Wednesday, December 19, 2012

Tragedi Newtown: Obama mahu milik senjata diharam



WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mahu mengembalikan semula larangan pemilikan senjata boleh membunuh ekoran tragedi 27 orang termasuk 20 kanak-kanak ditembak mati di Newtown, Connecticut baru-baru ini.

Jurucakapnya, Jay Carney berkata, Obama amat menyokong pelan mahu memperkenalkan rang undang-undang berkenaan pada hari pertama sidang Kongres.

Dalam kenyataannya Jumaat lalu, beliau turut meluahkan rasa kecewa dengan tragedi itu.

Suspek Adam Lanza yang menggunakan senjata milik ibunya untuk menyerang dan membunuh 27 mangsa.

Dalam pada itu, pelajar di seluruh daerah Newtown telah kembali semula ke sekolah semalam tetapi sekolah Sandy Hook Elementary masih kekal ditutup.

Presiden AS sebelum ini ada menyatakan sokongan beliau untuk memperkenalkan semula pengharaman serangan senjata tahun 2004.

Tetapi langkah beliau itu tidak mendapat sokongan dan tiada langkah khusus diperkenalkan bagi tujuan itu.

Senator Feinstein memberitahu pemberita beliau akan memperkenalkan undang-undang baru itu apabila Kongres bertemu Januari depan.

Isnin lalu, jurucakap White House berkata undang-undang ketat ke atas kawalan senjata api adalah sebahagian daripada cara mengatasi keganasan di AS.

Firma Qatar sedia RM3 bilion terbit filem Nabi Muhammad




19 Disember 2012
DOHA - Alnoor Holding, sebuah firma di Qatar mengumumkan akan menambah dana bagi menghasilkan filem bersiri mengenai Nabi Muhammad SAW kepada AS$1 bilion (RM3 bilion) berbanding AS$1.5 juta (RM4.5 juta) yang dirancang tiga tahun lalu.

Pengerusinya, Ahmed Al-Hashemi berkata, firma mereka akan menghasilkan tiga siri filem dengan peruntukan tersebut.

Pasukan pakar juga sudah menyiapkan skrip bagi memudahkan proses menghasilkan filem yang dianggap mencabar itu.

Sebelum ini, Alnoor Holding penah mengumumkan pihaknya sedang mengumpul dana bagi membiayai penerbitan filem itu yang bakal dihasilkan oleh pengarah veteran Hollywood, Barrie Osborne pada 2009.

Osborne mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dan pernah mengarah filem Lord of The Rings dan The Matrix.

Difahamkan watak Nabi Muhammad tidak akan ditampilkan kerana ia menyalahi sisi agama Islam dan sebagai tanda menghormati baginda.

Ulama Qatar, Sheikh Yusof Qaradawi akan mengetuai penyelidikan file mini serta member khidmat teknikal.

Filem ini juga dihasilkan menggunakan bahasa Inggeris dan bakal diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa bagi membetulkan persepsi masyarakat Barat terhadap Islam.

