Thursday, April 7, 2011

Guru wanita patah hidung ditumbuk pelajar


KANGAR: Seorang guru wanita sebuah sekolah menengah di Bukit Ketri dekat sini patah hidungnya apabila ditumbuk oleh seorang pelajar lelaki sekolah itu hari ini.


Jurucakap Jabatan Pelajaran Perlis berkata, seorang pelajar tingkatan dua dikatakan menumbuk muka guru berkenaan, Mariati Mat Ail, 37, semasa beliau cuba meleraikan pergaduhan sekumpulan pelajar di hadapan sebuah kelas.
"Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari semasa waktu pertukaran kelas, guru berkenaan sedang melalui koridor sekolah apabila beliau ternampak pergaduhan itu dan cuba meleraikannya," katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) hari ini.
Mariati dibawa ke HTF untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Menurut jurucakap itu, Mariati dipercayai cuba mengajak pelajar berkenaan ke bilik disiplin untuk dikenakan tindakan disiplin kerana bergaduh namun secara tiba-tiba pelajar tersebut menumbuk muka beliau menyebabkan hidungnya patah dan berdarah.

Beliau mendakwa, pelajar itu pernah digantung sekolah kerana masalah disiplin tetapi dibenarkan meneruskan semula persekolahannya di sekolah sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Che Man Md Dros, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata polis menerima dua laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, laporan pertama oleh guru wanita itu dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah.

Satu laporan lagi dibuat oleh seorang pelajar tingkatan satu yang mendakwa beliau ditendang oleh pelajar yang sama dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan. - BERNAMA
Berita Harian Online | Guru wanita patah hidung ditumbuk pelajar

Arwah sering murung


ZIARAH...sebahagian pegawai kastam yang  menziarah jenazah mangsa.
ZIARAH...sebahagian pegawai kastam yang menziarah jenazah mangsa.


KUALA LUMPUR: “Arwah berulang kali menyuarakan rasa bimbang dengan siasatan yang dijalankan ke atasnya. Dia tidak menceritakan secara terperinci mengenai siasatan itu, tapi memberitahu sering murung hingga sukar tidur malam.”
Demikian kata Ridzuan Mamat, 46, rakan karib Penolong Pengarah Kastam Cawangan Import Eksport Pelabuhan Utara Jabatan Kastam Diraja Selangor (KDRM), Ahmad Sarbini Mohammed, 56, yang ditemui mati di tingkat satu, Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Cochrane di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa ditemui tertiarap dengan kesan kecederaan parah di kepala oleh seorang pegawai SPRM sebelum memaklumkannya kepada pihak atasan.


  • FotoPILU...isteri mangsa ditenangkan ahli keluarga di luar bilik mayat HUKM.
  • FotoBUKTI...motosikal Modenass Kriss milik mangsa.
Ridzuan yang ditemui ketika menziarahi jenazah Ahmad Sarbini di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini, berkata, perkara itu diceritakan arwah rakannya itu dalam perbualan telefon di antara mereka, beberapa hari lalu.

“Saya hanya menasihatinya agar tidak takut jika berada di pihak yang benar,” katanya.


Ahmad Sarbini sering berkongsi cerita atau masalah dengan Ridzuan yang dikenalinya sejak 20 tahun lalu disebabkan hubungan baik yang terjalin di antara mereka sejak tinggal bersama di Kampung Talang, Lambor Kanan, Parit, Perak.

Ahmad Sharbini meninggalkan seorang balu berusia 40-an dan lima anak berusia antara lapan hingga 20-an termasuk anak perempuannya yang dikatakan baru bertunang awal bulan lalu.

Seorang rakan setugas Ahmad Sarbini yang enggan dikenali pula berkata, kira-kira jam 5 petang kelmarin, dia bermain tenis bersama Allahyarham di pejabatnya di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

“Ketika itu, arwah seolah-olah melepaskan tekanan dihadapinya. Apabila saya tanya mengenai perkembangan siasatan kes rasuah membabitkannya, dia diam dan terus meninggalkan gelanggang,” katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro di PPUKM mendapati satu majlis tahlil dilakukan pegawai dan anggota kastam di perkarangan bilik mayat hospital berkenaan. Isteri dan ahli keluarga mangsa enggan memberi sebarang komen.


Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, Ahmad Sarbini datang ke bangunan itu untuk berjumpa seorang pegawai penyiasat kesnya dengan menunggang motosikal pada jam 8.26 pagi semalam. Menurutnya, Allahyarham antara 62 pegawai dan anggota KDRM yang ditahan SPRM dalam serbuan besar-besaran pada 1 April lalu atas kesalahan rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain.


“Ahmad Sarbini ditahan SPRM kira-kira jam 1 tengah hari 1 April lalu di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan membabitkan operasi 3B iaitu siasatan berkaitan kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 kerana dipercayai terbabit dalam rasuah.


“Selepas rakaman keterangan dilakukan pegawai penyiasat, keesokan harinya kira-kira jam 12.30 tengah hari Ahmad Sarbini dibebaskan dengan jaminan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.


Menurutnya, pagi semalam, Ahmad Sarbini datang semula ke bangunan SPRM menunggang motosikal Modenas Kriss untuk berjumpa pegawai penyiasat yang mengendalikan kesnya.


“Ketika itu, pegawai penyiasat terbabit sedang bermesyuarat. Jadi, Ahmad Sarbini diarahkan menunggu di lobi sehingga jam 9.30 pagi.


“Sebaik mesyuarat tamat kira-kira jam 10.15 pagi seorang pegawai membawanya ke sebuah bilik dan dia ditinggalkan di situ sementara pegawai pengiring mencari pegawai penyiasat terbabit,” katanya.


Difahamkan, bilik berkenaan terletak di tingkat tiga bangunan SPRM itu.


Mustafar berkata, bagaimanapun, sekembalinya pegawai pengiring itu ke bilik berkenaan beberapa minit kemudian, dia mendapati Ahmad Sarbini tiada.


Katanya, pegawai itu mencari Ahmad Sarbini di sekitar bangunan sebelum menemuinya tertiarap di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan berkenaan, lalu memaklumkan kejadian itu kepada pihak atasan.


Menurutnya, pihak SPRM segera menghubungi hospital memaklumkan kejadian itu sebelum melaporkannya kepada polis.


“Kami menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada pihak polis untuk melakukan siasatan,” katanya.myMetro | Arwah sering murung

Anak koma: Mekanik rayu bantuan

KOTA BAHARU – Seorang mekanik di sini hari ini merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos penjagaan dan rawatan anaknya yang kini koma setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 12 Februari lepas.

Koh Choon Han, 61, berkata pendapatannya sekitar RM1,000 sebulan tidak mencukupi bagi membeli lampin pakai buang, ubat dan susu khas untuk anak lelakinya itu yang memerlukan kos penjagaan RM1,500 setiap bulan.

Koh Lin Wen, 19, kini terlantar di katil khas selepas terbabit dalam satu kemalangan pada 12 Februari lalu di Kubang Kerian di sini.

"Anak saya ini koma selama beberapa minggu dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. Semua perbelanjaan terpaksa diurus keluarga, saya berharap orang ramai dapat membantu saya,” kata Koh di rumahnya di Jalan Pasir Puteh di sini hari ini.

Isteri beliau, Koe Kam Huwai, 57, berkata sejak kemalangan, anaknya itu juga sukar untuk bertutur dan kadang kala seperti hilang ingatan dan berkelakuan seperti kanak-kanak kecil.

Ketua MCA Bahagian Kota Baharu, Tan Ken Ten, yang melawat keluarga itu hari ini berkata MCA telah menderma sebanyak RM4,000 hasil sumbangan orang ramai dan akan cuba memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk Choon Han.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Koh Choon Han di nombor 0199597743 atau di alamat Lot 1146 D, Batu 1/4, Jalan Pasir Puteh, 16150 Kubang Kerian, Kota Baharu. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini

Haram dedah aib orang lain: Mufti

SH

KOTA BHARU - Mendedahkan keaiban orang lain sehingga sanggup menyebarkan video seks untuk tontonan umum adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, mendedahkan keburukan orang lain dengan berniat buruk adalah haram di sisi Islam.

Menurutnya, dalam etika dan tatacara Islam sebenarnya ada memberitahu supaya umatnya tidak boleh mendedahkan kelemahan serta keburukan individu tertentu apatah lagi menjatuhkan maruahnya.

