Thursday, February 9, 2012

SPRM panggil Shahrizat




2012/02/09

SHAHRIZAT keluar dari bangunan SPRM selepas memberi keterangan kes PFN, semalam. - Foto Mohd Fadhli Hamzah
SHAHRIZAT keluar dari bangunan SPRM selepas memberi keterangan kes PFN, semalam. - Foto Mohd Fadhli Hamzah
Menteri disoal siasat 2 jam setengah berhubung kes pusat fidlot

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira dua jam setengah berhubung isu Pusat Fidlot Negara (PFN) di sini, semalam.

Beliau yang kembali memulakan tugas semalam selepas bercuti tiga minggu, tiba di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira jam 4 petang dan dilihat bertemu Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali di tingkat satu bangunan berkenaan.
Ketika ditemui wartawan selepas itu, Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno, berkata kehadirannya di SPRM bertujuan membantu siasatan berhubung isu PFN yang diuruskan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) yang diketuai suaminya, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail selaku Pengerusi Eksekutifnya.
“Saya sebenarnya mengambil cuti dengan harapan SPRM memanggil saya untuk membuat siasatan rapi mengenai isu NFC (NFCorp), sama ada saya terlibat atau tidak terlibat dengannya.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) saya disiasat, saya datang ucap terima kasih kepada SPRM kerana memanggil saya dan datang dengan rela hati kerana sememangnya saya menunggu mereka memanggil saya.

“Sepanjang dua jam setengah mereka bertanya soalan dan saya memberi jawapan di mana saya nyatakan secara jelas dan terang, saya tidak pernah terbabit dalam membuat keputusan atau apa-apa isu dengan NFC.

“Saya hadir di sini kerana saya isteri kepada Pengerusi Eksekutif NFC, (Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail), sebab itu wujud persoalan sama ada ada konflik kepentingan dalam keputusan yang dibuat.
“Saya sudah pun menjelaskan sebelum ini, saya tidak pernah terbabit dan ada dokumen rasmi untuk mengesahkannya,” katanya kepada pemberita yang menunggu sejak jam 3 petang di ibu pejabat SPRM.

Sebelum ini, Shahrizat bercuti daripada menjalankan tugas sebagai menteri selama tiga minggu dan berharap dalam tempoh itu SPRM akan menjalankan siasatan mengenai NFC milik suaminya yang turut dikaitkan dengannya.

Projek NFC diuruskan National Feedlot Corporation Sdn Bhd, anak syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd (Agroscience) di Gemas, Negeri Sembilan, dikecam pembangkang yang mendakwa wujud penyelewengan dana kerajaan membabitkan pinjaman mudah bernilai RM250 juta.

Isu berkaitan pusat itu disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 selepas ia berdepan masalah apabila sasaran pengeluaran dikurangkan daripada 60,000 lembu kepada 8,000 lembu.

Sementara itu, Mustafar yang dihubungi berkata, Shahrizat memberikan kerjasama yang baik ketika memberi keterangan.

“Kita panggil Shahrizat ke SPRM adalah sebahagian daripada prosedur biasa siasatan yang kita dijalankan,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut.
Berita Harian Online | SPRM panggil Shahrizat:

'via Blog this'

Kematian Patrick Wong memang kes bunuh, kata polis



9 Februari 2012
Raja Petra

KUALA LUMPUR - Polis hari ini menjelaskan kematian bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) Datuk Patrick Wong pada 2009 telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh sejak awal lagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Persekutuan, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata demikian sebagai merujuk kepada artikel bertajuk "Episode 2: The Murder of a Whistleblower" yang disiarkan oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin dalam portal berita online Malaysia Today.

"Polis menyangkal andaian bahawa kami memutuskan bahawa kematian Datuk Patrick Wong adalah akibat jatuh," kata Mohd Bakri dalam kenyataan hari ini.

"Dari awal lagi, kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kes masih belum ditutup dan penyiasatan masih diteruskan," tegasnya.

Mohd Bakri merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu agar tampil dan membantu siasatan polis.

Dalam artikel itu, Raja Petra membangkitkan persoalan berhubung kematian Wong, mendakwa ahli pernigaaan itu telah mengumpulkan maklumat mengenai skandal perlombongan pasir di Selangor sejak beberapa tahun sebelum kematiannya.

