Thursday, October 21, 2010

9 anak 'buang' ibu kuat makan

JOHOR BAHRU: Hanya dengan alasan ibu kuat makan, seorang wanita tua yang lumpuh separuh badan dihantar anaknya ke pusat jagaan warga emas. Lebih menyedihkan, wang pencen arwah suami yang sepatutnya menjadi haknya turut dikaut sembilan zuriatnya itu setiap bulan.
Wanita berusia 84 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Aminah, dihantar ke pusat jagaan selepas semua anaknya bersikap lepas tangan mengenai kebajikannya sedangkan ada antara mereka berjawatan tinggi termasuk bergelar profesional.

Akibatnya, Aminah bergantung sepenuhnya terhadap ihsan pihak lain bagi meneruskan kehidupan walaupun dia sebenarnya berhak mendapat pencen arwah suami RM700 sebulan.


“Sebelum suami meninggal dunia, dia berpesan kepada anak supaya menjaga saya. Namun, setahun selepas suami meninggal, kedua-dua kaki saya lumpuh sehingga terpaksa mengengsot.

“Sejak itu saya dianggap beban oleh anak hingga mereka menolak satu sama lain menjaga saya sebelum mengambil keputusan menghantar saya ke pusat jagaan ini tiga tahun lalu,” katanya.

Aminah mempunyai sembilan anak, lima lelaki dan empat perempuan berusia antara 30-an hingga lewat 50-an. Suaminya yang bekerja sebagai anggota polis meninggal dunia 10 tahun lalu.

Menurutnya, dia yang lebih banyak menguruskan semua sembilan anak kerana suami sering bertugas luar daerah, mendidik mereka dengan penuh kasih sayang sehingga berjaya.

Aminah berkata, buat masa ini, perbelanjaannya bagi membeli ubat-ubatan mahupun lampin pakai buang yang mencecah RM800 sebulan diuruskan Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan di Taman Bukit Kempas.

Menurutnya, hasratnya menggunakan wang pencen arwah suaminya tidak kesampaian kerana setiap kali persoalan itu ditimbulkan, ia mencetuskan pertengkaran di kalangan anak.

“Mereka mengambil wang itu secara bergilir-gilir. Jika anak sulung lelaki menggunakannya bulan ini, anak kedua mengambilnya pada bulan depan sebelum kad ATM (mesin juruwang automatik) itu diserahkan kepada anak ketiga.

“Saya sedih kerana setiap kali meminta daripada pengurusan pusat jagaan termasuk membeli minyak angin kerana tidak mempunyai wang sedangkan anak bekerja dan hidup senang,” katanya yang sebak ketika menceritakan kisah hidupnya.

Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Norijah Bidin, 45, berkata, seorang anak wanita berkenaan menghantar ibu kandungnya itu ke situ dengan alasan wanita berkenaan terbabit kuat makan.

Menurutnya, biarpun pada awalnya berjanji mahu membantu meringankan kos penjagaan ibunya dengan menyerahkan wang pencen arwah bapanya, lelaki berusia 40-an itu langsung tidak mengambil peduli mengenai warga emas terbabit sejak dihantar ke situ, kira-kira tiga lalu.

“Kadangkala nenek berkenaan segan meminta hingga kami menggunakan pendekatan psikologi supaya dia tidak kesunyian dan tidak berasa rendah diri dengan keadaannya itu.

“Kami bukan mendesak keluarga itu, tapi sekurang-kurangnya mereka yang berkemampuan sepatutnya membantu meringankan kos yang ditanggung pusat jagaan,” katanya.

Lari tak mahu nikah

PUJUK...Rozaliya ditenangkan Mat Lazim pada sidang akhbar 
di IPD Kuantan, malamtadi.
PUJUK...Rozaliya ditenangkan Mat Lazim pada sidang akhbar di IPD Kuantan, malamtadi.
KUANTAN: “Jika dia (Rozaliya) setuju, perkahwinan mereka akan dibatalkan,” kata Mat Lazim Mat Ismail, 52, bapa kepada Rozaliya, 20, bakal pengantin yang dilaporkan hilang pada 13 Oktober lalu ketika membeli persiapan perkahwinan bersama tunangnya di Pasar Besar Kuantan, di sini.
Menurut Mat Lazim, punca anak perempuannya melarikan diri dipercayai kerana tidak mahu meneruskan perkahwinan dengan tunangnya, Mohd Helmi Mohd Noor, 24, selepas hubungan mereka berdepan masalah kira-kira setahun lalu.