OIC hantar duta khas ke Myanmar




19 Disember 2012
 Isu Rohingya: Myanmar jemput OIC lawat Arakan
OIC hantar duta kkhas ke Myanmar- Foto ihsan
 KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melantik bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, yang juga pengerusi Palang Merah negara berkenaan, sebagai duta khas ke Myanmar, berikutan konflik yang melibatkan komuniti Islam Rohingya.
Keputusan untuk melantik duta itu dibuat pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Islam kali keempat di Makkah pada Ogos, kata OIC dalam kenyataan.
OIC akan turut menghantar seorang pegawai perhubungan untuk menilai keperluan bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas di negeri Rakhine.
Sementara itu, dalam jawapan kepada sepucuk surat yang diutus oleh Setiausaha Agung OIC Ekemeleddin Ihsanoglu, Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Navanethem Pillay, menyambut baik minat dan sokongan OIC terhadap isu Rohingya.
Dalam suratnya, Ihsanoglu menyuarakan kebimbangan OIC dan negara anggotanya berhubung kedudukan penduduk minoriti Islam Rohingya, yang terdedah kepada pencabulan hak asasi manusia, penindasan dan pembersihan etnik yang teruk.
Dalam jawapannya, Pillay berkata beliau berkongsi kebimbangan Ihsanoglu berhubung diskriminasi yang berlarutan terhadap komuniti Rohingya di negeri Rakhine dan keganasan yang tercetus baru-baru ini antara komuniti di negeri berkenaan.
Dalam suratnya itu, beliau turut mengepilkan laporan oleh Pelapor Khas Tomas Ojea Quintana mengenai kedudukan hak asasi manusia di Myanmar.
Surat itu dikemukakan pada sesi ke-67 Perhimpunan Agung PBB pada September.
Pelapor Khas itu secara khusus menyarankan agar kerajaan, antara lain, mengambil langkah untuk menangani diskriminasi endemik terhadap komuniti Rohingya dan memastikan hak asasi kemanusiaan mereka dihormati, yang perlu turut merangkumi semakan semula Akta Kewarganegaraan 1982.- Bernama

Lynas: Rayuan tiga penduduk Kuantan ditolak



PUTRAJAYA 19 Dis. - Tiga penduduk Kuantan hari ini gagal dalam rayuan mereka untuk menghentikan operasi kilang memproses nadir bumi, Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang.
Perkara itu berikutan keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka untuk menggantung kelulusan Lesen Operasi Sementara (TOL) yang diberikan kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd. bagi menjalankan operasi LAMP.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ramly Ali memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi betul daripada segi fakta dan undang-undang ketika menolak permohonan mereka untuk menggantung TOL.
Rayuan tersebut dikemukakan oleh Tan Bun Teet, 64, Syed Talib Syed Sulaiman, 60, dan Hasimah Ramli, 44, mengikut Seksyen 44 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman 1964. - UTUSAN.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121219/ma_04/Lynas-Rayuan-tiga-penduduk-Kuantan-ditolak#ixzz2FUsLQ8RK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita maut selepas terima paru-paru perokok

LONDON: Seorang wanita berusia 27 tahun yang mengidap kelainan kelenjar sekresi fibriosis sistik meninggal dunia setelah mendapat paru-paru daripada seorang penderma perokok tegar.

Jennifer Wederell dari Hawkwell, Essex, meninggal di kediamannya Ogos lalu, 16 hari selepas menjalani transplan di Hospital Harefield, London.


Bapanya, Colin Grannel berkata, dia yakin anaknya tidak akan bersetuju dengan transplan itu jika dia mengetahui penderma terbabit ialah perokok tegar.

Hospital berkenaan meminta maaf kerana tidak memberi pilihan kepada Jennifer untuk menolak transplan itu.


Jennifer didiagnosis menghidap fibriosis sistis sejak berusia dua tahun dan setelah mencapai usia 20-an, dia perlu bernafas dengan bantuan oksigen 24 jam sehari.


Jennifer telah mendaftar sebagai penerima transplan paru-paru sejak 18 bulan lalu dan pada April tahun lalu, dia diberitahu bahawa ada penderma yang sesuai. Grannel berkata, keluarganya sentiasa menunggu hari itu sejak bertahun lamanya dan menjangka transplan yang dijalani Jennifer akan berjalan lancar.

Jennifer berkahwin dengan lelaki idamannya, David Wederell pada September tahun lalu tetapi Februari lalu, kanser dikesan di paru-parunya. Grannel mendakwa anaknya mati akibat kelalaian pihak hospital.


“Pihak hospital tidak pernah menyatakan bahawa paru-paru yang digunakan dalam transplan itu adalah milik seorang perokok tegar,” katanya. - Agensi

Pendakwa Mesir letak jawatan


Mahmoud, 9, duduk di hadapan ‘Muzium Revolusi’   diabadikan untuk penunjuk perasaan  yang terbunuh ketika kebangkitan rakyat Mesir. Muzium itu ditubuhkan penunjuk perasaan yang menentang Presiden Mohamed Morsi.

