Saturday, September 29, 2012

4 maut, 8 cedera serangan berasingan di selatan Thai

BANGKOK - Empat orang terbunuh manakala lapan lagi cedera dalam insiden serangan bom dan tembakan yang berlaku berasingan di wilayah selatan Thailand dalam tempoh 24 jam lepas.
 
Di wilayah Narathiwat, empat orang termasuk tiga daripada sebuah keluarga cedera dalam satu letupan bom di Jalan Pattani-Narathiwat di Kampung Pohon Jerai, Bacho, pada pukul 6.30 petang semalam, kata ketua polis Balukar Samok, Kapt. Narathip Sopap.
 
Manakala seorang lelaki terbunuh dan dua cedera selepas ditembak dalam satu kejadian di Rusok, Narathiwat, pada pukul 3 petang.
 
Di Pattani, seorang jurucakap polis berkata seorang anggota polis cedera apabila terkena tembakan di Saiburi pada pukul 8 pagi dan anggota kumpulan pemisah  menembak mati seorang lelaki di pasar Pattani pada pukul 1 tengah hari.
 
Di Yala, anggota kumpulan puak pemisah telah menembak mati dua lelaki manakala seorang cedera dalam serangan pada pukul 7.40 pagi.
 
Lebih 5,000 orang terbunuh sejak kumpulan pemisah menggerakkan semula kempen bersenjata mereka untuk mendapatkan kemerdekaan tiga wilayah selatan Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lepas. - Bernama

1,100 jemaah haji wanita diarah pulang



RIYADH - Arab Saudi untuk pertama kali mengarahkan 1,100 jemaah haji wanita warga Nigeria pulang semula ke negara mereka kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan oleh negara itu.

Menurut kementerian yang mengendalikan urusan jemaah haji di Arab Saudi, tindakan tersebut diambil kerana ribuan jemaah haji itu tidak diiringi saudara lelaki mahram mereka.

Kementerian itu menyatakan, ia adalah peraturan biasa yang dikenakan terhadap mana-mana wanita yang telah memohon visa untuk memasuki negara tersebut.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan semalam, Suruhanjaya Haji Nigeria memaklumkan jemaah haji wanita negara itu sebenarnya dikecualikan daripada peraturan ketat tersebut mengikut perjanjian dua hala yang dipersetujui oleh kedua-dua negara.

Difahamkan, Nigeria telah menghantar delegasi ke Arab Saudi untuk berbincang mengenai perkara tersebut dan pihak berkuasa bersetuju untuk membenarkan jemaah haji wanita itu masuk ke negara terbabit hanya jika mereka diiringi saudara lelaki mahram masing-masing.

Di bawah undang-undang negara itu, wanita yang berumur 45 tahun ke bawah yang berhasrat untuk menunaikan Rukun Islam Kelima tersebut mesti diiringi oleh suami atau ahli keluarga lelaki.

Golongan wanita berumur 45 ke atas pula diberi kelonggaran mematuhi peraturan itu, namun mereka masih perlu berada di dalam kumpulan yang dikendalikan oleh pengiring agensi atau pegawai haji.

Pesalah cukai ke mahkamah


CYBERJAYA 28 Sept. - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memperkasakan usaha mengutip cukai termasuk memberi tumpuan kepada siasatan jenayah berbanding siasatan sivil terhadap pesalah cukai mulai tahun depan.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Mohd. Shukor Mahfar berkata, langkah itu bermakna, LHDN akan mengambil tindakan mahkamah ke atas syarikat dan individu yang lewat atau tidak menyerahkan borang cukai.
''Kalau sebelum ini ada orang yang lewat atau gagal hantar borang, kita hanya mengambil tindakan sivil dan mengenakan penalti.
''Tetapi di bawah tindakan jenayah, kita akan bawa kes ini ke mahkamah jika seseorang itu gagal menghantar borang dalam tempoh yang ditetapkan, ini merangkumi semua kategori termasuk untuk e-Filing," katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.
Mohd. Shukor berkata, LHDN juga akan memantapkan tindakan jenayah terhadap majikan yang memotong cukai daripada gaji pekerja tetapi tidak memasukkannya kepada LHDN.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya akan bertolak ansur terhadap kesalahan yang tidak disengajakan termasuk pembayar cukai yang lewat menghantar borang buat pertama kali.
''Kita akan melihat rekod sama ada pembayar cukai itu selalu lakukan kesalahan atau sebaliknya, apa yang penting ialah pembayar cukai mesti serahkan borang.
''Ini bukan bertujuan menakutkan pembayar cukai tetapi mahu memastikan mereka memainkan peranan masing-masing," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penurunan kadar cukai pendapatan yang diumumkan dalam Bajet 2013 akan membolehkan golongan berpendapatan kasar kira-kira RM3,000 sebulan tidak perlu membayar cukai.
''Sebelum ini mereka perlu bayar sedikit cukai tetapi untuk pendapatan 2013, mereka mungkin tidak perlu membayar cukai," katanya.
Sementara itu, Mohd. Shukor berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan tentang Bajet 2013 dan soal cukai boleh mengemukakan pertanyaan melalui talian 1-300-88-3010 atau emel ke callcentre@hasil.gov.my.
''LHDN juga akan menganjurkan seminar percukaian kebangsaan di 23 lokasi di seluruh negara untuk memberi keterangan lanjut berkaitan perubahan dalam Akta Cukai Pendapatan dan akta-akta lain.
''Satu topik khas mengenai siasatan jenayah cukai pada 2013 juga akan dikupas dalam seminar ini," katanya.

Bekas kerani perlu bantuan

Bekas kerani perlu bantuan
Keadaan rumah Yahya yang uzur tanpa bekalan bekalan elektrik dan air
KAMPUNG GAJAH (PERAK TENGAH) - Kesukaran hidup bekas kerani polis di Kampung Kota, Kampung Gajah sejak kehilangan ibunya beberapa tahun lalu memerlukan perhatian pihak berkenaan.

Kehidupan, bekas kerani, Yahya Mat Nawi, 51, yang menghidap kencing manis dan masalah mental tidak terurus di rumah yang terletak di dalam kebun durian.

Anak saudaranya yang mahu dikenali sebagai Azman berkata, bapa saudaranya tinggal di sebuah rumah usang yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.

“Saya bimbangkan keselamatan pakcik yang tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

"Walaupun beberapa kali diajak untuk tinggal bersama dia tetap menolak dan mahu menetap di rumah itu,” katanya ketika ditemui pada lawatan Kasih Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin ke rumahnya.

Kata Azman, dia hanya mampu membantu dari segi segi makan minum tetapi tidak dapat memantau pakciknya pada waktu malam.

Jelasnya, walaupun jiran-jiran berhampiran juga turut membantu memberikan bekalan makanan untuk pakciknya namun, dia berharap Yahya mendapat bantuan yang sepatutnya untuk meneruskan kehidupan.

