Thursday, December 11, 2014

Utusan Melayu diarah bayar RM250,000


Oleh Sarah Zulkifli
Kuala Lumpur : Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan Melayu) membayar RM250,000 kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang kerana memfitnahnya dalam satu artikel berhubung pelantikan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.
Hakim Datuk Yeoh Wee Siam membuat keputusan itu selepas mendapati Lim selaku plaintif berjaya membuktikan kesnya terhadap Utusan Melayu (defendan).
Mahkamah turut memerintahkan Utusan Melayu membayar kos sebanyak RM250,000.
Lim yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 18 Ogos tahun lalu menyiarkan artikel bertajuk Kit Siang manipulasi CEC? yang didakwa mengandungi perkataan berunsur fitnah.
Oleh itu, Kit Siang selaku plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 4:02 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/15154#sthash.iuUc6AD7.dpuf

Koruptor kena ‘rejam’


Brebes, Jawa Tengah: Aktivis antirasuah Brebes mempunyai cara tersendiri menanamkan kebencian dalam kalangan orang awam terhadap amalan itu dengan membina ‘jamrah’ di daerah itu semalam.
Pada tiang khas itu dilekatkan gambar 73 tokoh yang disabitkan kesalahan rasuah oleh pihak berkuasa Indonesia.
Antaranya ialah bekas pelakon, Angelina Sondakh dan pemimpin kanan Parti Demokrat pimpinan Susilo Bambang Yudhoyono, M Nazaruddin.
Penyelaras Gerakan Banteras Rasuah Brebes, Darwanto berkata, acara merejam batu ke arah potret perasuah itu mirip seperti ibadah melontar ketika haji.
“Lontaran itu dibuat untuk memerangi syaitan,” katanya.
Acara itu dibuat di padang awam Brebes.
Seramai 200 aktivis antirasuah dan pelajar bekerjasama menampal poster pesalah rasuh itu pada tiang buluh untuk direjam.
Penduduk setempat dan pengguna jalan raya turut menyertai acara itu dengan membaling batu atau tomato busuk ke arah poster berkenaan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 9:14 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/15136#sthash.bWVW7AMJ.dpuf

Joget basmi rasuah

Makassar: Gabungan badan pemerintah Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (POLRI) mempunyai cara tersendiri mengajak orang ramai menyertai kempen antirasuah, semalam.
Dengan berpakaian seragam, sekumpulan wanita anggota pasukan keselamatan itu mempersembahkan tarian dengan iringan muzik dari sebuah kenderaan di bawah jejantas jalan utama Makassar.
Melihat aksi yang jarang-jarang dilakukan itu, pengguna jalan raya ternyata gembira apabila mereka kelihatan tersenyum dan terhibur.
Sambil berjoget, pegawai kanan polis Makassar, Suswati sempat menyampaikan nasihat kepada orang ramai yang ingin mengadakan demonstrasi sempena Hari Antirasuah Antarabangsa yang disambut semalam.
Kata Suswati, bantahan dan harapan rakyat boleh disampaikan dengan santun, tertib dan bebas anarki.
Turut hadir, Ketua Polis Sulawesi Barat, Anton Setiadji yang kemudian menyertai tarian berkenaan bersama sejumlah pegawai kanan lain.
Selesai acara tarian dipersembahkan, peserta membentangkan pelbagai sepanduk.
Antaranya bertulis “TNI/POLRI mendukung pembanterasan korupsi” dan “Banteras Korupsi di Sulawesi Hingga Ke Akar-akarnya.”
Anton berkata, kempen Hari Antirasuah itu juga diadakan untuk mengeratkan hubungan antara TNI dan POLRI.
“Memang jelas kami menyokong kempen membasmi rasuah dan kami menggunakan kaedah pujukan untuk menjayakannya,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 9:17 AM


SEBAHAGIAN daripada anggota tentera dan polis menyertai tarian sebagai kaedah mengajak orang ramai membenci rasuah di Makassar, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/15138#sthash.3vRKxVDQ.dpuf

