Tuesday, June 7, 2011

Pusat jagaan kanak-kanak tanpa lesen diarah tutup


GEORGE TOWN: Pusat jagaan kanak-kanak yang tidak mempunyai lesen di sini, telah diarah untuk menghentikan operasi berikutan insiden seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui lemas dalam besen bilik air semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata pihaknya telah menyerahkan surat kepada pemilik pusat jagaan itu agar menghentikan operasinya.

"Siasatan awal pihak kami mendapati pusat jagaan kanak-kanak yang terletak di Paya Terubong itu tidak memiliki lesen untuk mendirikan pusat berkenaan dan tidak mempunyai permit untuk beroperasi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua pusat jagaan, tabika dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) seharusnya memohon permit dan lesen daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan atau kerajaan tempatan.

"Pihak JKM masih menjalankan siasatan dan satu laporan lengkap berkenaan pusat itu akan siap selewat-lewatnya akhir minggu ini," katanya.myMetro | Pusat jagaan kanak-kanak tanpa lesen diarah tutup

Adik Ryan Giggs tinggalkan isteri


KERIKA BAHAGIA...Natasha bersama Rhodri.
KETIKA BAHAGIA...Natasha bersama Rhodri.

LONDON: Adik Ryan Giggs semalam meninggalkan isterinya selepas mengetahui bintang bola sepak Manchester United itu menidurinya berulang kali selama lapan tahun.
Rhodri Giggs, 34, begitu kecewa akibat perbuatan abang dan isterinya, Natasha, 28, yang dikahwininya 10 bulan lalu.

Sementara itu, Ryan, 37, berusaha menyelamatkan perkahwinannya yang sebelum ini terjejas berikutan pendedahan skandalnya dengan model, Imogen Thomas.
Rhodri dipetik sebagai berkata semalam: “Saya berada bersamanya (Natasha) Sabtu lalu. Tetapi kini, saya sudah meninggalkannya.” Pendedahan skandal seks Ryan dengan Natasha terbongkar, kelmarin.

Beberapa rakan baik Rhodri, termasuk pelakon televisyen, Will Mellor, pengapitnya ketika dia melangsungkan perkahwinan berada bersama-samanya ketika dia mengumumkan keputusannya, semalam.

Seorang rakan berkata, dia begitu kecewa kerana ditipu oleh abang dan isterinya sendiri.
Rhodri berkata: “Saya begitu mengenali abang saya. Memang ada masa hubungan kami baik dan ada masa tidak. Tetapi ini yang paling buruk.” Memang dia mengesyaki ada sesuatu yang berlaku antara Ryan dan Natasha tetapi tidak menyangka ia sampai ke tahap melakukan seks.

Sementara itu, Ryan yang sebelum ini terkenal dengan imej bersihnya, berada di Sepanyol dalam usaha untuk menyelamatkan rumah tangganya.
Bintang bola sepak yang berpendapatan �80,000 (RM400,000) seminggu itu berlepas dari Manchester dengan jet persendirian untuk bersama Stacey dan anak mereka, Libbby, lapan, dan Zach, empat.

Ryan yang dilantik menjadi duta Unicef dan pernah menerima anuguerah Personaliti Sukan 2009 BBC pernah mendakwa keluarga adalah yang paling penting dalam hidupnya. - AgensimyMetro | Adik Ryan Giggs tinggalkan isteri

Rais sindir golongan suka cedok istilah Indonesia

JELEBU: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, hari ini meminta supaya penggunaan istilah "mantan" untuk merujuk kepada bekas Perdana Menteri atau bekas Ketua Polis Negara, dikaji semula.


