Sunday, July 5, 2015

Aminah Assilmi, Pengalaman Dari Kristian Radikal Menjadi Muslimah Berpengaruh.


 
Satu Dari 500 Muslim Paling Berpengaruh Di dunia.

BERMULA dari kesalahan data komputer, hidup perempuan bijak ini berubah total dari seorang penganut Kristian Baptis yang taat dan seorang feminis yang radikal, menjadi seorang muslimah dan salah satu tokoh cendekiawan Muslim di AS.
 
Selama 33 tahun menjadi seorang Muslim, ia aktif berdakwah, dijemput sebagai penceramah, menulis dan memberikan advokasi di bidang keIslaman dan hak-hak wanita. Dunia antarabangsa mengenal dan menghormati beliau sehingga baru-baru ini ia terpilih sebagai satu daripada 500 Muslim paling berpengaruh di dunia. (lihat gambar)
 
Biodata
 
Namanya Aminah Assilmi. Usianya 65 tahun. Namun nama itu kini menjadi kenangan, kerana Allah swt telah memanggilnya pada tarikh 5 Mac 2010. Aminah meninggal dunia selepas pukul 03.00 dinihari waktu setempat, akibat kemalangan kereta di berhampiran Newport, selepas memberikan ceramah di New York.
 
Jabatan terakhirnya sampai ia menghembuskan nafas yang terakhir adalah Presiden International Union of Muslim Women. Meski telah tiada, kisah keislaman dan dakwah sosok perempuan yang aktif di masyarakat dan dikenali sebagai cendikiawan Islam dengan level antarabangsa menjadi inspirasi banyak orang.
 
Bila Hidayah Itu Datang
 
Sebelum masuk Islam, Aminah dilahirkan dari keluarga Kristian Baptis di wilayah Selatan AS. Sebagai perempuan, Aminah mempunyai kecerdasan diatas rata-rata gadis seusianya. Dia selalu mendapat nilai sempurna di sekolah, mendapat biasiswa semasa kuliah dan sejak menjadi menjadi mahasiswi, ia sudah menguruskan perniagaan sendiri, bersaing dengan para profesional dan meraih beberapa anugerah.
 
Ia juga menjadi aktivis perempuan yang menganut feminisme dan bekerja sebagai wartawan media elektronik.
 
Suatu Hari Pada 1975
 
Suatu hari pada tahun 1975, Aminah menggunakan komputer untuk mendaftarkan diri ke sebuah perguruan tinggi. Masa itu baru pertamakalinya komputer digunakan untuk pendaftaran di perguruan tinggi tersebut. Sementara ia menunggu hasil pra-pendaftaran untuk jurusan Pelancongan, Aminah pergi ke Oklahoma untuk mengurus perniagaannya. Kerana sesuatu hal, kepulangannya ditangguhkan, ia baru kembali ke perguruan tinggi tempat ia mendaftarkan diri dua minggu ketika perkualiahan sudah bermula.
 
Betapa terkejutnya Aminah, kerana komputer salah mengolah datanya dan nama Aminah masuk ke jurusan Teater. Jurusan yang mengharuskannya tampil di depan orang ramai. Sebagai gadis yang cenderung pemalu asalnya, Aminah gundah memikirkan dirinya harus tampil di depan orang ramai. Ia tidak boleh membatalkan perkuliahannya, kerana sudah terlalu lewat untuk mengurus kesalahan kompouter itu.
 
Ia tidak mahu gagal kerana ia menerima biasiswa. Nilai "F" di mata kuliah, akan mengganggu pemberian biasiswanya. Atas nasihat suaminya, Aminah menemui pensyarahnya membicarakan alternatif untuk tampil, seperti persiapan pakaian dan lain sebagainya. Dosennya itu berjanji untuk membantu dan Aminah datang ke kelas selanjutnya yang membuat ia syok dengan apa yang ia saksikan.
 
Kelas itu penuh dengan orang-orang Arab, yang oleh Aminah digelar "para joki unta". Aminah terus pulang ke rumah dan memutuskan untuk tidak kuliah lagi. Ia tidak mau berada di tengah orang-orang Arab.
 
"Aku tidak mahu duduk dalam satu bilik yang penuh dengan orang-orang kafir yang kotor," tegasnya ketika itu.
 
Melihat kegundahan isterinya, suami Aminah dengan sikap tenang seperti biasanya memberi penjelasan bahawa Tuhan pasti punya alasan untuk segala sesuatu. Ia menasihati Aminah untuk berfikir dalam-dalam sebelum membuat keputusan berhenti kuliah. Aminah mengunci dirinya selama dua hari untuk mempertimbangkan nasihat suaminya dan akhirnya ia memutuskan untuk tetap kuliah.
 