Jokowi dinasihat jangan rai Krismas


Jakarta: Seorang pendakwah semalam menggesa Presiden Joko Widodo Jokowi tidak menghadiri perayaan Krismas.
Ustaz Yusuf Mansur dalam akaun Twitter peribadinya semalam berkata, gesaan itu dibuat sebagai bukti kasih dan sayangnya terhadap Jokowi.
“Sebaiknya Pak Jokowi tidak menghadiri acara sambutan Krismas. Cukup saja dengan memberi keyakinan dan kepastian bahawa sambutan itu akan aman,” tulis Yusuf.
Menurutnya, memang Jokowi perlu menjadi presiden untuk penganut pelbagai agama tetapi beliau tidak sepatutnya bersama-sama meraikan perayaan keagaamaan seperti Krismas kerana presiden itu beragama Islam dan harus ada batas dalam hal itu.
Yusuf juga menasihatkan masyarakat Islam Indonesia lain supaya tidak turut merayakan Krismas. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:06 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/15226#sthash.qxuDDiRP.dpuf

Jokowi enggan ampunkan pengedar dadah


Jakarta: Presiden Jokowi semalam berikrar tidak memberikan pengampunan kepada pengedar dadah yang dihukum mati, termasuk beberapa warga asing.
Berdepan dengan kritikan kumpulan hak asasi manusia, Jokowi berkata, seramai 64 orang yang disabitkan kesalahan mengedar dadah akan menghadapi skuad penembak tepat bagi menjalani hukuman mati.
“Tiada pengampunan bagi isu ini,” katanya di depan kumpulan pelajar di Jogjakarta.
Kenyataan itu menghapuskan harapan sesetengah pihak untuk melihat Jokowi - yang dilantik sebagai presiden Oktober lalu - bersikap lebih lembut terhadap pesalah dadah.
Turut menunggu masa ditembak mati ialah dua warga Australia, Andrew Chan dan Myuran Sukumaran, yang menjadi sebahagian daripada kumpulan “Bali Sembilan” untuk menyeludup heroin ke Indonesia.
Seorang lagi warga asing ialah nenek dari Britain, Lindsay Sandiford, yang cuba membawa masuk kokain.
Kata Jokowi, dia percaya semua pihak menyedari Indonesia kini menghadapi darurat dadah.
Katanya, ada sehingga 50 anak muda Indonesia mati setiap hari akibat penyalahgunaan dadah, selain wujud 4.5 juta penagih di negara itu.
Sementara itu anggota Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia, Roichatul Aswidah berkata, kenyataan Jokowi itu mengejutkan.
“Hak seseorang untuk hidup tidak boleh dihadkan atas apa sebab sekali pun,” katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:10 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/15277#sthash.TZqYs384.dpuf

Jusuf: Prestasi Susi luar biasa

Jakarta: Selepas dua bulan dilantik, Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia menunjukkan prestasi yang membanggakan di mata Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.
Kata Jusuf, walaupun cuba mendapat pendidikan di peringkat sekolah menengah, Susi Pudjiastuti mempamerkan keupayaan luar jangka.
“Dia mengambil formula yang tepat sehingga semua orang gentar,” katanya.
Bermula dengan pedagang ikan, Susi membina empayar perniagaannya dengan baik sehingga berjaya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Susi Air - sebuah syarikat penerbangan swasta.
Sejak dilantik menjadi menteri, Susi memperkenalkan pelbagai dasar baru, termasuk bertegas terhadap bot nelayan yang menceroboh perairan Indonesia.
Daripada semua anggota Kabinet Kerja Presiden Jokowi, hanya Susi tidak memiliki sebarang ijazah.
Mengenang semula pemilihan Susi, Jusuf berkata, dia mengingatkan Jokowi bahawa wanita itu tidak mendapat pendidikan tinggi.
Namun, kata Jusuf, Jokowi menegaskan syarat minimum seseorang boleh dilantik sebagai menteri hanya tamat sekolah menengah.
“Maka, Jokowi berpendapat Susi sesuai dengan jawatan yang ingin diberi,” katanya.
Menurut Jusuf, undang-undang Indonesia memang agak rencam kerana kelayakan minimum seorang presiden adalah sekolah menengah atas walaupun gabenor mesti memiliki sarjana.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:10 AM


SUSI Pudjiastuti
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/15279#sthash.xb5KmkSI.dpuf