Mahmoud, 9, duduk di hadapan ‘Muzium Revolusi’ diabadikan untuk penunjuk perasaan yang terbunuh ketika kebangkitan rakyat Mesir. Muzium itu ditubuhkan penunjuk perasaan yang menentang Presiden Mohamed Morsi.
Kaherah: Pendakwa awam baru Mesir, yang dilantik oleh Presiden Mohamed Morsi bulan lalu, Talaat Ibrahim Abdullah meletak jawatan kelmarin.

Ibrahim mengundurkan diri berikutan kekecohan hakim yang berkata keputusan Morsi November lalu untuk memecat pendakwa ketika itu Abdel Maguid Mahmoud satu serangan kepada kebebasan mereka.
Gantung mogok

Akhbar utama, Al-Ahram, melaporkan peletakan jawatan Ibrahim akan dibentangkan kepada Majlis Perundangan Agung Ahad ini. Hakim kanan yang menentang pelantikannya menggesa anggota kehakiman lain menggantung mogok yang dilancarkan ketika bantahan.

Ramai hakim menyuarakan kemarahan berhubung perintah khas Morsi yang dikeluarkan 22 November lalu untuk meluaskan kuasa dan secara sementara meletakkan beliau mengatasi undang-undang. Perintah khas itu mencetuskan bantahan di seluruh negara dan pertempuran membawa maut antara penyokong dan penentang Mursi.

Morsi memecat Mahmoud pada hari sama cuba untuk menenangkan penunjuk perasaan yang menuntut perbicaraan semula pegawai yang dikatakan terbabit melancarkan keganasan terhadap mereka ketika kebangkitan tahun lalu.

Morsi sudah cuba memecat Mahmoud Oktober lalu untuk menenangkan penunjuk perasaan yang marah dengan pembebasan beberapa pegawai kanan yang dibicarakan berhubung isu itu. Langkah itu mencetuskan bantahan hakim yang berkata presiden sudah melampaui batas dan mengancam kebebasan institusi kehakiman.
Badan perundangan, seperti rakyat Mesir, bercanggah pendapat berhubung undian mengenai Perlembagaan kontroversi dan cara ia dirangka, dengan ramai hakim memulaukan penyeliaan pungutan suara yang bermula 15 November lalu.

Berada dalam landasan

Sementara itu, bantahan baru diadakan di Kaherah semalam berhubung Perlembagaan yang dibentuk sekutu Islam Morsi yang kelihatan berada dalam landasan untuk diterima hujung minggu ini.

Kebanyakan tokoh perundangan juga meningkatkan cabaran terhadap kuasa Morsi dan piagam berkenaan. - Reuters/AFP

Jenazah Mohd Noor tiba esok



Kuala Lumpur: Jenazah Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, rakyat Malaysia yang ditembak mati polis di Davao City, Filipina, Jumaat lalu, dijadualkan tiba di tanah air esok.

Sumber memberitahu BH, proses berkenaan dapat dijalankan selepas semua sijil dan dokumen yang diperlukan untuk penghantaran pulang jenazah sudah diterima pihak Wisma Putra di ibu negara.
Katanya, jenazah Mohd Noor sudah dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan di negara berkenaan sebelum penghantaran dilakukan dari Manila.

“Penghantaran akan dapat dilakukan mengikut jadual jika tiada sebarang halangan daripada pihak berkuasa Filipina.

“Kami difahamkan, jenazah Mohd Noor akan diiringi bapanya selain turut ditemani oleh pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dihantar ke Filipina untuk menguruskan proses penghantaran pulang,” katanya ketika dihubungi BH semalam.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Mohd Noor yang berasal dari Klebang, Melaka ditembak mati ketika cuba untuk meletupkan bom dalam beg sandang milik isterinya, seorang wanita warga Filipina, di hotel penginapan mereka di Davao City.