Raja Petra mendakwa Wong mati di tangan pembunuh upahan dan bukannya akibat rompakan. - BernamaKematian Patrick Wong memang kes bunuh, kata polis - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Sukri saman Papagomo


SUHAIZA ABU BAKAR
9 Februari 2012
Ahli Suruhanjaya Perkhidma­tan Negeri Kelantan

KOTA BHARU – Peguam terkenal, Datuk Sukri Mo­ha­med memfailkan saman fit­nah berjumlah RM10 juta ter­hadap blogger pro Umno, Papagomo berikutan penye­baran beberapa artikel yang mendakwa ahli politik itu me­nyeleweng wang rakyat Kelantan.

Writ saman itu dikemuka­kan terhadap blogger Papa­gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, baru-baru ini.

Dalam writ saman itu, Ahli Suruhanjaya Perkhidma­tan Negeri Kelantan itu men­dakwa artikel-artikel yang di­muatkan dalam blog itu secara terbuka memfitnahnya iaitu “Ratusan ribu wang rakyat lesap disamun penasihat Sul­tan Kelantan’, pada 4 Mei 2011.

Kandungan tulisan itu an­tara lain menyebut plaintif kononnya mengarahkan Peja­bat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh menurap jalan tar di atas tanah persendirian miliknya di Banggol Mak Esah, Pasir Puteh, Kelantan bagi meraikan majlis persandingan anaknya pada 16 April 2011 menggunakan Dana WANG RAKYAT KELANTAN dari Pejabat Tanah dan Jajahan Pa­sir Puteh. Kos yang di­anggarkan dalam penurapan jalan tar tersebut di laporkan ber­jumlah RM200,000.

Artikel kedua bertajuk “Eksklusif - Wang Komisen RM700,000 Hasil Kayu Balak Kelantan Milik Siapa?” yang secara innuendo menuduh plaintif di dalam tulisannya:

“Di dalam dokumen di atas dinyatakan tarikh dan jumlah Transaksi Amaun Wang Tunai yang telah di­masukkan ke dalam akaun seseorang individu yang amat berpengaruh di Kelantan. In­dividu ini dikatakan cukup hebat sampaikan tidak ramai yang boleh mengambil apa apa ke atas individu tersebut”

“Hebat Individu yang berkuasa ini, boleh melakukan apa sahaja demi kerjaya politik­nya. Siapa individu tersebut? Gomo yakin sudah ada orang di Kota Bharu yang menge­ta­hui Individu yang dimaksud­kan itu.”

“Keseluruhan dokumen komisen yang berjumlah RM700,000 yang didedahkan ini akan dibongkar semuanya esok bagi menjelaskan kepada rakyat Kelantan hakikat yang berlaku selama ini.”

Artikel itu kemudian di­sambung oleh defendan me­lalui tulisannya di dalam blog yang sama dengan turut di­iri­ngi dengan gambar Plaintif de­ngan tajuk; “Tuanku Sultan Ke­lantan sembunyikan rahsia besar penyelewengan pena­sihatnya? ”

Berikutan penyebaran ar­tikel berkenaan, Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan itu mendakwa defendan me­nuduh plaintif sebagai seorang tidak amanah, perompak dan penyeleweng dan memburuk-burukkan plaintif di kalangan masyarakat bahawa dengan penyiaran artikel tersebut, imej baik plaintif telah terjejas di mata masyarakat.Sukri saman Papagomo - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Jangan main tembak, Khalid bidas Hasan


NURULFATIHA MUAH
9 Februari 2012

SHAH ALAM – Khalid Abdul Samad menggesa bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali supaya mendedahkan premis yang didakwa menjadi ‘sarang maksiat’ di bandar raya Shah Alam jika benar dakwaan beliau.

Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor berkata, kenyataan Hasan yang mendakwa Shah Alam sebagai kota maksiat tanpa menyebut perincian premis terlibat itu menggambarkan seolah-olah tempat seperti rumah urut, pusat refleksologi dan hotel di sini, semuanya bermasalah.

“Hasan sepatutnya dedahkan di mana tempat itu. Bukan main tembak dan cakap saja,” kata Ahli Parlimen Shah Alam ini pada sidang media, di pejabatnya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kenyataan bekas Pesuruhjaya Pas itu juga memberi gambaran seolah-olah pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak menjalankan tugas mereka dengan baik.