Buruh beri kata dua

AFP
Jakarta: Pekerja Indonesia mengancam mengadakan mogok di seluruh negara jika kerajaan gagal memenuhi tuntutan bersama mereka.
Jurucakap Persekutuan Kesatuan Pekerja Logam Indonesia (FSPMI), Rusdi berkata, mereka akan melihat bagaimana reaksi kerajaan terhadap tuntutan yang dibuat dalam perhimpunan semalam.
“Jika tiada sebarang respon dibuat, mogok di seluruh negara akan dijalankan,” katanya.
Semalam, ribuan pekerja mengadakan perhimpunan di Jakarta bagi menolak keputusan kerajaan menaikkan harga minyak, selain menuntut pelaksanaan gaji minimum serta mendesak kerajaan mengoptimumkan perkhidmatan insurans kesihatan.
Turut menyertai perhimpunan itu ialah Persekutuan Kesatuan Pekerja Indonesia (KSPI), Gabungan Buruh Bebas dan Kesatuan Pekerja Kebangsaan.
Persekutuan Pekerja Seluruh Indonesia yang bertindak sebagai satu daripada penganjur berkata, dianggarkan 50,000 orang menyertai demonstrasi semalam, tetapi menjelang tengah hari, hanya beberapa ribu yang hadir.
Jumlah itu berbeza daripada janji pemimpin kesatuan minggu lalu untuk menggerakkan jutaan orang ke perhimpunan itu.
Bulan lalu Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama meluluskan kadar gaji minimum bernilai Rp2.7 juta (RM760) sebulan untuk tahun depan.
Bagaimanapun nilai gaji minimum dituntut kesatuan sekerja ialah sekurang-kurangnya Rp3 juta (RM845).
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:10 AM


PEKERJA menghalang jalan raya ketika berdemonstrasi di Hotel Bundaran di Jakarta, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/15281#sthash.bHrweqmg.dpuf

Senat dedah kekejaman CIA


AFP - GAMBAR fail bertarikh 14 Ogos 2008 menunjukkan seorang lelaki berjalan melintasi lambang CIA di ibu pejabat agensi perisikan itu di Langley, Virginia, Amerika Syarikat.


WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) melakukan kekejaman terhadap berpuluh-puluh suspek pengganas menggunakan taktik soal siasat yang me­nukar beberapa buah penjara rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) menjadi tempat penyeksaan dan kesengsaraan.
Kaedah soal siasat tersebut gagal menjadikan AS lebih selamat selepas serangan pengganas pada 11 September 2001, menurut satu jawatankuasa Senat.
Jawatankuasa Perisikan Senat dalam laporannya, menuduh CIA berbohong kepada pemerintah berhubung aktiviti di penjara rahsia itu dan menipu rakyat AS bahawa taktik menyeksa tahanan berkesan dalam melin­dungi keselamatan negara.
Laporan itu yang disiarkan kelmarin merupakan pendedahan umum pertama berhubung taktik soal siasat yang digunakan CIA selepas insiden 11 September. Ia antara lain mendedahkan bahawa CIA menggunakan taktik soal siasat lebih kejam berbanding yang diketahui sebelum ini.
Antara taktik yang digunakan agensi perisikan AS itu termasuk mengurung tahanan di dalam kotak kecil, melemaskan, menampar, menghantuk dan mengugut untuk membunuh atau merogol anggota keluarga mereka.
Mengulas laporan sama, Pre­siden Barack Obama mengisytiharkan bahawa amalan menyoal siasat suspek pengganas yang dikendalikan CIA sebagai kejam.
“Ia menggambarkan penyeksaan di minda saya. Kita (AS) bukan begitu,” kata Obama dalam satu temu bual bersama rangkaian televisyen Sepanyol, Telemundo.
Obama turut memberitahu, adalah penting laporan itu didedahkan kepada orang ramai.
“Ia penting supaya kita bertanggungjawab dan rakyat faham kenapa saya mengharam­kan amalan tersebut apabila saya mentadbir negara,” kata­nya.
Taktik keras CIA itu diluluskan semasa pentadbiran Pre­siden George W. Bush pada 2002 tetapi beliau tidak dimaklumkan secara terperinci me­nge­nainya sehingga 2006.
Pada masa itu, Bush melahirkan perasaan kurang senang apabila imej tahanan CIA dirantai pada siling dan memakai lampin.
Laporan tersebut adalah setebal 500 muka surat dan me­rupakan rumusan eksekutif daripada laporan siasatan penuh merangkumi 6,700 muka surat. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3LXu0hRuB 
Hakcipta terpelihara 

