Friday, July 31, 2015

Taliban sahkan kematian Mullah Omar

JUMAAT, 31 JULAI 2015 @ 10:07 AM

 KABUL: Taliban semalam mengesahkan kematian pemimpin mereka, Mullah Omar menerusi satu kenyataan, sehari selepas kerajaan Afghanistan mengumumkan mengenainya. "Kepimpinan Islam Emirate dan keluarga Mullah Omar...mengumumkan yang pemimpin Mullah Omar meninggal dunia akibat sakit," menurut kenyataan Taliban, menerusi nama rasmi pergerakan itu. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/71271

1MDB: "Saya Tak Boleh Cakap, Ia Satu Jenayah"


Diterbitkan: Jumaat, 31 Julai 2015 1:15 PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memilih untuk 'mengunci mulut' daripada terus mengkritik dakwaan skandal penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Malahan, bekas Perdana Menteri itu juga sempat mengingatkan wakil media supaya tidak mengajukan soalan berhubung isu berkenaan kepadanya.
"Saya nak beri amaran bahawa saya tak boleh jawab apa-apa soalan mengenai 1MDB kerana ia sekarang menjadi satu jenayah apabila bercakap mengenai 1MDB," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Pusat Hati di Prince Court Medical Centre di sini, Jumaat.
Bagaimanapun Dr Mahathir mengakui beliau menonton klip video mengandungi dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak menerima wang berjumlah RM2.6 bilion ke akaun peribadinya seperti yang tersebar di Internet.
"Ya saya tonton. Semua orang juga tonton. Tapi Najib tidak pernah nafi mengenai RM2.6 bilion itu.
"Cuma saya tak boleh cakap mengenai 1MDB, ia adalah jenayah kalau cakap mengenainya," katanya mengulangi kata-katanya terdahulu.
Terbaru, video pendek berdurasi 57 saat yang dimuat naik di Internet sebelum ini menunjukkan, Muhyiddin sedang berbual dengan beberapa tetamu antaranya Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir di kediamannya Selasa lalu.
Dalam perbualan mereka itu, Muhyiddin menyebut Najib pernah mengakui kepadanya terdapat sejumlah besar wang dipindahkan ke akaun peribadinya.
Ditanya mengenai kemungkinan penamatan perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara akan menjejaskan siasatan berhubung 1MDB, Dr Mahathir berkata: "Siasatan? Peguam Negara baharu juga boleh siasat. Saya yakin beliau akan siasat."

MH370: Saya Lihat Objek Aneh Di Pantai, Kata Individu Temui Serpihan Bangkai Pesawat


Diterbitkan: Khamis, 30 Julai 2015 9:12 PM
Johnny Begue, salah seorang anggota kumpulan pembersih pantai bersama dengan tinggalan sebuah beg di lokasi yang sama bagi penemuan satu serpihan yang dipercayai milik bangkai pesawat MH370 yang hilang. Foto AFP

SAINT-ANDR (PERANCIS): Johnny Begue tidak menjangkakan melalui di sepanjang pesisir pantai dan menemui serpihan bangkai pesawat telah menarik perhatian seluruh dunia terhadap pulau kecil yang merupakan kampung halamannya.
Begue mengetuai pasukan yang terdiri daripada lapan orang untuk membersihkan kawasan pantai di bandar Saint-Andre di Pulau Reunion.
Pada awal pagi Rabu, dia mencari batu kecil untuk dijadikan sebagai lesung untuk mengisar cili.
"Ketika itulah saya menjumpai sesuatu yang aneh di pantai," kata Begue, yang kemudiannya memanggil rakan-rakannya untuk memeriksa penemuan itu.
"Saya dengan segera mendapati ia merupakan serpihan sebuah pesawat," kata rakan Begue, Cedric Gobalsoumy.
Menurut pakar, serpihan bangkai pesawat sepanjang dua meter itu dipercayai merupakan bahagian sayap dengan keadaannya separuhnya diselaputi pasir manakala terdapat siput laut di bahagian hujungnya.
Gobalsoumy, kumpulan itu kemudiannya membawa objek itu ke darat bagi mengelakkan ia dibawa arus laut.
Mereka bagaimanapun tidak menyedari penemuan serpihan bangkai pesawat itu akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan berharap ia merupakan milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang, sekali gus menyelesaikan misteri besar dalam industri penerbangan.
Pada awalnya, mereka memikirkan mahu meninggalkan sahaja serpihan bangkai pesawat itu untuk dilihat oleh orang ramai dan pelancong yang melalui kawasan pantai.
Gobalsoumy bagaimanapun berkata, dia menyedari mereka tidak boleh bertindak sebegitu.
"Satu serpihan dari sebuah pesawat di laut bukan sesuatu yang biasa. Kami berkata kepada diri kami bahawa mungkin terdapat orang yang maut di dalam pesawat ini dan mereka mempunyai keluarga yang perlu mengetahui apakah yang berlaku."
Mereka kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.
"Seorang rakan kemudiannya melayari Internet menggunakan telefon bimbitnya dan membuat carian maklumat mengenai nahas pesawat dan menemui kisah yang melibatkan pesawat milik Malaysia," kata Begue.
Sekumpulan pembersih pantai itu bukan hanya yang mengaitkan penemuan itu dengan kehilangan pesawat milik Malaysia dan berita mengenainya dengan pantas tersebar ke seluruh dunia dan banyak pasukan penyiasat mahu membuat pemeriksaan terhadap serpihan tersebut.
"Saya tidak menyedari bahawa pergi mencari anak lesung untuk menumbuk cili menjadikan saya dikenali ramai," kata Begue.
Laporan media mengenai pulau itu yang sebelum ini sering kali dilaporkan tentang serangan ikan jerung dengan 18 insiden sejak 2011 di mana tujuh mengakibatkan kematian, telah mengalih perhatian dunia kepada penemuan serpihan bangkai pesawat.
"Kali ini semua tidak bercakap mengenai kami kerana serangan ikan jerung," kata pelajar, Anna Grondin, 23.
"Ia sesuatu yang luar biasa, malah CNN di Amerika bercakap mengenai kami dan menunjukkan pulau di peta," kata Jean-Marc Alagama, 43.
Pasukan pakar dari Malaysia dihantar ke pulau itu, namun pihak berkuasa menggesa supaya tidak terburu-buru membuat sebarang kesimpulan mengenai penemuan sayap itu. - AFP

