Wednesday, September 17, 2014

Wanita Taksub Pembedahan Plastik Belanja RM157,535 Untuk Kelihatan Seksi


Diterbitkan: Rabu, 17 September 2014 10:29 AM
Wajah Victoria sebelum dan selepas menjalani pembedahan plastik.

SEORANG model membelanjakan kira-kira 30,000 pound (RM157, 535) untuk menjalani pembedahan plastik agar kelihatan cantik dan seksi.

Victoria Wild dari Latvia menjalani pelbagai pembedahan termasuk tiga pembedahan untuk membesarkan payu daranya, implan bibir dan suntikan botox.

Wanita berusia 30 tahun itu yang menetap di Cannes, Perancis mengakui seronok dengan perhatian orang ramai terhadapnya.

"Siapa yang tidak mahu dilayan seperti anak patung. Ia amat seksi.

"Orang ramai akan memandang saya dan saya suka dengan perhatian itu," katanya.

Victoria berkata, dia mula melakukan pembedahan plastik sejak 2001 dengan membelanjakan 25,000 pound (RM130,807) untuk melakukan tiga pembedahan pembesaran payu dara di Hungary.

Ketika berusia 25 tahun, Victoria bertemu dengan teman lelakinya, Simon yang sentiasa menyokong cita-citanya untuk kelihatan seksi.
mstar

Golongan sekular di Bangladesh bantah hukuman mati ke atas ulama diringankan

DHAKA: Keputusan Mahkamah Agung untuk meringankan hukuman mati ke atas seorang ulama terkemuka di sini, kepada penjara seumur hidup, mengakibatkan tercetus pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan sekular yang menyifatkan keputusan itu sebagai terlalu ringan.
Dalam keputusan yang di luar jangkaan itu, Mahkamah Agung memutuskan bahawa Delwar Hossain Sayedee, 74, sepatutnya menghabiskan sisa hidupnya di penjara bagi perlakuan jenayah ketika peperangan yang memisahkan negara itu dengan Pakistan.
Hukuman mati ke atas Sayedee tahun lalu oleh sebuah tribunal perang mencetuskan keganasan politik paling dahsyat dalam sejarah negara berkenaan, menyebabkan ribuan anggota polis ditempatkan di sekitar pekarangan mahkamah ketika keputusan dibacakan hari ini.
"Kami menjangka mahkamah akan mengekalkan hukuman mati," kata Peguam Negara Mahbuhey Alam, yang tidak gembira dengan keputusan itu.
Mahbuhey berkata Seyedee adalah penjenayah perang jahat dan 'pendera wanita' yang menjurus kepada pembentukan Bangladesh, yang dulunya Pakistan Timur.
Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan pancutan air ke arah penunjuk perasaan yang berhimpun di Universiti Dhaka.
Dengan bersenjatakan belantan, polis cuba meleraikan penunjuk perasaan itu yang melaungkan slogan dan melempar batu ke arah mereka.
Sayedee adalah naib presiden Jamaat-e-Islami, parti Islam terbesar di negara berkenaan dan seorang ulama terkemuka dan didapati bersalah Februari tahun lalu. - AFP

Polis China tahan anak Jackie Chan kerana dadah


BEIJING: Polis di sini dengan rasminya menahan anak lelaki bintang filem Hong Kong Jackie Chan yang disyaki membenarkan orang lain mengambil dadah.

Jaycee Chan. - Foto AP
Menurut pendakwa, tuduhan itu membawa hukuman maksimum tiga tahun penjara.
Pejabat Pendakwa Daerah Dongcheng memberi kebenaran bagi penahanan pelakon Jaycee Chan berikutan permintaan daripada polis minggu lalu.
Jaycee Chan, 31, adalah selebriti berprofil tinggi yang ditahan oleh pihak berkuasa polis kerana tuduhan berkaitan dadah pada 14 Ogos lalu bersama bintang filem Taiwan Ko Kai.
Polis berkata kedua-dua pelakon diuji positif marijuana dan mengakui menggunakan dadah berkenaan manakala sejumlah 100 gram dirampas daripada rumah Chan. - AP

Penumpang penerbangan berang dengan kelewatan, halang ahli politik naik pesawat

RABU, 17 SEPTEMBER 2014 @ 6:42 PM

 
ISLAMABAD: Bosan dengan selalu sangat berlaku kelewatan dan pembatalan penerbangan, penumpang Pakistan yang berang hari ini menghalang seorang ahli politik kanan daripada menaiki pesawat selepas beliau terlewat selama dua jam.

Video yang dimuat naik menunjukkan sekumpulan penumpang melaungkan kata-kata 'Malu, Malu' ketika mereka menghalang bekas Menteri Dalam Negeri yang berpengaruh Rehman Malik, daripada memasuki pesawat dan sebaliknya mengusirnya keluar ke bangunan terminal.

Pesawat itu, yang dikendalikan oleh Pakistan International Airlines (PIA), akhirnya berlepas dari Karachi ke Islamabad tanpa Malik.

