Monday, November 18, 2013

Setiausaha Agung OIC menangis ketika kunjungi etnik Rohingya


Sebahagian etnik Rohingya berteduh di sebuah kem di Sittwe, Rakhine, Myanmar selepas rusuhan agama tercetus pada 15 Mei lalu. - AGENSI
YANGON 17 Nov. - Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu mengakui dia menangis ketika melawat kem etnik Islam Rohingya di Sittwe, hari ini.
"Saya menangis apabila melihat keadaan kem yang daif, selain kebajikan penghuninya tidak diuruskan dengan baik," katanya.
Ekmeleddin dan delegasi OIC kini dalam lawatan empat hari ke Myanmar sejak Jumaat lalu atas jemputan Presiden, Thein Sein.
Delegasi itu kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Thein Sein, di sini semalam.
Sementara itu, OIC menggesa Myanmar mengurangkan sekatan ke atas hak kebebasan asas selepas menilai hak asasi etnik Islam Rohingya dan penduduk Islam lain di negara ini akibat konflik agama yang berlaku sejak kebelakangan ini.
"OIC menggesa kerajaan untuk meneruskan reformasi undang-undang, termasuk memansuhkan undang-undang sekatan kebebasan asas," menurut Thein Sein yang dipetik oleh akhbar The New Light of Myanmar hari ini.
Konflik keganasan etnik dan agama di negeri Rakhine di barat Myanmar pada tahun lalu, menyaksikan sekurang-kurangnya 167 orang maut, terutamanya etnik Rohingya Islam.
Etnik minoriti itu berdepan dengan diskriminasi apabila kerajaan Myanmar tidak mengiktiraf kerakyatan mereka dan mendakwa golongan itu berasal dari Bangladesh.
OIC dalam pada itu berjanji untuk menghulurkan bantuan kepada Myanmar, namun menggesa agar negara ini menghentikan diskriminasi ke atas etnik minoriti dan agama yang tertakluk di bawah peruntukan hak asasi manusia. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131118/lu_08/Setiausaha-Agung-OIC-menangis-ketika-kunjungi-etnik-Rohingya#ixzz2l0pd425y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Aquino tinggal di Tacloban


AQUINO (dua dari kiri) tiba di bandar Tacloban, tengah Filipina semalam.


BANDAR TACLOBAN - Presiden Filipina, Benigno Aquino semalam menyatakan beliau akan tinggal di bandar ini sehingga operasi bantuan kemanusiaan berjalan dengan lancar untuk mangsa-mangsa Taufan Haiyan.
"Saya akan tinggal sehingga saya berpuas hati bahawa tiada ada apa lagi yang boleh kita lakukan di sini," katanya kepada pemberita di sini.
Bandar ini yang terletak dalam wilayah Leyte di tengah Filipina teruk dilanda taufan tersebut.
Taufan tersebut melanda wilayah tengah Filipina pada 8 November lalu.
Kelajuan taufan itu adalah lebih 300 kilometer sejam menyebabkan angka kematian rasmi setakat ini ialah 3,976 orang dengan 1,590 lagi hilang manakala hampir empat juta penduduk hilang tempat tinggal.
Sebelum tiba di sini, Aquino melawat bandar Guiuan di wilayah Samar.
Aquino memeriksa keadaan di beberapa buah hospital di sini selain mengedarkan bungkusan makanan.
Sejumlah misi bantuan kemanusiaan antarabangsa termasuk melibatkan tentera Amerika Syarikat telah tiba di kawasan-kawasan terpencil yang teruk dilanda taufan tersebut di tengah Filipina.
Dalam pada itu, seorang bayi yang baru dilahirkan pada 13 November lalu meninggal dunia kelmarin akibat kekurangan oksigen di sebuah hospital yang turut mengalami kemusnahan akibat taufan itu.
Bayi malang yang dilahirkan di Pusat Perubatan Visayas Timur, di sini mengalami masalah kegagalan penafasan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2kz8RTRF9 
Hakcipta terpelihara