Cuba Kahwini Anggota Militan, Wanita Kekal Dipenjara Dua Tahun


Diterbitkan: Khamis, 30 Julai 2015 2:30 PM
Ummi Kalsom Bahak.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang wanita berusia 25 tahun atas dakwaan cuba berkahwin dengan seorang anggota militan untuk menyokong pergerakan kumpulan militan Negara Islam (IS).
Rayuan pihak pendakwaan bagi mengenakan hukuman lebih berat ditolak pada Khamis oleh tiga panel hakim yang diketuai Datuk Mohtarudin Baki.
Ia adalah kes pertama membabitkan IS yang didengar di Mahkamah Rayuan.
Pada 1 November tahun lalu, Ummi Kalsom Bahak, 25, didakwa menawarkan sokongan termasuk bersetuju untuk berkahwin dengan seorang anggota kumpulan militan yang hanya dikenali dengan nama Aqif Huessin Rahaizat, 25, dengan mengambil penerbangan AirAsia ke Brunei dan berlepas ke Istanbul, Turki.
Pembantu kawalan kredit yang bekerja di Damansara itu ditahan di kaunter Imigresen KLIA2 kira-kira 5.20 petang pada 5 Oktober tahun lalu.
Pada April, dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi.
Wanita tersebut yang juga anak ketiga daripada enam beradik didakwa mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan kerana menawarkan bantuan kepada aktiviti keganasan.
Ummi Kalsom menghadapi tuduhan lain iaitu berlepas dari KLIA2 ke Brunei untuk memberikan sokongan kepada IS dengan memasuki Syria dengan mengambil penerbangan dari Brunei ke Istanbul dan untuk berkahwin dengan Aqif Huessin.
Tertuduh diwakili Datuk Hanif Hassan.

Taliban nafi pusingan kedua rundingan damai


31 JULAI 2015
Taliban nafi pusingan kedua rundingan damai

Taliban nafi pusingan kedua rundingan damai Jurucakap timbalan presiden, Zafar Hashimi, bercakap pada sidang media ketika pengumuman kematian Mullah di Kabul, kelmarin. - Foto AFP

KABUL - Jurucakap kumpulan militan Taliban semalam, menafikan pusingan kedua rundingan damai dengan Kerajaan Afghanistan, sekali gus menggagalkan usaha baharu untuk menamatkan konflik selama 14 tahun itu.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas kerajaan mengumumkan kematian pemimpin kumpulan tersebut, Mullah Omar, yang meninggal dunia dua tahun lalu di negara jiran Pakistan.

"Kami ada mendengar laporan media bahawa pusingan kedua rundingan antara Emiriah Islam dan pentadbiran Kabul akan bermula tidak lama lagi di Pakistan atau China.

"Emiriah Islam telah menyerahkan semua kuasa kepada pejabat politik yang berpangkalan di Qatar, dan mereka tidak mengetahui tentang proses ini," menurut Zabihullah Mujahid.

Pegawai Afghanistan dan Pakistan sebelum ini memberitahu, pusingan kedua rundingan akan diadakan di antara wakil Taliban dan Kerajaan Kabul dalam minggu ini, di mana topik gencatan senjata termasuk dalam agenda mesyuarat tersebut.

