Wednesday, October 15, 2014

Kelantan tetap laksana hudud


 Mohd Nassuruddin Daud
Mohd Nassuruddin Daud
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tetap melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah II (Hudud) di negeri itu walaupun tidak dipersetujui oleh masyarakat bukan Islam.
  
Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata pelaksanaan undang-undang berkenaan hanya melibatkan hukuman terhadap umat Islam di negeri itu.
  
"Orang bukan Islam tidak boleh menentang hukum hudud ini kerana ia langsung tidak membabitkan mereka (bukan Islam)," katanya ketika menggulung perbahasan mengenai Bajet 2015 kerajaan negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini.
  
Ketika ditemui di luar dewan, Mohd Nassuruddin berkata pihaknya optimis undang-undang berkenaan dilaksanakan pada tahun hadapan.
  
"Kita dah tubuh jawatankuasa dan mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat, insya-Allah kita doakan pada tahun 2015 hudud dapat direalisasikan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Hudud: Kelantan contohi Qatar]

"Jawatankuasa yang ditubuhkan dah dua kali mesyuarat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya.

Ketika ditanya perlukah Pas mendapatkan persetujuan rakan sekutunya DAP, Mohd Nassuruddin berkata perkara itu tidak timbul.

"Sekarang tak timbul soal kita perlu persetujuan DAP kerana ia melibatkan  orang Islam dan hudud hanya untuk orang Islam yang lakukan kesalahan," katanya.
  
Terdahulu ketika sesi soal jawab, Mohd Nassuruddin berkata pihaknya akan  mengenakan tindakan ke atas mana-mana lelaki Islam yang didapati sengaja tidak  menunaikan solat Jumaat.
  
Katanya, mereka akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 104 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.
  
Beliau berkata pihaknya juga akan mempertimbangkan cadangan daripada Wan Ubaidah Omar (Pas-Kijang) bagi mewujudkan satu pasukan pemantau dalam kalangan wanita bagi memantau golongan lelaki yang didapati sengaja tidak menunaikan solat Jumaat.
  
Dewan kemudiannya meluluskan Bajet 2015 itu dan persidangan akan disambung ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. - Bernama

Heathrow mulakan ujian Ebola


Pusat Perubatan John F. Kennedy di Monrovia, Liberia antara salah sebuah pusat kesihatan bagi merawat pesakit dijangkiti virus Ebola. - Foto AFP
Pusat Perubatan John F. Kennedy di Monrovia, Liberia antara salah sebuah pusat kesihatan bagi merawat pesakit dijangkiti virus Ebola. - Foto AFP
LONDON - Lapangan Terbang Heathrow kini memulakan ujian saringan kesihatan dalam kalangan penumpang yang akan terbang ke Britain dari negara berisiko dijangkiti virus Ebola.

Jurucakap lapangan terbang berkata, penumpang akan sentiasa menjadi keutamaan pihaknya dan mereka akan diberi jaminan bahawa kerajaan akan menangani kes ini sebaiknya.

Difahamkan, ujian akan bermula di Terminal 1 sebelum diperluaskan ke terminal lain, lapangan terbang Gatwick dan Eurostar menjelang hujung minggu ini.

Menurut laporan BBC, setakat ini, tiada penerbangan terus ke United Kingdom dari Liberia, Sierra Leone atau Guniea.

Presiden Afghanistan tayang isteri


Presiden baharu Afghanistan, Ashraf Ghani melakukan perubahan besar dengan memperkenalkan isterinya, Rula Ghani kepada umum dalam ucapan perasmian pada 29 September lalu.
Presiden baharu Afghanistan, Ashraf Ghani melakukan perubahan besar dengan memperkenalkan isterinya, Rula Ghani kepada umum dalam ucapan perasmian pada 29 September lalu.
LEBIH sedekad wanita pertama Afghanistan, Zeenat Karzai hampir tidak muncul di khalayak ramai kecuali dibenarkan suaminya, bekas Presiden Hamid Karzai ketika itu.

Hal ini turut diakuinya dalam wawancara sekitar tahun 2004.

Bagaimanapun, Presiden baharu Afghanistan, Ashraf Ghani melakukan perubahan besar dengan memperkenalkan isterinya, Rula Ghani kepada umum dalam ucapan perasmian pada 29 September lalu.

