Saturday, July 30, 2011

Wartawan dijel lebih lama


BEIJING: Aktivis hak asasi manusia semalam mendakwa pihak berkuasa China melanjutkan hukuman penjara ke atas seorang wartawan yang dijel pada 2007 selepas dia melaporkan kes rasuah.
Qi Chonghuai, wartawan veteran yang sebelum ini bekerja dengan akhbar China Work Safety Production News sepatutnya dibebaskan tahun ini.

Hukuman ke atasnya bagaimanapun dilanjutkan selama lapan tahun lagi selepas dia berikrar untuk meneruskan kempen antirasuahnya. - AP
http://www.hmetro.com.my

Suami isteri tak dibenar bercerai ketika Ramadan


QATIF: Jabatan Pembiayaan dan Harta di bandar raya ini memutuskan untuk tidak meluluskan perceraian ketika bulan suci Ramadan, lapor akhbar harian berbahasa Arab, Al-Riyadh, semalam.
Jabatan itu dilaporkan mengadakan mesyuarat yang dihadiri semua pegawai tadbir perkahwinan di negara ini dan memutuskan supaya tidak membenar sebarang perceraian ketika bulan puasa.

“Tindakan itu dapat memberi peluang kepada pasangan yang bermasalah berbaik semula sebelum mereka membuat keputusan akhir untuk bercerai,” kata hakim di jabatan itu, Sheikh Muhammad Al-Jirani.
http://www.hmetro.com.my

Deraian air mata Norman, Memey


LEGA...Norman dan Memey bergenang air mata selepas menerima keputusan mahkamah, semalam.
LEGA...Norman dan Memey bergenang air mata selepas menerima keputusan mahkamah, semalam.

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan ini. Ia juga hadiah perkahwinan paling bermakna bagi kami,” kata pelakon, Memey di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, semalam.
Reaksi spontan itu diberikannya sejurus Hakim Salehan Yatim memutuskan dia dan pasangannya yang juga pelakon dan pengarah filem, Norman Hakim dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkhalwat, tiga tahun lalu.
Salehan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili pendakwa syarie Siti Fatimah Maulana gagal membuktikan kes prima facie terhadap tuduhan itu.


Sebelum ini, pasangan artis yang sudah bertunang itu mengumumkan akan melangsungkan perkahwinan pada September depan dan majlis resepsi perkahwinan mereka mendapat tajaan lebih RM12 juta.




Keputusan kes tuduhan berkhalwat mereka semalam menjadi kegembiraan ‘berganda’ kepada mereka dan disambut dengan tangisan syukur Memey atau nama sebenarnya, Suhaizah Suhaimi, 23, serta bakal suaminya yang menyifatkan ia berkat doa dan kesabaran mereka.
http://www.hmetro.com.my

Mati terperosok bawah kereta bapa


SEBAK...Che Pauzi menenangkan isterinya ketika menunggu bedah siasat selesai  di bilik mayat di HRPZ   II. Gambar kecil, Nuramni Athirah.
SEBAK...Che Pauzi menenangkan isterinya ketika menunggu bedah siasat selesai di bilik mayat di HRPZ II. Gambar kecil, Nuramni Athirah.

BACHOK: “Sebelum kejadian, anak saya menunjukkan sikap pelik apabila beberapa kali keluar bilik mencium pipi saya sebelum tidur. Tak sangka ia ciuman terakhir,” kata Che Pauzi Mamat, 44, bapa kepada Nuramni Athirah, berusia setahun sembilan bulan yang maut dilanggar Perodua Alza dipandu Che Pauzi ketika mengundurkan kenderaan berkenaan keluar dari garaj rumah mereka di Kampung Tok Jawa, Tawang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Kedai Lalat, di sini, sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Demit, Kubang Kerian, petang semalam.

Menceritakan kejadian itu, Che Pauzi berkata, ketika kejadian dia sedang bersiap ke pasar bersama isteri, Noraini Othman, 38 dan anaknya itu untuk membeli barangan persiapan Ramadan dan ketika mengundurkan kenderaannya, dia terdengar jeritan jiran dan pada masa sama berasa seperti terlanggar sesuatu.

“Saya keluar dari kenderaan dan melihat Nuramni Athirah terperosok di bahagian kiri tayar depan MPV saya. Saya segera memanggil isteri untuk membantu mengeluarkannya.

“Ketika itu Nuramni Athirah dalam keadaan lemah dan masih bernyawa. Saya berusaha memberikan bantuan pernafasan dan mengurut dadanya sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Kedai Lalat. Bagaimanapun, anak saya sudah meninggal dunia dan dibawa ke (HRPZ II),” katanya sebak.