Seorang lagi ahli politik, Ramesh Kumar Wakwani, juga dihalang daripada menaiki pesawat berkenaan kerana tiba lewat.



Malik mempertahankan dirinya dengan alasan beliau tidak bertanggungjawab di atas kelewatan itu.

"Siapa yang patut dipersalahkan bagi kelewatan ini? Saya atau PIA? Sudah tentunya PIA," ujarnya dalam laman Twitternya.

Penerbangan berkenaan, yang dirundung dengan masalah kewangan dan sering dikecam kerana tidak cekap, dikenali kerana kelewatan bagi memenuhi jadual ahli politik penting, kadangkala sehingga menyebabkan penumpang biasa terpaksa menunggu berjam-jam lamanya. - REUTERS

Akta Hasutan: Khatib berkhutbah Jumaat pun disiasat


MOHAMED HANIPA MAIDIN | .
AKTA Hasutan sudah lama wujud di negara ini sejak wujudnya penjajah di negara ini. Tetapi mengapakah kali ini bantahan ke atas akta ini begitu lantang didengar sehingga wujudnya satu gerakan bernama "GHAH" bagi menuntut penghapusan akta drakonian ini? Sudah tentu ada sebab tertentu yang mendorong penentangan lantang itu.

Sebabnya terlalu jelas. Akta Hasutan itu kini sedang menggila ibarat lembu liar yang tidak dapat dikawal. Yang lebih malang para pengawal akta yang sedang menggila ini juga adalah orang gila - mereka yang gila kuasa! Undang undang ibarat pisau - manfaat atau mudarat pisau itu bergantung siapa yang pegang dan gunakan pisau itu!

Saya tidak terfikir penggubal akta ini terfikir akta ini akan digunakan kepada seorang profesor undang-undang yang bidangkuasanya memberi pendapat undang-undang. Jika seorang profesor undang-undang didakwa di bawah undang-undang kerana memberikan pendapat tentang undang-undang maka di manakah lagi kita boleh mengharapkan akta ini dan pengawal akta ini masih lagi di garisan kewarasan?

Saya juga tidak fikir penggubal undang-undang ini boleh terfikir tangan undang-undang ini terlalu panjang sehingga seorang khatib yang berkhutbah Jumaat juga akan disiasat di bawah akta ini. Sejak bila pula bidangkuasa polis dilebarkan hingga ke urusan dalam masjid?

Begitu juga jika penjajah yang gubal undang undang ini tidak terfikir untuk menangkap dan mendakwa seorang wartawan nampaknya "anak penjajah" tidak segan silu melakukan apa yang tuan dia tidak lakukan.

Sebab itu kali ini kita melihat penentangan kepada akta ini bukan sahaja datang dari pihak Pakatan Rakyat dan NGO serta individu individu yang kita sudah tahu istiqamah mereka menentang akta ini sejak sekian lama sepertimana istiqamah mereka menentang undang undang drakonian yang lain, malahan kali ini menteri dan mantan menteri Umno juga tidak dapat mengawal lidah mereka selain turut sama menghentam akta ini.

Ketika saya hadir sebagai peguambela kepada Khalid Samad yang juga menjadi mangsa kepada akta ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bersama peguam LUHAM, Saudara Arif Azami, mendengar pertuduhan dibacakan ke atas tertuduh, saya berbisik kepada Saudara Arif di manakah unsur hasutan kata kata Khalid Samad itu? Rupanya bukan saya sahaja berkongsi kesangsian itu. Saya diberitahu oleh Khalid Samad pegawai polis yang mengiringi Khalid untuk membayar duit jaminan juga berbisik dengan Khalid "saya tunggu sampai habis kata kata YB yang dikatakan menghasut dalam kertas pertuduhan, di mana yang dikatakan menghasutnya?"

Orang kata undang undang ini juga harus selari dengan "common sense" kerana mana mana undang undang yang tidak selari dengan " common sense" tidak akan dapat bertahan kecuali di negara yang kezaliman adalah satu norma dan keadilan adalah satu pengecualian.

Hanya rejim yang zalim sahaja boleh terus hidup dengan akta yang tak masuk akal kerana di dalam masyarakat yang tidak mampu menggunakan akalnya rejim yang zalim akan tetap dipatuhi dalam apa keadaan sekalipun.

Itulah yang A- Quran ajar kepada kita tentang Firaun. Firaun, kerana percaya kepada ahli nujum, sanggup gubal undang undang membunuh bayi lelaki yang baru lahir kerana percaya bahawa bayi itu akan menjatuhkan rejimnya yang zalim itu. Mengapakah undang undang yang tidak masuk akal itu lama bertahan di bumi Mesir di bawah rejim Firaun? Jawabnya Firaun telah berjaya memperbodohkan kaumnya (fastakhaffa qaumahu) dan malangnya kaumnya terus mentaati Firaun dengan undang undang yang tidak masuk akal dan zalim itu.

Para mufassirin seperti Ibnu Kathir r.a. ketika menafsirkan kata kata "fastakhaffa qaumahu" menafsir dengan makna "istakhaffa 'uqulahum" iaitu Firaun memperbodohkan otak dan pemikiran rakyatnya sehingga mereka tidak boleh lagi berfikir.

