Friday, February 6, 2015

Tentera Ukraine guna bom berangkai


Kediaman penduduk didakwa menjadi sasaran bom berangkai dan senjata haram tentera Ukraine.
Kediaman penduduk didakwa menjadi sasaran bom berangkai dan senjata haram tentera Ukraine.
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Bekas kontraktor Agensi Perisikan Pusat (CIA) mendakwa tentera Ukraine menggunakan bom berangkai dan senjata haram terhadap orang awam.

Steven Kelley memberitahu keputusan Washington untuk menghantar bantuan bekalan senjata dilihat hanya akan memburukkan lagi situasi di negara bergolak itu.

"Beberapa bukti menunjukkan tentera Kiev telah menggunakan bom kimia fosforus menyasarkan kawasan kediaman penduduk. Dakwaan Rusia melancarkan serangan dan menghantar bekalan senjata kepada puak pemisah di wilayah timur sememangnya satu tuduhan tidak berasas.

"Jika dakwaan itu benar, ia pasti dapat dikesan melalui gambar satelit," jelasnya lagi.

Awal minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengumumkan bahawa Washington akan menaja perjanjian peralihan kuasa di Ukraine. - Press TV

Tangga bergerak membazir


Pembinaan tangga bergerak gergasi untuk kegunaan penduduk kaya
Pembinaan tangga bergerak gergasi untuk kegunaan penduduk kaya di satu kawasan perumahan mewah di Chongqing, dikritik banyak pihak sebagai membazir. – AGENSI
CHONGQING 5 Feb. – Tindakan Majlis Bandar Raya Chongqing yang membina laluan tangga bergerak gergasi untuk penduduk kaya di satu kawasan perumahan mewah di sini, dikutuk sebahagian pihak yang menyatakan projek itu satu pembaziran.
Majlis bandar raya itu dikritik kerana tunduk kepada permintaan para penduduk di kawasan perumahan baharu itu.
Tangga bergerak itu dibina selepas penduduk di kawasan perumahan berkenaan merungut penat menggunakan tangga.
Menurut akhbar Daily Mail, jurutera mengambil masa selama tiga bulan untuk membina laluan tersebut yang menghubungkan kediaman penduduk dengan sebuah stesen kereta api bawah tanah.
Bagaimanapun, sebahagian jurutera menyifatkan pembinaan tangga bergerak itu sebagai membazir kerana memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.
“Pada musim luruh, tangga itu akan dipenuhi daun kering, manakala pada musim sejuk pula, salji akan meliputinya. Tangga bergerak itu turut terdedah kepada hujan.
“Saya dapat bayangkan pihak yang menyelia projek itu akan mengalami masalah untuk naik dan turun bukit bagi memastikan tangga tersebut terus berfungsi,” kata seorang jurutera yang enggan dikenali.
Seorang jurucakap kerajaan pula berkata, keputusan membina tangga bergerak itu tiada kaitan dengan pengaruh penduduk di atas puncak bukit tersebut, tetapi lebih kepada menyediakan perkhidmatan untuk orang ramai.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tangga-bergerak-membazir-1.56487#sthash.EUncpMWY.dpuf