Friday, March 18, 2011

Lapan bulan PDRM kutip saman RM476.6j



KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengutip RM476.6 juta bayaran saman daripada pesalah trafik sepanjang tempoh lapan bulan sehingga Februari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, menerusi jumlah itu sebanyak RM421.2 juta diku:tip di kaunter PDRM, manakala RM55.4 juta diperolehi melalui laman web seperti www.myeg.com.my (MyEG) dan www.rilek.com.my (RILEK).

“Jumlah bayaran saman dikutip di kaunter PDRM pada Julai 2010 adalah RM64.1 juta, RM40.6 juta (Ogos), RM22.9 juta (September), RM29.3 juta (Oktober), RM29 juta (November), RM127 juta (Disember), RM44.7 juta (Januari 2011) dan RM63.6 juta pada Februari lalu.

“Bagi jumlah kutipan saman melalui MyEG dan RILEK sebanyak RM4.5 juta pada Julai 2010, RM2.8 juta (Ogos), RM1.8 juta (September), RM2.3 juta (masing-masing pada Oktober dan November), RM2.3 juta (Disember), RM7.3 juta pada Januari 2011 dan pada Februari lalu sebanyak RM8.3 juta,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) di Dewan Rakyat.

Po Kuan ingin tahu kutipan saman Julai 2010 sehingga Februari 2011 mengikut jumlah dibayar di kaunter PDRM dan laman web serta jumlah kementerian perlu bayar kepada pihak lain dan dikutip (RM2 setiap transaksi) oleh MyEG.

Hishammuddin berkata, kerajaan membayar caj komisen 1.8 peratus daripada jumlah kutipan keseluruhan bulanan dipungut melalui MyEG dengan transaksi menggunakan kad kredit dan RM0.50 untuk setiap transaksi yang berjaya melalui kad debit.

“Selain itu, RM2 dikenakan kepada pembayar untuk setiap transaksi yang berjaya untuk dibayar kepada MyEG,” katanya. - Bernama

14 peratus bilionair dunia masih tidak berteman



NEW YORK 17 Mac - Terdapat sejumlah jutawan yang direkodkan di seluruh dunia pada 2011, namun 14 peratus daripada mereka masih belum mempunyai teman, dedah majalah Forbes, semalam.
"Adalah mustahil untuk bertemu dengan jutawan, kemudian jatuh cinta dan hidup bahagia selamanya, namun bukan semua adalah mustahil," kata Pengarang Kanan Forbes, Luisa Kroll selepas menganalisis senarai tahunan Forbes mengenai manusia paling kaya di dunia yang dikeluarkan pada minggu lepas.
"(Terdapat) Seramai 1,210 jutawan di seluruh dunia, 175 masih belum mempunyai teman termasuk 48 wanita, 36 belum pernah berkahwin, 81 bercerai, 6 berpisah dan 52 adalah duda," kata Kroll.
Bagaimanapun, menurut Kroll, masih ramai jutawan yang memenuhi syarat untuk mempunyai pasangan secara serius termasuk pengasas Facebook, Dustin Moskovitz, Mark Zuckerberg dan Sean Parker.
Carlos Slim seorang hartawan dari Mexico menjadi manusia terkaya di dunia apabila berjaya mengekalkan kedudukannya itu bagi dua tahun berturut-turut dengan nilai kekayaan berjumlah AS$74 bilion (RM230 trilion).
Sementara itu, pengasas Microsoft, Bill Gates menduduki tempat kedua apabila kekayaannya meningkat kepada AS$56 bilion (RM174 trilion) daripada AS$53 bilion (RM133 trilion) pada tahun lepas.
Seorang pelabur, Warren Buffett menduduki tempat ketiga dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$50 bilion (RM155 trilion).
Jumlah kekayaan jutawan di seluruh dunia meningkat kepada 25 peratus dengan nilai puratanya sebanyak AS$3.7 bilion (RM12 juta). - Reuters

Tuntutan saman Tian Chua ke atas Ketua Polis Negara, kerajaan Malaysia dibatalkan