“Biarlah keadaannya lebih terurus selepas ini dan mempunyai tempat tinggal yang sempurna berbanding sekarang kerana rumah yang didiami kini semakin usang,” katanya.

Sementara itu,  Norashikin berkata, pihaknya akan memohon bantuan baik pulih rumah supaya Yahya mempunyai tempat berlindung yang lebih sempurna.

“Kita juga akan mengusahakan supaya dia mendapat bantuan bulanan bagi membantu dia menguruskan diri,” katanya.

40 tahun dambakan elektrik

40 tahun dambakan elektrik
Baharuddin (tengah) bersama Mat Nasir (kanan) menunjukkan dan
 dua mesin janakuasa elektrik digunakan dan surat rayuan
 kepada pihak terlibat sambil diiringi Ramli (berdiri, kiri
SEMANGGOL (KERIAN) - Ketika hampir semua kawasan di daerah Kerian pesat membangun, masih ada kawasan yang ‘terlepas pandang’ sehingga penduduknya terpaksa bergelap dan tidak mendapat bekalan air sempurna.

Situasi ini dialami kira-kira lima keluarga menetap di Kampung Matang 36, dekat Jalan Kerian yang terpaksa hidup tanpa kemudahan bekalan itu sejak 40 tahun lalu.

Salah seorang penduduk, Baharuddin Arip, 57, mendakwa, beliau sudah beberapa kali membuat permohonan mendapatkan bekalan elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian tetapi tidak berjaya dengan alasan penduduk kampung tidak mencukupi untuk menyalurkan bekalan itu.

“Kami dimaklumkan kos membina pencawang elektrik sangat tinggi dan pihak berkenaan tidak mempunyai peruntukan secukupnya bagi menyediakan kemudahan elektrik kepada kami.

“Akibatnya, setiap penghuni rumah terpaksa bergantung kepada dua mesin jana kuasa elektrik dan sebuah pam air untuk mendapatkan bekalan bagi tempoh terhad,” katanya.

Katanya, lebih membebankan, penduduk terpaksa memperuntukkan kos bahan api lebih RM300 sebulan semata-mata untuk memastikan rumah mereka mendapat bekalan elektrik bermula jam 7 pagi hingga 11 malam setiap hari.

Seorang lagi penduduk, Mat Nasir Ahmad, 80, berkata, pihaknya menghantar surat rayuan kepada PDT Kerian pada bulan November 2006 untuk memohon kelulusan pembinaan infrastruktur jalan raya, penyediaan bekalan elektrik dan air kerana mereka terpaksa melalui jalan kebun untuk keluar ke pekan.

Menurutnya, susulan pembinaan bangunan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Matang Timbul terletak berdekatan kampung itu, pihak berkenaan membina jalan berturap selain Kementerian Kesihatan menyediakan dua punca air bersih dari telaga asli.

“Bagaimanapun, usaha penyambungan bekalan elektrik gagal diselesaikan pada masa itu dan tidak diteruskanhingga kini.

“Sudah puas kami mengadu, permohonan kami ditolak ke sana dan ke mari ibarat seperti bola dengan alasan jumlah penduduk di kampung ini tidak cukup.

“Saya kesal kerana kampung yang dikelilingi kawasan yang pesat membangun masih terpinggir daripada kemudahan asas,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semanggol, Ramli Tusin menggesa pihak bertanggungjawab tidak meminggirkan kawasan kampung di pedalaman, lebih-lebih lagi ada bangunan PLKN berdekatan kampung itu.

Menurutnya, kesemua pemilik rumah berkenaan memiliki geran tanah dan inisiatif meluluskan penyaluran bekalan elektrik tidak seharusnya menjadi sukar.

“Saya akan mengemukakan masalah ini terhadap pihak berkenaan memandangkan ia melibatkan keperluan asas rakyat.

“Agak menghairankan tiada inisiatif diambil dan perkara ini perlu diselesaikan segera memandangkan semua rakyat berhak mendapat kemudahan asas daripada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pilihan Raya Dun Semanggol, Zaini Cha menegaskan usaha pemasangan bekalan elektrik di kampung Matang 36 agak sukar disebabkan pihak terlibat perlu mendapatkan keizinan puluhan tuan tanah bagi membolehkan pemasangan tiang elektrik dibuat.

Menurutnya, jarak kampung sejauh 3.2 kilometer dari kampung berdekatan turut menyebabkan kos pemasangan bekalan elektrik sangat tinggi.

“Justeru, kami mungkin mencadangkan penggunaan panel solar yang lebih menjimatkan kos kepada lima keluarga terlibat bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan bekalan elektrik seperti orang lain,” katanya.

Nato, Afghanistan lakukan rondaan bersama



WASHINGTON - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mula melakukan 'operasi bersama' dengan tentera Afghanistan bagi mengurangkan serangan terhadap kem mereka di negara itu.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Leon Panetta berkata, Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (Isaf) mengumumkan untuk menjalin semula operasi bersama tentera Afghanistan bagi mengurangkan tekanan selepas kem Nato diserang minggu lalu.

“Kebanyakan unit Isaf telah bekerjasama di semua peringkat bagi mengurangkan serangan terhadap Barat dan sekutunya,” katanya. -AFP

Tawaran RM200j ‘selamatkan’ anak perempuan lesbian

Cecil Chao - Gigi
Cecil Chao dan anak perempuannya, Gigi.
HONG KONG - Apabila taikun hartanah Hong Kong, Cecil Chao menawarkan hampir RM200 juta (AS$65 juta) kepada sesiapa yang sanggup berkahwin dengan anak perempuannya, seorang lesbian, ramai menyifatkannya satu cadangan tidak patut.

Tawaran itu mendapat sambutan luar biasa dari seluruh dunia.

Laporan media Hong Kong menyebut lebih 100 orang telah menawarkan diri untuk menjadi pasangan anak perempuannya, Gigi, 33, dengan membanjiri pejabat beliau sejak pengumuman itu dibuat Rabu lalu.

Malah beribu-ribu menawarkan diri menerusi surat, e-mel dan faks.

Gigi telah pun berkahwin dengan seorang wanita.

Bapanya mahu menyelamatkan anaknya atas alasan perkahwinan sejenis tidak sesuai dengan norma dan status masyarakat.

Antara mereka yang menawarkan diri termasuklah veteran perang dari Amerika Syarikat (AS), Istanbul, Amerika Selatan dan Portugal, kata Gigi.

Seorang warganegara Perancis menulis: "Saya fikir saya boleh menjadikan wanita ini gembira. Saya selembut seorang wanita."

Seorang rakyat AS pula menulis, "saya berminat dengan tawaran untuk berkahwin dengan anak perempuan anda. Saya seorang lelaki, juga seorang gay."

Suami koma, keluarga sembilan anak tersepit

GUA MUSANG -  Sebuah keluarga dengan sembilan anak di sini berdepan dengan masa depan yang suram apabila si ibu terpaksa berhenti kerja untuk menjaga suami yang koma akibat kemalangan jalan raya.
 
