Monday, June 17, 2013

Kerajaan negeri siasat punca kejadian

Kerajaan negeri siasat punca kejadianGuan Eng (dua, kanan) melawat tapak kejadian rod penebat kilat tercabut dan terjatuh di Jalan Macalister, semalam.
KERAJAAN negeri akan memulakan siasatan untuk mengetahui punca rod penebat kilat di Menara Umno tercabut dan terjatuh ketika kejadian angin kencang petang Khamis lalu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pihaknya berasa sedih dan kesal dengan kejadian itu yang meragut seorang lelaki serta sembilan lagi cedera.

“Kejadian itu amat dikesali, dengan kematian seorang lelaki dan sembilan yang cedera, saya juga dimaklumkan seorang lagi mangsa dikhuatiri terbunuh dalam kejadian itu.

“Jalan yang berlaku kejadian itu kini ditutup untuk kegunaan orang awam berikutan kerja-kerja pembersihan dan mengesan mangsa masih dijalankan. Siasatan keseluruhan serta proses mendapatkan butir-butir kejadian akan dijalankan sejurus semua kerja-kerja selesai,” katanya kepada media selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Pulau Pinang, semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memulihkan bekalan air, tenaga elektrik dan telekomunikasi terlebih dahulu sebelum memulakan siasatan sepenuhnya terhadap kejadian itu.

Terdahulu, seorang maut manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian angin kencang yang melanda 21 kawasan di negeri ini.

Warga India, Jahir Sulaiman, 46, maut apabila lori yang dipandu rakan sekerjanya dihempap rod penebat kilat dan mengakibatkan kepalanya cedera parah manakala pemandu lori itu cedera ringan. Jahir meninggal dunia sebaik di bawa ke HPP untuk menerima rawatan.

Kelmarin, digemparkan apabila pekerja pembersihan menjumpai serpihan kereta yang dipercayai jenis Honda City berwarna gelap yang terbenam di bawah konkrit yang terhempas ke jalan raya yang membentuk kawah kesan daripada terjatuhnya penebat kilat di bangunan Menara Umno.

Polis mengesahkan nombor casis pada serpihan kereta dijumpai sama dengan laporan dibuat seorang wanita yang dikenali sebagai Lee Chai Song, mendakwa suaminya, Lim Chin Aik, tidak pulang selepas keluar mengambil anak mereka pulang dari sekolah.

Kanser sudah tahap empat

Kanser sudah tahap empatMuhammad Hishamuddin (kanan) menunjukkan kesan rawatan yang terdapat di badan Radiatul.
KARAK – Jika kanak-kanak seusianya lincah bermain, namun berbeza bagi Radiatul Qaisara Muhammad Hishamuddin, 6, kerana hidupnya kini banyak dihabiskan di hospital menjalani rawatan.

Radiatul yang merupakan anak sulung pasangan suami isteri Muhammad Hishamuddin Hassan, 43, dan Rohani Rashid, 39, disahkan menghidap 'Acute Lymphoblastic Leukemia' iaitu penyakit kanser darah sejak 2011.

Muhammad Hishamuddin berkata, setiap bulan, Radiatul perlu menjalani rawatan kemoterapi selama tiga minggu di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, setiap kali menjalani rawatan, Radiatul yang riang akan bertukar menjadi lemah dan kurang ceria.

“Doktor menjelaskan, Radiatul perlu menjalani rawatan dalam tempoh dua tahun setengah lagi, namun keadaannya ketika ini ada kalanya kurang stabil.

“Setiap kali rawatan, sekurang-kurangnya RM160 diperlukan dan kami menggunakan keseluruhan wang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 serta wang zakat RM400 yang diterima untuk tujuan perubatannya,” katanya.

Muhammad Hishamuddin berkata, walaupun terpaksa berulang alik dari Karak ke Kuala Lumpur menaiki bas, namun demi kesihatan anak kesayangan mereka sanggup berkorban.

Katanya, dia kini hilang punca pendapatan sebagai penoreh getah kerana kebanyakan masa dihabiskan menemani anaknya itu menjalani rawatan di hospital bersama isteri.

“Kesihatan isteri juga tidak mengizinkan akibat kesan pembedahan di bahagian kepala beberapa tahun lalu menyebabkan saya terpaksa membantu menjaga Radiatul.

“Radiatul pula disahkan doktor sudah berada di tahap empat, namun kami sangat berharap dia dapat pulih seperti biasa,” katanya.

Muhammad Hishamuddin berkata, walaupun sebelum ini kisah Radiatul pernah disiarkan Sinar Harian, dia sekeluarga masih berharap ada individu atau pihak yang prihatin sudi menyalurkan sumbangan bagi meringankan bebannya.