Di era langit terbuka, kampung global atau globalisasi kewujudan Akta Hasutan adalah suatu yang tidak masuk akal yang hanya patut wujud di dalam dunia imaginasi sahaja. Bolehlah dikatakan akta ini ibarat dinosour yang kita boleh menyaksikan binatang purba itu apabila wujudnya pengarah seperti Steven Spielbergh yang mewujudkan dinosour dalam filem imaginasi Jurassic Park.

Di zaman sepertimana kata Perdana Menteri "Kerajaan tahu semuanya" sudah berakhir sepatutnya menyaksikan juga berakhirnya Akta Hasutan. Jika era 'Kerajaan tahu semuanya' sudah berakhir, maka sepatutnya ketakutan rakyat untuk berbincang, berdebat dan bercakap perkara perkara yang dahulunya dianggap sensitif dan masuk dalam zon larangan sewajarnya juga sudah berakhir.

Sampai bilakah rakyat Malaysia akan bersikap matang jika setiap kata kata yang diingin ditutur dibatasi oleh sekatan sekatan yang terus menyekat mereka?

Keluar dewan biasa, bukan protes - Mohamad Sabu


MUHAMMAD FAIZAL| FOTO WAN ZAHARI | .

KOTA TINGGI: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata tindakan keluar dewan adalah perkara biasa dan bukan suatu protes.

"Biasa je bila orang keluar dewan, lagi pun tadi sudah masuk waktu Asar dan mungkin mereka ingin ke tandas.

"Saya tidak nampak ia sebagai protes," katanya sebagai respons kepada tindakan beberapa perwakilan pemuda yang keluar ketika beliau berucap merasmikan Muktamar Pemuda PAS Malaysia ke-55 hari ini.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula menyifatkan tindakan itu tidak wajar.

Beliau yang ketika ditemui di luar dewan muktamar‎ akan mendengar laporan dari Pemuda PAS berhubung insiden tersebut.

"Saya tidak pasti apa yang berlaku sebab saya duduk di bahagian hadapan sekali.

"Tetapi dalam keadaan kita mendengar ucapan hangat dari Muktamar Pemuda, ia tidak sepatutnya berlaku.

"Kita akan mendengar laporan dari muktamar pemuda atas apa yang berlaku hari ini," kata beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat menyifatkan tindakan tersebut adalah perkara biasa. -HARAKAHDAILY 16/9/2014

Kereta mewah Bale ditendang peminat

MADRID: Suatu perkara yang mengejutkan berlaku di Bernabeu apabila kereta mewah bintang Real Madrid, Gareth Bale ditendang manakala Toni Kroos dan Raphael Varane dihambur kata-kata kesat selepas menjalani sesi latihan.
Suasana di kelab gergasi Sepanyol itu jauh daripada positif selepas kekalahan berturut-turut kepada Real Sociedad dan musuh tetangga Atletico Madrid dalam aksi La Liga, minggu lalu.
Dan ketika pemain meninggalkan kompleks latihan di Valdebebas bersama kereta mewah masing-masing, sekumpulan peminat dilihat sedang menunggu namun ia tidak berlaku seperti diharapkan.
Ada yang menjerit untuk mendapatkan tandatangan Bale namun bintang Wales itu tidak menghentikan keretanya menyaksikan dua daripadanya melepaskan tendangan ketika dia sedang melalui mereka.
Satu tendangan dilihat tersasar manakala tendangan kedua nampak seperti mengenai sedikit kereta dipandu Bale.
Insiden itu berjaya dirakam stesen televisyen Sepanyol, Cuatro.

GAMBAR yang diambil daripada rakaman video yang menunjukkan kereta mewah Gareth Bale sedang ditendang.
Dalam pada itu, pemain tengah Jerman, Kroos yang dibeli dari kelab Jerman, Bayern Munich dikatakan menerima kata-kata kesat oleh peminat kelab itu, situasi yang turut berlaku kepada pemain Perancis, Varane.
Real ketika ini sedang bersedia untuk melancarkan kempen Liga Juara-Juara Eropah selepas mengharungi kempen domestik mendukacitakan.
Begitupun, pengurus Real, Carlo Ancelotti tetap mempertahan aksi anak buahnya sekalipun mempamer aksi buruk.
"Kami perlu membiasakan diri dengan pemain-pemain yang baru dan cuba segera mendapatkan keserasian dengan mereka. Kami mempunyai pemain yang tiba pada lewat Ogos lalu dan kami tidak mempunyai banyak latihan bersama mereka. Mereka memerlukan masa."
Lawan Real pada awal pagi ini ialah kelab Switzerland, FC Basel. - Agensi