Tetapi keputusan itu diiringi dengan fikiran bahawa Tuhan telah menugaskan dirinya untuk mengajak orang-orang Arab itu masuk agama Kristian.
Aminah pergi kualiah dengan sebuah misi. Sepanjang perkuliahan, Aminah akan menyempatkan diri untuk membicarakan agama Kristian yang dianutinya dengan teman-teman Arabnya di kelas.
 
"Saya mula menceramahi mereka bagaimana mereka akan dibakar di neraka untuk selama-lamanya kalau mereka tidak menerima Isa sebagai penyelamat mereka," ujar Aminah menceritakan pengalamannya sebelum masuk Islam.
 
Tetapi, sambungnya, teman-teman Arabnya sangat sopan dan tidak ada yang mahu masuk Kristian. Aminah masih terus berusaha mempengaruhi mereka dengan mengatakan bahawa Isa sangat mencintai mereka dan rela mati disalib untuk menyelamatkan manusia dari dosa-dosa. Yang harus dilakukan manusia hanyalah menerima Yesus dalam hati mereka.
 
Rakan-rakan Arab Aminah tetap tidak ada yang mahu pindah agama ke Kristian dan Aminah pantang mundur. Ia memutuskan untuk membaca kitab suci Al-Quran untuk menunjukan pada teman-teman Arabnya bahawa Islam adalah agama palsu dan Nabi Muhammad adalah tuhan palsu. Atas permintaan Aminah, seorang mahasiswa membawa kepadanya kitab suci Al-Quran dan sebuah buku tentang Islam.
 
Aminah lalu memulakan usaha beliau untuk mematahkan keyakinan rakan-rakan Arabnya terhadap Islam. Aminah membaca seluruh isi Al-Quran dan sekurang-kurangnya 15 buku mengenai Islam, lalu ia kembali pada Al-Quran dan membacanya kembali. Selama pencariannya itu, ia mula membuat beberapa catatan hal-hal yang menurutnya dapat ia bantah dan akan dijadikannya sebagai bukti bahawa Islam adalah agama palsu.
 
Tapi tanpa disedarinya, telah berlaku perubahan pada diri Aminah dan suaminya yang melihat perubahan itu.
 
"Dalam beberapa hal, hati kecil saya mula berubah, yang cukup membuat suami saya terganggu. Kami biasa pergi ke bar setiap hari Jumaat dan Sabtu atau pergi ke pesta. Lalu saya mula malas pergi ke tempat itu, saya jadi agak pendiam dan mula menjauh, "tutur Aminah.
 
Sejak ia membaca Al-Quran dan buku-buku Islam, Aminah juga mula berhenti minum minuman keras dan tidak lagi makan daging babi. Kerana perubahan-perubahan itu, suaminya menuduhnya selingkuh dengan lelaki lain dan mengusirnya. Aminah lalu pindah dan hidup sendirian di sebuah apartamen. Dalam kesendiriannya, Aminah terus mempelajari Islam meski ia masih tetap menjadi seorang Kristian yang taat.
 
Sampai suatu hari, terdengar ketukan di pintu apartmennya. Seorang lelaki-yang kemudian dikenalinya bernama Abdul Aziz Al-Syaikh, berpakaian tradisional muslim berupa baju gamis panjang berwarna putih dengan serban bermotif papan catur putih merah terlilit di kepalanya. Lelaki itu datang bersama tiga lelaki lain yang berpakaian sama. Ketika itu, Aminah merasa marah kerana para tetamu itu yang datang semasa ia mengenakan baju tidur saja.
 
Aminah makin terkejut ketika Abdul Aziz mengatakan, ia memahami Aminah yang ingin menjadi seorang muslim. Aminah lalu menjawab bahawa ia seorang Kristian dan tidak berniat untuk menjadi seorang muslim. Tapi Aminah mempunyai banyak soalan yang ingin diketahui dan bertanya apakah tamu-tamunya itu ada waktu luang.
 
Akhirnya Aminah mempersilakan mereka masuk. Ia lalu menanyakan hal-hal dan keberatan-keberatannya yang sudah ia catat selama ia membaca Al-Quran dan buku-buku Islam.
 
"Saya tidak akan melupakan namanya, Abdul Aziz adalah seorang yang sabar dan lemah lembut. Ia dengan sangat sabar membincangkan soalan-soalan itu bersama saya. Dia tidak membuat saya seperti orang bodoh atau membuat pertanyaan saya seperti soalan yang bodoh, "ungkap Aminah.
 
