Saturday, May 29, 2010

pencemaran pantai akibat tumpahan minyak


CHANGI TURUT TERJEJAS: Kakitangan NEA serta agensi-agensi yang terlibat dalam pembersihan pantai yang tercemar giat memulihkan sekitaran di Changi. -- Foto-foto TAUFIK A. KADER
Mudah cetak
E-mel

29 Mei 2010

SINGAPURA

LIMPAHAN MINYAK DI PERAIRAN SINGAPURA
Limpahan kini merebak ke pantai Changi dan Chek Jawa

Oleh
Hisham Hasim Dan Adli Yashir Kuchit

LIMPAHAN minyak disebabkan pelanggaran dua kapal di Selat Singapura kira-kira 13 kilometer ke tenggara Changi East, Selasa lalu, kini merebak ke sebahagian kawasan pantai Changi dan Chek Jawa di Pulau Ubin.


BARBEKU TIDAK TERJEJAS: Keluarga Cik Nurliza Mohd Salleh (kiri) teruskan berkhemah dan barbeku sempena cuti umum di pantai Changi meskipun kawasan pantai di situ ditutup.


Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), limpahan di dua kawasan terjejas itu mula dikesan sekitar 2 petang semalam.
Kawasan pantai Changi yang terjejas adalah antara tempat meletak kereta 6 dan 7, dekat Terminal Feri Changi.Kesan limpahan minyak yang dilihat di kawasan pantai itu adalah sepanjang 700 meter dan selebar 0.5 meter.Sementara kawasan Chek Jawa, yang terkenal dengan habitat dan alam semula jadinya, hanya melibatkan tompokan minyak sejauh 150 meter di Coastal Boardwalk.Dalam satu sidang media di Kementerian Sekitaran dan Sumber Air semalam, Ketua Pegawai Eksekutif NEA, Encik Andrew Tan, berkata usaha telah giat dijalankan oleh kakitangan berbilang agensi bagi membersihkan kesan tumpahan minyak dan mengawal sekitaran di kedua-dua tempat itu.


'Kami juga terus memantau kawasan-kawasan yang terjejas dan kawasan-kawasan baru dengan menggunakan visual satelit,' kata Encik Tan.
Selain NEA, operasi membersihkan tumpahan minyak itu juga melibatkan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan (MPA), agensi air negara PUB, Lembaga Taman Negara (NParks), dan Penguasa Pertanian Makanan dan Ternakan (AVA).Tumpahan minyak itu berlaku apabila kapal tangki yang berdaftar di Malaysia, MT Bunga Kelana 3, berlanggar dengan kapal yang berdaftar di St Vincent and The Grenadines, MV Waily, Selasa lalu.Memberikan laporan terkini tentang usaha pembersihan di pesisiran pantai East Coast, Encik Tan menyifatkan kawasan tersebut sebagai stabil, dengan bau minyak sudah mula berkurangan.Katanya, keadaan di pantai East Coast kelihatan lebih baik dengan sekitar 90 peratus kawasan yang terjejas telah dibersihkan.Namun, lebih banyak usaha perlu dijalankan di kawasan berhampiran antara Big Splash dengan restoran McDonald's.Hingga semalam, sebanyak 19.6 tan tanah yang tercemar telah dipindahkan dari pantai East Coast dan dibuang di Semakau.Sejauh ini NEA dan syarikat pengendali kapal MT Bunga Kelana 3, AET Tanker Holdings Sdn Bhd, telah mengerahkan 245 kakitangan bagi kerja-kerja pembersihan, dengan 14 pegawai NEA meneruskan pemantauan di East Coast Park, Changi dan Pulau Ubin.Menurut NEA, pantai yang terjejas kini ditutup kepada orang ramai dan pihaknya ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan berenang atau menjalankan sebarang kegiatan di laut dan gigi air di pantai East Coast dan Changi.Namun, kegiatan beriadah di darat masih boleh diteruskan.Tinjauan Berita Harian di pantai East Coast dan Changi semalam mendapati ramai pengunjung yang sedang berkelah dan bersantai bersama keluarga.NEA akan terus memantau mutu udara di sepanjang pantai East Coast dan Changi dan sejauh ini tidak mengesan sebarang kimia toksik yang membahayakan kesihatan.

Markas tentera AS kekal di Okinawa



TOKYO - Kerajaan Jepun membenarkan Amerika Syarikat (AS) menempatkan tentera lautnya di markas tentera AS di Okinawa. 

Keputusan kontroversi itu dibuat selepas pentadbiran Presiden Barack Obama mempersetujui beberapa kelonggaran yang digariskan dalam perjanjian terbaru kedua-dua negara. 

Perjanjian itu juga memberi lebih penekanan kepada perlindungan alam sekitar yang menjadi kebimbangan pengkritik terhadap rancangan membenarkan tentera laut AS terus menggunakan markas itu. 

Antara perkara yang dipersetujui kedua-dua pihak termasuk membenarkan pegawai alam sekitar Jepun memasuki kemudahan ketenteraan AS untuk menjalankan tinjauan selain kesediaan AS menggunakan teknologi hijau di markas tentera itu. 

Perjanjian itu juga menandakan perubahan dalam keputusan Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama, yang sebelum ini berkeras mahu memindahkan markas tentera itu dari pulau berkenaan.

Dua masjid diserang, 70 terkorban




LAHORE - Sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh manakala lebih 108 cedera apabila sekumpulan pemberontak bersenjatakan senapang dan bom tangan menyerang dua masjid di daerah Garhi Shahu, sejurus selepas waktu solat Jumaat, semalam. 