AS serang kedudukan IS dekat Baghdad

WASHINGTON: Amerika Syarikat mengebom kedudukan kumpulan Negara Islam (IS) dekat Baghdad, kali pertama ia menyasarkan anggota militan itu hampir dengan ibu negara Iraq itu.
Seorang pegawai pertahanan AS memberitahu AFP bahawa pesawat Amerika melancarkan satu serangan dekat Baghdad dan satu lagi di Gunung Sinjar di utara Iraq dalam tempoh 24 jam lalu.
AS bulan lalu memulakan kempen serangan udara terhadap kedudukan IS di utara Iraq tetapi pengumuman bahawa pesawatnya menyasarkan militan berhampiran Baghdad menunjukkan perluasan skop misi itu.
"Tentera AS terus menyerang pengganas ISIL (IS) di Iraq, menggunakan pesawat tempur dan pejuang untuk melakukan dua serangan udara pada Ahad dan Isnin dalam membantu pasukan keselamatan Iraq dekat Sinjar dan barat daya Baghdad," menurut US Central Command dalam satu kenyataan.
Serangan itu memusnahkan enam kenderaan IS dekat Sinjar dan pasukan IS di barat daya Baghdad yang menembak kedudukan tentera Iraq.
Ia menjadikan keseluruhan serangan AS di Iraq sebanyak 162 kali. - AFP

Ebola: Obama akan kerah 3,000 tentera AS ke Afrika



PRESIDEN Amerika Syarikat, Barack Obama, akan mengerah 3,000 anggota tentera AS ke Afrika Barat,. - Foto AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, akan mengerah 3,000 anggota tentera AS ke Afrika Barat dan melancarkan program latihan penjagaan kesihatan dan kebersihan dalam usaha menyekat penularan wabak Ebola.
Obama akan ke Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Atlanta untuk bertemu ketua pegawai kesihatan dan membuat pengumuman itu.
Menurut White House, ia bertujuan menggerakkan usaha masyarakat dunia bagi memerangi penularan wabak Ebola yang sudah meragut 2,400 nyawa. - AFP

Gempar artifak disangka bom


Sik: Kira-kira 400 penduduk di Kampung Chichar Mukim Jeneri, dekat sini, gempar apabila menemui dua struktur artifak berbentuk tempayan besar yang disangka bom lama dipercayai berusia ratusan tahun dulu.
Nordin Ahmad, 48, berkata dia menemui artifak berkenaan pada pertengahan Ramadan lalu sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah dari dusun buah-buahan yang terletak kira-kira 25 meter daripada lokasi penemuan artifak berkenaan.
Katanya, pada hari berkenaan, dia dalam perjalanan pulang dari dusun kira-kira jam 7 malam sebelum terlihat satu bentuk bulatan yang timbul kesan daripada mendapan tanah di kawasan terbabit.

“Saya agak terkejut melihat kesan bulatan berkenaan kerana tidak pernah melihatnya sebelum ini walaupun sering berulang-alik di kawasan terbabit untuk ke kebun setiap hari.
Foto
PENDUDUK melihat struktur artifak berbentuk tempayan besar.
Foto
NORDIN bersama artifak yang ditemuinya.

“Namun, perasaan ingin tahu itu terpaksa saya pendamkan dulu memandangkan hari makin gelap dan saya perlu segera pulang ke rumah untuk berbuka puasa,” katanya yang ditemui, di sini, semalam.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

iPhone 6 syarat nikah


Riyadh: Seorang lelaki Arab Saudi diarah bakal abang iparnya untuk memberikan iPhone 6 sebagai mas kahwin kepada wanita yang ingin dinikahnya.

Bakal pengantin lelaki itu diarah memberi telefon pintar itu sebaik ia boleh didapati di pasaran Arab Saudi sebagai syarat untuk berkahwin.


Akhbar al-Anba melaporkan, arahan si abang mengatasi permintaan bapa pengantin yang mahukan mas kahwin berbentuk wang.

Walaupun ulama rata-rata menggalakkan mas kahwin berbentuk wang tunai atau hadiah yang tidak terlalu mahal, masih ada keluarga di negara ini cuba mengambil kesempatan dengan membuat pelbagai tuntutan.


Generasi baru di rantau ini banyak mendesak supaya mas kahwin lebih rendah dibayar, namun sering diketepikan keluarga atau mereka yang mementingkan status dan adat.


Seorang kerani, Saud Ahmad berkata, dia biasa mendengar pelbagai permintaan pelik, namun ini kali pertama telefon bimbit canggih menjadi ‘buruan.’ - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Jokowi terperangkap


Jakarta: Presiden terpilih, Joko Widodo (Jokowi) didakwa gagal membentuk jumlah Kabinet lebih kecil seperti diinginkannya sebelum ini kerana tekanan daripada pelbagai pihak.

Pemerhati politik dari Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), Syamsuddin Haris berkata, tekanan dihadapi Jokowi itu dilihat datang daripada ketua Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) Megawati Sukarnoputri dan juga bakal timbalan presiden Jusuf Kalla.


“Kita lihat pengumuman Jokowi malam tadi (kelmarin). Beliau inginkan Kabinet kecil, tetapi tentangan dihadapi terlalu besar, dari dalam, khususnya Ketua PDI-P dan timbalannya, walaupun Jusuf masih senior,” kata Syamsuddin ketika berucap di seminar mengenai Revolusi Mental di Jakarta.