Menurut Che Pauzi, kebiasaannya dia mendukung anaknya itu jika hendak keluar bersama, tetapi semalam dia menyangka anaknya bersama isteri di dalam rumah.


“Dugaan ini memang berat untuk dihadapi, apatah lagi ketika Ramadan semakin hampir,” katanya yang bertugas di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Kubang Keranji, Kota Bharu. Che Pauzi berkata, Nuramni Athirah amat disayanginya kerana dilahirkan selepas 15 tahun dia tidak mempunyai anak.
Katanya, arwah anak tunggalnya menerusi perkahwinannya bersama Noraini tiga tahun lalu, manakala perkahwinannya yang terdahulu tidak memperoleh cahaya mata.

Dalam pada itu, usaha menemu bual ibu mangsa gagal kerana bersedih dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Yahya Salleh ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

http://www.hmetro.com.my

Ibu teringin jumpa anak lelaki









KEMAHANG TIGA - Seorang warga emas di sini, amat berharap dapat bertemu dengan anak lelakinya yang dibawa bekas suami selepas mereka bercerai.

Ramlah Mat Salleh, 61, sudah 30 tahun terpisah dengan Syahrul Azwan Alias, anak keempatnya daripada lima beradik dengan suami pertama dahulu.

Ramlah kini hilang punca untuk mencari Syahrul sejak dia dan suami pertamanya,

Alias Hasan, 61, bercerai pada awal 1980-an.

“Apabila bercerai, suami membawa Syahrul bersama dan berkahwin lain.

“Sejak dari itu, saya tidak lagi bertemu dengan mereka,” katanya.

Ramlah berkata, kali terakhir bertemu adalah ketika Syahrul berumur enam tahun apabila bekas suaminya datang menziarahinya.

“Selepas itu, saya tidak lagi berjumpa dengan dia kerana bekas suami dikatakan berpindah ke Pengkalan Hulu, Perak.

“Untuk mencarinya, memang sukar kerana kami tidak lagi berhubung kerana tiada alamat dan nombor telefon yang dapat dihubungi, malah saudara mara sebelah suami juga sudah tidak berhubung.

“Saya sangat rindu untuk berjumpa dengan Syahrul kerana sudah 30 tahun terpisah dan umurnya kini sudah pun 32 tahun.

“Setelah bercerai, bekas suami hanya membawanya seorang manakala empat lagi anak tinggal bersama saya,” katanya.

Menurutnya, keadaan kesihatannya juga semakin hari semakin meruncing dan rasa ingin berjumpa dengan Syahrul amat kuat.

“Hospital ibarat rumah kedua kerana saya terpaksa berulang alik untuk memeriksa kesihatan.

“Saya sudah 20 tahun menghidap pelbagai penyakit seperti asma, jantung dan buah pinggang, namun 10 tahun kebelakangan ini penyakit bertambah teruk,” katanya.

Ramlah berkata, dia terpaksa mengharapkan anak bongsu, Nuratikah Yaacob, 18, iaitu anak dengan suami kedua, menemaninya di rumah kerana anak yang lain sudah berumah tangga dan tinggal berdekatan

Katanya, usaha mencari memang ada namun kerana tiada sebarang petunjuk ia menjadi sukar.

“Saya berharap dapat berjumpa dengan Syahrul kerana sudah lama tidak bersua muka, ibu dan anak walau selama mana terpisah perasaan sayang dan rindu tetap ada,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my

Enam tahanan PSM bebas

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, 56, bersama lima ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan hampir sebulan mengikut Ordinan Darurat, dibebaskan semalam.

Yang lain adalah Timbalan Pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58; Setiausaha Bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, 49; Choo Chon Kai, 33; M Sukumaran 50, dan R Sarat Babu, 25. Mereka dipercayai dibebaskan tanpa syarat jam 5.30 petang di Balai Polis Jinjang. Mereka dibebaskan secara serentak selepas selesai pemeriksaan doktor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam kenyataan medianya berkata, tindakan selanjutnya akan ditentukan Jabatan Peguam Negara.

Mereka ditahan pada 2 Julai di Seberang Prai Utara, Pulau Pinang, di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah).

Mengikut Seksyen terbabit, polis boleh menahan suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

Mereka ditahan bersama 24 yang lain dalam bas persiaran di Plaza Tol Sungai Dua, Kepala Batas pada 25 Jun lalu dan didakwa di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana cuba melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Namun, jawapan balas permohonan afidavit habeas corpus berhubung pembebasan tersebut, polis mendakwa mereka sebagai penggerak utama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0.

Permohonan habeaus corpus itu ditangguhkan kepada 5 Ogos depan.