Malah dalam ucapan tersebut, beliau turut mengumumkan isterinya bakal memainkan peranan dalam membela nasib wanita dan kanak-kanak serta beberapa perubahan dalaman.

Hal ini turut mendapat sokongan daripada kebanyakkan penduduk bandar di Afghanistan yang telah lama menyokong hak kebebasan wanita.

Permulaan awal karier Rula dalam membela nasib wanita apabila beliau menyampaikan ucapan ringkas sempena Hari Wanita Antarabangsa pada Mac lalu. Dalam ucapannya, beliau meyebut tentang kepentingan peranan tradisional wanita sebagai ibu dan suri rumah, serta mencadangkan agar menggunakan kemahiran tersebut di luar rumah sebagai kerjaya.

Selain itu, Rula merupakan lulusan Unversiti Columbia dan pernah belajar di Paris, Beirut dan New York.

Malah sikapnya yang lemah lembut dan tenang amat disenangi rakan-rakannya.

Beliau dilihat banyak membantu suaminya ketika menghadapi kempen pilihan raya.

“Jika bukan kerana kebijaksanaan Rula, saya tidak fikir Ghani akan mendapat kejayaan dengan begitu banyak,” kata rakan keluarganya, Seema Ghani.

Menurut Seema lagi, ramai yang melihat sokongan Ghani terhadap hak kebebasan wanita sebagai penolakan Karzai sebagai presiden. Sikap Feminist Ghani juga banyak menerima pengaruh besar daripada neneknya yang juga merupakan salah seorang pemimpin.

“Orang lelaki Afghanistan berkata, untuk menghormati wanita sebagai wanita, bukan sebagai ibu, kakak atau isteri merupakan sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Kubah berlian diserbu

PELBAGAI senjata turut dijumpai dalam rumah bomoh berkenaan. 
RUMAH ketua ajaran sesat yang dikenali sebagai ‘Kubah Berlian’. 
Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
Butterworth: Bersolat sejam lebih awal selain turut mengucap dua kalimah syahadah hanya separuh. Itu yang dilakukan seorang lelaki bergelar bomoh yang juga dikatakan ketua kepada ajaran sesat.
Selain itu, lelaki terbabit yang berusia 48 tahun turut menjadikan sebuah rumah di atas bukit dalam kawasan hutan yang agak terpencil untuk menyebarkan ajarannya kepada pengikutnya.
Rumah itu yang dikenali sebagai 'Kubah Berlian' oleh pengikutnya turut dijadikan sebagai tempat mengubati pesakit yang kononnya terkena ilmu sihir dan pelbagai kelengkapan perubatan seperti keranda, tembikar, keris serta kain tertera tulisan jawi disimpan dalam rumah terbabit.
Malah, bomoh itu yang tinggal bersama seorang wanita berusia 42 tahun mendakwa wanita terbabit isterinya dan meminta pengikutnya memanggil isterinya itu dengan gelaran puteri seawang-awangan.
Bagaimanapun, perbuatan bomoh itu terbongkar baru-baru ini apabila seorang lelaki membuat laporan polis selepas kedua ibu bapanya tidak pulang selama dua bulan sejurus mendapatkan rawatan dengan bomoh terbabit kerana mendakwa terkena sihir.
Susulan laporan itu, polis melakukan serbuan awal pagi Jumaat lalu dan menahan lima individu bagi membantu siasatan dan kes mereka kemudian diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), untuk tindakan selanjutnya.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:17 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1504#sthash.P2l9wbuF.dpuf

