Sunday, April 29, 2012

Bersih 3.0: KL pulih selepas lumpuh tujuh jam

Bersih 3.0: KL pulih selepas lumpuh tujuh jam - Nasional - Sinar Harian:


 Tinjauan dari udara peserta perhimpunan Bersih 3.0 berkumpul di Dataran Merdeka petang tadi. - Foto
Tinjauan dari udara peserta perhimpunan Bersih 3.0 berkumpul di Dataran Merdeka petang tadi. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Beberapa lokasi tumpuan awam pada hujung minggu di sekitar ibu kota kembali pulih menjelang 7 malam ini selepas hampir lumpuh selama tujuh jam ekoran perhimpunan yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan disokong pembangkang.
Peserta perhimpunan yang mula memasuki ibu negara seawal pagi di beberapa lokasi pertemuan yang paling berdekatan dengan Dataran Merdeka antaranya Masjid Negara, Masjid Jamek dan Menara Maybank akhirnya bersurai secara berperingkat.
Walaupun sekitar kawasan itu kembali 'hidup' semula, tinjauan Bernama mendapati anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis masih berada di lokasi tertentu bagi memastikan peserta perhimpunan itu tidak berkumpul semula.
Namun begitu, masih ada segelintir peserta perhimpunan masih berlegar di sekitar Jalan Tun Perak berhampiran Masjid Jamek.
Beberapa kawasan yang sebelum ini sesak kerana menjadi tumpuan demonstrasi jalanan, menjadi lengang manakala lalu lintas kembali pulih apabila demonstran meninggalkan lokasi tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang media selepas itu memaklumkan polis telah menjalankan tugas dengan profesional dalam menangani perhimpunan yang bertukar menjadi luar kawalan di sekitar Dataran Merdeka.
Dilaporkan seramai 388 demonstran telah ditahan dan dibawa ke Pusat Latihan Polis di sini sehingga 8 malam ini.
Di IPOH, satu perhimpunan di perkarangan Taman Rekreasi Sultan Azlan Shah berakhir kira-kira 3.30 petang tanpa kejadian yang tidak diingini tetapi cuma kesesakan lalu lintas dilaporkan berlaku di kawasan berhampiran tempat perhimpunan.
Di MELAKA, beberapa anggota Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengalami kecederaan ringan ketika menjalankan tugas di kawasan perhimpunan di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir.
Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lyle berkata, kejadian tersebut berlaku ketika petugas MBMB dan polis menghalang peserta perhimpunan itu yang dikhuatiri mengganggu pertandingan pancaragam di dataran tersebut. - Bernama 

Sumber: Kesemua tahanan sertai Bersih dibebas

Sumber: Kesemua tahanan sertai Bersih dibebas - Nasional - Sinar Harian:


Tinjauan dari udara peserta perhimpunan Bersih 3.0 berkumpul di Dataran Merdeka petang tadi.
Tinjauan dari udara peserta perhimpunan Bersih 3.0 berkumpul di Dataran Merdeka petang tadi. - Foto Bernama
SHAH ALAM - Kesemua lebih 300 peserta perhimpunan Bersih 3.0, termasuk bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Aziz Bari dan Naib Presiden PKR, Tian Chua sudah dibebaskan setakat awal pagi tadi.

Mereka dibebaskan secara berperingkat-peringkat sehingga 5 pagi tadi.

Setakat 2.30 pagi tadi, 100 orang termasuk seorang budak bawah umur masih ditahan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), kata peguam-peguam yang menghulurkan bantuan kepada mereka, menerusi laman mikro Twitter.

Beberapa peguam berada di pekarangan Pulapol untuk membantu tahanan sejak petang semalam, susulan tindakan polis menahan 388 peserta di ibu negara setakat 8 malam tadi.

Dalam mesej yang dikeluarkan sekitar jam 5 pagi tadi, seorang peguam yang menggunakan akaun atas nama pusparos berkata, "semua di Pulapol dah lepas."

Tian Chua pula menulis: "Baru sampai di rumah. Dibebaskan dari Pulapol sekitar 5 pagi manakala tahanan lain dihantar oleh polis ke Perhentian Bas Pekeliling."