“Anak saya memaklumkan mereka sudah tidak sehaluan dan Mohd Helmi dikatakan mulai berubah sikap.


“Dia memberitahu tunangnya itu bertukar menjadi panas baran, suka mengongkong dan susah diajak ke mana-mana selepas mereka mengikat pertunangan, berbeza ketika mereka masih berkawan dulu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, malam tadi.

Terdahulu, Rozaliya ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, selepas dikatakan dua hari bekerja di sebuah kedai serbaneka 24 jam di kawasan berkenaan.

Difahamkan, penyelia kedai berkenaan memaklumkan perkara itu kepada polis selepas wajah dan berita kehilangan gadis terbabit terpampang dalam akhbar sebelum dia dibawa anggota polis ke IPD Kuantan malam tadi untuk diserahkan kepada keluarganya.

Ketika sidang media di IPD Kuantan, Rozaliya turut hadir, tetapi enggan memberikan sebarang ulasan, sebaliknya lebih banyak tunduk dan menutup mukanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rozaliya, 20, seorang jurujual di kedai menjual telefon milik bapa saudaranya di Bandar Cheneh Baru, Kemaman, Terengganu dilaporkan hilang sejak 13 Oktober lalu.

Sebelum kejadian itu, dia dikatakan keluar dari rumah keluarganya di Bandar Cheneh Baru dengan berpakaian blaus hitam dan seluar denim gelap bersama tunangnya, kira-kira jam 11 pagi untuk membeli persiapan perkahwinan mereka yang dijadualkan pada 12 November depan.

Selepas membeli-belah di sebuah kedai peralatan pengantin berhampiran Pasar Kuantan di sini, tunang wanita itu bergegas pulang ke pejabatnya di Bandar Cheneh Baru kerana perlu menyelesaikan urusan penting dan berjanji menemui Rozaliya, kira-kira jam 3 petang hari sama.

Bagaimanapun, Mohd Helmi gagal menemui Rozaliya di tempat dijanjikan dan terus mencarinya hingga jam 6 petang sebelum menghubungi keluarga wanita itu.

Kelmarin, akhbar melaporkan ibu Rozaliya, Sabariah Mansor, 42, sebagai berkata dia mengesyaki ada yang tidak kena dalam perhubungan anaknya dan Mohd Helmi.

Wanita itu mendakwa, Rozaliya pernah berhasrat memutuskan pertunangannya.

Semalam, akhbar melaporkan Mohd Helmi tampil di IPD Kuantan untuk menafikan andaian dia terbabit dalam kehilangan tunangnya itu.

Bapa Mohd Helmi, Mohd Noor Juah, 53, turut menafikan anaknya membawa lari dan menyembunyikan Rozaliya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berharap kedua-dua pihak mencari penyelesaian terbaik menyelesaikan masalah itu.

“Siasatan mendapati kejadian ini bebas unsur jenayah dan lebih kepada masalah peribadi atau keluarga,” katanya sambil memaklumkan polis turut mengambil keterangan Rozaliya selepas ini bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangannya.

Sementara itu, Mohd Helmi ketika ditemui selepas sidang media sama berkata, sebelum ini, dia begitu menyayangi Rozaliya, namun selepas kejadian itu, hatinya sudah tawar.

“Saya maafkan perbuatannya dan biarlah takdir menentukan nasib kami,” katanya.

Dinding laluan atas retak



SEREMBAN - Beberapa retakan kecil yang berlaku di dinding laluan atas membabitkan jalan Seremban - Tampin, dekat sini menimbul persoalan sejauh mana keselamatan pengguna kenderaan yang melalui laluan berkenaan. Jalan baru yang dibuka sejak empat bulan lalu, kini dilihat berisiko apabila banyak batu-batu kecil di dinding utama jalan tersebut pecah dan jatuh ke bawah. 

Selain itu, kejadian itu turut menimbulkan persoalan sejauh mana kualiti laluan atas berkenaan dibina. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senawang, P.Gunasekaran berkata, pihaknya menerima beberapa aduan orang ramai berhubung retakan di laluan berkenaan, sekali gus mengundang risiko terhadap pengguna jalan raya. 