Beliau berkata, istilah mantan itu digunakan secara meluas di Indonesia dan sebenarnya ia memberi maksud "orang yang tidak bekerja".
"Kita di sini tanpa usul periksa suka mengambil perkataan luar seperti mantan. Janganlah kita begitu mudah meniru perkataan dari Indonesia tanpa faham erti sebenarnya," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Persatuan Bekas Polis Malaysia di Dewan Petaling hari ini.
Beliau hairan mengapa sesetengah pihak di negara ini terlalu beria-ia mengambil bahasa luar untuk disesuaikan dengan keadaan masyarakat tempatan tetapi meminggirkan istilah yang sedia ada dalam bahasa kebangsaan.

"Sikap saudara-saudara semua yang tetap menggunakan 'bekas' untuk menggambarkan persatuan anda amat saya gemari. Bayangkan jika terjadi begini...Persatuan Mantan Polis. Tahniah kepada saudara semua kerana tetap menggunakan bahasa kebangsaan," katanya.

Sehubungan itu, Rais meminta Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membuat kajian mengenai penggunaan istilah ini.

Menurut laman pencinta bahasa Indonesia, istilah mantan diperkenalkan oleh seorang tokoh bahasa Indonesia, Profesor Dr Anton Moeliono.
Perkataan mantan juga digambarkan sebagai bekas isteri atau suami, orang Indonesia juga menggunakan istilah "pensiun" atau "eks" yang dicedok daripada bahasa Inggeris.

Perkataan itu tidak pernah wujud dalam penggunaan seharian rakyat Malaysia sehinggalah media negara ini sendiri yang mencedok istilah Indonesia itu untuk digunakan, sekali gus menggantikan istilah "bekas" yang sedia ada dalam bahasa kebangsaan. - BERNAMA
Berita Harian Online | Rais sindir golongan suka cedok istilah Indonesia

Saya tidak mahu jawatan PM: Abdul Hadi

KOTA BHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata beliau tidak mahukan jawatan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, perjuangan PAS adalah untuk menyelamatkan negara dan memperkenalkan dasar negara berkebajikan yang dibawa oleh pakatan pembangkang.
"Yang penting kita mahu selamatkan negara...sesiapa pun boleh jadi Perdana Menteri," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, bahawa perubahan kepemimpinan PAS yang kini dikuasai golongan profesional menunjukkan parti itu mahu berkuasa dalam pakatan pembangkang, termasuk Abdul Hadi yang berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri.

Malahan, Mohamed Nazri menegaskan peluang UMNO untuk meraih undi kaum Melayu pada pilihan raya umum akan datang lebih besar selepas PAS menukar dasar parti itu untuk tidak lagi mempertahankan perjuangan membina negara Islam, sebaliknya memperjuangkan "negara berkebajikan" di mana UMNO sudah pun melaksanakannya sejak merdeka.

Abdul Hadi juga menafikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, sebagai liabiliti kepada parti selepas beliau dipilih oleh perwakilan pada Muktamar PAS ke-57 minggu lalu.

"Bagi UMNO, Mohamad Sabu adalah satu peluang untuk menjatuhkan PAS. Tetapi bagi PAS, Mohamad Sabu adalah satu senjata untuk menjatuhkan UMNO," katanya.
Abdul Hadi turut menafikan bahawa wujudnya ahli parti yang kecewa dengan perubahan dasar perjuangan parti itu selepas beliau mengumumkan belum tiba masanya PAS menegakkan negara Islam yang menjadi dasar perjuangan parti itu selama ini, sebaliknya mahu memulakan dulu pelaksanaan negara berkebajikan sejajar tuntutan pakatan pembangkang.

Malahan, katanya, konsep negara berkebajikan itu mempunyai elemen yang lebih murni dalam menyelamatkan negara kerana PAS akan menerapkan konsep halal dan haram dalam pelaksanaannya. - BERNAMA Berita Harian Online | Saya tidak mahu jawatan PM: Abdul Hadi

Kereta api Bukit Bendera rosak lagi

GEORGETOWN - Kereta Api Bukit Bendera hari ini rosak lagi, kali ketiga dalam tempoh hanya lebih sebulan setelah disambung semula perkhidmatannya pada 25 April selepas menelan kos penambahbaikan sebanyak RM73 juta.