“Sebenarnya, beliau mahu tempelak saya, tetapi kenyataannya itu seperti turut mengheret sama Datuk Bandar Shah Alam (Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan), pihak penguatkuasaan dan perlesenan.

“Jika saya ada kuasa, saya akan halang, tetapi saya bukan di bawah pentadbiran MBSA,” katanya.

Khalid berkata, MBSA hampir setiap minggu menjalankan operasi di hotel dan pusat refleksologi.

“Jika benar dakwaan Hasan, sudah tentu premis terlibat akan ditutup.

“Jadi, apa yang didakwa Hasan sebagai pusat maksiat? Saya hendak beliau beri perincian dan minta MBSA beri penjelasan jika benar Shah Alam kota maksiat,” katanya.Jangan main tembak, Khalid bidas Hasan - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tee Keat: Sokongan Cina tenat


ABDUL JALIL ALI, LAILATUN KHALILAH NASIR & ROBIATULADAWIYAH ABD RASH
9 Februari 2012
Datuk Seri Ong Tee Keat

Karier politik bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dilihat merudum apabila gagal mengekalkan jawatan sebagai Presiden MCA pada pemilihan Mac 2010. Namun menjelang Pilihanraya Umum ke-13, namanya kembali menjadi sebutan selepas dikaitkan dengan pemimpin kanan pembangkang. Kemunculannya sebagai Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) semakin menguatkan desas desus akan meninggalkan MCA.

Pertemuan bersama Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali, Editor kanan, Lailatun Khalilah Nasir, dan wartawan Robiatuladawiyah Abd Rashad serta jurufoto Rosli Talib, membongkar isi hati Ahli Parlimen ini yang terkenal dengan keberaniannya mengkritik parti.


Jatuh bangun dalam politik itu lumrah, namun sebagai seorang yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam parti, bagaimana Datuk Seri melihat MCA sekarang kerana sokongan kaum Cina dilihat sudah beralih arah kepada parti pembangkang?

TEE KEAT: Soalan ini agak sensitif pada masa sekarang apabila ia menyentuh sokongan kaum Cina khususnya kepada pucuk pimpinan­ MCA.

Pada hemat saya, apa yang mustahak kepada sesebuah parti itu adalah kebolehan entiti parti mengerahkan tenaga dan jentera di peringkat akar umbi. Kedua, berkebolehan untuk mendapat keyakinan khasnya masyarakat yang diperjuangkan hak mereka. Ketiga; sama ada sesebuah parti itu berpandukan nilai perjuangan atau didorongi kepentingan semasa khasnya kepentingan diri.

Dalam hubungan ini, saya nampak MCA , bukan sahaja perlu mengalami satu proses transformasi, yang bukan sahaja terhad kepada strukturnya tetapi pada masa sama memerlukan transformasi hala tuju parti itu sendiri.

Saya tidak kata perjuangan nenek moyang kita tidak relevan lagi, tetapi kita telah masuk ke era serba baru, kita tidak lagi boleh terbelenggu dalam minda yang lama. Adalah perlu untuk kita lebih cenderung memperjuangan isu-isu mikro yang merentasi kaum.


Bercakap soal transformasi, adakah Datuk Seri cuba membuat transformasi dalam MCA?

TEE KEAT: Saya perlu mengakui saya pernah berusaha untuk menjurus ke arah mentransformasikan MCA, tetapi tidak berjaya dan sedia maklum saya terkandas dalam usaha itu. Apa yang saya maksudkan itu mencakupi dalam struktur kepimpinan parti.

Bila saya menyandang jawatan Presiden MCA saya beritizam merompak sistem pemilihan parti iaitu direct election yang mana jawatan tertinggi parti dipilih oleh semua ahli bukanlah dipilih perwakilan sahaja. Itu adalah usaha pembaharuan yang saya cuba bawakan, tetapi malangnya walaupun diterima dalam majlis perhimpuan Agung ia tidak dapat dilaksanakan kerana ada rintangan dalaman. Keadaan ini juga menjadi faktor penyumbang kepada ‘penumbangan saya’, tapi itu sudah berlaku.