Aminah berkata, Abdul Aziz menjelaskan padanya bahawa Allah memerintahkan manusia untuk mencari ilmu dan bertanya sebagai salah satu cara untuk mendapatkan ilmu. Aminah seperti menyaksikan kuntum bunga sedang mekar mendengar penjelasan Abdul Aziz. Ketika ia berbeza pendapat, Abdul Aziz akan memjelaskannya lebih dalam dan dari sisi pandang yang berbeza sampai Aminah benar-benar memahaminya.
 
Setelah berbincang dengan Abdul Aziz dan rakan-rakannya, tidak perlu waktu lalu buat Aminah memutuskan masuk Islam. Satu setengah tahun ia sudah mempelajari Islam dan Al-Quran, keesokan harinya selepas Abdul Aziz bertamu ke rumahnya, Aminah mengucapkan dua kalimat syahadat disaksikan Abdul Aziz dan rakan-rakannya yang datang malam itu.
 
Cubaan Bertubi Setelah Menjadi Muslim
 
 
Seperti kebanyakan mualaf, setelah menjadi seorang muslimah, Aminah banyak kehilangan rakan-rakannya. Ibunya juga tidak menerima keIslamannya. Saudara perempuannya menganggap Aminah sakit jiwa dan ingin memasukkannya ke tempat pemulihan pesakit gangguan mental. Ayah Aminah yang dikenali sebagai orang yang bijak dan tempat meminta nasihat bagi orang ramai, tiba-tiba menjadi beringas dan seolah-olah ingin membunuh Aminah setelah mendengar puterinya menjadi seorang muslim.
 
Aminah sendirian, tanpa teman dan tanpa keluarga. Tapi ia tetap memilih jalan Islam, bahkan memutuskan untuk segera berhijab meski terpaksa hilang pekerjaan kerana dipecat. Cubaan itu belum cukup, kerana suami Aminah menceraikannya bila tahu ia masuk Islam. Bahkan mahkamah memutuskan dua anaknya, satu lelaki dan satu perempuan, dibawah jagaan suaminya, hanya kerana Aminah kini menjadi seorang muslim.
 
"Itulah 20 minit yang paling menyakitkan dalam kehidupan saya," kata Aminah dalam sebuah wawancara saat ia terpaksa melepaskan kedua anaknya.
 
Di Colorado, Aminah cuba membentangkan kesnya pada media massa. Ia berharap dapat mendapatkan hak penjagaan anaknya kembali kerana undang-undang di Colorado menyebutkan bahawa seseorang tidak boleh kehilangan hak asuh anaknya hanya kerana latar belakang agamanya. Meski demikian, Aminah tetap tidak berjaya mendapatkan hak asuh itu.
 
Aminah kembali menjalani kehidupannya sebagai seorang muslim. Meski sakit hati, ia tetap memperlakukan keluarganya dengan hormat dan tetap menjaga komunikasi dengan mereka. Ia juga tetap mendakwahkan Islam dalam setiap kesempatan bertemu dengan keluarganya. Dan perjuangannya tidak sia-sia.
 
Tak Ada Yang Paling Membahagiakannya Selain...
 
Ahli keluarganya yang kemudian masuk Islam adalah neneknya yang sudah berusia lebih dari 100 tahun. Tak lama setelah bersyahadat, neneknya meninggal dunia. Selepas itu, ayah Amina yang dulu ingin membunuhnya kerana keIslamannya, menyatakan diri masuk Islam.
 
Beberapa tahun kemudian, ibu Aminah pun menjadi muslimah. Lalu suami Aminah dan saudara perempuannya yang dulu ingin memasukkannya ke rumah sakit jiwa akhirnya juga mengucapkan dua kalimah syahadah. Tak ketinggalan, anak lelaki Aminah, pada usia 21 tahun juga memutuskan untuk menjadi seorang Muslim.
 
Subhanallah ... tak ada hal yang paling membahagiakannya Aminah selain melihat keluarganya memeluk Islam. Aminah pun terus mendakwahkan pengalamannya dan agama Islam sehingga banyak orang yang sudah terinspirasi daripada pengalaman hidupnya. Entah sudah berapa banyak orang yang masuk Islam, setelah mendengar kisah Aminah dan ceramah-ceramah agamanya.
 