Katanya, walaupun menerima sumbangan wang zakat dan JKM, namun ia masih tidak mencukupi.

Gobind tetap perjuang mansuhkan tol

Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo

PUCHONG – Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo bertegas tidak akan berputus asa memperjuangkan pemansuhan tol di Puchong meskipun menteri berkaitan hanya ‘mendiamkan’ diri apabila perkara itu beberapa kali dibangkitkan di Parlimen pada penggal lalu.

Beliau berkata, sebagai kerajaan prihatin pihak itu perlu memberi cadangan bagaimana boleh selesaikan masalah yang menjadi isu membebankan rakyat selama bertahun-tahun.

Katanya, beliau tidak akan berhenti ‘bersuara’ di Parlimen dan tidak melepaskan isu tol dengan mudah selagi tiada jalan penyelesaian diambil.

Jelas Gobind, beliau kesal melihat lebuh raya di Puchong mempunyai kepadatan trafik yang amat tinggi namun kadar tolnya tidak dikurangkan.

Beliau ketika ditemui pada Program Jamuan Terima Kasih kepada jentera pilihan raya dan pengundi di Serdang Jaya, kelmarin berkata, adalah tidak masuk akal keadaan itu berterusan kerana semua pihak harus faham apabila kepadatan trafik meningkat harga tol patut diturunkan.

“Mengapa mereka (kerajaan) duduk diam sahaja langsung tidak boleh jawab, saya tanya.. tanya.. tanya... mereka diam.. diam... diam, ini satu kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

“Saya akan terus membawa isu ini dan lawan untuk rakyat Selangor,” katanya.

'Lepaskanlah Dr M...'

Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

SHAH ALAM - PR mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gusar dengan perubahan rakyat pada PRU13, 5 Mei lalu ekoran kenyataannya yang meminta kerajaan supaya tidak berlembut dengan pembangkang.

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata komen yang disuarakan Dr Mahathir memperlihatkan kekhuatiran terhadap  kerajaan Umno yang akan jatuh ekoran hilangnya kepercayaan rakyat pada PRU13.

Menurutnya, Dr Mahathir tidak perlu campur tangan urusan pentadbiran pemimpin negara kerana zamannya telah berlalu.

"Kenapa beliau gusar? Sedangkan beliau sudah pun bersara...komen beliau menyerlahkan kekhuatiran yang amat mendalam berkenaan kemungkinan kerajaan Umno jatuh.

"Sebab sekiranya Umno gagal, ianya kegagalan perdana menteri sekarang, tiada siapa akan salahkan beliau.

"Beliau perlu belajar melepaskan, beliau telah lakukan apa yang perlu kepada negara, sama ada secara betul atau pun tidak, semua yang telah dilakukannya tidak boleh diulang semula seperti beliau menjadi perdana menteri," katanya pada Sinar Harian Online.

Pada Jumaat lalu, bekas perdana menteri keempat itu menyarankan kerajaan supaya tidak lagi berlembut dan memberi muka kepada pembangkang yang berterusan memperlekeh sistem demokrasi negara.

"Kita perlu keras sikit jangan bagi muka sangatlah," katanya.

Mengulas lanjut, Pengerusi DAP, Karpal singh yang dipetik dalam satu portal berita, turut meminta bekas Dr Mahathir  yang bersara pada 2003 supaya jangan cuba menguasai kerajaan sekarang.

Karpal secara berseloroh berkata perbuatan tersebut dilihat seperti memperlekehkan pentadbiran perdana menteri sekarang.

Sebaliknya kata Karpal, Dr Mahathir sepatutnya menurut jejak langkah bekas-bekas perdana menteri sebelum ini yang menjalani kehidupan peribadi selepas bersara.

"Mereka tidak berbuat apa-apa untuk mempengaruhi kerajaan semasa," katanya.

Azhar Idrus: Petisyen BN kelakar

Azhar Idrus
Azhar Idrus

KUALA TERENGGANU – Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menyifatkan petisyen BN Kelantan mengaitkan beliau sebagai punca kekalahan BN di negeri itu pada PRU13 lalu sebagai kelakar.

Ikon agama itu dalam reaksinya berkata, perkara itu langsung tiada kena mengena dengan beliau kerana kenyataan berhubung ‘Haram jatuhkan kerajaan Islam’ yang dimainkan Pas pada kempen pilihan raya itu bukan kenyataan peribadi beliau, sebaliknya daripada al-Quran.