Dalam kes pertama, kereta api berkenaan mengalami kerosakan mekanikal apabila sekumpulan anjing menceroboh relnya selepas lapan hari perkhidmatannya disambung semula, manakala pada Sabtu lepas pula, perkhidmatannya terpaksa dihentikan sekali lagi kerana masalah mekanikal.

Hari ini, perkhidmatannya terhenti pada kira-kira pukul 10 pagi, dipercayai akibat masalah teknikal, ketika beratus-ratus pelancong berbaris untuk membeli tiket di stesennya di puncak Bukit bendera.

Bagaimanapun, lebih kurang 400 penumpang yang terkandas itu telah dibawa turun dengan jip dan bas.

Pengarah Perbadanan Bukit Bendera (PHC) Datuk Lee Kah Choon berkata, siasatan awal mendapati masalah itu berpunca daripada sistem elektrik yang tidak berfungsi dengan baik. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini

Australia henti eksport

SYDNEY - Industri ternakan Australia, semalam, mencadangkan langkah untuk mengurangkan penderitaan lembu hidup yang dieksport ke Indonesia untuk disembelih berikutan kontroversi mengenai perdagangan bernilai A$320 juta (RM1.03 bilion) itu.

Minggu lalu, Canberra terpaksa menghentikan eksport ternakan hidup ke 11 rumah penyembelihan di Indonesia selepas televisyen Australia menyiarkan rakaman lembu dipukul, disebat dan ditendang sebelum disembelih.

Kumpulan Daging dan Ternakan Australia (MLA) mengumumkan, cadangan terbaru itu bermakna hasil ternakan hanya akan dibekalkan kepada 25 rumah penyembelihan Indonesia yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Haiwan Dunia.

Cadangan itu dibuat selepas rakaman menunjukkan lembu dari Australia dilayan secara kejam di Indonesia sehingga menyebabkan kemarahan penduduk Australia.

Di bawah rancangan MLA, pegawai kebajikan haiwan akan ditempatkan di setiap rumah penyembelihan terlibat untuk memastikan proses itu mengikut piawai antarabangsa.

Australia mengeksport sekurang-kurangnya 500,000 lembu setiap tahun ke Indonesia, mewakili 60 peratus perdagangan ternakan hidup negara itu.
SH

Presiden PAS tolak video sebagai bahan bukti kes zina dan liwat

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menolak penggunaan video sebagai bahan bukti dalam kes zina dan liwat.

Menurut Datuk Seri Abdul Hadi dalam laporan akhbar Utusan Malaysia, video tidak boleh menjadi saksi kerana tiada mata dan telinga.

'Kita berpegang kepada konsep empat saksi yang adil dalam kes zina dan liwat. Video tidak boleh jadi saksi kerana video ini besi, ia tiada mata dan telinga.

'Kalau kes khalwat dengan wanita dan lelaki ada saksi dia dan yang boleh selesaikan kes ini adalah syariat Islam,' katanya semasa menggulung perbahasan pada hari terakhir Muktamar PAS Ke-57 di sini, kelmarin.

Menurut beliau lagi, video meskipun memaparkan aksi seks, tidak lebih hanya sebuah besi sedangkan Islam berpegang kepada konsep empat saksi.

Datuk Seri Abdul Hadi berkata demikian sebagai menyatakan pandangannya berkaitan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut mengenai skandal tersebut, Datuk Seri Abdul Hadi bagaimanapun menasihatkan kepada semua ahli PAS supaya jangan terlalu beremosi, sebaliknya perlu berdepan dengan 'fitnah' itu secara berilmu.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu, berkata kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi dibuat tanpa berdasarkan pengetahuan undang-undang.

Menurutnya, Mahkamah Syariah mempunyai peruntukan menerima bukan sahaja individu bagi memberi keterangan, malah bahan bukti lain yang disebut sebagai keterangan dokumentari.