“Dalam Islam apa yang haram tetap haram, dedah keaiban orang lain adalah haram. Ini yang ditetapkan dalam Islam.

“Sama juga sebagai suami isteri, haram isteri menceritakan keburukan suami kepada orang lain. Kalau mahu didedahkan pun di dalam kamar hakim untuk memberitahu perkara sebenar antara mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam ketika diminta mengulas berhubung pendedahan video seks oleh kumpulan bergelar ‘Datuk T’.

Dikebumi lepas 61 tahun



TERIMA...anggota polis membawa tulang Mohammed untuk diserahkan kepada keluarganya.
TERIMA...anggota polis membawa tulang Mohammed untuk diserahkan kepada keluarganya.



MOHAMMED...maut nahas pesawat Douglas DC-3
MOHAMMED...maut nahas pesawat Douglas DC-3


KUALA LUMPUR: Cebisan rangka milik Konstabel 9364 Mohammed Abdul Lalil @ Jalil yang terkorban selepas pesawat Douglas DC-3 dinaikinya terhempas pada 1950 dan sudah dikenal pasti melalui ujian Asid Deoksirinueklik (DNA) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid Bukit Treh, Muar Johor, tengah hari, semalam.
Mohammed adalah antara 12 mangsa yang menyertai operasi pengguguran smoke marker pada 25 Ogos 1950 bagi menentang komunis dalam hutan tebal Gua Musang, Kelantan.

Pengarah Muzium Tentera Darat Malaysia (TDM), Leftenan Kolonel Norhayati Mansor berkata, selepas hampir 60 tahun disemadikan berhampiran pesawat, Tentera Darat (TD) melalui Unit Muzium menjalankan Ekspedisi Garis Waktu untuk mengeluarkan semua mayat mangsa.

Menurutnya, ekspedisi itu dibuat selepas menerima permohonan tuntutan daripada waris keluarga mangsa di Pejabat Pertahanan Malaysia, London pada awal 2008 yang ingin mengetahui jasad dan lokasi sebenar ahli keluarga mereka disemadikan.

“Operasi itu bermula pada 2 hingga 12 November 2008 mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), wakil kerajaan Britain dan pakar forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian serta penyelidik daripada Kumpulan Sejarah Malaysia (MHG).


“Hasilnya, semua rangka termasuk cebisan tengkorak dan tulang dibawa keluar di dalam 12 bungkusan plastik kecil sebelum diserahkan ke Unit Forensik HUSM.

“Namun, selepas 15 bulan ujian DNA dilakukan, hanya tiga mangsa saja dikenal pasti iaitu dua daripadanya ialah warga British, iaitu Koperal F Bryant dan Dvr P Taylor,” katanya pada Majlis Penyerahan Cebisan Tulang Mohammed di Auditorium, Hospital Tuanku Mizan, dekat sini, semalam.

Pada majlis itu, satu majlis tandatangan penyerahan cebisan tulang Mohammed dilaksanakan antara Muzium TD dengan Muzium PDRM sebelum cebisan itu dihantar ke Bukit Aman untuk dikafankan dan disembahyangkan serta diserahkan kepada keluarga mangsa.
myMetro | Dikebumi lepas 61 tahun

JKM Hulu Langat cari waris bayi, kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Langat mencari waris dua bayi lelaki dan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun.
Muhamad Firdaus, 7, ditinggalkan ibu kandungnya kepada keluarga angkat dua tahun lalu dan kini ditempatkan di Rumah Kebajikan Tengku Budriah, Ampang . Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat, Noor Adelin Nordin berkata, sehingga kini ibu kandung Firdaus masih gagal dikesan selepas keluarga angkatnya cuba mencari di sekitar ibu kota.

Seorang bayi lelaki Muhammad Rizaq Hamka, 3 bulan, dilahirkan pada 11 Januari lalu ditinggalkan di pusat asuhan kanak-kanak Taman Putra Sulaiman, Ampang oleh ibu kandungnya.

“Pusat asuhan itu mengatakan bahawa ibunya sendiri yang datang meninggalkan Rizaq di situ dengan alasan akan mengambilnya semula tetapi sehingga kini tidak muncul,” katanya.

