Tuesday, July 28, 2015

Anak lelaki Gaddafi dihukum mati



MAHKAMAH Libya hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap anak bekas pemimpin diktator Libya Muammar Gaddafi, Seif al-Islam. - Foto REUTERS
TRIPOLI: Mahkamah Libya hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap anak bekas pemimpin diktator Libya Muammar Gaddafi, Seif al-Islam.
Selain Seif, lapan lagi turut dijatuhkan hukuman mati termasuk bekas Ketua Perisikan Libya, Abdullah Senussi dan bekas Perdana Menteri sewaktu era pemerintahan Gaddafi, Al-Baghdadi al-Mahmudi.
Perbicaraan itu yang berlangsung di ibu negara Libya sejak April tahun lalu, sering dibelenggu kritikan dari pemerhati politik dan kumpulan hak asasi manusia.
Pertikaian ini turut dibawa sehingga ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague namun tidak dapat diselesaikan. AFP

Tak perlu sedih, kata Shafie Apdal

Mohd Shafie Apdal
Datuk Seri Shafie Apdal keluar dari kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, petang tadi. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

KUALA LUMPUR - "Tak perlu sedih, tak perlu risau kalau berjuang untuk rakyat, " kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau yang ditemui di kediaman bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan mengulas lanjut berhubung pengguguran beliau dari Kabinet.

Shafie sebelum ini memegang jawatan Menteri Luar Bandar yang kini diganti Datuk Seri Ismail Sabri.

Walau diasak dengan pelbagai soalan beliau hanya melemparkan senyuman dan mengatakan tidak perlu bersedih dengan apa yang berlaku.

Shafie keluar daripada kediaman Muhyiddin kira-kira jam 4.20 petang turut kelihatan tenang dengan diiringi beberapa orang pegawai khas beliau.

Selain beliau, turut kelihatan memberikan sokongan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Al Habshee, bekas calon Ahli Parlimen Shah Alam, Zulkifli Nordin dan adik Menteri Besar Selangor, Umi Hafilda Ali.

Intipati ucapan Muhyiddin jadi viral

Muhyiddin: Pengundi sudah lebih daripada meluat
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Cheras semalam. - Foto Bernama

UCAPAN Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada majlis penutup mesyuarat Umno Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad malam ternyata menghangatkan lagi pentas politik negara.
 
Selain liputan meluas media yang menjadikan kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai tajuk utama berita, turut menjadi viral adalah intipati ucapan Muhyiddin termasuk di aplikasi WhatsApp.
 
Tinjuan Sinar Online mendapati intipati ucapan itu disebarkan sejak awal pagi tadi, sejurus kenyataan 'benar tetapi pahit' ini disampaikan oleh Muhyiddin, malam tadi. 
 
Terdapat enam intipati ucapan yang didakwa disampaikan oleh Muhyiddin seperti yang tersebar iaitu: 
 
1. Rakyat meluat dan gelisah melihat melihat isu-isu dalam negara yang masih tidak diselesaikan oleh pemimpin. 
 
2. Kita tidak boleh berbohong pada rakyat. Kita perlu terima hakikat rakyat dibawah ingin tahu isu 1MDB degan segera. Mereka ingin tahu hutang 1MDB RM42b, laporan WSJ terhadap wang yang masuk dalam akaun Presiden, mengapa tindakan tidak diambil ke atas lembaga pengarah, pengurusan dan lembaga penasihat yang telah menyebabkan 1MDB berhutang sehingga RM42b.
 
3. Isu ekonomi menjadi masalah utama. Isu kos sara hidup, GST, masalah perumahan, pengangguran, jenayah dan lain-lain. Isu-isu ini masih tidak ditangani ditambah lagi pula deagn bebanan hutang 1MDB. 
 
4. Kita tidak mengurus persepsi deagn baik. Kita salahkan rakyat menuduh pemimpin sedangkan pemimpin tidak buat apa-apa untuk meredakan persepsi buruk ini. Pemimpin cakap sahaja tetapi tiada tindakan.  
 
5. Umno kehilangan 'wow' factor. Umno sudah tidak dihormati oleh ahli dan rakyat seperti dulu.  Pemimpin tertinggi umno sudah hilang kepercayaan. 'Trust deficit' parti bertambah besar. Ahli-ahli  Umno sendiri tidak yakin kita boleh meyakinkan rakyat untuk PRU 14.
 
6. Marilah kita cari jalan bagaimana kita boleh kembali semula ke pangkal jalan. Kalau pemimpin buat silap mohon maaf dan cari jalan menyelesaikan masalah. Jangan kita masih menidakkan apa yang benar.‎

Saya reda digugur demi hak rakyat, 1MDB

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM - Dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, namai baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya redha,” demikian reaksi bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Meluahkan rasa terbuka terhadap keputusan yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi, jelas Muhyiddin menerusi laman Facebooknya, beliau menerima keputusan tersebut serta menghormati kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota kabinet.

“Saya menerima keputusan Perdana Menteri untuk menggugurkan saya daripada Kabinet dengan hati yang terbuka.

“Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah.

“Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau dalam pada itu turut mengucapkan penghargaan kepada peluang untuk menggalas tugasan yang diberikan sejak 2009 lalu.

“Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana telah memberikan peluang kepada saya untuk berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan sebagai Timbalan Perdana Menteri bermula 10 April 2009.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri,” ujarnya.

Jelas Muhyiddin, walaupun bukan lagi tersenarai sebagai salah seorang anggota Kabinet, beliau akan terus melaksanakan tugas sebagai Timbalan Presiden Umno.

“… Saya akan terus memikul amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada Umno.

“… Kepada ALLAH saya berserah,” katanya lagi.

'Allah Maha Mengetahui', kata anak Muhyiddin

'Allah Maha Mengetahui', kata anak Muhyiddin
Foto dan tweet viral di laman sosial hari ini.

SHAH ALAM - "Allah knows best (Allah Maha Mengetahui)," demikian tweet ringkas dari anak perempuan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman mikro Twitternya.

Najwa Mahiaddin, 29, berkata sedemikian selepas nama ayahnya digugurkan dalam senarai terbaru kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Terdahulu, Najib memutuskan barisan Kabinet baharunya dengan menggugurkan nama Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin digugurkan dari Kabinet Najib]

Kedudukan Muhyiddin digantikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi manakala jawatannya sebagai Menteri Pendidikan digalas oleh Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurut Najib, keputusan tersebut dibuat demi memperkuatkan lagi jemaah menteri sebelum menghadapi Pilihan Raya ke-14 (PRU14).

Terdahulu, Muhyiddin sempat merasmikan Sekolah Antarabangsa Matrix di Bandar Sri Sendayan, Seremban pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, menerusi akaun mikro Twitter, anak perempuan Muhyiddin, Najwa Mahiaddin, turut memaparkan status berkaitan pengguguran jawatan bapanya.

“ALLAH knows best (mengetahui yang lebih baik),” tweetnya ringkas sambil disambut dengan komen-komen sokongan daripada pengikut akaunnya.

Sementara itu, netizen rata-rata terkejut dengan rombakan kabinet berkenaan.

"Tabahlah Muhyidin Yaasin. Mungkin ALLAH SWT dah rancangkan yang lebih baik lepas ini. Kekal tabah, kekal sabar," kata @theflowxr di laman Twitter.

"Dongibab (jangan putus asa) Muhyidin Yaasin, kebenaran pasti akan terbongkar suatu hari nanti #SabarSelalu" kata @HxziqFxhmi

Selain itu, hashtag #CabinetReshuffle, Gani Patail, Zahid Hamidi dan Najib popular di laman Twitter ketika ini gara-gara rombakan kabinet berkenaan.

Turut menjadi viral, gambar isteri Muhyiddin, Puan Sri Norainee Abdul Rahman memeluk suaminya di media sosial sebaik tiba di kediaman pemimpin itu di Damansara, hari ini.

Gambar itu dipercayai dirakamkan sebaik bekas Timbalan Perdana Menteri itu tiba selepas selesai menjalankan program rasmi di Negeri Sembilan.

Sedih tindakan Muhyiddin, Umno Raub batal jemputan


Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
RAUB - Melihat kepada suasana politik pada hari ini, Umno Bahagian Raub memutuskan untuk membatalkan jemputan yang dibuat kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merasmikan mesyuarat Umno bahagian itu pada 15 Ogos depan.

Keputusan itu dibuat selepas mengadakan mesyuarat tergempar yang diadakan semalam.

Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin berkata, keputusan sukar itu dibuat selepas melihat dan menilai perkembangan politik negara mutakhir ini.

"Umno  bahagian sedih dengan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat kenyataan membelakangi semangat setiakawan dan kesepaduan dalam parti.

"Umno Raub juga kesal dengan kenyataan Muhyiddin yang boleh melunturkan semangat jentera parti dan menghakis keyakinan rakyat terhadap Umno dan kerajaan Barisan Nasional," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Umno Raub di sini malam, tadi.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno ketika berucap pada majlis penutup mesyuarat Umno Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad meluahkan perasaannya yang disifatkan 'benar tapi pahit'.

[ARTIKEL BERKAITAN: Intipati ucapan Muhyiddin jadi viral]

[ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin: Pengundi sudah lebih daripada meluat]

Pejabat PM tak akan dahului pasukan penyiasat

1MDB
1Malaysia Development Berhad

KUALA LUMPUR - Pejabat Perdana Menteri tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mendahului pasukan penyiasat dalam kes berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor.

Beliau berkata, Pejabat Perdana Menteri tidak boleh mendahului pasukan siasatan termasuk Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), pasukan petugas khas dan Jabatan Audit Negara dalam mengeluarkan sebarang kenyataan kerana kes itu masih dalam siasatan serta bagi mengelakkan sebarang fitnah daripada berleluasa.
  
