Thursday, April 14, 2011

Nekad selamatkan bapa





JERAI 13 April – Meskipun masih bersekolah, dua beradik sanggup menggadai nyawa sehingga melecur teruk untuk menyelamatkan bapa mereka yang bertindak membakar diri sendiri dengan petrol di Kampung Ruat, Yan, di sini hari ini.
Mangsa, Badrul Amin Zinol, 14, dan adiknya, Amirul Hadi, 12, masing-masing melecur 44 peratus dan 32 peratus anggota badan dalam kejadian di rumah mereka pukul 7.15 pagi.
Bapa mereka, Zinol Ismail, 51, yang mempunyai rekod sakit mental dan pernah dua kali menerima rawatan di hospital pula melecur di seluruh badan dan dilaporkan kritikal.
Pemangku Ketua Polis Daerah Yan, Asisten Supritendan Syed Mohd. Nasir Syed Darus berkata, semasa kejadian, dua beradik itu berada di ruang tamu rumah apabila terhidu bau petrol dan asap dari bilik bapa mereka.
Katanya, mereka kemudian menendang pintu bilik tersebut yang berkunci dari dalam dan mendapati bapa mereka sedang dijilat api.
“Mereka cuba menyelamatkan Zinol dan semasa usaha itu, api turut menyambar kedua-duanya. Dua beradik itu saling cuba memadamkan api antara satu sama lain sebelum berlari keluar dari rumah untuk mendapatkan pertolongan jiran,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut Syed Mohd. Nasir, dua pelajar berkenaan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil, manakala bapa mereka yang kritikal dihantar ke Hospital Yan sebelum dirujuk ke HSB.
“Selepas rawatan kali kedua, dia dikatakan enggan lagi ke hospital serta tidak mahu mengambil ubat yang diperlukannya,” katanya yang menyiasat kes mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh diri.
Dalam pada itu, isteri Zinol, Salma Saad, 47, berkata, kebiasaannya, suaminya itu akan menghantar anak kelima mereka, Nurul Ain Farhana, 9, ke sekolah tetapi Zinol enggan berbuat demikian hari ini kerana mengadu letih.
Menurutnya, turut berada di rumah mereka semasa kejadian ialah anak bongsu mereka, Nur Amani Shuhada, 3, tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan. Badrul Amin dan Amirul Hadi merupakan anak ketiga dan keempat pasangan itu.
“Ketika dalam perjalanan ke Hospital Yan, suami saya meminta maaf kerana bertindak sedemikian sehingga menyebabkan dua anak kami turut tercedera.
“Saya tidak tahu kenapa dia sanggup bertindak membakar diri dan ia mungkin disebabkan tekanan kerana dalam masa dua bulan ini sikapnya yang ramah dan ceria bertukar kepada pendiam,” katanya.
-Utusan

Bayi kepala besar meninggal dunia



Jenazah Mohd. Irfan Mohd Iswadi dibawa keluar dari Hospital Tuaku Fauziah, Kangar, semalam. Turut kelihatan, ibunya, Norzana Zainon (kanan). - utusan/Faizal Abu Hassan


KANGAR 13 April - Mohd. Irfan Mohd. Iswandi, bayi yang menghidap penyakit hydrocephalus atau kepala besar, meninggal dunia pagi ini ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
Ibunya, Norzana Zainon, 26, berkata, Mohd. Irfan yang berusia sembilan bulan, demam sejak tiga hari lalu, namun pagi ini dia turut mengalami selesema sehingga terpaksa dihantar ke HTF kira-kira pukul 7 pagi.
Bagaimanapun setibanya di Unit Pediatrik HTF, doktor mengesahkan Mohd. Irfan telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan iaitu pukul 7.20 pagi.
"Mohd. Irfan memang kerap demam sejak kebelakangan ini, namun pagi ini dia mengalami selesema, malah tidak memberi tindak balas apabila kami bercakap dengannya," katanya ketika ditemui di Rumah Mayat HTF di sini hari ini.
Norzana berkata, anaknya itu sepatutnya menjalani pembedahan menukar tiub dalam badannya yang didapati tersumbat di Pulau Pinang pada 12 Mei ini.
Katanya, bulan lalu sahaja, Mohd. Irfan telah dibawa ke Unit Pediatrik HTF sebanyak tiga kali kerana demam menyebabkan berat badannya semakin susut.
"Kelmarin, kami sekali lagi bawa Mohd. Irfan ke HTF dan doktor memberitahu kami supaya bersiap sedia dan reda dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku," katanya.
Dalam pada itu, Norzana dan suaminya, Mohd. Iswandi Mohd. Aziz, 29, memberitahu, mereka reda dengan pemergian Mohd. Irfan.
"Kami telah berusaha memberi yang terbaik untuknya, namun Allah menetapkan setakat ini sahaja Mohd. Irfan bersama-sama kami," kata mereka.
Penderitaan Mohd. Irfan disiarkan oleh akhbar sejak 30 November 2010 dan mendapat perhatian rakyat dari seluruh negara, termasuk kerajaan negeri melalui Ahli Dewan Undangan Sena, Jamil Saad, Pergerakan Puteri UMNO Perlis dan Persatuan Kelab Belia Malaysia.
Sementara itu, jenazah Mohd. Irfan akan dikebumikan di kampung bapanya di Kampung Padang Menta, Simpang Empat di sini selepas solat Zuhur.
-Utusan