Jurucakap polis berkata, salah seorang pemberontak memanjat bumbung masjid dan melontar bom tangan sementara sebahagian jemaah dijadikan tebusan di dalam kedua-dua masjid berkenaan. 

Kumpulan itu juga melepaskan tembakan ke arah polis yang bergegas ke tempat kejadian dan berusaha membebaskan tebusan.

Rakyat perlu bijak menilai janji-janji Anwar - Perdana Menteri



29/05/2010 3:33pm

PEKAN 29 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat perlu menilai secara bijak setiap janji yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebenarnya hanya mahu mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkata, rakyat perlu mengingati kembali penipuan besar yang pernah dibuat Anwar ketika mencanangkan penubuhan kerajaan baru pada 16 September 2008.
"Dia (Anwar) dah berjanji macam-macam, sebab dia nak kuasa, saya berharap rakyat berhati-hati dengan janjinya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau mengulas janji terbaru Anwar yang kononnya akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.
Janji itu dilihat sebagai satu gimik politik dalam usaha Anwar untuk terus mendapat sokongan masyarakat Cina. Janji terbaru Anwar itu disiarkan di dalam sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan pada 26 Mei lepas.
Najib berkata: "Rakyat harus berhati-hati kerana janjinya tidak semestinya dapat ditunaikan. Kadang-kadang dia cakap lain kepada orang Melayu dan cakap lain kepada orang Cina.
"Terpulang kepada rakyat, yang penting rakyat tidak boleh telan bulat-bulat kerana dia sendiri tahu dia tak boleh tunaikan," kata Najib. - Bernama

Kementerian kerjasama dengan peguam cepatkan kes jenayah kanak-kanak



29/05/2010 3:35pm

KLANG 29 Mei - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat bekerjasama erat dengan pihak Jabatan Peguam Negara bagi mempastikan mereka yang terlibat dalam kes jenayah terhadap kanak-kanak dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, langkah itu menunjukkan
bahawa kerajaan sangat serius dalam menangani perkara itu terutama yang
membabitkan kes penderaan dan pembuangan bayi.
"Sekarang ini mana-mana kes jenayah terhadap kanak-kanak diberi keutamaan dan sebab itu kita lihat semalam seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun bersama kakaknya yang terlibat dalam kes pembuangan bayi dibawa ke mahkamah dengan cepat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Jalinan Rakyat Wanita UMNO Bahagian Kota Raja di sini hari ini.
Shahrizat berkata demikian ketika mengulas mengenai perintah tahanan reman selama empat hari yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam semalam ke atas pelajar perempuan terbabit dan kakaknya yang berusia 24 tahun bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki baru lahir yang ditanam berhampiran dengan Stesen Keretapi Padang Jawa di Shah Alam, Isnin lepas.
Beliau dalam pada itu turut kesal dengan tindakan sesetengah ibu bapa yang
mengamalkan budaya lepas tangan kepada pihak lain sekiranya anak-anak mereka terlibat dengan kes-kes seperti kehamilan dan kelahiran anak luar nikah. - Bernama

Tak habis-habis dengan jambatan bengkoknya


Pembinaan jambatan bengkok perlu diteruskan - Tun M

29/05/2010 4:50pm

JOHOR BAHRU 29 Mei - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengulangi pendapatnya bahawa kerajaan perlu meneruskan pembinaan jambatan bengkok merentasi Selat Tebrau.
"Ya,” merupakan jawapan ringkas beliau terhadap pertanyaan pemberita sama ada beliau masih berpendapat pembinaan jambatan bengkok perlu diteruskan untuk menggantikan Tambak Johor.
Terdahulu pada dialog “Wacana Kepimpinan” di sini, Dr Mahathir berkata pembinaan jambatan bengkok tidak memerlukan persetujuan Singapura kerana keseluruhan jambatan itu terletak di dalam wilayah Malaysia.
"Itu adalah hak kita kerana kita mahu membinanya (jambatan bengkok) di dalam wilayah kita,” katanya sambil menambah keadaan berlainan jika kerajaan mahu membina sebuah jambatan lurus bagi menggantikan Tambak Johor.
Pembinaan jambatan lurus memerlukan persetujuan Singapura tetapi beliau tetap berkeyakinan bahawa republik itu akan mempersetujui pembinaannya kerana ia adalah sesuatu yang baik. - Bernama

Berdoa supaya tidak diganggu buaya

Aktres Bollywood berbogel di Twitter



SHERLYN CHOPRA


MUMBAI - Model yang menjadi penyanyi dan aktres India, Sherlyn Chopra menyiarkan beberapa gambar bogelnya di laman Twitter, lapor sebuah akhbar semalam.
Sherlyn yang pernah berlakon dalam beberapa buah filem seperti Game dan Red Swastik sebelum ini pernah menolak tawaran untuk berbogel oleh majalahPlayboy.
Namun pelakon itu mengemukakan alasan untuk mendapatkan maklum balas daripada peminatnya di Twitterjika dia berbogel.
Apabila ditanya kenapakah gambar itu disiarkan untuk tatapan umum, Sherlyn memberitahu dia terlihat koleksi gambarnya dan terfikir bahawa ia boleh dikongsi dengan rakan-rakan serta peminatnya di Twitter.
"Maklum balas mengenai gambar saya sangat bagus. Ada yang membencinya.
Gambar-gambar itu dirakam oleh jurugambar fesyen dan selebriti terkenal, Vishal Saxena yang merupakan rakan rapat Sherlyn. - Agensi