Sementara itu, kumpulan terbabit didakwa terus berdiam diri berhubung laporan kematian Mullah, dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas mesyuarat majlis kepimpinan tertinggi Taliban di Quetta, Pakistan - Reuters

Dua hari sah serpihan MH370

Saint-André, Perancis: Kerajaan Malaysia menjangka pengesahan komponen pesawat yang ditemui di Pulau Reunion dekat Madagscar akan diperolehi dalam masa dua hari.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, ketika ini pasukan penyiasat termasuk pakar dari Jabatan Penerbangan Awam dan Penerbangan Malaysia dan Kementerian akan berlepas malam ini menyertai penyiasat lain, termasuk dari Boeing yang mengeluarkan pesawat 777-200.
"Kami menjangka dalam masa dua hari kita boleh mendapatkan pengesahan," kata Abdul Aziz.
Pasukan penyiasat penerbangan kini dalam perjalanan ke pulau di Lautan Hindi itu untuk menentukan sama ada serpihan komponen sayap yang ditemui yang ditemui di tepi pantai pulau itu ialah komponen pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia yang hilang.
Komponen sepanjang dua meter itu ditemui ketika satu kumpulan membersihkan pantai dan mencetuskan harapan di Malaysia serta seluruh dunia pesawat MH370 akan ditemui.
Berikutan itu, Perancis, Malaysia dan Australia memulakan usaha untuk mengesahkan serpihan itu serta dari mana ia hanyut.
Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata di New York: “Apa saja serpihan yang ditemui perlu disahkan sebelum kita boleh mengesahkan dia milik MH370 dan berharap pengesahan itu diperolehi secepat mungkin.”
Pesawat MH370 yang membawa 239 orang hilang ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China tetapi penerbangannya beralih menuju Lautan Hindi tanpa sebab tidak diketahui.
Seorang saksi di Reunion berkata objek itu diliputi teritip menunjukkan ia sudah lama berada dalam air.
Pakar keselamatan penerbangan di Perancis, Xavier Tytelman, berkata gambar objek itu menunjukkan ‘persamaan luar biasa’ dengan komponen Boeing 777 dipanggil flaperon.
Namun, perlu diingat ada pesawat lain pernah terhempas di kawasan itu, termasuk Boeing 747 milik Penerbangan Afrika Selatan yang terhempas berhampiran Pulau Mauritius pada tahun 1987, membunuh semua 159 orang dalam pesawat. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 2:19 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67089#sthash.Uezfq6kc.dpuf

Zeti sihat, bekerja seperti biasa




KUALA LUMPUR – Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (gambar) berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami serangan jantung seperti yang digembar-gemburkan dalam media sosial.
“Beliau sihat dan baik-baik sahaja di pejabatnya,” jelas Jabatan Perhubungan Korporat Bank Negara yang dihubungi Bernama di sini semalam.
Tambahnya, Zeti bekerja seperti biasa dan tidak dimasukkan ke wad seperti didakwa.
Berdasarkan kalendar acara Bank Negara di laman webnya, Zeti bakal mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua pada 13 Ogos ini.
Taklimat prestasi KDNK biasanya dipengerusikan oleh Gabenor Bank Negara.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0731&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3hPquJAMT 
Hakcipta terpelihara 

PM Belanda rayu Putin supaya tidak guna kuasa veto


REUTERS - GAMBAR fail 26 Julai memaparkan sepasang suami isteri duduk di atas serpihan pesawat MH17 di lokasi nahas dekat kampung Grabovo, timur Ukraine.


THE HAGUE – Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte semalam merayu kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin supaya tidak menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengadili mereka yang me­nembak jatuh Penerbangan Malaysia MH17 di Ukraine.
Pejabat Rutte menyatakan, beliau menelefon Putin menjelang sesi pengundian Ma­jlis Keselamatan di New York untuk meminta sokongannya berhubung penubuhan sebuah tribunal antarabangsa bagi membicarakan dalang yang menembak jatuh MH17.
Nahas Penerbangan Malaysia itu meragut 298 nyawa pada Julai tahun lalu.
“Secara jujur dan panjang lebar, Rutte membuat panggilan penting kepada Putin supaya beliau menjadikan kenyataan untuk membicarakan mereka yang mendalangi serangan ke atas MH17 di sebuah tribunal PBB,” menurut kenyataan dari pejabat Rutte.
Malaysia, Belanda, Australia, Ukraine dan Belgium meminta supaya tribunal antarabangsa itu diwujudkan, manakala Malaysia telah mengedarkan draf resolusinya untuk diundi semalam.
Rusia bertegas menentang penubuhan tribunal berkenaan dan akan menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan untuk memba­talkannya.
Moscow sebaliknya mahu menunggu sehingga siasatan antarabangsa nahas tersebut yang diketuai Belanda selesai pada Oktober depan.
Penerbangan MH17 ditembak jatuh di kawasan yang dikuasai pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine semasa pertempuran sengit dengan tentera Ukraine.
Ukraine dan Barat me­nuduh pemberontak pro-Rusia menembak jatuh pesawat 777-200 itu menggunakan peluru berpandu darat ke udara yang dibekalkan oleh Moscow.
Rusia sebaliknya me­nuduh tentera Ukraine bertanggungjawab melakukan sera­ngan itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3hPqLgxj7 
Hakcipta terpelihara