Seorang lagi bayi lelaki, Mohd Sharip Abdullah yang dilahirkan pada 29 Julai tahun lalu di Hospital Taiping diserahkan kepada JKM oleh neneknya, Madina Hamid, 64, selepas tidak mampu lagi memelihara bayi itu kerana menghidap sakit jantung.


Noor Adelin berkata, difahamkan, ibu kandung Sharip adalah warga Myanmar.

Waris bayi dan kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi Noor Adelin di talian 03-87378007.myMetro | JKM Hulu Langat cari waris bayi, kanak-kanak

Pak Ngah kesal jasa tak dikenang

KUALA LUMPUR: “Mata saya hampir buta dimasuki pasir akibat pekerjaan ini, tetapi jasa saya langsung tidak dihargai,” dakwa seorang penggali kubur Masjid At-Taqwa Selayang Baru, Othman Naim, 83, yang ditamatkan perkhidmatannya oleh Jawatankuasa Kariah Masjid itu sejak 1 Februari lalu.
Dia yang lebih dikenali sebagai Pak Ngah berkata, penamatan perkhidmatan oleh jawatankuasa masjid dibuat tanpa sebarang penjelasan dan dianggapnya sebagai tidak sah.

“Saya tak faham sebab apa perkhidmatan ditamatkan sedangkan gaji saya bukannya dibayar oleh jawatankuasa kariah, tetapi dibayar oleh mereka yang memerlukan perkhidmatan.

“Apa mereka sudah lupa jasa saya selama 14 tahun sebagai penggali kubur di kawasan itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Katanya, dalam notis yang diberikan kepadanya, jawatankuasa kariah bersetuju memberi bayaran sagu hati berjumlah RM900.


Sagu hati berkenaan akan dibayar secara bulanan dan bayaran akan dibuat secara berperingkat, RM300 selama tiga bulan.

“Jasa saya hanya setakat itu saja? Bukan saya nak minta bayaran lebih pun tapi saya rasa masih mampu untuk buat kerja itu dan tidak sepatutnya saya diberhentikan,” katanya.

Menurutnya, kemungkinan untuknya terpaksa keluar dari rumahnya yang dibina bersebelahan tanah perkuburan itu juga akan berlaku. Ia disebabkan dalam notis yang diterimanya turut memberitahu bahawa pihak masjid akan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak bagi membincangkan status rumah terbabit. “Rumah saya itu dibina atas sumbangan orang ramai dan ketika pembinaannya, Ahli Jawatankuasa Kampung Selayang memberitahu secara lisan kepada pejabat tanah dan jabatan agama Islam.

“Pembinaan rumah saya atas dasar keselamatan tanah perkuburan disebabkan bimbang berlaku perkara tidak elok di kawasan itu dan memudahkan tugas saya,” katanya.

Sementara itu, Nazir Masjid At Taqwa, Mizan Mamat, berkata, keputusan untuk menamatkan perkhidmatan Othman dibuat dalam Mesyuarat Pegawai dan Jawatankuasa Masjid kali ke-14 pada 5 November tahun lalu.


“Jawatankuasa sebulat suara bersetuju supaya perkhidmatan dia ditamatkan dan keputusan itu bukanlah dibuat oleh individu tertentu,” katanya.


Katanya, status rumah terbabit juga masih dalam perbincangan dan belum ada sebarang keputusan yang dibuat.
myMetro | Pak Ngah kesal jasa tak dikenang

Pengorbanan tak dihargai


SEDIH...Othman menunjukkan notis pemberhentian perkhidmatan sebagai penggali kubur yang diterimanya.
SEDIH...Othman menunjukkan notis pemberhentian perkhidmatan sebagai penggali kubur yang diterimanya.


KUALA LUMPUR: Seorang bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Abd Rahman Atin, 63, yang tercedera dan mendapat kecacatan kekal di tangan dalam pertempuran bersama komunis di Gunung Bintang, Perak, terkilan pengorbanannya tidak dihargai.
Menurutnya, dia kecewa kerana perkhidmatan dan kecederaan yang dialaminya pada tahun 1972 ternyata sia-sia berikutan ganjaran yang diperuntukkan kerajaan bagi tentera yang tercedera semasa menjalankan tugas hanya diterima tentera yang berkhidmat pada tahun 1994 hingga sekarang.

