Showing posts with label Gengster. Show all posts
Showing posts with label Gengster. Show all posts

Monday, August 8, 2011

Akhbar jadi 'gengster' tanpa media alternatif




KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Rakyat khususnya golongan muda diseru menyokong sumbangan media alternatif yang memberikan gambaran sebenar mengenai situasi di negara ini. Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said berkata, kewujudan media alternatif dapat menjadi pengekang kepada media arus perdana yang semakin 'samseng'. "Saya fikir sumbangan akhbar alternatif ini mesti disokong kerana hanya melalui akhbar alternatif kita mendapat gambaran yang lebih berimbang, memungkinkan kita untuk menentukan apa sikap kita. "Saya dapati bahawasanya tanpa media alternatif, akhbar arus perdana akan menjadi gengster," kata beliau sewaktu berucap merasmikan pelancaran kempen 'Jom Baca Media Alternatif' di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), dekat sini, petang semalam. Kempen ini dianjurkan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang terdiri daripada gabungan beberapa pertubuhan mahasiswa bertemakan 'baca dan banding'. A. Samad yang lebih senang dipanggil Pak Samad, 76, juga berkata, media alternatif sangat sesuai untuk anak-anak muda yang mempunyai semangat juang yang tinggi untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat. "Saya fikir media alternatif ini lebih untuk anak-anak muda, rakan-rakan kita yang lebih berilmu. "Memang benar ia belum sampai ke desa-desa tapi saya fikir yang diperlukan ialah kelompok anak muda yang berilmu pengetahuan dan anak-anak muda inilah nanti yang akan berlegar, akan sampai ke ceruk-ceruk untuk memperjelas apa yang berlaku di negara ini," katanya di hadapan kira-kira 50 anak muda, majoritinya mahasiswa kampus sekitar Lembah Kelang. Ujarnya, tidak menjadi suatu kerugian jika tidak membaca media arus perdana kerana laporannya hanya menyokong kerajaan dan mengakui sudah hampir satu tahun beliau tidak membaca akhbar arus perdana. "Untuk pengetahuan anda sudah hampir satu tahun saya langsung tidak membaca akhbar arus perdana. "Biarpun ada benda yang mungkin saya terlepas kerana tidak membaca akhbar arus perdana tapi saya rasa dengan tidak membacanya pun saya sudah tahu, jadi tidak rugi. "Kita lihat adalah kalau yang memerintah sentiasa betul, yang membangkang sentiasa salah. Ini yang harus dibetulkan," katanya disambut tepukan gemuruh anak muda. Beliau turut menyatakan pendirian yang meyokong pihak pembangkang. "Saya memang gemar untuk datang dan mendengar daripada mereka yang oposisi. Saya langsung tidak gemar mendengar orang yang sokong (kerajaan). "Saya memang gemar apabila ada yang membangkang dan minat saya membaca akhbar alternatif kerana saya dapat melihat benda-benda yang tidak dapat kita lihat dalam akhbar arus perdana," katanya yang mula menjadi ikon anak muda selepas lantang menyatakan sikap tidak bersetuju dengan kerajaan antaranya dalam isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan terbaru, Bersih 2.0.

Anak muda kena lakukan perubahan 
Selain itu, Pak Samad menyeru anak muda agar berani melakukan perubahan dengan menukar kerajaan BN yang sudah lama dibiarkan bermaharajalela di negara ini. "Banyak hal lain juga boleh dilakukan anak muda yang cendekia antaranya ialah merubah maksudnya sudah tiba masanya kita adakan "Kita sudah memberi masa kepada orang memerintah ini selama 54 tahun dan kita sudah tidak harus lagi memberikannya lebih dari itu. "Kalau selama 54 tahun kita membenarkan ini berterusan yang salah ialah kita juga. "Oleh itu saya mengharapkan golongan anak-anak muda mengadakan satu tindakan yang berani untuk mengubahnya dan saya percaya hanya di tangan anak muda sahaja regime chance itu mungkin (berlaku)," katanya memberi semangat kepada anak muda. Sementara itu, SMM menganjurkan kepen ini bagi menyeru rakyat menjadikan media alternatif di seluruh Malaysia sebagai sumber media yang kukuh dan dekat di hati rakyat. Sabtu lalu, SMM memulakan kempen dengan  bertemu masyarakat Kuala Lumpur sambil memakai baju khas kempen yang tertera alamat laman sesawang media alternatif di Malaysia termasuk Harakahdaily serta melakukan edaran risalah serta buah tangan kepada warga kota. Sebelum majlis pelancaran semalam, berlangsungnya forum mengenai Lynas di dewan yang sama. SMM merupakan gabungan beberapa pertubuhan mahasiswa di seluruh Malaysia seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA), Pro Mahasiswa Nasional (PRO M), Kumpulan Anak Muda Independen (KAMI) & Malaysian Student & Youth Democratic Movement (DEMA).harakahdaily

Friday, April 2, 2010

Gengster Di Bawa Masuk Dalam DUN Perak?





