Panel penasihat teliti 43 klip video
Hanif Omar (dua dari kanan) bersama tiga anggota panel siasatan (dari kiri) Prof Dr Ruszmi Ismail, Hussamuddin Yaacub dan Liew Peng Chuan.


PUTRAJAYA - Panel Penasihat Bebas akan meneliti 43 klip video, durasinya 73 jam, yang disediakan oleh polis, yang menunjukkan kelakuan peserta Bersih 3.0 di sekitar Kuala Lumpur termasuk kemusnahan harta benda dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Pengerusinya, Tun Mohammed Haniff Omar berkata, rakaman yang disedikan oleh polis terbabit merangkumi semua aspek termasuk rakaman membabitkan individu yang mengajak orang ramai untuk berhimpun pada hari berkenaan.

Menurutnya, rakaman yang dipertontonkan kepada ahli panel bermula sehari sebelum berlaku perhimpunan sehingga pada hari kejadian tersebut.


Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan 43 video yang mencecah durasi 73 jam kepada ahli panel.

"Kami masih teliti video klip ini untuk mendapatkan bukti.

"Video klip yang sebanyak 43 buah itu, kami terpaksa memilih sudut berlainan yang menggambarkan suasana sebenar perhimpunan tempoh hari," katanya pada sidang media petang tadi.

Menurut Hanif lagi, melalui video tersebut mereka akan meneliti tingkah laku, suasana dan kerosakan harta benda ekoran perhimpunan Bersih 3.0 lalu.


Hanif berkata, mereka akan menyiarkan video klip itu kepada umum selewat-lewatnya Isnin depan.


Beliau juga meminta kerjasama masyarakat yang mempunyai bukti atau rakaman perhimpunan tersebut supaya tampil memberi bukti yang dimiliki supaya panel dapat menilainya.

"Saya seru kepada mereka yang ada bukti tersebut serahkan dengan segera untuk dikaji," katanya.

Mereka yang ingin berbuat demikian boleh menghubungi nombor 1388-8681-12, nombor telefon 03-88861811 atau 03-88868112 atau faks di nombor 03-88894836 atau boleh e-mel kepadabilikgerakan@moha.gov.my.