Showing posts with label campur tangan. Show all posts
Showing posts with label campur tangan. Show all posts

Wednesday, September 8, 2010

Hishammuddin tidak pernah terima aduan

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak pernah menerima aduan bahawa wujudnya campur tangan kementeriannya dalam tugas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan.
Malah beliau menyifatkan hubungan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin akrab sejak menerajui kementerian itu.
"Ramai yang memaklumkan bahawa hubungan antara KDN dan PDRM semakin baik berbanding sebelum ini.
"Malah PDRM juga gembira dengan kerjasama terjalin dan semakin akrab," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.
Hishammuddin diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang melaporkan Musa mengakui campur tangan pihak ketiga dalam tugasnya sebagai KPN sebelum ini, adalah merujuk kepada KDN.
Beliau berkata, campur tangan itu yang melibatkan pengeluaran sesuatu arahan tanpa pengetahuannya, tidak selari dengan arahan dan kawalannya sebagai KPN.
Sebelum itu, Musa dalam satu wawancara Mingguan Malaysia Mac lalu mendedahkan bahawa PDRM sering menerima tekanan, sama ada daripada pihak politik atau orang-orang tertentu.

Tuesday, September 7, 2010

KDN campur tangan siasatan polis



KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) semalam mendedahkan wujud campur tangan pihak ketiga ketika beliau menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketika ditanya siapakah pihak ketiga itu, Musa memberitahu: “Kementerian mana lagi yang jaga polis? KDN (Kementerian Dalam Negeri) lah.”
Wartawan: “Kenapa wujud campur tangan itu?”
Musa: “Kerana politik, kepentingan peribadi dan agenda sendiri.”
Selain itu, beliau yang akan bersara pada 13 September ini mengakui terdapat juga pihak-pihak luar yang bertindak mengeluarkan arahan tanpa pengetahuan beliau.
Jelas Musa, tindakan mencampuri tugas yang dilakukan oleh pihak berkenaan jelas bertentangan dengan arahan dan kawalannya sebagai Ketua Polis Negara.
“Kita tidak mahu orang (luar) bagi arahan salah, bila buat (ia) akan jadi salah.
“Arahan sepatutnya dikawal oleh polis bukannya daripada orang luar,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Kata Musa, arahan dalam pasukan tersebut sepatutnya dibuat oleh pegawai yang bertanggungjawab.
Jelas beliau, polis akan menjalankan tugas selepas mendapat laporan daripada orang ramai. Beliau menambah, campur tangan sedemikian boleh mengganggu siasatan.
“Kita mesti berlaku adil dalam menjalankan siasatan supaya dapat dihormati oleh masyarakat.
“Bila polis tidak dapat menjalankan tugas, orang ramai akan menuduh polis terima rasuah. Hakikatnya, ada arahan pihak lain tanpa pengetahuan polis,” kata beliau.
Ditanya bagaimana wujud campur tangan sedemikian ketika beliau menjalankan tugasnya, Musa memberitahu, sesetengah orang ada kepentingan peribadi, politik dan agenda sendiri.