gaji pekerja naik selepas bunuh diri



TAIPEI - Syarikat elektronik Taiwan, Foxconn Technology Group akan menaikkan gaji pekerja secara purata sehingga 20 peratus selepas 10 pekerja membunuh diri di beberapa kilangnya di China.
Kebanyakan pekerja itu membunuh diri dengan terjun dari bangunan.
Seorang pegawai itu berkata, rancangan untuk menaikkan gaji pekerja sudah dirancang ekoran faktor kekurangan buruh di China.
Percubaan terbaru melibatkan seorang pekerja lelaki berusia 25 tahun yang mengelar pergelangan tangannya di dalam sebuah bilik asrama kilang tersebut.
Kes bunuh diri itu dikaitkan dengan bebanan kerja.
Syarikat itu merupakan sebahagian daripada syarikat Hon Hai Precision Industry Co. yang bertanggungjawab membekalkan peralatan elektronik kepada Apple Inc., Sony Corp., Dell Inc., Nokia Corp. dan Hewlett-Packard Co.
Sementara itu, pengerusi syarikat berkenaan, Terry Gou pernah berjanji akan berusaha keras bagi menangani masalah kes bunuh diri di kilang tersebut. - Agensi

Bala dua kali rumah dirempuh bas




Keadaan rumah keluarga Yusri yang dirempuh sebuah bas di Kampung Kijing, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan semalam.


MARANG - "Mula-mula saya dengar bunyi bising, selepas itu dengar pula bunyi kaca pecah."
Demikian kata-kata Yusri Abas, 43, yang terkejut selepas melihat rumah milik ayahnya, Abas Sulong, 67, dilanggar sebuah bas persiaran yang hilang kawalan di Kampung Kijing, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat sini semalam.
Lebih mengejutkan, kata Yusri, kejadian seumpama itu merupakan yang kedua selepas kejadian pertama pada 18 Jun tahun lalu.
Dalam kejadian pertama itu, tiang garaj kereta rumah Yusri patah akibat dilanggar bas.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi semalam, dua buah kereta dan empat buah motosikal milik keluarga Yusri rosak teruk.
"Ketika kejadian hanya adik-beradik saya yang berada di rumah manakala saya berada di bengkel motosikal di sebelah rumah dan kedua ibu bapa saya pula pergi ke pasar.
"Sejurus terdengar bunyi bising dan kaca pecah, saya segera menjengah keluar dan terkejut melihat sebuah bas persiaran sudah melanggar rumah kami," kata Yusri ketika ditemui dekat sini semalam.
Akibat kejadian itu, bahagian hadapan rumahnya rosak dan kayu garaj yang tercabut turut mengenai dinding kaca sebuah kafe siber di sebelah rumah.
Katanya, dia melihat pemandu bas yang cedera pada bahagian tangan terpinga-pinga dan menyatakan penyerap hentakan pada salah satu tayar bas itu tiba-tiba patah menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas.

Rawatan dukun boleh bawa maut



KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai agar tidak mendapatkan rawatan daripada dukun atau pengamal perubatan tradisional tidak berdaftar kerana boleh menyebabkan penyakit yang dialami bertambah teruk atau mungkin mengakibatkan maut.
"Jika mereka memerlukan rawatan alternatif, mereka boleh ke hospital kerajaan tertentu yang menyediakan perubatan tradisional," kata Pengarah Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&C) Kementerian Kesihatan, Dr. Ramli Abdul Ghani.
Beliau memberitahu Bernama, pada masa ini enam hospital - di Kepala Batas, Putrajaya, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching menyediakan rawatan sedemikian.
Dua lagi hospital - di Port Dickson dan Alor Setar akan mula menyediakan perkhidmatan seumpama itu lewat tahun ini. Antara khidmat disediakan ialah akupunktur, urut tradisional Melayu dan ubatan herba.
Beliau mengulas laporan mengenai seorang wanita ditipu oleh seorang dukun yang mendakwa telah mengubati kanser hatinya.
Bagaimanapun, imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) kemudian menunjukkan bahawa kanser itu telah mencapai tahap empat dan penyakit itu telah merebak ke bahagian lain badannya.

Minyak merebak ke Teluk Ramunia




TUMPAHAN minyak yang merebak ke perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi semalam.


JOHOR BAHRU - Kesan tumpahan minyak akibat pelanggaran kapal MV Waily dan kapal tangki MT Bunga Kelana 3 yang mencemari perairan negara berhampiran Tanjung Ayam, Kota Tinggi dekat sini kelmarin, kini dikesan telah memasuki perairan Teluk Ramunia.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Rosnani Ibrahim berkata, beberapa kesan tompokan minyak mula dikesan memasuki perairan teluk tersebut setelah ia mencemari kawasan Tanjung Ayam kelmarin.
"Pertukaran gelombang laut telah menyebabkan tumpahan minyak itu merebak ke Teluk Ramunia apatah lagi lokasinya hampir dengan tempat kejadian," katanya semasa dihubungi semalam.
Kelmarin, tumpahan minyak sepanjang 1.6 kilometer dan lebar 960 meter akibat pelanggaran dua kapal tersebut telah dikesan di perairan negara, kira-kira satu kilometer dari Tanjung Ayam.
Jarak di antara Tanjung Ayam dan Teluk Ramunia terletak kira-kira lima kilometer.
Rosnani berkata, ketika ini pihaknya sedang menggunakan teknik penyuraian bagi memecahkan baki tumpahan minyak di Tanjung Ayam menggunakan sabun khas.
Kata beliau, pihaknya turut mengutip sisa minyak yang telah bertukar menjadi ketulan tar kecil secara manual yang dikesan di pesisiran pantai di tanjung tersebut.
Menurut beliau, boya-boya juga dipasang di perairan tersebut bagi mengelakkan minyak tersebut merebak dan mencemarkan kawasan perairan lain.

