Thursday, December 18, 2014

Wanita koyak al-Quran dilarang jejak stadium

Teeside (Middlesbrough): Seorang peminat bola sepak yang mengoyak kitab suci al-Quran ketika satu perlawanan berlangsung diharamkan menjejakkan kaki di semua stadium sukan itu di England dan Wales selama tiga tahun, semalam.
Julie Phillips, 51, mengoyak kitab suci itu ketika perlawanan yang menyaksikan pasukan Middlesbrough seri 2-2 dengan Birmingham City pada Disember tahun lalu.
Polis berkata, Julie yang sudahpun diharamkan memasuki Stadium Riverside Middlesbrough seumur hidup, mencetus atau menyumbang kepada kekacauan lain.
Dia mendakwa tidak tahu buku yang dikoyakkannya itu al-Quran.
Dia wanita pertama dari wilayah timur laut Britain menerima hukuman seumpama itu yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret Teesside.
Perbicaraan di Mahkamah Majistret Birmingham Mei lalu mendapati dia dan seorang lagi peminat Middlesbrough bersalah mencetuskan kekacauan atau keresahan antara kaum.
Polis Cleveland merayu Mahkamah Teesside mengharamkan wanita itu dari semua stadium bola sepak dengan alasan insiden al-Quran itu bukan satu-satunya kesalahan yang membabitkan Julie.
Mereka berkata, dia pernah ditahan tahun lalu dalam satu lagi perlawanan Middlesbrough selepas mencerca seorang pegawai perlawanan.
Mahkamah juga diberitahu, dia pernah satu ketika, pulang dari menyaksikan satu perlawanan dalam keadaan mabuk dan memaki hamun anggota polis serta mengancam kumpulan penyokong lain dengan mencaci mereka. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:06 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/17009#sthash.0nXtF63c.dpuf

Gara-gara tak sabar nak turun pesawat

Beijing: Belum lagi reda mengenai tindakan bodoh dalam pesawat oleh pelancong China, timbul pula satu lagi kisah yang dicetuskan penumpang pesawat dari negara itu.
Minggu lalu, berlaku kejadian melontar mi panas terhadap seorang pramugari AirAsia Thailand dan ancaman mengebom pesawat itu yang dilakukan sepasang kekasih dari negara itu.
Kelmarin, satu lagi kes timbul, membabitkan seorang penumpang yang bertindak mengaktifkan gelungsur kecemasan semata-mata kerana mahu keluar cepat dari pesawat yang dinaikinya.
Penerbangan China Eastern MU2331 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phoenix Sanya dari Xi’an mendarat sekitar jam 9 malam kelmarin dan hampir siap untuk berhenti di kawasan yang ditetapkan sebelum seorang penumpang membuka pintu kecemasan.
Penumpang berkenaan sebelum itu memberitahu rakannya, dia tidak sabar untuk keluar dari kapal terbang berkenaan sebaik ia mendarat.
Dia membuka pintu kecemasan itu, menyebabkan gelungsur kecemasan terpasang.
Apabila ditahan kerana tindakannya itu, penumpang berkenaan berkata, dia tidak tahu pintu kecemasan tidak boleh dibuka walaupun perkataan melarangnya jelas terpampang pada pintu itu.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:09 AM


GELUNGSUR kecemasan terpasang selepas seorang penumpang membuka pintu kecemasan pesawat ini.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/17051#sthash.Rj5x7VdK.dpuf