KUALA LUMPUR 17 Mac - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan aktivis Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Abdul Razak Ismail gagal dalam tuntutan saman RM4 juta yang dikemukakan ke atas Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia kerana didakwa menangkap dan menahan mereka secara salah di bangunan Parlimen, lima tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk V. T. Singham memutuskan demikian hari ini setelah membenarkan permohonan Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku pihak responden untuk membatalkan saman tersebut.
Keputusan itu dibuat setelah hakim tersebut bersetuju dengan hujah pihak responden yang menyatakan bahawa tuntutan itu wajar dibatalkan kerana pegawai polis yang bertanggungjawab menangkap dan menahan mereka tidak dinamakan sebagai responden dalam tuntutan saman tersebut.
Hakim Singham menetapkan demikian selepas beliau selesai mendengar hujah daripada kedua-dua pihak terhadap permohonan yang difailkan oleh pihak responden pada 6 Januari lalu.
Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang dan Abdul Razak diwakili oleh peguam Jason Tan manakala pihak responden diwakili oleh Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Habibah Haron dan Yusaini Amer Abd. Karim.
Tian Chua dan Abdul Razak memfailkan saman tersebut pada 17 Disember 2007 bagi menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am dan teruk serta ganti rugi teladan selepas mereka ditahan ketika dalam dalam perjalanan ke bangunan Parlimen pada 11 Disember 2007.
Mereka mendakwa, tindakan tersebut melanggar Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 23 Kanun Tatacara Jenayah kerana tiada waran atau alasan tangkapan diberikan walaupun mereka telah berkali-kali memintanya.
Menurut mereka lagi, polis selanjutnya telah melakukan pencerobohan, serangan dan serang sentuh terhadap mereka dengan menggunakan kekerasan.

Impian mangsa kencing tikus


KUALA LUMPUR: “Saya mahu menjadi Ketua Polis Negara suatu hari nanti,” demikian antara kata-kata terakhir pelatih inspektor di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Mohd Ridzuan Ishak, 26, sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, awal pagi semalam, akibat jangkitan Adenovirus atau virus kencing tikus.
Bapanya, Ishak Daharin, 48, berkata, arwah menceritakan impiannya itu kepadanya, baru-baru ini.

Menurut Ishak, biarpun ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan, Sabtu lalu, arwah masih bersemangat untuk pulih dan mahu menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol KL) bagi mengejar impiannya itu.

“Namun, impian Mohd Ridzuan dan harapan keluarga untuk melihat dia mencapai cita-citanya hanya tinggal kenangan,” katanya ketika ditemui di HKL, semalam.

Mohd Ridzuan, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.20 pagi semalam selepas menerima rawatan di HKL sejak seminggu lalu.

Daharin yang bekerja sebagai jurukamera di Astro berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu bersemangat mahu keluar ICU, tetapi keadaannya kritikal akibat serangan virus merebak begitu cepat.

“Arwah tidak pernah berputus asa apabila menghantar permohonan tiga kali semata-mata mahu menjadi pegawai polis dan sanggup berhenti kerja sebelum ini walaupun gajinya cukup lumayan.

“Saya dan isteri, Faridah Anum Isa, 48, menyokong niat arwah yang berhati waja dan itu cita-citanya sejak kecil,” katanya yang tinggal di Kampung Sungai Buaya, Rawang.
Sementara itu, tunang arwah, Nor Hazwani Liana Azhan, 23, berkata, mereka bertunang Jun lalu dan merancang berkahwin Jun tahun depan selepas arwah selesai menjalani latihan di Pulapol November ini. Harian Metro sebelum ini lalu melaporkan seorang pelatih Pulapol, Mohd Azizan Azidi, 21, meninggal dunia 8 Mac lalu selepas dijangkiti virus kencing tikus.

Pada 16 Mac lalu, dua pelatih lelaki, masing-masing inspektor dan konstabel dirawat di ICU hospital berkenaan dan 40 orang lagi termasuk seorang kakitangan Pulapol ditempatkan di wad biasa.