Naspareha Najib, 46, yang bekerja sebagai tukang sapu di Hospital Gua Musang terpaksa berbuat demikian lantaran tiada siapa dapat menjaga suaminya Mohamad Hanafi Mat Ali, 51, yang koma sejak tiga bulan lepas.
 
"Selain menjaga makan minum saluran tiub melalui hidung, dia (Mohd Hanafi) kerap tersedak menyebabkan kami terpaksa mengusap-ngusap dadanya untuk menahan kesakitannya.
 
"Inilah yang memaksa saya memberi tumpuan menjaganya sepenuh masa dan menyebabkan terpaksa berhenti kerja dengan Radicare sebagai pencuci sejak dua bulan lalu," katanya ketika ditemui di kuarters Rancangan Pemulihan Tanah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Sungai Terah, di sini.
 
Terdahulu wanita itu menerima sumbangan daripada Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kelantan yang diserahkan Presidennya Zamzani Harun.
 
Menurut Naspareha, mereka sekeluarga kini bergantung hidup kepada pencen Mohd Hanafi sebanyak RM700 sebulan yang bersara awal sebagai pembantu am di Kesedar selepas mengalami angin ahmar sebelum terbabit kemalangan Julai lalu.
 
Dengan wang sebanyak itu juga Naspareha berkata mereka menanggung perbelanjaan persekolahan tujuh anak mereka.
 
"Saya amat berharap pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial percepatkan proses tuntutan pampasan bayaran ilat suami saya bagi meringan perbelanjaan keluarga saya," katanya.
 
Wanita itu berkata suaminya yang menunggang motosikal untuk menghantar anak ke sekolah dirempuh sebuah kereta pada 9 Julai lepas dan kemalangan tersebut menyebabkan Mohamad Hanafi terlantar di Unit Rawatan Rapi Hospital Universti Sains Malaysia, Kubang Kerian selama 15 hari.
 
Bagaimanapun, Mohamad Hanafi dibawa pulang oleh keluarganya bagi menyambut Aidilfitri dan akan dihantar semula ke hospital berkenaan pada 2 Oktober ini untuk rawatan susulan.
 
Mereka yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank CIMB milik Mohamad Hanafi bernombor 0307-0007387-52-8.
- Bernama

Tikus mampu sembuh sendiri


FLORIDA 28 Sept. - Sejenis tikus kecil dari Afrika didapati mampu menyembuhkan lukanya sendiri, sekali gus menjadi kunci kepada revolusi perubatan dalam bidang pertumbuhan semula tisu mamalia.
Sebelum ini, hanya cicak diketahui boleh menggantikan anggotanya yang hilang, namun secara saintifik, biologi amfibia sangat berbeza dengan manusia dan pakar mendapati haiwan itu tidak boleh digunakan dalam perubatan manusia.
Menurut sekumpulan saintis dari Universiti Florida, gen tikus kecil dari Afrika yang dikenali dengan nama santifiknya Acomys kempi dan Acomys percivali itu didapati paling hampir dengan manusia dan berpotensi merawat luka manusia.
Ketua kajian, Ashley Seifert berkata, tikus itu mampu membina semula tisu telinga sama seperti cicak membina semula anggotanya yang hilang akibat diserang.
"Tikus kecil ini mampu menghasilkan kulit, folikel rambut dan rawan," katanya.
Seifert melakukan ujian menggunakan kaedah menebuk lubang pada telinga tikus tersebut untuk melihat bagaimana ia akan tumbuh semula.
"Keputusannya sangat menakjubkan. Tisu yang pelbagai tumbuh semula melalui kaedah yang sama digunakan oleh cicak untuk menghasilkan anggotanya," katanya.
Sementara itu, Profesor Ken Muneoka dari Universiti Tulane, menganggap penemuan tersebut sangat penting kerana ia menghasilkan kaedah baru perubatan merawat luka di bahagian kulit dan pertumbuhan semula tisu di kalangan manusia. - AGENSI

Majlis Hak Asasi PBB lanjut tempoh mandat di Syria


GENEVA 29 Sept. - Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, melanjutkan tempoh mandat siasatan jenayah perang di Syria kepada enam bulan.
Keputusan itu dicapai selepas 41 daripada 47 negara anggota mengundi agar langkah itu dibuat ekoran keganasan berterusan di negara tersebut.
Resolusi tersebut turut mengecam keganasan yang dilakukan oleh pasukan tentera Syria dalam tempoh 18 bulan pergolakan di negara itu. - REUTERS

Lebih 100 banduan merusuh, 13 polis maut di Iraq


TIKRIT, Iraq 29 Sept. - Kira-kira 108 banduan merusuh di sebuah penjara di sini semalam, menyebabkan 75 daripada mereka dapat melarikan diri, manakala 13 anggota polis terbunuh.
Ketua Jawatankuasa Majlis Keselamatan wilayah Salaheddin, Mohammed Hassan Attiya berkata, kejadian itu berlaku selepas kumpulan al-Qaeda Iraq melancarkan kempen pembebasan anggotanya yang dipenjarakan.
“Kesemua banduan tersebut merupakan anggota al-Qaeda dan kini dalam buruan polis," katanya. - AFP

Audit: 64,100 pengundi pos daftar dalam satu hari

(Anwar dan pemimpin Pakatan di pentas khas di majlis
makan malam perdana)
SHAH ALAM: Kewibawaan Suruhanjaya Piliahn Raya (SPR) dipertikaikan lagi apabila audit yang dibuat ke atas daftar pemilih mendapati 64,100 pengundi pos telah didaftar dalam satu hari.

Ia telah didaftarkan pada 9 April 2010 dan menimbulkan pelbagai tanda tanya, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia berdasarkan audit yang dibuat pada bulan Mac 2012, kata Anwar.

Beliau mendedahkan perkara ini ketika berucap di majlis makan malam perdana anjuran Pakatan Rakyat di Stadium Melawati malam tadi.

Hampir kesemua pemimpin kanan Pakatan Rakyat, kecuali Tuan Guru Datuk Nik Aziz yang tidak berapa sihat, berada di majlis itu.

Selain itu, audit yang dibuat juga mendapati 77,400 pengundi yang tidak dimasukkan dalam senarai pemilih 2008 telah dimasukkan begitu sahaja dalam senarai ini tanpa melalui proses yang sepatutnya.

Audit itu juga mendapati, 2,052 anggota tentera telah dimasukkan dalam senarai pemilih itu tanpa dinyatakan nombor kad pengenalan baru Malaysia.

Anwar juga memberitahu, 4.38 juta pemilih yang ada dalam senarai itu tidak mempunyai nombor rumah pada alamatnya manakala 3.3 juta pemilih pula mempunyai nombor rumah sahaja tetapi tidak mempunyai alamat jalan dan sebagainya.

"Kesemua ini menimbulkan pelbagai tanda tanya ke atas kewibawaan senarai pemilih ini," kata Anwar.

