Tuesday, August 18, 2015

‘Saya buat untuk parti’

Kepala Batas: “Buat apa saya nak peningkan kepala, kalau soal dana politik, saya tak tanya Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi). Enam tahun saya kerja dengan Pak Lah, saya tak pernah tanya sebab saya tahu itu urusan Presiden parti,” kata Datuk Seri Najib Razak, semalam.
Presiden UMNO itu berkata, urusan mengenai dana politik parti adalah hak eksklusif kepada Presiden dan Bendahari parti serta tidak bincangkan di luar atau khalayak ramai termasuk dalam perjumpaan tertutup parti serta mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.
Beliau berkata, dalam parti mesti ada disiplin, tanggungjawab bersama, jaga kerahsiaan parti dan tahu bagaimana membawa diri sebagai ketua, timbalan, jawatankuasa bahagian kerana ia mempunyai adab dan disiplin tertentu.
“Waktu saya jadi Timbalan kepada Pak Lah, saya tak pernah menyoal Pak Lah atas urusan yang saya tahu itu adalah hak budi bicara Presiden parti. Kita tahu-tahu saja cukup fulus (duit), sampai pilihan raya cukup fulus, itu saja kita nak tahu. Bagaimana cari duit, siapa bagi sumbangan, itu hak budi bicara Presiden parti.
“Saya mengamalkan prinsip sama. Waktu Tun Dr Mahathir (Mohamad) jadi Presiden parti, Pak Lah tak soal Tun Mahathir dan Tun Daim (Zainuddin) dan bila Pak Lah jadi presiden, saya tidak persoal.
“Kenapa pula kalau nak disoal waktu saya jadi Presiden parti, sebab apa saya buat untuk kepentingan parti dan bukan untuk kepentingan peribadi. Apa saya buat tidak menyalahi undang-undang negara dan sudah diputuskan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
Jadi tak timbul sama sekali dan saya harap kita tutup hal ini serta hadapi cabaran lebih besar kerana banyak lagi perlu dilakukan sebagai parti,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di sini, semalam.
Selain Abdullah, turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Najib berkata, apa yang penting sekarang adalah menentukan soal kepentingan serta diingini rakyat seperti pendapatan, rumah mampu milik, sekolah dan pendidikan serta kos sara hidup.
Beliau berkata, jika semua persoalan itu berada dalam lingkungan perjuangan dan menjadi tumpuan semua, sudah tentu ia akan dapat memulihkan UMNO yang sekali lagi berdepan kemelut pada kali ini, walaupun tidak sehebat kemelut pada 1987 yang menyaksikan UMNO dibubarkan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 10:11 AM


Najib bersalaman dengan Tun Abdullah ketika tiba merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di Insitut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70861#sthash.ZKq34qax.dpuf