Sekarang sosok Aminah Assilmi sudah tiada, tapi namanya tetap hidup di hati orang-orang yang mengagumi dan menyayanginya. 
al-hamdulillah! (IH)

Polis Selesai Siasat Kes Azmin Label KPN 'Barua Umno'


Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2015 11:27 PM
Abdul Rahim Hanafi

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang telah melengkapkan siasatan kes berkaitan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali yang melabelkan Ketua Polis Negara sebagai 'barua Umno'.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
"Siasatan sudah selesai," katanya.
Selain 'barua Umno', Azmin didakwa merujuk Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai 'bacul' dan  'pencacai' ketika berucap pada majlis ceramah.
Terdahulu, Pengerusi Persatuan Pegawai Kanan Polis (Cawangan Pegawai Diwartakan), Datuk Shah Gzali Khan Shahadad kecewa dengan tindakan Azmin.
"Perkataan 'barua' adalah perkataan kesat, yang bermaksud perantara yang digunakan untuk sesuatu perbuatan jahat.
"Seluruh warga polis PDRM terguris dengan kenyataan ini kerana ketua polis negara adalah sebuah institusi, dan penghinaan sebegini bererti seluruh institusi PDRM adalah barua politik," katanya dalam satu kenyataan.

Polis Thailand-Malaysia Bincang Kes Justo Minggu Depan


Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2015 11:11 PM

LUNDU: Timbalan Ketua Polis Negara akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Thailand di Kuala Lumpur minggu depan berhubung kes penangkapan bekas eksekutif PetroSaudi Xavier Justo, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Wan Junaidi berkata kedua-dua pemimpin itu akan membincangkan permintaan Malaysia untuk menemui Justo yang sedang ditahan di Thailand.
Wan Junaidi menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada orang kurang upaya, warga emas, masjid, surau dan berbuka puasa bersama umat Islam di Masjid Darul Taqwa Daerah Lundu di sini, petang Sabtu.
Beliau berkata, dalam kes berkenaan pihak berkuasa negara ini tidak boleh terlibat dalam penyiasatan, sehingga ia mendapat kebenaran pihak berkuasa Thailand.
Kita kena lihat dari segi bidang kuasa kerana walaupun kes ini melibatkan syarikat di Malaysia (1MDB) tetapi Justo ditangkap di Thailand dan kesalahan dilakukan di Thaland," kata beliau.
Sehingga pihak berkuasa Thailand memberi kebenaran, barulah Malaysia membuat siasatan dari sudut kita, kata Wan Junaidi.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya pihak Thailand memerlukan bantuan daripada Malaysia, pihak polis dan KDN bersedia untuk memberi kerjasama. 
Wan Junaidi juga berkata beliau yakin bahawa pihak Thailand tidak akan membenarkan Justo dibawa ke Malaysia untuk menghadapi undang-undang di negara ini sehingga kesnya selesai di mahkamah Thailand. 
Kalau ada pun siasatan setelah mendapat kebenaran, polis Malaysia terpaksa pergi ke Thailand untuk tujuan itu, katanya. -- Bernama

WSJ: Peguam Negara Sahkan Tiga Syarikat Diserbu


Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2015 6:24 PM
Abdul Gani Patail

PETALING JAYA: Pihak berkuasa menyerbu tiga syarikat yang didakwa menyalurkan dana ke akaun peribadi Perdana Menteri.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pasukan tindakan khas menyerbu SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd pada Jumaat.
"Dokumen diperoleh ketika serbuan di ketiga-tiga premis berkenaan," katanya menerusi kenyataan, Sabtu.
Gani berkata, pasukan khas itu membabitkan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Bank Negara.
"Saya sahkan pada 3 Julai, pasukan tindakan khas menyerbu SRC, Mentari dan Ihsan Perdana.
"Pasukan itu memperoleh beberapa dokumen dan menyerahkannya kepada saya untuk diteliti.
"Saya sahkan menerima dokumen berkaitan 1MDB, termasuk yang dikatakan berkaitan penyaluran dana ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya telah meneliti semua dokumen dan memberi nasihat serta panduan kepada pasukan itu untuk tindakan susulan," katanya.
Pada Jumaat, Wall Street Journal dan Sarawak Report menyiarkan dakwaan bahawa hampir AS$700 juga (RM2.7 bilion) disalurkan ke akaun yang dipercayai milik peribadi Najib.
"Dengan pembabitan pelbagai agensi, saya yakin siasatan akan dijalan kan secara profesional dan mendalam.
"Saya harap semua pihak akan memberi kerjasama untuk membolehkan pasukan khas ini meneruskan siasatan tanpa mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat," katanya.

