Showing posts with label keracunan. Show all posts
Showing posts with label keracunan. Show all posts

Friday, August 26, 2011

Lebih 5 murid ditahan di hospital



KUALA TAHAN - Dianggarkan lebih lima murid dari sebuah sekolah dekat sini, berdepan dengan penyakit kuning yang turut dipercayai berkaitan dengan sejenis wabak.

Ibu seorang pesakit, Norazimah Abdullah Sidek, 34, berkata, anaknya, Norafieqah Mohd Ali Saifudin, 12, dimasukkan ke Hospital Jerantut setelah mengalami demam dan kuning di bahagian mata.

Menurutnya, sebelum dimasukkan ke hospital Ahad lalu, Norafieqah yang juga anak sulung daripada empat beradik, mengalami demam panas selama empat hari.

“Selepas sembuh daripada demam, anak saya sihat seperti biasa dan tiada sebarang tanda penyakit, namun saya agak terkejut apabila mendapati mata Norafieqah menjadi kekuningan.

“Disebabkan saya sudah mengetahui lebih awal ada kes anak rakan sebelum ini dimasukkan ke hospital akibat kuning, saya terus merujuk anak saya ke Hospital Jerantut,” katanya kepada Sinar Harian.

Norazimah berkata, tidak diketahui apakah penyakit yang menimpa Noratieqah kerana rakannya yang berdepan penyakit sama telah dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah) Temerloh.

“Saya difahamkan doktor, Noratieqah kini semakin pulih, namun masih perlu ditempatkan di wad untuk membolehkan dia menerima antibiotik selain doktor berusaha mengesan punca penyakitnya.

“Apa yang membimbangkan setelah dimaklumkan berkemungkinan penyakit kuning itu antara simptom awal yang turut berkait dengan wabak penyakit,” katanya.

Seorang lagi bapa pesakit, Ridzuan Mazlan, 38, berkata, anaknya mengadu sakit kepala dan muntah, kemudian matanya berwarna kuning sebelum seluruh badannya menjadi kuning.

“Saya hairan mengapa perkara ini berlaku kerana ia turut dialami enam kanak-kanak pada hari yang sama minggu lalu.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Jerantut sebelum dipindahkan ke Hoshas Temerloh termasuk anak saya dan dimasukkan ke wad selama tiga hari sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Jerantut, Dr Devaraj Salam ketika dihubungi berkata, penyakit kuning menimpa Noratieqah dan murid lain itu bukan disebabkan oleh wabak, namun ia lebih kepada hepatitis.

“Ini berkemungkinan disebabkan oleh penggunaan air yang tercemar atau kotor. Bagaimanapun, keadaan Noratieqah kini semakin beransur pulih dan baik, namun kita masih menunggu laporan keputusan darahnya,” katanya.

Tuesday, June 29, 2010

Badrul Hisham terlantar di hospital


KUALA LUMPUR 28 Jun - Bekas Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Badrul Hisham Abdul Aziz, 51, kini terlantar di hospital dalam keadaan lemah selepas lima hari tidak sedarkan diri akibat keracunan makanan.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Malaysia pada tahun 1984 hingga 1995 kini dirawat di Hospital Serdang sejak 15 Jun lalu.
Isteri beliau, Datin Noraini Ahmad, 54, berkata, suaminya dikatakan terminum sejenis minuman dalam tin ketika memandu kereta tanpa menyedari minuman itu sudah tamat tarikh luput.
"Sejak itu, dia berasa tidak sihat dan sebaik sahaja pulang, saya terus membawanya ke klinik berdekatan selepas dia tiba-tiba jatuh pengsan.
"Saya kemudian segera menghubungi ambulans untuk membawa suami ke Hospital Serdang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Badrul Hisham yang mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi Ahli Parlimen Hulu Langat untuk dua penggal selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun 1995 dan 1999.
Menurut Noraini, suaminya dirawat selama lima hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang akibat komplikasi yang teruk termasuk bengkak pada bahagian kaki.
"Selepas lima hari dalam ICU, dia kini dipindahkan ke wad biasa sejak 19 Jun lalu dan keadaannya kini beransur pulih walaupun masih lemah," katanya.