Pelajar pintar nikah di Thailand



BALING 13 April - Pelajar pintar yang pernah menghilangkan diri, Halimaton Abdul Rashid, 16, dikatakan telah bernikah dengan teman lelakinya, Adam di selatan Thailand, minggu lalu.
Perkembangan terbaru itu cukup merunsingkan keluarga terutama ibunya, Normah Abdul Mutalib, 45, yang terkejut dengan tindakan anak gadisnya.
"Dia telah bernikah dengan pemuda tersebut di selatan Thailand minggu lalu dan kini tinggal bersama di Langkawi," kata Normah ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pelajar tingkatan empat tersebut ketika menghubungi keluarganya dua hari lalu selepas dia menghilangkan diri buat kali kedua baru-baru ini.
Pada 22 Mac tahun lalu, Halimaton yang memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2007, menyebabkan kegemparan apabila didapati hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani sebelum ditemui tinggal bersama teman lelakinya di Langkawi.
Selepas dipujuk, Halimaton berjaya dibawa pulang ke pangkuan keluarga dan diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Utusan Malaysia difahamkan keluarga Halimaton telah menemui anak dan 'menantunya' hasil kerjasama UMNO Bahagian Baling yang diketuai Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Ir. Nawawi Ahmad semalam, bagi menyelesaikan masalah yang berlaku antara mereka.

Presiden Czech dicemuh curi pen

PRAGUE 13 April - Media Czech menegur Presiden Vaclav Klaus selepas penyebaran video di Internet yang menunjukkan dia memasukkan sebatang pen rasmi ke dalam poket secara perlahan-lahan ketika mengunjungi Chile dan disifatkan penonton sebagai mencuri.
Video yang berjudul 'Presiden Republik Czech mencuri sebatang pen' menunjukkan Klaus mengagumi pen itu ketika di sebuah sidang akhbar bersama Presiden Chile, Sebastian Pinera, dan memegangnya di bawah meja lalu memasukkannya ke dalam poket.
Video tersebut ditonton lebih 100,000 orang dalam tempoh dua hari dan menggemparkan media dengan berita di televisyen menayangkan video itu berulang kali dan akhbar melaporkannya di muka depan.
Jurucakap presiden, Radim Ochvat berkata Klaus mempunyai hak untuk mengambil pen tersebut kerana pen dan buku nota sentiasa diberikan kepada presiden dan delegasi yang mengunjungi tempat mereka tetapi pengguna Internet tetap mahu melabelkan presiden sebagai pencuri. - Reuters, Utusan

Lebih 700 dipindahkan pelantar minyak tenggelam



PELANTAR yang menempatkan kawasan tempat tinggal pekerja senget sebelah sebelum tenggelam sepenuhnya di Teluk Mexico di perairan Ciudad del Carmen, Mexico, kelmarin. - REUTERS


MEXICO CITY 13 April - Seramai 713 pekerja pelantar minyak dipindahkan apabila pelantar yang menjadi tempat tinggal pekerja di Teluk Mexico runtuh, semalam, kata syarikat minyak milik kerajaan, Petroleos Mexicanos (Pemex).
Tiada kebocoran minyak berlaku dan tiada laporan kecederaan di pelantar Flotel Jupiter, kira-kira 80 kilometer dari Campeche, Teluk Mexico.
Pada mulanya, seramai 638 pekerja dipindahkan selepas air memasuki sebahagian daripada kemudahan itu dan menyebabkan ia menjadi condong tetapi Pemex menyatakan kesemua pekerja di platform itu dipindahkan menjelang waktu petang.
Pemex berkata, selepas beberapa cubaan untuk membaiki kemudahan itu, platform tersebut karam dan tenggelam malam tadi. - AFP