Menurutnya, Jokowi jelas terperangkap dengan orang di sekelilingnya. “Beliau sepatutnya lebih mementingkan rakyat yang memilihnya secara langsung, bukan tunduk kepada tokoh di sekelilingnya.


“Kerana itu, dari segi jumlah, Kabinet yang bakal dibentuknya tidak berubah, 34 sama seperti Kabinet yang ada sekarang,” kata Syamsuddin.


Beliau bagaimanapun menyambut baik langkah Jokowi menghapuskan jawatan timbalan menteri, kecuali Kementerian Luar Negeri.

Menurut Syamsuddin, tindakan itu dapat menjimatkan perbelanjaan negara.


Jokowi sebelum ini berkata, tokoh profesional dari parti politik akan dilantik sebagai menteri di 16 kementerian dalam kerajaannya.

Ia termasuk menteri kewangan, tenaga, pertanian, tenaga dan sumber asli. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Pelampau Hindu bantah bantu pelajar Kashmir


Naib Canselor Universiti Vikram Jawaharlal Kaul berkata, sekumpulan pemuda di bandar Ujjain memecahkan tingkap, membaling perabot dan cuba memecahkan siling bangunan menggunakan kayu yang sempat dirakam dan disiarkan berita kebangsaan. 
Menurutnya, kejadian berlaku selepas universiti terbabit mengisytiharkan mengutip derma untuk membantu pelajar Kashmir yang menjadi mangsa banjir yang meragut ratusan nyawa selain memusnahkan Srinagar, bandar utama wilayah itu. 

“Kami membuat rayuan untuk membantu pelajar di Kashmir. Kerajaan negeri juga melakukannya.
Foto
SEBUAH kereta di Srinagar hampir tenggelam selepas banjir yang melanda bandar raya itu sejak minggu lalu.

“Penyerang terbabit berkata mereka dari kumpulan Vishwa Hindu Parishad dan Bajrang Dal,” katanya, merujuk kepada militan haluan kanan yang dikaitkan dengan parti pemerintah India, Bharatiya Janata.

Menurut Kaul, dia membuat rayuan itu melalui akhbar tempatan di Madhya Pradesh. 

“Kami bersimpati dengan pelajar terbabit, malah saya sendiri juga ada membuat rayuan bagi pihak mereka kepada tuan rumah masing-masing supaya dikecualikan daripada membayar sewa untuk beberapa bulan dengan harapan dapat meringankan beban mangsa,” katanya. -AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

India pertahan sempadan


New Delhi: India semalam berkata ia akan mempertahankan sempadannya dengan China selepas media tempatan melaporkan pertembungan terbaru antara askar kedua-dua negara di kawasan yang menjadi rebutan kedua- dua negara.

Pengumuman itu dibuat menjelang lawatan Presiden Xi Jinping beberapa hari lagi.


Lebih 200 tentera China menyeberang masuk ke kawasan yang dianggap India wilayahnya di Ladakh, barat Himalaya minggu lalu, membawa bersama kelengkapan untuk membina jalan raya sepanjang dua kilometer.

Akhbar tempatan melaporkan tentera India menghalang dan mengarahkan tentera China itu berundur pada malam 10 September lalu, serta memusnahkan laluan sementara yang telah dibina.


Kedua-dua negara berkenaan menuntut hak ke atas kawasan wilayah yang luas itu.


Rundingan yang diadakan untuk menyelesaikan tuntutan bertindih itu sejak 20 tahun lalu menemui jalan buntu.

Perebutan wilayah berkenaan juga pernah menyebabkan kedua-dua negara itu berperang pada 1962.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Cameron ulangi ikrar beri lebih kuasa kepada Scotland


CAMERON kelihatan sebak semasa menyampaikan ucapan menyentuh mengenai Scotland pada Persidangan dan Pameran Aberdeen di Scotland kelmarin.


ABERDEEN - Pemimpin tiga parti utama di United Kingdom (UK) semalam menyiarkan ikrar bersama untuk memberikan lebih kuasa kepada Parlimen Scotland sekiranya pengundi menolak kemerdekaan pada pungutan suara rakyat esok.
Perkembangan tersebut disifatkan sebagai usaha terakhir kerajaan untuk menghalang UK daripada berpecah.
Ikrar berkenaan yang mengulangi komitmen sebelum ini disiar di muka hadapan akhbar utama Scotland, Daily Record di bawah tajuk utama The Vow semalam.
Janji itu ditandatangani sendiri oleh Perdana Menteri, David Cameron; Ketua Pembangkang, Ed Miliband dan Timbalan Perdana Menteri, Nick Clegg, masing-masing daripada Parti Konservatif, Parti Buruh dan Parti Liberal Demokrat.
"Kami bersetuju bahawa: Parlimen Scotland adalah kekal manakala kuasa baharu lebih meluas akan diberikan padanya," menurut ikrar tersebut.
"Orang ramai mahu melihat perubahan. Undi menolak kemerdekaan menjanjikan perubahan yang lebih baik, selamat dan cepat berbanding perpecahan," tambah kenyataan bersama itu.
Ikrar sama mengesahkan semula jadual peruntukan kuasa baharu itu yang pernah diumumkan oleh tiga pemimpin tersebut pada minggu lalu.
Cameron, Miliband dan Clegg cuba untuk memenangi hati penduduk Scotland berikutan keputusan beberapa tinjauan pendapat menunjukkan sokongan untuk kemerdekaan meningkat baru-baru ini, sekali gus menjadikan referendum Khamis ini sengit.
"Mereka jelas panik dan sanggup menyatakan apa sahaja pada hari-hari terakhir berkempen dalam usaha untuk cuba menyekat momentum kemerdekaan," kata seorang jurucakap kempen prokemerdekaan Scotland apabila diminta mengulas kenyataan bersama itu.
" Sebenarnya, satu-satunya cara untuk menjamin Scotland mendapat semua kuasa yang diperlukan adalah menerusi undi merdeka," tambahnya. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3DWU4HH7h 
Hakcipta terpelihara 