Petaka tongkat kepala naga

DUA tongkat yang dirampas JAIPP.
Oleh Hadzlihady Hassan dan Rudy Syareme Sherifuddin
hadzlihady@hmetro.com.my
Butterworth: Bermodalkan dua batang tongkat yang didakwa mempunyai kesaktian tertentu, seorang lelaki yang mendakwa dirinya bomoh dan boleh mengubati pesakit yang terkena sihir bijak mempergunakan mangsa apabila mengikis wang mereka untuk menampung kehidupannya sekeluarga.
Bomoh berusia 48 tahun itu dikatakan menggunakan dua tongkat berbentuk kepala naga serta ular yang diperbuat daripada kayu dan besi.
Tongkat berkepala ular yang diperbuat daripada besi itu juga sebenarnya pedang dan kedua-dua tongkat itu turut bertatahkan batu permata di sekelilingnya.
Difahamkan, bomoh berkenaan mendakwa tongkat itu azimat yang dianugerahkan kepadanya untuk mengubati setiap pesakit dan dia kononnya menjadi insan terpilih untuk menyimpan tongkat terbabit yang didakwa diperoleh melalui mimpi.
Bagaimanapun, semua barangan itu dirampas polis dan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) untuk tindakan selanjutnya.
Bomoh berkenaan, isterinya dan seorang lelaki yang menjadi pembantu mereka dilihat turut tampil ke pejabat JAIPP untuk diambil keterangan pada jam 10 pagi semalam.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:21 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1995#sthash.IcdLI7SF.dpuf

Lelaki maut disambar petir di Jabal Nur


Makkah: Seorang lelaki maut disambar petir ketika berada di puncak Jabal Nur di sini malam kelmarin.
Mangsa dilapor sedang merakam gambar dari atas puncak gunung itu ketika cuaca buruk.
Pasukan penyelamat menemui mayatnya sebaik tiba di tempat kejadian sebelum memindahkannya ke sebuah hospital berhampiran.
Jabal Nur amat popular di kalangan jemaah haji dan umrah kerana Gua Hira, tempat Rasulullah (SAW) menerima wahyu pertama, terletak di gunung berkenaan.
Pejabat Meteorologi Arab Saudi sebelum ini memberi amaran, ribut petir, hujan dan ribut pasir akan melanda negara berkenaan, termasuk Makkah dan Madinah dalam masa beberapa hari lagi. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:03 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1873#sthash.laf43MuA.dpuf

Jual organ bayar tambang


RAKYAT dari benua Afrika bersesak-sesak menaiki bot usang untuk ke Eropah menerusi Itali.

Lampedusa: Satu sindiket penyeludupan manusia antarabangsa memaksa pendatang menjual organ mereka sebagai bayaran tambang dari Afrika ke Eropah, menurut hasil siasatan polis Itali.
Sehubungan itu, lima anggota sindiket berkenaan ditangkap atas tuduhan mengatur untuk mengambil buah pinggang dan organ lain milik pendatang yang tiba di Eropah dengan bot.
Itali, dengan wilayah paling selatannya, Lampedusa, hanya 128 kilometer dari Afrika, menjadi pintu masuk kepada mereka yang cuba berpindah ke Eropah.
Hampir 150,000 penduduk Afrika melakukan pelayaran itu sepanjang 2014 dan 3,000 mati ketika mencuba.
Sekumpulan warga Libya dan Eritrea didawa menuntut bayaran €1,500 (RM6,200) sebagai wang pendahuluan untuk tambang menaiki bot yang biasanya sesak dan usang.
Mereka yang tidak dapat menjelaskan sepenuhnya tambang itu diberi pilihan, membayar apabila tiba atau menjual organ mereka, menurut waran tangkap yang dikeluarkan terhdap anggota sindiket itu.
Majistret penyiasat Tiziana Coccoluto berkata, pendatang itu dilayan seperti hamba dengan kumpulan samseng mempunyai kuasa untuk menjual mereka kepada kumpulan penjenayah lain.
Mereka yang ditahan itu termasuk bendahari kumpulan, Michael Brhane dan Tesfay Bahta, yang menjadi pengutip wang.
Bukti yang ditemui dipercayai hanya sebahagian kecil daripada kegiatan urusniaga organ itu.
Mayat pendatang tanpa organ sering ditemui di kawasan padang pasir Sinai di Afrika Utara.
Tahun lalu, penyeludup organ paling dikehendaki di dunia, Dedalya Tauber, bekas polis Israel, ditangkap di Rome.
Dia sebelum ini didapati bersalah menawar membeli buah pinggang di Brazil dengan harga RM9,600, khususnya pasaran di Israel.
Pembedahan dijalankan di sebuah hospital di Durban, Afrika Selatan dengan penerima organ itu membayar 20 kali ganda daripada jumlah yang diterima penderma. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:03 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1879#sthash.AIJg8NV5.dpuf

Petani serah RM1.2 juta


Kaherah: Seorang petani Mesir yang menemui beg berisi wang tunai berjumlah 2.7 juta paun Mesir (RM1.2 juta) ketika membajak tanahnya, bergegas ke balai polis tempatan untuk menyerahkan wang berkenaan.