Klinik gigi kaki lima




SEORANG 'doktor' memeriksa gigi seorang pelanggan di kaki lima sebuah kedai, di Jalan Pasar, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kotor dan menjijikkan! Itulah gambaran apabila melihat gelagat empat orang lelaki warga China yang menyediakan khidmat menanam gigi palsu di Jalan Pasar berhampiran Pasar Pudu di sini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, 'klinik kaki lima' tersebut bukan sahaja beroperasi secara terbuka malah empat kumpulan yang melibatkan lima lelaki dan seorang perempuan yang berlagak seperti 'doktor' itu juga didapati tidak memakai sarung tangan ketika merawat pesakit mereka.
Lebih meloyakan, mereka hanya menggunakan segelas air biasa bagi membasuh peralatan yang telah digunakan dan alat yang sama digunakan daripada satu mulut ke mulut pelanggan lain tanpa dinyahkuman.
Selain peralatan khas pergigian, playar dan dawai yang digunakan untuk mengikat gigi pelanggan juga tidak dicuci dan terdedah kepada asap kenderaan di tepi jalan.
Walaupun hanya beroperasi di tepi jalan, 'doktor' berkenaan turut menyediakan penggerudi gigi elektrik untuk menebuk gigi pelanggan yang berlubang sebelum ditampal dengan sejenis serbuk yang dicampur dengan bahan kimia.
Semua barangan tersebut bukan sahaja disusun di atas meja tetapi ia turut disimpan di dalam beg dan kotak pensil supaya mudah dibawa lari jika diserbu pihak penguat kuasa.
Usaha Kosmo! untuk menemubual salah seorang 'doktor' yang berusia dalam lingkungan awal 40-an itu tidak berhasil kerana mereka tidak tahu berbahasa Inggeris sebaliknya semua jawapan diberikan dalam bahasa Cina.

Wang, kontrak jutaan ringgit untuk wakil melompat



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 28 Mei: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selama ini acap kali dakwaan wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat yang ‘melompat’ dan bersekongkol dengan Umno-BN di atas nama 'wakil bebas mesra BN' diberikan ganjaran wang dan kontrak.
Selama itulah, katanya mereka belum memberikan sebarang penafian tegas, sebaliknya berdolak dalih mengalih pandangan massa.
“Kini kita telah memperoleh keterangan kukuh bahawa ahli Parlimen ditawar RM2 juta dan ada juga yang mendapat kontrak kerajaan berjuta ringgit nilainya.
“Kami masih menunggu reaksi mereka sebelum mendedahkan maklumat kepada umum. Yang pasti, keterangan tersebut jelas menggemparkan dan akan membuktikan rasuah politik pimpinan Umno dan agen mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, maklumat tersebut akan didedahkan kepada umum dalam tempoh terdekat.

Kurang ilmu, latihan punca lompat parti



M Faqih   
KOTA BHARU, 28 Mei: Parti Keadilan Rakyat melihat kekurangan kursus dan latihan menjadi punca mengapa segelintir pemimpin dan ahli parti itu mudah mengambil tindakan lompat parti.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin sepakat dengan Timbalan Presiden, Dr Syed Hussin Ali menjelaskan faktur kekurangan kursus dan latihan menjadi punca isu katak lompat sekarang.
“Tindakan segera yang kita akan ambil selepas kongres ini ialah menyusun agenda latihan dan kursus-kursus bagi melahirkan semangat setia kawan dalam parti.
“Akademi Latihan akan diwujudkan dan akan disusun modul latihan bagi memperkemaskan jati diri setiap anggota parti.
“Kita akui sebelum ini program seumpama itu kurang dilakukan kerana kita terpaksa berdepan dengan 11 siri pilihan raya kecil dan agenda lain,” katanya selepas menyampaikan ucapan dasar Kongres AMK kali ke-6 di Perdana Resort hari ini.
Ucapan itu bertema Mewarisi Nilai Mempertegaskan Perjuangan.
Program yang bermula jam 10 pagi itu memperlihatkan Dewan Duyung agak sendat dengan kehadiran perwakilan dan pemerhati AMK yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Hadir sama Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani.
Sebelum ucapan dasar bermula perwakilan dan pemerhati disajikan dengan persembahan dikir barat oleh kumpulan Sri Halaqat yang berjaya mencuit hati orang ramai.
Malam tadi ketika merasmikan serentak persidangan Kongres Nasional Wanita dan AMK Dr Syed Hussin berkata, kursus dan latihan perlu diberi penekanan sejak awal lagi ketika seseorang menyertai parti itu.
Katanya mereka perlu diberi pengenalan ringkas tentang sejarah perjuangan, susunan organisasi dan dasar perjuangan parti.
”Saya ingin menggesa agar Wanita dan AMK segera merancang dan melaksanakannya, memandangkan sebelum ini parti kurang mengadakan latihan dan kursus,” katanya.
Ucapan Shamsul Iskandar yang kadang-kadang agak lantang sebelum itu berkata, parti terbabit dikhianati oleh mereka pada awalnya bersama membina gerakan tersebut.
Katanya pembelotan mereka dirancang supaya memberi impak paling negetif terhadap parti dan AMK, namun ternyata pengkhianatan mereka gagal merebahkan kita.
”Nafsu mendorong mereka untuk percaya gerakan ini akan tersungkur apabila pengasas dan bekas ketua AMK belot.
”Mereka lupa perjuangan kita ini berpaksikan nilai dan bukan bertuhankan manusia. Kita harungi cabaran dan kesukaran untuk membina semula AMK yang lebih gagah,” katanya.
Pada ucapan itu beliau juga mendakwa seorang pemuda Malaysia dilaporkan media asing seringkali berbelanja mewah di luar negara perlu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya pemuda tersebut, Taek Jho Low seperti dilaporkan akhbar New York Post seorang rakyat Malaysia berbelanja ratusan ribu ringgit untuk mendampingi selebriti di Amerika Syarikat.
Kata beliau berdasar kepada laporan New York Post, Jho Low dikatakan  membelanja AS$50,000 hingga AS$60,000 semalaman untuk berhibur.
”Kita difahamkan anak muda yang berusia 20-an ada hubungan rapat dengan anak perdana menteri dan mempunyai kaitan dengan projek terbesar negara tahun ini bagi membangunkan Sungai Besi.
”Kita hendak tanya juga First Lady Malaysia siapa anak muda tersebut sehingga mendapat kekayaan luar biasa, sedangkan dalam masa yang sama ada menteri mendakwa negara boleh bankrap kerana banyak menanggung subsidi,” katanya