MH370 hangat di Facebook


Terpilih dalam 10 topik perbualan utama di laman sosial

ukiran pasir turut dibina di pantai Puri oleh artis seni India,
UKIRAN pasir turut dibina di pantai Puri oleh artis seni India, Sundersan Pattnaik sebagai tanda sokongan ekoran kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu. – AFP
CALIFORNIA 10 Dis. - Syarikat penerbangan Malaysia, Malaysia Airlines (MAS) tersenarai sebagai antara 10 topik paling hangat dibincangkan dalam kalangan kira-kira 1.3 bilion pengguna laman sosial Facebook sepanjang tahun ini.
Menurut laporan portal Mail Online, misteri kehilangan pesawat MAS, MH370 pada 8 Mac lalu menduduki tempat ketujuh dalam senarai yang dikeluarkan oleh Facebook sebagai topik paling hangat dibincangkan di seluruh dunia.
Malah topik MH370 berada pada senarai ketiga isu paling banyak diperkatakan di pengguna Facebook di Australia selepas topik membabitkan kematian pelakon komedi terkemuka, Robin Williams dan Perdana Menteri Tony Abbott.
Kejohanan Piala Dunia 2014 pula menduduki carta teratas topik paling hangat di Facebook pada tahun ini memandangkan kira-kira 500 juta peminat bola sepak di seluruh dunia menggunakan rangkaian tersebut.
Penyebaran wabak Ebola yang melanda di negara-negara Afrika berada pada kedudukan kedua topik paling banyak dibincangkan dalam Facebook selepas virus maut itu telah meragut lebih 6,000 nyawa.
Konflik selama 50 hari di Genting Gaza, Palestin bermula 8 Julai sehingga 26 Ogos lalu turut menjadi bualan hangat pengguna Facebook apabila berada di senarai keenam carta selepas menyaksikan peperangan antara kumpulan pejuang sayap Hamas, Briged al-Qassam menentang tentera Israel.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mh370-hangat-di-facebook-1.35004#sthash.QM03um45.dpuf

Jepun kecam filem Angelina Jolie


LONDON 10 Dis. – Kumpulan nasionalis Jepun melabel pelakon Angelina Jolie sebagai ‘syaitan’ dan menggesa dia dilarang daripada memasuki negara tersebut selepas filem arahan pertamanya, Unbroken memaparkan gambaran tidak benar tentang pengawal penjara Jepun ketika berlakunya Perang Dunia Kedua.
Angelina Jolie
Mail Online melaporkan, Unbroken yang akan ditayangkan di United Kingdom (UK) pada 26 Disember ini diadaptasi daripada buku biografi tulisan Laura Hillenbrand menceritakan tentang kisah benar bekas tentera Amerika Syarikat (AS), Louis Zamperini yang menjadi pemenang pingat emas sukan Olimpik.
Buku biografi yang diterbitkan pada tahun 2010 itu menimbulkan kemarahan selepas memaparkan banduan AS yang ditahan oleh tentera Jepun telah dipukul, dibakar dan dibunuh sama ada ditembak atau menjadi bahan uji kaji perubatan.
Kumpulan nasionalis Jepun menyifatkan filem Unbroken sebagai tidak ‘tulen’, tiada kredibiliti dan bersifat perkauman.
“Ini adalah satu karya palsu, tiada pengesahan dibuat tentang perkara-perkara yang disiarkan.
“Filem ini tidak mempunyai kredibiliti dan tidak bermoral,” kata Setiausaha Agung Persatuan Penyebaran Fakta Sejarah, Hiromichi Moteki.
Selain itu, satu petisyen turut dikeluarkan di laman web Change.org bagi mengutuk tindakan Jolie menghasilkan filem tersebut yang sehingga kini sudah mendapat lebih 8,000 tanda tangan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jepun-kecam-filem-angelina-jolie-1.35002#sthash.uQNrRukf.dpuf