Berlusconi nafi tiduri 33 wanita





2011/03/18

Silvio Berlusconi dan Karima El Mahroug (kiri).
Silvio Berlusconi dan Karima El Mahroug (kiri).
PM Itali anggap orang lebih muda juga tidak mampu lakukannya 

ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang dibayangi skandal seks kelmarin mengisytiharkan beliau tidak berupaya meniduri 33 wanita dalam masa 60 hari seperti didakwa pihak tertentu.
Jutawan Itali berusia 74 tahun itu dipetik akhbar The Sun sebagai berkata: “Walaupun saya agak nakal, 33 gadis dalam tempoh dua bulan terlalu ramai, walaupun untuk seseorang berusia 30 tahun.”
Beliau membuat ulasan itu beberapa minggu sebelum berdepan perbicaraan di Milan berhubung parti Bunga Bunga yang dikatakan di bawah anjurannya dan membabitkan seks. 

Pendakwa raya menuduh pemimpin itu melakukan seks bawah umur apabila memberi bayaran kepada seorang penari gelek digelar ‘Ruby the Heart-stealer’. 

Penari itu atau nama sebenarnya Karima El Mahroug dari Maghribi berusia 16 tahun ketika kejadian, di bawah usia dibenarkan untuk menjadi pelacur. 

Dalam temuramah akhbar itu, Berluconi yang sudah diceraikan isterinya, mengakui memberi wang dan hadiah kepada jelitawan yang dijemputnya atas alasan beliau pemurah sambil mengatakan: “Saya seperti badan kebajikan.” 
Satu daripada pemindahan wang menerusi akaun bank didapati untuk ibu bapa gadis itu yang disifatkan Berlusconi sebagai amat memerlukannya. 

Tetapi, pendakwa raya pula mendakwa bahawa ‘tarian separuh bogel dan lucah’ dalam partinya adalah permulaan untuk menjalin hubungan seks selepas itu. 
Namun, pemimpin Itali sekali menjelaskan: “Ia adalah majlis makan malam bebas dan elegan.” 

Berlusconi tidak seperti sebelumnya mengakui mempunyai teman wanita yang sentiasa di sisinya. – Agensi
bharian

'Kami dianiaya'



Oleh Nurhasyima Hasim
nurhasyima@bharian.com.my
2011/03/18

LAILA menunjukkan paip getah yang disyaki sengaja dipotong  pihak tidak bertanggungjawab  di PPRT Solok Kampung Baru, Bukit Katil.
LAILA menunjukkan paip getah yang disyaki sengaja dipotong pihak tidak bertanggungjawab di PPRT Solok Kampung Baru, Bukit Katil.
Penghuni rumah PPRT Solok Kampung Baru syak paip getah sengaja dipotong punca bil tinggi 

BUKIT KATIL: Seorang penghuni rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Solok Kampung Baru dekat sini, terkejut apabila diminta menjelaskan bayaran bil air berserta tunggakan berjumlah RM850.03 oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Februari lalu.
Tukang cuci, Laila Tompang, 54, berkata jumlah itu disifatkan tidak masuk akal apabila beliau yang menghuni rumah itu bersama suami dan dua anaknya tidak pernah gagal menjelaskan bayaran bil air pada setiap bulan sebelum ini.
"Saya panik apabila mula menerima bil air dengan nilai tidak munasabah sebanyak kira-kira RM500 pada Januari lalu. Bulan berikutnya pula, SAMB menghantar notis peringatan terakhir yang meminta saya menjelaskan bayaran bil air berjumlah RM36.15 dengan tunggakan RM813.88. 

"Notis berkenaan bukan saja mengelirukan, malah tidak masuk akal kerana penggunaan air kami sekeluarga di rumah juga tidak mencecah sehingga nilai tertera pada bil. Biasanya ia dalam lingkungan RM20 hingga RM90 sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam. 

Laila berkata, beliau juga pernah meminta bantuan SAMB dan Pejabat Ketua Menteri bagi menyelesaikan masalah itu kerana khuatir bekalan air dipotong jika gagal menjelaskan bil itu. 

"Bagaimanapun, maklum balas daripada kedua-dua pihak itu belum diterima sehingga hari ini. Pernah juga saya menangis memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi membayar bil terbabit. 
"Dengan pendapatan RM500 sebulan dan duit hasil tanaman getah yang diterima suami setiap tiga bulan sekali, manalah mampu kami membayar tunggakan bil sebanyak itu," katanya. 

