Friday, May 7, 2010

Berita Sultan ke HKL hanya khabar angin




SULTAN Kelantan dikatakan akan dipindahkan ke HKL, namun sehingga malam tadi baginda masih berada di Wad Diraja HUSM.


KOTA BHARU - Berita yang mengatakan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra akan dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejak pagi semalam menjadikan banyak pihak kelam-kabut.
Bagaimanapun, menjelang petang, baru ramai menyedari ia cuma khabar angin selepas Tuanku Ismail Petra didapati masih berada di Wad Diraja HUSM.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, setakat ini masih belum ada rancangan untuk memindahkan baginda ke hospital lain.

Tengku Merjan dihalau




TENGKU Merjan (gambar kecil) berada diluar pintu hospital selepas tidak dibenarkan menziarahi Sultan Kelantan di HUSM, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelmarin.)


KOTA BHARU - Kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Almarhum Sultan Yahya Petra (gambar) mendakwa beliau dihalang oleh pihak polis ketika melawat adindanya, Tuanku Ismail Petra di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sebelum dihalau keluar dari wad pada Selasa lalu.
Tengku Merjan mendakwa beliau dan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dikawal ketat oleh beberapa anggota polis yang bertugas di pintu Wad Diraja hospital itu.
Malah, katanya, berlaku insiden tolak- menolak apabila beliau dan Tengku Anis bertegas untuk melawat Sultan Kelantan.
"Saya dan Tengku Anis berjaya memasuki wad tersebut tetapi saya hanya sempat berada di situ beberapa minit,'' katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ibu 9 anak di bangsal lembu





Dalam kepayahan yang terpaksa dilalui bersendirian, Rosnani Mamat amat mengharapkan suaminya pulang lebih-lebih lagi anaknya, Mohd. Shabini disahkan oleh doktor menghidap penyakit buah pinggang.


PASIR PUTEH 6 Mei - Apa yang dipanggil rumah buat seorang ibu bersama sembilan orang anaknya berteduh di Kampung Kolam Tembesu di sini hanyalah sebuah bangsal, bekas kandang lembu.
Sudah lima bulan keluarga itu menetap di situ dan mereka tidak mempunyai pilihan lain biarpun terpaksa tinggal bersesak, tanpa kemudahan bekalan air bersih, malam yang diterangi pelita ayam dan basah bila hujan.
Seperti ibu-ibu yang lain, Rosnani Mamat, 38, mengimpikan anak-anaknya tinggal dalam keadaan sempurna tetapi nasib keluarganya tidak sebaik orang lain kerana himpitan kemiskinan dan diburukkan dengan konflik keluarga.
"Sebelum ini kami menumpang di rumah orang tua tidak jauh dari sini dan kemudiannya terpaksa berpindah, menjadikan keadaan lebih buruk," ujarnya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Bangsal seluas tiga meter persegi di tanah datuknya dibaiki dan diubahsuai menggunakan plastik tebal dan papan lama sebagai dinding.
Enam anaknya masih di bangku sekolah manakala tiga lagi masih kecil termasuk yang bongsu berusia setahun dan Rosnani bersendirian menguruskan anak-anak kerana suaminya bekerja sebagai buruh kasar di Pulau Pinang.
Selain kiriman bulanan suaminya sekadar RM100, dia bersyukur kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghulurkan RM450 sebulan bagi membolehkan dapur rumahnya berasap dan anak-anak ke sekolah.
''Hati saya menangis melihat anak- anak tidur bergelimpangan dalam ruang sempit ini apatah lagi bila melihat mereka resah ketika ruang tidur basah kerana bocor.
Tiga anak saya belajar di sekolah rendah dan tiga lagi belajar di sekolah menengah.
"Anak saya, Norshihah Maidin, 17, dan Nor Shamira, 15, akan ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini. Mereka perlu lebih banyak belanja," ujarnya.
Selain itu, katanya, Nor Ain Eliya, 13, Mohd. Amirul, 10, dan anak kembarnya, Mohd. Shabani dan Mohd. Rabbani, 8, turut memerlukan wang saku untuk belanja sekolah.
"Lazimnya mereka ini, tidak membawa wang ke sekolah dan mengharapkan bantuan makanan yang disediakan menerusi Rancangan Makanan Tambahan," katanya.
Katanya, keadaan rumah membataskan tumpuan anak-anaknya untuk mengulang kaji pelajaran pada waktu malam kerana hanya menggunakan pelita minyak tanah.
Menurut Rosnani, dia berusaha mengangkut air bersih berulang kali bersama anak-anak sejauh 400 meter untuk keperluan mereka.
Dia memberitahu, pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan Tualang Tinggi bersama Guru Besarnya, Halimah Mahfud terus menziarahi keluarganya dan menyampaikan sumbangan hasil derma guru-guru selepas mendapati ketiga-tiga anaknya tidak pernah membawa wang ke sekolah.
Dalam kepayahan yang terpaksa dilalui bersendirian, Rosnani amat mengharap suaminya pulang, lebih-lebih lagi apabila anaknya Mohd. Shabini disahkan oleh doktor menghidap penyakit buah pinggang dan terpaksa sering menjalani pemeriksaan.

