Showing posts with label sogok. Show all posts
Showing posts with label sogok. Show all posts

Saturday, October 6, 2012

KDN siasat dakwaan Suaram sogok pegawai kerajaan

 Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
PETALING JAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat dakwaan penjawat awam menerima wang sogokan daripada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sebagai habuan kepada penyaluran maklumat rahsia negara.
 
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pemantauan yang berterusan akan dijalankan terhadap sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
 
"Saya tidak boleh sahkan atau nafikan dakwaan itu tetapi kita akan pantau perkara-perkara yang sensitif melibatkan kepentingan negara sama ada maklumat, wang ringgit dan juga orang-orang luar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Wanita di sebuah sekolah di sini hari ini.
 
Beliau mengulas kenyataan akhbar oleh Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah semalam yang mendakwa sejumlah RM100 juta dana asing dipercayai telah dibawa masuk sepanjang operasi Suaram di negara ini.
 
Wang tersebut juga dipercayai digunakan untuk merasuah beberapa kakitangan kerajaan dalam membuat keputusan yang memihak kepada kepentingan sekutu Suaram serta mendapatkan maklumat dan rahsia kerajaan dalam negara.

Sementara itu, Hishammuddin, yang juga Naib Presiden Umno, menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan tindakan sesetengah pihak yang mempolitikkan isu majlis kenduri kahwin anak lelaki Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
 
"Saya nak ingatkan orang ramai kalau kita nak berpolitik pun ada had dan batasan dan jangan kita terikut-ikut amalan kebencian dan serangan peribadi sehingga kerja kahwin pun dipolitikkan," katanya
 
"Esok saya akan jumpa Ali Rustam dan beritahu jangan kecewa kerana benda ini (sengaja ditimbulkan) kerana musim politik," katanya. - Bernama

Friday, October 5, 2012

Cuepacs mahu dakwaan Suaram sogok pegawai kerajaan disiasat

 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
KUALA LUMPUR - Cuepacs meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan penjawat awam disogok Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bagi menyalur maklumat dan rahsia kerajaan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, jika benar wujud, mereka mesti dikenakan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan adalah berat.
"Kalau betul (laporan) akhbar itu, terserah pada pihak berkuasa (ambil tindakan), sebagai penjawat awam jangan mudah terima duit, kita ada etika yang perlu dipatuhi," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah semalam, yang mendakwa Suaram menerima lebih daripada AS$100 juta (RM305.35 juta) bagi menganjurkan protes jalanan dan merasuah pegawai kerajaan.
Suaram bagaimanapun menafikan semua tuduhan itu dan menuntut JMM menyertakan bukti terhadap semua tuduhan terbabit selain mendesak JMM supaya memohon maaf dan menarik balik semua dakwaan berkenaan. - Bernama