Akhbar tempatan memetik polis sebagai berkata, siasatan yang mereka lakukan menunjukkan wang itu ditanam dua penjahat yang diburu polis selepas mereka merompak wang berkenaan di bandar Beheira, utara Mesir.

Polis berkata, kedua-dua pencuri itu ditangkap tetapi enggan menyerahkan wang berkenaan.

Polis juga berkata, petani terbabit enggan menerima hadiah selepas menyerahkan semula wang itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:03 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1881#sthash.1BbFdyxC.dpuf

Wajib bayar cukai poligami RM267


Jakarta: Pemerintah Lombok Timur mewajibkan semua kakitangan kerajaan yang ingin mendaftarkan perkahwinan dengan isteri kedua mereka membayar Rp1 juta (RM267) kepada kerajaan.
Pegawai Daerah Lombok Timur, Ali, berkata cukai poligami itu mesti dilunaskan bersama pematuhan semua syarat sedia ada ditetapkan kerajaan.
"Kami tidak bermaksud menggalakkan kakitangan awam mengamalkan poligami sebaliknya mahu menjadikan ia lebih sukar kerana menambah peraturan sedia ada," katanya.
Menurut Ali, kutipan cukai poligami itu akan dimasukkan ke tabung kerajaan tempatan.
Peraturan sedia ada menetapkan kakitangan awam yang ingin berpoligami mesti mendapatkan kebenaran daripada isteri pertama, berlaku adil dan berkemampuan.
Poligami juga dibenarkan jika dapat dibuktikan isteri pertama tidak boleh hamil selepas 10 tahun berumah tangga atau si isteri meninggalkan suami tanpa izin bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.
Sejak peraturan itu dikuatkuasakan, Ali berkata, pihaknya belum lagi mengeluarkan sebarang kebenaran poligami.
"Ia berlaku kerana kehendak peraturan sukar dipenuhi," katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:08 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1908#sthash.glfQjXEJ.dpuf

Beg tangan Hermes bau ganja


VICTORIA Beckham, antara peminat beg tangan Hermes.
New York: Pelanggan dilapor mengembalikan beg yang berharga hampir AS$20,000 (RM65,000) setiap satu kepada syarikat pengeluar beg Hermès selepas mengadu aksesori mahal itu berbau ganja.
Beg itu dikembalikan kepada syarikat terbabit dari kedai dan butik di Paris selepas didapat sebahagian beg kulit itu disamak tidak betul hingga menyebabkan dia mengeluarkan bau busuk.
Dipercayai proses menyamak itu boleh menyebabkan beg kulit berkenaan mengeluarkan bau seperti ganja apabila ia dibiarkan panas dalam kereta atau terkena cahaya matahari secara langsung.
Ikon beg Hermès, Birkin, mengambil sempena nama penyanyi dan aktres Jane Birkin, adalah antara beg yang terbabit.
Bagaimanapun, versi kulit buaya beg itu yang berharga sehingga RM193,000 dikatakan tidak terjejas.
Sumber berkata: "Pemilik mengembalikan beg Hermes kepada butik di Amerika Syarikat dengan mendakwa ia berbau ganja.
"Beg itu dihantar ke Paris kerana tidak ada siapa yang tahu cara menangani masalah itu."
Hermès mempunyai reputasi membuat beg terbaik dengan pelanggannya, termasuk selebriti terkenal seperti Victoria Beckham dan Kim Kardashian.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:08 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1913#sthash.Pw57DXEf.dpuf

