Wednesday, February 22, 2012

Nik Aziz: 'Haram sekongkol dengan Israel' -

Nik Aziz & Anwar

SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menegaskan, adalah haram bagi mana-mana pihak bersekongkol dengan Israel dalam apa jua bentuk hubungan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi, Nik Abdul Aziz berkata, beliau berpandangan bahawa Anwar memahami pendirian Pas yang tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin.

"Oleh kerana itu tidak berbangkit Pas telah menggadai prinsip perjuangan tatkala bersama Pakatan Rakyat," katanya.

Sehubungan itu kata Nik Abdul Aziz, beliau yakin, pihak Pakatan Rakyat tetap sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu.

Nik Abdul Aziz berkata, dengan memahami penjelasan Anwar, yang diberikan semalam, Pas kekal dengan pendirian yang telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulama iaitu parti Islam itu sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel.

"Maka Pas tetap istiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri. Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian Pas ini," katanya.

Menurut Nik Aziz, bagi beliau, pendirian Pas adalah wajar kerana kewujudan negara haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak umat Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestin.

"Tambahan pula, tindakan penguasa Israel yang tidak habis-habis menzalimi dan membunuh rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua. Justeru, adalah haram menerima kewujudan negara Israel yang haram.

"Pada saya, Datuk Seri Anwar memahami pendirian Pas yang tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin," katanya lagi.

Nik Abdul Aziz dan Anwar mengadakan pertemuan di ibu negara pagi.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kira-kira 24 jam selepas pertemuan mereka, Nik Abdul Aziz berkata, Anwar telah datang menemuinya untuk menjelaskan maksud kenyataannya berhubung ‘keselamatan Israel’ yang disiarkan oleh Wall Street Journal, bulan lalu.

"Mungkin juga beliau datang setelah mengetahui keputusan Majlis Syura Ulama Pas minggu lepas yang menggesa beliau menarik balik kenyataan dalam Wall Street Journal itu yang difahami sebagai menyokong Israel.

"Majlis Syura Ulama juga menggesa, sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dinasihatkan agar mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama," katanya.

Nik Abdul Aziz menjelaskan bahawa pertemuan mereka telah berlangsung dalam suasana harmoni dengan Anwar telah menjelaskan kesemua isu yang telah berbangkit.

Pada pertemuan itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga hadir.


Nik Aziz: 'Haram sekongkol dengan Israel' - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pelajar hidu debu setiap hari

hidu debu

GELIGA – Ibu bapa dan penduduk meminta pihak kontraktor yang melakukan kerja pembersihan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga agar tidak meninggalkan sisa selut yang telah dikorek dari dalam longkang bagi mengelakkan masalah debu.

Ketua Pemuda Umno Cawangan Geliga Baru, Zulkarnean Zubir yang mewakili penduduk mendakwa, disebabkan pihak kontraktor melakukan kerja mudah dengan meninggalkan sisa selut menyebabkan sisa berkenaan mengalir ke kawasan pintu pagar sekolah selepas hujan.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan itu dilakukan sebelum sesi persekolahan 2012 iaitu pada awal Januari lalu.

“Apabila cuaca panas selut yang telah merebak ke kawasan hadapan sekolah iaitu di hadapan pintu pagar keluar sekolah menyebabkan berlakunya masalah debu terutama apabila ada kenderaan keluar masuk sekolah.

“Disebabkan itu juga pintu pagar keluar terpaksa ditutup kerana dipenuhi selut tebal. Malah ketika sesi persekola­han­ baru dibuka Januari lalu, ada kereta guru terperangkap dalam selut ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Akibat hanya satu pintu pagar digunakan, menurutnya, pintu pagar utama menjadi sibuk kerana menjadi laluan masuk dan keluar pada satu-satu masa.

Zulkarnean berkata, lebih parah apabila cuaca hujan, air akan bertakung di hadapan sekolah berkenaan menyebabkan pelajar dan seluruh warga sekolah tidak selesa.

