Showing posts with label seludup. Show all posts
Showing posts with label seludup. Show all posts

Wednesday, September 14, 2011

Bekas Presiden Argentina bebas tuduhan seludup senjata





2011/09/14

BUENOS AIRES: Mahkamah Argentina hari ini membebaskan bekas Presiden, Carlos Menem hari daripada tuduhan terbabit dalam penyeludupan senjata api ke Croatia dan Ecuador pada 1990-an. 

Menem, yang menjadi presiden dari 1989 hingga 1999 dan kini adalah senator boleh menghadapi hukuman sehingga 12 tahun penjara jika disabitkan kesalahan.
Beliau dituduh menyeludup keluar dengan kapal 6,500 tan senjata api ke Croatia dan Ecuador menerusi Panama dan Venezuela.
“Carlos Saul Menem kini dibebaskan daripada dakwaan terhadapnya," kata hakim perbicaraan yang bermula sejak Oktober 2008. 

Dalam kes sama, 17 orang yang turut didakwa termasuk bekas menteri, pesara pegawai tentera dan pengeluar senjata. - AFP 

Thursday, August 18, 2011

Negara rugi RM800 juta setahun kerana bir seludup

SUNGAI PETANI 17 Ogos - Perbendaharaan Negara dianggarkan mengalami kerugian lebih RM800 juta setahun akibat kegiatan penyeludupan arak terutamanya bir yang dikesan semakin berleluasa ketika ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, selain menjejaskan sumber pendapatan negara, aktiviti berkenaan turut menimbulkan masalah kepada pengusaha industri minuman keras.
"Bir yang tidak dibenarkan diimport itu diseludup melalui jalan darat dan laut seperti di jeti-jeti haram yang sukar dikawal kegiatannya.
"Selain itu, ada kemungkinan juga bir dibawa masuk di pelabuhan melalui ikrar barangan yang tidak betul dan juga penipuan label BFE iaitu bir untuk eksport," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Kompleks Pangkalan Pencegahan Kastam Tanjung Dawai dekat sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Kastam negeri, Datuk Abd. Aziz Abdul Latif dan Jurutera JKR Daerah Kuala Muda, Mohd. Fadhil Dashah.
Menurut Donald, bagi mengatasi masalah penyeludupan itu, pihaknya mengambil beberapa langkah termasuk menambah bilangan anggota penguat kuasa selain mendirikan pos kawalan di lokasi terdedah risiko penyeludupan.
"Di samping itu, kerajaan telah merancang untuk menambah beberapa lagi pejabat Bahagian Pencegahan Kastam bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti penguatkuasaan," jelasnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, projek Kompleks Pangkalan Pencegahan Kastam Tanjung Dawai bernilai RM12.1 juta mengalami kelewatan agak ketara ekoran beberapa masalah yang timbul.
"Projek ini bermula 12 April 2010 dan sepatutnya siap Jun lalu, tetapi kemajuan sebenar fizikal pembinaan hanya sekitar 38 peratus," katanya.-utusan

Tuesday, August 2, 2011

Seludup manusia: Polis minta kerjasama Bank Negara



KUALA LUMPUR 1 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan kerjasama daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membanteras sindiket penyeludupan manusia yang menjadikan negara ini sebagai transit ke negara ketiga.
Sumber memberitahu, kerjasama yang dijalankan bertujuan mengesan bukti pengaliran wang masuk dari luar negara terhadap anggota sindiket di negara ini.
Katanya, wang itu dihantar oleh keluarga pelarian dari negara asal mereka yang bertujuan untuk membayar kos transit yang dikenakan anggota sindiket terbabit.
"Bagaimanapun, pengaliran wang masuk bagi tujuan itu sukar dikesan kerana mereka menggunakan khidmat pengurup wang dan bukannya melalui sistem perbankan.
"Sebagai contoh, pelarian di Malaysia akan meminta keluarga mereka untuk menghantar wang mengikut jumlah dituntut sindiket melalui pengurup wang.
"Pelarian kemudian akan menerima kod dari keluarga dan menebus wang tersebut di sini, sebelum diserahkan kepada sindiket," kata sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini mendedahkan empat pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah antara 45 individu dikesan menjadi ketua sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) ke negara ini.
Kata sumber itu, tindakan selanjutnya sedang diambil agensi-agensi terbabit termasuk BNM untuk memperhalusi dan menambah baik sistem pengurup wang bagi mengekang sindiket tersebut.
http://www.utusan.com.my

90,000 warga asing sasaran seludup manusia



KUALA LUMPUR 1 Ogos - Dianggarkan 90,000 warga asing yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR) di Lembah Klang di sini, dikenal pasti menjadi antara sasaran sindiket penyeludupan manusia.
Mereka yang didaftarkan sebagai pelarian dari lebih 20 buah negara itu menjadi sasaran sindiket berkenaan berikutan proses penempatan pelarian ke negara ketiga secara sah mengambil masa lama iaitu tiga hingga lima tahun.
Sumber memberitahu, pelarian yang didaftar di bawah UNCHR terpaksa berbuat demikian untuk menyara kos kehidupan berikutan undang-undang negara ini tidak membenarkan mereka bekerja.
"Sindiket penyeludupan pula mengambil kesempatan itu dengan menawarkan khidmat membawa mereka ke negara ketiga dengan lebih cepat sama ada melalui darat, udara atau laut.
"Ada juga keluarga pelarian yang meminta bantuan sindiket bagi membolehkan ahli keluarga mereka yang berada di Malaysia keluar dari negara ini segera," kata sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini mendedahkan empat pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah antara 45 individu dikesan menjadi ketua sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) ke negara ini.
Dalam pada itu, sumber memberitahu, sindiket penyeludupan mengenakan kos transit yang tinggi iaitu AS$15,000 (RM44,500) hingga AS$35,000 (RM104,00) bergantung kepada destinasi.
Bagaimanapun katanya, pelarian perlu membayar wang pendahuluan RM10,000 hingga RM20,000.
"Oleh itu, keluarga pelarian di negara masing-masing terpaksa jual tanah atau harta benda untuk menjelaskan wang pendahuluan tersebut.
"Selepas proses transit selesai, jika bayaran masih belum dijelaskan, pelarian diperas ugut pula sehingga ada terpaksa memperdagangkan diri atau bekerja dengan sindiket jenayah seperti keldai dadah bagi mendapatkan wang segera," katanya lagi.
http://www.utusan.com.my