Saya lebih suka menyentuh soal nilai perjuangan. Orang selalu bercakap soal perjuangan,­ tetapi perjuangan itu berpandu kepada apa? Apa nilai perjuangan yang dibawa? Misi dan visi bukan hanya kata-kata manis tetapi perlu dijadikan panduan yang dapat dilaksanakan. Kalau berpolitik atau menceburi perjuangan untuk mendapatkan habuan peribadi, perkara itu sudah pasti akan menghancur-leburkan parti.


Selepas pemilihan parti yang lalu, Datuk Seri seringkali mengeluarkan kenyataan yang tidak seiring dengan pucuk pimpinan­ dan terbaru menyertai Amanah. Apakah beza Datuk Seri bersuara menerusi parti dan NGO (Amanah)?

TEE KEAT: Perkara ini perlu dilihat dalam dua sudut, iaitu dari segi penyertaan orang politik dengan NGO dan saya sebagai ahli biasa di dalam MCA tanpa sebarang jawatan yang masih belum pasti berpeluang atau tidak untuk bersuara di dalam parti.

Kalau mengikut persepsi umum wadah parti dan NGO tidak semestinya bercanggah. Kebanyakan orang politik ini ada pelbagai topi. Walaupun aktif dalam parti, mereka juga menyandang jawatan tertinggi di dalam NGO tertentu. Pada saya jika wadah perjuangan itu tidak bercanggah dengan kepentingan parti, perkara itu tidak sepatutnya menjadi pantang larang.

Saya akui, selepas saya tumbang, saya terpaksa merombak semula, hala tuju dan penekanan saya. Kini saya lebih kepada kerja di kawasan Parlimen Pandan dan kerja amal dalam NGO.

Biasanya untuk orang-orang yang bukan Melayu, NGO itu pelbagai, ada yang berteraskan kebaikan, ada yang berteraskan kepentingan suku kaum atau keturunan, perkara itu pelbagai. Tetapi di dalam MCA, Winner Takes All (pemenang membolot segala) itu memang sahih.


Penglibatan Datuk Seri di dalam Amanah yang dipelopori oleh kebanyakan­ veteran politik yang sudah tidak berada di dalam mainstream dilihat sebagai orang yang kecewa dengan parti. Apa komen Datuk Seri?

TEE KEAT: Amanah sebenarnya sebuah NGO baru, ia bukan sahaja dianggotai oleh veteran politik. Memang ada bekas-bekas pemimpin parti khasnya parti kompenan Barisan Nasional (BN) tetapi Amanah turut disertai orang buat BN dan pesara-pesara pegawai kanan kerajaan. Cuma perkara itu orang tidak pandang.

Saya sebagai orang politik yang masih berkhidmat menyertai NGO tentu ada sebabnya. Tetapi kecewa dengan parti atau mahu mencari wadah baru bukanlah penyebabnya. Apa yang digariskan Amanah dan prinsip utamanya berteraskan kepimpinan Tunku Abdul Rahman yang mengutamakan semangat dalam penyatuan kaum menarik minat untuk saya menyertainya selain menolak rasuah dalam politik.

Walaupun ada yang menjangkakan Amanah akan ditransformasikan menjadi parti politik. Namun saya berpendapat hal itu masih terlalu awal kerana banyak proses yang perlu dilalui.


Tarikh sebenar pilihan raya masih lagi menjadi tanda tanya, namun ramai yang menjangkakan ia tidak lama lagi. Melihat kepada PRU 12 dilihat sokongan kaum Cina sudah beralih arah kepada DAP, dalam kemelut yang dihadapi oleh Gerakan. Jadi apakah harapan untuk meraih undi Cina kembali kepada BN pada PRU13?

TEE KEAT:
Kalau kita menyingkap semula sejarah, iaitu sejarah PRU lalu pada 2004, 1999, dan 1995. Dalam tiga PRU itu sebenarnya masyarakat cina memberikan sokongan yang meyakinkan kepada BN sehingga banyak kubu pembangkang telah tumpas, itu membuktikan pada ketika itu kaum Cina menaruh kepercayaan melalui MCA.