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri sudah memberikan komitmen dan kebebasan untuk pasukan penyiasat menjalankan siasatan dan kita hanya perlu nantikan hasil siasatan daripada sumber yang paling tepat iaitu pasukan penyiasat ini sendiri," katanya kepada Bernama selepas menghadiri program Ruang Bicara BernamaTV bertajuk 'Bahana Fitnah' di sini, malam tadi.
  
Beliau berkata, pelbagai fitnah dicipta sejak kebelakangan ini dengan tujuan untuk mewujudkan perpecahan di kalangan masyarakat dan rakyat dan fitnah tersebut akhirnya menimbulkan kebencian dan dendam terhadap pemimpin negara.
  
"Nasihat saya agar rakyat bijak menilai berita dan memastikan berita yang diterima adalah sahih daripada sumber yang berwibawa," katanya. - Bernama

Zahid: Ini bukan habuan, satu qada qadar

Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menzahirkan rasa syukur di atas pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu.
 
Ahmad Zahid berkata, beliau turut menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang memperkenankan pelantikan beliau di atas cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
 
"Saya ambil tanggungjawab ini dengan terima kasih di atas kepercayaan kepada saya.
 
"Saya tahu bahawa ini bukan satu habuan, ia adalah satu pertanggungjawaban yang harus saya terjemahkan kepada negara kita," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
 
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau memahami keputusan yang dibuat oleh Najib. 
 
‎"Saya dapat memahami keputusan Najib adalah keputusan yang berat, namun, kebersamaan antara beliau dan saya dalam memikul tanggungjawab ini tidak dapat saya jelaskan.
 
"Ia mengulangi  sejarah lama, ketika dia jadi Menteri Belia dan Sukan... kemudian, saya dilantik jadi Setiausaha Politik. 
 
"Ini adalah kitaran politik yang tidak pernah saya harapkan. Saya terima sebagai satu takdir qada dan qadar," katanya.
 
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau ‎memohon rakan-rakan dalam Kabinet dan ahli Umno malah kepimpinan parti dapat memberi sokongan kepada Najib.

Itu hak PM, jangan melatah, kata Hishammuddin

Itu hak PM, jangan melatah, kata Hishammuddin
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein ketika sidang media selepas Pelancaran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia DSA2016 hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Semua pihak diingat untuk tidak cepat melatah dan akur dengan keputusan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. 
 
Beliau berkata,  dalam lanskap politik hari ini semua pihak perlu bersikap rasional dalam menerima apa juga keputusan yang dibuat perdana menteri. 
 
"Kita jangan melatah, ini hak Perdana Menteri, beliau telah buat keputusan, maka kita perlu rapatkan barisan kita dan patuh apa yang diputuskan. 
 
"Ini realiti, apa juga keputusan tidak berkisar kepada individu dan kita akan selamat dan lanskap politik tidak terjejas," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia ( DSA ) 2016. 
 
Tambah beliau,  semua pihak perlu memikirkan kepentingan parti berbanding dengan kepentingan peribadi dan emosi.

Tamat tugas: ‘Saya tidak tahu, OK?’

Abdul Gani Patail
Abdul Gani Patail

SHAH ALAM - Tan Sri Abdul Gani Patail mengakui tidak tahu menahu mengenai perkhidmatan beliau sebagai Peguam Negara ditamatkan atas sebab-sebab kesihatan.
 
Ketika dihubungi Malay Mail Online, Abdul Gani hanya berkata beliau tidak mengetahui keputusan yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Tan Sri Ali Hamsa pagi ini.
 
“I don’t know (Saya tidak tahu), OK? I don’t want to say a word right now (Saya tidak mahu cakap apa-apa sekarang),” katanya ketika diminta mengulas mengenai keputusan itu.
 
 
Sementara itu, dalam satu kenyataan pagi ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, khidmat Abdul Gani sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai atas sebab-sebab kesihatan.
 
Tambah Ali, Abdul Gani akan terus berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga beliau bersara wajib pada 6 Oktober 2015.
 
"Tan Sri Abdul Gani Patail telah banyak berjasa kepada negara selama beliau  memegang jawatan sebagai Peguam Negara. Saya bagi pihak Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas khidmat bakti beliau dan berharap beliau sentiasa beroleh kesihatan yang memuaskan," katanya.
 
Dalam perkembangan berkaitan, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu berkuat kuasa semalam (27 Julai 2015).
 
Perlantikan Mohamed Apandi dibuat mengikut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan dan telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.  

Laporan Interim Belum Boleh Didedahkan Kepada Umum


Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2015 8:15 AM

PETALING JAYA: Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Ronald Kiandee menjelaskan bahawa Laporan Interim Ketua Audit Negara terhadap siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) belum boleh didedahkan kepada umum.

Beliau memetik Perkara 85, Peraturan Mesyuarat Parlimen, yang menyatakan bahawa dokumen atau keterangan yang dikemukakan kepada Jawatankuasa tidak boleh diterbitkan oleh mana-mana anggota jawatankuasa itu atau oleh orang lain sebelum jawatankuasa membentangkan laporan itu di Dewan Rakyat.