Tambahnya lagi, bukti tersebut termasuk dokumen, perjanjian bertulis, video dan asid deoksiribonukleik (DNA) yang juga disebut sebagai keterangan bayyinah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi, bahawa rakaman video seks tidak boleh menjadi saksi kerana ia bukan manusia sebaliknya mesin.

'Perkara ini sudah diputuskan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah kerana jika keterangan hanya dihadkan kepada individu, maka Mahkamah Syariah akan menjadi statik dan jumud.

'Ia juga sesuai dengan perkembangan teknologi semasa,' ujarnya.

Cyberita Online Luar Negara

Keranda dihantar ke media Indonesia



Keranda kecil bersama nota Your next, number 69 yang dihantar kepada ketua-ketua syarikat media Indonesia, semalam. - AGENSI


JAKARTA 6 Jun - Pejabat urusan beberapa syarikat media Indonesia hari ini dikejutkan dengan kiriman keranda yang dihantar oleh individu yang tidak dikenali.

Sebuah daripada keranda itu dikirim kepada Ketua Pegawai Eksekutif akhbar The Jakarta Post, Daniel Rembeth di pejabatnya di Jalan Palmerah Barat, Jakarta Barat di sini.

Rembeth yang menerima 'hadiah' berkenaan yang tertulis Rest in Peace di keranda itu mengakui, sangat terkejut kerana tidak mengetahui apa motif hal itu dilakukan.

"Saya tidak tahu siapa pengirimnya. Kereta ambulans yang mengirim keranda itu juga tidak memiliki identiti seperti kereta ambulans lain," kata beliau.

Selain keranda, pengirim berkenaan juga turut menyelitkan tujuh kuntum bunga mawar serta sekeping kertas tertulis Your next, number 69 kepada Rembeth.

"Saya terkejut mendapat angka giliran bernombor 69," ujarnya lagi.

Selain Rembeth, keranda serupa turut dikirim kepada Pengarah Berita Metro TV, Suryopratomo; Pengarah Kompas.com, Edi Taslim dan Ketua Pengarang stesen televisyenRCTI, Arif Suditomo.

Biarpun tergamam dengan kiriman itu, namun para penerima keranda yang saiznya menyamai saiz tubuh seorang kanak-kanak tidak menolak kemungkinan kiriman itu sebagai strategi pemasaran pengusaha keranda. - Utusan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Minyak lebih AS$100 setong

pix_gal0
Spekulasi kewangan punca permintaan ‘emas hitam’ makin meningkat

SPEKULASI kewangan dan pengaruh bank pusat tertentu dalam pergerakan mata wang adalah antara punca harga minyak mentah dunia melonjak melebihi paras AS$100 setong, kira-kira 30 peratus lebih tinggi berbanding harga sebenarnya iaitu antara AS$75 hingga AS$80 setong, kata Presiden dan Ketua Eksekutif PETRONAS, Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Beliau mengakui, walaupun permintaan bagi ‘emas hitam’ itu makin meningkat dari hari ke hari, namun tiada bukti kukuh yang boleh mengaitkan peningkatan harga komoditi itu dengan kekurangan bekalan di pasaran dunia.
“Bagaimana harga minyak mentah dunia boleh mencecah paras sebegini, seawal tempoh ini dalam kitaran ekonomi semasa, tanpa sebarang bukti sebenar kekurangan bekalan dalam pasaran fizikal?
“Bersandarkan kepada asas semasa pasaran serta kos persekitarannya, saya percaya harga minyak mentah harus kekal berada dalam jajaran antara AS$75 hingga AS$80 setong,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-16 yang disertai ketua eksekutif syarikat minyak dunia, di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Persidangan Tahunan Minyak dan Gas Asia (AOGC) ke-16, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Nilai mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) yang menjadi asas urus niaga minyak mentah dunia, kini lemah berbanding mata wang utama dunia lain, sekali gus menjadi antara faktor pendorong kenaikan itu.