“Selain tidak selesa, masalah debu ini juga dikhuatiri boleh mengganggu kesihatan pelajar yang setiap hari terpaksa menghidu debu,” katanya.

Sehubungan itu, pihak berkenaan diharap dapat memastikan kawasan longkang dibersihkan sepenuhnya.

“Kita juga harap pihak berwajib dapat menaik taraf jalan di bahagian pintu keluar SMK Geliga agar ia lebih tinggi sepertimana jalan di pintu pagar masuk. Kita juga minta disediakan sebuah lagi hentian bas untuk kegunaan pelajar SMK Geliga ini. Dengan pelajar sekarang
berjumlah 1,500 orang hentian bas sedia ada tidak mampu menampung keperluan pelajar,” katanya.


Pelajar hidu debu setiap hari - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Isu Israel: Khairy sangkal tuduhan Anwar

Khairy Jamaluddin


PARIT - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyangkal dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya media Umno menggunakan sebahagian sahaja kenyataannya dalam akhbar Wall Street Journal(WSJ) berhubung sokongan ketua pembangkang itu terhadap Israel.

Beliau berkata, tuduhan Anwar itu menggambarkan seolah-olah media Umno yang memutar belit kenyataannya yang disiarkan dalam akhbar antarabangsa itu.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Umno di di sini hari ini, Khairy berkata temu bual yang disiarkan dalam akhbar WSJ jelas menunjukkan bahawa Anwar menyokong usaha menjaga keselamatan Israel.

"Dalam kenyataan tersebut, dia kata dia sokong segala pertahanan Israel," katanya.

Laman media rasmi Parti Keadilan Rakyat, KeadilanDaily, hari ini melaporkan bahawa Anwar dalam pertemuan bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjelaskan bahawa salah faham isu itu timbul disebabkan media Umno hanya menggunakan sebahagian sahaja daripada kenyataannya yang disiarkan oleh WSJ bulan lepas.

Khairy berkata, kerajaan mempunyai polisi dan pendirian yang jelas bahawa Malaysia tidak mempunyai hubungan politik dan diplomatik dengan Israel.

"Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya sedar bahawa ada hubungan perdagangan antara Malaysia dan Israel tetapi ia adalah hubungan antara syarikat.

"Saya harap perkara ini dapat diketahui umum bahawa kita berdagang bukan kerana kita sokong Israel tetapi ini keperluan dari segi globalisasi," katanya.

Beliau berkata, Pemuda Umno akan mengadakan sesi ceramah di seluruh negara dalam masa terdekat bagi memberi penerangan dan penjelasan berhubung tindakan Anwar itu kepada orang ramai.

"Kita akan arah unit pemidato Pemuda Umno untuk pergi ke setiap negeri bagi menyampaikan kepada orang ramai bahawa sokongan terhadap tindakan Anwar itu adalah sama seperti menyokong Israel," katanya. - Bernama


Isu Israel: Khairy sangkal tuduhan Anwar - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mufti Perlis: Lambakan filem tahyul, hantu bimbangkan

Dr Juanda Jaya

KANGAR - Lambakan filem dan drama berunsur tahyul, hantu dan seram yang ditayangkan terutama melalui televisyen memberi kesan negative terhadap pembinaan masyarakat yang bertamadun, kata Mufti Perlis Dr Juanda Jaya hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) memantau serta mengawal penayangan filem dan drama seumpama itu yang antaranya menggambarkan tahap penghinaan yang serius terhadap Islam.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya hari ini, beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang bersidang semalam turut membangkitkan perkara itu kerana bimbang ia mungkin mempengaruhi akidah umat Islam.

"Ia bukan hanya untuk filem-filem atau drama tempatan tetapi juga yang diimport," katanya.

Juanda percaya lambakan filem dan drama seumpama itu adalah kerana ia mendapat sambutan masyarakat sedangkan kesan jangka panjang kepada penonton adalah buruk.

Beliau turut mencadangan supaya satu kajian mengenai impak penonton terhadap filem-filem seumpama itu.