Bagaimanapun, di sebalik kesemua masalah itu, katanya, beliau yakin Pakatan akan menang dalam pilihan raya umum akan datang ini.

"Perkembangan yang berlaku di Sabah dan Sarawak serta kehadiran pemimpin mereka malam ini memberikan satu semangat baru kepada kita," kata Anwar.

Antara yang hadir malam tadi adalah bekas timbalan menteri, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan anggota Parlimen Wilfred Bumburing serta beberapa nama besar lagi dalam arena politik tanah air.

Kedua-dua mereka telah mengumumkan meninggalkan Barisan Nasional dan menyokong Pakatan Rakyat sebelum ini.

Bajet 2013: Bajet panik, bajet selamat tinggal


KUALA LUMPUR: Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah belanjawan panik yang takut kepada kebangkitan rakyat, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.


Tetapi, katanya lagi, apa pun yang diumum dan diberikan oleh Najib dalam belanjawan itu tidak akan dapat membendung kemaraan gelombang kebangkitan rakyat menolak Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Belanjawan tersebut adalah belanjawan selamat tinggal dari Najib sama ada sebagai Perdana Menteri atau Menteri Kewangan," kata Mahfuz.

Beliau berkata, sama ada BN kalah atau menang dalam pilihan raya umum akan datang, inilah penggal terakhir bagi Najib dalam kabinet.

"Kalau dengan segala tipu dayanya BN menang sekalipun dalam pilihan raya akan datang, ia dijangka lebih tipis dari kemenangannya pada tahun 2008.

"Akibatnya, Najib akan dihambat seperti Umno hambat Pak Lah (Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi) setelah beliau gagal mendapatkan majoriti dua pertiga untuk BN dalam pilihan raya 2008 lalu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Bagi Mahfuz, belanjawan tersebut bagaikan wasiat Najib dalam pembahagian harta.

"Berbilion-bilion diwasiatkan untuk anak-anak kesayangan atau kroni-kroni Umno yang pakar membodek dan mengampu.

"Anak-anak yang tak mahu atau tak pandai membodek dan mengampu pula, dapatlah sagu hati RM1,000, RM250, RM200 atau RM7.80," katanya.

Tumpuan belanjawan panik Najib itu, kata Mahfuz, adalah untuk menggula-gulakan rakyat supaya memberi peluang kepada Umno BN sekali lagi.

Namun begitu, katanya, masih terdapat unsur ketirisan dan hendak mengkayakan kroni.

"Walaupun hendak menggula-gulakan rakyat supaya terus menyokong Umno BN, tetapi belanjawan itu bukan untuk rakyat," katanya.

Belanjawan yang tidak pro-rakyat itu, kata Mahfuz, tidak mempedulikan masalah fundamental dalam ekonomi negara seperti penghapusan rasuah, salah urus dan percanggahan yang besar antara perancangan dan perlaksanaan.

"Belanjawan itu juga mengetepikan soal akauntabiliti," katanya.

Beliau juga menyifatkan belanjawan itu kosong dengan pendekatan yang menarik perhatian untuk meningkatkan ekonomi.

"Tidak ada perkara baru seperti perancangan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang diumumkan oleh (Tun) Dr Mahathir dulu.

"Belanjawan Najib tidak ada daya penarik. Orang Putih kata tak ada 'wow factor'," katanya.

Mahfuz juga menyifatkan belanjawan itu tidak mengetengahkan reformasi kepada struktur ekonomi.

"Kita baca berita tentang belanjawan Perancis yang dipanggil 'combat budget' dengan memberikan tumpuan kepada pengurangan hutang negara serta kos pinjaman yang kian meningkat dan pengurangan defisit perbelanjaan awam," kata beliau.

Sebaliknya, kata Mahfuz, belanjwan Najib tidak memberi tumpuan kepada hutang negara yang telah mencecah RM476 bilion.

"Kerajaan Umno BN juga masih tidak mengemukakan langkah untuk membawa pulang semula RM1.08 trilion ke dalam negara," katanya lagi..
-harakah

Hutang negara semakin bengkak menjadi RM502 billion

Hutang negara yang semakin bengkak ekoran perbelanjaan Belanjawan Negara 2013 yang tinggi mendapat perhatian pemimpin Pakatan Rakyat yang risau ia akan tenggelamkan ekonomi negara.

MP Pakatan yang ditemui juga berpendapat, belanjawan tersebut tidak mengambil kira keadaan ekonomi antarabangsa dan domestik yang semakin mencabar dan akan memberi kesan kepada pendapatan negara.

Mereka juga berkata belanjawan tidak mengambil kira masalah struktur ekonomi yang sarat dengan monopoli kroni Umno-BN yang mengakibatkan harga tinggi bagi barangan dan perkhidmatan.

Ini berbeza kata mereka, dengan belanjawan Pakatan Rakyat yang mengstruktur-semula asas ekonomi negara supaya pendapatan rakyat ditingkatkan, mengalakkan daya saing yang sihat dalam bidang keusahawanan dan melahirkan masyarakat yang saksama.

Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak hari ini membentangkan belanjawan kerajaan pusat yang berjumlah RM 251.6 bilion.

Defisit negara daripada perbelanjaan belanjawan itu dianggarkan pada paras empat peratus dari keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2013.

Manakala Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat yang diumumkan pada 26 September, memperuntukkan RM 234 bilion dengan defisit yang berjumlah 3.5 peratus dari KDNK.

Berikut adalah petikan respons dari MP Pakatan :

MP Gombak Azmin Ali “Apa yang saya tegaskan tadi pengumuman bajet amat mengejutkan.

“Kita harus memberi unjuran gambaran situasi ekonomi dunia yang sudah tentu akan beri kesan langsung kepada ekonomi domestik tetapi Menteri Kewangan langsung tidak sentuh.

“Apa yang amat menyedihkan, rakyat biasa kelas menengah dan rakyat miskin diberikan sogokan kecil one off seperti BRIM tetapi untuk tauke besar dan kroni pemerintah, diberikan insentif 10 tahun seperti yang diumumkan tadi iaitu Tun Razak Exchange.

MP Bagan Lim Guan Eng

“Kalau melihat hutang pula, RM 456 billion untuk tahun lepas (meningkat) kepada RM 502 billion untuk tahun ini.

“Yang lebih dapat banyak manfaat masih kroni-kroni yang dapat banyak projek yang telah dijanjikan Ini adalah janji ditepati kepada kroni-kroni.

“Janji dalam buku jingga dapat dilaksanakan jika kita memerintah Putrajaya dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ianya bukan untuk kroni-kroni.

” MP Kepong Dr Tan Seng Giaw

“Ia merupakan peruntukan bajet yang amat besar berbanding dengan tahun lalu.

“Tetap ada beberapa perkara yg belum dibuat misalnya utk SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah) kerana kita ingin mencegah ketirisan.