Siasat jurang cukai RM2.2b



KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf, menegaskan pihaknya mengutip cukai bagi duti import sepanjang tahun lalu sebanyak RM7.8 bilion daripada yang dijangkakan kerajaan iaitu RM10 bilion.
Kekurangan RM2.2 bilion yang diistilahkan sebagai jurang cukai itu dipercayai berlaku disebabkan gejala rasuah selain pasaran gelap membabitkan antaranya kegiatan pengedaran dadah, penyeludupan manusia dan perjudian.


Disebabkan ketegasan kerajaan membanteras kebocoran hasil negara itu, sebuah pasukan khas ditubuhkan menerusi Operasi 3B yang antaranya dianggotai JKDM, Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Menurut Khalid, 20 pegawai dan anggota JKDM turut serta dalam pasukan penyiasat itu bagi mengesan semula jurang cukai berkenaan.


“Mereka adalah pegawai dan anggota pakar dalam bidang masing-masing seperti pakar komputer, komputer forensik serta pakar dalam import dan eksport,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran persidangan Persatuan Pengilang Malaysia (FMM) dengan JKDM di Hotel Hilton, di sini, semalam.


Menceritakan perkembangan kes rasuah membabitkan pegawai dan anggota kastam yang sedang disiasat SPRM, Khalid berkata, dia tidak menolak dakwaan ada anggota terbabit dalam tindakan tidak bermoral itu.

Cinta 6 bulan



SHAH ALAM: Seorang wanita memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini, dia menjalin hubungan cinta selama enam bulan dengan artis popular 80-an, Raisuddin Hamzah, sebelum menjadi isteri kedua lelaki itu apabila mereka bernikah di Songkhla, Thailand, pada awal 2007.
Siti Fatimah Suberi, 24, bagaimanapun berkata, tiada pihak yang tahu mengenai percintaan mereka selepas kedua-duanya berkenalan apabila lelaki itu bertandang ke kedai makan bapanya di Ukay Perdana, Ampang, dekat sini.


Bekas pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Batang Berjuntai itu berkata, dalam perkenalan singkat itu, dia dan Raisuddin ada merancang untuk bernikah di negara jiran. Dia berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Norazmi Mohd Arif pada perbicaraan permohonan bapanya, Suberi Abdullah untuk memfaraqkan (membubarkan) pernikahannya dengan Raisuddin, semalam.


Raisuddin 55, menikahi Siti Fatimah sebagai isteri keduanya di negara jiran pada malam sambutan tahun baru 2007.


Suberi, 51, kemudian memfailkan permohonan faraq nikah pasangan itu mengikut Seksyen 62(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 pada 26 Oktober 2007.


Dia membuat permohonan itu atas alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan mengenai pernikahan itu.


Kes itu didengar serentak bersama permohonan pengesahan nikah pasangan itu.


Siti Fatimah berkata, dia secara sukarela dan tidak dipaksa oleh mana-mana pihak apabila mahu melangsungkan pernikahan dengan Raisuddin tanpa memaklumkan bapanya. “Saya tidak maklumkan kepada bapa (kerana tahu) dia tidak bersetuju (saya bernikah dengan Raisuddin),” katanya. Ditanya Norazmi kenapa bapanya memiliki pendapat sedemikian, Siti Fatimah hanya berkata: “atas alasan peribadi”. Terdahulu, wanita itu memberitahu mahkamah, dia tidak bersetuju dengan permohonan Suberi kerana yakin pernikahannya menggunakan wali hakim itu adalah sah di sisi syarak. “Saya yakin kerana saya ada surat dari Konsulat Malaysia di Songkhla, Islamic Community of Songkhla dan surat pengesahan nikah dari Pejabat Agama Islam Gombak Timur,” katanya.
Menyentuh mengenai dakwaan Suberi yang mahu menjodohkan dia dengan anak lelaki Raisuddin, Siti Fatimah berkata dia langsung tidak mengenali lelaki yang dimaksudkan itu. “Kenal pun tidak. Saya memang tidak kenal anak lelaki dia (Raisuddin),” katanya.