Selain itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis juga membangkitkan isu eksploitasi terhadap wanita melalui iklan produk tertentu sehingga mempamerkan aurat mereka secara tidak terkawal.

"Islam meletakkan wanita pada kedudukan yang tinggi dan tidak sewajarnya mereka dieksploitasi untuk melariskan barangan," katanya.

Beliau berkata wanita Islam yang terpilih sebagai model barangan tertentu sepatutnya menutup aurat manakala yang bukan Islam perlu berpakaian sopan.

Sementara itu, Juanda melahirkan rasa kecewa dengan iklan penjualan kismis yang kononnya telah dibawa tawaf di Kaabah untuk meningkatkan khasiatnya begitu juga iklan mengenai air zam zam yang kononnya telah dibawa ke tempat solat hajat semata-mata untuk mendapatkan harga yang lebih tinggi berbanding biasa.

Beliau menyifatkan iklan seumpama itu bertujuan menipu pengguna di samping melakukan eksploitasi agama dalam perniagaan. - Bernama

Mufti Perlis: Lambakan filem tahyul, hantu bimbangkan - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

“Kapal Israel singgah, tiada urusan”

Wesports

SHAH ALAM – Westports Malaysia menyangkal dakwaan ada kapal dari Israel berlabuh di Pelabuhan Klang dan menjalankan urus niaga dengan negara ini.

Ketua Korporatnya, Mejar (B) Manisegaran berkata, Westports tidak pernah beri lampu hijau kepada kapal didaftarkan di Israel untuk berlabuh.
Menurutnya, ada kapal dari Israel singgah, tetapi tidak berlabuh kerana gagal mendapat kebenaran kerajaan.
“Memang ada, tetapi hanya untuk singgah. Mereka tidak dibenarkan menetap dan anak kapal pula dilarang menjejak kaki ke darat, jauh sekali kita melakukan urusan perniagaan dengan kapal itu.
“Seperti dakwaan pihak tertentu (Jingga 13) yang kami menerima kapal dari syarikat Zim Integrated Shipping Service Ltd, pada 16 Februari tahun lalu, iaitu datang secara langsung dari Ashdod Israel, memang ada, tetapi mereka singgah sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, Westports tidak mempunyai kuasa untuk ‘mengganggu’ kapal berkenaan, namun mereka mesti menurunkan bendera Israel jika berada di perairan negara.
“Westports tidak boleh sesuka hati menahan atau menghalau mereka daripada singgah di perairan negara. Begitu juga kapal Zim Integrated hanya singgah di pelabuhan dan anak kapal juga tidak turun ke darat,” katanya.
Ditanya sama ada Westport mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan kapal berkenaan walaupun singgah di negara ini, Manisegaran berkata, tidak ada peruntukan undang-undang membenarkan pihaknya menghalau kapal yang sekadar singgah sebelum meneruskan perjalanan ke negara lain.
“Kapal itu bukan terus dari Israel dan menuju terus ke Malaysia, sebaliknya singgah di beberapa pelabuhan sebelum ke destinasi seterusnya. Perkara ini berlaku di mana-mana negara di dunia kerana setiap pelabuhan menjalankan fungsi sebagai transit atau dikenali persinggahan.
“Kita tidak pernah langgar dasar kerajaan yang melarang sebarang bentuk perhubungan dengan Israel. Apa pun, andai kata ada barangan Israel dikesan cuba dibawa ke negara ini, kami tidak akan membenarkan kontena itu turun,” katanya.
Manisegaran turut menyangkal dakwaan sebuah portal mengenai pihaknya ada akses dengan Israel secara langsung.
Katanya, itu semua tidak benar kerana negara ini tidak pernah ada urusan diplomatik dengan Israel.

“Kapal Israel singgah, tiada urusan” - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

'Saat-saat terakhir papa, dia memang banyak senyum'

Latif Ibrahim

JIKA Oktober lalu, industri seni tanah air, kehilangan penyanyi veteran, Ahmad Jais, kali ini industri dikejutkan pula dengan pemergian penyanyi dan pelakon popular era 80-an, Latif Ibrahim.