500 sertai bantahan konsert Inul, judi



PAS Tawau   
TAWAU, 28 Mei: Kira-kira 500 orang mengadakan demonstrasi aman bagi menyatakan bantahan terhadap kelulusan permit Konsert Inul Daratista dan lesen judi bolasepak oleh kerajaan sempena Piala Dunia Jun ini di Masjid Bandar Tawau selepas solat Jumaat tengah hari tadi.
Pada Jumaat lepas, satu himpunan aman seperti ini telah dianjurkan dan berjaya mendapat reaksi  segera dari seluruh badan badan bukan kerajaan (NGO)  Islam dan parti politik lain di Sabah  serta media cetak tempatan sehingga Konsert Inul  yang dijadualkan berlangsung malam esok ditangguhkan. 
“Tidak cukup tangguhkan konsert itu kerana masih ada peluang ianya berlangsung. Kita mahu, batalkan dan haramkan Inul dari menjejakkan kaki di bumi Sabah ini,” tegas Muhd Nasier, Setiausaha PAS Tawau.
Himpunan bantahan tersebut telah dianjurkan oleh PAS Tawau dan turut disokong oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah yang datang berkumpul di Tawau.
Antara pimpinan yang hadir berucap ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
“Kita terima sukan bola sepak, Islam tidak menghalang kita beriadah tetapi kita tidak terima judi,” kata Mahfuz.
Katanya, perjudian akan mengakibatkan keberantakan masalah sosial yang lain, kecurian, kes ragut, pecah rumah dan masalah rumahtangga akan semakin meningkat.
“Oleh itu, seluruh rakyat yang cintakan agama dan negara mesti bersama sama kita membantah terhadap kelulusan lesen judi yang telah diberi,” ujarnya.
Bantahan kemudiannya bersurai secara aman sekitar jam 1.30 petang tanpa sebarang tangkapan.

Mahkamah Jerman tidak benar pelajar sembahyang



BERLIN 28 Mei - Sebuah mahkamah hari ini menolak tuntutan seorang remaja Islam berusia 16 tahun supaya diberikan hak untuk menunaikan sembahyang di sekolah.
Mahkamah Rayuan Berlin dalam keputusannya menyatakan bahawa mengekalkan keamanan di sekolah adalah lebih penting berbanding hak pelajar untuk melakukan kewajipan agama.
Mahkamah memutuskan bahawa sekolah yang terletak di daerah Wedding di ibu negara ini dihadiri oleh rakyat beragama Islam dari beberapa mazhab seperti Sunah, Syiah dan Alevi, dan pernah berlaku konflik antara mazhab berbeza itu mengenai agama.
Rayuan dibuat berikutan keputusan sekolah itu mengharamkan pelajar daripada bersembahyang secara terbuka di sekolah.
Remaja itu juga berharap agar disediakan bilik sembahyang khas, namun mahkamah memutuskan bahawa dia tidak berhak meminta perkara itu tetapi pihak sekolah dibenarkan menggunakan budi bicaranya.
Jerman mempunyai empat juta penduduk Islam dengan sebahagian besarnya berketurunan Turki. - REUTERS

Konvoi siap sedia lepasi sekatan



Aktivis pro-Palestin menaiki sebuah bot membuat persiapan menyambut ketibaan konvoi kapal-kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza tiba di Paris, semalam. - AP