Padah tiduri suami orang

SEKUMPULAN wanita membelasah Lin yang dituduh meniduri suami salah seorang daripada mereka. 
Puyang (China): Dia dibogelkan secara paksa dan dipukul tanpa belas kasihan oleh sekumpulan wanita di jalan raya yang sibuk.
Bukan saja polis tidak datang membantu, malah orang ramai juga tidak campur tangan ketika kumpulan wanita berkenaan menendang celah kelangkang dan payu dara Lin Yao Li, 38, walaupun dia meraung kesakitan.
Saksi berkata, Lin tidak layak dibantu kerana dia tidur dengan suami orang.
Ia kejadian terbaru seumpamanya di China yang menyaksikan wanita dimalu dan dipukul di khalayak ramai kerana menjadi punca lelaki bersikap curang terhadap isteri.
Dalam kejadian kelmarin, Lin diserbu empat wanita ketika berjalan pulang dari membeli-belah di Puyang, wilayah Henan, di timur China.
Dengan menumbuk dan menendangnya sehingga Lin terjatuh sambil meraung kesakitan, penyerangnya kemudian menanggalkan pakaiannya sebelum memukulnya lagi, menarik rambut dan menendang celah kelangkang dan payu daranya.
Serangan ganas itu dikatakan dirancang oleh isteri lelaki yang didakwa tidur dengan Lin. Dia dibantu tiga rakannya.
Orang ramai yang berada di tempat kejadian hanya memerhatikannya.
Seorang lelaki tempatan, Jun Feng, 30, yang membantu Lin selepas penyerangnya meninggalkan tempat itu memberitahu stesen televisyen tempatan: "Kejadian ini sudah menjadi perkara biasa.
"Isteri dan teman wanita membalas dendam terhadap lelaki mereka dengan menyerang wanita lain. Orang ramai tidak berminat membantu."
Lin yang calar-balar dan lebam kemudian dibawa ke hospital selepas merayu dipanggilkan ambulans.-Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 6:09 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2002#sthash.se864Mjx.dpuf

Siasat kontrak RM800 juta


Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara bimbang terdapat pengawal keselamatan yang tidak layak bertugas di sekolah-sekolah di negara ini. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat urusan pemberian kontrak bernilai hampir RM800 juta setahun kepada syarikat-syarikat keselamatan di 10,800 buah sekolah di seluruh negara kerana bimbang ia turut melibatkan unsur-unsur rasuah.
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, walaupun kajian PAC tidak menemui sebarang unsur rasuah dalam urusan tersebut namun pihaknya mendapati terdapat kelonggaran dalam aspek pemantauan ke atas pemberian kontrak itu yang dibimbangi boleh menyebabkan berlakunya rasuah.
“PAC cuma mencadangkan sahaja dan terpulang kepada SPRM. Kita mendapati tidak ada unsur rasuah tetapi kerana jumlahnya terlalu besar, kelonggaran dalam pemantauan ke atas kontrak tersebut mungkin boleh menyebabkan insiden rasuah,” katanya pada satu sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini semalam.
Nur Jazlan menegaskan, PAC memandang berat perbelanjaan tahunan hampir RM800 juta setahun oleh Kementerian Pendidikan untuk tujuan pengurusan kawalan keselamatan sedangkan terdapat kelemahan dalam penetapan terma dan syarat kontrak itu.
Menurutnya, pihak PAC meminta Kementerian Pendidikan melaksanakan kawalan secara saringan untuk memastikan syarikat yang betul-betul berkeupayaan diundang memasuki tender dan harga yang ditawarkan itu pula adalah berdasarkan bilangan pelajar, keluasan sekolah, aset serta gaji minimum.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1015&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3GAFSPCFq 
Hakcipta terpelihara 

Garuda tempah 50 pesawat baharu


JAKARTA 14 Okt. - Syarikat penerbangan nasional Indonesia, Garuda Indonesia menempah 50 buah pesawat yang keseluruhannya bernilai AS$5 bilion (RM16.3 bilion) sebagai langkah untuk memenuhi permintaan penumpang di Asia yang semakin meningkat.
Wakil pengeluar pesawat berkata, syrikat penerbangan itu, menempah 46 buah pesawat baharu jenis Boeing 737 MAX 8 jet dan menukar tempahan sedia ada untuk empat buah Boeing 737-800s kepada 737 MAX 8s.
Pembelian yang dilakukan itu bernilai AS$5 bilion pada awal tempahan namun syarikat penerbangan tersebut mendapat potongan harga yang banyak ekoran tempahan besar yang dilakukan mereka.
“Pesanan pesawat itu bagi meneruskan komitmen kami untuk menawarkan kepada penduduk di Indonesia dan Selatan Asia penerbangan yang paling selesa dan efisyen di rantau ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Garuda Indonesia, Emirsyah Satar. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141014/lu_01/Garuda-tempah-50-pesawat-baharu#ixzz3GADWgG2D
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pakar Belanda kumpul barangan mangsa MH17