Sokongan kaum Cina terhadap BN nampak begitu tenat hari ini. Apa yang berlaku pada tsunami politik yang 2008 bukan sesuatu petanda baru tetapi sudah ada tanda-tanda awal. Semua parti kompenan perlu terus terang apa yang tidak kena dalam hal ini, jika dibiarkan ianya berlarutan akan jadi satu bencana kepada BN pada PRU-13
Tidak lain daripada desakan masyarakat Cina khasnya terhadap parti kompenan dalam kerajaan untuk merombak corak perjuangan mereka bukannya semata-mata bersifat reaktif dan terus terbelenggu dengan isu-isu yang lama. Isu yang belum selesai memang perlu diteruskan. Tetapi perkara yang mendesak adalah seperti keselamatan, seperti rintihan hidup, kerana desakan hidup yang makin mencabar di peringkat akar umbi perlu ditanganani. Hal ini tidak perlu kenal benteng perkauman pun.

Pada keseluruhannya kaum Tionghoa memang beriktizam untuk menuntut keadilan­ atas beberapa keadilan misalnya dari segi peluang ekonomi.

Saya faham , memang ramai pihak cakap kaum Cina sudah dapat sekian banyak peratusan daripada hasil ekonomi negara, tetapi perlu diingat bahawa peratusan yang dimaksudkan itu sebenarnya tertumpu kepada golongan yang tertentu khasnya mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak tertentu. Bukannya peniaga kecil. Kalaulah kita cuma menganalisakan soal peratusan sahaja agak tercicir kerana apa yang rakyat mahu adalah peluang.

Kalau menyentuh pasal ekonomi peniaga cina, khasnnya industri kecil dan sederhana, mereka tidak banyak mempunyai peluang pinjaman atau kredit. Mereka rasa ruang itu tidak ada dan yang terpinga-pinga mencari jalan keluar. Tetapi apa yang dimahukan itu bukanlah sesuatu yang keterlaluan dan tidak melanggari Perlembagaan negara.
Sebagai wakil rakyat saya suka untuk dengar rintihan mereka, dan perkara itu kerap kali didengari ketika saya turun padang. Jadi penyelesaian dari segi itulah yang mereka mahukan.


Dalam meraih sokongan kaum Cina dalam BN, kenapa tidak MCA bergabung sahaja dengan Gerakan memandangkan prestasi Gerakan begitu merudum sehinggakan Presidennya Tan Sri Koh Tsu Koon mengumumkan penarikan dirinya dalam PRU13. Tidakkah Datuk Seri melihat penggabungkan itu nanti mampu memberi impak positif untuk menarik kembali sokongan kaum Cina?

TEE KEAT: Perkara pokok sekarang ini bukan soal individu, bukan soal Tan Sri Koh Tsu Koon bertanding atau tidak, hal sekarang ini lebih rumit sebab yang mustahak sekali pengundi Cina khasnya generasi muda walaupun ada sebahagian yang telah berumur terikut-terikut dengan rentak semasa.

Kalau mereka mengharapkan sesuatu yang serba baru atau sesuatu yang disifatkan sebagai perubahan transformasi supaya dapat membawa nafas baru dan harapan negara, itu sesuatu yang jauh berbeza dengan pilihan individu sama ada bertanding atau tidak.

Transformasi dan perubahan itu telah saya nyatakan secara lantang dalam beberapa forum yang lepas. Saya pernah cakap perubahan itu perlukan berlaku pada semua pihak kerana ini trend semasa. Tetapi pada masa yang sama kenalah kita bezakan dan beri pengertian yang betul apakah maksud transformasi sebenar.

Perubahan dari segi tampok pemerintahan­ ataupun perubahan takuk minda. Perubahan takuk minda tidak semestinya perlu tukar orang, tetapi tukar otak itu yang mustahak perlu tukarlah mekanisme yang ada. Saya tidak percaya istilah perubahan itu sekadar perubahan dari segi tampok pemerintahan sahaja tanpa merombak takuk minda tidak ke mana.