Semalam, dolar AS diniagakan lemah berbanding euro iaitu pada AS$1.4637, berbanding nilai mata wang Jepun, ia berada di paras 80.31 yen daripada 80.25 yen, manakala berbanding ringgit pula, nilai dolar AS merosot kepada RM3.00 sedolar.
Harga minyak dunia pula diniagakan dalam sentimen bercampur semalam dengan penanda aras West Texas Intermediate (WTI) di dagangan New York bagi minyak mentah ‘light sweet’ penghantaran Julai jatuh 14 sen kepada AS$100.08 setong, manakala minyak Brent North Sea bagi penghantaran Julai diniagakan 41 sen lebih rendah kepada AS$115.43 setong.

Shamsul Azhar berkata, disebabkan kebimbangan kekurangan bekalan serta ketidakseimbangan permintaan, menyebabkan penanda aras harga minyak mentah utama kini berada dalam jajaran tiga angka, selepas mengalami peningkatan lebih AS$25 setong hanya dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Sementara itu, ketegangan politik di Asia Barat dan Afrika Utara yang menimbul kebimbangan gangguan bekalan serta kelemahan dolar AS telah melonjakkan harganya.

Shamsul Azhar berkata, rantau Asia dijangka menggunakan lebih 250 bilion tong minyak menjelang 2030, lebih enam kali rizabnya ketika ini iaitu kira-kira 40 bilion tong.

“Permintaan minyak Asia diunjurkan meningkat sebanyak dua pertiga dalam tempoh 20 tahun ini dan dalam tempoh ini, ia akan menjurus kepada kenaikan permintaan global kasar sebanyak lebih daripada 60 peratus,” katanya.

Bersandarkan unjuran itu, beliau mengesyorkan supaya syarikat minyak global memberi tumpuan kepada aktiviti cari gali di rantau ini, khususnya di Malaysia, Indonesia dan Vietnam ekoran penilaian berasaskan geologi membuktikan sumber minyak belum ditemui di rantau ini diunjurkan berada sekitar jumlah 50 bilion tong.

“Majoriti sumber minyak yang belum ditemui ini dijangka terletak di lapangan minyak yang bersaiz kecil dan sederhana, yang mana secara terkumpulnya masih mempunyai jumlah potensi yang besar,” katanya.
Berita Harian Online | Minyak lebih AS$100 setong

Kebun, rumah dalam Selat Melaka

PENDUDUK meninjau keadaan hakisan pantai yang kini menjejaskan sebahagian daripada kawasan daratan yang dahulunya  tanah kebun milik penduduk.
PENDUDUK meninjau keadaan hakisan pantai yang kini menjejaskan sebahagian daripada kawasan daratan yang dahulunya tanah kebun milik penduduk.
Pantai Parit Penyengat hingga Muar-Batu Pahat sepanjang 15km alami hakisan teruk

MUAR: Persisiran daerah ini terutama sepanjang pantai lebih 15 kilometer (KM) antara Parit Penyengat hingga sempadan Muar-Batu Pahat, tidak terkecuali daripada mengalami hakisan teruk apabila lebih 20 hektar kebun penduduk termasuk rumah dan 10 kolam udang musnah dan kini menjadi sebahagian daripada Selat Melaka.

Antara kawasan dikesan paling teruk mengalami masalah hakisan ialah kawasan antara Parit Bulat Laut hingga ke Seri Menanti Laut apabila dalam tempoh kira-kira lima tahun lalu kawasan itu rosak teruk menyebabkan banyak kawasan hutan musnah.
Malah penduduk mendakwa kawasan lebih 100 meter di sepanjang pantai itu kini menjadi sebahagian daripada Selat Melaka dan dakwaan itu dibuktikan lagi melalui kewujudan tunggul pokok termasuk pokok kelapa dan kesan pintu air yang digunakan untuk kolam udang masih wujud sehingga kini.
Tinjauan Berita Harian mendapati kesan hakisan itu boleh dilihat terutama ketika air surut apabila berpuluh-puluh tunggul kelapa jelas kelihatan, selain kesan kewujudan kawasan kebun dan kawasan kolam udang.