Menurutnya, pihak berkuasa seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa supaya membuat pemeriksaan di dinding laluan setinggi kira-kira 15 meter sebelum kejadian tidak diingini berlaku. 

"Dinding batu itu dipercayai tidak mampu menampung bebanan laluan berkenaan yang merupakan jalan utama dari Seremban ke Tampin. Mungkin disebabkan benanan atas terlalu berat, dinding penghadang ini tidak mampu menampungnya," katanya. 

Menurutnya, banyak batu-bata kecil di permukaan dinding itu jelas retak dan pecah dan perkara itu tidak seharusnya berlaku memandangkan laluan itu baru dibuka kira-kira empat bulan lalu. 

“Malah, kita dapati beberapa kayu kecil dibuat penghadang supaya kepingan batu itu dapat bertahan dan tidak terkeluar daripada tempatnya,” katanya ketika membuat tinjauan di kawasan itu, semalam. 

Hadir sama, ADUN Mambau, Wong May May dan ADUN Temiang, Ng Chin Tsai. 

Gunasekaran berkata, pihaknya sudah menghubungi JKR pusat di Kuala Lumpur untuk memaklumkan perkara ini, tetapi mereka dimaklumkan JKR akan menghantar wakil untuk memantau perkara ini. 

Sementara itu, May May berkata, walaupun keadaan itu nampak agak kecil, tetapi risiko yang dihadapi pengguna jalan raya sebenarnya besar. 

“Jika kita tidak atasi masalah ini dari awal, kita khuatir ianya akan menjadi lebih teruk pada masa hadapan," katanya. 

Sementara itu, Pegawai JKR negeri (Pengurus Projek), Ir Norazman Ismail ketika dihubungi memberitahu, JKR sudah pun sedia maklum mengenai perkara itu. 

Menurutnya, arahan sudah pun diberi kepada kontraktor bertanggungjawab bagi memperbaiki masalah yang timbul dengan segera.

Pulak dah!

80 pemandu teksi berang 


TELUK INTAN - Seramai 80 pemandu teksi dan juga kereta sewa di Hilir Perak membantah penambahan perkhidmatan bas berhenti-henti sedia ada dari bandar Teluk Intan ke Bagan Datoh kerana ia menjejaskan pendapatan mereka. 

Pengerusi Persatuan Tuan Punya dan Pemandu Kereta Sewa Hilir Perak, S Manokaran berkata, bantahan itu diadakan berikutan operasi bas berhenti-henti yang baru iaitu Bagan Datoh Liner boleh menyebabkan pendapatan mereka merosot. 

Menurutnya, jumlah pendapatan mereka semakin berkurangan sejak perkhidmatan bas itu beroperasi lima bulan lalu berikutan kerajaan membenarkan operasi bas Bagan Datoh Liner. 

“Kami rasa cukuplah perkhidmatan bas Lower Perak Motor Service (LPMS) yang sedia ada kerana kawasan Hilir Perak tidak mempunyai penduduk yang padat,” katanya kepada media ketika ditemui selepas mengadakan demonstrasi di Perhentian Teksi Jalan Selat, dekat sini, semalam. 

Menurut Manokaran, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) perlu melihat semula kelulusan yang diberikan kepada syarikat bas itu dan membuat kajian terhadap kenderaan perdagangan lain yang beroperasi termasuk teksi serta kereta sewa. 

Beliau berkata, bantahan berkenaan pernah dihantar kepada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) supaya tidak membenarkan syarikat baru tersebut menggunakan laluan MPTI. 

Menurutnya, dalam surat berkenaan, sebahagian besar ahli persatuan menandatangani surat bantahan itu bagi menguatkan lagi alasan yang diberikan. 

"Kami mendapat maklum balas dari MPTI dan menjelaskan pihaknya memanjangkan masalah itu kepada Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohamed Sadique pada 14 Oktober lalu. 

"Masalah ini perlu diselesaikan segera kerana melibatkan pendapatan pemandu teksi dan semua mereka menjalankan kerja ini sepenuh masa,” katanya. 

Seorang pemandu teksi, Yusof Abd Manaf, 42, berkata, sejak bas baru berkenaan beroperasi, pendapatan mereka terjejas teruk iaitu daripada RM100 hingga RM120 sehari turut kepada RM20 sahaja sehari. 

