WASHINGTON 26 Mac – Pengarah filem Titanic, James Cameron selamat naik ke permukaan laut selepas melakukan ekspedisi solo menyelam di dasar laut paling dalam di Lautan Pasifik, Jurang Mariana, menggunakan kapal selam.
Penganjur ekspedisi projek Cabaran Laut Dalam di laman Twitter menyatakan bahawa ‘Jim Cameron sudah sampai ke permukaan laut! Tahniah kerana melakukan penyelaman bersejarah itu secara solo ke pusat paling dalam di laut berkenaan’.
Rakan misi ekspedisi tersebut, National Geographic berkata, Cameron menyelam pada kedalaman 10,898 meter pada pukul 7.52 pagi ini waktu tempatan (5.52 pagi waktu Malaysia) di Jurang Mariana menggunakan kapal selam yang direka khas.
Pengarah itu ialah individu pertama melakukan penyelaman secara solo di Jurang Mariana, barat daya Guam.
Penyelaman terakhir ke kawasan tersebut dilakukan oleh sepasukan terdiri daripada dua orang pada 1960.
Pengarah filem itu meluangkan masa selama beberapa jam di dasar laut bagi mengumpul sampel untuk kajian saintifik dan mengambil gambar.
Misi Cameron bertujuan membawa balik data dan spesimen dari kawasan yang masih belum dijelajah manusia itu.
Dia dijangka mengumumkan keputusan eksperimen itu tidak lama lagi. – AFP
'via Blog this'