Bagaimanapun, Siti Fatimah mengakui pernah mengenali anak doktor yang dikatakan Suberi sebagai calon menantu kedua untuk anaknya itu.


“Saya pernah berjumpa tetapi hubungan kami hanya sekadar sebagai kawan saja. Saya tidak pernah merancang untuk berkahwin dengan anak doktor terbabit,” katanya.


Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Zainor Rahid Hassin bersambung 23 Mei depan.

Tak masuk akal



KUALA LUMPUR: Membalas segala kebaikan dan pengorbanan isteri yang selama ini bersama menempuh kesenangan serta kepayahan hidup menggunakan kekerasan adalah tindakan terlampau yang tidak dapat diterima akal, kata penceramah bebas dan Pengetua Program Imam Muda, Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz.
Beliau berkata, ikatan perkahwinan yang dibina berlandaskan dasar cinta dan kasih sayang sejak awal hubungan perlulah diteruskan tanpa mengambil kira faktor luaran seperti usia mahupun paras rupa selain mempraktikkan sifat positif serta romantik bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga.


“Rasa cinta dan kasih yang wujud dalam hati dua insan harus disemai untuk mengelak berlakunya sebarang masalah ataupun kesulitan dalam hubungan selain pasangan terutama yang sudah berusia digalakkan untuk lebih mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.


“Kukuhnya hubungan antara individu itu dengan penciptanya banyak mempengaruhi sifat dan tingkah laku seharian. Sikap negatif antaranya panas baran sama ada si suami mahupun isteri dapat dielakkan apabila individu itu mempunyai pegangan agama yang kukuh,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.


Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai tindakan kejam seorang warga emas berusia lewat 60-an yang bukan saja memukul isterinya menggunakan tongkat malah turut kencing di muka wanita terbabit yang dikahwininya selama 26 tahun.


Kejadian mengaibkan itu berlaku di hadapan rumah pasangan terbabit apabila mangsa yang ketika itu menyapu sampah meminta bantuan suaminya untuk membuang sampah ke dalam tong di hadapan rumah menyebabkan lelaki terbabit berang dan menumbuk muka selain memukul mangsa menyebabkan wanita terbabit terjatuh.


Selepas puas membelasah isterinya, lelaki terbabit hilang pertimbangan bertindak jijik kencing di muka dan tubuh mangsa sebelum meninggalkan rumah dan masih tidak pulang sehingga kini.


Hassan berkata, tindakan kejam warga emas terbabit melakukan beberapa penyiksaan sehingga kencing ke atas muka isterinya satu tindakan jelas membelakangi agama dan dilaknat Yang Maha Esa.
“Ini adalah peristiwa menyedihkan kerana isteri seharusnya dijaga dan dibelai dengan limpahan kasih sayang suami diperlakukan sebegini. Sepatutnya lelaki terbabit perlu mensyukuri anugerah kerana masih dipanjangkan usia,” katanya.

Mariah, suami bogel untuk OK!


HOLLYWOOD: Penyanyi Mariah Carey dikhabarkan sudah dua kali menjalani sesi fotografi bogel ketika hamil untuk kulit muka depan majalah.
Sesi yang pertama, gambar Mariah diambil bersendirian tetapi untuk sesi fotografi kedua, Mariah mengajak suaminya ikut serta. Dalam sesi fotografi bersama majalah OK!, penyanyi berusia 42 tahun itu bergaya bogel sambil memegang perutnya yang besar. Sementara suaminya, Nick Cannon pula berdiri memeluknya dari belakang sambil menutup bahagian dada penyanyi itu. Pada awalnya Cannon dan Mariah berhasrat untuk meletakkan gambar itu di kediaman mereka. Namun, Cannon mengaku dia gelisah dengan tanggapan anak mereka sekiranya melihat gambar itu apabila mereka sudah besar kelak.

“Anak saya akan melihat gambar itu dan tentunya tidak elok untuk mereka,” kata pengacara 'America's Got Talent' dalam siaran radio, 'Rollin' with Nick Cannon' itu. Cannon juga tidak mahu gambar itu memberi kesan negatif kepada anak mereka yang mungkin diejek rakan jika mereka melihatnya.
metro

Hosni, 2 anak ditahan


KAHERAH: Pendakwa raya Mesir semalam mengumumkan menahan Hosni Mubarak selama 15 hari bagi membolehkan bekas presiden itu disiasat atas dakwaan rasuah, salah guna kuasa dan membunuh penunjuk perasaan.
Pengumuman itu adalah perkembangan dramatik terkini terhadap pemimpin diktator Mesir itu dan dibuat beberapa jam selepas dia dimasukkan ke hospital di Sharm el-Sheikh kerana masalah jantung.

