SAYA mengucapkan terima kasih kerana keizinan yang diberi kepada saya untuk membahaskan rang undang-undang Perbelanjaan 2015 yang melibatkan Bajet 2015 ini dengan mengambil perkara yang paling asas apabila kita membincangkan soal harta di dalam Islam dua perkara asas yang diberi perhatian. “Dari mana perolehan itu dan ke mana dibelanjakan”. Asas yang penting ini ialah supaya kita melihat kepada apa yang disebut daripada kutipan hasil kerajaan selain dari Wilayah Persekutuan.
Kerajaan mengambil hasil dari cukai langsung, cukai tidak langsung dan hasil bukan cukai yang kita melihat datang daripada negeri-negeri sama ada dari sumber alam, petroleum, gas, kelapa sawit, bijih besi, bijih timah melalui duti-duti eksport dan cukai-cukai yang dibayar ataupun daripada hasil cukai pendapatan dan lain-lain yang dibayar oleh rakyat.
Lalu kita melihat pada masa perbelanjaan itu sebahagian dari negeri-negeri yang mengeluarkan sumber-sumber alam seperti Terengganu dengan sumber petroleum dan gas, bagaimana keadaan kedudukan negeri setelah pulangan hasil yang dikutip oleh Kerajaan Pusat kembali kepada pembangunan negeri tersebut.
Inilah yang selalu kita dengar daripada rintihan Ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak. Walaupun merupakan negeri yang menjadi pengeluar hasil petroleum dan gas yang juga menjadi penyumbang terbesar kepada hasil negara tetapi rintihan-rintihan itu sentiasa disebut pada tiap kali ucapan dibuat.
Saya hendak ingatkan ini supaya kita melihat apa yang pernah berlaku di Terengganu. Ada dua Dun (Dewan Undangan Negeri) kawasan yang mengambil nama daripada pengeluaran hasil sumber alam dan masih ada nama Dun tersebut.
Pertama ialah Dun Bukit Besi yang mengeluarkan hasil bijih besi sebagai sumber utama dan apabila dieksport, duti eksport dikutip oleh Kerajaan Persekutuan tetapi apabila habis hasil tersebut, kita melihat Dun Bukit Besi daripada kerana masyhur namanya hanyalah disebut dengan Bandar Bukit Besi menjadi Dun dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu tetapi tiada pembangunan yang dibuat walaupun berada dalam Wilayah KETENGAH dengan peruntukan yang besar diberi.
Ini kerana dari apa yang berlaku ini ia menjadi sejarah yang perlu kita ambil pengajaran bagaimana sumber hasil yang dikutip oleh kerajaan pusat tetapi tidak kembali secara sempurna dalam pembangunan kepada negeri yang berkenaan.
Kedua ialah Dun Rantau Abang. Masyhur Rantau Abang ini sehingga pelancong- pelancong datang dan menjadi hasil kutipan besar kepada Kerajaan Persekutuan tetapi setelah habis pelancongan yang berlaku di Dun Rantau Abang ini, kita lihat bagaimana pembangunan yang berlaku di Rantau Abang. Inilah perkara yang perlu kita beri perhatian kepada sumber yang kita ambil dan belanja itu mesti juga dilihat kepada keluasan hasil yang diperoleh dari tempat yang dikutip.
Saya sangat bimbang bagaimana kedudukan Kerteh di Terengganu sekarang ini kerana sumbangan hasil petroleum dan gas yang kalau sampai satu masa lupus dan lumpuh, pembangunan di Kerteh itu tidak melambangkan ia pernah menjadi kawasan petroleum dan gas. Sebabnya saya bangkitkan perkara ini ialah supaya kita melihat bagaimana sepatutnya Terengganu mendapat pembangunan dari sumber-sumber hasil dan sumber alam yang pernah disumbangkan sebagai hasil kepada Kerajaan Persekutuan.
Di antara soalan yang saya sempat tanyakan dalam persidangan pada kali ini iaitu pada 9 Oktober yang lalu walaupun tidak dimasukkan dalam soalan yang sempat dijawab secara lisan tetapi diberi jawab secara bertulis dalam bentuk soalan lisan ini ialah satu projek Kereta api Kerteh - Kuantan yang bermula pada 1 April 2004 dan telah ditamatkan pada 1 Oktober 2010 di bawah seliaan Petronas setelah beroperasi selama enam tahun dengan kos pembinaan - saya difahamkan RM800 juta, lalu apakah kesan dan hasil yang diperoleh darinya?
