam mana-mana ceramah. Saya hanya menyebut, potensi yang ada pada Anwar untuk menyatukan dunia Arab dan sekali gus penyatuan itu akan menjadi asas kepada pembebasan Al Aqsa.

“Saya tidak menggunakan hadis itu untuk secara spesifik merujuk Imam Mahadi, saya hanya menyebutnya secara umum tentang kebangkitan Islam datang dari Timur. Jadi, tidak mustahil ada pemimpin dari Timur yang mampu menyatukan dunia Arab dan membebaskan Al
Aqsa,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas dakwaan beliau menyamakan Anwar dengan Imam Mahadi dalam satu video ceramah pada 26 Disember lalu yang tersebar di Internet.

Badrolamin berkata, potensi dimiliki Anwar diterima negara Arab malah Anwar kini menjadi penasihat kepada beberapa negara Arab selain bersahabat baik dengan ramai pemimpin negara Arab termasuk Penasihat Mesir, Sheikh Yusuf Al-Qardawi.

Beliau berkata, potensi yang dimiliki Anwar itu juga diakui sendiri rakyat Negara Arab yang ditemui beliau ketika menunaikan fardu haji baru-baru ini.

“Rakan dari Mesir kata, mereka tidak nampak satu tokoh dari dunia Arab yang mampu menyatukan Arab. Jadi selepas berbincang dan berbincang, kata mereka tidak mustahil akan wujud pemimpin bukan dari dunia Arab yang akan menyatukan dunia.

“Mereka kenal Anwar Ibrahim, mereka tahu apa yang berlaku kepada Anwar Ibrahim, simpati kepada Anwar dan mereka sendiri mengharapkan melalui segala rintangan dan tampil sebagai pemimpin umat bukan hanya pemimpin Malaysia,” katanya.

Menurutnya, potensi Anwar juga dapat dilihat dengan kedudukannya di mata masyarakat Barat di mana orang Barat sendiri menghormati pendirian Anwar, prinsip ketegasannya dalam isu kemanusiaan dan sebagainya.

Beliau berkata, Anwar boleh bercakap di pentas Barat dan di pentas Timur malah potensi itu dilihat dari segi sejarah dan komitmen beliau dalam perjuangan Islam dan kemanusiaan.

Katanya, pada masa ini, beliau tidak nampak ada pemimpin lain yang lebih berpotensi untuk penyatuan Arab selain daripada Anwar.

Badrolamin perjelas isu video Imam Mahadi - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kumpulan mahasiswa demo di Upsi mahu PM minta maaf


Oleh : NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN
Tarikh : January 1, 2012
baring

SHAH ALAM – Kumpulan mahasiswa yang terlibat dengan perhimpunan menuntut kebebasan Adam Adli Abdul Halim dan akademik di pekarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) awal pagi tadi mahu Datuk Seri Najib Tun Razak agar memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam berhubung kekasaran pihak polis.

Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Haziq Abdullah Abdul Aziz berkata, tindakan polis melakukan kekasaran terhadap mereka termasuk menyebabkan Pengerusi Gerakan Penuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Safwan Anang cedera parah tidak sepatutnya berlaku.

Menurut Haziq, tindakan polis menumbuk dan menendang untuk meleraikan demonstrasi adalah tidak relevan kerana kumpulan mahasiswa terbabit tidak melakukan apa-apa yang mencetuskan keganasan dan hanya baring beramai-ramai di depan pintu utama Upsi.

“Kami kesal atas tindakan polis berkenaan, selain meminta Datuk Seri Najib memohon maaf dalam tempoh 24 jam, kami juga akan membawa kes ini kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Dalam perkembangan berkaitan seramai 17 mahasiswa yang ditahan di Balai Polis Tanjung Malim telah dibebaskan sekitar 4 petang tadi.

Safwan masih dirawat di Hospital Slim River dan keadaannya dilaporkan stabil.

Menceritakan insiden yang berlaku malam tadi, Haziq berkata mereka mula berkumpul di pintu utama Upsi pada jam 1.50 pagi dan sempat memberi ucapan selama 10 minit sebelum pihak polis dan FRU tiba.

“Polis memberi amaran supaya menghentikan perhimpunan jika tidak akan sembur gas pemedih mata dan ketika kami ingin ke depan pintu pagar Upsi, tiba-tiba seorang pegawai polis datang, ingin menarik Safwan ke trak polis.

“Mahasiswa yang berhimpun menjadi marah dan berlaku pergelutan antara kami dan polis, dan di situ kami dibelasah, ditumbuk dan ditendang,” katanya.

Haziq berkata, Safwan yang pernah mempunyai rekod perubatan di mana tulang mukanya pernah retak, telah ditumbuk oleh pegawai polis mengakibatkan dia menggigil kesakitan dan rebah di atas jalan.

Jelas Haziq, insiden memecah pintu masuk Klinik Syifa berhampiran adalah kerana keadaan memaksa iaitu ingin membantu Safwan yang menggigil dan berlumuran darah.

“Kami tidak dapat membawa Safwan ke hospital kerana kunci kereta sudah dirampas, lalu pergi ke klinik berkenaan dan merayu kepada pembantu jururawat agar membuka pintu tetapi enggan berbuat demikian.

“Tiba-tiba berlaku adegan tolak-menolak antara kami dan pihak polis di depan pintu klinik menyebabkan pintu itu pecah, ramai yang cedera akibat insiden itu tetapi polis tidak memberi sebarang bantuan perubatan kepada kami,” katanya.

Haziq, antara 17 mahasiswa yang ditahan berkata, Safwan kemudiannya dibawa ke hospital dengan kereta rakannya.

“Saya dan 16 yang lain dibawa ke balai polis untuk memberi keterangan, kemudian ditahan beberapa jam sebelum dibebaskan petang tadi,” katanya.