Mogok desak parti Islam di Bangladesh dibubar



DHAKA 18 Dis. - Satu mogok besar-besaran diadakan oleh kumpulan berhaluan kiri bagi mendesak pembubaran parti-parti Islam di Bangladesh.
Mogok itu menyebabkan sekolah dan rumah kedai terpaksa ditutup serta mengakibatkan kesesakan jalan raya yang teruk di sini hari ini.
Mogok dianjurkan oleh gabungan lima parti politik berhaluan kiri mendesak agar parti-parti Islam dibubarkan, taktik yang sering digunakan di Bangladesh untuk menyatakan tuntutan.
Bantahan itu diadakan selepas lebih 20 parti Islam di Bangladesh mahu undang-undang Syariah dilaksanakan di negara ini.
Kumpulan berhaluan kiri mendakwa parti Islam perlu diharamkan kerana melanggar peruntukan Perlembagaan yang menyatakan Bangladesh hanya ditadbir melalui undang-undang sekular.
Kira-kira 1,000 anggota polis dan pasukan keselamatan ditempatkan di Dhaka ketika beratus-ratus penunjuk perasaan berarak di jalan-jalan raya di bandar tersebut, menyebabkan kesesakan trafik yang teruk.
Tiada keganasan dilaporkan setakat ini.
Stesen televisyen Somoy dan Channel-I di Dhaka melaporkan, mogok berkenaan juga menyebabkan gangguan komunikasi di kebanyakan 64 daerah di negara ini.
Gabungan parti berhaluan kiri menentang parti Islam terbesar di negara ini, Jamaat-e-Islami, yang sebelum ini berkempen menentang perang menuntut kemerdekaan dari Pakistan pada 1971.
Parti Jamaat-e-Islami dituduh berkomplot dengan tentera Pakistan semasa perang selama sembilan bulan itu yang menyaksikan tiga juta penduduk Bangladesh dibunuh dan kira-kira 200,000 wanita dirogol.
Lapan pemimpin parti itu kini dibicarakan atas tuduhan melakukan pembunuhan, membakar dengan sengaja, merogol dan beberapa pertuduhan lain semasa perang tersebut.
Parti berhaluan kiri juga menuntut tribunal jenayah perang agar mempercepatkan proses perbicaraan berkenaan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121219/lu_07/Mogok-desak-parti-Islam-di-Bangladesh-dibubar#ixzz2FTkKw32C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Amerika Latin paling gembira



2012/12/21
 Kanak-kanak  ceria bermain  di Teluk Asuncion, Paraguay.
Kanak-kanak ceria bermain di Teluk Asuncion, Paraguay.
Bandar Raya Mexico: Penduduk paling gembira dan bersikap paling ceria di dunia berada di Amerika Latin.

Kedudukan teratas

Malah, tujuh daripada 10 kedudukan teratas senarai penduduk negara paling ceria adalah dari benua itu.

Tinjauan mengenai penduduk paling gembira dan ceria itu dijalankan di seluruh dunia oleh agensi Gallup membabitkan penyertaan 150,000 orang.

Satu daripada negara itu ialah Guatemala yang berada di atas Iraq dalam kedudukan Indeks Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengikut kategori jangka hayat, pendidikan dan pendapatan per kapita.

Tetapi, negara itu berada di kedudukan ketujuh dari segi emosi positif.

Sentiasa tersenyum
“Di Guatemala, sudah menjadi budaya bagi rakyatnya sentiasa tersenyum,” kata Luz Castillo, 30, jurulatih papan luncur.

“Walaupun menghadapi masalah, kami dikelilingi kecantikan semula jadi yang membolehkan kami melupakannya.”