HRABOVE, Ukraine 14 Okt. - Empat orang pakar penyiasat dari Belanda dan pasukan kecemasan tempatan, semalam mengumpul barangan peribadi mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) M17 di timur negara ini, meskipun pertempuran antara kumpulan pemberontak pro-Rusia dan tentera Ukraine masih berterusan di lokasi berdekatan nahas.
Menurut ketua misi berkenaan, Pieter-Jaap Aalbersberg, Perkhidmatan Kecemasan Negeri berjaya mengumpulkan banyak barangan peribadi di lokasi kemalangan.
"Kami menjumpai barangan kemas, jam tangan, kad kredit, lesen memandu, pasport, iPad dan gambar-gambar mangsa nahas," katanya.
Barangan tersebut kemudian dikumpulkan dalam sebuah trak kargo oleh pasukan daripada Kementerian Kecemasan Ukraine untuk dibawa keluar dari lokasi tersebut untuk dihantar kepada keluarga mangsa.
Anggota pemisah pro-Rusia turut berada di sekitar lokasi tersebut ketika kakitangan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) memantau proses pencarian itu.
Aalbersberg berkata, pasukan penyiasat Belanda mungkin tidak boleh memasuki kawasan itu semula sehingga akhir April ini di­sebabkan cuaca sejuk.
"Kami mahu kembali ke lokasi tersebut sebelum musim sejuk yang bermula pada Disember ini, atau selepas musim sejuk berakhur, iaitu pada bulan April," katanya.
Pakar penyiasat Belanda turut bertindak sebagai penasihat kepada pasukan Kementerian Kecemasan ketika menjalankan operasi di lokasi pesawat Boeing 777 itu ditembak yang mengakibatkan 298 penumpang dan anak kapal terkorban pada 17 Julai lalu.
Dalam pada itu, tembakan meriam dan senjata kedengaran serta kepulan asap hitam dapat dilihat dalam jarak kurang lima kilometer dari lokasi pencarian, walaupun genjatan senjata antara tentera Ukraine dan kumpulan pembe­rontak pro-Rusia telah dipersetujui pada 5 September lalu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141015/lu_04/Pakar-Belanda-kumpul-barangan-mangsa-MH17#ixzz3GACZzYqZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

126 masjid di Madinah akan diroboh


MADINAH 14 Okt - Lebih daripada 100 buah masjid di bandar suci umat Islam ini akan dimusnahkan untuk memberi laluan kepada pembesaran Masjid Nabawi, kata Kementerian Hal Ehwal Islam dan Wakaf kepada Saudi Gazette.
Sebanyak 95 hartanah dan 126 buah masjid secara keseluruhannya di bandar suci ini akan diruntuhkan untuk projek pembesaran Masjid Nabawi yang dipercayai menelan belanja sebanyak AS$20 bilion (RM65 bilion) bagi kerja-kerja pengubahsuaian dan pembesaran seperti Masjidilharam di Mekah.
Ketua Pengarah Kementerian Hal Ehwal Islam cawangan Madinah Dr Muhammad Al Amin berkata, sebahagian bangunan itu telah dikosongkan sementara sebagai usaha mengosongkan yang lain masih dilakukan.
Menurutnya, jawatankuasa khas juga dibentuk untuk membeli unit rumah lain yang dirobohkan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141015/lu_01/126-masjid-di-Madinah-akan-diroboh#ixzz3GABcWDVv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kembara ke Makkah