Laila berkata, beliau juga bimbang sekiranya peningkatan bil air berkenaan berpunca daripada kebocoran saluran paip getah yang disambungkan ke meter air yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya yang diduduki sejak beberapa tahun lalu. 

"Setiap dua minggu, paip getah ini akan bocor atau putus sama ada kerana dipotong atau dirosakkan individu tidak bertanggungjawab. 

"Saya pernah memohon kepada SAMB supaya memindahkan meter dan paip berkenaan lebih hampir dengan kawasan rumah bagi memudahkan saya memantaunya, namun bayaran yang diminta untuk kerja pemindahan itu terlalu tinggi, iaitu hingga mencecah RM500," katanya. 

Laila berkata, beliau berharap pihak berwajib dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya bagi memastikan bekalan air yang menjadi keperluan utamanya sekeluarga tidak terputus.
bharian

Muhammad Ali rayu Iran bebas warga AS





2011/03/18

CHICAGO: Peninju legenda yang terkenal di persada dunia, Muhammad Ali, merayu pemimpin agung Iran supaya membebaskan dua rakyat Amerika Syarikat yang ditahan sejak Julai 2009 kerana disyaki mengintip, kata jurucakap Ali kelmarin. 

Shane Bauer dan Josh Fattal ditahan di sempadan Iraq. Mereka mungkin tersasar menyeberangi Iran ketika mendaki.
Kes itu merenggangkan lagi hubungan di antara Amerika dan Iran sejak Washington menyasarkan program nuklear Iran.
Rakyat ketiga Amerika, Sarah Shourd, dibebas dengan jaminan AS$500,000 (RM1.53 juta) September lalu dan sudah pulang. 

Ali, yang berkata beliau dialu-alukan dengan mesra dalam lawatan pada masa lalu ke Tehran, memohon dalam satu surat supaya dua warga Amerika itu diberi ‘pengampunan dan belas kasihan’ serta menambah beliau berharap mencipta satu persefahaman baru. – Reuters
-bharian

Peguam syarie mesti orang Islam



Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bharian.com.my
2011/03/18

 JAYASEELE     ketika di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
JAYASEELE ketika di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
Mahkamah tolak permohonan Jayaseele jalani amalan guaman 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak permohonan peguam wanita bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin untuk diterima menjadi peguam syarie dan menjalani amalan guaman di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Hakim Datuk Rohana Yusuf membuat keputusan itu selepas menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan Jayaseele bagi mengetepikan keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang enggan menerima kemasukannya sebagai peguam syarie.
Dalam penghakimannya, Rohana berkata, keperluan mensyaratkan seseorang yang diterima masuk menjadi peguam syarie mesti beragama Islam adalah perlu bagi memastikan keberkesanan perwakilan perundangan. 

Beliau berkata, Perintah 10 Peraturan Peguam Syarie 1993 dibuat mengikut kuasa perundangan MAIWP yang memberikannya kuasa untuk menerima kemasukan peguam syarie mengikut budi bicaranya, namun kuasa itu tertakluk kepada sub Seksyen 2 perintah sama. 

“Ini bermakna kemasukan peguam syarie adalah bersyarat mengikut peraturan yang dibuat MAIWP dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agung. Peraturan yang dibuat adalah berkenaan prosedur, kelayakan dan yuran kemasukan,” katanya. 

Pada 19 Mei tahun lalu, Jayaseele memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah bagi membatalkan keputusan MAIWP melalui Jawatankuasa Peguam Syarie yang menafikan permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie. 
Beliau yang memperoleh Diploma Undang-undang Syariah dan Amalan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004 juga memohon pengisytiharan bahawa Perintah 10 Peraturan Peguam Syarie 1993, memberikan mandat bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, bercanggah dengan Artikel 5, 8, dan 10 Perlembagaan Persekutuan. 