NICOSIA 28 Mei - Beratus-ratus aktivis pro-Palestin yang menyertai konvoi kapal- kapal hari ini berada di peringkat akhir cuba melepasi sekatan Israel untuk membawa bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza.
Dua kapal kargo dan lima bot kecil membawa beribu-ribu tan bantuan dan beratus-ratus penumpang sedang menuju ke satu tempat pertemuan di pantai Cyprus yang mana mereka merancang untuk membentuk kumpulan baru sebelum berlepas ke wilayah Palestin itu.
Pengendali berkata, lapan buah kapal, Rachel Corrie yang bertolak dari Ireland, kini ketinggalan dan akan bergerak ke Gaza secara berasingan.
Katanya, kapal-kapal itu akan bertemu di lautan antarabangsa.
"Kerajaan Cyprus tidak mahu kami meninggalkan Cyprus. Saya hanya boleh menganggap mereka terbeban," kata seorang daripada koordinator, Audrey Bomse.
Menurut sumber rasmi kerajaan Cyprus, negara itu tidak menerima sebarang permintaan daripada Pihak Berkuasa Palestin berhubung bantuan kemanusiaan yang cuba dihantar flotila itu.
Israel sebelum ini telah memberitahu Dutanya di Cyprus, Turki, Greece dan Ireland bahawa ia sudah mengeluarkan waran melarang kapal-kapal itu memasuki Gaza dan flotila itu melanggar undang-undang antarabangsa jika memasuki Gaza.
Israel merancang mengalihkan haluan kapal-kapal itu dan menahan beratus-ratus penumpangnya di pelabuhan Ashdod sebelum menghantar mereka pulang.
Bomse menyifatkan rancangan Israel itu sebagai ugutan.
"Kami merancang ke Gaza dan tinggal di sana dua hari," katanya. - AFP

Perhimpunan GAS berpindah ke The Mines



PETALING JAYA 28 Mei - Perhimpunan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) yang akan diadakan Ahad ini, dipindahkan ke Pusat Konvensyen dan Pameran Mines di Sungei Besi, selepas pihak pengurusan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dikatakan menghadapi tekanan dan masalah daripada pihak tertentu.
Sehubungan itu, bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan yang memaklumkan perkara tersebut mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu memecat beribu-ribu ahli MIC yang bakal menghadirinya.
"Samy Vellu telah menggunakan pengalaman beliau sebagai seorang menteri untuk mendesak beberapa pihak dalam PWTC membatalkan penganjuran GAS di sana.
"Sehubungan itu, kami membuat keputusan untuk tidak menyusahkan mereka dan memindahkan GAS ke lokasi baru di Sungai Besi yang akan diteruskan pada pukul 2 petang, Ahad ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir ialah dua bekas anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, G. Kumar Aamaan dan K. P. Samy.
Tindakan Mugilan menempah dewan di PWTC untuk perhimpunan GAS menjadi antara asas anak Samy Vellu, S. Vell Paari menuduh UMNO mempunyai kaitan dalam usaha membunuh kerjaya politik bapanya.
Ekoran itu, Ketua Pemuda MIC, T. Mohan mahu menilai semula kedudukan parti tersebut dalam Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu, Mugilan mendakwa, tindakan 'mendesak' pembatalan perhimpunan GAS di PWTC telah membawa kebaikan kepada gerakan tersebut kerana lokasi baru adalah lebih besar dan dijangka disertai lebih 15,000 ahli MIC dan masyarakat India dari seluruh negara.
"Lebih 80 peratus yang akan turut serta ini ialah ahli MIC dan ramai daripadanya merupakan ahli Pemuda MIC sendiri.
"Kami berterima kasih kepada pihak yang memberi tekanan kepada pengurusan PWTC kerana perubahan lokasi telah meningkatkan jumlah peserta daripada 10,000 kepada 15,000 orang yang jumlahnya dijangka terus meningkat.
"Saya cabar Samy Vellu pecat semua yang menyertai GAS. Biar Presiden MIC itu bawa satu meja untuk pekerja dari ibu pejabat MIC memeriksa maklumat setiap peserta seterusnya memecat beribu-ribu ahli MIC yang hadir," katanya.
Beliau memberitahu, pihak penganjur telah mendapatkan segala dokumen untuk meneruskan perhimpunan GAS termasuk permit polis untuk tapak baru tersebut.
Dalam pada itu, Mugilan turut menempelak pihak yang meniru ideanya dalam menganjurkan Gerakan Anti-Mugilan (GAM) di Hulu Selangor hari ini.
"Mereka ini memang tiada otak. Kenapa tiru idea saya?
"Saya tidak takut kena 'GAM' kerana mereka menggunakan dua orang 'rakan' saya sedangkan saya ada lebih 2,000 rakan rapat yang boleh melawan tohmahan mereka," tegasnya.

Samy diberi seminggu letak jawatan



KUALA LUMPUR 28 Mei - Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam memberi tempoh selama seminggu mulai hari ini kepada Datuk Seri S. Samy Vellu untuk melepaskan jawatan tertinggi yang disandangnya dalam parti itu sejak 1979.
Bagaimanapun, katanya, pada masa ini, beliau akan mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' sehingga Presiden MIC itu tampil membuat kenyataan balas.
"Beliau meminta saya meletak jawatan dalam MIC dan saya sedia berbuat demikian sekiranya beliau juga sanggup untuk berbuat demikian.
"Apa pun, saya akan tunggu perkembangan terkini dalam tempoh seminggu ini sebelum membuat apa-apa keputusan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Subramaniam menyahut cabaran Samy Vellu untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua MIC Bahagian Seputeh jika Presiden MIC itu turut melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 31 tahun lalu.
Malah, katanya, beliau bersedia melepaskan jawatan itu esok (hari ini) sekiranya Samy Vellu juga mengambil langkah yang sama.
Menurutnya, beliau telah pun berfikir panjang sebelum mengambil keputusan tersebut dan sanggup melepaskan jawatan itu kepada timbalannya.