Ini kerana sepatutnya, ia menjadi pembinaan yang membawa kepada asas perhubungan kereta api di Terengganu. Lalu dijawab akan dijadikan sebagai suatu projek asas kepada projek perhubungan kereta api Terengganu.
Akan tetapi kalau kita melihat kepada jawapan yang diberi ini, kita melihat bagaimana usaha-usaha yang diambil sedangkan sebahagian dari paku-pakunya telah hilang dicuri dan ada rel kereta api yang dicuri, dijual menyebabkan kos projek RM800 juta yang saya difahamkan ini, bagaimana hendak dijadikan asas kepada pembangunan yang melibatkan perhubungan kereta api di Terengganu.
Ini kerana satu-satunya negeri di Terengganu ini ialah negeri yang tidak mempunyai perhubungan kereta api ini, padahal menjadi sumber hasil sebahagiannya besar kepada Kerajaan Persekutuan. Sebab itu kita melihat dalam rintihan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen kita sangat memahami. Jangan kita jadi seperti penjajah. Penjajah membawa balik hasil pulangan negara ini ke negara mereka. Kemudian, meninggalkan negara-negara jajahan menjadi miskin.
Sepatutnya kita bersikap dengan sikap federalisme iaitu kita berbelanja kepada negeri yang mendatangkan hasil itu supaya jangan negeri-negeri ini termasuk dalam golongan negeri miskin. Penting untuk kita ingatkan ini kerana ayat al-Quranul Karim inilah yang menyebabkan berbelanja mestilah melihat kepada hasil yang diperoleh dari keluaran hasil itu. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda yang bermaksud, “Tegaknya dunia ini dengan empat, (dengan keadilan pemerintah)”.
Perkara pertama ialah adil dalam mengagihkan pendapatan dan adil dalam perbelanjaan supaya kita meletakkan asas ini melihat kepada apa yang kita lakukan itu akan menghasilkan bila kita maju dalam tahun 2020.
Ia bukan sahaja Malaysia maju tetapi juga negeri-negeri turut menjadi maju. Sedangkan kita melihat pembentangan dalam Bajet 2015 ini yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan, banyak projek-projek yang melibatkan projek yang hendak dibuat, projek-projek besar melibatkan pembinaan lebuh raya-lebuh raya ialah di kawasan yang melibatkan di kawasan Lembah Klang dan sebahagian dari hubungan negeri- negeri yang telah maju juga High Speed Railway System, kereta api laju menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura dengan tidak melihat ada negeri di Semenanjung ini yang tidak mempunyai perkhidmatan kereta api. Sepatutnya kita mesti melihat dalam kita berbelanja ini memberikan perhatian kepada soal yang penting ini.
Kedua ialah berkaitan dengan apa yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan iaitu pembinaan pusat percetakan kedua terbesar di dunia dalam percetakan al-Quran di Putrajaya. Saya hendak ingatkan, pernah Nabi Muhammad SAW mengadu kepada Allah SWT dalam perkara al-Quran ini, yang bermaksud, “Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sesuatu yang ditinggalkan”.
Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah menghuraikan, apakah yang dimaksudkan dengan al-Quran yang ditinggalkan itu ialah: (i) ditinggalkan membacanya; (ii) ditinggalkan dalam memahami maknanya; (iii) meninggalkan mempelajari tafsirnya; (iv) ditinggalkan memperjuangkan hukum-hukumnya; dan (v) ditinggalkan menjadi ubat kepada penyakit masyarakat.
Masyarakat kita hari ini menghadapi penyakit masalah sosial yang sangat serius terutamanya di kalangan remaja yang melibatkan dadah, rempit, rampas, rompak, curi, rogol, dan lain-lain yang sepatutnya bukan sahaja kita berbangga kerana menjadi pencetak al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi tetapi juga bagaimana kita hendak menggunakan al-Quran ini untuk menjadi ubat kepada penyakit masyarakat?
Kejayaan yang sangat besar dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam kajian ialah menggunakan al-Quran dalam mengubati penyakit masyarakat Arab sehingga berjaya mengubah mereka dari sejahat-jahat umat menjadi sebaik-baik ummah seperti kenyataan al-Quran, Khaira Ummah yang disebut yang bermaksud, “Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan menjadi manusia”. Lalu dikaji apakah kajian kejayaannya. Kejayaannya ialah kerana al-Quranul Karim yang menjadi ubat kepada penyakit masyarakat. Oleh sebab itu kalau kita melihat di dalam al-Quran itu kita akan melihat dan menilai bagaimananya pentingnya kita gunakan untuk mengubati penyakit masyarakat itu.