KUALA LUMPUR 2 Apr - Ahli Dewan Undangan Negeri Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham mahu pihak polis memberi penjelasan berhubung kehadiran ramai individu yang tidak dikenali dan dikhuatiri terdiri daripada gengster semasa sidang Dewan Undangan Negeri Perak 30 Mac lalu.
Malah Ngeh juga mendakwa pihak polis telah mengeluarkan kata-kata ugutan kepada beliau serta mengertaknya ketika sidang DUN Selasa lalu.
"Saya mahu polis memberi penjelasan mengapa mereka berada di persekitaran Dewan dan di dalam Dewan. Dalam Dewan terdapat ramai orang asing, yang bukan berpakaian seragam, adakah mereka polis atau gengster? Polis mesti bertanggungjawab (terhadap keselamatan) sebab polis periksa semua ADUN yang hendak masuk Dewan, menggunakan mesin pengimbas. Kenapa mereka (polis) masukkan elemen luar ini? Siapa gengster ini yang mereka masukkan untuk mengertak kita, polis mesti jawab," tegas Ngeh yang juga Ahli Parlimen Beruas.
Kelmarin Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata kehadiran polis semasa persidangan itu berlangsung adalah di atas permintaan 'Speaker' Datuk R. Ganesan bagi menentukan keselamatan dan ketenteraman awam memandangkan kekecohan pernah berlaku pada persidangan DUN sebelum ini.
"Pihak polis tidak berada di dalam dewan sebaliknya hanya berkawal di luar dewan dan perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri," kata beliau.
Zulkifli juga berkata polis telah memulakan siasatan terhadap Ngeh berhubung dakwaannya terdapat pegawai dan anggota polis ditempatkan di dalam DUN semasa sidang pada Selasa dan Rabu lepas.
Pengerusi DAP Perak itu disiasat di bawah Seksyen (1) (a) Akta Hasutan 1948 kerana dipetik sebagai berkata: "Saya takut jika ada perbahasan dan ada mana-mana polis tidak suka kita, mereka akan tembak mati. Ini boleh berlaku kerana mungkin ada polis tidak suka dengan kita".
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyifatkan kenyataan Ngeh itu sebagai tidak bertanggungjawab dan jahat.
Ngeh bagaimanapun berkata beliau hanya meluahkan kerisauan mengenai keselamatan ADUN dengan kehadiran ramai anggota polis.
"Saya hanya meluahkan rasa kegelisahan saya. Masa perdebatan kita ahli-ahli Yang Berhormat tidak guna kekerasan hinggakan polis beritahu saya semasa saya di luar Dewan, dia (polis) kata kita tak ikut undang-undang kita ikut arahan, inilah kata-kata yang digunakan. Jadi saya kata kalau mereka tak suka hujah-hujah kita dan mereka ikut arahan (dan bukan undang-undang), kita mungkin dibunuh.
"Kenapa polis harus mengerumuni dalam Dewan. BN menggunakan pihak polis untuk mengertak kami samada pada 30 Mac atau semasa sidang di bawah pokok sebelumnya apabila polis menggunakan kekerasan tidak membenarkan kami masuk ke dalam Dewan. Kenapa polis menentang arahan Speaker V. Sivakumar dan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 124 yang membawa hukuman 7 tahun penjara.
Ngeh berkata beliau akan mempertahan kebebasan DUN Perak daripada dicengkam oleh mana-mana pihak.
 "Saya akan mempertahankan kebebasan Dewan Undangan Negeri hingga akhir hayat saya. Kenapa harus saya pergi ke Dewan di mana polis yang menguasai semua, di lorong, di verandah. Saya takut kerana kalau itu kekerasan yang dibuat oleh pihak polis ke atas Speaker V. Sivakumar dia boleh dicekik sampai mati.  
"Saya sebagai seorang demokrat tidak mahu melihat Perak sebagai sebuah negeri polis. Kalau kita cintakan negeri Perak kita mesti pertahankan kebebasan DUN, kalau ada mana-mana pihak hendak polis menguasai DUN atau Parlimen ini menunjukkan mereka derhaka kepada prinsip demokrasi negara kita," tegas Ngeh lagi.