Tertekan sesak berterusan





KENDERAAN dari susur keluar Batu Caves yang 'bertembung' dengan kenderaan dari arah Selayang yang mahu masuk ke susur masuk ke Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 dan Bulatan Batu Caves dikatakan menjadi punca kesesakan di Jalan Ipoh berhampiran Batu Caves. - utusan/Zulkarnain Mohd Saidin


KUALA LUMPUR 28 Mei - Kesesakan lalu lintas di Jalan Ipoh menghala ke ibu negara berdekatan susur masuk ke Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 di Batu Caves sehingga ke Bulatan Batu Caves bukanlah perkara baru.
Perkara ini sudah sekian lama dihadapi dan memberi tekanan kepada penduduk serta pengguna kenderaan terutama yang datang dari arah dan sekitar Selayang, Batu Caves dan Rawang.
Namun, sehingga kini tiada sebarang langkah penyelesaian total diambil, sebaliknya keadaan di situ bertambah teruk dari sehari ke sehari berikutan pertambahan jumlah kenderaan.
Hendak tidak hendak, sama ada yang menaiki kenderaan awam atau memandu sendiri, terpaksa juga digagahi untuk menempuh jalan tersebut.
Difahamkan, jika sebelum ini, kesesakan hanya sekitar 30 minit, kini masa sehingga lebih satu jam terpaksa diambil berikutan jumlah kenderaan yang semakin meningkat.
Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi itu mendapati kesesakan bukan sahaja berlaku pada waktu puncak pada sebelah pagi dan petang tetapi juga pada waktu tengah hari.
Jika selama ini kesesakan dikatakan bermula dari Pasar Borong Kuala Lumpur, tinjauan mendapati, dari Selayang Prima lagi kenderaan dilihat sudah beratur panjang.
Berdasarkan pemerhatian, beberapa faktor dilihat mempengaruhi kesesakan di laluan tersebut terutama sistem aliran lalu lintas di situ yang tidak begitu sistematik.
Kedudukan susur masuk ke MRR2 dari Jalan Ipoh dan susur keluar dari Batu Caves ke Jalan Ipoh yang agak berhampiran antara satu sama lain menyebabkan kenderaan bertembung.
Kenderaan untuk ke susur masuk MRR2 mahu ke kiri manakala kenderaan dari Batu Caves mahu ke kanan dan akibatnya, kenderaan dari kedua-dua arah 'tersangkut'.
Dengan hanya dua lorong memasuki ke susur masuk itu, ia ternyata banyak mempengaruhi kesesakan di situ, ditambah pula dengan sikap sesetengah pemandu yang tidak mahu beralah dan mementingkan diri sendiri.
Lampu isyarat yang dipasang di Bulatan Batu Caves juga dikatakan tidak mampu mengatasi kesesakan di situ, sebaliknya menambahkan lagi kesesakan kerana pergerakan kenderaan akan terhenti apabila lampu bertukar merah.
Turut menjadi punca kesesakan ialah tindakan pemandu bas serta teksi menghentikan
kenderaan mereka untuk mengambil dan menurunkan penumpang di perhentian bas tidak jauh dari situ.
Selain itu, sikap pemandu kenderaan persendirian yang dilihat turut menjadikan perhentian bas di situ untuk menunggu turut menambah kesesakan.
Orang ramai yang ditemui melahirkan rasa kesal kerana masalah kesesakan di laluan berkenaan masih belum dapat diatasi sehingga kini, malah menjadi semakin teruk sehingga memberi tekanan kepada pengguna.
Seorang pemandu teksi, Ramli Kandar, 53, tidak menafikan sistem jalan di situ menjadi punca kepada kesesakan yang berlaku.
Katanya, pertembungan pemandu dari arah Rawang dan Selayang serta yang keluar ke Jalan Ipoh dari Batu Caves adalah punca utama.
"Keadaan ini tidak akan dapat diselesaikan selagi laluan di sini masih berkeadaan sama," ujarnya.
Akhmal Jamaludin, 24, turut melihat perkara sama sebagai punca.
Dia berkata, masalah tersebut akan berterusan jika pihak bertanggungjawab tidak mencari mekanisme yang terbaik bagi mengatasinya.
"Sememangnya tidak dinafikan sikap pemandu juga mempengaruhi keadaan tetapi perlu dilihat puncanya terlebih dahulu," ujarnya.
K.C.Chay, 50, pula berpendapat, kesesakan yang berlaku perlu diatasi segera demi keselesaan dan kesejahteraan orang ramai.
Dia yang menetap di Wangsa Permai berkata, melebarkan jalan terutama jalan susur masuk ke MMR2 menuju ke Bulatan Batu Caves mungkin boleh meredakan keadaan.
Pendapat K.C.Chay turut dipersetujui Azidah Omar, 43, yang berharap agar pihak bertanggungjawab dapat melakukan sesuatu bagi mengatasi kesesakan di situ yang sudah lama berlarutan.
Dia yang tinggal Selayang Baru dan bekerja di Segambut mengakui terpaksa keluar awal pagi bagi mengelakkan kesesakan di situ.
"Ia sering memberi tekanan kepada kami pengguna jalan raya di sini. Seharusnya
pihak yang bertanggungjawab memikirkan langkah bagi mengatasi masalah ini," ujarnya.