Ketiga, saya ingin menyentuh tentang peruntukan bajet yang melibatkan RM711 juta kepada Kementerian Pendidikan, Tabika Kemas, Permata dan Tabika Perpaduan. Dulunya Permata mendapat secara khusus. Tahun 2010 sebanyak RM100 juta peruntukan, tahun 2011 sebanyak RM111 juta, peruntukan secara khusus. Akan tetapi dalam Bajet 2015 ini dirangkumkan sekali kepada Kementerian Pendidikan, Tabika Kemas, Permata dan juga Tabika Perpaduan. Saya ingin bertanya berapakah jumlah yang diperoleh oleh Permata ini dari jumlah RM711 juta ini. Huraikan juga aset-aset Permata. Berapakah jumlah tanah negeri-negeri yang diperoleh, bangunan-bangunan kepada Permata ini di negeri-negeri, guru-guru, pelajar-pelajar, program-program, perbelanjaan-perbelanjaan dan kalau ada yuran- yuran pendaftaran kemasukan dan juga yuran bulanan yang dikenakan.
Yang akhir ialah soal belia dan sukan. Dalam soal kita membicarakan belia ini, kita ada dua kelompok belia. Satu, belia yang berpersatuan, sama ada dalam persatuan belia, persatuan sukan, persatuan beruniform dan lain- lain tetapi mereka ada persatuan.
Ada juga persatuan yang aktif, sihat, ada persatuan yang sakit dan ada persatuan yang mati. Akan tetapi itu kita boleh urus kerana mereka ada pendaftaran, kita boleh minta laporan, kita boleh suntik kewangan yang diperlukan, kita boleh tanya program. Soal yang penting ialah bagaimana belia yang tiada dalam persatuan.
Dalam jumlah yang sangat ramai bagaimana soal yang melibatkan masalah dadah di kalangan belia, yang melibatkan rempit di kalangan belia, yang melibatkan soal-soal masalah sosial yang lain. Apakah usaha-usaha Kementerian Belia dan Sukan dalam menangani masalah belia yang tidak ada persatuan atau yang tidak berpersatuan ini.
Kemudian akhirnya sukan. Saya ingin untuk mendapat maklumat berkaitan dengan pembangunan sukan-sukan teras di Malaysia. Oleh sebab soal pembangunan fizikal, stadium dan lain-lain kita mempunyai kedudukan yang boleh dikatakan sama hebat dengan negara- negara lain.
Sebagai contoh bola sepak. Kalau kita melihat sukan teras bola sepak yang sangat diminati ramai, pembangunan stadium kita menyamai negara-negara yang maju dalam soal bola sepak ini. Stadium kita mungkin boleh sama dengan negara Jerman, Itali, Brazil, Argentina dan lain-lain. Akan tetapi soal pembangunan sukan bola sepak itu yang mesti diberi perhatian. Ini kerana sukan dengan belia ini sangat berkait rapat.
Di waktu sukan kita maju, dalam sukan-sukan teras yang melibatkan bola sepak, takraw, hoki dan badminton. Bila sukan maju belia kita mempunyai masa untuk bersukan kerana kemajuan yang ada dalam bidang sukan, kita dapati pada masa itu, tahun 70-an, tahun 80-an masalah dadah di kalangan belia dan remaja tidak ada. Akan tetapi sekarang bila sukan kita jatuh maka kita dapati peralihan oleh golongan remaja dalam mengisi kekosongan jiwa mereka diambil alih oleh perkara-perkara lain yang tidak membawa faedah bahkan memusnahkan generasi.
Oleh sebab itu saya pohon Kementerian Belia dan Sukan memperincikan apakah sebenarnya pembangunan-pembangunan sukan. Sukan teras secara khusus yang boleh memberikan impak, mengembalikan semula bagaimana kemasyhuran negara dalam sukan teras ini.
Saya ucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Dipertua dan mudah-mudahan kita dapat melihat apa yang dicadangkan ini menjadi kenyataan, memberikan perhatian. Ini supaya kita benar-benar melihat negara kita ini bukan sahaja menjadi negara maju tetapi juga mengheret negeri-negeri yang menjadi penyumbang menjadi negeri maju. -
HARAKAHDAILY 31/10/2014Petikan ucapan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli semasa membahaskan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober 2014.