Kisah pencuri telur dan polis hati mulia

Alabama: Kisah seorang ibu dan nenek berusia 47 yang terpaksa mencuri lima biji telur di sebuah pasar raya di Tarrant, di sini, tetapi tidak ditahan, sebaliknya dibantu seorang pegawai polis sehingga menjadi viral sepanjang minggu ini berikutan mencuit emosi masyarakat seluruh dunia terus menjadi bualan.
Terbaru, pegawai polis terbabit, William Stacy diberi penghargaan oleh Majlis Perbandaran Tarrant, Alabama, Amerika Syarikat, manakala wanita itu, Helen Johnson semakin mendapat perhatian selepas tidak putus-putus menerima bantuan bukan saja daripada penduduk Amerika Syarikat, malah penduduk Australia turut menghulurkan pelbagai sumbangan.
Pada 6 Disember lalu, Helen yang tinggal bersama dua anak, seorang anak saudara dan dua cucu berusia 1 dan 3 tahun menyembunyikan lima biji telur dalam poketnya, tetapi telur berkenaan pecah.
Sebaik tiba di pintu keluar, dia ditahan oleh William dan diminta untuk menunggu namun diberitahu pengurusan tidak akan membuat laporan ke atasnya.
Helen memberitahu William bahawa di rumah tiada makanan dan dia tidak mampu untuk membayar harga telur berkenaan.
Pegawai polis itu kemudian membelikan telur dengan syarat wanita itu berjanji untuk tidak mencuri lagi.
Klip video mereka sedang berpelukan menjadi viral selepas itu dan William diberi penghargaan oleh Datuk Bandar Tarrant, Loxcil Tuck yang turut memuji usaha Jabatan Polis Tarrant menganjurkan program bantuan untuk Helen dan individu lain yang memerlukan.
Minggu lalu, William serta beberapa pegawai polis lain membawa dua lori barang makanan untuk diberikan kepada Helen. - Al.com
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 1:59 PM


Kisah William dan Helen mencuit emosi sehingga William menerima penghargaan (gambar kecil) FOTO AP/Al.com
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/17180#sthash.yLdNygva.dpuf

MB Pahang saman Utusan kerana artikel "Hebat Sangatkah Adnan"?

KUALA LUMPUR : Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob memfailkan saman terhadap Utusan Melayu (M) Berhad kerana memfitnahnya melalui artikel bertajuk "Hebat Sangatkah Adnan"?.
Writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Disember lalu melalui firma guaman Tetuan Americk Sidhu.
Sementara itu, Bernama melaporkan writ saman diperoleh media hari ini dan Hakim Yeoh Swee Siam menetapkan 6 Januari depan untuk pengurusan kes.
Menerusi penyata tuntutan, Adnan mendakwa pada 9 November lepas, Utusan (defendan) telah menerbitkan artikel bertajuk "Hebat Sangatkah Adnan" dalam 'Mingguan Malaysia' di bawah ruangan 'Analisis Mingguan Bisik-Bisik Awang Selamat'.
Dakwa beliau isi kandungan artikel berkenaan telah memfitnah, keterlaluan dan tidak berasas seolah-olah membawa maksud beliau tidak berurusan sebagai Menteri Besar Pahang, gagal dalam menjalankan tugas, telah terlalu lama dalam jawatannya dan seorang yang berpura-pura.
"Artikel fitnah itu membawa maksud plaintif (Adnan) adalah tidak sesuai untuk memegang jawatan sebagai Menteri Besar Pahang kerana plaintif tidak dapat menerima kritikan dan mempunyai kecenderungan untuk memaparkan keangkuhan dan kelancangan beliau.
Plaintif juga digambarkan mengabaikan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat," katanya di dalam penyata tuntutan itu.
Tambah Adnan akibat artikel itu, reputasi dan nama baiknya telah terjejas dan membawa kebencian di kalangan orang awam.
Menurut Adnan, pihaknya telah membuat tuntutan supaya defendan menyiarkan permohonan maaf dan pampasan yang sesuai, namun sehingga kini defendan gagal berbuat demikian.
Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan, ganti rugi teladan serta permohonan maaf dalam cara dan bentuk yang diluluskan olehnya. Permohonan maaf itu perlu disiarkan pada muka surat depan akhbar defendan dan Adnan juga menuntut suatu aku janji oleh defendan bahawa mereka tidak akan menyiarkan perkara-perkara fitnah terhadapnya pada masa hadapan.
Turut dituntut adalah faedah dan kos.

Gantung mahasiswa: 33 mangsa AUKU perlu bersatu


JAMHURI MOHAMED | .
KEENGGANAN pihak Universiti Malaya melayan tuntutan mahasiswa yang memenuhi kawasan Universiti agar menggugurkan segala hukuman ke atas tujuh pelajar mereka serta menghalang penyerahan memorandum daripada beberapa ahli parlimen yang menuntut perkara sama seharusnya menyebabkan semua mahasiswa yang menentang ketidakadilan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), khsususnya 33 mangsa AUKU supaya bersatu.