Latif atau nama sebenarnya, Abdul Latif Ibrahim, 62, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pada jam 5.50 petang, semalam, berikutan masalah komplikasi jantung yang dihidapinya sejak awal 90-an lagi.

Malah penyakitnya itu semakin serius sejak awal tahun ini dan terpaksa berulang alik ke hospital. Kali terakhir, Allahyarham dimasukkan ke Unit Koronari, IJN, pada Sabtu lalu dan terpaksa bergantung kepada mesin hayat sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Allahyarham turut meninggalkan seorang balu, Masria Mahadan, 54, serta dua anak, Mohd Hazriqk, 35 dan Haznally, 34.

Masih tidak dapat menerima hakikat pemergian sang ayah, Haznally menganggap, pemergian itu adalah sesuatu yang amat perit sepanjang hayatnya.

Katanya, keperibadian dan kasih sayang ayahnya terhadap keluarga tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

“Saat-saat terakhir papa, dia memang banyak senyum. Setiap kali selepas makan nasi, dia akan senyum. Papa juga sempat cium tangan mama dan beritahu dia terlalu sayangkan mama.

“Semasa dia sihat, setiap hari, dia akan menunggu kepulangan saya dan mama dari kafeteria kami. Dia cakap, “Alhamdulillah, selamat sampai juga akhirnya”.

“Kalau kami keluar bersiar-siar dan mengunjungi pusat membeli-belah, dia akan berada di tengah-tengah antara saya dan mama. Dia akan pegang tangan kami.

Terlalu banyak kasih sayang yang dia curahkan kepada kami sekeluarga. Sebab itulah kami terlalu sedih, saya terlalu sayangkan papa,” katanya dalam nada sebak.
Haznally berkata, paling menyedihkan apabila hajat arwah untuk memiliki cucu juga tidak kesampaian.

“Arwah terlalu teringin menimang cucu. Tapi tak ada rezeki kerana saya sudah empat kali keguguran.

“Jadi, untuk menghilangkan rasa sunyi, dia menganggap cucu saudaranya sebagai cucu sendiri. Saya sentiasa beri harapan untuknya, tetapi tidak kesampaian,” ujarnya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan, pada jam 10.30 pagi semalam, di AU4, Keramat, Kuala Lumpur.

Bukan sahaja diiringi ratusan sanak saudara, malah jenazah Latif turut mendapat penghormatan terakhir daripada rakan-rakan artis yang seangkatannya.

Antara yang hadir, Datuk DJ Dave, Datuk Malek Redzuan, Datuk Mustafa Maarof, Kapten Mohd Noor, Datuk Aziz Sattar, Liza Abdullah, Bagio Damasutra dan ramai lagi.


'Saat-saat terakhir papa, dia memang banyak senyum' - Hiburan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Misha bertunang semalam, kahwin akhir tahun



WAJAH ceria Misha dan Firos selepas majlis pertunangan mereka di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU - Penyanyi Misha Omar selamat melangsungkan pertunangan dengan kekasihnya, Firos Ezzwan Rossly, 30, di kediaman keluarganya di Buchil Bayam, di sini semalam.

Majlis pertunangan disempurnakan oleh bakal ibu mertuanya, Asmah Kenin dengan menyarung cincin di jari manis Misha atau nama sebenarnya, Samihah@Aisah Omar, 30.

"Alhamdulillah, akhirnya kami telah masuk ke satu fasa baharu dalam hubungan kami.

"Saya harap agar semua pihak mendoakan ikatan kami ini berpanjangan ke jenjang pelamin," kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Bunga-Bunga Cinta serta Adam dan Hawa itu.

Beliau memilih Firos kerana bakal suaminya itu menepati segala ciri lelaki impiannya selain rapat dengan anak angkatnya, Muhammad Adam Emir.

Misha memberitahu, kedua-dua pihak juga bersetuju mengadakan majlis perkahwinan akhir tahun ini.

"Tarikh sebenar belum diputuskan tetapi mungkin selepas Aidilfitri nanti," katanya yang mengenali Firos lima tahun lalu.


Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'