Dia yang berkhidmat selama 22 tahun dalam pasukan itu mendakwa pengalaman dalam Ops Sedar di Perak membawa perubahan yang besar pada dirinya apabila letupan bom, mencederakan bahagian tangan, kaki dan mulut, hingga menghilangkan keyakinan dirinya dalam bersosial.

Anaknya Ayu@Siti Khatijah Abd Rahman, 33, yang turut hadir menemani ayahnya berkata sejak kejadian terbabit ayahnya jarang menghadiri majlis kenduri jiran dan malu untuk bersalaman walaupun dengan anaknya sendiri.

“Oleh sebab itu, kami mencuba pelbagai cara untuk memulihkan semula semangat ayah seperti membuat beberapa pembedahan tangan di mana segala perbelanjaan ditanggung sendiri oleh kami,” katanya.


Menurut Rahman, perniagaan yang dibuka bagi menampung pendapatan keluarganya juga terjejas akibat dari rasa jijik masyarakat terhadap kecederaan yang dialaminya.

“Tidak ada pelanggan mahu ke kedai saya apabila melihat kecacatan ini. Setiap hari hanya RM50 saja hasil jualan yang saya dapat. “Walaupun saya ada menerima pencen dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ia masih tidak mencukupi memandangkan masih mempunyai anak yang masih belajar di sebuah institusi pengajian tinggi,” katanya ketika ditemui di balai berita.myMetro | Pengorbanan tak dihargai

Pendaki lancar ekspedisi bersihkan Everest


PENDAKI gunung Jepun, Ken Noguchi menunjukkan sebahagian daripada 1,600 kilogram sampah sarap yang dibawa turun dari Gunung Everest dalam foto 2001.
PENDAKI gunung Jepun, Ken Noguchi menunjukkan sebahagian daripada 1,600 kilogram sampah sarap yang dibawa turun dari Gunung Everest dalam foto 2001.


KATMANDU: Sepasukan pendaki gunung diketuai veteran Sherpa terbang ke Gunung Everest semalam dalam satu ekspedisi untuk membersihkan bertan-tan sampah ditinggalkan di puncak tertinggi dunia itu.


Sejak Everest kali pertama ditakluk pada 1953, ribuan orang sudah mendakinya, meninggalkan botol oksigen kosong, tali, khemah dan sampah lain yang menjadikan perjalanan mereka lebih mudah.
Kerajaan Nepal sejak itu mengenakan peraturan supaya pendaki membawa turun segala yang mereka bawa ke atas pergunungan atau deposit mereka tidak dipulangkan, namun ia masih dicemari kotoran pendakian lalu.
Pasukan yang meninggalkan bandar ini semalam, diketuai Apa, Sherpa yang mendaki Everest sebanyak 20 kali yang merancang membawa turun 5,000 kilogram sampah ketika pendakian musim bunga.


“Saya lakukannya untuk negara saya, rakyat saya dan untuk Everest,” katanya.


Pasukan itu berharap untuk membersihkan 4,000 kilogram sampah dari bahagian pergunungan lebih rendah dan tambahan 1,000 kilogram dari kawasan berhampiran kemuncak setinggi 8,850 meter.


Sampah sarap itu akan dibawa turun oleh anggota ekspedisi serta pembawa beg dan pemandu ekspedisi lain yang akan diberi upah 100 rupee (RM4.24) bagi setiap kilogram yang dibawa turun.
Ang Tshering, penganjur Eco Everest Expedition, berkata ini adalah tahun keempat ekspedisi pembersihan dijalankan.


Apa kali pertama mendaki Everest pada 1989 dan mengulanginya hampir setiap tahun selepas itu. Beliau sejak itu berkempen mengenai keadaan semakin teruk di puncak Himalaya itu berikutan pemanasan global dan isu lain.


Katanya, kali pertama mendaki Everest, laluan ke kemuncak itu diliputi ais dan salji, kini ia dipenuhi dengan batuan terdedah. Ais yang mencair turut mendedahkan jurang glasier yang dalam, menjadikan ekspedisi semakin bahaya.