WSJ-Gani Peroleh Maklumat Sama? - Tuan Ibrahim


Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2015 10:13 PM
Tuan Ibrahim Tuan Man

PETALING JAYA: Pengesahan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengenai penemuan dokumen penyaluran dana ke akaun peribadi yang didakwa milik Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan Wall Street Journal (WSJ) juga memperoleh maklumat sama.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, malahan pengesahan Gani itu boleh dianggap sesuatu yang lebih menggemparkan berbanding laporan WSJ pada Jumaat.
"Persoalan timbul, apakah dokumen sulit yang sama ini menjadi asas kepada laporan WSJ? Apakah Peguam Negara juga akan dituduh menyiasat 1MDB berdasarkan info-info palsu yang diledakkan seorang bekas pekerja Petrosaudi seperti yang diwar-warkan? Jika ya, apakah Kementerian Dalam Negeri akan memberikan surat tunjuk sebab kepada Peguam Negara?
"Bagaimanapun, secara tidak langsung, pengesahan Tan Sri Abdul Gani Patail telah memberikan kewibawaan kepada laporan WSJ berbanding penafian Datuk Seri Najib Razak," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Tuan Ibrahim menambah, memandangkan Peguam Negara mengesahkan  siasatan sedang dijalankan terhadap kes ini, maka Perdana Menteri  perlu mengambil tindakan bermaruah untuk bercuti serta-merta, agar siasatan dilihat telus dan bebas.
"Ada positifnya untuk Najib bercuti. Masa itu boleh digunakan sebaiknya untuk beliau boleh merancang pendakwaan saman fitnah kepada WSJ, Tun Dr Mahathir, Peguam Negara dan lain-lain yang mengaitkan beliau dalam skandal 1MDB memandangkan Najib yakin ini adalah angkara sabotaj untuk menumbangkan kerjaya politik beliau," katanya.
Pada petang Sabtu, Gani mengesahkan pasukan tindakan khas dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Bank Negara menyerbu tiga premis membabitkan syarikat yang dikatakan terbabit menyalur dana ke akaun peribadi itu.
Dalam serbuan itu, beberapa dokumen berkaitan penyaluran dana hampir AS$700 juta itu ditemui dan sedang diteliti pihaknya.

1MDB: Jangan Terus Hukum PM - Hishammuddin


Diterbitkan: Ahad, 5 Julai 2015 10:34 AM
Hishammuddin Hussein.

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia diminta untuk tidak bertindak melulu dan terus menghukum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan media antarabangsa, Wall Street Journal (WSJ) yang mengaitkan beliau dengan kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, dakwaan seperti yang dilaporkan media tersebut masih belum disahkan lagi kebenarannya.

Justeru, beliau menggesa semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.

"Saya berharap semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang andaian awal berhubung dakwaan tersebut.
"Saya setuju ini adalah dakwaan serius yang menarik perhatian ramai dan perlu diambil tindakan segera. Oleh itu, seperti rakyat Malaysia yang lain, saya juga ingin tahu keadaan yang sebenar," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata ruang harus diberikan kepada pihak berkuasa khususnya pasukan petugas khas yang dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia untuk menyiasat dakwaan ini.
Hishammuddin juga yakin, pasukan petugas khas dalam kes ini akan menjalankan siasatan dengan segera, adil dan telus.
"Sementara pasukan tersebut melakukan siasatan, kita seluruh rakyat Malaysia perlu bersatu padu dan terus memberi sokongan kepada negara yang tercinta ini," katanya.

Pada masa sama, beliau yang juga Naib Presiden Umno menggesa pihak yang membuat dakwaan tersebut agar segera tampil dengan bukti kukuh.

Katanya, langkah tersebut penting kerana dakwaan tersebut bukan sahaja melibatkan maruah dan kredibiliti Perdana Menteri tetapi imej kerajaan Malaysia di mata dunia.

Hishammuddin turut menyokong penuh ketegasan Najib untuk mengheret pihak yang membuat dakwaan tidak berasas terhadapnya ke muka pengadilan.

"Perdana Menteri telah pun mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan perkara ini. Saya menyokong penuh dan tetap bersama beliau dalam ketegasannya untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang membuat dakwaan tidak berasas," katanya.

Terdahulu, WSJ terus mempertahankan laporannya bahawa berjuta-juta dolar AS disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib dengan menyatakan bahawa siasatan mereka adalah berdasarkan dokumentasi yang kukuh.

Ketua Biro jurnal itu di Hong Kong, Ken Brown berkata siasatan dilakukan dengan sangat serius kerana ia melibatkan tuduhan terhadap pemimpin tertinggi negara.

"Kami sangat berhati-hati dan kami percaya siasatan dan dokumen-dokumen yang kita ada adalah kukuh dan datang daripada penyiasatan yang boleh dipercayai dan bukan siasatan politik.

"Dokumen-dokumen yang kita lihat telah dikongsi dengan Peguam Negara Malaysia dan yang lain-lain dalam kerajaan. Ia telah dilihat oleh Perdana Menteri," Brown memberitahu CNBC dalam satu wawancara pada Sabtu.

Najib bagaimanapun telah menafikan penemuan WSJ pada Jumaat, dengan menyatakan bahawa ia adalah satu muslihat politik oleh lawan-lawannya untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik.

