Saturday, October 8, 2016

Siapa sebenarnya yang lahirkan gangster?


Mohd Azhar (tengah) bersama Jamal (kiri) ketika sidang media di Dataran Menara Condong, hari ini.
TELUK INTAN - "Paku dulang paku serpih, mengata orang dia lagi lebih." Itu jawapan yang diberikan Ketua Umno Teluk Intan, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah yang mempersoalkan adakah Umno melahirkan gangster di kalangan Umno.
Menurut Mohd Azhar, rakyat sendiri tahu mengenai sejarah Bersih yang merosakkan negara dengan melakukan kacau-bilau melalui perhimpunan mereka.
"Mereka sendiri yang mencetuskan segalanya dan bukan kami, jadi saya ingin bertanya siapa sebenarnya yang melahirkan gangster?
"Kami hadir di sini adalah untuk mempertahankan perlembagaan dan demokrasi negara dan memberitahu mereka supaya mengikut cara yang betul," katanya ketika ditemui di Menara Condong, bersama hampir 500 peserta baju merah bagi menghalang konvoi Bersih 5 memasuki kawasan tersebut, hari ini.
Tambahnya, Maria Chin dan kuncu-kuncunyalah yang melahirkan gangster dengan mengheret rakyat menggunakan politik jalanan.
"Sepatutnya mereka menggunakan platform yang betul melalui wakil rakyat, adun dan ahli parlimen untuk bersuara dan tidak menghampakan mandat yang diberikan rakyat dengan cara salah," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos berkata, Bersih 5 di negeri ini gagal menghasut rakyat dengan menyeru rakyat untuk turun ke jalanan bersama mereka.
"Mereka menggunakan media sosial sebagai propaganda di mana kononnya konvoi yang bermula di Lumut dari minggu lalu dan hari ini (semalam) mendapat sambutan ramai sedangkan penyertaan mereka tidak sampai 50 orang.
"Contohnya hari ini, mereka sepatutnya turun di Menara Condong Teluk Intan pada jam 9 pagi, namun bayang mereka tidak juga muncul dan ia menunjukkan bahawa kami berjaya menggagalkan rancangan mereka," katanya.
Tambahnya, peserta Bersih 5 tiada keberanian kali ini kerana mereka tidak mendapat sokongan kuat seperti Bersih 1 dan 2 yang disertai oleh Pas yang sekarang tidak bersama mereka lagi.
"Kami akan tetap sebat mereka di mana sahaja dan saya ucapkan syabas dan taniah kepada peserta baju merah yang sama-sama turun dengan semangat cintakan keamanan," katanya.

Presiden Filipina Cabar AS, EU Tarik Bantuan Kewangan


Diterbitkan: Jumaat, 7 Oktober 2016 6:26 PM

Rodrigo Duterte

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mencabar Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) untuk menarik semula bantuan kewangan kepada negara ini jika kedua-dua blok itu tidak menyokong kempen memerangi jenayah dadah yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu.
"Sila pergi dan bawa duit anda ke tempat lain. Kami mampu berdiri sebagai sebuah negara.
"Adakah anda melihat kami sebagai peminta sedekah? Kami tetap akan terus hidup walaupun menempuh kesukaran dan kami tidak akan menjatuhkan maruah kami.
"Jika anda mahu menarik semula bantuan, silakan. Kami tidak akan merayu untuk perkara itu," katanya ketika berucap kepada anggota polis di bandar Butuan pada Khamis.
Beliau berkata sedemikian sebagai membalas kenyataan dua Senator AS yang mempertikaikan kempen antidadah di Filipina yang meragut banyak nyawa dan meminta bantuan kepada Manila diteliti semula.
Berdasarkan maklumat kerajaan AS, Filipina dijangka menerima bantuan sebanyak AS$188 (RM779 juta) pada 2017 dan negara itu pernah menerima bantuan kira-kira AS$236 juta (RM978 juta) pada 2015.
Sementara EU menghulurkan dana kewangan sebanyak AS$65 juta (RM269 juta).
Lebih 3,680 orang dilaporkan dibunuh oleh polis dan penyerang tidak dikenali sejak Duterte mengambil-alih tugas Presiden pada 30 Jun lalu.
Perkembangan itu sekali gus mengundang kritikan kumpulan hak asasi antarabangsa terhadap kempen Duterte memerangi jenayah dadah di Filipina.

Tandas bernilai RM222,087


Kain rentang memaparkan rancangan kerajaan tempatan untuk membangunkan

Kain rentang memaparkan rancangan kerajaan tempatan untuk membangunkan tandas menelan kos sebanyak 700 juta rupiah (RM222,087).
SULAWESI SE­­LA­TAN - Rancangan kerajaan tempatan untuk membina dua buah tandas awam dengan setiap unit kemudahan itu menelan kos sebanyak 700 juta rupiah (RM222,087) dikritik hebat penduduk wilayah ini.
Menurut penduduk, kos pembinaan tandas itu sama sekali tidak munasabah dan wang projek berkenaan sepatutnya digunakan bagi membantu penduduk miskin yang lebih memerlukan.
“Kami anggap pembangunan tandas ini dengan kos 700 juta rupiah (RM222,087) sebagai satu pembaziran.
“Ini kerana untuk wang sebanyak itu, kami boleh membangunkan sebuah rumah tiga tingkat yang mempunyai tiga atau empat tandas di dalamnya,” kata Ketua LSM Mahatida Anti Rasuah di Kota Parepare, Rudi Najamuddin.
Menurut Rudi, kerajaan tempatan Parepare bukan sahaja akan membina tandas di kawasan Andi Makkasau, malah kemudahan itu juga dibangunkan di Pare Beach di pantai Senggol, Kota Parepare dengan kos 650 juta rupiah (RM206,223).
“Jadi, Majlis Perbandaran Parepare membina dua tandas dengan nilai keseluruhan 1.3 bilion, boroskan,” kata Rudi.
Sementara itu, pegawai yang terlibat dalam projek tandas berkenaan, Sukriyadi berkata, projek tersebut menelan kos sebanyak 700 juta rupiah (RM222,087) kerana akan dibina di bawah tanah.
Katanya, projek ini agak mahal kerana kemudahan itu melibatkan penggunaan sanitasi dan mesin pengepam air yang akan diletakkan di bawah tanah.
Selain itu, jelasnya, bahagian atas tandas itu akan berfungsi sebagai kawasan hiburan buat masyarakat Parepare.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tandas-bernilai-rm222-087-1.392043#sthash.73Rh3TAa.dpuf