Perjelas kerugian Pos Malaysia – Reezal





KUALA LUMPUR 6 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO menggesa pihak yang dikaitkan dengan kerugian Pos Malaysia Berhad membuat penjelasan segera kerana bimbang kepercayaan rakyat terhadap syarikat milik kerajaan (GLC) menjadi pudar jika kemelut itu dibiar berterusan.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya turut bimbang tindakan pihak tersebut yang berterusan mendiamkan diri akan memberi implikasi politik jangka panjang yang negatif kepada kerajaan.
“Saya khuatir sekiranya tidak diberi penjelasan menyeluruh rasa percaya rakyat terhadap kewibawaan GLC akan hilang,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan kerugian RM546 juta yang terpaksa ditanggung oleh Pos Malaysia sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein menafikan jumlah tersebut sebaliknya menjelaskan kerugian yang dialami Pos Malaysia hanya berjumlah RM227 disebabkan pelaburan dalam Transmile.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, kerugian yang dialami Pos Malaysia adalah sesuatu yang merisaukan kerana, walaupun dengan pelbagai bantuan serta dokongan diberi kerajaan, masih terdapat syarikat gagal ditadbir urus dengan baik sehingga mencatat kerugian berjumlah ratusan juta.
Tambahnya, segala bantuan dan dokongan itu bagaikan tidak memberi sebarang kesan kepada sistem pengurusan sesebuah syarikat terutamanya GLC.
“Sepatutnya dengan program transformasi GLC yang dijalankan sejak 2004 lagi, masalah kerugian tidak timbul lagi.
“Tetapi kini rakyat mulai bertanya sejauh mana program transformasi ini mampu menjadi pemangkin kepada usaha pembangunan negara,’’ jelasnya.

Adu domba utusan dan UMNO


Lucutkan gelaran Datuk

KUALA LUMPUR 6 Mei - UMNO Bahagian Cheras mencadangkan gelaran Datuk kepada Zaid Ibrahim dilucutkan kerana beliau begitu biadab terhadap Sultan Selangor dengan menghina dan mencerca titah baginda secara terbuka.
Ketuanya, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan Zaid itu begitu keterlaluan dan seolah-olah menggambarkan Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai seorang sultan yang tidak berpelajaran.
Tambah Syed Ali, ia juga secara tidak langsung memberi keaiban kepada kedudukan institusi raja-raja Melayu.
''Saya berharap anugerah Datuk yang telah diberikan kepada Zaid ditarik balik kerana dia sudah menderhaka kepada sultan.
''Zaid seolah-olah ingin memberitahu seluruh dunia bahawa raja-raja Melayu hari ini adalah warisan sistem feudal yang tidak cerdik serta tidak berpelajaran,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zaid melalui entri terbaru dalam blognya, myzaidibrahim.wordpress.com dipetik sebagai berkata, titah Sultan Selangor itu bukan satu arahan, perintah atau 'decree' kerana dalam sistem raja berperlembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman raja-raja Melaka dahulu.
Beliau merujuk kepada isu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melanggar arahan Sultan Selangor yang tidak membenarkan masjid dan surau digunakan sebagai tempat berkempen.
Menurut Syed Ali, kenyataan terbuka Zaid memberi gambaran bahawa fungsi sultan atau raja-raja Melayu sebagai ketua agama di setiap negeri sudah tidak boleh diguna pakai lagi ketika ini.
''Fasa 3 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri telah menyatakan bahawa kedudukan raja sebagai ketua agama Islam terhadap negeri dan segala jajahan takluknya.
''Justeru, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati sebagai ketua agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri tidak boleh disentuh,'' katanya.
Jelas Syed Ali, Sultan Selangor sememangnya bertanggungjawab untuk memelihara masjid dan surau di negerinya daripada disalahgunakan oleh pihak tertentu yang dilihat cenderung menjadikan tempat itu sebagai gelanggang politik.
Tambah beliau, Zaid sebenarnya tidak dapat menerima hakikat kekalahannya di Hulu Selangor dan cuba membabitkan pihak istana bagi menghalalkan segala perlakuan politiknya.
''Inilah sifat seorang penderhaka dan sewajarnya gelaran Datuk yang dianugerahkan oleh raja atau sultan kepada beliau ditarik balik,'' katanya.