Ini adalah kes pertama seorang peguam bukan Islam diberikan kebenaran untuk mencabar keputusan MAIWP bahawa hanya peguam Islam dibenarkan menjadi pengamal guaman di Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur. 

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu keperluan utama untuk menjadi seorang peguam syarie ialah seseorang itu mestilah orang Islam. 

Penyakit sembuh selepas 14 tahun




HASSIN (tengah) menunjukkan kesan parut penyakit kulitnya sambil diperhatikan Yong Fairos (kiri) di Serdang, Kedah semalam.


BANDAR BAHARU - Setelah hampir 14 tahun menderita diserang sejenis penyakit kulit kronik di seluruh badan, buruh kampung Hassin Wan, 56, kini sembuh setelah mendapat bantuan sebuah syarikat kosmetik dari Batu Caves, Selangor bulan lalu.
Penderitaan Hassin mendapat perhatian usahawan kosmetik, Yong Fairos Sarip, 42, yang menghulurkan rawatan secara percuma.
Setelah hampir sebulan rawatan diberikan, penyakitnya pulih dan Hassin mampu bekerja seperti biasa.
Yong Fairos berkata, beliau tertarik untuk membantu buruh berkenaan selepas membaca laporan yang disiarkan akhbar pada Januari lalu.
"Saya kemudian menghubungi Hassin menerusi nombor telefon dan menghantar krim serta sabun herba untuk tujuan merawat penyakit tersebut. Tidak lama selepas itu, saya datang melawat Hassin beberapa kali dan mendapati keadaannya semakin baik," ceritanya ketika mengunjungi Hassin di Kampung Bukit Buluh, Serdang dekat sini semalam.
-kosmo

Victoria gagal jadi peguam Syarie



KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini semalam menolak permohonan seorang peguam wanita bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin (gambar) untuk menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Hakim Datuk Rohana Yusuf menolak permohonan yang difailkan Victoria pada 19 Mei tahun lalu supaya semakan kehakiman dibuat bagi mencabar keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menolak permohonannya.
Rohana berkata, MAIWP mempunyai kuasa untuk mengeluarkan syarat mengenai pelantikan peguam syarie dan ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Parlimen memberi kuasa kepada MAIWP untuk membuat syarat-syarat mengenai kemasukan peguam syarie iaitu prosedur, kelayakan dan pembayaran serta kuasa yang diberikan adalah sangat luas," katanya.
MAIWP mempunyai kuasa untuk berbuat demikian seperti mana dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Cipta rekod terjun dalam kolam kecil



ORANG ramai melihat Darren Taylor terjun ke dalam sebuah kolam kecil.


TRONDHEIM, Norway - Seorang penyelam dari Denver, Darren Taylor memecah rekod dunia apabila dia terjun dari ketinggian 10.9 meter ke dalam kolam air yang mempunyai kedalaman cuma 30.5 sentimeter, lapor sebuah akhbar semalam.
Dikenali sebagai Profesor Splash, Taylor menyesuaikan teknik menyelam yang dimilikinya bagi mengurangkan impak ke atas badannya.
"Saya juga suka jika air yang digunakan itu sejuk sehingga hampir ke tahap beku kerana ia akan membantu mengurangkan impak terjunan," katanya yang sudah menyelam selama 25 tahun.
Taylor memecahkan rekodnya sendiri itu di hadapan para peserta Persatuan Pertukaran Pelajar Antarabangsa di sini, pada Rabu lalu. - Agensi
kosmo

Ahmad Dhani terima bom buku



AHMAD DHANI menunjukkan surat yang dihantar bersama bungkusan bom ke kediamannya di Jakarta semalam.


