Sunday, March 21, 2010

Anwar tiada kredibiliti, integriti





KUALA LUMPUR 20 Mac - Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai kredibiliti dan integriti sebagai ketua pembangkang yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri kerana tidak berani menjawab pendedahan mengenai pembohongannya berhubung rancangan 'kerajaan 16 September'.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, kegagalan Anwar menjawab pendedahan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada sidang Dewan Rakyat dan ditambah pula dengan cubaan 'melarikan' diri ke luar negara membuktikan ketua pembangkang itu mempunyai moral politik yang rendah.
"Sebagai seorang yang mendabik dada kononnya beliau bakal menjadi Perdana Menteri, pendirian Anwar untuk tidak membalas pendedahan ahli Parlimen Bayan Baru dengan keluar daripada Dewan Rakyat jelas membuktikan beliau tiada integriti dan kredibiliti, sedangkan pada masa itu kewibawaannya sebagai ketua pembangkang diserang.
"Adalah sesuatu yang pelik juga apabila seorang pemidato yang hebat seperti Anwar tidak mampu membalas 'serangan' yang ditujukan kepada beliau, sebaliknya mengambil keputusan 'menenangkan' diri di Eropah," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kegagalan Anwar untuk membalas semua pendedahan Zahrain berhubung pembohongan dalam rancangan 16 September yang dirancang khusus oleh ketua pembangkang itu bagi merampas pemerintahan Kerajaan Persekutuan.
Zahrain semasa sidang Dewan Rakyat mendedahkan bagaimana Anwar sanggup mengheret nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam mainan politik, kononnya baginda memperkenan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri keenam.
Dedah Zahrain lagi, Anwar juga berbohong apabila mendakwa pelantikan beliau disokong oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain, salah seorang Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bersetuju untuk mempengerusikan persidangan bagi mendengar usul undi tidak percaya terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa berkata, Anwar tidak sepatutnya 'melarikan' diri kerana rakyat ingin tahu sejauh mana kebenaran semua pendedahan yang dibuat oleh Zahrian yang juga merupakan bekas salah seorang sahabat karibnya selama 30 tahun.
Ditanya bagaimana Anwar dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ingin berdepan dengan pendedahan itu, beliau berkata, tindakan Zahrain kini menyebabkan parti tersebut berada dalam kelemasan, sehinggalah mereka menemui isu baru bagi mengalih perhatian masyarakat.
"Apa yang dibuat oleh Zahrain adalah umpama 'bom jangka' yang langsung tidak diduga oleh pakatan pembangkang dan Anwar sendiri sehingga mereka kini tiada jawapan untuk menangkis serangan tersebut.
"Anwar dan pakatan pembangkang kini terperangkap dalam 'jerangkap samar' yang dicipta oleh mereka sendiri kerana terlalu memperkecilkan kemampuan Zahrain sedangkan semua maklumat sulit parti tersebut berada dalam 'poket' bekas ahli PKR itu,'' jelasnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Politik dan Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, imej Anwar sebagai ketua pembangkang terutamanya di kalangan wakil rakyat pembangkang musnah dengan pendedahan berani tersebut.
Katanya, perkara itu dapat dilihat daripada raut wajah serta jumlah bilangan wakil rakyat pembangkang yang tampil dan bangun mempertahankan Anwar semasa pendedahan itu dibuat pada Rabu lalu.