‘Tak wajar pegang banyak jawatan’





KUALA LUMPUR 6 Mei – Kementerian Kewangan diminta mengkaji kaedah pelantikan jawatan tertinggi dalam syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi bagi memastikan tiada individu memegang beberapa jawatan penting serentak.
Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, langkah itu amat penting bagi memastikan individu yang diberi amanah menerajui GLC dapat melunaskan tanggungjawab mereka secara fokus.
Sebagai contoh dakwanya, seorang tokoh korporat, Datuk Mohd. Bakke Salleh didapati memegang dua jawatan penting sekali gus iaitu sebagai Pengerusi Bank Islam dan CEO sebuah anak syarikat Felda.
Beliau turut mempersoalkan adakah individu berkenaan mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat beberapa tugasan serentak sedangkan syarikat yang diterajui mereka membabitkan kepentingan awam.
“Soalnya kalau individu berkenaan menjadi CEO dalam anak syarikat Felda tetapi pada masa sama menjadi Pengerusi Bank Islam, macam mana dia nak buat kerja? Takkanlah tiada orang lain di negara ini yang boleh pegang jawatan itu.
“Kenapa satu orang boleh memegang dua atau tiga jawatan dalam GLC, kita tidak mahu ada pihak tertentu menggunakan peluang ini untuk kepentingan mereka.
“Kita nak biarlah individu yang dilantik melaksanakan tugas secara fokus, barulah GLC boleh beroperasi dengan baik,” katanya yang ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Sementara itu, Musa turut menyarankan Kementerian Kewangan supaya mengkaji latar belakang para CEO GLC sama ada pelantikan mereka dibuat atas kepakaran yang dimiliki atau kerana rapat dengan pemimpin tertentu.
Beliau berkata, dengan cara itu kerajaan dapat memastikan peneraju GLC benar-benar berkelayakan dan sekali gus dapat mengurangkan risiko menanggung kerugian.
“Kita bukan cemburu atau sakit hati dengan pelantikan mereka namun adakah latar belakang dan pengalaman mereka sudah mencukupi.
“Kalau memegang jawatan atas dasar merit, kita amat bersetuju namun kalau duduk di atas ‘merit sahabat’ kita tidak dapat terima,” tegasnya.
Beliau juga berharap semua pihak mengambil iktibar dengan kerugian yang ditanggung Pos Malaysia Bhd. bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang di GLC lain.
“Jadi kita minta kepada kerajaan khasnya Kementerian Kewangan supaya siasat perkara ini, kita tidak mahu CEO yang dilantik tiada pengalaman dan akhirnya menyebabkan kerugian.
“Sebagai contoh Pos Malaysia, ada yang kata rugi RM500 juta dan ada yang kata RM200 juta.
“Pada saya walaupun RM1 juta sahaja kerugiannya, ia tetap satu kerugian besar kepada wang rakyat,” katanya.

Keberangkatan ke Hospital Kuala Lumpur ditangguh



KOTA BHARU 6 Mei – Keberangkatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini ditangguhkan dan baginda kekal dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad ketika dihubungi di sini berkata, beliau belum menerima sebarang arahan daripada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra untuk berbuat demikian.
Beliau berkata, buat masa sekarang, Istana Kelantan tidak ada sebarang perancangan untuk memindahkan baginda ke mana-mana hospital.
“Tuanku Sultan masih ditempatkan di Wad Diraja di HUSM Kubang Kerian dan masih belum ada rancangan dipindahkan ke hospital lain.
“Sehingga kini, saya masih belum menerima sebarang arahan, ini bermakna sultan akan terus berada di sini sehingga Pemangku Raja mengeluarkan titah,” katanya.
HKL merupakan hospital yang disyorkan pakar perubatan tempatan dengan pelbagai kemudahan yang terdapat di situ.
Sementara itu, wartawan mula berkumpul di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sejak pukul 12 tengah hari ini selepas mendapat maklumat baginda akan dipindahkan ke HKL menerusi satu penerbangan khas pada pukul 2.30 petang.
Malah terdapat beberapa petugas istana dilihat sedang membuat persiapan bagi menyambut kedatangan baginda yang akan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Akhbar hari ini melaporkan segala pergerakan Sultan Kelantan perlu mendapat perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan baginda terkawal dan terjamin.
Arahan itu dikeluarkan sejajar dengan sikap Tengku Muhammad Faris yang amat menyayangi dan begitu prihatin terhadap keadaan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra yang masih dalam keadaan gering.
Sultan Kelantan dibawa ke HUSM dengan kawalan ketat sepasukan anggota polis kelmarin untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kawalan ketat tak bermakna ditahan