Soal bergabung, perkara ini telah lama kita debatkan sejak dahulu lagi dan sehingga sekarang masih ada orang tertanya-tanya kenapa tidak kita bergabung. Kita kena berbalik kepada asas, khasnya perbezaan sturktur kedua-dua buah parti itu. Gerakan yang ditubuhkan pada tahun 60-an, yang mana awalnya dianggotai oleh semua kaum, dan barisan pemimpin awalnya juga terdiri daripada pelbagai kaum tetapi parti MCA sedia maklum adalah parti kaum Cina.Tee Keat: Sokongan Cina tenat - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Hasan Ali: 5 sebab Pas terus menyimpang


WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Februari 2012

KUALA LUMPUR - Bekas naib presiden Pas Datuk Dr Hasan Ali, yang dipecat daripada parti itu 8 Januari lepas memberikan lima sebab kenapa beliau rela dilihat berpatah arang berkerat rotan dengan Pas.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama, Hasan menggariskan sebab-sebab itu ialah:

- Pas meninggalkan perjuangan asalnya untuk menubuhkan sebuah Negara Islam dan menggantikannya dengan Negara Kebajikan, yang boleh dilaksanakan di mana-mana negara sekular dalam apa juga sistem dan amalan politik.

- Pas sudah hilang pendirian dan ketegasan yang boleh dihormati apabila diperkotakkatikkan oleh rakan sekongkolnya dalam pakatan pembangkang khasnya DAP sehingga menolak bulat-bulat Negara Islam.

- Pas terlalu ghairah memimpikan Putrajaya sehingga mengorbankan Islam dengan bersekongkol dengan DAP yang terang merupakan musuh Islam.

- Pemikiran ulama di dalam Pas yang ada sekarang sudah "dilarutkan" dengan kehadiran sebanyak 70 peratus "parasit" di dalam kepimpinannya yang membawa kepentingan politik berlainan daripada hala tuju Pas.

- Kesetiaan wakil rakyat Pas dalam Parlimen lebih besar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi perhatian besar dan hadir dengan ramai setiap kali ketua pembangkang itu berucap sedangkan ketika Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap, banyak bangku yang kosong.

Hasan berkata, Pas kini sudah menyimpang jauh dan terus hanyut daripada perjuangan asalnya selagi parti itu berada dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menjelaskannya, beliau berkata apa yang dijanjikan kepada masyarakat Islam di negara ini sebelum ini adalah penubuhan sebuah Negara Islam tetapi impian itu sudah mustahil untuk dicapai apabila pakatan pembangkang ditubuhkan dan Pas, atas pertimbangan kepentingan politik semata-mata, telah menyertainya.

"Yang kita dapat di Selangor sekarang, samalah akan terjadi di Putrajaya.

Kalau mereka (pembangkang) menang atas konfigurasi komponen (parti) yang ada, tak akan adalah Negara Islam, tak akan adalah hukum hudud. Begitu juga pelaksanaan Islam dalam ekonomi, sosial, pertanian dan dasar luar negara.

"Jadi bila gabung dengan DAP dan PKR, Pas tak boleh lagilah dengan negara Islam. Ketua Umum PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun tak berminat.

"Saya baru 15 tahun dalam Pas. Saya masuk Pas kerana saya nak Islam dan kepimpinan ulama iaitu 'tagline' Pas. Itu sebab utama saya masuk Pas. (Tapi) kepimpinan ulama tidak lagi dominan. Negara Islam tak ada lagi, jadi saya nak bergantung ke mana?" katanya.

Hasan, yang sebelum ini Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, berkata Pas terpaksa mengubah inti perjuangan kepada Negara Kebajikan.

"Negara Kebajikan semua negara boleh buat. Negara di Eropah misalnya, Norway, Sweden pun buat tetapi atas prinsip sekular, mereka tak nampak faktor agama.

"Dalam keadaan banyak umat Islam bergantung harapan kepada Pas, parti itu sendiri menolak Negara Islam. Alasan yang dahulunya dikatakan oleh Pas sendiri bahawa ia dituntut oleh Islam telah tiba-tiba diputar belitkan oleh Pas juga bahawa tiada disebut dalam al-Quran," katanya.

Menyentuh cita-cita Pas untuk menawan Putrajaya, Hasan berkata beliau tidak mempertikaikannya semasa masih berada di dalam parti itu tetapi tidak mahu Islam dikorbankan dalam usaha berkenaan.

"Orang Pas mungkin dah tak sabar nak jadi menteri, itu yang nak ke Putrajaya, itu agak sayalah, sampaikan prinsip perjuangan diketepikan. Dalam soal ini, saya tidak setuju.

"Saya dari awal lagi sudah menentang Negara Kebajikan ni. Walaupun Putrajaya itu penting tetapi mendaulatkan Islam, Melayu dan Raja adalah matlamat perjuangan politik kita," katanya.