Laporan interim 1MDB telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 9 Julai.

"Ia telah dikemukakan kepada PAC dan oleh itu menjadi sebahagian daripada bukti. Perkara 85, Peraturan Mesyuarat terpakai," katanya dalam satu posting di Twitter.

Kiandee berkata PAC terikat dengan Perkara 85, Peraturan Mesyuarat dan laporan interim telah menjadi sebahagian daripada keterangan dalam siasatan ke atas 1MDB.

Ahli Parlimen DAP Tony Pua yang juga anggota PAC, menggesa agar laporan interim didedahkan kepada umum.

PAC mula menyiasat 1MDB pada bulan Mei dan telah memanggil pegawai-pegawai Kementerian Kewangan untuk menjelaskan peranan kementerian dalam syarikat yang dibebani hutang itu.

Jawatankuasa itu yang dilantik pada permulaan setiap penggal baharu Parlimen, ditugaskan untuk menjalankan tugas-tugas tertentu dari semasa ke semasa.

Di Putrajaya, pasukan petugas khas yang menyiasat 1MDB telah membebaskan individu ketiga yang ditahan dengan jaminan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memohon untuk melanjutkan reman empat hari pemilik syarikat perdagangan yang berusia 28 tahun itu kerana keterangannya telah diambil.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Ab Rahman membenarkan beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin.

Individu berkenaan, yang syarikatnya berpangkalan di Setapak, ditahan pada 23 Julai di ibu pejabat SPRM di sini dan direman pada keesokannya.

Beliau adalah orang yang ketiga yang ditahan oleh pasukan petugas. Beliau telah disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM kerana rasuah.

Selepas pembebasannya, dua lagi masih berada di bawah tahanan SPRM.

Mereka adalah pengarah urusan berusia 48 tahun dan seorang kerani penghantar surat berusia 27 tahun.

Reman bagi pengarah urusan, yang juga seorang 'Datuk', berakhir SElasa.

Beliau dijangka akan dibebaskan.

Ringgit, Rupiah Susut Ke Paras Terendah Dalam Tempoh 17 Tahun


Diterbitkan: Isnin, 27 Julai 2015 3:56 PM

SINGAPURA: Kebanyakan mata wang negara Asia menyusut pada Isnin dengan harga komoditi rendah menyebabkan nilai ringgit Malaysia dan rupiah Indonesia jatuh ke paras terendah dalam tempoh 17 tahun.
Nilai mata wang baht Thailand turut mencatatkan penyusutan manakala dolar Singapura menunjukkan peningkatan.
Ringgit susut 0.1 peratus kepada 3.8140 setiap dolar, paling lemah sejak September 1998.
Penyusutan itu didorong harga komoditi yang lemah ditambah pula kepada kebimbangan terhadap eksport lembap Malaysia.
Mata wang Malaysia ditetapkan pada 3.8000 antara 1998 dan 2005.
Peniaga berkata, bank pusat dikesan di pasaran cuba untuk mengehadkan kerugian dalam mata wang Asia setakat ini.
Data bank pusat pada 23 Julai menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia jatuh kepada $100.5 bilion pada 15 Julai daripada $105.5 bilion pada 30 Jun lalu.

Malaysia Naik 'Tahap 2' Dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2015


Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2015 10:28 AM

WASHINGTON DC: Jabatan Negara Amerika Syarikat telah menaikkan kedudukan Malaysia daripada Tahap Tiga dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2015 (TIP) ke Senarai Pengawasan Tahap 2, pada Isnin.
Laporan tahunan dikeluarkan oleh Jabatan Negara berkenaan itu menyenaraikan kedudukan 188 negara termasuk Amerika Syarikat (Amerika) dalam usaha menangani pemerdagangan manusia dengan memberikan satu daripada empat peringkat: Tahap 1, Tahap 2, Senarai Pengawasan Tahap 2 dan Tahap 3.
Menurut laporan itu, kerajaan Malaysia berusaha gigih untuk mematuhi standard minimum ke arah membanteras pemerdagangan manusia sepenuhnya.
Setiausaha Negara bagi Keselamatan Awam, Demokrasi dan Hak Asasi Manusia, Sarah Sewall, dalam taklimat kepada media di Washington, menafikan langkah menaikkan kedudukan Malaysia ada kaitan dengan penyertaan negara itu dalam perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), yang mensyaratkan pihak yang menandatanganinya perlu memenuhi piawaian minimum hak asasi manusia.
"Kebimbangan kami adalah benar-benar tentang fakta laporan TIP," kata Sewall kepada pemberita pada Isnin.
Kad laporan TIP Malaysia adalah semata-mata berdasarkan kepada penilaian fakta yang dikumpulkan sejak lebih setahun lalu tentang prestasi negara itu mengambil langkah untuk mendakwa penyeludup, melindungi mangsa dan mencegah pemerdagangan manusia, kata Sewall.
"Senarai Pengawasan Tahap 2 Malaysia menunjukkan masih ada banyak ruang untuk memperbaiki usaha antipemerdagangan manusia yang dilakukan kerajaan itu," katanya.
"Walaupun kami masih bimbang mengenai negara yang masih dalam T2WL termasuk Malaysia, kerajaan Malaysia telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mematuhi standard minimum," tambah beliau.
Sewall menjelaskan laporan itu tidak mengambil kira kubur-kubur pendatang haram yang ditemui di kem-kem pemerdagangan manusia yang terbiar di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia pada Mei lalu, kerana bulan berkenaan tidak termasuk dalam tempoh laporan tahunan TIP.
Laporan TIP meliputi tempoh bermula pada 1 April tahun lalu dan berakhir pada 31 Mac tahun berikutnya.
Tahun lalu, Jabatan Negara menurunkan kedudukan Malaysia dan negara jirannya, Thailand kepada Tahap 3, kedudukan yang paling rendah yang boleh mencetuskan sekatan terhadap negara yang diberi kedudukan itu.
Sewall menarik perhatian bahawa pendatang di sepanjang sempadan Malaysia dan Thailand tertakluk kepada pelbagai penindasan di kem-kem berkenaan, dan Amerika telah bekerjasama dengan kerajaan dan organisasi antarabangsa di rantau itu untuk memerangi jenayah yang mengakibatkan kematian.
Sementara itu, Duta Malaysia di Amerika Datuk Dr Awang Adek Hussin semasa dihubungi berkata langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk menangani isu pemerdagangan manusia telah disambut baik oleh kerajaan Amerika dan ia merupakan satu petanda baik buat negara.
Bagi Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Malaysia-Amerika yang berpejabat di Washington DC, Roy Michael, penaikan taraf Malaysia ke Senarai Pengawasan Tahap 2 adalah satu berita yang sangat baik.
"Ini bukan tentang layak atau tidak layak untuk Malaysia dikeluarkan daripada Tahap 3. Malaysia telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memerangi pemerdagangan manusia dan perkara berkaitan dengan pemerdagangan manusia adalah terikat kepada bidang kuasa multinasional.
"Tanggungjawab bukan sahaja perlu dilakukan Malaysia, malah semua negara di laluan pemerdagangan manusia perlu memainkan peranan agresif dalam membendung pemerdagangan manusia," katanya kepada Bernama.
"Selain itu, hubungan Amerika dan Malaysia sentiasa kukuh dan sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia boleh memainkan peranan yang tegas untuk menggesa negara anggota ASEAN melaksanakan kod tatalaku yang kukuh," tambahnya.

PMO Tak Akan Keluarkan Kenyataan Mendahului Pasukan Penyiasat - Pegawai Khas PM


Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2015 12:49 PM

KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mendahului pasukan penyiasat dalam kes berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor.

Beliau berkata Pejabat Perdana Menteri tidak boleh mendahului pasukan siasatan termasuk Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), pasukan petugas khas dan Jabatan Audit Negara dalam mengeluarkan sebarang kenyataan kerana kes itu masih dalam siasatan serta bagi mengelakkan sebarang fitnah daripada berleluasa.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri sudah memberikan komitmen dan kebebasan untuk pasukan penyiasat menjalankan siasatan dan kita hanya perlu nantikan hasil siasatan daripada sumber yang paling tepat iaitu pasukan penyiasat ini sendiri," katanya kepada Bernama selepas menghadiri program Ruang Bicara BernamaTV bertajuk 'Bahana Fitnah' di sini malam Isnin.

Beliau berkata pelbagai fitnah dicipta sejak kebelakangan ini dengan tujuan untuk mewujudkan perpecahan di kalangan masyarakat dan rakyat dan fitnah tersebut akhirnya menimbulkan kebencian dan dendam terhadap pemimpin negara.


"Nasihat saya agar rakyat bijak menilai berita dan memastikan berita yang diterima adalah sahih daripada sumber yang berwibawa," katanya.

Hudud: MCA Gesa DAP, PKR Nyata Pendirian Kerjasama Dengan GHB


Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2015 10:01 AM

KUALA LUMPUR: DAP dan PKR mesti menjelaskan pendirian mereka sama ada mereka akan bekerjasama dengan Gerakan Harapan Baru (GBH) jika hudud masih menjadi agenda, kata MCA.

Pengerusi Biro Publisiti MCA Senator Datuk Chai Kim Sen berkata walaupun menggambarkan dirinya sebagai PAS dalam versi lebih sederhana, GHB tidak menolak pelaksanaan hudud secara terbuka.

Ini, katanya, telah disahkan semula oleh Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, yang juga ahli jawatankuasa kumpulan parti baharu itu yang kebanyakannya terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang kalah dalam pemilihan PAS baru-baru ini.

Chai berkata, dalam satu temu bual dengan portal dalam talian baru-baru ini, Khalid dilaporkan berkata bahawa jika majoriti rakyat Malaysia menyokong hudud, maka mereka 'tidak nampak bagaimana DAP mampu menghentikannya'.