Uthman El-Muhammady kecewa rahsia perjumpaan MKN bocor

KUALA LUMPUR - Felo Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (Istac), Profesor Emeritus Dr Muhammad Uthman El-Muhammady kecewa dengan sikap tidak amanah individu yang mendedahkan maklumat perjumpaan tertutup mufti dan wakil majlis agama Islam negeri bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), baru-baru ini. 

Muhammad Uthman berkata, sikap seperti itu bukan sahaja mendatangkan kesan terhadap dirinya malah mendedahkan negara kepada bahaya.

“Apa yang saya lakukan mengikut panduan al-Quran, iaitu menggalakkan perbincangan oleh pakar-pakar sebelum didedahkan kepada umum atau menjadi rahsia negara. Mereka yang hadir di perjumpaan itu tidak sepatutnya buat sebarang pendedahan kerana memegang amanah bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman negara,” katanya.

Menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai tindakan pengkhianat, Muhammad Uthman berkata, mereka juga tidak beradab kerana tergamak mendedahkan perkara tertutup selain tidak berfikir akan kesan buruk yang boleh menjejaskan diri sendiri.

“Tindakan tidak amanah seperti itu boleh menyebabkan mu`suh ambil peluang untuk melaga-laga-kan umat Islam,” katanya.

Beliau dikaitkan dengan kenyataan kononnya menuduh bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan 40 ulama muda UMNO sebagai berfahaman Wahabi dalam perjumpaan itu.

Menurutnya, matlamat musuh adalah untuk melihat negara kucar-kacir dan Islam tidak lagi dihormati.

“Adakah mereka akan gembira jika ini yang berlaku?.

“Itulah yang menyebabkan saya hairan. Mengapa mereka ini yang kesemuanya golongan ilmuwan sanggup mendedahkan sesuatu yang masih dalam peringkat perbincangan?” katanya.

Menurutnya, sesuatu perkara jika berkait dengan kepentingan umum, akan didedahkan juga apabila tiba masanya dan tiada siapa yang perlu tergopoh-gapah untuk menyampaikan sesuatu yang belum jelas.

“Mereka sepatutnya sayangkan negara. Kenapa perlu buat kacau seperti itu,” katanya.

Muhammad Uthman mengingatkan “Jika ada musuh di dalam negara kita, musuh itu adalah orang Islam sendiri.”

“Saya harap hal yang seperti ini tidak akan berlaku lagi kerana perbuatan seperti itu hanya akan menyebabkan malapetaka kepada semua orang yang tidak bersalah. Jangan kerana dasar liberal, bercakap sesuka hati atau kebebasan untuk semua yang dilaung-laungkan kini, menyebabkan kita tidak boleh menjadi manusia yang beradab,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan beliau menuduh Mohd Asri serta 40 ulama muda UMNO yang dinafikan mereka sendiri, Muhammad Uthman enggan membuat sebarang kenyataan bagi mengelakkan ia disalah tafsir.

Terdahulu, Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab turut menafikan melabelkan mana-mana ulama dalam taklimat berhubung isu fahaman Wahabi.

Abby Abadi Sahkan Enggan Hadir Pernikahan Norman, Memey



PETALING JAYA: Pelakon Abby Abadi sudah mengesahkan tidak akan hadir ke majlis resepsi persandingan bekas suaminya, Norman Hakim dan Memey Suhaiza pada 28 September depan di sebuah hotel walaupun menerima kad undangan daripada mereka.
Norman dan Memey di jadual bernikah pada 24 September depan di Felda Tenggaroh, Mersing Johor iaitu rumah pengantin perempuan.
Ujar Abby, dia berbuat demikian kerana enggan merosakkan hari bahagia mereka yang digelar sebagai “wedding of the year” itu berikutan menerima tajaan bernilai RM12 juta.
“Jujurnya saya tidak akan hadir pada majlis itu. Saya tidak mahu merosakkan hari bahagia mereka,” katanya kepada mStar Online di sini, Jumaat.
Mengenai keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Jumaat yang melepas dan membebaskan Norman dan Memey atas tuduhan berkhalwat kira-kira tiga tahun lalu, Abby enggan mengulas berhubung perkara itu.
Menurut Abby, dia tiada hak untuk memberi komen mengenai kes tersebut memandangkan bekas suaminya itu tiada kena mengena lagi dengannya.
"Itu adalah keputusan mahkamah. Jika mereka (Norman dan Memey) disabitkan bersalah, maka salahlah mereka dan jika keputusan berpihak pada mereka, maka mereka berada di pihak yang betul.
"Pada pendapat saya, sama ada saya beri komen atau tidak, Norman dan Memey tidak ada kena mengena pun dengan saya," katanya.
Tambah ibu tunggal kepada tiga orang anak ini, walau apa pun keputusan mahkamah, ia tetap tidak akan mengubah apa-apa aktiviti mengenai kehidupan sehariannya.
Ditanya adakah Abby sudah berbaik dengan Norman setelah isu tuntutan wang hantaran berjumlah RM11,111.11 terhadap Norman diperkatakan sebelum ini, menurut Abby mereka sekadar bertegur sapa mengenai perihal anak sahaja.
"Jujurnya, apabila timbul pertikaian mengenai isu tersebut (hantaran), ia sedikit sebanyak menjejaskan karier lakonan saya. Dan ia dilihat seperti saya yang mahu memanaskan keadaan.
"Oleh itu, saya letak tanggungjawab tersebut kepada peguam saya yang rasanya lebih tahu tentang perkara ini.
"Saya belajar daripada pengalaman apabila kita cakap sesuatu yang benar, ia akan terkena kepada kita. Jadi cakap pun tak guna dan biarlah orang yang lebih arif sahaja yang uruskan," ujarnya.
Dalam pada itu, mengenai hubungannya dengan pelakon Zul Arifin, mereka belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat walaupun masing-masing pernah berbincang mengenai hal tersebut.
Abby dan Norman pernah berkahwin pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan seramai tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3. Bagaimanapun mereka bercerai pada 18 Disember 2008.