Hasan berkata tarikan ke Putrajaya itu sangat kuat disebabkan Pas terus digula-gulakan dan dikipas oleh pemimpin parti pembangkang, dan banyak kepimpinan Pas sekarang rela memejamkan sebelah mata walaupun mereka mungkin sedar Pas sedang diperalatkan oleh rakan pakatan untuk mencapai cita-cita itu.

"Bila ke Putrajaya sekalipun, akan berlaku perebutan kuasa antara Pas, DAP dan PKR dalam kementerian-kementerian penting. Dalam pakatan pembangkang pun tak kukuh kerana ini sekadar gabungan tidak kukuh, dan bukannya desakan kemahuan ikhlas dan suci untuk mendaulatkan Islam.

Beliau juga berkata kepimpinan Pas perlu berubah dan membuat 'islah' kerana pelbagai prinsip di dalam parti itu dilihatnya sudah tidak betul.

Contohnya, Hasan berkata beliau dimaklumkan oleh rakan-rakan dalam parti bahawa apabila Abdul Hadi berbahas di Parlimen, tidak ramai yang berada di kerusi mereka tetapi berbeza apabila Anwar yang berucap, itu pula yang diberi perhatian penuh.

"Takkan kita dalam Pas, kesetiaan kita adalah kepada orang lain pula. Pada saya ini prinsip yang sangat tak betul. Prinsip berjemaah tak betul, prinsip berketua tak betul dan prinsip pengikut tak betul. Akhirnya prinsip mengurus organisasi tak betul dan ini yang berlaku sekarang.

"Saya dah gambarkan sebelum ini selepas menjadi kerajaan di Selangor selama tiga tahun dan 10 bulan dengan melihat semula kekuatan, kelemahan dan peluang.

"Saya boleh senaraikan 20 kelemahan tetapi pakatan pembangkang tak buat dan tak berani buat," katanya.

Hasan juga membidas Anwar kerana suka menimbulkan reaksi masyarakat dengan mengadakan demonstrasi.

"Bukan tak bagus demonstrasi tapi bukan semuanya sesuai untuk demonstrasi.

Akhirnya (negara) akan jadi anarki dengan masing masing mentafsir berdasarkan pemikiran masing-masing. Itupun perlu mengikut kehendak syariat," katanya.

Beliau mengakui diberitahu bahawa di dalam pakatan pembangkang apa juga perkara perlu dirujuk kepada Anwar dan akhirnya akan berlaku amalan autokratik dan dengan itu senang untuk 'menunggangi' Pas.

"DAP tak mudah ditunggangi," katanya.Hasan Ali: 5 sebab Pas terus menyimpang - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Gerakan gesa Sharizat undur diri demi BN


WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Februari 2012
Shahrizat Abdul Jalil

SHAH ALAM – Demi kepentingan Barisan Nasional (BN), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil wajar mengosongkan jawatannya dalam Kabinet, dan memberi tumpuan ke atas usaha memerangi serangan Pakatan Rakyat (PR) terhadap keluarganya berhubung kontroversi Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, walaupun saranan itu merupakan satu pengorbanan di sebelah pihak, tetapi langkah tersebut satu langkah bijak untuk menyelamatkan BN daripada serangan melulu pihak pembangkang.

“BN mesti dibebaskan dari implikasi yang tidak diingini kerana beban yang timbul dari NFC hanya akan menjejaskan imej BN.

“Bagaimanapun, beliau (Sharizat) boleh kembali ke Kabinet selepas episod ini dan namanya dibersihkan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Shahrizat baru kembali meneruskan tugas dan tanggungawabnya sebagai menteri selepas tiga minggu bercuti.

Sebelum ini, ada beberapa pemimpin Umno menggesa beliau melepaskan jawatan dalam kerajaan.

Semalam, Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berhubung isu NFC.

Malah dalam kenyataannya semalam, Shahrizat berkata: "Saya telah katakan bahawa saya bukan sebahagiannya."

Isu mengenai NFC, yang diterajui suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail sebagai Pengerusi Eksekutif NFCorp, mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010, yang dikeluarkan Oktober lalu, menyatakan bahawa NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Ia semakin panas berikutan dakwaan pembangkang kononnya wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

Dalam kenyataannya, Ko Youn menambah, ketika ini kempen ‘fitnah’ yang dilancarkan oleh PR dilihat bersifat tidak adil dan kejam.