"Apa yang kami hendak buat dengan RM20 itu, sedangkan perbelanjaan minyak sehari RM60,” katanya yang kecewa dengan kelulusan diberikan kepada syarikat bas itu. 

Dia yang bekerja selama 15 tahun membawa teksi berkata, penumpang menggunakan perkhidmatan awam di Hilir Perak tidak ramai kerana daerah berkenaan bukan bandar besar dan kebanyakan mereka mempunyai kenderaan sendiri. 

Seorang ahli persatuan, Wong Yin Teck, 72, berkata, dalam keadaan pada masa kini kos hidup semakin lama semakin tinggi, bagaimana pemandu teksi boleh menampung pendapatan mereka jika tempat mencari rezeki diganggu oleh pihak lain. 

"Paling banyak pernah saya dapat selepas perkhidmatan bas Bagan Datoh Liner itu adalah RM60. 

"Sekarang hendak pulang modal untuk bayar minyak sehari pun tak boleh, bagaimana pula kami mahu menyara keluarga,” katanya. 

Pemandu teksi berharap kerajaan mendengar rintihan ini yang terdesak dan terhimpit dengan kewujudan perkhidmatan bas terbaru itu.

Penulis blog mula dibicara




SEREMBAN – Mahkamah Sesyen di sini, semalam memulakan perbicaraan kes remaja yang didakwa menghina institusi kesultanan Johor menerusi laman blognya. 

Khairulizam Abdul Ghani, 29, adalah seorang juruteknik komputer didakwa memuat naik secara sedar beberapa ayat menghina institusi kesultanan Johor dalam blognya, adukataruna.blogspot.com.my. 

Dalam perbicaraan semalam, dua saksi dipanggil memberi keterangan iaitu jurugambar polis, Konstabel Wan Khairul Al-Jufri Hashim, 24 dan Penolong Pengurus Maybank Seremban, Fazlita Abd Wahab, 42. 

Timbalan Pendakwa Raya, Mahmud Abdullah memaklumkan, sepanjang perbicaraan yang dijadual berlangsung selama tiga sehingga esok, beberapa saksi terlibat akan dipanggil untuk memberikan keterangan. 

Khairulizam yang memakai kemeja putih hadir ke mahkamah diwakili peguam bela, Mohd Radzlan Jalaludin. 

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut antara pukul 7.25 malam dan 9.05 malam, pada 22 Januari lepas di No. 297, Rumah Rakyat Panchor, Paroi, dekat sini. 

Jika disabitkan kesalahan, Khairulizam boleh didakwa mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya. 

Khairulizam bertindak menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan 26 Januari lalu atas perbuatannya itu.

“Tengku Razaleigh tidak sesuai bersama UMNO”



SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dinasihatkan supaya keluar dari perjuangan sempit perkauman yang telah ’membulinya’ selama ini dan menghabiskan sisa usianya bersama-sama perjuangan Islam. 

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, individu yang mempunyai integriti seperti Tengku Razaleigh tidak sesuai duduk di dalam UMNO kerana ia tidak memberi sebarang nilai kepada parti itu. 

“Sikap UMNO terhadap Ku Li umpama kera mendapat bunga. Bertahun-tahun dihina oleh UMNO, apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas tiba-tiba kosong, UMNO bagaikan pungguk rindukan bulan menanti Ku Li pulang daripada bercuti di luar negara. 

“Berpuluh-puluh orang berpura-pura menanti kepulangan Ku Li di KLIA. Kalaulah DUN Galas terletak di Kota Baharu, sudah tentu nama Ku Li sudah tenggelam bersama gua dan musang-musangnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada: Sinar Harian:, semalam. 

Beliau berkata, suatu ketika dulu, nama Tengku Razaleigh tidak dihiraukan oleh UMNO ketika Pilihan Raya Kecil Manik Urai dalam Parlimen Kuala Krai bersebelahan Gua Musang. 

“UMNO jelas tersepit di Galas. Jika tidak mendapat kerjasama daripada Ku Li maka UMNO akan menerima padah. Pilihan UMNO hanya satu sahaja, melantik Ku Li sebagai Pengarah PRK DUN Galas dan sekali gus menjadi calon. 