Soalan terbaharu Tun Mahathir untuk LHDN

Tun Mahathir
Tun Mahathir - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kali ini membangkitkan soalan yang ditujukan khas buat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkaitan kutipan cukai terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Sudah tentu ini adalah rahsia. Tetapi saya ingin bertanya, sudahkah orang-orang cukai pendapatan menyiasat sumber wang dan cukai yang dibayar?," tanyanya dalam catatan di blognya, semalam.
Dr Mahathir menyentuh soal sumber kewangan Najib yang didakwa datang daripada perniagaan.
"Jika dia telah membuat begitu banyak wang daripada perniagaan, pasti beliau akan membayar cukai pendapatan.
"Sudahkah orang-orang cukai pendapatan siasat mengenai keuntungan perniagaannya? Berapa banyak cukai telah dia bayar? Sudah tentulah rahsia tetapi saya harap ini bukan satu 'cover up'," katanya.
Dalam catatan sama, beliau turut menyentuh soal pembelian kediaman mewah oleh anak tiri Najib di luar negara dan pembiayaan untuk penerbitan sebuah filem.
Sebelum itu, beliau mempertikaikan soal sikap memilih 'tukang kutip cukai' pendapatan yang didakwanya berlaku mutakhir ini.
"Orang-orang cukai pendapatan sentiasa mencari-cari orang-orang yang hidup di luar kemampuan mereka. Serbuan dibuat dan mereka dipaksa membayar cukai tambahan jika pelaku didapati tidak membayar penuh mengikut tahap kekayaan dimiliki.
"Tetapi akhir-akhir ini kita lihat sikap memilih dalam tumpuan orang-orang cukai pendapatan," katanya.
Dr Mahathir sempat secara sinis menyebut bahawa gaya hidup mewah pemimpin nombor satu negara itu melebihi harta yang disimpannya selama 29 tahun dalam pentadbiran.
"Saya difahamkan perdana menteri sebagai penasihat 1MDB (1Malaysia Development Berhad), tidak dibayar apa-apa. Beliau dibayar gaji perdana menteri yang saya tahu jauh lebih kecil daripada apa yang eksekutif perniagaan dapat.
"Tetapi kerajaan membayar elaun-elaun, bil-bil, tempat tinggal dan sebagainya. Oleh itu, gaji semua boleh disimpan dan dibelanjakan.
"Masih gaya hidup yang mewah pasti melibatkan kos yang tinggi. Pasti lebih daripada apa yang saya simpan selepas 29 tahun dalam kerajaan," katanya.

'Amat malang jika dakwaan terhadap Najib benar'

Haron Din
Haron Din

‎PUTRAJAYA -  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak perlu tampil dan membawa bukti kukuh bagi menafikan dakwaan  beliau telah menyeleweng dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah AS$700 (RM2.6 bilion) seperti didakwa oleh Wall Street Journal (WSJ), " ‎kata Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din.
‎Mengulas lanjut, beliau berkata perkara itu perlu dilakukan segera, kerana sekiranya Najib lambat bertindak ia akan membawa lebih banyak impak negatif terhadap negara.
"....Bagaimanapun jika perkara itu (pemindahan dana daripada 1MDB ke akaun peribadi Najib) berlaku maka amat malang  sekali kepada rakyat Malaysia kerana dalam suasana ekonomi negara sedang diambang kemerosotan dan nilai ringgit kejatuhan tetapi tiba-tiba kita dapat perkhabaran macam ini yang menyebabkan pelabur luar takut untuk melabur di negara ini.
"Jika berlaku sekaligus  orang ramai akan hilang keyakinan kepimpinan negara. Oleh itu saya berharap perkara itu tidak berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Iftar Amal Institut Pintar Tahfiz Fuqaha (IPTAF) di sini Everly Putrajaya hari ini.
Berikutan itu Haron berkata beliau berharap Perdana Menteri dan 1MDB dapat mengemukakan bukti kukuh bagi menafikan dakwaan terbaru ini.
   
 "Bagaimanapun, jika berlaku juga memang amat malang dan tidak boleh dipandang ringan," katanya.