Shuhardi Nafi Larikan Diri, Bersembunyi



KUALA LUMPURL: Shuhardi Md. Isa, lelaki yang didakwa berlakon sebagai Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal dunia dalam perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai lalu, menafikan dirinya bersembunyi, melarikan diri dan enggan bekerjasama dengan polis.
Shuhardi yang ditemui pada satu sidang akhbar di sini, sebaliknya berkata beliau tidak pernah menerima sebarang surat rasmi memintanya menghadirkan diri bagi membantu siasatan dari mana-mana balai polis.
"Bukankah polis lebih profesional dan tahu segala prosuder jika mahu seseorang itu memberi keterangan berhubung apa-apa kes? Saya tidak bersembunyi, datanglah ke rumah saya dengan tertib. Saya akan bekerjasama dengan mereka (polis)," katanya di sini, Sabtu.
Shuhardi yang juga Setiausaha Agung Persatuan Usahawan Konsultan dan Pengarah Islam Malaysia (Uruskop) menjelaskan, beliau terpaksa tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan kematian Allahyarham Baharudin kerana ia jelas menjatuhkan maruah dirinya.
"Saya masih hidup... yang meninggal Allahyarham Baharudin. Saya ingat perkara ini dah selesai dan saya tidak perlu tampil beri keterangan kerana ada blogger-blogger yang mengeluarkan gambar saya dengan mengatakan saya adalah Allahyarham Baharudin, telah meminta maaf kepada saya.
"Tapi semalam bila saya lihat komen Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang berkata saya dipercayai menyembunyikan diri, saya terpaksa mendedahkan perkara ini," katanya.
Beliau berkata polis sepatutnya menyiasat mereka yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai dirinya daripada menumpukan siasatan ke atas dirnya sendiri.
"Saya yakin pihak polis mampu membuat siasatan berdasarkan maklumat dalam internet tanpa perlu melibatkan saya. Malah saya rasa polis sepatutnya siasat mereka yang keluarkan kenyataan keliru mengenai mereka. Saya rasa sepatutnya saya yang menyaman mereka (blogger) yang salah dengan mengaitkan nama saya itu," katanya.
"Tetapi kerana kenyataan maaf dan pembetulan fakta yang dibuat seawal 10 Julai, maka saya menganggap perkara ini tidak perlu diperpanjangkan, malangnya kira-kira seminggu selepas peristiwa Bersih itu, pihak polis dan media masih mengaitkan nama saya," katanya.
Beliau berkata kekeliruan tersebut terlebih dahulu telah dijelaskan oleh anaknya menerusi "facebook" dengan menjelaskan bahawa gambar yang disiarkan bukanlah gambar Shuhardi yang pengsan dalam perhimpunan tersebut.
Bapa kepada dua isteri dan 10 anak ini mendakwa tidak berkomplot dengan mana-mana pihak tertentu untuk berlakon dalam apa jua "aksi" kematian serta tidak mengenali Allahyarham Baharudin sendiri.
"Saya juga tidak kenal dengan mana-mana wartawan atau jurugambar yang datang buat liputan. Saya bukanlah "desperate" untuk dapatkan sogokan yang tidak bermaruah kerana Alhamdulillah saya hidup mewah," katanya.
Suhardi berkata beliau bersedia memberikan kerjasama dengan pihak polis dan bolehdihubungi di talian 012-3900740. BERNAMA