Tanya 1000 orang

Gallup Inc. bertanya 1,000 orang di setiap 148 negara tahun lalu jika mereka mendapat rehat mencukupi, dilayani dengan perasaan hormat, senyum atau banyak ketawa, belajar atau melakukan sesuatu menarik dan merasai perasaan seronok pada hari sebelumnya.

Di Panama dan Paraguay, 85 peratus responden berkata ya kepada lima soalan itu, meletakkan negara berkenaan di tempat teratas.

Ia diikuti rapat oleh El Salvador, Venezuela, Trinidad dan Tobago, Thailand, Guatemala, Filipina, Ecuador dan Costa Rica.

Penduduk yang paling kurang melaporkan emosi positif tinggal di Singapura, negara kaya dan teratur yang juga antara paling maju di dunia.

Negara kaya lain juga berada di kedudukan bawah senarai itu. Jerman dan Perancis setaraf dengan Somalia untuk berada di tempat ke-47. - AP

Berlusconi bertunang gadis muda



Silvio Berlusconi (kanan) dan isterinya, Veronica Lario.
ROM 17 Dis. - Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, yang digemari wanita muda, semalam mengumumkan pertunangannya dengan seorang personaliti televisyen, Francesca Pascale.
Berlusconi, 76, dan Pascale, 27, sering dilihat bersama sejak beberapa minggu lalu, selepas bekas pemimpin itu mengumumkan beliau bakal bertanding merebut jawatan Perdana Menteri pada pilihan raya Itali pada Februari ini.
“Saya sudah bertunang dengan Pascale dan dia merupakan seorang wanita yang hebat serta cantik.
“Jarak usia yang jauh tidak menjadi penghalang kepada kami untuk mengecapi kebahagiaan bersama," katanya.
Pasangan itu juga dikesan menghabiskan masa bersama di Milan, baru-baru ini untuk menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan pasukan AC Milan.
Berita pertunangan tersebut mencetuskan kontroversi apabila bekas pemimpin itu masih bergelar suami kepada Veronica Lario.
Namun, tiada sebarang kenyataan diberi berhubung rumah tangganya dengan Veronica.
Berlusconi masih menjalani perbicaraan atas dakwaan melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur pada satu parti di kediamannya pada tahun lalu.
Berlusconi turut didakwa melanggan seorang pelacur berusia 17 tahun, Karima El Mahroug. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121218/lu_06/Berlusconi-bertunang-gadis-muda#ixzz2FThzl3ko
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tangan kanan Nor Arif yang bengkak terpaksa dipotong




NOR ARIF masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terennganu.


KUALA TERENGGANU - Tangan kanan Nor Arif Luzman Nor Azhadi, 4, yang kehitaman dan bengkak selepas dibawa berjumpa bomoh patah tidak boleh diselamatkan lagi dan terpaksa dipotong.
Tangan kanak-kanak yang patah ketika kanak-kanak itu bermain di rumahnya di Kampung Telaga, Kuala Berang, Hulu Terengganu minggu lalu dikatakan sudah 'mati' kerana lewat menerima rawatan doktor.
Bapa kanak-kanak itu, Nor Azhadi Nordin, 35, ketika dihubungi memberitahu, buat sementara waktu, dia tidak mahu pihak hospital memotong tangan itu kerana tidak mahu anaknya kelihatan tidak normal.
"Walaupun sudah tidak dapat berfungsi tetapi sekurang-kurangnya anak saya masih ada tangan.
"Tetapi doktor ada beritahu kemungkinan jangkitan kuman yang boleh merebak ke organ lain dan menjejaskan keselamatan anak saya," katanya ketika dihubungi semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1219&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_13.htm#ixzz2FTAGRJYs 
Hakcipta terpelihara 

