Showing posts with label tahan. Show all posts
Showing posts with label tahan. Show all posts

Wednesday, September 26, 2012

Jordan tahan anak saudara Abu Musab

AMMAN: Seorang peguam Islam terkenal semalam berkata, anak saudara bekas ketua al-Qaeda Iraq, Abu Musab al-Zarqawi, adalah antara enam pejuang yang ditahan di Jordan ketika cuba memasuki Syria.

Ketua peguam untuk kumpulan Islam, Musa Abdullah berkata, “Pengawal sempadan menahan enam anggota mujahidin termasuk Abu Asyaf, anak saudara Abu Musab, ketika mereka cuba menyeberang sempadan untuk berjihad di Syria, Sabtu lalu.”
“Mereka akan didakwa dan dipenjara antara lima dan lima belas tahun.

“Kira-kira 100 mujahidin Jordan menyertai pejuang Syria memerangi tentera kerajaan Bashar al-Assad dan setakat ini, enam terbunuh,” kata Musa.


Abu Musab, kelahiran Jordan, terbunuh dalam serangan udara tentera Amerika Syarikat di Iraq pada 2006. - AFP

Thursday, December 16, 2010

Melaka minta kedutaan kita siasat punca TNI tahan pesawat Heritage Air


PESAWAT Heritage Air yang dinaiki oleh rombongan Ketua Menteri Melaka ini telah ditahan oleh Tentera Nasional Indonesia di Surabaya, Indonesia, kelmarin.


ALOR GAJAH 15 Dis. - Melaka hari ini meminta Kedutaan Malaysia di Indonesia menyiasat punca yang mendorong Tentera Nasional Indonesia (TNI) menahan pesawat Heritage Air yang membawa rombongan kerajaan negeri di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya, semalam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, makluman awal yang diterima oleh pihaknya menyatakan, TNI bertindak demikian ekoran juruterbang pesawat tidak mendapat kebenaran mendarat di lapangan terbang itu.
Menurutnya, kerajaan negeri turut mengarahkan agar tindakan yang sama turut diambil oleh pihak pengurusan syarikat penerbangan terbabit bagi menyiasat kesahihan dakwaan berkenaan.
"Saya juga tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku tetapi juruterbang pesawat memaklumkan dia sudah mendapat kebenaran pihak lapangan terbang untuk mendarat di situ bagi mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan balik ke Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada majlis perasmian Kilang Auo Sunpower Corporation Sdn. Bhd. oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Perindustrian Rembia di sini hari ini.
Auo Sunpower beroperasi di kawasan seluas 172.8 hektar dengan nilai pelaburan mencecah sehingga RM3.2 bilion.
Mohd. Ali mengulas akhbar dalam talian Kompas.com semalam mengenai tindakan TNI menahan pesawat sewa khas jenis BAE 146-200 yang dinaiki sejumlah rakyat Malaysia di lapangan terbang Surabaya semalam.
Kata beliau, pesawat tersebut dinaiki 82 penumpang dengan 20 daripadanya termasuk beliau; isteri, Datin Seri Asmah Abdul Rahman dan seorang anak lelakinya serta pegawai kerajaan negeri dalam perjalanan dari lawatan kerja selama dua hari di Timor Leste.
Menurutnya, setelah setengah jam ditahan oleh TNI, beliau terpaksa mendapatkan bantuan pihak kedutaan Malaysia di negara itu bagi membolehkan beliau segera pulang bagi membuat persiapan terakhir lawatan Perdana Menteri di Melaka hari ini.
"Mujurlah melalui bantuan pihak kedutaan, enam daripada kami dibenarkan pulang ke tanah air dan tiba kira-kira pukul 12 tengah malam tadi manakala penumpang lain dibenarkan pulang kira-kira tiga jam selepas itu (pukul 2.30 pagi)," katanya.
Menurut beliau, pihaknya merasakan insiden tersebut kemungkinan berlaku disebabkan salah faham yang mungkin timbul antara juruterbang dan pihak keselamatan lapangan terbang terbabit.
Ini kerana, katanya, tiada masalah berlaku ketika pesawat mula mendarat di lapangan terbang namun insiden itu mula timbul setelah juruterbang membenarkan penumpang keluar dari pesawat.
Bagaimanapun, ujar Mohd. Ali, insiden yang berlaku tidak akan menjejaskan hubungan satu rumpun antara Malaysia dan Indonesia malah menjadi pengalaman berguna kepada kerajaan negeri dalam membuat persediaan menggunakan pesawat khas penerbangan pada masa depan.

Tuesday, April 13, 2010

1,560 rakyat Malaysia ditahan di luar negara


KUALA LUMPUR 12 April - Seramai 1,560 rakyat Malaysia kini ditahan di luar negara atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk 729 orang yang terlibat dengan kes berkaitan dadah.
Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata, angka itu merupakan statistik daripada 1991 sehingga bulan lalu.
Menurutnya, lebih 50 peratus daripada mereka yang ditahan kerana kes dadah terdiri daripada golongan wanita.
''Untuk pengetahuan, pihak Wisma Putra ada menyediakan Tabung Amanah Rakyat Malaysia dan tabung ini ditempatkan di pejabat-pejabat kedutaan serta perwakilan kita di luar negara.
''Tujuan tabung ini diwujudkan adalah untuk membantu rakyat Malaysia dari segi kewangan bagi mendapatkan khidmat guaman (semasa proses perbicaraan),'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat hari ini.
Kohilan berkata, tabung itu juga digunakan untuk perbelanjaan rakyat Malaysia pulang ke tanah air selepas mereka dibebaskan daripada tahanan.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, pihak kementerian juga sentiasa meminta pihak berkuasa seperti imigresen, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengetatkan lagi pemeriksaan keselamatan di pintu keluar dan masuk lapangan terbang antarabangsa di negara ini.
''Kementerian Luar juga menasihati rakyat terutama ibu bapa dan wanita supaya tidak terjebak dengan sindiket pengedaran dadah melalui program Dialog Keldai Dadah yang dipancarkan secara langsung oleh pihak RTM, baru-baru ini," katanya.
Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika mencelah mahu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya turut sama memberi kesedaran kepada rakyat mengenai bahaya membabitkan diri dalam kegiatan penyeludupan dadah ke luar negara.
Sementara itu Kohilan ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) berkata, Malaysia komited memperjuangkan hak-hak penduduk Palestin yang kini dinafikan oleh rejim zionis Israel.
Selain itu beliau berkata, Malaysia juga akan meneruskan komitmen memberi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin khususnya melalui hubungan dua hala dengan negara-negara berhampiran seperti Mesir.
''Kerajaan Mesir memberi jaminan kepada kita bahawa mereka sentiasa memberi pertimbangan sewajarnya untuk kita memberi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.
''Kita akan terus mendesak supaya kerajaan Mesir membuka pintu masuk ke Palestin bagi memudahkan bantuan ini disalurkan. Kita juga berusaha menyalurkan bantuan melalui keanggotaan kita dalam Persidangan Pertubuhan Islam (OIC)," katanya lagi.