KINI, kereta api digunakan untuk mengangkat jemaah. 
AFP
Makkah
Rukun Islam kelima, menunaikan ibadah haji sememangnya peluang dikejar umat Islam di seluruh dunia.
Bagi mereka yang pernah berpeluang menjadi tetamu Allah ke tanah suci sudah pasti tidak teragak-agak untuk mengulangi pengalaman itu jika kesihatan dan keadaan kewangan mengizinkan.
Kurang seabad lalu, untuk sampai ke Makkah bukanlah calang-calang perjalanan, malah sering dipenuhi bahaya dalam pelbagai bentuk menyebabkan ramai yang melangkah memulakan perjalanan memenuhi tuntutan agama itu tidak mengetahui sama ada mampu pulang dalam keadaan selamat.
Kepanasan melampau cuaca gurun dan pelbagai penyakit termasuk yang mengancam nyawa sememangnya menguji keimanan dan kesabaran jemaah.
Perubahan besar yang berlaku dalam tempoh sekurun lalu boleh dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa pertama berlaku sebelum Arab Saudi menjadi semakin moden yang melihat jemaah datang dengan berjalan kaki atau menaiki pedati.
Kereta menjadi penanda aras fasa kedua dan ketika itu orang ramai menggunakannya untuk melintasi laluan-laluan gurun yang ada kalanya berbahaya. Seterusnya, fasa ketiga dan terakhir merangkumi zaman ini apabila jemaah menggunakan bukan saja kapal terbang malah juga kereta api berkelajuan tinggi untuk sampai ke tempat suci.
Memang jauh bezanya antara menunaikan ibadah haji pada kurun ke-20 dan ke-21 dari segi keselesaan kerana sudah pasti jemaah zaman ini mampu menerima manfaat sepenuhnya teknologi serta kemudahan moden disediakan khas untuk mereka.
Namun tidak kurang juga masih ada yang tidak berkemampuan untuk menikmati perjalanan menggunakan kaedah moden. Golongan ini masih berjalan ke Makkah, sama seperti jemaah ratusan tahun lalu dan sering datang dari negara lebih jauh seperti India, Pakistan, Mesir serta Maghribi yang sanggup meredah pelbagai bahaya - haiwan liar, perompak dan penyakit - semata-mata mahu bersujud di Baitullah.
Perjalanan mereka ini sering disambut penduduk kampung di sepanjang laluan ke Makkah yang mendermakan makanan atau wang kepada mereka, malah tidak kurang juga yang menyediakan tempat tidur untuk musafir terbabit berehat mengumpulkan tenaga sebelum meneruskan perjalanan.
Sebaik tiba di Makkah dan selesai melakukan ibadah haji, ada dalam kalangan jemaah yang tinggal beberapa bulan untuk bekerja dan mengumpulkan wang bagi membolehkan mereka pulang.
Satu ketika dulu, jemaah menaiki unta merentasi gurun. Kaum lelaki memimpin haiwan manakala wanita duduk di atas 'howdah' (tempat duduk di atas unta) yang lebih selesa.
Bekalan dibawa untuk perjalanan itu hanya lemak haiwan, kurma dan tepung serta air. Lazimnya jemaah bergerak dalam satu kumpulan membabitkan sehingga 10 unta sebagai perlindungan daripada perompak.
Perjalanan mengambil lebih sebulan - 25 hari dihabiskan untuk melintasi laluan antara Riyadh dan Jeddah saja. Waktu perjalanan sudah pasti lebih lama bagi jemaah yang datang dari wilayah jauh di utara Arab Saudi atau negara Teluk lain.
Kereta-kereta pada awalnya bukan seperti kenderaan yang kita kenali pada zaman ini sebaliknya keutamaan rekaannya adalah untuk membawa barangan. Lori-lori inilah yang dinaiki jemaah ketika itu dan walaupun sudah pasti kurang selesa berbanding kenderaan moden, ia tetap mampu memendekkan tempoh perjalanan ke Makkah kepada hanya beberapa hari.
Sebuah lori mampu memuatkan 30 orang dan bayaran tiket dikenakan bergantung kepada tempat duduk. Sudah pasti tidak wujud jalan raya seelok pada zaman ini bererti perjalanan masih dipenuhi pelbagai rintangan.
Namun semua itu kini sekadar sebahagian dari era yang sudah luput. Kini tidak lagi sukar untuk menunaikan haji. Lebuh raya besar dan selesa memudahkan perjalanan menaiki apa saja kenderaan dipilih jemaah yang dilengkapi pendingin udara tidak kiralah kereta, bas atau kereta api ke Makkah dan tempat suci lain.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:04 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1424#sthash.zCXdeJXS.dpuf