Showing posts with label dakyah. Show all posts
Showing posts with label dakyah. Show all posts

Sunday, September 4, 2011

Komik pesong akidah ditemui



KUALA KRAI - Orang ramai terutama ibu bapa diingatkan agar berwaspada terhadap usaha pihak tertentu cuba menyebarkan dakwah Kristian secara halus di daerah ini.

Bendahari Masjid Tengku Muhammad Faris Petra, Mohd Rosli Hussain berkata, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu dikesan melalui penyebaran komik bertajuk ‘Kisah Paling Menarik Yang Pernah Diceritakan’ dalam bahasa Indonesia.

Menurutnya, cara itu amat berbahaya terhadap pegangan umat Islam terutama kanak-kanak kerana kandungan komik dipetik dari beberapa bab dalam ‘Bible’ seperti Matius; Lukas; Yohanes dan Markus.

“Saya percaya dakwah ditujukan khusus kepada kanak-kanak menerusi penyebaran komik berwarna bagi menarik perhatian mereka manakala kandungannya diolah melalui kisah seorang bapa bercerita kepada dua anaknya.

“Jika tidak berwaspada, saya khuatir kanak-kanak Islam yang membaca komik ini terpengaruh dengan isi kandungannya sedangkan ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam sebenar,” katanya.

Komik setebal 30 muka surat itu diterbitkan Bibles International of Canada manakala terbitan pertama di Indonesia pada 1996 dan terbitan kedua pada 1998.

Mohd Rosli berkata, puluhan komik sama ditemui seorang anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di kaunter dalam bilik mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di bandar ini, Rabu lalu.

“Kebetulan anggota polis terbabit datang berhari raya di rumah saya dan menyerahkan dua naskhah komik ini manakala selebihnya dimusnahkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli menggesa pihak berkuasa berkenaan agar memantau perbuatan pihak terbabit yang dilihat bertindak berani apabila cuba menyebarkan dakwah Kristian secara terbuka.

Menurutnya, orang Islam yang terjumpa komik itu dinasihatkan agar memusnahkannya bagi menangani usaha penyebaran agama lain dan mempertahankan akidah mereka.

“Ini soal akidah dan apabila ada pihak yang cuba menggugat kesucian Islam, kita wajib mempertahankan agama suci ini lebih dari segala-galanya.

“Kalau komik ini diletakkan di gereja, tidak ada masalah kerana itu rumah ibadat mereka tetapi bila disebarkan di tempat awam, perbuatan ini kita tak boleh terima,” katanya.

Umat Islam di negara ini baru-baru ini dikejutkan dengan gerakan sebuah gereja di Damansara Utama yang didakwa cuba memurtadkan orang Islam dan tindakan sebuah pusat tuisyen di Jalan Klang Lama yang mengajar lagu-lagu berunsur Kristian kepada murid Islam.

Tuesday, August 9, 2011

Hasut bekas penagih

SEREMBAN: Cubaan rumah perlindungan Kristian di negeri ini menghasut bekas penagih dadah supaya mengikuti ajaran yang disebarkan mereka dikekang Jabatan Mufti negeri ini, awal tahun ini.
Perkara itu didedahkan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, apabila pihaknya menerima maklumat rumah perlindungan itu menawarkan bantuan rawatan pemulihan dadah kepada penagih beragama Islam sambil menyebarkan agama mereka perlahan-lahan.

Mohd Yusof berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan akidah seorang bekas penagih serta keluarganya yang menetap di penempatan itu dua tahun.

“Lelaki berusia 30-an terbabit tinggal di rumah itu percuma dua tahun dan diberikan penginapan dan wang tunai tanpa perlu berkerja.

“Apa yang dia perlu lakukan hanyalah mengikuti ceramah mereka dan membaca buku serta kitab mengenai Kristian,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mendedahkan bagaimana keluarga lelaki terbabit yang berasal dari Perak memasuki rumah perlindungan berkenaan, Mohd Yusof berkata, pada permulaannya isteri lelaki itu ditawarkan majikannya ke rumah itu dengan membawa suami dan empat anak.
“Malah, apabila mengetahui keluarga itu mengalami masalah kewangan selepas suaminya dibebaskan dari penjara dan sukar mendapat pekerjaan, kumpulan berkenaan memberi jaminan menyokong sara hidup mereka sekeluarga, dengan syarat hanya perlu mendengar ceramah dan membaca kitab agama mereka,” katanya.

Beliau berkata, perkara terbabit disedari Jabatan Mufti selepas menerima maklumat daripada penjara yang memantau perkembangannya dan menghantar beberapa pegawai berbincang dengannya serta pengurusan rumah perlindungan itu. Katanya, hasil perbincangan aman, lelaki terbabit secara suka rela mahu keluar dari rumah perlindungan itu membawa isteri serta anaknya yang berusia satu hingga 13 tahun dan menerima tawaran memulakan hidup baru dengan dibantu Jabatan Mufti, Yayasan Kasih Sayang dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains).

“Selepas itu pihak kami cuba membantu semula akidah mereka sekeluarga dengan memberi bimbingan kelas agama dan hingga kini lelaki terbabit yang sudah bekerja sentiasa dipantau oleh kami bagi memastikan pegangan agamanya kukuh. “Daripada pemerhatian saya mendapati dia gembira dengan kehidupan kini yang sederhana walaupun tidak mewah seperti di rumah perlindungan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, ketika lelaki itu baru keluar dari rumah perlindungan berkenaan, dia menyerahkan sejumlah besar bahan bacaan Kristian di dalam tiga beg yang diberikan kepadanya oleh pengurusan rumah perlindungan itu untuk dibaca.

“Dia juga memberitahu ramai orang termasuk beragama Islam mendapatkan rawatan dan sokongan pemulihan dadah di rumah perlindungan itu,” katanya.-hmetro