Apa membesar di kaki bukit Everest dan mula membawa peralatan dan bekalan untuk pendaki pada usia 12 tahun. – AP Berita Harian Online | Pendaki lancar ekspedisi bersihkan Everest

Poonam bersedia lari tanpa pakaian




Poonam Pandey
Poonam Pandey


Tunai janji jika India muncul juara kriket dunia 
KOLKATA: Model terkenal di India, Poonam Pandey, menekankan beliau akan menunaikan janjinya berlari dalam keadaan bogel jika negaranya menang pertandingan akhir kriket menentang Sri Lanka.
“Steve Forbes pernah kata, apa yang dijanjikan wajar ditunaikan, jadi saya akan lakukannya tidak lama lagi, tunggu dan lihat,” menurut mesej Poonam di laman web Twitter, kelmarin.

Lebih awal lagi, beliau menyatakan: ‘Terima kasih kerana sokongan anda. Saya akan laksanakan janji, tunggu.”

Model itu yang juga bercita-cita menjadi penyanyi, membuat janjinya sebelum perlawanan separuh akhir kriket Piala Dunia menentang Pakistan.

Tetapi, beliau kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa janji itu akan hanya dilaksanakan jika mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Pengurusnya, Vipin M mendedahkan ada pihak mengancam Poonam menyebabkannya tidak menjawab panggilan dan berhenti muncul di khalayak ramai.
Vipin merujuk kepada ugutan pergerakan militan Hindu, Shiv Sena.

“Beliau bersumpah akan berbogel di bilik persalinan pemain kriket jika India menang Piala Dunia tetapi dia tidak dapat dikesan pula sekarang.

“Poonam tidak jangka mendapat bantahan daripada golongan konservatif kerana rancangan beraninya itu,” kata The Times of India.

Sebaik perlawanan berakhir, ada beberapa peminat bertanya di Facebook termasuk ‘Di mana Poonam?’, ‘Saya tunggu kamu, Poonam”, ‘Di mana Poonam Pandey. Saya beli televisyen HD untuk kamu.’

Laporan terbaru mengatakan, model itu meminta pihak berkuasa kriket mencari tempat lain untuk beliau melakukannya seperti kota Paris, bagi mengelak kontroversi di India.

Seorang peminat, Charles, yang mengakui membeli televisyen HD untuk melihat aksi Poonam, berkata:

“Kami tahu dia tidak akan lakukannya dan itulah pengajarannya iaitu ada orang berjanji untuk dapat publisiti murahan,” – Agensi
Berita Harian Online | Poonam bersedia lari tanpa pakaian

Lelaki ditahan menyalak terhadap anjing polis

MASON: Seorang lelaki didakwa melakukan kesalahan menyalak ke arah anjing polis.

Laporan polis mengatakan, Ryan James Stephens, 25, didakwa mengganggu seekor anjing polis di pinggir Cincinnati di Mason.

Pegawai Bradley Walker berkata, dia mendengar anjing K9 menyalak di dalam kenderaan polis ketika menyiasat kemalangan kereta di sebuah pub awal pagi Ahad lalu.
Walker berkata, dia menemui Stephens yang kelihatan mabuk membuat bunyi menyalak ke arah haiwan itu. – Agensi
Berita Harian Online | Macam-macam: Lelaki ditahan menyalak terhadap anjing polis

Woods rugi RM405j kerana skandal seks


FOTO dua tahun lalu menunjukkan kemesraan Elin Nordegren kepada Tiger Woods sebelum skandal seks suaminya terbongkar.
FOTO dua tahun lalu menunjukkan kemesraan Elin Nordegren kepada Tiger Woods sebelum skandal seks suaminya terbongkar.


LOS ANGELES: Skandal seks yang meruntuhkan perkahwinan bintang golf terkemuka dunia, Tiger Woods dilaporkan menyebabkan jutawan sukan itu rugi £82 juta (RM405 juta).


Profesional golf yang berusia 35 tahun itu dilaporkan kerugian £22 juta (RM109 juta) selepas beliau digugurkan daripada beberapa tajaan besar berikutan pendedahan skandal seks beliau dengan ramai wanita termasuk bintang filem lucah.
Woods juga dilaporkan terpaksa membayar £60 juta (RM297 juta) kepada bekas isterinya, Elin Nordegren dalam bentuk penyelesaian tuntutan perceraian.
Bagaimanapun, ketika pendapatan Woods dilaporkan semakin berkurangan kira-kira £600,000 (RM2.9 juta) seminggu disebabkan kecurangan itu, jaguh golf berkenaan tetap muncul sebagai bintang sukan yang menerima pendapatan paling tinggi.