Kumpulan mahasiswa demo di Upsi mahu PM minta maaf - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Dr Asri: Dua formula selesai isu demo Upsi


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : January 2, 2012
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengadakan satu suruhanjaya bagi menyiasat kontroversi terbaru membabitkan perhimpunan menuntut kebebasan akademik di pekarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) semalam yang bertukar ganas, kata Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Selain itu, pemerhati politik dari Universiti Sains Malaysia ini juga menyarankan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, yang sebelum ini menjadi fokus isu-isu generasi muda dan penuntut universiti, agar mengadakan satu pertemuan antara polis dan mahasisawa yang terbabit dalam perhimpunan bagi mencari jalan penyelesaian.

Asri berkata, beliau telah memberi pendapat itu kepada Saifuddin semalam, beberapa jam selepas insiden di pintu masuk utama Upsi pada awal pagi tahun baru 2012.

"Saya juga telah beri pendapat tadi (semalam) kepada Datuk Saifuddin agar berjumpa dengan ketua operasi polis dan pihak pelajar secara tertutup.

"Siasat. Bawa peguam yang baik untuk bersoal jawab. Mungkin hakikat sebenar dapat ditemui," kata bekas Mufti Perlis ini dalam satu kenyataannya awal pagi ini.

Laporan media menyebut beberapa pelajar pusat pengajian tinggi tercedera manakala 17 orang ditahan polis. Bagaimanapun kesemua mereka yang ditahan telah dibebaskan petang semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan menafikan dakwaan anggotanya menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan anjuran kumpulan penuntut Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Shukri berkata dakwaan yang tersebar di beberapa blog mengenai kecederaan dua anggota SMM akibat dipukul Pasukan Simpanan Persekutuan adalah tidak benar dan merupakan fitnah.

Bagaimanapun tindakan polis dikritik beberapa pihak.

Peguam-peguam yang mewakili mahasiswa terbabit bercadang mengadakan tindakan undang-undang.

Asri yang kini merupakan Felo Pusat Pengajian Islam Oxford berkata, bukan semestinya pihak berkuasa bersetuju dengan tuntutan kumpulan mahasiswa yang mengadakan perhimpunan, tetapi mereka tidak wajar diperlakukan sedemikian.

"Jika mahu tahan, tahan dengan prosedur yang betul, bukan pukul. Menindas mereka hanya membangkitkan sentimen kebencian kepada pihak kerajaan yang nanti tidak dapat diubati lagi.

"Kena ingat apa yang berlaku di Tunisia.

Suruhanjaya siasatan perlu dibuat. Saya di UK, diberikan pelbagai maklumat dari pelbagai pihak. Ada yang sokong, ada yang marah," katanya yang turut mengulas isu ini menerusi Twitter semalam.

Tambah beliau, "saya juga menjemput sekali lagi anggota polis di mana sahaja, membaca surat terbuka saya kepada polis yang saya tulis beberapa bulan lepas."

"Mungkin ada yang boleh diambil manfaat. Saya sedar polis juga ada tanggungjawab mereka, tapi kena cermat dan teliti," katanya lagi.

Surat itu disiarkan oleh beberapa portal pertengahan tahun lalu ketika isu perhimpunan Bersih 2.0 hangat diperkatakan.

Sambil berkata beliau terkejut melihat beberapa mahasiswa yang menyertai demonstrasi tercedera, Asri berkata, jika terbukti pihak polis yang memukul mereka, ia sesuatu yang malang bagi negara.

"Apa pun kena siasat siapa yang salah," kata beliau sambil menambah, "saya berpendapat golongan terpelajar mesti diberi ruang bersuara dengan syarat aman daripada (kejadian) rusuhan."

"Jika mereka diganggu atau dicederakan, ia petanda kezaliman sesuatu pemerintahan," katanya lagi.

Dr Asri: Dua formula selesai isu demo Upsi - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Peguam bantah cara polis tangani demo pelajar


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : January 1, 2012
Peguam bantah cara polis tangani demo pelajar

SHAH ALAM - Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) kesal dengan tindakan polis terhadap penuntut yang berdemonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Tanjung Malim, Perak, awal pagi semalam.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kejadian itu dapat dielakkan jika pihak berkuasa menangani dengan berhemah dan tidak menggunakan kekerasan sehingga mengakibatkan kecederaan kepada penuntut terbabit.

“PPMM berharap polis menghormati hak berkumpul yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, namun jika mereka (penuntut) tidak mengikut lunas undang-undang, pihak berkuasa perlu mengikut Standard Prosedur Operasi (SOP) yang ada, bukan melalui kekerasan.

“Malah, dengan bukti yang ada, jika berlaku pelanggaran dalam undang-undang, polis boleh mendakwa mereka di mahkamah dan diberi hak bela diri,” katanya.

Beliau berkata, penuntut yang mengalami kecederaan perlu diberi rawatan dengan segera di samping membebaskan beberapa tahanan berkenaan.


Untuk memastikan keadilan kedua-dua belah pihak, katanya, PPMM menggesa polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat insiden ini dan sekiranya berlaku kekerasan sehingga melampaui undang-undang, anggota polis terbabit perlu dihadapkan ke mahkamah.

“Kami khuatir sekiranya insiden yang berlaku di luar negara menjadi pemangkin kepada polis di negara ini berbuat perkara yang sama yang boleh mencemarkan imej negara di mata dunia.


“Jika ini diamalkan, ia menunjukkan pihak berkuasa menyanggah sistem demokrasi yang diamalkan. Justeru, segala tindakan perlu berasaskan kepada peruntukan mengikut norma dan tata susila budaya negara kita,” katanya.

Peguam bantah cara polis tangani demo pelajar - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'