Sejak disingkirkan pada 11 Februari lalu, rakyat menuntut pihak berkuasa menyiasat salah laku Hosni serta kebanyakan menterinya.

Penahanan itu diumumkan pejabat pendakwa raya dalam Facebook.

Selain rasuah, Hosni, 82, juga disiasat atas penyelewengan dana awam dan salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi.

Dalam pengumuman berasingan beberapa jam sebelumnya, pendakwa raya menyatakan dua anak lelaki Hosni disoal siasat dan ditahan.

“Pendakwa raya mengarahkan penahanan Hosni dan anaknya, Gamal dan Alaa, selama 15 hari untuk siasatan,” kata pengumuman terbaru itu.

Dipercayai Hosni akan terus berada di hospital sepanjang tempoh penahanan itu.

Akaun Facebook itu dibuka sebagai cara Kementerian Keadilan berhubung dengan keluarga mangsa pembunuhan dan keganasan sepanjang tempoh 18 hari protes menggulingkan Hosni pertengahan Februari lalu.

Di sebalik siasatan itu, hubungan tentera - yang mentadbir Mesir sejak Hosni disingkirkan - dan penunjuk perasaan menjadi buruk sejak beberapa minggu lalu.

Menurut penunjuk perasaan, siasatan lembap dijalankan. Mereka juga mengecam tentera kerana berbaik-baik dengan rejim lama serta lewat mengheret Hosni untuk dibicarakan ketika beratus-ratus orang awam ditahan di penjara kerana menunjuk perasaan bulan lalu.

Sesetengah mereka dibicarakan di mahkamah tentera. - AP

Negara Barat, Arab mahu Gaddafi berundur


DOHA: Kumpulan negara Barat dan Arab untuk pertama kali menggesa Muammar Gaddafi berundur tetapi negara anggota NATO bercanggah pendapat berhubung gesaan ditingkatkan serangan udara bagi menggulingkan beliau. 


Pendirian itu satu kemenangan moral bagi Britain dan Perancis yang mengetuai serangan udara dan menggesa perubahan rejim di Libya.
"Gaddafi dan rejimnya sudah kehilangan semua hak dan perlu berundur bagi membolehkan rakyat Libya menentukan masa depan mereka," menurut pernyataan terakhir mesyuarat bersama kumpulan negara Eropah, Liga Arab, Kesatuan Afrika dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Doha yang diperoleh Reuters.
Kumpulan itu juga bersetuju memberikan "bantuan kebendaan" kepada pemberontak Libya. 

Walaupun pernyataan itu tidak menyatakan butirannya, diplomat berkata sebilangan negara mungkin menafsirkannya sebagai pembekalan senjata. - Reuters 

Mubarak ditahan 15 hari untuk soal siasat


KAHERAH: Mesir mengarahkan bekas Presiden, Hosni Mubarak ditahan selama  15 hari  untuk disoal siasat berhubung dakwaan beliau menyalahguna kuasa semasa 30 tahun  memerintah,  menyeleweng dana dan mengarahkan penunjuk perasaan dibunuh. 


Televisyen Mesir melaporkan Mubarak, 82, serta dua anak lelakinya, Gamal dan Alaa akan dihadapkan seorang hakim di  Kaherah Selasa depan untuk disoal selepas pihak pendakwaraya mengarahkan mereka ditahan.
Ahad lalu, Mubarak menafikan sebarang salah laku.
Kelmarin, beliau dimasukkan ke unit rawatan rapi sebuah hospital di Sharm el-Sheikh selepas mengalami apa yang dilaporkan media sebagai "krisis jantung". - Reuters , bharian

Polis arah pelakon buat 4 terjunan



  PELAKON lagak ngeri  cuba terjun dari bangunan SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, semalam.
PELAKON lagak ngeri cuba terjun dari bangunan SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, semalam.
KUALA LUMPUR: Pasukan penyiasat kes kematian Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, semalam kembali ke lokasi kejadian di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini. 