“Saya rasa kelakar sebab tiada kena mengena. Bukan saya berceramah (tetapi) ada dalam buku-buku agama (berkaitan), haram kita jatuhkan apa sahaja bernama Islam.
Tidak boleh,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas Majlis Jamuan Meraikan Ustaz Azhar Idrus anjuran Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT), di Padang Hiliran, semalam.

Memberitahu petisyen BN itu disedari melalui laman sosial Facebooknya, Azhar berkata, sekiranya kenyataan dibuat cenderung mempengaruhi rakyat tidak menjatuhkan kerajaan Kelantan, mungkin BN boleh mempertimbangkan untuk menjadikan beliau sebagai alasan.

“Kalau (kaitkan) benda itu saya rasa bukan. Itu dalam al-Quran. Yang boleh buat petisyen (kalau) saya kata ‘jangan jatuhkan kerajaan Kelantan’ tetapi (saya) tidak kata begitu. (Saya kata) jangan jatuhkan kerajaan Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhar yang turut dikenali dengan akronimnya UAI sekali lagi menegaskan, apa-apa sahaja perkara yang berbentuk Islamik tidak patut dihalang dan haram sama sekali menjatuhkannya.

Dapat tempurung kepala tiruan

Logo Tabung Basri
Tabung Basri
ALOR SETAR - “Alhamdulillah, pembedahan memasang tempurung kepala tiruan ke atas anak ketiga kami selesai,” demikian luahan hati bapa kepada mangsa kemalangan, Mohd Basri Basharudin, 19, apabila anaknya di bedah di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), semalam.

Basharudin Bakar, 46, berkata, walaupun mereka sekeluarga terpaksa menunggu melebihi lima jam, bagaimanapun ia seakan-akan tidak terasa apabila pembedahan berjaya tanpa sebarang komplikasi tidak diingini.

“Pada mulanya, kami sekeluarga tidak dapat tidur dengan lena berikutan bimbang dengan pembedahan dijalankan ini, memandangkan Basri pernah terkena sawan. Namun, doa kami sentiasa mengiringi pembedahan supaya tiada sebarang kemungkinan tidak diduga berlaku.

“Syukur, atas doa dan sumbangan orang ramai, dia selamat. Sekarang ini, hanya perlu rehat, jagaan dan perhatian secukupnya sahaja untuk pulih semula,” katanya di Dewan Bedah HSB, semalam.

Katanya, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutamanya pembaca Sinar Harian yang sudi menyalurkan bantuan melalui Tabung Sinar Di Hati hingga membolehkan dana diperlukan mereka sekitar RM7,000 hingga RM8,000 dikumpulkan.

Menurutnya, selepas menempuh pelbagai dugaan akibat kemalangan tiga tahun lalu, akhirnya pembedahan dapat dijalankan seperti dirancang dan Basri yang tidak dapat berjalan mahupun bercakap ini akan dapat menjalankan kehidupan normal semula.

Sementara itu, Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazalie, berkata, pembedahan ke atas Basri bermula pada jam 2 petang, yang diketuai Pakar Pembedahan Neurologi, Dr Azman Raffiq dengan dibantu Dr Asrarul Fikri dan Dr
Mohd Jalaludin, serta Pakar Bius, Dr Azmi.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan keadaan Mohd Basri Basharudin, 19, yang hanya mampu terlantar di atas katil sahaja berikutan kemalangan dialami hingga hampir meragut nyawanya ketika itu hingga memerlukan kos pembedahan sebanyak RM7,000 hingga RM8,000.
Penderitaan dialami Basri dan kepayahan keluarganya untuk mengumpulkan dana memasang semula tempurung tiruan telah meruntun hati pembaca Sinar Harian sehingga mereka menyalurkan sumbangan melalui Tabung Sinar Di Hati bagi meringankan beban keluarga ini.

Keprihatinan orang ramai termasuk pembaca Sinar Harian, Adun Santan, Sabry Ahmad, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips), Pengasas Festival Fesyen Islam (IFF) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membantu keluarganya mengumpulkan dana diperlukan selama ini.

Gempar tapak kaki misteri


Gempar tapak kaki misteri
Kesan tapak kaki yang ditemui
Gempar tapak kaki misteri
Adnan (dua, kiri) dan penduduk kampung di lokasi penemuan.
KUALA PILAH – Penduduk Kampung Kepis Baru, di sini, gempar apabila menemui ratusan kesan tapak kaki luar biasa dan bersaiz besar di atas tanah, semalam.

Berdasarkan kedalaman tapak berkenaan, kesannya dilihat teratur serta dipercayai melibatkan makhluk hidup berkaki dua, serta berat melebihi 100 kilogram.

