29/12/2010 5:33pm
PADANG BESAR - Seorang remaja perempuan berketurunan Siam bakal menghadapi masa depan yang suram apabila permohonannya untuk mendapatkan MyKad ditolak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sekalipun bapanya adalah rakyat Malaysia.
Ironinya, Nitphapon Leng, 13, yang dilahirkan di negara ini mempunyai sijil kelahiran dan pernah memiliki pasport antarabangsa Malaysia yang meletakkan statusnya sebagai warganegara.
"Peliknya, anak sulung saya yang berusia 16 tahun dan juga anak bongsu saya juga mempunyai MyKad dan MyKid mereka,” kata bapa remaja itu, Leng Ooi Bachit pada sidang media, di sini hari ini. Leng, 36, yang bekerja sebagai peniaga di sini berkata, isterinya adalah warga Thailand namun mereka sekeluarga menetap di Kampung Kubang Tiga dekat sini, manakala Nitphapon pula bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Besar.
"Saya sedih kerana Nitphapon dilahirkan di negara ini dan memiliki sijil lahir tetapi haknya untuk mendapat taraf warga negara ini ditolak,” katanya menambah kegagalan permohonan mendapatkan MyKad itu dimaklumkan Kementerian Dalam Negeri menerusi sepucuk surat pada November lepas. - Bernama