Beliau turut bersetuju bahawa Shahrizat bukan sebahagian daripada NFC dan yakin bahawa beliau tidak bersalah sehingga terbukti melakukan kesalahan.

Beliau berkata, adalah juga bercanggah dengan lumrah keadilan untuk mengutuk seseorang atas dasar tuduhan dengan bukti yang tidak berasas.

“Namun begitu, saya berharap, ahli keluarga beliau (Shahrizat) tampil memberikan penjelasan di pihak mereka untuk menghilangkan sebarang keraguan yang ditimbulkan dengan menyertakan semua salinan dokumen yang dapat menyokong pembelaan.

“Sebagai tokoh umum, setiap apa yang dilakukan akan menjadi perhatian,” katanya.Gerakan gesa Sharizat undur diri demi BN - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Hasan: Mana bukti saya 'gila meroyan' mahu jadi MB


KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
9 Februari 2012
Hasan Ali menyampaikan ceramah sambil ditemani Mohamed Hafiz (kanan) di Dataran Dato' Sheikh Ahmad,

KANGAR - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mencabar pemimpin parti itu menunjukkan bukti kononnya beliau 'gila meroyan' untuk menjadi Menteri Besar (MB) termasuk rakaman video percakapan jika ada.

Beliau membuat cabaran itu bagi membersihkan namanya yang teruk terjejas setelah Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mendakwanya bercita-cita menjadi MB Selangor melalui pembentukan kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno sejurus Pakatan Rakyat (PR) memenangi lima negeri dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.

Menurutnya, isu mengejar pangkat dan jawatan tidak timbul dalam perjuangan politiknya, sebaliknya usaha menyatupadukan umat Islam di negara ini yang menjadi teras utama.

"Saya tuntut pemimpin berkenaan tunjukkan bukti rakaman video dan sebagainya yang boleh menyokong dakwaan kononnya saya gila talak, meroyan hendak jadi MB Selangor selama ini.

"Saya sanggup lepaskan jawatan Exco Kerajaan Negeri dan menjadi Adun Bebas kerana tidak sanggup bersekongkol dengan parasit Pas yang mempunyai agenda peribadi berbanding perjuangan menegakkan syiar Islam," katanya sewaktu menyampaikan Ceramah Perdana Selamatkan Akidah di Dataran Dato' Sheikh Ahmad, malam kelmarin.

Turut hadir bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin.

Hasan berkata, beliau turut terkilan apabila ada ulama Pas yang menuduhnya sombong dan ego sehingga sanggup tidak membuka pintu rumah dan enggan melayan tetamu.

Menurutnya, fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kesemua pemimpin dan ulama Pas berkenaan akan dituntutnya di akhirat kelak.

"Sejurus difitnah seorang ulama Pas menuduh saya tidak buka pintu untuk tetamu, isteri saya terus berasa marah dan sedih kerana senario sebenar menunjukkan keadaan sebaliknya.

"Selama ini, saya menghormati ulama dan tidak pernah menghentam mereka walaupun saya dipecat daripada parti. Hari ini, baru saya sedar wajah sebenar segelintir pemimpin Pas yang layak digelar parasit kerana menggunakan parti untuk kepentingan diri," katanya.

Sehubungan itu, Hasan menggesa rakyat Perlis memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja (IMR) yang didukung Jati dan berharap lebih 100,000 rakyat negeri itu menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang bakal dilancarkan pada 21 Februari ini.

"Kehadiran 5,000 hadirin hari ini yang majoritinya terdiri golongan anak muda adalah bukti jelas Jati mempunyai objektif penubuhan kukuh untuk memperjuangkan syiar Islam dan menyelamatkan akidah umat yang jauh terpesong.

"Kehadiran yang ramai membuktikan usaha pihak tertentu mensabotaj ceramah saya dengan mengoyakkan poster, kain rentang serta menyebarkan 'pembatalan' ceramah menerusi blog tidak berkesan. Ia tidak mampu menghalang niat murni ini semata-mata kerana Allah," katanya.Hasan: Mana bukti saya 'gila meroyan' mahu jadi MB - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'