Penduduk Parit Penyengat, Zainal Abdul Jalil, 52, mendakwa hakisan itu berlaku sejak kira-kira 20 tahun lalu lagi sebelum kesannya semakin ketara mulai lima tahun kebelakangan ini.

Katanya, masalah hakisan menyebabkan kolam udang berhampiran pesisiran pantai Seri Menanti itu berlaku sejak kira-kira 20 tahun lalu menyebabkan hampir semua kolam itu kini menjadi sebahagian daripada pantai, selain turut menyebabkan kawasan kebun penduduk turut musnah ditenggelami air.

"Lebih 20 hektar kawasan kebun penduduk yang terletak di pesisiran pantai sepanjang Parit Penyengat sehingga Sarang Buaya, sudah lama rosak dan hanya tinggal tunggul pokok kelapa di sepanjang pantai," katanya.
Seorang penduduk Seri Menanti, Mohamad Saari Isnin, 57, berkata ketika beliau masih remaja, pantai di kawasan itu masih luas sehingga lebih 100 meter, berbanding kini ia hanya terletak kira-kira 10 meter saja dari daratan.

Malah katanya, rumah seorang penduduk yang dikenali sebagai Wak Ali turut musnah dan kini menjadi sebahagian daripada kawasan laut sejak lebih 20 tahun lalu.
Berita Harian Online | Kebun, rumah dalam Selat Melaka

Simpang Aring laluan maut

SIMPANG Tiga Aring kerap berlaku kemalangan kerana  laluan sempit dan lampu jalan tidak berfungsi.
SIMPANG Tiga Aring kerap berlaku kemalangan kerana laluan sempit dan lampu jalan tidak berfungsi.
Penduduk dakwa JKR abai kerosakan pembahagi jalan sejak tahun lalu

CHIKU: Lebih setahun kerosakan pada pembahagi jalan dan lampu di 'simpang tiga maut' di bandar ini, tidak dibaiki pihak berkuasa sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk kerana risiko kemalangan amat tinggi.

Penduduk menggelarkan Simpang Tiga Aring, di sini sebagai simpang tiga maut berikutan kerap berlaku kemalangan di kawasan itu.
Pada Khamis lalu, empat kemalangan berlaku di simpang tiga terbabit termasuk satu membabitkan kemalangan maut membabitkan seorang jururawat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Seorang pengguna, Salleh Ahmad, 58, mendakwa jalan di kawasan Simpang Tiga Aring itu sempit selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) membina pembahagi jalan dua tahun lalu dan masalah menjadi lebih buruk apabila ada pengguna jalan raya meletak kenderaan.

Katanya, pengguna sebelum ini pernah meminta JKR supaya membaik pulih pembahagi jalan dan lampu jalan yang tidak berfungsi, namun keadaan masih begitu.

“Pembahagi jalan yang dibina itu sebahagian besarnya sudah rosak teruk akibat berulang kali dirempuh kenderaan termasuk treler balak, tetapi sampai sekarang JKR masih membisu untuk melakukan kerja membaik pulih.

“Daripada enam tiang lampu jalan yang dipasang, kini hanya tinggal satu selepas beberapa kali dirempuh kenderaan terbabas,” katanya yang mahu masalah itu diselesaikan segera.
Hasbullah Husin, 45, berkata simpang tiga itu tidak sepatutnya dibina pembahagi jalan kerana ia menjadikan keadaan sempit dan sukar bagi kenderaan berat memasuki lorong terbabit, malah ada yang terbalik kerana gagal dikawal.

“Saya hairan dengan JKR itu yang tidak hirau langsung aduan pengguna berhubungan kerosakan yang berlaku di simpang tiga berkenaan terutama pembinaan lampu jalan,” katanya.
Berita Harian Online | Simpang Aring laluan maut