AS mula serang IS di Baghdad


PEJUANG Kurdish Peshmerga bersiap sedia sebagai langkah berjaga-jaga terhadap serangan militan IS di daerah Gwer, 40 kilometer di selatan Arbil, Iraq kelmarin.


WASHINGTON - Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara pertama ke atas militan Negara Islam (IS) berhampiran Baghdad sebagai langkah permulaan menentang kumpulan militan itu, lapor Pusat Pentadbiran AS.
Pesawat pejuang telah digunakan dalam serangan yang dilakukan kelmarin di bahagian barat daya Baghdad bagi menyokong tentera kerajaan Iraq.
Serangan itu disifatkan sebagai permulaan dalam mengukuhkan usaha melindungi rakyat AS di Iraq selain misi kemanusiaan dalam menentang kemaraan militan IS seperti yang dinyatakan oleh Presiden AS, Barack Obama minggu lalu, kata tentera.
"Serangan berkenaan telah memusnahkan kedudukan IS yang sebelum ini sedang berbalas tembak dengan tentera Iraq di pinggir Baghdad," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Pusat Pentadbiran AS berkata, sebanyak 162 serangan udara telah dilakukan di Iraq sejak Ogos lalu. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3DWTMzMNY 
Hakcipta terpelihara 

Selepas Scotland, Catalonia Pula Inginkan Kemerdekaan


Diterbitkan: Rabu, 17 September 2014 12:47 PM
Peta wilayah autonomi Catalonia (merah) dalam Sepanyol kini mahu menuntut kemerdekaan dalam satu referendum yang dijadualkan pada 9 November ini.

BARCELONA: Warga Scotland akan menentukan masa depan mereka sama ada mahu kekal atau berpisah dari kesatuan United Kingdom (UK) dalam satu referendum pada Khamis dan kini warga Catalonia - sebuah wilayah dalam negara Sepanyol - juga ingin menuntut hak untuk menentukan sama ada mereka mahu memerintah sendiri atau terus kekal sebahagian daripada Sepanyol.
Pada Isnin, Parlimen Catalonia telah memulakan langkah membentangkan rang undang-undang untuk diluluskan bagi membolehkan penduduk di wilayah Catalonia menentukan masa depan mereka melalui satu referendum pada 9 November.
Buat masa ini Catalonia hanya menikmati sedikit kuasa autonomi seperti pengekalan parlimen, budaya dan bahasa mereka sendiri.
Pemimpin pro-kemerdekaan Catalan yang juga presiden wilayah autonomi Catalonia, Artur Mas memberitahu parlimen wilayah itu, rang undang-undang yang akan dibentangkan itu akan membolehkan wilayah tersebut menuntut perundingan tanpa syarat.
"Ini bermakna Sepanyol secara efektifnya akan mendapati bahawa ia adalah sebuah negara yang dibentuk oleh beberapa negara yang lain.
"Pada masa yang sama, Sepanyol akan muncul sebagai sebuah negara dengan tahap demokrasi dan toleransi yang tinggi yang mampu mendengar dan menyelesaikan cabaran demokratik era moden," ujarnya.
Ahli-ahli parlimen Catalonia dijangka meluluskan rang undang-undang tersebut menjelang Jumaat ini, iaitu sehari selepas warga Scotland menentukan masa depan mereka melalui referendum.
Kini warga Catalonia menanti dengan penuh debar bagaimanakah Scotland akan menentukan masa depan mereka walaupun pungutan suara dan tinjauan rambang mendapati, jumlah yang mahukan pemerintahan sendiri dan kekal sebahagian daripada UK adalah sama banyak.
Kerajaan pusat Sepanyol sejak awal-awal lagi menegaskan yang ia akan mencabar di mahkamah perlembagaan sebarang usaha untuk memisahkan wilayah Catalan.
Seandainya itu berlaku, referendum yang dijadualkan berlangsung pada 9 November secara automatisnya terpaksa ditangguh - sekaligus mencetuskan krisis politik dan suasana tidak stabil.
Minggu lalu, beribu warga Catalonia berarak di pusat ibu negeri mereka, Barcelona untuk menuntut agar mereka diberi hak untuk menentukan masa depan wilayah mereka sendiri.
Xavier Arbós Marín, seorang profesor perlembagaan di Universiti Barcelona berkata; "Kini terdapat tekanan daripada pihak yang pro-kemerdekaan supaya wilayah itu meneruskan juga referendum yang dijadualkan pada 9 November depan tanpa menghiraukan apa juga keputusan yang dibuat oleh kerajaan pusat."
mstar