"Ini adalah hujah sama yang digunakan oleh PAS dalam usaha mereka untuk melaksanakan hudud di Kelantan dan adalah seram sejuk apabila mendengar pemikiran yang hampir sama oleh GHB," kata Chai.

Beliau mendakwa, kenyataan Khalid membuktikan kegagalan DAP dalam mempertahankan sekularisme Malaysia daripada PAS.

Chai mempersoalkan sama ada GHB akan menyokong Rang undang-undang (RUU) persendirian enakmen hudud Kelantan apabila dibahaskan di Parlimen.

"Ini mesti dinyatakan dengan jelas oleh parti itu," katanya, sambil menambah DAP dan PKR, sebagai rakan kepada pergerakan baharu itu dan sebelum ini dengan PAS, mesti menyatakan jika mereka bersetuju dengan kenyataan Khalid.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia untuk tidak terpedaya dengan taktik GHB.

Beri Masa Untuk Kementerian Kewangan Cari Jho Low - Nur Jazlan


Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2015 10:10 AM
Nur Jazlan memegang jawatan Pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA) sejak 16 Jun lalu.
Datuk Nur Jazlan Mohamed

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan perlu diberi masa untuk mencari ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low kerana permintaan kepada kementerian itu hanya dibuat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada minggu lepas.
"Kami baru sahaja menghantar surat kepada mereka pada Jumaat lepas untuk mencari Jho Low, jadi berikan mereka masa. Baru tiga hari saja," kata Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed kepada The Star Online.

Beliau mengulas laporan oleh portal berita pada Isnin bahawa Kementerian Kewangan gagal untuk mencari Jho Low selepas diminta berbuat demikian oleh jawatankuasa itu.

Pada Ahad, Nur Jazlan berkata PAC telah menghantar surat kepada Kementerian Kewangan untuk mencari Jho Low untuk hadir di hadapan jawatankuasa pada 8 September ini.

Beliau berkata PAC turut memanggil pengarah-pengarah Brazen Sky Sdn Bhd dan seorang lagi dari syarikat di bawah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang terlibat dengan pelaburan dalam PetroSaudi International untuk hadir di hadapan jawatankuasa itu pada 9 dan 13 September.

"Adalah menjadi tanggungjawab kementerian itu sebagai pemegang saham utama 1MDB untuk mengesan mereka kerana mereka sepatutnya tahu di mana mereka berada," kata Nur Jazlan.

Kementerian itu, katanya, boleh mendapatkan bantuan pihak berkuasa seperti polis untuk mencari mereka.

Jika mereka yang berkenaan gagal hadir, beliau berkata PAC akan membuat keputusan mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil.

Nur Jazlan berkata PAC telah menetapkan 4, 5 dan 7 Ogos untuk bertemu bekas-bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB dan 17 dan 18 Ogos untuk bertemu bekas-bekas pengarah.

Jawatankuasa itu mahu mendengar daripada mereka mengenai dakwaan bekas eksekutif PetroSaudi International Xavier Andre Justo, katanya.

1MDB: Pengarah Urusan Dibebaskan Dengan Ikat Jamin


Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2015 11:04 AM
Seorang pengarah urusan sebuah syarikat bergelar 'datuk' menjadi individu keempat direman Sabtu lalu bagi membantu siasatan terhadap akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000 dan dua penjamin, Selasa. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Pengarah urusan yang disiasat oleh Pasukan Petugas Khas berhubung kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dibebaskan.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Ab Rahman membenarkan lelaki berusia 48 tahun itu, yang bergelar Datuk, dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000 serta dua penjamin.

Beliau telah ditahan di bawah Seksyen 17 (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana  rasuah.

Beliau, terlebih dahulu ditangkap pada Sabtu dan direman selama empat hari.

Tidak terdapat sebarang permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Sazilee Abdul Khairi untuk melanjutkan tahanan reman apabila lelaki itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini kerana keterangannya telah diambil.

Rombakan Kabinet Dijangka Hari Ini


Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2015 11:30 AM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan rombakan Kabinet pada Selasa, selepas spekulasi beberapa minggu bahawa beliau akan membuat perubahan tertentu terhadap barisan kepimpinannya.

Perdana Menteri dijangka membuat pengumuman yang ditunggu-tunggu ini melalui sidang media pada pukul 3 petang Selasa.

Difahamkan bahawa Najib telah mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada pukul 10 pagi Selasa tetapi pejabat beliau 'kunci mulut' apabila ditanya mengenai pertemuan itu.

Perdana Menteri juga telah bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong pada Isnin.

Pelarasan Kabinet kali terakhir dibuat pada Jun 2014 apabila Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, timbalannya Datuk Dr Wee Ka Siong dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dilantik sebagai menteri.