JAKARTA - Penyanyi kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani yang pernah dikatakan bakal pengetua Akademi Fantasia Ke-9 (AF-9) terbitan Astro nyaris cedera apabila bom dalam bungkusan buku yang dihantar kepadanya tidak meletup.
Pada mulanya, bungkusan itu tiba di rumah penyanyi dan penerbit lagu tersebut pada Selasa lalu tetapi ia tidak dibuka.
Namun, polis kemudian dipanggil ke rumah Ahmad Dhani yang merupakan duda tiga anak itu semalam bagi memeriksa kandungan bungkusan tersebut.
Menurut penyanyi itu, dia turut menghubungi nombor telefon pihak pengirim yang tertera pada bungkusan tersebut.
Ahmad Dhani berkata, dia menelefon sebanyak tiga kali tetapi ia tidak diangkat sebaliknya disambung kepada peti perkhidmatan suara.
Penyanyi itu menganggap pengirim paket bom buku yang berjudul Yahudi Militan, merupakan perbuatan orang yang tidak suka kepadanya.
Ketua syarikat Republik Cinta Management (RCM) itu juga menganggap pengirim bom itu merupakan korban gosip yang selama ini kerap menimpa dirinya.
"Saya rasa pelakunya adalah korban gosip, yang menyatakan saya adalah ejen Yahudi," jelas bekas suami Maia Estianty itu kepada wartawan.
Bungkusan bom buku tersebut pada mulanya diterima oleh seorang kakitangan Ahmad Dhani.
Semasa dibuka, kakitangan itu berasa terkejut kerana buku tersebut tidak dapat dibuka menyebabkan polis dihubungi bagi melakukan siasatan.
Menurut polis, pihaknya kemudian menemui bom dalam sebuah buku yang dialamatkan ke rumahnya itu selepas ia tiba di rumah Ahmad Dhani.
Dalam bungkusan itu, terdapat surat yang meminta penyanyi tersebut menulis kata penghantar.
Bagaimanapun, polis kemudian meletupkan bom tersebut dekat dengan rumah penyanyi berkenaan di sini.
Pada Selasa lalu, polis turut menemui tiga bom yang serupa dengan salah sebutirnya meletup dan mencederakan empat orang.
Bungkusan bom yang meletup itu dialamatkan kepada seorang tokoh Muslim liberal, Ulil Abshar Abdallah.
Bekas seorang pegawai kanan polis yang memerangi keganasan, Goris Mere dan Yapto Suryosumarno turut menerima bungkusan bom tersebut.
Ketua Agensi AntiPengganas Kebangsaan (BNPT), Ansyaad Mbai memberitahu kelmarin bahawa bom itu didalangi oleh kumpulan Jemaah Islamiah (JI). - Agensi
-kosmo

Empat helikopter curah air di loji nuklear




DUA buah helikopter mengambil air laut di Jepun semalam dengan menggunakan sebuah bekas untuk dicurahkan ke reaktor loji nuklear Fukushima Daiichi di Fukushima, Jepun.


TOKYO - Sebanyak empat buah helikopter tentera Jepun digunakan bagi mencurahkan bertan-tan air ke loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di Fukushima semalam bagi tujuan menyejukkan batang bahan bakar daripada berlaku kebocoran radiasi.
Helikopter Pasukan Pertahanan daripada jenis CH-47 Chinooks berkuasa dua enjin itu memulakan misi pertama dengan membawa sebuah bekas yang berkapasiti tujuh tan air ke loji tersebut.
Operasi itu dilakukan bertujuan supaya batang bahan bakar dalam reaktor dan kolam penghadang ditenggelami air bagi mengurangkan pendedahan bahan pada udara dan menyebabkan bahan radioaktif tersebar ke alam sekitar.
Sebelum ini radiasi bocor dari reaktor nuklear itu tetapi dalam kadar yang masih tidak dianggap membahayakan kesihatan manusia.
Menteri Pertahanan Jepun, Toshimi Kitazawa berkata, sebanyak 11 kenderaan tentera juga akan dihantar bagi menyertai usaha untuk menyejukkan reaktor itu.
Agensi Keselamatan Nuklear Jepun menyatakan keutamaan akan diberikan kepada reaktor nombor tiga dan empat yang kemungkinan berada pada tahap terlalu panas.
Menurut seorang jurucakap loji nuklear itu yang dikendalikan syarikat Tokyo Elektric Power Co (TEPCO), kolam penghadang di reaktor nombor empat seperti sudah ditenggelami air pada Rabu lalu berdasarkan kepada pemerhatian dari helikopter.
"Kami tidak pasti berapa banyak air sudah berada di dalam reaktor tersebut dan kami juga tidak mempunyai informasi berapa banyak batang bahan bakar yang sudah terdedah," kata seorang jurucakap TEPCO.
Sebelum ini, pekerja-pekerja TEPCO sedang berusaha membaikpulih bekalan tenaga sistem penyejukan yang lumpuh ketika serangan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun.
Loji itu pernah meletup sebanyak empat kali selepas ia rosak akibat gegaran gempa bumi yang berpusat di timur laut Jepun pada Jumaat lalu.
Gempa bumi kuat itu turut menyebabkan ombak tsunami setinggi 10 meter berlaku dan melanda kawasan di utara dan timur Jepun. - Agensi
-kosmo