KUALA LUMPUR 6 Mei - Polis hari ini menjelaskan, tindakan mengawal ketat keselamatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra di wad Diraja Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tidak bermakna baginda 'ditahan' di hospital.
Justeru, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim menegaskan, persoalan untuk memfailkan permohonan 'habeas corpus' tidak sepatutnya timbul.
Menurut beliau, kawalan ketat polis di hospital adalah bagi memastikan keselamatan Tuanku Ismail Petra terjamin berikutan insiden seorang pengawal istana ditembak pada minggu lalu.
"Polis telah menahan seorang kakitangan istana kerana disyaki terbabit dalam kejadian tembak itu dan ekoran itu, Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra menitahkan supaya polis meningkatkan kawalan keselamatan terhadap sultan.
"Tengku Muhammad Faris juga menyenaraikan nama lima individu yang dibenarkan untuk melawat sultan dan sesiapa yang tidak berkenaan, kecuali doktor serta jururawat yang merawat sultan, yang ingin berbuat demikian perlu mendapatkan kebenaran daripada Tengku Muhammad Faris," kata Amir Hamzah.
Lima individu tersebut adalah isteri baginda, Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Hamid, anakanda Tengku Muhammad Faiz Petra dan Tengku Amalin A'ishah Petra serta dua ahli keluarga terdekat.
Bagaimanapun, nama Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry tidak tersenarai.
Amir Hamzah berkata, polis sekadar melaksanakan titah pemangku raja dan menyeru orang ramai agar tidak mendengar khabar angin yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan, siasatan kes tembak membabitkan pengawal istana minggu lalu berjalan lancar dengan penahanan seorang kakitangan istana tersebut.
Amir Hamzah bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut kakitangan itu.

Keluarga diraja Kelantan kecewa





KOTA BHARU 6 Mei – Keluarga diraja Kelantan dukacita dengan sikap pihak berkuasa yang menghalang mereka daripada menziarahi Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini.
Ayahanda saudara kepada baginda, Tengku Seri Utama Raja, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah berkata, beliau hairan hanya orang tertentu dibenarkan, sedangkan mereka yang mempunyai hubungan rapat termasuk anakandanya sendiri ditegah.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN) mendakwa, pihak berkuasa juga bertindak kasar ke pada kaum keluarga terdekat baginda yang memohon kebenaran secara baik untuk melihat baginda.
“Saya berasa amat dukacita dengan tindakan ini, kami bukan komunis atau gengster. Tidak patut langsung bertindak secara drastik dan kasar, lagi pun kami semua tidak biasa dengan perbuatan kasar begini.
‘‘Isteri saya, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra adalah kekanda sulung Tuanku, beliau pun tidak dibenarkan untuk menziarahi baginda.
‘‘Soalnya kenapa keluarga terdekat tidak dibenarkan melawat baginda dan orang yang tidak ada sangkut paut hubungan keluarga pun boleh keluar masuk, saya tidak faham,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tuanku Ismail Petra telah dibawa ke HUSM secara mengejut oleh sepasukan anggota polis ketika baginda dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada lewat petang kelmarin.
Baginda bersama Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dijadualkan bertolak ke Singapura pada pukul 7.50 petang hari tersebut bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Mount Elizabeth.
Pada 26 Mac lalu, Tengku Abdul Aziz dipecat daripada jawatan Pengerusi MPN dan tempat beliau digantikan oleh Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di HUSM mendapati kawalan keselamatan masih ketat tetapi jumlah kehadiran anggota polis agak berkurangan berbanding sejak dua hari lalu.
Tengku Abdul Aziz berkata, ada di antara ahli keluarganya memberitahu keadaan kesihatan baginda terjejas teruk ekoran daripada kejadian yang berlaku kelmarin.
“Dengan apa cerita saya dapat, saya tak fikir Tuanku semakin baik sedangkan sebelum ini Tuanku telah menunjukkan perubahan yang amat memberangsangkan.
“Kalau saya sakit dengan keadaan keluarga bergaduh, orang luar pula masuk campur keadaan, saya sudah tentu akan menjadi lebih buruk,” katanya.
Tambahnya, anakanda baginda dan juga ahli keluarga sewajarnya diberikan kebenaran untuk menziarahi Sultan Ismail Petra untuk mengurangkan tekanan yang dihadapinya.