Beliau adalah satu-satunya ahli sukan yang tersenarai dalam kedudukan 10 teratas selebriti terkaya pilihan Forbes tahun ini.


Syarikat minuman Gatorade, perkhidmatan korporat perniagaan Accenture dan firma telekomunikasi AT&T adalah yang penaja terawal yang menamatkan tajaan dengan pemain golf terbabit yang suatu ketika dulu pernah disifatkan sebagai model contoh paling bersih.


Berikutan pengakuan beliau kepada umum bahawa beliau curang kepada isterinya, jenama penjagaan lelaki Gillete dan pengeluar jam mewah, Tag Heuer dilaporkan turut menjauhkan diri daripada bapa kepada dua anak itu.
Malah, gergasi kereta, General Motors juga dilaporkan menamatkan kontrak dengan Woods yang membenarkan beliau menggunakan kenderaan syarikat itu secara percuma.


Woods beberapa hari lalu dilaporkan mengakui bahawa tempoh 16 bulan lalu adalah disifatkan sebagai masalah kewangan yang sukar buat dirinya. Tetapi, beliau juga menegaskan bahawa hubungan dengan penaja lain tetap ‘kuat’.


Antaranya, pengeluar permainan video Electronic Arts yang menghasilkan permainan Tiger Woods selama 13 tahun.


Mereka tetap bersama Woods kerana percayakan bahawa pelanggan muda tidak kisah mengenai kisah kecurangan bintang yang menjuarai 14 kejohanan golf utama itu. – Agensi Berita Harian Online | Woods rugi RM405j kerana skandal seks

Telur ayam pun ada tiruan




SEORANG pegawai CAP, N.V. Subbarow menunjukkan telur tiruan (kiri) yang lebih besar berbanding telur sebenar di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Sekali pandang, ia tidak ubah seperti telur ayam gred A namun, ia sebenarnya telur tiruan yang dibuat sepenuhnya daripada ramuan bahan-bahan kimia berbahaya.
Itu pendedahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mendakwa telur berkenaan rupa bentuknya tidak ubah seperti telur ayam sebenar dan tidak menolak kemungkinan ia terdapat di pasaran negara ini.
Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kulit telur tiruan itu diperbuat daripada lilin parafin dan kalsium karbonat.
“Kuning telur dan putih telur tiruan itu pula dihasilkan menggunakan natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna lemon,” katanya di sini semalam.
Menurut S.M. Mohamed, pada amnya bahan-bahan itu merupakan makanan tambahan tetapi dalam menghasilkan telur tiruan, ia menjadi komponen utama dalam bahan-bahan pemprosesannya.
Justeru, pemakanannya dipercayai mampu mengganggu kadar metabolisme dalam badan, hati dan otak jika dimakan pada kadar yang kerap.
Kosmo! Online - Negara

Sarbani mengadu tertekan – Rakan




ISTERI Ahmad Sarbani (tengah) tidak dapat menahan kesedihan di Rumah Mayat PPUKM, Cheras semalam.


KUALA LUMPUR – Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang berkhidmat di Unit Import dan Eksport, Pejabat Kastam Pelabuhan Klang didakwa pernah mengaku kepada seorang rakannya bahawa dia tertekan dengan masalah rasuah dan jenayah yang turut dikaitkan dengan dirinya.
Rakan arwah yang hanya mahu dikenali sebagai Ridzuan berkata, dia yang mendengar keluhan arwah menasihati Allahyarham supaya tidak takut jika dia tidak bersalah.
Semasa itu, arwah belum dipanggil untuk memberi keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bercerita lanjut, Ridzuan yang tidak bekerja dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia berkata, arwah meluahkan demikian ketika dia bertemu dengan Ahmad Sarbani dua minggu lalu di rumah mangsa di Kelana Jaya, Selangor.
“Saya tidak sangka dia akan meninggal dalam keadaan tragis seperti ini,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras dekat sini semalam.
Ahmad Sarbani merupakan salah seorang daripada 62 kakitangan Kastam yang ditahan SPRM dalam Operasi 3b berhubung salah laku di bawah Akta SPRM 2009.
Kosmo! Online - Negara