Penyerahan memorandum semalam adalah kemuncak terhadap tuntutan mahasiswa supaya hukuman yang dikenakan terhadap mereka melalui AUKU ditarik balik. Hal ini kerana hukuman itu jelas bercanggah dengan prinsip perlembagaan negara.

Kesemua aktivis mahasiswa yang pernah dikenakan AUKU seharusnya kembali segar memperjuangkan semula pemansuhan akta yang banyak mengekang mengekang pergerakan mereka sebelum ini.

Kita tidak boleh berjuang separuh jalan. Ramai antara kita yang apabila dikenakan AUKU terus hilang daripada perjuangan. Sedangkan tanpa kita sedari ini, satu lagi peluang keemasan untuk mencabar AUKU pada peringkat tertinggi bagi membuktikan hukuman yang dikenakan terhadap kesemua bekas mangsa AUKU adalah tidak sah dan tidak adil.

Saya ingin mengingatkan kembali kepada 15 rakan-rakan dari Universiti saya sendiri yang pernah dikenakan AUKU tahun lalu agar bangkit daripada tidur yang lena supaya penguasa di atas sana tidak terus leka terhadap tuntutan mahasiswa.

Angka 33 ini menunjukkan betapa terdesaknya pihak Universiti hingga menggunakan AUKU dengan rakusnya bagi mengekang segala aktiviti mahasiswa.

Perjuangan menentang AUKU ini telah lama diperjuangkan oleh mahasiswa. Saya kira angka ini adalah satu indikator bahawa AUKU perlu dimansuhkan dan Menteri Pendidikan perlu letak jawatan segera. – HARAKAHDAILY 17/12/2014

Jamhuri Mohamed, Pengerusi Pro Mahasiswa UMS-KAL. 

Permintaan tinggi untuk sekolah integrasi tahfiz


HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan bersepadu yang bercitrakan agama Islam semakin berkembang dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan ibu bapa di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata ia adalah satu perkembangan baik bagi dunia pendidikan, lapor Selangor Kini.

Justeru, katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan usaha pembangunan sekolah tahfiz serta akan membantu dalam perkara yang perlu.

“Sekolah menengah agama atau sekolah berasaskan integrasi tahfiz sekarang ini secara umumnya mempunyai permintaan yang cukup tinggi.

“Di samping keupayaan kerajaan negeri untuk menubuhkan sekolah menengah agama tahfiz dan akademik integrasi ini, kita sama-sama berharap pihak NGO atau selain daripada kerajaan untuk menubuhkan pusat pendidikan seperti ini,” katanya selepas sesi taklimat dan lawatan di Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor (KITTIS) di Sabak Bernam, semalam.

Beliau berkata, dalam tempoh singkat KITTIS tersenarai antara Sekolah Menengah Agama (SMA) terbaik di negeri itu.

“Dalam masa tiga tahun sahaja, KITTIS telah terbukti berjaya mendapat pengiktirafan cukup membanggakan dengan jumlah pelajar walaupun kecil hanya 129 orang tetapi ia menunjukkan satu kekuatan.

“Sistem pendidikan Islam diketengahkan ini adalah dikira baik, mungkin cuma ia tidak pernah diuar-uarkan,” katanya.

Neng Yatimah Kritikal Diserang Strok Selepas Ziarah Kematian Menantu


Diterbitkan: Khamis, 18 Disember 2014 12:09 PM
Neng Yatimah kini berada dalam keadaan kritikal.

PETALING JAYA: Baru tiga hari dunia hiburan dikejutkan dengan kematian seniman Datuk Mustapha Maarof, kini ibu mertua pelakon itu Seniwati Neng Yatimah pula berada dalam keadaan kritikal akibat terkena strok ketika pulang menziarahi kematian menantunya.

Cucunya Mohd. Rezainudden, 38, berkata, Neng Yatimah, 91, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Khoo Teck Phuat, Singapura sejak Rabu dan hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan sahaja ketika ini.