Senat dedah kekejaman CIA


Kebanyakan tahanan suspek pengganas akan diseksa menggunakan pelbagai
Kebanyakan tahanan suspek pengganas akan diseksa menggunakan pelbagai keadah bagi mendapatkan maklumat tentang aktiviti keganasan yang mereka lakukan. – AGENSI
WASHINGTON 10 Dis. – Laporan Senat Amerika Syarikat semalam mendedahkan penderaan kejam dilakukan Biro Penyiasatan Pusat (CIA) terhadap suspek al-Qaeda yang melampaui had ditetapkan termasuk menggunakan kaedah ‘waterboarding’.
Menurut Jawatankuasa Risikan Senat dalam laporan sebanyak 500 muka surat itu, bukti daripada fail-fail CIA menggambarkan situasi ekstrem tahanan al-Qaeda di penjara-penjara rahsia yang menerima layanan lebih teruk berbanding yang didedahkan kepada Kongres dan orang ramai.
Ini merupakan pendedahan pertama mengenai kekejaman CIA bertahun-tahun selepas layanan buruk agensi berkenaan terhadap tahanan diperkatakan.
Selain kaedah siasatan dengan mencurah air ke muka tahanan sehingga hampir lemas, taktik lain digunakan termasuk melarang tahanan tidur, menampar dan menghempas mereka ke dinding.
Selain itu, tahanan turut diletakkan di dalam kotak kecil dan diasingkan untuk satu tempoh yang lama, dirantai di siling, dipakaikan lampin pakai buang serta diancam bunuh.
Presiden, Barack Obama dalam reaksinya kepada pendedahan itu mengisytiharkan amalan yang digunakan ke atas tahanan selepas serangan pada 2001 tersebut ‘bercanggah dengan nilai-nilai kemanusiaan’.
“Saya akan terus menggunakan kuasa saya sebagai Presiden bagi memastikan kita tidak menggunakan kaedah itu sekali lagi,’’ tegasnya.
Pengerusi jawatankuasa tersebut, Dianne Feinstein pula mengakui, program CIA tersebut memperlihatkan ketidaktelusan prosedur tahanan dan penggunaan teknik soal siasat yang kejam mencabul undang-undang, nilai dan tanggungjawab AS.
Beliau pada masa sama tidak menunjukkan kekesalan terhadap apa yang berlaku sebaliknya berkata, ‘Amerika sekurang-kurangnya mengakui kesilapan dan akan belajar daripada kesalahan’.
Dokumen daripada laporan penuh setebal 6,700 muka surat itu didedahkan selepas lima tahun siasatan yang menelan belanja AS$40 juta (RM139.1 juta).
Obama mengarahkan amalan soal siasat itu dihentikan semasa beliau mula memegang jawatan Presiden hampir enam tahun lalu walaupun kaedah tersebut telah dihentikan pada tahun sebelumnya.
Bekas Presiden Amerika, George W. Bush yang meluluskan program siasatan itu pada 2002 pula mendakwa, beliau tidak diberitahu tentang butiran siasatan oleh CIA sehingga tahun 2006. – AP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/senat-dedah-kekejaman-cia-1.35009#sthash.3VUqvJ3z.dpuf

Permohonan serah siasatan 
MH17 kepada PBB ditolak


Beberapa buah trak yang mengangkut serpihan pesawat MH17, tiba
Beberapa buah trak yang mengangkut serpihan pesawat MH17, tiba di Pangkalan Tentera Udara Gilze-Rijen di Gilze-Rijen, Belanda, kelmarin. – AFP
AMSTERDAM 10 Dis. – Kerajaan Belanda semalam menolak cadangan keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 untuk menyerahkan siasatan nahas tersebut kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Satu permohonan melantik seorang utusan khas PBB untuk mengambil alih siasatan tersebut dihantar pada Jumaat lepas oleh sebuah firma guaman mewakili 20 keluarga mangsa yang menuduh Belanda gagal memfailkan kes untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut.
Seorang pegawai kanan Kementerian Kehakiman Belanda, Dick Schoof berkata, siasatan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) dilaksanakan bukan sahaja oleh penyiasat negara ini.
“Sebanyak 11 negara terlibat dalam siasatan tersebut termasuk Malaysia, Rusia dan Ukraine,’’ katanya dalam surat kepada firma guaman tersebut.
Sementara itu, pasukan penyiasat akan cuba mencantumkan semula serpihan pesawat MH17 selepas trak-trak membawanya tiba di Pangkalan Tentera Udara Gilze -Rijen di timur negara ini.
Ketua Lembaga Keselamatan Nasional Belanda, Tjibbe Joustra semalam berkata, anggota pasukan tersebut akan membentuk rangka pesawat itu bagi menentukan punca tragedi yang menyaksikan 298 penumpang dan anak kapal tersebut terkorban selepas ditembak jatuh pada 17 Julai lalu.
Beliau berkata, pembinaan semula pesawat itu dijangka memakan masa selama beberapa bulan dan laporan akhir punca kejadian tersebut akan dikeluarkan pertengahan tahun depan.
“Tugas ini tidak mudah kerana beberapa bahagian pesawat itu musnah dalam kebakaran. Sebahagian daripadanya juga hilang. Kami tahu mengenai bahagian yang hilang, tetapi kami berpuas hati dengan jumlah serpihan yang ada,’’ katanya. – Reuters
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/permohonan-serah-siasatan-8232-mh17-kepada-pbb-ditolak-1.35011#sthash.igPrT68x.dpuf