Pasukan pemantau diserang selepas lawat lokasi nahas MH17


KIEV 16 Sept. - Pasukan pemantau antarabangsa, Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) diserang selepas melawat lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, kelmarin.
OSCE dalam kenyataan hari ini berkata, enam anggota pemantau itu tidak mengalami kecederaan dalam serangan yang berlaku di wilayah Donetsk apabila dua buah kenderaan pertubuhan terbabit terkena serangan meriam.
Jelas kenyataan itu, satu daripada kenderaan tersebut rosak teruk dan terpaksa ditinggalkan.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada serangan itu didalangi oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia atau tentera kerajaan Ukraine yang bertempur di wilayah berkenaan walaupun gencatan senjata antara kedua-dua pihak telah dikuatkuasakan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140916/lu_08/Pasukan-pemantau-diserang-selepas-lawat-lokasi-nahas-MH17#ixzz3DWQiDMzu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Robot kawal Korea Selatan


SGR-1 mempunyai alat pengesan haba dan pergerakan yang boleh mengenal pasti sasaran pada jarak lebih 3.2 kilometer. - AGENSI
SEOUL 16 Sept. - Pasukan keselamatan Korea Selatan bertindak menempatkan sepasukan robot di kawasan sempadannya sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi serangan daripada Korea Utara.
Mail Online melaporkan, robot yang dilengkapi dengan senjata automatik itu dikenali sebagai SGR-1 dan dihasilkan oleh sebuah anak syarikat Samsung iaitu Samsung Techwin.
SGR-1 mempunyai alat pengesan haba dan pergerakan yang boleh mengenal pasti sasaran pada jarak lebih 3.2 kilometer.
Robot berkenaan turut dilengkapi dengan senjata automatik sepanjang 5.5 milimeter dan pelancar bom tangan sepanjang 40 milimeter.
"Manusia mudah mengantuk dan boleh hilang tumpuan pada satu-satu masa. Namun, tidak bagi robot ini yang mempunyai sistem pengawasan automatik.
"SGR-1 juga tidak gentar berdepan dengan musuh selain merupakan satu daripada jalan untuk mengelakkan berlakunya peperangan," kata jurucakap Samsung Techwin, Huh Kwang-hak.
Robot tersebut kini ditempatkan di Zon Bebas Tentera (DMZ) sepanjang 257 kilometer di kawasan sempadan Korea Selatan-Korea Utara.
Dianggarkan sebuah robot SGR-1 bernilai AS$200,000 (RM645,826).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140917/lu_10/Robot-kawal-Korea-Selatan#ixzz3DWPzsGsC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gunung Mayon dikhuatiri meletus


MANILA 16 Sept. - Lebih 12,000 penduduk yang tinggal berhampiran kaki Gunung Mayon di tengah wilayah Bicol, dipindahkan apabila gunung berapi itu dikhuatiri meletus berdasarkan kewujudan lahar yang dikesan.
Beberapa siri gegaran dan hamburan batu berlaku baru-baru ini, menandakan Mayon boleh meletus pada bila-bila masa.
Pengarah Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina, Renato Solidum berkata, pihaknya telah meningkatkan tahap amaran Gunung Mayon daripada peringkat dua kepada tiga.
Jelas beliau, pemindahan itu membabitkan penduduk yang tinggal dalam radius enam hingga lapan kilometer daripada gunung berkenaan. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140917/lu_08/Gunung-Mayon-dikhuatiri-meletus#ixzz3DWPgKRfY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