"Nenek saya diserang strok ketika sampai di Johor Baharu dari Kuala Lumpur petang semalam (Rabu) ketika pulang menziarahi kematian arwah ayah. Nenek kemudiannya terus dimasukkan ke Hospital Khoo Teck Phuat pada malam semalam juga.

"Dia kini berada dalam keadaan yang sangat kritikal dan saya dimaklumkan dia hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Khamis.

Tambah Mohd. Rezainudden, doktor turut memaklumkan bahawa seniwati tersebut juga dikesan menghidap penyakit kanser usus pada tahap serius.

Dalam pada itu, Rezainuddin berkata, neneknya itu berada dalam keadaan sihat sepanjang berada di Kuala Lumpur.
Gambar kenangan Neng Yatimah bersama menantunya, Datuk Mustapha Maarof.

"Dia datang pada upacara pengebumian tetapi tidak dapat jumpa jenazah, namun dia bermalam selama dua hari bagi menghadiri majlis tahlil arwah.

"Ketika berada di sini selama dua hari kesihatan dia baik dan hanya batuk-batuk biasa sahaja," ujarnya.

Jelas Rezainuddin, dia masih belum berkempatan untuk menziarahi neneknya itu kerana menguruskan beberapa hal berkaitan kematian bapanya yang belum selesai.

Neng Yatimah atau nama sebenarnya Buntat Ahmad merupakan seorang seniwati filem Melayu tahun 1950-an dan 1960-an yang terkenal sebagai seorang pelakon air mata.

Filem-filem lakonan beliau antaranya Air Mata Duyung, Jiran Sekampung, Laila Majnun, Seri Mersing dan Rachun Dunia.
Pada tahun 2007, beliu turut menerima anugerah Pelakon Veteran di Festival Filem Malaysia ke-13 (1997).

Anak beliau iaitu Roseyatimah telah meninggal dunia akibat kanser payudara pada 1987 dan pada isnin lalu, menantunya pula, Mustapha Maarof mengehembuskan nafas terakhir akibat jangkitan paru-paru.

Jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan pusara Roseyatimah di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Perkahwinan Pada Usia Remaja Berisiko Tinggi


Diterbitkan: Khamis, 18 Disember 2014 12:20 PM

PETALING JAYA: Pertubuhan Pertolongan Wanita  (WAO) sangat bimbang dengan laporan yang menunjukkan kira-kira 80, 000 wanita di negara ini berkahwin pada usia remaja, hal ini kerana ia didakwa boleh memudaratkan kesihatan fizikal dan mental anak muda.

Pengarah Eksekutifnya, Ivy Josiah berkata mereka yang berusia di bawah 18 tahun masih belum bersedia secara fizikal dan mental untuk memberikan komitmen kepada alam perkahwinan.

"Terutamanya kepada wanita, tubuh mereka yang masih muda belum bersedia untuk mengandung serta melahirkan anak. Ini akan hanya meningkatkan faktor kadar kematian ibu ketika melahirkan anak," katanya ketika dihubungi.
Pada Selasa, Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) mengenai laporan 'Populasi Dunia 2014' menunjukkan dalam bancian yang dijalankan pada 2010 memaparkan kira-kira 80,000 wanita di Malaysia berkahwin pada usia 15 hingga 19 tahun.
Sementara golongan remaja lelaki yang berkahwin pada usia remaja pula mencatatkan jumlah sehingga 70,000 orang. 
Pengurus Program Sister In Islam, Suri Kempe berkata pasangan muda mempunyai pengalaman yang cetek mengenai kaedah pencegahan kehamilan dan informasi mengenai kesihatan reproduktif. 

"Mereka mungkin kerap melakukan hubungan seks, dengan mengandung beberapa kali dan melahirkan anak sebelum fizikal matang dan mereka bersedia secara psikologi.

"Kadar kematian ketika mengandung lebih tinggi dikalangan remaja wanita yang berusia antara 15 hingga 19 tahun. Remaja wanita berusia bawah 15 tahun mempunyai risiko kematian ketika bersalin lima kali ganda berbanding mereka yang berusia lebih daripada 20 tahun," katanya.