Cabaran puasa saudara baharu Islam AS


Golongan mualaf bersama penduduk Islam lain mendengar ceramah

Golongan mualaf bersama penduduk Islam lain mendengar ceramah agama sebelum berbuka puasa di Masjid al-Nasr di Wilingboro, New Jersey di Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini. Agensi
SEATTLE 4 Julai – Sekumpulan penduduk di Amerika Syarikat yang baru memeluk Islam dan buat pertama kali menyambut Ramadan, menyifatkan puasa sebagai cabaran dalam menahan dahaga dan lapar.
Laman web International Business Times melaporkan, pemuda di Albany, New York, Chris Duffy yang memeluk Islam pada tahun lepas berkata, menahan lapar dan dahaga baginya adalah mudah, tetapi tekanan sosial daripada keluarga dan rakan bukan Islam menyukarkannya.
“Saya mengalami kesukaran ke­rana merasa terpinggir daripada keluarga saya terutama baru-baru ini, saya pergi ke majlis makan di rumah bapa saudara sempena sambutan Hari Bapa.
“Sukar untuk saya menerangkan kepada mereka kenapa saya tidak boleh makan. Godaan untuk makan sangat tinggi,’’ katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Pusat Komuniti Ahmadiyya Muslim di sini, kelmarin.
Seorang lagi mualaf dari Houston, Alondra Cadena, 19, berkata, dia sukar menyesuaikan diri tanpa makanan dan minuman terutama ketika cuaca panas.
“Saya pertama kali menyambut Ramadan dan saya cuba berpuasa, tetapi badan saya masih belum dapat menyesuaikan diri lagi,’’ katanya.
Bagi Jonathan Torres dari Waterbury, Connecticut, tidak minum pada siang hari merupakan satu perkara yang sangat menyukarkannya.
“Saya pernah berpuasa sebelum ini ketika menganut agama Kristian dan mendalami Buddha, tetapi tidak pernah tidak minum air,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/cabaran-puasa-saudara-baharu-islam-as-1.110502#sthash.Hh29bhEa.dpuf

Krisis ekonomi Greece 
cetus perpecahan


Rakyat mengundi dalam pungutan suara hari ini
05 Julai 2015 12:05 AM



ATHENS 4 Julai - Krisis ekonomi Greece mencetuskan perpecahan ketara apabila berpuluh-puluh ribu rakyat Greece yang menyertai demonstrasi, terbahagi kepada dua pihak dalam menentukan masa depan negara sama ada mahu kekal bersama Kesatuan Eropah (EU) atau sebaliknya menerusi satu pungutan suara esok.
Pungutan suara tersebut tetap diteruskan selepas mahkamah ter­tinggi negara ini menolak rayuan dua rakyat Greece yang membantah kempen menyelesaikan krisis hutang negara ini dengan meminjam wang daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Perdana Menteri, Alexis Tsipras yang dipilih pada Januari lalu dengan janji mahu mengakhiri langkah penjimatan, menggesa kumpulan penyokongnya yang berhimpun di Dataran Syntagma, tengah Athens untuk menolak syarat ketat yang dikenakan oleh IMF dalam perjanjian bantuan kewangan yang ditawarkan.
Tsipras juga mengetepikan tekanan daripada negara anggota EU yang memberi amaran bahawa keputusan ‘Tidak’ terhadap pungutan suara itu boleh menjejaskan keanggotaan Greece dalam Eropah.
Malah, beliau menyifatkan amaran tersebut sebagai menipu dan mereka takut terhadap kejatuhan Eropah serta ekonomi dunia.
“Kamu tidak boleh mengalah terhadap mereka yang menyebabkan kesusahan kepada kehidupan seharian kamu.
“Esok, kita bukan sahaja memutuskan untuk kekal di Eropah, tetapi memastikan kita hidup dengan bermaruah di benua ini,” kata pemimpin berusia 40 tahun itu di hadapan kira-kira 50,000 penyokong.
Kumpulan penentang Tsipras menuduh beliau mempertaruhkan masa depan Greece terhadap pungutan suara berkenaan yang dilihat tidak mengikut piawaian antarabangsa dan tidak berlaku adil.
Di kem penyokong yang bersetuju dengan langkah meminjam wang daripada IMF, beribu-ribu orang berkumpul di depan Stadium Olimpik sambil menyanyikan lagu tema EU, Ode to Joy walaupun jumlah mereka dilihat lebih sedikit berbanding kumpulan penentang.
Seorang pakar ekonomi yang kini menganggur, Marina Peppa, 45, berkata, dia memilih untuk mengundi ‘Setuju’ bagi memastikan masa depan anaknya yang lebih baik.
“Situasi ini bukan mudah, tetapi jika saya mengundi ‘Tidak’, Greece akan mengalami kemelut yang berpanjangan sekali gus menjadi negara miskin,” katanya. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/krisis-ekonomi-greece-8232-cetus-perpecahan-1.110507#sthash.nDsumrCi.dpuf