1MDB: Umno Cheras Mahu Pihak Beri Nasihat Kepada PM Dipecat


Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2015 8:22 AM
Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyampaikan ucapan penutup pada mesyuarat Umno Bahagian Cheras di Berjaya Hotel. -foto IZZRAFIQ ALIAS/The Star

PETALING JAYA: Umno Bahagian Cheras telah meluluskan resolusi menggesa kerajaan memecat pengurusan tertinggi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana didakwa gagal dalam memberi nasihat kepada perdana menteri berhubung urusan kewangannya.
Ketuanya, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata syarikat bermasalah itu telah memberikan maklumat tidak tepat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, sehingga ia telah dimanipulasi oleh pembangkang.
"Perdana menteri menjawab soalan di Parlimen mengenai 1MDB berdasarkan nasihat mereka. Sudah tentu mereka perlu bertanggungjawab kerana berbuat demikian," katanya.
Resolusi itu, termasuk empat yang lain, telah diluluskan sebulat suara oleh bahagian ini pada mesyuarat tahunan mereka pada Ahad.
Ia termasuk menggesa kerajaan membetulkan semua kesalahan yang dilakukan oleh pihak pengurusan 1MDB dari segi pelaburan kewangan dan dokumentasi yang disahkan.
Dan apa sahaja tindakan yang diambil, ia mestilah berdasarkan kebenaran mutlak.
Beliau berkata, mengukuhkan dan menstabilkan mata wang dan ekonomi negara yang terjejas teruk juga merupakan keutamaan.
"Kita juga perlu mendapatkan semula keyakinan rakyat, yang dahagakan jawapan daripada penyiasatan yang sedang dijalankan, supaya kita boleh menghapuskan semua dakwaan terhadap kerajaan dan parti," katanya.
Bahagian itu juga sebulat suara meluluskan usul untuk menyokong sepenuhnya kepimpinan Najib sebagai Presiden Umno dan perdana menteri serta timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Satu pasukan petugas peringkat tinggi telah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan salah guna dana 1MDB, dengan lima orang ditahan setakat ini.
Dalam perkembangan lain, Umno Johor berkata suara akar umbi parti itu mesti didengar pada setiap masa, terutamanya kerana parti itu kini menghadapi cabaran yang besar.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai parti yang terbuka, Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak akan mengeluarkan apa-apa perintah sekatan kepada sesiapa yang ingin menyuarakan pendapat mereka, lapor Bernama.
"Kita semua mempunyai pendapat kita sendiri dan mahu bersuara. Sebagai parti yang terbuka, kami tidak akan menghalang sesiapa daripada berkata apa-apa. Kami akan terus bersikap terbuka," katanya kepada pemberita di Kota Tinggi, Johor, Isnin.

The Edge mohon semakan penggantungan

mahkamah

KUALA LUMPUR - The Edge Media Group telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan semakan kehakiman berhubung keputusan Kementerian Dalam Negeri menggantung penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily.
 
Dalam kenyataan hari ini, The Edge Media Group berkata permohonan itu difailkan melalui peguamnya Raja, Darryl & Loh Advocates and Solicitors.
 
"Kami juga meminta agar permohonan itu didengar dengan kadar segera, tetapi kami tidak dapat memberi salinan afidavit permohonan kami itu sehinggalah kes ini didengar.
 
"Memandangkan perkara ini perlu disegerakan dan merupakan perkara kepentingan awam, kami harap mahkamah akan memberi kepada kami tarikhnya dengan segera," kata kenyataan itu.
 
Permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily digantung tiga bulan berkuat kuasa 27 Julai berkaitan laporannya tentang isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Bernama

1MDB: DAP cadang ‘Selamatkan Malaysia’

1MDB
1Malaysia Development Berhad

KUALA LUMPUR – DAP mencadangkan satu rangka dasar ‘Selamatkan Malaysia’ dilaksanakan susulan skandal  1MDB yang didakwa akan merosakkan negara.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, rakyat Malaysia yang bersikap patriotik perlu memfokuskan kepada menyelamatkan Malaysia daripada skandal 1MDB.

“Inilah masanya pemimpin politik, tidak kira parti, bangsa, agama, umur atau gender mengetepikan perbezaan dan bersama merangka dan melaksanakan rangka dasar ‘Selamatkan Malaysia’.

“DAP dan semua kuasa politik progresif bersedia bertindak balas terhadap seruan ke arah ‘Selamatkan Malaysia’. Adakah gabungan besar ‘Selamatkan Malaysia’ boleh diadakan?,” katanya.

Kit Siang memberi bayangan siapakah yang sepatutnya mengetuai ‘Selamatkan Malaysia’.

“Di antara barisan progresif kedua-dua belah pihak (pembangkang dan kerajaan), oleh tiga Tun di Malaysia yang pernah menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri iaitu (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi) atau (Tun) Musa Hitam atau oleh ketua pembangkang dari sebalik penjara Sungai Buloh, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada sudah memanjangkan jemputan itu kepada tiga Tun terbabit.

Dalam pada itu, Kit Siang turut mencabar semua menteri Kabinet agar menyatakan pendirian berhubung dakwaan penyaluran dana sebanyak RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Adakah semua menteri Kabinet bersedia membuat kenyataan umum mengenai kaitan mereka dengan RM2.6 bilion di dalam akaun bank Najib selepas mesyuarat Rabu ini?'' soal beliau.

