Showing posts with label gerhana. Show all posts
Showing posts with label gerhana. Show all posts

Wednesday, January 5, 2011

"Gerhana matahari separa di Asia Barat dan Eropah


Kosmo! Online - Dunia:

GERHANA matahari separa yang dapat dilihat di Gaza semalam.

BERN - Langit musim sejuk bertukar menjadi gelap di Switzerland kerana fenomena gerhana matahari separa yang bermula di Asia Barat dan melitupi hampir seluruh Eropah pada pagi semalam.

Sebuah akhbar melaporkan, keadaan di bandar raya ini menjadi gelap seperti senja semasa orang ramai berpusu-pusu keluar dari tren dan bas untuk ke tempat kerja.

Gerhana itu dapat dilihat dengan jelas di Geneva dan beberapa kota lain di Switzerland menjelang pertengahan waktu pagi sebelum langit beransur cerah.

Gerhana itu buat pertama kalinya dilihat adalah di langit Baitulmuqaddis manakala gerhana matahari paling jelas berlaku di Sweden apabila hampir 85 peratus matahari berada di belakang bulan.

'Kerana jajaran kedudukan bulan dengan matahari, gerhana kali ini kelihatan kecil,' kata seorang ketua balai cerap, Tycho Brahe di selatan Sweden.

Gerhana matahari berlaku apabila bulan berada di antara matahari dan bumi menyebabkan bayang bulan dapat dilihat dari bumi manakala dalam gerhana separa hanya sebahagian matahari terhalang oleh bulan.

Sementara itu, penduduk di pedalaman Rusia, Kazakhstan, Mongolia dan barat daya China dapat melihat gerhana matahari itu pada waktu senja.

- Agensi"

Saturday, June 26, 2010

Gerhana bulan separa malam ini


26/06/2010 4:47pm

KUALA LUMPUR - Masyarakat Islam digalakkan menunaikan solat sunat khusuf atau solat sunat gerhana bulan sempena dengan fenomena gerhana bulan separa malam ini.
Menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa), gerhana akan bermula dengan fasa penumbra pada pukul 4.57 petang ini dan mencapai tahap gerhana maksimum pada pukul 7.30 malam sebelum dijangka berakhir pada pukul 10.22 malam ini.
Penolong Pegawai Hal-Ehwal Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Noor Syarizal Mohd Nunar berkata solat gerhana boleh dilakukan selepas solat Maghrib secara berseorangan atau berjemaah.
Katanya orang ramai dijemput menunaikan solat khusuf disertai khutbah khas gerhana bulan di Masjid Negara dan Masjid Putrajaya.
Sementara itu, orang ramai berpeluang menyaksikan gerhana bulan separa itu di Planeterium Negara di sini antara pukul 7.38 malam hingga 10.20 malam ini.
Menurut laman web Angkasa, teleskop bagi melihat gerhana bulan itu akan disediakan secara percuma kepada orang ramai bermula 8 hingga 10 malam ini.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 03-22734301/4303/5484 atau melayari laman web www.angkasa.gov.my/planetarium. - Bernama