Tinjauan Sinar Harian selepas menerima aduan penduduk semalam, turut mendapati lebih 200 kesan tapak kaki berukuran kira-kira 20 sentimeter panjang, manakala terdapat lima jari sebesar kira-kira lima sentimeter setiap satu di kawasan lapang berdekatan sebuah hutan di situ.

Penduduk kampung, Adnan Pungut, 48, yang dipercayai orang pertama menemui kesan tapak kaki itu berkata, dia menyedari sesuatu luar biasa pada tanah di situ ketika datang ke kebunnya untuk membakar longgokan kayu yang sudah ditebang, kira-kira 3 petang kelmarin.

“Apabila sampai di sini, saya terkejut melihat banyak kesan tapak kaki luar biasa dan saiznya besar. Dengan rasa takut, saya balik ke rumah dan memberitahu kepada penduduk kampung.

“Saya bersama beberapa penduduk kampung kemudian cuba menjejaki tapak kaki tersebut sehingga ke hujung. Di pertengahan, kami dapati ada kesan bulu ayam berselerakan, dipercayai telah dimakan makhluk misteri berkenaan," katanya.

Menurutnya, kesan tapak kaki yang jelas kelihatan adalah kira-kira sepanjang 200 meter, selain terdapat juga beberapa tapak yang dikesan di dalam hutan berdekatan.

“Kami tidak berani meredah dan menyiasat sehingga ke dalam hutan. Biarlah pihak yang berkenaan menyiasat perkara ini kerana dikhuatiri ia mungkin dari spesis binatang buas," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Adnan juga berharap pihak berkaitan dapat menyiasat perkara itu bagi mengelakkan penduduk kampung bimbang, lebih-lebih lagi sebahagian besar merupakan penoreh getah dan perlu masuk ke dalam hutan berkenaan setiap hari.

"Hanya ini sumber rezeki kami. Bila sudah jumpa tapak peli ini, sedikit sebanyak menggusarkan kami. Kami amat berharap pihak berkenaan bantu mengesan sebelum kejadian buruk berlaku," katanya.

Kubur Mandela sudah sedia?


Kubur Mandela sudah sedia?
Sebahagian daripada kubur keluarga Mandela di Qanu
Kubur Mandela sudah sedia?
Sebuah kubur siap digali menjadi tanda tanya penduduk setempat.
Nelson Mandela
Mandela ditemani isteri, anak dan cucunya ketika hospital awal tahun lalu.
JOHANNESBURG - Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela terus dirawat walaupun keadaannya dilaporkan semakin baik selepas enam hari di masukan ke hospital Pretoria, Afrika Selatan.
Tiada laporan baru diberi mengenai keadaan Mandela, 94, namun mengikut kenyataan cucunya Mandla, Mandela atau lebih dikenali sebagai Madiba di kalangan puak Mandela berkata, datuknya semakin menunjukkan tanda-tanda bakal pulih sepenuhnya.
“Madiba kelihatan baik dan menunjukkan reaksi positif ketika kami melawatnya di hospital minggu lalu,” katanya dipetik MailOnline
Sebelum ini, Presiden Jacob Zuma melaporkan, keadaan Mandela serius tetapi stabil.

Kenyataan itu menyebabkan ada pihak menganggap beliau mungkin tidak akan dapat bertahan lebih lama.

Mandela menghabiskan masa 27 tahun di penjara ketika pemerintahan kulit putih yang mengamalkan dasar aparteid sebelum bebas pada 1990 dan menjadi pemimpin kulit hitam pertama, empat tahun kemudian.
Sementara itu, ramai mengandaikan sekiranya pemimpin itu meninggal dunia, beliau akan disemadikan di kampung halamanya di Qanu.

Qanu merupakan tempat di mana Mandela membesar dan ramai kalangan keluarga beliau disemadikan di sebuah tanah perkuburan yang digelar Tanah Perkuburan Mandela sempena mengambil nama keluarganya.
Pemilihan kawasan itu sejajar dengan tradisi puak Xhosa yang mahukan mereka disemadikan bersama ahli keluarga lain.

Akhbar Sun baru-baru ini mendedahkan, bapa Mandela; Mphakanyiswa, ibunya; Nosekeni Fanny dan adiknya; Baliwe turut dikebumikan di kawasan itu.
Anak beliau Makaziwe, yang meninggal dunia pada usia sembilan bulan dan Thembekile, 22, yang terbunuh dalam kemalangan kereta, juga dikebumikan di tanah perkuburan itu.

Seorang maut polis serbu pemisah


Bandar Muang: Seorang anggota pemisah terbunuh dalam pertempuran dengan polis dan tentera di Pattani, awal pagi semalam.

