Showing posts with label bertemu. Show all posts
Showing posts with label bertemu. Show all posts

Wednesday, December 29, 2010

Akhirnya mereka bertemu



MOHD. SUBRI (kiri sekali) dan isterinya, Ani Ahmad (dua dari kanan) berbual dengan Van Quang dan Thi Bay serta Martin (kanan) di rumah mereka di Lepar Hilir, Kuantan semalam.


KUANTAN - Pencarian sepasang suami isteri bekas warganegara Vietnam untuk menjejak seorang askar Melayu bernama Ali yang pernah membantu mereka semasa menjadi pelarian di Pulau Bidong, Kuala Terengganu di antara tahun 1979 hingga 1980 berakhir di sini semalam.
Van Quang Nguyen, 51, dan isterinya, Thi Bay Nguyen, 51, berjaya menemui lelaki tersebut yang nama sebenarnya Mohd. Subri Zainal Abidin di Gambang di sini.
Menurut Mohd. Subri, 54, beliau memperkenalkan dirinya sebagai Ali kepada pasangan itu kerana sebutan nama penuhnya sukar untuk disebut oleh orang Vietnam.
"Kalau saya perkenalkan diri saya sebagai Mohd. Subri, mereka sukar untuk menyebut. Jadi, saya perkenalkan diri sebagai Ali sebab nama itu mudah disebut," katanya semasa ditemui di rumahnya di Lepar Hilir, Gambang di sini.
Kosmo! pada Julai lalu melaporkan usaha pasangan Van Quang dan Thi Bay yang datang ke negara ini untuk mencari seorang askar Melayu bernama Ali yang membantu mereka semasa menjadi pelarian di Terengganu.

Tuesday, October 26, 2010

Bertemu ibu selepas 6 tahun berpisah





2010/10/26

SITI ROHANI mencium cucunya sambil diperhatikan Siti Faizah ketika ditemukan semula  di Pusat Aduan Komuniti Pemuda UMNO Malaysia, semalam.
SITI ROHANI mencium cucunya sambil diperhatikan Siti Faizah ketika ditemukan semula di Pusat Aduan Komuniti Pemuda UMNO Malaysia, semalam.
KUALA LUMPUR: Selepas hampir enam tahun terpisah akibat sedikit perselisihan faham, akhirnya Siti Faizah Abu Bakar, 27 dan ibunya dipertemukan selepas berita mengenai kesusahan hidupnya yang menjadikan jambatan sebagai tempat berteduh mendapat liputan meluas media baru-baru ini. 

Pertemuan Siti Faizah bersama suami, Hazmain Abdul Jalil, 28 dan anaknya, Siti Norafidah, 5, dengan ibunya, Siti Rohani Abdullah, 52, lebih menyayat hati apabila dimaklumkan bapanya sudah meninggal dunia Julai lalu sebelum sempat menemuinya.
Siti Rohani berkata, beliau tidak menyangka sepanjang enam tahun berpisah akibat perselisihan faham, anaknya hidup dalam kesusahan sehingga tidak mampu membayar sewa rumah.
“Pada mulanya, saya terkejut melihat berita mengenai kesusahan hidup sehingga menjadikan jambatan sebagai tempat berteduh, namun tidak menyangka tiga beranak itu adalah darah daging saya sendiri. 

“Selepas mengetahui kesusahan dialami Siti Faizah, saya bertekad mencarinya sebelum kami dipertemukan hasil usaha yang dilakukan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno,” katanya kepada pemberita di Pejabat Biro itu, di sini, semalam. 

Akhbar sebelum ini melaporkan, tiga beranak berkenaan terpaksa tinggal di bawah jambatan di Lebuh Raya Timur Barat (METRAMAC) bersama dua rakannya sejak lima bulan lalu. 

Katanya, walaupun sebelum ini pernah tercetus perselisihan faham dengan anaknya itu, namun beliau sudi memaafkan kesalahan yang dilakukan Siti Faizah dan berharap kesilapan lalu menjadi pengajaran dalam hidupnya. 
“Namun, sedikit terkilan kerana hajat suami untuk berjumpa dengan anak kesayangannya tidak kesampaian kerana sudah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya. 

Siti Faizah berkata, beliau gembira kerana ibunya sudi berjumpa dan memaafkan kesilapan lalu, namun turut terkilan kerana tidak sempat menemui arwah bapanya untuk memohon keampunan. 

“Saya harap, hidup kami sekeluarga selepas ini akan berubah dan ada pihak tampil memberi peluang pekerjaan kepada suami untuk menampung kehidupan kami sekeluarga,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata pihaknya akan menguruskan penghantaran pulang keluarga terbabit ke Segamat, Johor. 

“Kami juga akan membuat pertukaran hospital bagi memindahkan anak Siti Faizah yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas disahkan mengalami jangkitan paru-paru kronik. 

“Bagaimanapun, kami turut berusaha menjejaki keluarga Hazmain di Sandakan, Sabah bagi mengatur satu lagi pertemuan,” katanya.