Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my
MUHD. KHAIRUN (duduk, dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada Fatimah yang diketemukan semula dengan lima cucunya selepas 19 tahun terpisah di Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan Mohd. Yusof (duduk terbaring), Nadeera (berdiri, tiga dari kiri), Abdul Manaf (empat dari kanan), Mohd. Yunus (tiga dari kanan), Nabish Bismeera (dua dari kanan) dan Nabish Rahimeera (duduk di kanan).
KUALA LUMPUR - Gara-gara ditinggal suami sejak 19 tahun lalu, enam beranak terpaksa hidup merempat di sebuah rumah yang diperbuat daripada tanah liat serta tidak mendapat pendidikan sewajarnya di Kerala, India.
Bagaimanapun nasib enam beranak itu mendapat perhatian daripada bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO apabila mereka akhirnya berjaya dibawa pulang ke tanah air semalam.
Mereka ialah Nadeera Mohamedali, 52, Mohd. Yusof Al Safeer Maniam Abdullah, 25, Nabish Bismeera Al Jafree, 23, Mohd. Yunus Al Safeer, 22, Nabish Rahimeera Al Safeer, 21, dan Abdul Manaf, 19.
Nadeera merupakan warga India manakala anak-anaknya, Mohd. Yusof, Nabish Bismeera, Mohd. Yunus dan Nabish Rahimeera lahir di Malaysia kecuali Abdul Manaf yang lahir di Kerala.
Menurut seorang ahli keluarga mereka, Rukkiya I.K. Ibrahim, masalah bermula apabila ketua keluarga, Mohd. Ali Maniam Abdullah, 52, yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan menghilangkan diri pada 1993.
Menurut beliau, sebelum itu, mereka sekeluarga datang ke Kerala untuk melancong selain melawat keluarga Nadeera.
Katanya, kira-kira setahun di Kerala, Mohd. Ali Maniam meninggalkan anak-anak dan isteri di sana untuk pulang ke Malaysia dan bekerja sebagai penebar roti canai.
"Pada mulanya dia ada menghantar wang untuk keperluan keluarga itu di sana tetapi selepas itu tiada khabar berita.
"Saya pula selepas bertahun-tahun tidak mendengar berita daripada mereka sekeluarga, dua tahun lalu saya pergi sendiri ke sana untuk melawat keluarga berkenaan.
"Saya terkejut melihat kehidupan mereka dan saya berasa bertanggungjawab untuk membawa mereka keluar daripada penderitaan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.