“Saya menjangkakan bantuan Ku Li kepada UMNO di Galas kelak umpama menolong anjing tersepit. Jika UMNO dapat menawan Galas, maka nama Najib lah yang akan disanjung. Sebaliknya jika UMNO kalah di Galas maka nama Ku Li yang akan dipersalahkan. Itulah hukum rimba yang ada dalam UMNO yang sudah busuk sampai ke usus,” katanya. 

Suhaizan berkata, integriti yang ada pada Tengku Razaleighakan dihargai dalam Pas dan Pakatan Rakyat (PR) serta mengalu-alukan penyertaan veteran politik itu bersama-sama memperjuangkan nasib rakyat dan agama Islam. 

“Kalaulah Ku Li boleh bersama Tun Musa Hitam, rakan karib kelab malam semasa zaman mudanya, mengapa tidak boleh bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan rakan-rakan lain dalam memperjuangkan royalti minyak di Kelantan?: 

“Sudah tiba masanya Ku Li keluar daripada kepompong sedia ada. Membuat perubahan besar dengan penuh keberanian sebagaimana beraninya beliau mengepalai sebuah GLC sebesar Petronas ketika usia mudanya dulu,” katanya.

Mandi dalam ladang




KOTA TINGGI – Malang bagi hampir 2,000 penduduk Felcra Sungai Ara di sini yang masih terpaksa menjalani kehidupan seperti zaman sebelum merdeka. 

Masalah air yang masih membelenggu penduduk di sini sejak 20 hari lalu menyebabkan mereka berasa sangat terbeban dalam menjalani kehidupan harian terutama golongan ibu yang perlu menyelesaikan tanggungjawab membersih dan menyediakan makanan kepada isi rumah. 

Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan gangguan bekalan air selama seminggu dan rungutan penduduk di sini namun masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan. 

Seorang suri rumah, Bedah Karson, 55, berkata, dia berasa sangat penat kerana aktiviti membasuh pakaian mahupun pinggan-mangkuk kotor terpaksa dilakukan walaupun kuantiti air yang tidak mencukupi di rumahnya. 

“Dalam rumah saya ada enam orang kesemuanya jadi banyak pinggan-mangkuk dan baju kotor yang perlu dibersihkan, dan saya terpaksa mengambil inisiatif lain dengan menggunakan punca air dari parit yang terletak kira-kira 60 meter dari rumah. 

“Mujurlah anak saya meletakkan beberapa bungkus pasir di dalam parit dapatlah saya membasuh baju dan mandi setiap hari bersama anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian. 

Menurutnya, kekurangan air menyebabkan anaknya tidak dapat mandi pada waktu pagi untuk ke sekolah dan hanya boleh membasuh muka dan menggosok gigi.

Kebas duit OKU




KUANG – Kerja jahat tidak mengenal mangsa. Golongan orang kurang upaya (OKU) yang sepatutnya dibantu juga tidak terlepas menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan mereka. 

Itulah juga yang berlaku kepada pasangan suami isteri OKU, Adam Suradi, 44 dan Mazarina Amir, 34 yang kehilangan RM1,800, sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk membeli kerusi roda bagi memudahkan pergerakan mereka. 

Pasangan yang menghidap tulang belakang bengkok yang mengehadkan pergerakan mereka sepatutnya berupaya menjalani kehidupan lebih selesa sejak setahun lalu, kini terus terhimpit dengan kepayahan meneruskan rutin harian. 

"Semuanya gara-gara seorang individu yang mendakwa wakil syarikat pembekal kerusi roda berkunjung ke rumah kami Ogos 2009 lalu menuntut cek RM1,800 itu tetapi lesap hingga ke hari ini selepas berjanji akan menghantar kerusi roda tersebut beberapa hari selepas cek dituntut," kata Adam ketika ditemui di kediamannya, semalam. 

Adam berkata, cek RM1,800 itu diperolehnya awal Ogos 2009 selepas permohonan mendapatkan kerusi roda yang dibuat melalui ibu pekabat LZS di Shah Alam diluluskan. 

"Pada awal Ogos 2009 dia dimaklumkan permohonan kerusi roda itu telah lulus dan dia dimaklumkan perlu mengambil cek tersebut di cawangan Lembaga Zakat Bukit Rahman Putra. 

"Saya ketika itu hanya mengikut arahan jadi saya pergi ke pejabat Lembaga Zakat di Bukit Rahman Putra untuk mengambil cek tersebut yang bernilai RM1,800 yang dipalangkan atas nama sebuah syarikat pembekal kerusi roda,” katanya. 