“Sebab itu defisit sekarang ialah RM 43 bilion dan kalau kita tiada badan yang betul-betul boleh uruskan ini kita susah untuk hadapi masalah kerana hutang negara telah melebihi 54 peratus KDNK.

“Bajet ini secara keseluruhannya untuk pancing undi pada pilihanraya akan datang.

Yang penting kerajaan perlu atasi defisit.

” MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar

“Belanjawan yang diumumkan hari ini tidak menjelaskan sumber-sumber pertumbuhan pada masa akan datang.

“Bayangkan cukai peribadi personal income tax diturunkan satu peratus jadi saya tertanya-tanya kritikan sebelum ini mengatakan tidak ada sumber pertumbuhan yang dikemukakan oleh Pakatan.

“Kenapa hari ini terlalu bersifat budaya amat memperlihat pembelian undi dan juga tidak benar-benar cuba menyelesaikan masalah struktur ekonomi Malaysia?


Bajet 2013 tidak dapat selesai hutang negara

KUALA LUMPUR: Bajet 2013 didakwa memberi tumpuan yang lebih kepada golongan sasar untuk menarik undi mereka pada Pilihan raya Umum ke-13.

Ahli Parlimen Parit Buntar Dr.Mujahid Yusof Rawa berkata, pemberian one off kepada golongan belia, nelayan, petani dan pesara tentera menunjukkan kerajaan sedang menawan hati golongan itu.

"Apa yang kerajaan beri dalam bentuk one off kepada golongan 21 tahun ke atas seperti rebat pembelian smartphone, pelajar sekolah dapat RM100 baucer, RM250 baucer buku kepada pelajar IPT, ini semua sasaran kerajaan dalam pilihan raya," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen, petang tadi.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga berkata, tiada sesuatu yang baru dalam Bajet 2013 selain tidak menyelesaikan masalah bebanan hidup rakyat.

"Semua ini tidak menyelesaikan bebanan hidup. Kita mahu kalau boleh ada isu harga minyak tapi tak ditekankan.

"Saya menganggap bajet ini berada dalam kerangka lama, tidak ada sesuatu yang baru dan bajet pilihan raya kerana semuanya akan diberi pada 2013.

Selain itu katanya, masalah hutang negara juga tidak dapat diselesaikan jika kerajaan terus mengamalkan pemberian one off.

"Masalah hutang negara tidak digarap dan meningkap 10.1 peratus dalam laporan ekonomi iaitu hutang dalaman RM484.8 bilion berbanding dahulu iaitu lebih kurang RM430 bilion," katanya.

“Jadi saya bimbang kalau pun Pakatan berjaya meneraju pemerintahan kita akan mewarisi ekonomi yang bankrup.” -selangorku



Ulasan GB

GB terbaca dari wall fb:

Hutang Malaysia 2007 : RM247 bilion
Hutang Malaysia 2011 : RM421 bilion (Laporan : Hutang Negara Mencecah RM437.2 Bilion @ 52.7% Daripada KDNK. Bakal Cecah RM1 Trillion Tahun 2020)
Hutang Malaysia Mac 2012 : RM456.1 Bilion. (Laporan : Menteri kata jangan risau, tidak perlu bimbang. Kita baru 53 percent. Threshold 55 percent. Bagus pny menteri)
Jun 2012 : RM470.76 Bilion (Laporan : Hutang Malaysia 2012 (Terkini) Mencecah RM470.76 Bilion : Meningkat RM14 Bilion (54.8/55%)!!)
September 2012 (terkini): RM476.68 bilion.
sumber: Bank Negara Malaysia

Bajet 2013 : RM 502 Billion

clap clap clap....
http://greenboc.blogspot.com

'Kami mulakan dulu'

'Kami mulakan dulu'
Ramley dan Norhaileyza (kanan) menunjukkan Bantal 1Malaysia dijual di kedainya.
SEREMBAN – Siapa sangka, idea meletakkan nama '1Malaysia' sebagai jenama pada produk jualannya kira-kira tujuh tahun lalu, rupanya akan diikuti dengan beberapa keluaran lain menggunakan jenama sama.

Itulah keunikan bagi Kedai Bantal 1Malaysia, apabila mereka yang mula-mula dulu menggunakan '1Malaysia' sebagai identiti produk, sebelum ia digunakan kerajaan untuk beberapa produk dan perkhidmatan.

'Kami mulakan dulu'
Kedai milik Norhaileyza terletak di Paroi.
“Sebelum kerajaan mengeluarkan produk berjemana 1Malaysia, kami terlebih dahulu mengunakan jenama tersebut terhadap produk jualan kami,”, kata Pengarah Urusan Kedai Bantal 1Malaysia, Norhaileyza Ramley, 31.

Menurut Norhaileyza, kedainya yang terletak di Paroi, dekat sini mula beroperasi sejak 2005 dan ketika itu kerajaan belum lagi mengeluarkan barangan 1Malaysia seperti sekarang.

Malah, katanya, dia tidak pernah terfikir bahawa satu hari nanti jenama '1Malaysia' akan digunakan kerajaan untuk produk-produk yang menggambarkan suasana masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Sejak mula berniaga memang kami menggunakan jenama Bantal 1Malaysia. Pada ketika itu, kami memikirkan produk dijual itu haruslah murah serta mampu dibeli semua golongan.

“Tidak sangka pula, apa yang difikirkan kami hampir sama dengan konsep kerajaan terhadap barangan 1Malaysia yang kini boleh diperolehi di merata-rata tempat.

“Biarpun konsepnya sama, tetapi sehingga kini, kami berbangga kerana menjadi peniaga pertama yang mengunakan nama tersebut dengan menjual Bantal 1Malaysia di Seremban,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Norhaileyza berkata, kedai ilham daripada bapanya, Ramley Abdullah, 56, itu sehingga kini tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana badan kerajaan.

Menurutnya, sejak ayahnya pencen askar, dia menggunakan modal sendiri untuk memulakan perniagaan ini sehingga sekarang.

“Kami pernah juga cuba mendapatkan bantuan daripada badan kerajaan, namun semuanya amat mengecewakan berikutan terdapat beberapa syarat yang tidak mampu kami penuhi.

“Bagaimana pun, kami tetap bersemangat meneruskan perniagaan ini, memandangkan bukan semua berminat hendak berniaga bantal, lebih-lebih lagi bantal berkonsepkan 1Malaysia.

“Dari segi harga, boleh dikatakan bantal kami jauh lebih murah hampir 70 hingga 80 peratus murah dari harga pasaran,” katanya.

Katanya, lebih 20 jenis bantal dengan pelbagai material boleh diperolehi di kedainya itu serendah RM6 sehingga mencecah RM200.

“Namun, bagi bantal 1Malaysia, kebanyakannya kami jual dengan harga RM10 sahaja dengan mengunakan material jenis ’foam’ yang senang dijaga dan tidak mudah menjadi leper,” katanya.

Selain itu, katanya, kepada mana-mana peniaga yang berminat untuk menjual bantal 1Malaysia, kedainya juga ada menyediakan perkhidmatan bagi mendapatkan bantal secara borong.