PBB bincang tentang Ebola


Sebahagian pelajar mendengar penerangan tentang bahaya Ebola yang disampaikan oleh kakitangan UNDP di Sekolah Tinggi Saint Therese de Koummassi di Abidjan, Ivory Coast, kelmarin. - AFP
WASHINGTON 16 Sept. - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat tergempar mengenai virus Ebola Khamis ini, bagi mencari penyelesaian dalam meningkatkan kesedaran di peringkat antarabangsa.
"Adalah penting untuk ahli-ahli membincangkan wabak ini dan menyelaras tindak balas antarabangsa serta memulakan proses mengatur sumber bagi menghentikan penyebaran wabak berkenaan," kata Duta Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Samantha Power.
Wabak tersebut meragut lebih 2,400 nyawa di Afrika Barat dengan Liberia sebagai negara paling teruk dijangkiti.
Badan dunia itu telah menetapkan matlamat untuk menghentikan penularan Ebola dalam tempoh enam hingga sembilan bulan, tetapi agensi-agensi bantuan mengadu bahawa bantuan lambat tiba kepada mereka yang memerlukan.
"Situasi di kawasan terlibat sangat teruk dan semakin kritikal dari hari ke hari," kata Power.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon merancang 'program peringkat tinggi' sempena Perhimpunan Agung PBB minggu depan, bagi menarik perhatian terhadap penularan Ebola dan tindakan yang perlu diambil.
Menteri Pertahanan Liberia, Brownie Samukai berkata, wabak tersebut adalah 'satu ancaman serius' kepada negaranya dan merebak dengan cepat.
Sehingga kini, tiada rawatan khusus untuk menghentikan jangkitan Ebola tetapi pakar sedang berusaha mengenal pasti dua vaksin berpotensi dan lapan rawatan termasuk pemberian ubat ZMapp.
Dalam pada itu, Presiden AS, Barrack Obama bersedia menghantar kira-kira 3,000 anggota tentera ke Afrika Barat untuk memerangi Ebola.
Pasukan tentera tersebut akan membekalkan bantuan perubatan dan sokongan logistik serta menambahkan bilangan katil yang diperlukan bagi mengasingkan dan merawat mangsa-mangsa wabak Ebola. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140917/lu_06/PBB-bincang-tentang-Ebola#ixzz3DWP6yHCe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Serpihan MH17 masih bertaburan


Bangkai serta serpihan pesawat MH17 yang ditembak jatuh berhampiran kampung Grabove di timur Ukraine, masih berada di lokasi kejadian selepas dua bulan tragedi itu berlaku. - REUTERS
KIEV 16 Sept. - Serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, masih belum dikeluarkan dari lokasi nahas dan dikhuatiri dicuri oleh penduduk tempatan untuk dijual sebagai besi buruk.
Laporan portal berita The Guardian selepas mengadakan lawatan ke lokasi kejadian pada minggu lalu menyatakan, enjin dan serpihan badan pesawat terbabit masih terdampar di sekitar wilayah Donetsk yang menjadi lokasi pertempuran antara kumpulan pemberontak pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Menurut laporan itu, banyak barang peribadi 298 mangsa nahas tersebut bertaburan di sekitar lokasi kejadian termasuk kasut, majalah, basikal dan permainan kanak-kanak.
Turut dilaporkan, penduduk kampung Rozsypne yang terletak berhampiran kawasan nahas mengambil banyak serpihan kenderaan tentera yang musnah atau ditinggalkan akibat pertempuran kumpulan pemberontak dan tentera Ukraine untuk dijual sebagai besi buruk.
"Buat masa ini, mereka tidak mengambil serpihan pesawat MH17 selepas puak pemberontak memberi amaran agar tidak berbuat demikian.
"Penduduk kampung yang didapati mengambil barangan peribadi dan berharga milik mangsa telah memulangkannya semula kepada kumpulan pemberontak," tambah laporan berkenaan.
Pihak berkuasa Belanda yang mengetuai siasatan insiden itu, masih belum meneruskan misi di lokasi kejadian memandangkan tahap keselamatan yang membimbangkan ekoran pertempuran antara puak pemberontak dan tentera Ukraine walaupun kedua-dua pihak bertelagah menandatangani perjanjian gencatan senjata pada 5 September lalu.
Dalam perkembangan terbaharu, pasukan pemantau antarabangsa, Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) diserang selepas berkunjung ke lokasi nahas pesawat MH17, menyebabkan sebuah daripada kenderaan yang digunakan rosak teruk akibat serangan meriam dan terpaksa ditinggalkan.
Timbalan Pengarah OSCE, Alexander Hug berkata, enam anggota pertubuhan yang terlibat dalam kejadian berkenaan tidak mengalami kecederaan dan menganggap insiden itu sebagai kejadian yang tidak boleh diterima.
"Saya menggesa kedua-dua pihak menghormati perjanjian gencatan senjata yang dimeterai di Minsk supaya situasi di wilayah Donetsk dan Luhansk kembali pulih," katanya.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada serangan itu didalangi oleh kumpulan pemberontak atau tentera kerajaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140917/lu_03/Serpihan-MH17-masih-bertaburan#ixzz3DWO0X5Li
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wabak Ebola di Afrika Barat krisis paling sukar zaman ini


GENEVA 17 Sept - Sehingga kini wabak virus Ebola di Afrika Barat telah mengorbankan seramai 2,461 orang yang mana sebahagian daripada 4,985 orang telah dijangkiti oleh virus berbahaya tersebut, kata Pengarah Urusan Pertubuhan Kesihatan Dunia, Bruce Aylward kelmarin.
"Terus terang saya katakan, tuan-tuan dan puan-puan, krisis kesihatan yang kita hadapi ini adalah paling sukar ditandingi di zaman moden ini.
"Kami tidak tahu sama ada jumlah tersebut akan bertambah lagi," kata Aylward pada satu sidang media di Geneva. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140917/lu_02/Wabak-Ebola-di-Afrika-Barat-krisis-paling-sukar-zaman-ini#ixzz3DWNMxKZp
© Utusan Melayu (M) Bhd