Showing posts with label seksi. Show all posts
Showing posts with label seksi. Show all posts

Friday, June 10, 2011

Pakaian seksi untuk pasti suami puas



pix_gal0
Add caption
Isteri tak boleh selekeh ketika berada di rumah

RAWANG: Presiden Kelab Taat Suami Malaysia mengakui beliau memenuhi keperluan batin suaminya dengan berpakaian menarik dan seksi.

Bagi Fauziah Ariffin yang menerajui kelab dianggotai 800 ahli itu, sebagai isteri yang taat, itu adalah cara terbaik untuk memberi layanan kepada suami.
“Bukan seperti isteri masa kini yang kebanyakannya tidak melayan suami dengan baik dan hanya berpakaian cantik di luar, tetapi di rumah kelihatan selekeh dan tidak menarik. “Masalah isteri tidak taat, tidak menghiburkan dan tidak berkhidmat kepada suami menjadi punca kerosakan masyarakat,” katanya di sini, semalam.

Pengarah Ikhwan Catering and Restaurant itu, berkata isteri juga perlu tahu peranan mereka yang sebenar, malah ada pihak berpendapat melayan suami bukan saja dari sudut seks tetapi juga memasak, membasuh dan menjaga anak.

“Itu benar, tetapi perlu tahu apa keutamaannya kerana kerja rumah boleh diserahkan kepada orang gaji, tetapi layanan di tempat tidur bolehkah beri pada orang gaji?

“Oleh itu perlu rujuk kepada keperluan utama, bila isteri taat, akan lahir suami penyayang,” katanya yang juga isteri kedua.
Baru-baru ini, kenyataan Naib Presiden kelab berkenaan, Dr Rohaya Mohamed mengingatkan golongan isteri supaya patuh dan melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’ mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang mahu Pendaftar Pertubuhan meneliti semula kelulusan pendaftaran kelab itu.

Kelmarin, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin pula menyuarakan pandangan bahawa kelab itu dilihat hanya mementingkan nafsu untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Sejak dilancarkan 1 Mei lalu, kelab itu mempunyai 1,000 ahli di seluruh dunia.
Mengenai kenyataan Dr Rohaya pula, beliau berkata ia bukan untuk menyamakan isteri dengan golongan pelacur yang terjebak dalam masalah sosial itu.

“Masalahnya masyarakat kita bayangkan pelacur hanya di Lorong Haji Taib, sedangkan pelacur kelas pertama ini adalah di kalangan pelayan pelanggan yang dihantar pihak atasan ketika perundingan antara dua negara,” katanya.

Sementara itu, kenyataan yang menyamakan tugas melayan suami dengan pelacur kelas pertama turut mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan pembaca Berita Harian yang menyuarakannya menerusi laman sosial akhbar ini termasuk laman web dan Facebook.

Hampir kesemua bantahan dikemukakan di kalangan pembaca wanita yang membidas tindakan Dr Rohaya yang disifatkan sebagai merendahkan martabat golongan itu.
Malah ada yang mempertikaikan penubuhan kelab itu yang dianggap tidak relevan kerana Islam menuntut isteri untuk mentaati suami selagi tidak melanggar syariat Islam. Berita Harian Online | Pakaian seksi untuk pasti suami puas

Sunday, December 26, 2010

Rais tegur artis berpakaian seksi


KUALA LUMPUR 25 Dis. - Kumpulan Media Prima Berhad perlu membuat penilaian semula berhubung etika berpakaian dalam majlis anugerah anjurannya berikutan kekecewaan beberapa pihak mengenai artis wanita berpakaian tidak sopan dan seksi pada Majlis Anugerah Skrin TV3 2010, semalam.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ini kerana anugerah tersebut bertujuan memberi penghargaan kepada filem, drama dan pelakon terbaik.
"Saya sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan malam tadi hanya beri fokus kepada mutu filem dan drama dipertandingkan. Saya tidak tumpukan kepada pakaian setiap artis yang hadir.
"Tetapi sekiranya ada keadaan menjolok mata dan tidak menyerikan majlis, Media Prima melalui anak syarikatnya, TV3 perlu nilai semula supaya ia tidak berulang pada anugerah akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Krismas 1Malaysia anjuran ahli perniagaan, Datuk Seri Vanatiah Anthony, di sini hari ini.
Beliau mengulas kekecewaan beberapa pihak terutama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang kecewa dengan pendedahan aurat yang ketara oleh artis wanita pada majlis anugerah itu.
Rais berkata, setiap manusia ingin maju dalam kehidupan tetapi bukan bererti tamadun terutama sebagai orang Melayu dicabuli oleh kelakuan atau cara berpakaian yang tidak senonoh.
"Siapa makan cili dia akan terasa pedasnya kerana saya dan pihak lain menyatakan pandangan ini dalam konteks sebenar," katanya.
Sementara itu, Ketua Wirawati Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Zaira Jaafar berkata, biarpun penampilan seseorang itu merupakan hak individu namun ia perlu mempunyai had dan batasan.
Beliau berkata, tindakan artis wanita yang mengenakan pakaian menjolok mata bukan sahaja tidak menghormati Islam sebagai agama rasmi Malaysia, malah menunjukkan mereka tidak peka terhadap sensitiviti masyarakat.
"Bukan tidak boleh berpakaian moden dan mengikut trend, namun artis wanita juga perlu peka dengan persekitaran sekeliling.
"Jangan berpenampilan keterlaluan kerana mungkin ada di kalangan peminat dan masyarakat tidak boleh menerima imej sedemikian walaupun atas dasar bersikap terbuka mahupun atas nama kebebasan," katanya.
Zaira berkata, artis wanita sepatutnya lebih menonjolkan pakaian bersifat tradisional seperti kebaya moden apabila menghadiri acara besar dan berprestij seperti majlis penganugerahan.
Kata beliau, ia bukan sahaja membuatkan pemakainya kelihatan lebih menawan dan sopan, tetapi turut menampilkan ciri-ciri kewanitaan, sekali gus memperkasakan fesyen kebangsaan.