Hidup sendirian di dangau daif

Hidup sendirian di dangau daif
Di dangau yang daif inilah tempat Ibrahim menumpang berteduh sejak dua tahun lalu
TUMPAT – Seorang warga emas, Ibrahim @ Salleh Mamat, 62, menghabiskan sisa hidupnya bersendirian di sebuah dangau daif apabila dia tiada tempat  tinggal selepas bercerai dengan  isterinya dua tahun lalu.

Dangau itu hanyalah sebuah pondok  menunggu durian gugur milik abangnya, tetapi ia bagaikan syurga bagi Ibrahim sekurang-kurangnya ada juga tempat dia menumpang berteduh.

Lebih menyentuh hati, dinding dangau itu tidak bertutup sepenuh-nya memaksa Ibrahim menutupnya dengan plastik, bumbung pula bocor sana sini dan lantainya juga reput.

Ibrahim berkata, dia mengambil keputusan untuk tinggal di pondok usang di dalam kebun durian milik abangnya, Abdul Rahman, 65, kerana tidak mahu menyusahkan keluarga abangnya.

“Semasa bersama bekas isteri, saya tinggal di Tanah Merah dan selepas saya bercerai, saya balik di kampung halaman dan tinggal bersama abang.

“Saya tak nak menyusahkan abang, itu sebabnya saya meminta izin untuk tinggal di pondok usang ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Bendang Kerian dekat sini, semalam.

Menurut Ibrahim, walau pun dia hidup bersendirian, itu tidak bermakna anak–anak mengabaikannya kerana dia mempunyai lapan anak hasil perkahwinannya sebanyak tiga kali.

“Anak-anak pun bukan orang senang untuk membantu saya, sekadar datang menziarah dan menghulurkan makanan.

“Untuk makan minum saya hari-hari, saya ada wang untuk berbelanja kerana menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.

“Kadang kala saya keluar bekerja sebagai prebet sapu kerana saya ada sebuah kereta,” katanya yang turut menderita penyakit asma dan jantung.

Ibrahim menaruh harapan yang tinggi sekiranya ada pihak membantunya merealisasikan impian untuk memiliki rumah kerana dia mempunyai tanah sendiri.

Dengan kudratnya, dia tidak mampu untuk membina rumah sendiri kerana masalah kesihatannya itu sering mengganggunya untuk bekerja.

Suami Saman Isteri Sebab Hodoh

Seorang lelaki dari China, Jian Feng telah menceraikan dan menyaman isterinya sebanyak $120,000 dan beliau menang kes tersebut...

Menurut laporan, Feng tinggal bersama isterinya yang cantik hidup bahagia sehinggalah mereka dikurniakan seorang bayi perempuan yang mana kelihatan sedikit pun tidak sama dengan mereka berdua. Bayi tersebut juga dilaporkan hodoh dan mengejutkan beliau.Timbul keraguan dan syak wasangka dalam diri Feng dan beliau menuntut supaya isterinya memberitahu siapakah bapa sebenar bayi perempuan yang dilahirkan itu. Akhirnya, si isteri mengaku telah membuat rawatan pembedahan plastik di Korea Selatan untuk merubah keseluruhan mukanya menjadi cantik.


Feng telah menyaman di bawah terma isterinya telah menipu beliau sehingga mengahwininya dalam rupa yang palsu.

Bayi Misteri,Berkaki Kambing Dan Tiada Tengkuk

Seorang bayi misteri dilahirkan di Jigawa, utara barat Nigeria di mana bayi tersebut dilahirkan dengan sepasang kaki kambing dan tidak mempunyai tengkuk....
.Ibu kepada bayi terbabit dikatakan sudah kali ke-empat mengalami nasib begini. Masih tidak diketahui kenapa perkara sebegini boleh berlaku.
Allah maha berkuasa, ada sesuatu yang ingin disampaikan dalam kejadian penuh misteri ini 
– wootmedia

Netanyahu desak henti program nuklear

Netanyahu
Netanyahu menunjukkan garis merah pada gambar bom program
 nuklear Iran ketika Persidangan Agung PBB di New York, AS
NEW WORK - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendedahkan program nuklear Iran untuk mempengaruhi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menyekat kemaraan program terbabit.

Ketika berhujah pada Persidangan Agung PBB, Netanyahu memaparkan gambar mengenai peringkat pertama memproses uranium bagi menghasilkan bom nuklear di Iran.

“Menjelang tahun depan, saya yakin program ini bakal selesai sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya, kepantasan memproses uranium itu menunjukkan terdapat kemajuan dalam teknologi di mana proses tersebut lebih cepat berbanding model sedia ada di Rusia.

“Anggota PBB perlu menggesa Iran untuk menyemak semula pengiraan program nuklearnya itu kerana tindakan itu tidak akan berhasil dan menimbulkan masalah” katanya.

Terdahulu, Presiden Iran Mahmoud Ahmedinejad berkata, pelaksanaan program itu adalah bagi menjamin keselamatan negaranya dan bukan bertujuan untuk muncul sebagai negara pengeluar senjata seperti didakwa Amerika Syarikat dan Rusia. -Reuters

Sein rayu bantuan ekonomi

Presiden Myanmar, Thein Sein
Presiden Myanmar, Thein Sein
NEW YORK - Myanmar merayu kepada negara antarabangsa supaya membantu meningkatkan pelaburan dan kepakaran bagi menjamin kestabilan politik negara itu.

Presiden Myanmar, Thein Sein berkata, ekonomi kukuh adalah elemen penting bagi memastikan kejayaan reformasi demokrasi negaranya.

“Saya berpendapat kestabilan dan pertumbuhan ekonomi diperlukan untuk melindungi perubahan politik dan jika kita mampu lakukan, saya tidak fikir akan ada sebarang perubahan di dalam sistem politik,“ katanya ketika ditanya sama ada proses demokrasi dapat dipulihkan atau sebaliknya.

Pada lawatan pertama beliau ke Amerika Syarikat sejak mengambil alih kuasa tahun lalu,  beliau menggariskan visi Myanmar sebagai negara makmur dan majmuk. -Reuters

Dua penoreh getah warga emas ditembak mati

YALA: Dua penoreh getah ditembak mati di sebuah ladang getah di daerah Raman di sini, semalam.

Mereka dikenali sebagai Mudor Malee, 60, dan isterinya, Sama Sohsu, 61, penduduk tambon Balor di daerah Raman.
Saksi memberitahu polis, mereka mendengar bunyi tembakan di dalam kebun getah dekat kampung awal pagi semalam tetapi tiada siapa yang berani pergi untuk melihat apa yang berlaku.

Polis percaya pasangan itu sedang menoreh getah apabila penyerang menembak mereka menggunakan pistol 9mm dan .22 kaliber. Penyerang itu kemudian melarikan diri.



Mereka menuduh ia dilakukan oleh militan pemisah Islam.