Sivakumar macam kartun - TPM



KUALA LUMPUR 20 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V. Sivakumar kerana berkelakuan seperti watak dalam cerita kartun apabila masih menganggap dirinya sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu umpama hidup dalam dunianya sendiri yang tidak berpijak di bumi nyata.
"Rakyat faham dan tahu keputusan mahkamah telah mengesahkan kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dari Barisan Nasional (BN), kedudukan Speaker (baru) juga sudah disahkan.
"Jadi nak kata apa lagi (pada Sivakumar) pun tidak tahulah, tidak berpijak di bumi nyata, berlakon atau jadi macam kartun, biarlah budak-budak tengok televisyen cerita kartun Sivakumar ini bagus juga," katanya selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010 di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas tindakan Sivakumar baru-baru ini yang menggunakan kepala surat rasmi Yang Dipertua DUN Perak bagi menghantar notis Sidang DUN pada 30 Mac ini.
Mengulas lanjut Muhyiddin meminta Sivakumar menerima kenyataan dan bukannya membuang masa dengan terus berpolitik sehingga menjejaskan kerja-kerja pembangunan negeri.
"Dia seorang wakil rakyat, buatlah kerja, nanti kalau menang balik nak jadi Speaker atau Menteri Besar itu lain cerita," tegasnya.

Rakyat jangan terus terpengaruh kenyataan Anwar - Pak Lah



KUALA LUMPUR 20 Mac- Rakyat negara ini diminta tidak terus terpengaruh dengan apa juga kenyataan yang dibuat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (gambar) berkata, rakyat juga perlu sentiasa berwaspada serta berhati-hati terhadap segala tindak-tanduk Anwar.
"Kita mesti tolak apa yang dirasakan tidak betul kerana kita tidak mahu berlaku keadaan porak-peranda dari apa yang dilakukan olehnya nanti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pohon Ilmu dan Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta melawat Taman Herba dan Taman Paku-Pakis di universiti itu di sini hari ini.
Abdullah berkata, apa yang didedahkan oleh ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Zahrain perlu dijadikan ingatan kepada semua pihak selain mengambil perhatian serius terhadapnya.
"Kalau apa yang dikatakan Zahrain bahawa Anwar mengggunakan pendekatan membohong untuk membawa perubahan maka itu sangat memalukan.
"Zahrain ialah seorang sahabat karib Anwar maka dia tentu tahu apa yang dikatakannya itu," katanya.
Sementara itu mengenai majlis pelancaran Pohon Ilmu dan Inovasi UKM iaitu menjadikan pokok sebagai simbol kecemerlangannya, Abdullah berkata, usaha universiti itu perlu dipuji dan dicontohi.
Beliau berkata, ia termasuk usaha UKM dalam mewujudkan Taman Herba dan Taman Paku-Pakis di sekitar kampus universiti itu.
Katanya, menanam pokok dan memastikan alam semula jadi sentiasa terpelihara bukan satu usaha yang sia-sia malah dituntut dalam agama Islam.

Isu Anwar: Ambil tindakan segera



KUALA LUMPUR 20 Mac - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus menggunakan apa sahaja cara untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda PKR, Nordin Ahmad berkata, beliau tidak terkejut dengan pendedahan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim di Dewan Rakyat bahawa Anwar menggunakan nama Yang di- Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mencapai cita-citanya.
''Ini merupakan kali kedua Anwar menggunakan nama tentera untuk mencapai cita-citanya selepas melakukannya pada 2002 melalui gerakan reformasi apabila menghasut bekas-bekas tentera dan komando untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara kekerasan,'' ujarnya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Zahrain di Dewan Rakyat Rabu lalu berhubung rancangan Ketua Pembangkang itu untuk mengambil alih kerajaan Pusat pada 16 September 2008.
Nordin yang menyertai PKR sejak parti itu ditubuhkan sehingga 2000 berkata, pada 2002 pengakuan juga dibuat oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika itu, Tan Sri Abu Bakar Jamal berhubung cubaan mengajaknya menyertai rancangan menggulingkan kerajaan.
Katanya, Anwar harus dikenakan tindakan segera kerana apa yang didedahkan oleh Zahrain di Dewan Rakyat itu adalah benar.
''Anwar sehingga kini tidak menafikannya sebaliknya ke luar negara semata-mata untuk mendapatkan pandangan luar untuk terus menjayakan hasratnya menjatuhkan kerajaan," dakwanya.