 Josiah dan Kempe turut melahirkan kebimbangan terhadap masa depan, pasangan muda yang tidak menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Mengambil contoh kes perkahwinan, Mohd Muaz Mislan, 15 yang mendirikan rumah tangga dengan seroang remaja wanita berusia  17 tahun di Johor pada 30 November lalu, Kempe berkata: "Remaja lelaki berkenaan mungkin terpaksa berhenti belajar untuk bekerja bagi menampung kehidupan isterinya. Namun apakah jenis pekerjaan yang sesuai untuknya?

"Dia bukan sahaja terlalu muda malah masih belum boleh memiliki lesen memandu, mungkin juga sukar memperoleh pekerjaan bagi menampung kehidupan dia dan isterinya, malah anak jika mereka memilikinya satu hari nanti."

Kempe berkata tindakan membenarkan pasangan remaja berkahwin akan mewujudkan sikap kebergantungan terhadap negara, kerana mereka terpaksa bergantung kepada keluarga, malah sistem kebajikan sosial negara.

"Kebanyakan mereka yang berkahwin pada usia remaja datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Apa yang mereka lakukan hanya mengekalkan kehidupan dalam kemiskinan," katanya. 
Josiah turut memberi amaran bahawa pasangan ini mungkin berhadapan dengan kemeseletan dalam hidup kerana mereka baharu sahaja ingin menyesuaikan diri terhadap kehidupan selepas berkahwin.

"Selepas berkahwin, mereka perlu memikul peranan dan tanggungjawab baharu, bukan itu sahaja mereka juga perlu berhadapan dengan perubahan seperti mengenali saudara mara baharu.

"Mereka masih lagi bersikap keanak-anakan namun terpaksa bersikap seperti orang dewasa dan matang daripada usia sebenar," kata Josiah sambil menambah ramai yang tidak menyambung pengajian sekaligus menyekat peluang masa depan mereka.

Bukan Islam tidak perlu takut hudud


Mohamad Taslim
Mohamad Taslim
MUAR - Rakan komponen PR, iaitu DAP tidak perlu berasa takut dengan pendirian Pas meneruskan perjuangan melaksanakan hudud kerana hukum tersebut tidak melibatkan orang bukan Islam.

Adun Pas Maharani, Dr Mohamad Taslim berkata, pada peringkat awal, hudud hanya akan dilaksanakan terhadap orang Islam di Kelantan yang diperintah sepenuhnya oleh Pas.

“Dalam tempoh pelaksanaan itu nanti (hudud), golongan berkenaan boleh menilai sendiri keberkesanan, kebaikan dan keadilan hukum tersebut.

“Jika hukum (hudud) yang dilaksanakan ini memuaskan hati orang bukan Islam, maka mereka boleh minta ia dikenakan sama,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang menegaskan parti itu tidak akan menarik kembali pelaksanaan hudud walaupun ditentang DAP.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hudud: Sudah 20 tahun Pas tunggu]

Dr Mohamad berkata, prinsip perjuangan Pas adalah berlandaskan perlembagaan parti itu mengikut al-Quran dan sunnah untuk mendirikan negara Islam.

“Pas sebagai sebuah parti Islam bertanggungjawab melaksanakan hukum ALLAH (hudud) sebagai tanda tidak mengingkari perintah-Nya untuk kesejahteraan umat di dunia dan akhirat.

“Jika perancangan ini (hudud) tidak mendapat persetujuan di peringkat Parlimen, Pas tidak dapat berbuat apa-apa dan tanggungjawab kita (berjuang hudud) sudah selesai,” katanya.

Berhubung kenyataan Pengerusi DAP Perak, Ngar Kor Ming yang mendakwa Pas mungkir janji terhadap persetujuan yang dicapai pada 28 September 2012, berkaitan pelaksanaan hudud, Mohamad berkata, hukum tersebut kurang diberikan penekanan kerana memberi fokus kepada Negara Berkebajikan.

Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Muar itu berkata, Pas bergabung dengan PR bertujuan untuk menukar  kerajaan sedia ada bagi memberi alternatif kepada rakyat memilih pentadbiran kerajaan yang lebih baik.

Bagaimanapun katanya, Pas sentiasa menghormati prinsip rakan komponen yang lain tetapi tidak boleh mengikut  prinsip mana-mana parti.