Sejak pemberontakan yang bermula pada Januari 2004, terdapat kira-kira 11,000 kejadian keganasan oleh puak pemisah di wilayah berpenduduk majoriti Islam paling selatan, Yala, Pattani, Narathiwat di mana hampir 5,000 orang terbunuh dan 8,000 cedera. - BP

Iran yakin mampu bertahan

NEW YORK: Iran semalam berikrar akan bertindak balas terhadap sebarang serangan selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyeru supaya satu “garisan merah” ditetapkan bagi menghalang republik Islam itu memiliki bom nuklear.

Menafikan sebarang program nuklear untuk tentera, Timbalan Duta Iran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, negaranya “cukup kuat untuk mempertahankan diri dan berhak sepenuhnya untuk bertindak balas secara maksimum terhadap sebarang serangan.” Menurut Eshagh al-Habib, Israel adalah “regim yang berasaskan keganasan dan sebenarnya menjadi pengasas kepada negara pengganas di dunia.” Eshagh turut mendakwa Netanyahu membuat tuduhan tidak berasas terhadap Iran ketika berucap di Perhimpunan Agung PBB semalam. Ketika berucap, Netanyahu mendesak PBB menetapkan “garisan merah” bagi “program senjata nuklear Iran.” “Garis merah yang jelas mesti dibuat ke atas program pengayaan nuklear Iran kerana kemudahan itu adalah satu-satunya kemudahan yang dapat kami lihat sebagai sasaran yang kami yakini,” katanya. Menurut Eshagh, Netanyahu membuat tuduhan itu tanpa rasa malu dan hipokrit.


“Israel menyusun operasi di Iran yang membawa kepada pembunuhan beberapa saintis nuklear Iran,” katanya. Eshagh turut mempersenda graf versi kartun digunakan Netanyahu dalam ucapannya.

“Untuk kali kedua dalam sejarah PBB, satu graf imaginasi dan tak berasas digunakan untuk menghalalkan ancaman terhadap negara anggota PBB,” katanya. - AFP

AS, Israel kongsi matlamat dalam isu nuklear Teheran

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) dan Israel “berkongsi matlamat” menyekat Iran daripada memiliki senjata nuklear, kata seorang pegawai diplomatik AS semalam.

Menurutnya, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, selama 75 minit selepas pemimpin Zionis itu berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). “Mereka mengadakan perbincangan mendalam mengenai Iran dan kedua-dua pihak menegaskan sekali lagi bahawa mereka berkongsi matlamat dalam usaha menghalang Teheran memiliki senjata nuklear,” katanya. Pegawai itu berkata, Washington dan Tel Aviv juga bersetuju untuk terus bekerjasama bagi mencapai matlamat berkenaan. - AFP

China dituduh terus cuba ceroboh komputer Pentagon

WASHINGTON: Pegawai tertinggi Pusat Arahan Siber Amerika Syarikat (AS) semalam mendakwa China terus cuba menceroboh rangkaian komputer Pentagon.

Untuk menghadapinya, satu cadangan dikemukakan kepada kerajaan bagi meningkatkan kedudukan pusat berkenaan dalam hiraki tentera AS. Pengarah Risikan pusat itu, Samuel Cox berkata usaha pencerobohan ke atas Jabatan Pertahanan adalah berterusan, manakala cubaan China mencuri rahsia dagangan korporat semakin meningkat. Tahun lalu, Pejabat Eksekutif Antirisikan Kebangsaan satu sayap perisikan AS berkata, aktor China adalah perisik ekonomi paling konsisten untuk Beijing. Cox berkata, dia yakin usaha China menceroboh rangkaian komputer AS itu semakin meningkat. Ditanya mengenai kemungkinan ada maklumat berjaya diperoleh China, Cox enggan memberi komen. - Reuters

Recep kecewa pendirian sekutu Damsyik dalam isu Syria

ISTANBUL: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, mengecam Russia, China dan Iran semalam, kerana pendirian negara terbabit dalam krisis Syria menyebabkan pembunuhan beramai-ramai terus berlaku.

Kata Recep, sumber utama kekecewaan itu ialah Russia.


“Itu belum mengambil kira pendiriannya dalam menegur Syria serta pembunuhan beramai-ramai di negara itu,” katanya dalam temu bual disiarkan stesen televisyen Turki, NTV.

Kata Recep, China pula menyokong Russia.


“Walaupun Presiden China, Hu Jintao, memberitahu saya mereka tidak akan menggunakan veto dalam usul mengenai zon selamat di Syria untuk kali ketiga, mereka masih menggunakan kuasa itu dalam undian di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya. Recep adalah pengkritik utama Presiden Syria, Bashar al-Assad dan mendakwa pemimpin itu membangunkan sebuah negara pengganas.


Recep juga membenarkan penentang Bashar beroperasi dari wilayah Turki. Kata Recep, kedudukan Iran dalam krisis berlanjutan sejak 18 bulan itu pula “mustahil untuk difahami. - Reuters

Surat cinta Anwar, tongkat Nik Aziz antara dilelong

SHAH ALAM - Lelongan barangan kenangan pemimpin Pakatan Rakyat (PR), antaranya tongkat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan 'surat cinta' Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjana RM182,000 untuk tabung Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) perikatan itu.

Lelongan diadakan pada majlis makan malam perdana PR di sini malam tadi.

Harga lelongan tertinggi dibayar kepada surat cinta Anwar, Ketua Pembangkang, kepada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang ditulis beliau dari penjara.

Ia dibeli dengan RM50,000 oleh Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, pemimpin dari Sabah yang bulan lalu meninggalkan Umno dan BN.

Ia diikuti oleh kartun dilukis secara 'live' oleh Kartunis Zunar yang bertajuk 'Kuasa Rakyat' yang dibeli dengan harga RM32,000, lapor Harakahdaily.

Pen yang digunakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang ketika dalam penjara, dibeli dengan harga RM23,000 oleh Exco Selangor, Ronie Liu.

Gambar santai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta terendak nelayannya dibeli dengan harga RM17,000. Ia dibeli oleh Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong Pas Selangor, Sri Jalaraman.

Selain itu, barangan dan gambar milik Datuk Fadzil Nor, bekas Presiden Pas, berjaya dilelong dengan harga RM11,000, gambar asal graduasi Dr Syed Husin Ali (RM15,000) dan tongkat Nik Aziz (RM12,000) dan poster filem Karpal Singh (RM12,000).

Di samping kutipan melalui lelongan itu, majlis itu berjaya mengutip lebih RM22,000 melalui jualan meja.

"Ini bermakna, lebih RM200,000 kita berjaya kutip malam ini," kata Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr Hatta Ramli.