1.2 juta komputer riba diagih percuma





JELEBU 28 Mei - Kerajaan akan mengagihkan sebanyak 1.2 juta komputer riba secara percuma kepada rakyat berpendapatan rendah dan juga pelajar sekiranya mereka melanggani pakej perkhidmatan jalur lebar dengan Telekom Malaysia Berhad (TM).
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) yang bertujuan meluaskan penembusan akses jalur lebar kepada umum.
''Inisiatif pengagihan komputer berkenaan akan dijalankan secara berfasa iaitu bagi fasa pertama sebanyak 200,000 unit bakal diagihkan dan disasarkan selesai pada hujung tahun ini.
''Bagi fasa kedua pula, sebanyak 1 juta unit komputer berkenaan akan diagihkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya pada sidang akhbar majlis Pelancaran Pakej Jalur Lebar dan NetBook Kos Rendah Terkini Untuk Isi Rumah Berpendapatan Rendah anjuran TM di sini hari ini.
Katanya, antara syarat dan golongan yang layak untuk mendapat pakej itu adalah mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Jelasnya, setiap individu yang layak diwajibkan melanggan perkhidmatan jalur lebar dengan TM secara kontrak selama 24 bulan bagi memiliki komputer riba berkenaan.
''Sekiranya permohonan memiliki komputer itu berjaya, mereka diwajibkan membayar yuran langganan sebanyak RM38 sebulan selama dua tahun kepada TM.
''Lebih menarik, bagi pelajar sekolah, mereka hanya dikenakan yuran langganan sebanyak RM20 berbanding pakej yang ditawarkan kepada isi rumah iaitu sebanyak RM38." katanya.
Dalam pada itu, Rais berkata, bagi memastikan kelancaran pengunaan pakej jalur lebar itu, TM sedang giat memasang Pusat Akses (AP) bagi meningkatkan isyarat penerimaan jalur lebar.
''Dengan wujudnya AP ini orang ramai boleh mengakses Wifi iaitu akses Internet tanpa wayar dengan radius sejauh dua kilometer dari pusat AP," jelasnya.
Rais juga mencadangkan pakej berkenaan diberikan kepada semua pengamal media di seluruh negara sebagai langkah menghargai peranan media dalam menjalankan tugas mereka.
''Saya akan berbincang dengan SKMM untuk memberi komputer riba ini kepada semua pelapor media yang merupakan warganegara ini. Perkara ini akan dibincang dalam tempoh terdekat," ujarnya.

bazir duit lagi


Bina semula Jambatan Bengkok



JOHOR BAHRU 28 Mei - Kerajaan diminta menggunakan kelebihan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Singapura untuk meneruskan semula projek pembinaan Jambatan Bengkok yang ditamatkan pada April 2006.
Ini kerana idea pembinaan jambatan tersebut yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap relevan dan amat penting untuk diteruskan kerana akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara pada masa depan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad berkata, Singapura tidak perlu gusar terhadap pembinaan jambatan itu kerana iklim ekonomi kini memberi kelebihan kepada Singapura dan Malaysia untuk mendapat manfaat yang besar.
"Jika dilihat kepada ekonomi global hari ini, Eropah, Amerika Syarikat, negara-negara Asia Barat dan Asia Timur berlaku kelembapan ekonomi.
"Ini menjadikan Singapura dan Malaysia mendapat manfaat kerana kelebihan kedudukan strategik dan untuk mendapat kebaikan itu, kita menyediakan infrastruktur yang baik iaitu jambatan tersebut dalam situasi yang benar-benar dipanggil situasi menang-menang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir berkata, masih ada isu yang belum diselesaikan dengan Singapura walaupun lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuahkan beberapa hasil.
Dr. Mahathir berkata, isu tersebut ialah harga air yang dibekalkan kepada Singapura, Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) untuk rakyat Malaysia dan soal jambatan yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.
Dalam reaksi terhadap kenyataan Dr. Mahathir, Najib berkata, semua masalah legasi antara Malaysia dan Singapura akan diselesaikan secara berperingkat dan tidak boleh diselesaikan dalam satu pertemuan.
Pada 12 April 2006, Kerajaan Pusat membuat keputusan menamatkan pembinaan Jambatan Bengkok termasuk jambatan kereta api yang kontrak asalnya bernilai RM1.113 bilion.
Rohazam berkata, kelebihan lembaran baru antara Malaysia dan Singapura yang lebih kukuh hasil lawatan Najib baru-baru ini amat penting untuk dimanfaatkan bagi pembinaan jambatan tersebut.
"Rakyat kedua-dua negara akan merasai pelbagai nikmat dengan adanya jambatan itu, manakala rakyat Johor Bahru, Pasir Gudang dan wilayah Semenanjung akan menikmati limpahan pembangunan ekonomi yang pesat selain mengatasi masalah kesesakan di Johor Bahru," katanya.
Walaupun projek itu telah dibatalkan kerajaan, namun tiada sebarang masalah jika ada kemahuan politik untuk meneruskannya demi kepentingan rakyat dan negara, tegasnya.
Beliau menarik perhatian, kes kemalangan perlanggaran kapal di perairan Singapura hingga menyebabkan tumpahan minyak menggambarkan laluan kapal sedia ada terlalu sibuk dan disebabkan itu perlu Jambatan Bengkok untuk kapal kecil melalui Selat Tebrau.
"Kes perlanggaran kapal boleh dianggap seperti sindiran alam terhadap laluan laut yang sibuk dan membuktikan bahawa Jambatan Bengkok amat penting," katanya.
Justeru, Rohazam berkata, Pemuda UMNO Pasir Gudang akan menyerahkan memorandum menyokong pembinaan Jambatan Bengkok kepada Dr. Mahathir yang akan berkunjung ke Johor Bahru esok.
Beliau berkata, Dr. Mahathir dijadual berucap merasmikan Wacana Kepimpinan anjuran Kelab Veteran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Pemuda UMNO Pasir Gudang di Hotel M-Suite di sini.