Tentera Libya serang bandar dan kepung kubu pemberontak






SELAMATKAN DIRI: Para pelarian dari Somalia yang melarikan diri daripada keganasan di Libya berjalan di hadapan sebuah perkhemahan pelarian sempadan di Ras Jdir, kelmarin. -- Foto REUTERS


Bekas menlu Perancis selar masyarakat dunia lengahkan pelaksanaan zon larangan terbang dan usaha selamatkan nyawa


TOBRUK (Libya): Tentera Libya telah menyerang sebuah bandar yang dikuasai pemberontak dengan meriam dan mula mengepung sebuah kubu kuat pemberontak di Benghazi semalam, sedang usaha-usaha menghalang Encik Muammar Gaddafi daripada menghancurkan pemberontakan itu, tergendala.
Di Geneva, seorang bekas menteri luar Perancis, Encik Bernard Kouchner, menyelar masyarakat dunia kerana berlengah-lengah melaksanakan satu zon larangan terbang dan berkata sudah terlalu lambat untuk menyelamatkan nyawa.'Harus ada sekurang-kurangnya zon larangan terbang. Namun kini sudah terlambat,' kata Encik Kouchner mengenai tindakan keras Encik Gaddafi ke atas pemberontakan yang makin terancam itu.'Kalau pun kami dapat membuat keputusannya hari ini, sudah terlalu lewat,' kata beliau kepada World Radio Switzerland.'Kami sudah tahu sejak tiga minggu lalu bahawa orang awam yang miskin itu menghadapi kematian. Dan kami tidak berbuat apa-apa.'Di Benghazi, tempat bermulanya satu Majlis Nasional pemberontak itu, ada penduduk yang meramalkan pertumpahan darah dan pula yakin pemberontak akan menang.Italy, yang mungkin menjadi pangkalan bagi satu zon larangan terbang yang disarankan oleh Britain dan Perancis, telah menolak sebarang campur tangan tentera dalam negara pengeksport minyak itu.Tentera Libya mengarahkan penduduk Benghazi supaya letak senjata dan salah seorang anak Encik Gaddafi, Encik Saif al-Islam, memberitahu Euronews TV bahawa bandar kedua Libya itu akan jatuh, tidak kira ada zon larangan terbang atau tidak.'Segala-galanya akan berakhir dalam 48 jam,' katanya.Pertubuhan bantuan, Medecins Sans Frontieres, berkata keganasan itu telah memaksanya mengeluarkan kakitangannya dari Benghazi dan memindahkan pasukannya ke Iskandaria, Mesir.Penduduk di Misrata, bandar ketiga terbesar 200 kilometer ke timur Tripoli dan juga kubu kuat Encik Gaddafi, berkata pasukan pemerintah telah menyerang bandar dikuasai pemberontak itu dengan kereta kebal dan artileri.Serangan meriam itu membunuh sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan 11 orang, kata seorang doktor hospital di Misrata kepada Reuters melalui telefon.'Pengeboman hebat berlaku dari tiga arah. Mereka menggunakan senjata berat seperti kereta kebal dan meriam. Namun mereka belum memasuki bandar ini,' kata seorang penduduk, Encik Mohammed.Kuasa-kuasa asing menyelar tindakan keras Encik Gaddafi itu tetapi tidak kelihatan akan bertindak.Kemenangan Encik Gaddafi dan penindasan pemberontak itu boleh mengubah haluan gerakan prodemokrasi di rantau itu. -- Reuters.