“Kita mempunyai prinsip yang sama iaitu kerajaan berintegriti, mesra rakyat, adil dan tanpa rasuah.

“Isu hudud ini adalah masalah berkala, namun percanggahan pendapat berkaitan perkara ini tidak membawa perpecahan kepada PR,” katanya.

'Kenyataan Guan Eng fakta benar'


Abdul Malik Abul Kassim
Abdul Malik Abul Kassim
GEORGETOWN - Exco Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim mempertahankan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam isu kalimah ALLAH yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

"Kenyataan Guan Eng tidak membabitkan prinsip sebaliknya ia berkaitan dengan fakta," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abdul Malik berkata, apa yang disuarakan Guan Eng adalah fakta yang benar iaitu kalimah ALLAH boleh digunakan oleh semua orang bukan Islam di Pulau Pinang.

Katanya, apa yang disuarakan Guan Eng adalah fakta benar iaitu fatwa yang ditetapkan hanya tertakluk untuk orang Islam dan tidak meliputi orang bukan Islam.

Beliau berkata, tiada sebarang kesalahan dilakukan Guan Eng dalam isu berkenaan, sebaliknya sengaja cuba disensasikan oleh pihak tertentu.

“Semua orang tahu fakta bahawa Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 hanya terpakai kepada orang Islam sahaja dan itulah yang dikatakan ketua menteri,” katanya.

Guan Eng, seperti dilaporkan beberapa portal berita pada Jumaat lalu, mengeluarkan kenyataan orang bukan Islam di Pulau Pinang boleh menggunakan kalimah ALLAH. 

Katanya, larangan penggunaan kalimah ALLAH yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004, tidak terpakai kepada bukan Islam kerana penguatkuasaannya hanya sah kepada orang Islam.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mempertahankan kenyataan Guan Eng. Beliau dilaporkan berkata, sarjana terkemuka Islam, termasuk Dr Sheikh Yusuf al-Qaradawi sudah menyatakan keterbukaan terhadap penggunaan kalimah itu dalam kalangan bukan Islam.

AS, Nato tingkatkan operasi ketenteraan


18 Disember 2014


WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Tentera Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) meningkatkan operasi ketenteraan berdekatan sempadan Rusia untuk menjaga keamanan serta kestabilan rantau itu.

Menurut agensi berita antarabangsa Rusia, RIA Novosti, AS bersikap telus dalam operasi ketenteran.

"Usaha semasa Perintah Eropah AS melalui Operasi Penyelesaian Atlantik adalah demonstrasi komitmen berterusan kami terhadap keselamatan Nato, keamananan jangka panjang serta kestabilan rantau ini.

"AS telah mengambil beberapa langkah segera untuk menunjukkan perpaduan dengan sekutu Nato, seperti mengukuhkan kehadiran tentera udara, laut dan darat serta meningkatkan jadual latihan sebelum ini,"menurut agensi itu memetik pegawai sebagai berkata.

Primadona Neng Yatimah koma

Oleh Mior Azlan Mior Kamarulbaid
Kuala Lumpur: Primadona veteran, Neng Yatimah, 91, ibu mentua Allahyarham Datuk Mustapha Maarof dilaporkan koma di Hospital Khoo Teck Phuat, Singapura, sebentar tadi.
Pelakon era 1940-an dan 1950-an itu dikatakan mengalami sesak nafas serta tekanan darah rendah setibanya di Johor Bahru dan dikejarkan ke hospital, lewat petang tadi.
Neng berada di Kuala Lumpur, Isnin lalu, bagi menghadiri upacara pengebumian menantunya diikuti majlis tahlil, malam semalam.
Azlynna yang juga anak Allahyarham Mustapha berkata, neneknya mengadu sakit dan dikejarkan ke hospital sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Neng Yatimah atau nama sebenarnya, Buntat Ahmad, membintangi beberapa filem seperti Batu Belah Batu Bertangkup, Rachun Dunia, Seri Mersing dan Laila Majnun serta pernah membintangi filem Ibu bersama Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 12:37 AM


GAMBAR kenangan Neng bersama menantunya, Allahyarham Datuk Mustapha Maarof.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/16939#sthash.wMzLpeHp.dpuf