Ditanya penglibatan Pas dalam kempen itu, Kit Siang berkata cukuplah masalah yang ditimbulkan parti itu.

Gani Patail ditamatkan tugas Peguam Negara

Abdul Gani Patail
Abdul Gani Patail

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI]  Perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai atas sebab-sebab kesihatan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
 
Ali dalam satu kenyataan media hari ini berkata, Abdul Gani akan terus berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga beliau bersara wajib pada 6 Okt 2015.
 
"Tan Sri Abdul Gani Patail telah banyak berjasa kepada negara selama beliau  memegang jawatan sebagai Peguam Negara. Saya bagi pihak Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas khidmat bakti beliau dan berharap beliau sentiasa beroleh kesihatan yang memuaskan," katanya.
 
Sementara itu, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu berkuat kuasa semalam (27 Julai 2015).
 
Perlantikan Mohamed Apandi dibuat mengikut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan dan telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.  
 
Mohamed Apandi berkelulusan LLB(Hons) Universiti of London dan Bar-At-Law, Inner Temple London serta telah mengikuti pengajian di Institute of Advanced Legal Studies, London.
 
Antara jawatan yang pernah dipegang beliau adalah sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Timbalan Pendakwa Raya bagi Kelantan dan Terengganu, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia dan Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia. - Bernama

Najib jumpa Agong petanda rombakan Kabinet?

Pejabat Perdana Menteri
Pejabat Perdana Menteri.

SHAH ALAM - Rombakan Kabinet dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat, susulan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak difahamkan sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
 
Menurut lapor akhbar Utusan hari ini, Najib bertemu Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan senarai rombakan kabinet.

Kedudukan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri tetapi beliau dijangka tidak memegang apa-apa kementerian.
 
Beberapa menteri dijangka akan digugurkan dan bertukar kementerian serta ada timbalan menteri yang disebut-sebut akan dilantik sebagai menteri penuh.
 
Difahamkan, Menteri Sumber Hijau dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel mungkin digugurkan susulan krisis yang sedang melanda MIC.
 
Pertukaran juga dijangka dibuat bagi jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia apabila Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dikatakan akan digantikan oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan.
 
Shabery dijangka akan bertukar ke portfolio lain.
 
Sementara itu, Utusan juga melaporkan bahawa seorang pemimpin Sabah akan dilantik menganggotai kabinet dan seorang timbalan menteri menjadi menteri penuh.

Muhyiddin: Pengundi sudah lebih daripada meluat

Muhyiddin: Pengundi sudah lebih daripada meluat
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Cheras semalam. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Mengakui agak 'takut' selepas video pertama kenyataannya berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi viral baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin malam tadi berkata, beliau harus berpegang kepada kata-kata, 'berkata benar biar pun pahit'. 
 
Kenyataan terbaharu itu merujuk kepada andaian sekiranya Parlimen dibubarkan pada masa ini, Barisan Nasional katanya tidak akan menang berlandaskan senario politik hari ini.
 
"Kalau ikut kata hati saya, kalau esok pilihan raya, kita tak mungkin boleh menang. Sudah ada asas-asas kajian yang dibuat banyak pihak yang menunjukkan adalah amat sukar untuk Barisan Nasional menang pada PRU  akan datang.
 
"... Tetapi kalau dikata kalah, tetapi masih tak kalah, betul tak? Bagi saya satu hikmah yang ALLAH  beri kepada kita selepas PRU  lalu tahun 2008 Pak lah pimpin parti, kita dapat undi yang lebih rendah dan jumlah 140 kerusi (saya tak berapa ingat) tetapi saya bimbang ia berterusan bukan nak ulang cerita lama.
 
"Kalau- kalau tidak ada perubahan kepimpinan, undi kita akan terus merosot sebab itu saya gerakkan satu usaha dengan niat ikhlas untuk terus parti kita kekal berkuasa dapat sokongan kita angkat Najib jadi PM dengan kemenangan 133 kerusi, orang kata merosot, tetapi kalau Pak lah ambil mungkin jadi 120 atau  lebih kurang daripada itu, nasib baik kita masih selamat," katanya semasa berucap pada majlis penutup mesyuarat Umno  Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad malam.
 
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, oleh itu adalah menjadi tanggungjawab ahli Umno untuk melihat perkembangan ini kerana situasi semasa tidak memihak kepada parti itu.
 
"... tetapi trend itu sudah menurun , tidak lagi lebih dua pertiga, hanya jumlah kerusi majoriti mudah.
 
"Kalau begitu keadaannya menjadi satu perkara yang paling penting dalam Perhimpunan Agung Umno sama ada di bahagian, sayap Umno, untuk melihat apa hal yang sudah berlaku dalam parti, perkembangan dalam kerajaan dan dalam negara kita yang menyebabkan sentimen yang saya sebut tadi hampir berada dalam keadaan sebahagian besar rakyat tidak menjadi pengundi kita, kenapa berlaku? Saya rasa ini lebih daripada meluat, ini bukan saya sebut," kataya.