Showing posts with label pati. Show all posts
Showing posts with label pati. Show all posts

Tuesday, February 19, 2013

35 daripada 140 pelarian Rohingya ditahan

TELUK BAHANG - Seramai 35 dari 140 pelarian Rohingya yang mendarat di pantai Teluk Kampi dalam kawasan Taman Negara Teluk Bahang ditahan dalam operasi pihak penguatkuasa, hari ini.

Mereka yang ditahan itu terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa berusia antara satu dan 70-an.

Kumpulan pelarian itu mendarat di pantai Teluk Kampi tengah malam tadi apabila bot yang mereka naiki bocor.

Berikutan pendaratan pelarian itu, operasi Taman Negara Teluk Bahang ditutup sementara sehingga baki pelarian Rohingya itu ditemui.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Lai Fah Hin mengesahkan penahanan itu dan memberitahu pihaknya masih meneruskan usaha mengesan baki pelarian itu.

Kesemua tahanan ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk pemeriksaan kesihatan dan siasatan lanjut. - Bernama

Friday, September 16, 2011

Lebih satu juta PATI tidak mahu pulang

PUTRAJAYA 15 Sept. – Statistik proses pendaftaran 6P menunjukkan seramai 1,015,852 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) menyatakan hasrat untuk terus menetap dan bekerja di Malaysia manakala 95,446 lagi ingin kembali ke negara asal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, daripada jumlah yang ingin bekerja itu, seramai 966,542 mengisytiharkan telah mempunyai majikan.
‘‘Bagaimanapun, mereka ini digajikan secara tidak sah dan seramai 257,524 pula menyatakan tidak mempunyai majikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, daripada jumlah 1,303,126 PATI yang mendaftar melalui Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau 6P, seramai 284,331 orang mengisytiharkan sedang bekerja dalam sektor pembinaan.
Ia diikuti sektor perkhidmatan (269,510 orang), perkilangan (176,883 orang), perladangan (155,395 orang), pertanian (89,016 orang) manakala selebihnya 327,991 orang tidak menyatakan sektor pekerjaan secara khusus.
‘‘Data seumpama ini amat penting sebagai landasan untuk kajian dibuat tentang sebab dan alasan mereka bekerja secara tidak sah sama ada faktor majikan yang mengelak daripada membayar levi, ketiadaan dokumen atau disebabkan faktor dasar penggajian pekerja asing semasa.
‘‘Ini kerana Jabatan Imigresen mendapati terdapat jumlah yang signifikan PATI yang bekerja dalam sektor perkhidmatan, tetapi jenis pekerjaan tersebut tidak tersenarai sebagai sub sektor yang dibenarkan dasar penggajian pekerja asing sehingga membuat mereka memilih untuk bekerja secara tidak sah,” katanya.

Monday, August 15, 2011

PATI Halau Imam, Rampas Surau?




PENDATANG Asing Tanpa Izin (PATI) yang mendapat MyKad melalui pintu belakang, Wahab Bin Nonong telah bertindak menghalau Imam Rawatib yang dilantik Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan melantik dirinya sebagai ‘Imam Bertauliah’ di surau yang dibina di atas tanah adat yang dicerobohnya; milik Anak Negeri Sabah, Nina Bte Gaya. 

Natijahnya, penduduk kampung terpaksa membina surau sementara beratap dan berdindingkan karung plastik terpakai untuk membolehkan mereka menunaikan solat lima waktu, tarawih dan majlis tadarus Al-Quran. 

Selepas kejadian Surau PPRT di Bukit Belacon, Lahad Datu, Surau di Kampung Lamak Bukit, 20 kilometer dari Lahad Datu ini lebih daif kerana hanya berlantaikan plastik dan mudah diterbangkan angin sehingga jemaah terpaksa menunaikan sembahyang dalam hujan lebat. 

“Kita bercadang mahu bina surau baru, tetapi JHEAINS tidak benarkan kerana ada surau yang dibuat Wahab di atas tanah adat peninggalan bapa saya. Wahab halau imam yang dilantik JHEAINS, jadi saya ambil imam itu untuk berkhidmat di surau sementara yang kami buat secara gotong-royong,” ujar Nina sambil menitiskan air mata kesedihan kerana terkenangkan kezaliman Wahab terhadap Umat Islam di kampungnya. 

Kata Nina, beliau sedih kerana penduduk kampung terpaksa beribadah dalam keadaan tidak selesa dan daif di sebuah Negara yang agama rasminya Islam dan Adun serta Ahli Parlimennya beragama Islam. 

 

“Kelmarin hujan lebat dan semua jamaah basah kuyup, tapi mereka tetap teruskan solat tarawih kerana Wahab tidak benarkan kita sembahyang di suraunya,” kata Nina yang menegaskan Wahab tidak layak menjadi imam kerana fasik dan jahil. 

Memandangkan Imam Rawatib (Imam Tetap) berkenaan, Jimlok Bin Zakariah telah lama berkhidmat di Kampung Lamak Bukit, maka kata Nina beliau menggunakan khidmat Imam Jimlok sejak Januari 2011 (tarikh dihalau Wahab) di surau sementara yang dibina di tanah wakaf yang diperuntukan arwah bapa, Gaya Bin Mansur. 