Dalam siasatan semalam, penyiasat yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri bagi melakonkan semula situasi sebenar pada hari kejadian.
Sepanjang siasatan bermula jam 9 pagi hingga 2 petang itu, pelakon lagak ngeri diminta melakonkan semula cara bagaimana mangsa terjatuh dari tingkat tiga sebelum mayatnya ditemui di gelanggang badminton di tingkat satu, pada 6 April lalu.
Malah, pelakon itu dipilih berdasarkan berat badan sama dengan mangsa serta dipakaikan seluar dan baju kemeja yang sama seperti dipakai mangsa pada hari kejadian. 

Chin Wah berkata, pelakon diminta melakukan empat terjunan pelbagai posisi dengan dirakam empat kamera dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti bagaimana mangsa terjatuh dari tingkat tiga. 

“Selain cuba mendapatkan gambaran sebenar bagaimana mangsa terjatuh, kita menyiasat kecederaan dialami jika terjatuh dari tingkat tiga dengan disaksikan pakar terbabit bedah siasat mangsa,” katanya. 

-bharian

Koh Hyun-jung terima bayaran termahal


Koh Hyun-jung
Koh Hyun-jung

SEOUL: Aktres Koh Hyun-jung, 40, dibayar 55 juta won (RM152,327) bagi satu episod dalam drama bersiri SBS berjudul Daemul atau President, yang disiarkan tahun lalu di beberapa negara termasuk Malaysia yang menjadikannya pelakon Korea paling mahal dibayar untuk produksi drama. 


Akhbar Korean Times melaporkan rekod sebelum ini dipegang, Choi Ji Woo yang dibayar 48 juta won (RM132,979) satu episod untuk drama Star’s Lover, disiarkan pada 2008.
Sumber industri kelmarin memberitahu, Koh menerima kira-kira 1.3 bilion won (RM3.6 juta) untuk drama bersiri itu termasuk bayaran penggambaran luar. Sebelum ini, Koh dibayar 35 juta won (RM96,963) untuk satu episod bagi drama MBC H.I.T pada 2007.


Jumlah 55 juta won itu adalah tiga kali lebih tinggi daripada had yang ditetapkan Persatuan Produksi Drama Korea (CODA) pada 2007 iaitu hanya 15 juta won (RM41,555). 


Ketika ini, hanya 13 bintang Hallyu yang dikeluarkan daripada bayaran siling yang ditetapkan kerana sumbangan mereka yang berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Jepun, kata sumber. 


Tiga belas bintang itu ialah Bae Yong-joon, Jang Dong-gun, Lee Byung-hun, Song Seung-hun, Rain, Jung Woo-sung, Kwon Sang-woo, Won Bin, So Ji-sub, Choi Ji-woo, Lee Young-ae, Song Hye-kyo dan Park Yong-ha. Koh tidak termasuk dalam senarai itu. – Agensi. 

Lady Gaga dikecam aktivis




Lady Gaga
Lady Gaga

Video terbaru penyanyi didakwa menghina fahaman Katolik 
LONDON: Penyanyi Lady Gaga dikecam aktivis hak asasi Katolik kerana penggunaan imej agama kontroversi dalam single terbarunya berjudul Judas.
Akhbar Dailystar.co.uk melaporkan penyanyi itu menggunakan kitab Injil dalam video muzik terbarunya itu, di mana beliau menggambarkan dirinya sebagai Mary Magdalene dan pelakon Norman Reedus sebagai Judas.
Video itu dijangka dikeluarkan hujung bulan ini, namun ia sudah mencetuskan kemarahan daripada Ketua Liga untuk Agama dan Hak Asasi Umum Katolik. 


Bill Donohue, presiden organisasi hak awam, menuduhnya menggunakan taktik menggemparkan dan pemujaan Kristian untuk mengembangkan kerjayanya. 


Beliau memaklumkan HollywoodLife.com, “Ini adalah satu gimik.. Lady Gaga cuba terus mengejutkan golongan Katolik dan Kristian secara umum, beliau berpakaian seperti seorang biarawati, beliau menelan tasbih. 


“Beliau cuba memecah mengeksploitasi pemujaan Kristian untuk menaikkan persembahan beliau yang tidak berbakat, berbentuk duniawi dan membosankan. 
“Seorang lagi bekas penganut Katolik yang sudah bingung. Apakah ini satu-satunya cara bagi beliau untuk memperbaiki persembahannya?,” kata Donohue. – Agensi , bharian