Najib perlu saman WSJ

Bersihkan nama Perdana Menteri, negara


AHMAD ZAHID HAMIDI menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim

AHMAD ZAHID HAMIDI menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim sempena Program Tadarus al-Quran Perdana sempena Ramadan di Wisma UMNO Bagan Datoh, Perak, semalam. BERNAMA
TELUK INTAN 4 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap media antarabangsa, Wall Street Journal (WSJ) bagi membersih­kan nama beliau dan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana tuduhan bahawa dana hampir AS$700 juta daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau seperti yang telah dilemparkan oleh WSJ itu bukan sahaja telah mencalarkan imej negara, malah melibatkan soal maruah kepimpinan negara di mata dunia.
Pada masa sama, tegas Ahmad Zahid, sesiapa yang menjadi dalang dalam penyebaran maklumat tidak tepat ini harus bertanggungjawab sepenuhnya dengan tindakan yang akan diambil pihak berkuasa kelak.
“Sebagaimana kita sedia maklum, Jabatan Peguam Negara (AG) dan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) sedang menyiasat isu 1MDB ini. Justeru, sewajarnya semua pihak menunggu hasil siasatan itu sebelum membuat sebarang penilaian.
“Tindakan WSJ mendahului siasatan yang sedang dijalankan itu sememangnya hanya bertujuan untuk mensensasikan berita.
“Sebagai satu institusi media yang berpengaruh dan dihormati dunia, seharusnya WSJ mengemukakan bukti kukuh terlebih dahulu sebelum melemparkan tuduhan berat seperti itu kepada Perdana Menteri,’’ katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas me­nyampaikan tazkirah dan sumbangan kepada anak yatim, balu-balu, kanak-kanak istimewa dan mualaf warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Hilir Perak, di sini hari ini.
WSJ melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa telah mengesan hampir AS$700 juta deposit ke dalam apa yang mereka percaya adalah akaun peribadi Perdana Menteri.
Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.
Ahmad Zahid berkata, bagi Kementerian Dalam Negeri, pihaknya akan mengambil tindakan mengikut perundangan dan akta sedia ada kepada mana-mana media yang menyiarkan maklumat tidak tepat dari sumber tidak sah dengan tujuan untuk menjatuhkan maruah negara dan kerajaan.
Malah, jelas beliau, undang-undang perbankan di negara ini tertakluk di bawah akta bank dan institusi-institusi kewangan (BAFIA) dan maklumat yang ada dalam rahsia perbankan itu tidak seharusnya didedahkan.
“Apatah lagi berita itu adalah berita yang datangnya daripada dokumen yang tidak disahkan oleh pihak bank untuk dijadikan berita sensasi. Ini di luar daripada etika kewartawanan.
“Saya tidak mahu memusuhi mana-mana media tetapi media harus kredibel dalam memaparkan pemberitaan.
“Sekarang ini kita serahkan kepada Perdana Menteri untuk berbincang dengan peguam beliau ataupun Peguam Negara dan oleh kerana ini adalah saman malu, maka boleh dilakukan atas kapasiti sebagai individu atau Perdana Menteri,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/najib-perlu-saman-wsj-1.110649#sthash.l9xUBSlv.dpuf

Pasukan petugas khas sudah mulakan 
siasatan ke atas 1MDB – Gani Patail


KUALA LUMPUR 4 Julai – Sebuah pasukan petugas khas dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia telah pun memulakan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Abdul Gani Patail
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pasukan petugas khas itu juga telah menyerbu dan mengambil beberapa dokumen penting milik syarikat SRC International Sdn. Bhd., Gandingan Mentari Sdn. Bhd. dan Ihsan Perdana Sdn. Bhd. semalam.
“Saya mengesahkan bahawa saya telah menerima dokumendokumen mengenai 1MDB termasuk dokumen berkaitan dakwaan penyaluran dana ke akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada pasukan petugas khas ini.
“Saya telah meneliti dan me­nye­mak semua dokumen dikemukakan. Saya seterusnya telah memberi nasihat dan panduan kepada pasukan petugas khas ini untuk diambil tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menyentuh mengenai serbuan ke atas ketiga-tiga buah syarikat tersebut, Abdul Gani berkata, beliau sudah membuat analisis ke atas dokumen yang dirampas dan memberi jaminan bahawa siasatan akan memfokus kepada setiap aspek dibangkitkan.
Katanya, dengan keanggotaan daripada pelbagai agensi penguat kuasa, beliau percaya pasukan petugas khas berkenaan berupaya menjalankan siasatan dengan lebih profesional dan terperinci.
“Saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama bagi membolehkan pasukan ini menjalankan siasatan dan berhenti daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengelirukan lagi orang ramai,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pasukan-petugas-khas-sudah-mulakan-8232-siasatan-ke-atas-1mdb-8211-gani-patail-1.110666#sthash.E9AR44nV.dpuf