Menurut Nina, beliau bercadang untuk membina surau atau Madrasah di lokasi surau sementara kerana sudah mula mengumpul bata, tiang dan perkakas lain tetapi tergendala kerana ketiadaan bekalan simen. 

Dalam separa berbisik, Nina mengharapkan penduduk kampung dapat sembahyang di surau yang didirikannya sebelum fajar Aidil Fitri menjelang tiba, namun hambatan birokrasi menyebabkan hasratnya terpaku di atas kedegilan JHAEINS mengiktiraf surau yang bakal dibinanya secara gotong royong. 

“JHEAINS tidak mahu melayan rayuan kami dan hanya mendengar aduan Wahab sahaja; sedangkan hakikatnya beliau menumpang di tanah adat milik bapa saya dan mendirikan surau secara haram; tetapi dibenarkan JHEAINS sekalipun arah kiblatnya tidak tepat,” kata Nina yang menggesa campurtangan Adun Lahad Datu, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dan Menteri yang menjaga Hal Ehwal Agama Islam di Sabah, Dato’ Seri Nasir Tun Sakaran. 

Bagaimanapun, jika keadaan berterusan, Nina bercadang akan memfailkan kes ini ke mahkamah, termasuk mendapatkan perintah mengusir Wahab daripada tanah adat yang dicerobohnya dengan restu Penolong Pemungut Hasil Tanah Lahad Datu sedangkan permohonan tanah Wahab telah dibatalkan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur. 

Kes Wahab ini telah dilaporkan Sabahkini.net bertajuk ‘PATI IC Projek Kini Menjadi 'Raja' Di Tanah Adat?’ namun PATI berkenaan terselamat daripada tindakan undang-undang kerana menjadi Ketua Cawangan UMNO Silam Pacific Hardwood. 

Oleh: MUHAMMAD HAIKAL HALIM (sabahkini)http://www.sabahdaily.com/2011/08/pati-halau-imam-rampas-surau.html

Thursday, June 2, 2011

50 PATI ditahan Imigresen Perak




SEORANG wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) menangis ketika ditahan Imigresen Perak pada Operasi Zon Utara 2 di Taman Botani, Ipoh, semalam.


IPOH 1 Jun - Seramai 50 buruh warga asing ditahan Jabatan Imigresen negeri dalam serbuan di beberapa tapak pembinaan sekitar Taman Botani di sini hari ini.
Mereka yang kebanyakannya sedang leka menyiapkan kerja-kerja masing-masing tidak mampu berbuat apa-apa sebaik sahaja diserbu kira-kira 69 pegawai imigresen.
Dalam kejadian itu, seorang buruh wanita warga Indonesia tidak dapat menahan emosinya sambil meraung-raung meminta dilepaskan oleh pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Imigresen Perak, Mohd. Shukri Nawi berkata, siasatan awal mendapati, kesemua buruh binaan itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan menyalahgunakan pas lawatan mereka.
"Antara yang ditahan itu termasuk pekerja asing dari Bangladesh dan Indonesia. Mereka akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Langkap untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata, operasi tersebut merupakan sebahagian operasi bersepadu 'Ops Zon Utara' melibatkan lebih 200 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Katanya, selain di tapak pembinaan itu, operasi tersebut turut diadakan di tiga lagi lokasi lain di negeri ini iaitu Teluk Intan, Manjung dan Pengkalan Hulu.
"Kita akan meneruskan operasi sebegini dari semasa ke semasa dan memberi amaran kepada semua pemilik tapak pembinaan agar tidak menggunakan khidmat buruh asing yang tidak mempunyai permit," katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Friday, October 29, 2010

Mahligai pendatang

BERDERET...rumah setinggan yang dibina pendatang di tepi Sungai Puchong.
BERDERET...rumah setinggan yang dibina pendatang di tepi Sungai Puchong.
PUCHONG: Mencemarkan pandangan mata apabila puluhan rumah setinggan didirikan dipercayai didiami pendatang Indonesia yang bekerja sebagai buruh binaan dan kilang industri di tebing Sungai Puchong dekat Pangsapuri Angsana Hilir, di sini, sejak empat bulan lalu.
Tinjauan Metroplus di kawasan berkenaan mendapati lebih 10 unit rumah setinggan setingkat dan dua tingkat diperbuat daripada kayu didirikan yang terlindung di sebalik pokok besar.


ITU DIA...seorang penghuni menunjukkan rumah setinggan pendatang di sebalik pokok besar.
ITU DIA...seorang penghuni menunjukkan rumah setinggan pendatang di sebalik pokok besar.

Penduduk, Rozita Abd Razak, 38, berkata, pendatang berani mendirikan rumah setinggan itu kerana ia tersorok di sebalik pokok besar hingga tidak kelihatan penduduk sekitar.

Katanya, penempatan haram itu boleh mendatangkan pelbagai masalah sekiranya tidak dibendung kerana mereka mungkin akan menambah lagi bilangan rumah serta mengajak masyarakat mereka mendiami kawasan itu.



