|
Gambar merakamkan pelancaran kapal MV Rachel Corrie pada 29 Oktober, 2009 yang menyertai Flotila Pembebasan membawa kira-kira 750 tan barangan bantuan ke Genting Gaza. Kapal itu mengambil sempena nama Rachel Corrie aktivis keamanan Amerika Syarikat yang terbunuh akibat dirempuh jentolak Israel ketika membentuk benteng manusia bagi menghalang Israel merobohkan rumah seorang farmasi Palestin pada Mac 2003. – AFP
|
BAITULMAQDIS 4 Jun – Penganjur Flotila Pembebasan mendakwa Israel telah melakukan sabotaj menyekat perhubungan dengan kapal MV Rachel Corrie yang sedang berlayar untuk menghantar bantuan ke Gaza.
Audrey Bomse daripada Pergerakan Pembebasan Gaza berkata, mereka telah terputus hubungan dengan kapal Rachel Corrie tidak lama selepas cuba menangguhkan usaha terbaru untuk melanggar sekatan Israel ke atas kapal yang membawa bantuan itu.
Kapal itu dijadual tiba di Genting Gaza esok, lima hari selepas komando Israel membunuh sembilan aktivis dalam konvoi kapal-kapal ke Gaza yang menyebabkan rejim Zionis berhadapan krisis diplomatik.
“Situasi kini ialah kami terputus hubungan dengan kapal itu. Kami menganggap ini adalah sabotaj oleh Israel,” kata Audrey Bomse dari Pergerakan Pembebasan Gaza.
Kini tidak jelas sama ada rakyat Malaysia dan Ireland yang berada di atas kapal itu akan berpatah balik atau terus belayar ke Gaza.
Tindakan tentera Yahudi menceroboh kapal Mavi Marmara yang menyertai Flotila Pembebasan pada Isnin lalu mencetus kemarahan antarabangsa dengan banyak protes besar-besaran diadakan di seluruh dunia selepas solat Jumaat hari ini.
Pemimpin Hizbullah, Sheikh Hassan Nasrallah menyeru rakyat Lebanon berarak hari ini dan beliau dijangka mengumumkan ‘pendekatan serius’.
Di Baitulmaqdis, polis menyekat akses ke Masjidil Aqsa dan mengerahkan anggota bersenjata di dalam dan di sekitar Kota Lama.
Protes anti-Israel telah diadakan di seluruh Asia Barat sejak serangan berdarah Isnin lalu itu, dengan orang ramai membanjiri jalan-jalan raya bagi menuntut Israel menghentikan kepungan ke atas Gaza.
Presiden Turki, Abdullah Gul juga memberi amaran bahawa hubungan dengan Israel ‘tidak akan sama seperti dahulu’ disebabkan serangan tersebut.
Turki menghantar dua kapal terbang perubatan ke Israel awal hari ini untuk membawa pulang lima rakyatnya yang cedera semasa serangan ke atas flotila itu, yang membunuh lapan warganya dan seorang rakyat AS berasal dari Turki.
Penganjur semalam berkata, Rachel Corrie berada 400 kilometer dari kawasan perairan antarabangsa tempat kapal Mavi marmara dan lima bot lain diserang Israel pada Isnin lalu. – AFP