Bagaimanapun katanya, pada 20 Ogos 2009 dia telah didatangi seorang wakil daripada syarikat pembekal kerusi di rumahnya yang mahu mengambil cek tersebut. 

”Saya terus menyerahkan cek itu dan wakil syarikat terbabit berjanji akan menghantar kerusi roda ke rumah saya, namun setelah hampir dua bulan menunggu kerusi roda itu tidak dihantar menyebabkan saya terus merujuk kepada Lembaga Zakat Selangor sebelum pergi menuntut sendiri di syarikat pembekal yang dimaksudkan,” katanya. 

Dalam pada itu, katanya, dia dimaklumkan bahawa wakil syarikat yang dimaksudkan belum lagi menyerahkan apa-apa wang atau cek bagi pembelian kerusi roda dan difahamkan nama syarikat yang pada cek tersebut juga berlainan. 

”Saya diberitahu nama syarikat yang tertera di dalam cek tersebut lain dan saya terus membuat laporan polis,” katanya. 

Menurutnya, meskipun sudah memperoleh kerusi roda sumba- ngan daripada pihak lain, dia kesal dengan kejadian tersebut. 

"Duit itu adalah hak orang yang memerlukan dan tidak boleh sewenang-wenangnya disalahgunakan,” katanya. 

Ikan piranha gergasi berjaya ditangkap



BENTUK ikan piranha gergasi.


LONDON - Seorang pemancing, Jeremy Wade berumur 52 tahun menangkap seekor ikan mirip piranha sepanjang 1.52 meter dan berat 45.39 kilogram di Sungai Congo, Afrika, lapor sebuah akhbar semalam.
Ikan itu mempunyai 32 batang gigi yang saiznya sama dengan ikan jerung putih. Ia ditangkap dengan joran 90.7 kilogram dan menggunakan umpan seekor ikan air tawar, baru-baru ini.
Ikan itu merupakan spesies ikan harimau Afrika yang terkenal kerana menyerang manusia dan buaya.
Pemancing itu yang merupakan hos program River Monsters di stesen televisyen ITV berkata, dia mengambil masa lapan hari sebelum berjaya menangkap ikan itu.
"Ia merupakan seekor ikan yang amat berbahaya untuk dikendalikan. Jika anda tidak berhati-hati, ikan itu dengan mudah akan memutuskan jari anda," katanya. - Agensi

Jual bahulu pelihara 9 anak




2010/10/21

ENDAU: Kegigihan dan ketabahan seorang ibu tunggal, Ezon Ahmad, 45, yang membesarkan sembilan anak dengan hanya bergantung kepada sumber pendapatan membuat kuih bahulu patut membuka mata banyak pihak. 

Sejak berpisah dengan suaminya, Ghozali Saad, tiga tahun lalu, Ezon hanya bergantung sepenuhnya pada hasil jualan bahulu dan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membesarkan anaknya yang berusia antara enam hingga 26 tahun.“Sebiji bahulu dijual pada harga 10 sen dan kalau banyak tempahan, bertambahlah sedikit rezeki kami sekeluarga,” katanya yang memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.Ezon berkata, lima daripada anaknya masih bersekolah iaitu daripada prasekolah hingga di Tingkatan Lima, termasuk dua daripadanya yang dijaga bapa mereka di Kedah. 

“Dulu kehidupan kami sekeluarga sangat susah, kini sekurang-kurangnya dua anak lelaki saya sudah bekerja walaupun pendapatan mereka juga tidak menentu. 

“Sedikit-sebanyak bebanan saya dapat dikurangkan hasil sumbangan anak lelaki, di samping kadang kala membantu menghantar bahulu di kedai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Blok 6, Kampung Bukit Pasir, di sini. 

Ezon berkata, sekiranya anak lelakinya, Shafie dan Riduan mengikut bapanya bekerja di Kedah, beban berkenaan terpaksa dipikul dua anak perempuannya, Norhidayu dan Norainee. 
“Saya juga berharap ada pihak sudi untuk membantu membesarkan bengkel perusahaan bahulu ini, selain cuba untuk mendapatkan bantuan mesin lain kerana saya tidak mempunyai modal mencukupi,” katanya. 