“Kita bukan tidak suka dengan pendatang asing tetapi kedatangan mereka yang sesuka hati mendirikan rumah boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk kecurian dan rompakan kerana pada masa ini pelbagai masalah jenayah berlaku di sini.

“Kami bukan mahu menuduh mereka melakukan jenayah, tetapi eloklah kita berjaga sebelum kena,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Angsana Hilir,.


Menurutnya, penambahan warga asing di kawasan itu membimbangkan kerana menyebabkan jenayah kecil seperti kecurian berlaku hingga menakutkan penduduk terutama wanita.

Peniaga, Nasir Mohamad, 45, berkata, walaupun kedatangan setinggan tidak mengancam penduduk, ia memberi kesan pada masa akan datang kerana mereka berani mendirikan rumah dua tingkat diperbuat daripada kayu.

Katanya, kawasan tebing sungai diteroka boleh merosakkan ekosistem air kerana mungkin mereka menggunakan sungai sebagai punca air dan melakukan kegiatan harian.

“Kita tidak mahu kehadiran mereka memberi kesan kepada pelbagai pihak dan meminta pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi melegakan hati masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, pihaknya akan membuat siasatan perumahan setinggan sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Katanya, perumahan itu mungkin baru kerana Subang Jaya bersih daripada setinggan apabila semua penduduk dipindahkan ke perumahan yang disediakan.

“Pada masa ini tidak sepatutnya ada setinggan kerana dasar inflasi sifar sudah menghapuskan semuanya dan mungkin ia dibina oleh pendatang asing,” katanya.

Friday, August 6, 2010

Pegawai PDRM turut jaga pusat tahanan



Oleh Haika Khazi dan Siti Fatimah Mohamed Anwar
bhnews@bharian.com.my
2010/08/06

Polis bantu pertingkat kawalan 

PUTRAJAYA: Pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di semua 13 pusat tahanan sementara imigresen di seluruh negara, berkuat kuasa serta-merta.
Langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Pengurusan Depoh Jabatan Imigresen di sini, semalam.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam, berkata penempatan 13 pegawai polis itu adalah tambahan kepada 210 pegawai RELA, 39 pegawai penjara dan 998 pegawai Imigresen yang diberi tanggungjawab untuk meningkatkan kawalan keselamatan di semua depoh tahanan terbabit. 

Katanya, KDN mengakui ada kelemahan aspek kawalan keselamatan di depoh tahanan di seluruh negara kerana kebanyakan pegawai imigresen tidak diberikan pendedahan dan pengalaman menjaga tahanan kes pemerdagangan orang. 

“Pegawai imigresen bukan dilatih untuk menjaga orang (tahanan), apabila kita sudah mesyuarat, baru kita nampak kita tidak ada kemahiran. Untuk melengkapkan kemahiran itu, kita sepadukan dengan (semua) jabatan di KDN. 

"Kita berharap penempatan 13 pegawai polis berkenaan berkuat kuasa mulai jam 2 petang ini (semalam) dapat meningkatkan lagi keselamatan di semua depoh tahanan pada masa depan," katanya pada sidang media di sini, semalam. 
Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong mengumumkan tanggungjawab pengurusan Depoh Jabatan Imigresen kepada tiga jabatan di dalam KDN iaitu Jabatan Penjara, Imigresen dan RELA, berkuat kuasa kelmarin. 

Sementara itu, di ALOR SETAR, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar, berkata jabatan itu sedia menyumbang kepakaran dalam bidang kawalan keselamatan dan kepenjaraan, termasuk membekalkan kekuatan anggota di Depoh Tahanan Imigresen seluruh negara bagi mengelak insiden tahanan bolos berulang. 

Katanya, jabatan itu akan melaksanakan kajian membabitkan aspek keselamatan di Depoh Tahanan Imigresen yang dikenal pasti bermasalah sebelum mempertingkatkan tahap kekuatan anggota dan kawalan keselamatan di pusat tahanan terbabit. 

Beliau berkata, buat permulaan tiga anggotanya iaitu Penguasa Penjara, Timbalan Penguasa Penjara, Sub Inspektor atau Sarjan Mejar akan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen KLIA di Sepang, Juru di Pulau Pinang dan Lenggeng, Negeri Sembilan. 

"Kita hanya membantu dalam aspek menyelaras kawalan keselamatan dalam usaha memperkemaskan mutu perkhidmatan dan pengurusan di Depoh Tahanan Imigresen berkenaan. 

"Jabatan Penjara akan bersama-sama dua agensi berkaitan membantu memperkemaskan mutu pengawasan supaya kejadian tidak diingini yang berlaku seperti sebelum ini tidak berulang. 

"Pegawai Jabatan Penjara yang dihantar akan melihat apakah aspek yang perlu untuk diambil tindakan. Justeru, yang mana kita perlu kemaskan, kita akan kemaskan," katanya selepas Majlis Perasmian Galeri Produk Penjara Zon Utara di sini, semalam.