Presiden Iraq diserang strok




18 Disember 2012
BAGHDAD - Presiden Iraq, Jalal Talabani diserang strok semalam dan kini dirawat di sebuah hospital di sini.
Beberapa laporan mendakwa beliau koma.
"Keadaan kesihatan beliau tidak begitu baik," kata pemimpin Kurdis, Mahmoud Othman.
Meskipun Mahmoud dan beberapa pegawai mengesahkan beliau diserang strok, tetapi Pejabat Presiden tidak membuat pengesahan segera tentang keadaan kesihatan beliau.
Jalal yang berusia 79 tahun dipilih sebagai presiden pada 2005, yang pertama menerusi pilihan raya bebas dalam tempoh 50 tahun.
Ini bukan kali pertama beliau berhadapan dengan masalah kesihatan.
Pada Februari 2007, beliau yang jatuh sakit diterbangkan ke Jordan untuk rawatan.

Amanat 1981: Nik Aziz pertahan Hadi Awang



Nik Aziz
Nik Aziz
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas mufti-mufti yang mendesak Presidennya, Datuk Abdul Hadi Awang menarik balik "Amanat Haji Hadi" sambil menegaskan mufti tidak harus "bermain politik."

Menurutnya, Presiden Pas memiliki ilmu yang lebih tinggi berbanding mufti kerana mempunyai kelulusan Madinah yang cemerlang.

Sehubungan itu katanya, para mufti tidak harus menganggap Hadi tidak mengetahui hukum-hakam agama Islam semasa mengeluarkan amanat itu.

"Saya membaca kenyataan beberapa orang mufti yang mendesak agar Presiden Pas menarik balik apa yang didakwa sebagai Amanat Haji Hadi.
"Saya kira, ilmu yang dimiliki oleh Presiden Pas tidak lebih rendah dari ilmu yang dimiliki oleh para mufti, bahkan beliau merupakan lulusan Madinah yang cemerlang.

"Jadi saya menyeru kepada para mufti, jangan beranggapan Presiden Pas sebagai orang yang tidak tahu hukum hakam," kata beliau dalam reaksinya diperoleh dari laman sosial Facebook.
Kelmarin, dua orang mufti termasuk Tan Sri Harussani Zakaria menggesa Abdul Hadi  menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.

Mengulas lanjut, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, mufti boleh berbincang dengan cara yang elok dan tidak perlu bermain politik.

"Mufti boleh berbincang jangan bermain politik partisan di dalam jubah mufti," katanya.

Beliau juga mengingatkan mufti supaya tidak menjual harga seorang mufti sehingga menjadikannya "murah".

"Jangan jual harga mufti dengan murah...," katanya.

Lelaki rayu ibu pulang ke pangkuan keluarga



Che Gayah Shaari
Che Gayah Shaari
KUALA NERANG - Mungkin berlaku salah faham kerana ayah tidak pernah menghalau ibu keluar dari rumah sebaliknya sekadar meminta ibu keluar untuk menenteramkan keadaan.

Demikian jelas Khadir Md Arshad, 29, sambil meminta ibunya, Che Gayah Shaari, 58, agar pulang semula ke rumah.

“Sebagai anak, saya merayu dan meminta agar ibu pulang ke rumah atau pergi ke Pejabat Agama Daerah Padang Terap untuk sesi kaunseling dan menyelesaikan masalah yang berlaku secara baik.” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Sham.

Sham berkata, kali terakhir bertemu ibunya ialah pada Aidilfitri lalu.

Menurutnya, ibu keluar dari rumah setelah berlaku perselisihan faham dengan ayahnya, Md Arshad Md Noor, 80 tahun.

“Ayah tidak bermaksud menghalau ibu terus keluar rumah dan meninggalkan kami sekeluarga,” katanya yang turut membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, Sham meminta kerjasama orang ramai dan saudara mara yang mengenali ibunya agar dapat memujuknya kembali ke pangkuan keluarga atau menghubunginya melalui telefon bimbit 013-4589395.

Abby akan bantu kempen PRU13



Abby Abadi
Abby Abadi
KANGAR - Bekas pelakon popular drama bersiri Gerak Khas, Abby Abadi berjanji akan membantu calon Pas berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Saya sanggup turun bersama Muslimat Pas sebagai perayu undi di seluruh pelosok negara pada PRU13 nanti.