Jambatan gantung kian uzur


Seorang penduduk menunjukkan tali pengikat lantai jambatan gantung Sungai Kechau hampir putus di Kuala Kechau, Kuala Lipis, semalam.


KUALA LIPIS 20 Okt. - Seramai 350 penduduk Kampung Kuala Kechau, dekat sini berdepan dengan risiko keselamatan berikutan jambatan gantung yang menyeberangi Sungai Kechau di kampung itu semakin uzur.
Struktur jambatan sepanjang 60 meter yang menghubungkan Kampung Kechau dan Kampung Cherba yang usang itu boleh menyebabkan ia terputus dan jatuh ke dalam sungai pada bila-bila masa, sekali gus mengundang padah kepada penduduk.
Menurut penduduk, keadaan itu menimbulkan ketidakselesaan mereka untuk menyeberang sungai bagi menjalankan urusan seharian.
Selama ini, kata mereka, jambatan itu menjadi laluan utama penduduk ke kebun dan ke bandar Jerantut selain kemudahan pelajar ke sekolah dan menunaikan solat Jumaat.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kampung itu mendapati, lapan tali penahan lantai jambatan putus manakala tali di bahagian lain juga bakal mengalami nasib sama.
Seorang penduduk Kuala Kechau, Mohd. Asri Jaafar, 44, berkata, jambatan berkenaan tidak sesuai lagi digunakan kerana banyak tali pengikat lantai putus dan strukturnya semakin uzur.
"Tali besi penghadang di kiri kanan laluan kini tidak kukuh dan hampir putus yang boleh mengundang bahaya kepada penduduk melintasinya setiap hari," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Menurutnya, lantai jambatan berkenaan dimakan usia dan licin ketika hujan menyebabkan motosikal dan basikal mudah tergelincir.
Rakannya, Mohd. Zukri Ismail, 49, berkata, jambatan gantung itu bergoyang dengan kuat apabila dilalui kenderaan dan pejalan kaki kerana tali besi pengikatnya longgar dan berkarat.
"Ramai penduduk termasuk penunggang motosikal terjatuh ke dalam sungai akibat tergelincir ketika melalui jambatan ini," katanya.
Mohd. Zukri berkata, jambatan itu juga kerap ditenggelami banjir pada musim tengkujuh.
Katanya, penduduk berharap kerajaan negeri membaik pulih jambatan itu atau menggantikannya dengan jambatan konkrit untuk kemudahan penduduk menjalankan urusan seharian mereka.
Seorang penduduk Kampung Cherba, Ahmad Omar, 18, berkata, jika jambatan itu tidak dibaiki, penduduk terpaksa mencari alternatif menggunakan perahu atau bot untuk menyeberangi sungai itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman ketika dihubungi berkata, pihaknya menyedari masalah yang dihadapi penduduk terbabit dan mengemukakan isu itu ke mesyuarat Majlis Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk dapatkan peruntukan membaiki jambatan itu.
"Kita meneliti dan cuba menyelesaikan masalah berkenaan. Saya harap penduduk bersabar kerana kerajaan negeri beri keutamaan untuk baik pulih jambatan ini," katanya.
Beliau meminta penduduk mengutamakan aspek keselamatan jika menggunakan bot atau perahu dengan memakai jaket bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Kastam kehilangan RM185 juta, mansuh cukai 300 barangan


PUTRAJAYA 20 Okt. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bakal kehilangan pendapatan hasil kutipan cukai sebanyak RM185 juta tahun depan ekoran keputusan kerajaan memansuhkan cukai untuk produk berkaitan pelancongan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Khalid Yusuf berkata, kesan daripada pemansuhan cukai tersebut bagaimanapun akan tetap memberi pulangan lumayan kepada JKDM ekoran pengumuman kenaikan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus dalam Pembentangan Bajet 2011, minggu lepas.
Beliau optimis, pemansuhan cukai kira-kira 300 produk pelancongan itu akan meningkatkan lagi kemasukan pelancong asing ke Malaysia kerana negara ini sememangnya sudah dikenali sebagai lokasi syurga membeli-belah.
”Pelancong akan terus berkunjung ke sini dan mereka akan berbelanja besar untuk membeli barang-barang yang diminati tanpa dikenakan cukai.
”Seterusnya, industri pelancongan dan pengangkutan akan mendapat manfaat pula apabila hotel dan restoran penuh, mereka (pelancong) akan bayar cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus dan hasilnya kepada kerajaan juga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri majlis perjumpaan khas bersama kepimpinan tertinggi JKDM serta penyerahan watikah pelantikan pengarah kastam ibu pejabat dan negeri.
Mohamed Khalid berkata, peningkatan satu peratus cukai perkhidmatan dan caj cukai perkhidmatan untuk pakej-pakej filem di stesen penyiaran berbayar dijangka dapat menjana hasil lebih besar daripada jangkaan pengurangan kutipan RM185 juta.
”Jadi kita yakin bajet yang kita anggap mesra rakyat ini tetap mampu membantu jabatan ini mencapai kutipan hasil lebih RM28 bilion tahun depan,” katanya.
Beliau menambah, dari aspek penguatkuasaan pula JKDM mencatat kejayaan amat memberansangkan sejak tiga tahun lalu apabila hasil rampasan terus meningkat dari tahun ke tahun.