Penunjuk perasaan, polis bertempur

Penunjuk perasaan berarak membawa kain rentang  membantah filem anti-Islam, Innoncence of Muslims, di Quetta, Pakistan, semalam.
Penunjuk perasaan berarak membawa kain rentang membantah filem anti-Islam, Innoncence of Muslims, di Quetta, Pakistan, semalam.
Islamabad: Penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Peshawar semalam ketika kemarahan berhubung penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW semakin memuncak di sebalik desakan pemimpin politik dan agama di seluruh dunia Islam supaya bantahan secara aman diadakan.

Misi diplomat Barat di seluruh dunia Islam mengetatkan kawalan keselamatan dengan sebahagiannya menutup operasi berikutan jangkaan bantahan besar-besaran akan diadakan selepas solat Jumaat.
Filem anti-Islam yang dihasilkan di Amerika Syarikat menimbulkan kemarahan umat Islam dan membawa kepada bantahan selama beberapa hari di seluruh dunia Islam, manakala kartun mempersendakan Nabi Muhammad SAW yang disiarkan dalam majalah Perancis Rabu lalu dijangka menyemarakkan kemarahan.

Pegawai perundangan tertinggi Islam Mesir kelmarin berkata umat Islam sepatutnya mengikut contoh Nabi Muhammad SAW yang bertenang berdepan penghinaan terhadap baginda tanpa membalas dendam.

Bagaimanapun, desakan itu kelihatan tidak akan menenangkan kemarahan.

“Serangan terhadap Nabi Muhammad SAW adalah serangan ke atas 1.5 bilion umat Islam. Ini sesuatu yang tidak boleh diterima,” kata Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervez Ashraf, dalam ucapan yang kepada ahli politik dan pemimpin agama.

Isytihar Jumaat Hari Kasih sayang Nabi Muhammad SAW
Pakistan mengisytiharkan Jumaat sebagai Hari Kasih Sayang kepada Nabi Muhammad SAW.

Penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di Peshawar, pekan lama terletak di jalan raya utama menuju Afghanistan dan membakar panggung wayang serta bertempur dengan polis pencegah rusuhan yang cuba menyuraikan mereka.

Sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan cedera, kata doktor di hospital utama bandar raya itu.

Di Islamabad, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan yang membaling batu bertempur dengan polis ketika cuba menuju ke kedutaan Amerika kelmarin dan kerajaan menyekat perkhidmatan telefon bimbit di lebih 12 bandar raya sebagai langkah keselamatan menjelang bantahan semalam. - Reuters

Subsidi gula dikurangkan 20 sen

KUALA LUMPUR - Harga gula dijangka naik selepas kerajaan mengumumkan pengurangan subsidi barangan itu sebanyak 20 sen sekilogram berkuat kuasa hari ini selepas mengambil kira isu kesihatan rakyat termasuk yang membabitkan 2.6 juta penghidap diabetis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2013 semalam memberitahu, pengurangan subsidi itu telah mendapat sokongan daripada persatuan pengguna dan pengamal kesihatan.
"Walaupun subsidi dikurangkan, kerajaan masih menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen sekilogram yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM278 juta," katanya.
Pada masa ini harga gula kasar ditetapkan kepada RM2.30 sekilogram manakala gula halus pula RM2.40.

Nakoula kena tahan

Nakoula dibawa keluar dari rumahnya oleh anggota pejabat syerif Los Angeles untuk disoal siasat berikutan penerbitan filem Innocence of Muslims yang menimbulkan kemarahan umat Islam 15 September lalu.
Nakoula dibawa keluar dari rumahnya oleh anggota pejabat syerif Los Angeles untuk disoal siasat berikutan penerbitan filem Innocence of Muslims yang menimbulkan kemarahan umat Islam 15 September lalu.
Los Angeles: Penerbit filem anti-Islam yang mencetuskan bantahan jalanan di seluruh dunia Islam ditahan di California atas dakwaan melanggar perintah pemerhatian dan seorang hakim persekutuan mengarahkan beliau dipenjarakan tanpa jaminan.

Nakoula Basseley Nakoula, 55, ditahan di sebuah lokasi yang tidak didedahkan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan dibawa ke mahkamah di Los Angeles dengan masih lagi mengenakan pakaian biasa tetapi bergari dan dirantai di pinggang.
Nakoula disiasat pegawai untuk menentukan sama ada beliau melanggar peraturan pembebasan pada 2011 dari sebuah penjara di sini atas kesalahan menipu bank ketika menerbitkan filem, walaupun pihak berkuasa berkata mereka tidak menyiasat filem terbabit.

“Mahkamah sudah hilang kepercayaan terhadap defendan kali ini,” kata Hakim Majistret Amerika Syarikat, Suzanne Segal yang menolak permohonan jaminan Nakoula pada perbicaraan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat.

Video beliau selama 13 minit difilemkan di California dan disiarkan di internet di bawah beberapa tajuk termasuk “Innocence of Muslims.” Ia menghina Nabi Muhammad termasuk melakukan seks songsang.

Klip berkenaan mencetuskan rusuhan anti Amerika Syarikat di Mesir, Libya dan berpuluh negara Islam lain sejak dua minggu lalu.

Keganasan berkenaan juga adalah berkebetulan dengan satu serangan di kemudahan diplomatik Amerika Syarikat di Benghazi yang membunuh empat rakyatnya termasuk duta Amerika Syarikat ke Libya.
Mengikut peraturan pembebasan Nakoula dari penjara, beliau dilarang mengakses internet atau menggunakan nama lain tanpa permintaan pegawai pemerhati, kata rekod mahkamah. Beliau kini berhadapan dengan lapan dakwaan melanggar perintah pemerhatian.

Ketika menolak permohonan jaminan, Segal menyifatkan beliau sebagai risiko penerbangan dan berkata pengeluar filem Coptic Christian yang tinggal di Cerritos, Los Angeles terbabit dalam gaya penipuan yang berterusan, termasuk menggunakan beberapa nama lain.

Nakoula tidak kelihatan di mata umum sejak dua minggu lalu berikutan kemarahan orang ramai terhadap filem itu. Minggu lalu, Menteri Keretapi Pakistan, Ghulam Ahmad Bilour menawarkan sejumlah $100,000 kepada sesiapa yang membunuh pembuat video terbabit.

Pejabat perdana menteri Pakistan bagaimanapun enggan mengulas mengenai kenyataan itu.

Seorang peguam Nakoula melahirkan kebimbangan di mahkamah mengenai keselamatan anak guamnya dan meminta perbicaraan diadakan secara tertutup kepada media. Reuters

1.5 juta belia dapat rebat RM200 beli telefon pintar 3G




GOLONGAN muda berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan dapat membeli set telefon pintar dengan harga lebih murah pada tahun depan di bawah program Bajet 2013.


KUALA LUMPUR - Seramai 1.5 juta belia di negara ini akan menikmati rebat sebanyak RM200 secara sekali bayar bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G yang bertujuan membuka akses untuk golongan itu kepada lebuh raya maklumat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pakej khas itu yang akan diperkenalkan kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat telekomunikasi terbuka kepada belia berumur 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.
"Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi pelaksanaan rebat ini," jelas beliau ketika membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat semalam.