“Kami cukup bersedia untuk sama-sama menggempur pihak lawan pada kempen pilihan raya nanti untuk merayu undi,” katanya ketika menyertai perhimpunan kebangkitan rakyat peringkat negeri di dataran Kompleks Pas Perlis di Jalan Kampung Pondok di sini, malam kelmarin.

Kira-kira 4,000 ahli Pas dan PR menghadiri program itu.

Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan berkata, beberapa rakan artis lain akan bersamanya tidak lama lagi untuk memberi sokongan kepada PR.

Sungguhpun mengakui dirinya adalah dari keluarga penyokong Barisan Nasional (BN) bahkan ayah dan ibunya ialah orang Umno tetapi hatinya lebih terbuka untuk memilih Pas kerana ada hikmah  di sebaliknya.

“Saya ingin membina rumah di syurga,” katanya sambil menyifatkan dirinya begitu tenang setelah menyertai Pas.
Abby menyifatkan penyertaannya dalam Pas sebagai jihad dalam kehidupannya setelah meninggalkan dunia lakonan.

“Saya rasa begitu bahagia sebagai seorang Muslimah yang akan meneruskan perjuangan mencari kebenaran dan keadilan bersama parti pilihan,” katanya.

Ratu hadiri mesyuarat Kabinet




RATU ELIZABETH II (dalam bulatan) duduk dalam mesyuarat Kabinet di Downing Street, London semalam.


LONDON - Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II (gambar) menghadiri satu mesyuarat Kabinet di sini sempena sambutan jubli intan pertabalan baginda semalam.
Kehadiran baginda merupakan lawatan pertama yang dilakukan oleh seorang kerabat diraja Britain sejak lebih 100 tahun dahulu.
Ratu itu yang berusia 86 tahun itu tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri David Cameron, 10 Downing Street untuk mesyuarat para menteri kanan Kabinet.
Istana Buckingham menyatakan, Ratu Elizabeth II akan menerima cenderamata jubli intan daripada Kabinet sempena 60 tahun baginda berada di atas takhta dan turut hadir sebagai pemerhati pada mesyuarat itu.
Berdasarkan sejarah, Ratu Victoria yang meninggal dunia pada 1901 pernah menghadiri mesyuarat Kebinet.
Mesyuarat Kabinet pada kebiasaannya berlangsung sekitar sejam setengah tetapi baginda akan menyertainya selama 30 minit sebelum beredar bersama Setiausaha Luar, William Hague untuk melawat Pejabat Kementerian Luar.
Pada mesyuarat kabinet berkenaan, Ratu Elizabeth II duduk di tengah meja mesyuarat bersama Cameron di sebelah kanan dan Hague di sebelah kiri baginda.
Meja yang berbentuk seperti sebuah bot itu diperkenalkan oleh Harold Macmillan, Perdana Menteri yang berkhidmat dari tahun 1957 hingga 1963 supaya beliau dapat melihat semua menterinya.
Ratu Elizabeth II pernah beberapa kali berkunjung di Pejabat Perdana Menteri Britain dengan kunjungan terakhir dibuat pada Julai lalu untuk menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan Cameron dan turut dihadiri oleh bekas perdana menteri, Gordon Brown, Tony Blair dan John Major.
Seramai 12 perdana menteri berkhidmat di bawah pemerintahan ratu itu.
Ratu Elizabeth II akan menerima kunjungan mingguan oleh Perdana Menteri Britain.
Baginda berhak dan bertanggungjawab menyatakan pandangannya dalam hal ehwal kerajaan.
Tiada orang lain hadir pada pertemuan dengan perdana menteri tersebut, tiada catatan minit pertemuan manakala isi pertemuan mereka tidak pernah dibincangkan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1219&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2FRbS63Gi 
Hakcipta terpelihara