Keluarga Fazli dipulau masyarakat




HULU SELANGOR – Bayangan peristiwa kematian menyayat hati adik Syafiah Humaira, 3, kian berlalu da�ri�pada ingatan masyarakat. 

Malah, boleh dikatakan seluruh masyarakat lega apabila mendengarkan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman mati ke atas Mohd Fazli Azri Jamil, 28. 

Tiada siapa mengetahui di sebalik peristiwa itu, sebenarnya keluarga Mohd Fazli menerima cemuhan dan tohmahan sedangkan pada hakikatnya tiada siapa menghendaki anak atau ahli keluarganya menjadi ‘pembunuh’. 

Itu yang ingin dikongsi ibu Mohd Fazli, Norhaziah Yusof, 52, kepada Sinar Harian semalam dengan harapan masyarakat sedar hakikat di sebalik kejadian tersebut. 

Menurutnya, sepanjang perjalanan kes, keluarganya tidak lekang dengan gangguan fizikal dan mental. 

“Kami dicemuh dan dianggap pembunuh. Seolah-olah kami ini ‘anjing kurap’ oleh individu yang masih tidak puas hati. 

“Keluarga kami dipulaukan dan pernah dihalau keluar dari kampung ini,” katanya. 

Menuru Norhaziah, ada individu yang tidak bertangungjawab menyembur cat di dinding rumah a dengan perkataan ‘pembunuh’. 

“Saya kenal individu ini. Kenapa dia sanggup berbuat demikian seolah-oleh kami sekeluarga yang membunuh,” katanya. 

Norhaziah berkata, insiden yang berlaku di luar kantin Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) 2 Februari lalu hanya salah faham antara keluarganya dengan seorang pemimpin masyarakat di kampungnya. 

“Saya anak jati kampung ini dan rumah ini milik saya dan kami sekeluarga berhak tinggal di sini. Mengapa pula dihalau keluar. 

"Sepatutnya, menjadi tanggungjawab seluruh penduduk kampung untuk membentuk permuafakatan dan bukan bertindak seolah-olah tidak menerima hakikat semua ini berpunca daripada sikap tidak peduli,” katanya. 

Ekoran ketiga-tiga insiden itu, Norhaziah telah membuat laporan polis pada tarikh ia berlaku bagi menuntut keadilan. 

Norhaziah berkata, sepanjang mengikuti perkembangan media mengenai kes membabitkan anaknya itu, dia mendakwa laporan media berat sebelah kerana tidak menghiraukan situasi yang berlaku dalam keluarganya. 

Menurutnya, ada media langsung tidak menghormati perasaan dan situasi keluarga mereka, sebaliknya terus menerus melaporkan mengenai kejadian itu tanpa sedikit pun merujuk kepada ahli keluarganya. 

“Selama ini kami hanya berdiam diri dan menerima hakikat yang berlaku. Tapi, bila mendapati masih ada media yang mengeluarkan laporan mengenai kes itu dengan ayat-ayat seakan cuba mencetuskan rasa geram masyarakat, kami merasa teraniaya. 

“Sepatutnya, media tidak lagi menggembar-gemburkan isu itu kerana anak saya telah pun dijatuhi hukuman,” katanya. 

Norhaziah berkata, dia berasa terkilan kerana tidak ada media yang datang bertemu ahli keluarganya untuk mendapatkan penjelasan mengenai kes anaknya.