Tentera menyerbu sebuah kediaman di Tambon Talubo selepas menerima maklumat terdapat kumpulan lelaki bersenjata bersembunyi di situ.
Ketika terserempak dengan pihak berkuasa, kumpulan lelaki terbabit melepaskan tembakan dan tembak-menembak berlarutan selama 15 minit.

Seorang anggota kumpulan itu yang dikenali sebagai Ameen Daleng, 31, terbunuh.

Pihak berkuasa turut menemui pistol 9mm dekat mayatnya.
Anggota keselamatan juga menahan Sagariya Tohtayong, 31, ketua Runda Kumpulan Kecil (RKK).

Kumpulan terbabit diburu kerana mempunyai kaitan dengan pembunuhan enam orang di kedai runcit di Pattani baru-baru ini.

Menurut polis, Sagariya juga dikehendaki atas tuduhan membunuh seorang hakim di Pattani pada 2004. - Bangkok Post

Bantah serah Edward Snowden

Bantah serah Edward SnowdenPenunjuk perasaan berarak ke Konsulat Amerika bagi menyokong Snowden di Hong Kong, kelmarin. Hong Kong: Separuh daripada penduduk Hong Kong tidak mahu pihak berkuasa mengekstradisi bekas perisik, Edward Snowden, ke Amerika Syarikat.

Keputusan itu berdasarkan satu kajian pendapat yang disiarkan semalam, sehari selepas beratus-ratus orang keluar menunjukkan sokongan kepadanya.
Kajian pendapat Sunday Morning Post mendapati, sejumlah 49.9 peratus merasakan Snowden tidak sepatutnya dihantar pulang sekiranya Washington memfailkan ekstradisi.


Snowden masuk ke Hong Kong selepas mendedahkan program pemantauan besar-besaran Amerika menerusi internet kepada akhbar.

17.6 peratus sokong ekstradisi 

Kajian dijalankan oleh Pusat Kajian Pendapat Umum dan Komunikasi di Universiti China itu juga mendapati hanya 17.6 peratus atau 509 responden menyokong ekstradisi manakala 32.4 peratus tidak memihak.

Keputusan kajian itu dibuat selepas demonstrasi besar-besaran Hong Kong mengenai isu itu yang menyaksikan beratus-ratus orang berhimpun dalam hujan kelmarin, bagi menyokong Snowden, 29, di luar konsulat Amerika dan ibu pejabat kerajaan.
Hong Kong, bekas tanah jajahan British menjalankan sistem perundangan berasingan apabila diserahkan untuk pemerintahan China pada 1997.

Ia juga mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Amerika tetapi Beijing boleh menggunakan kuasa veto untuk sebarang tindakan.

Penganalisis berkata, sentimen umum boleh memainkan peranan utama dalam keputusan akhir bandaraya terbabit.

“Pendapat umum di Hong Kong kelihatan menentang kerajaan Amerika kerana pendedahan Snowden mengenai pencerobohan komputer Amerika turut membabitkan penduduk Hong Kong,” kata penganalisis, Sonny Lo.

“Pendapat umum ini termasuk pada peringkat ini, membabitkan golongan demokrat dan aktivis pro Beijing,” kata Lo yang juga ketua Jabatan Sains Sosial di Institut Pendidikan Hong Kong.

Jika demikian, politik menghalang Snowden daripada dihantar pulang ke Amerika sudah bermula, katanya. AFP

Banteras peminta sedekah

Banteras peminta sedekahRamai wanita menjadi pengemis di Sharjah. Sharjah: Pihak berkuasa di wilayah Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sini memutuskan untuk memperhebat usaha membanteras aktiviti mengemis menjelang Ramadan.

Polis Sharjah dengan kerjasama persatuan kebajikan merancang untuk melancarkan kempen anti pengemis menerusi program tertentu selain mengedar risalah dan menghantar SMS mengenainya.
Kebanyakan pengemis mengambil kesempatan daripada sikap belas kasihan orang ramai untuk mendapat wang dengan mudah.


Oleh itu, polis menegaskan, jika seseorang itu didekati oleh pengemis, mereka boleh menghubungi pihak berkuasa keselamatan dan satu kenderaan peronda akan dihantar ke lokasi itu, lapor media di sini.

Polis Sharjah berkata, lebih 727 pengemis jalanan ditahan pada 2011. Bilangan yang ditahan pada tahun lalu jatuh kepada 212, menurut perangkaan rasmi.

Polis menahan orang ramai segera melaporkan kes meminta sedekah dengan berkata pengemis bukan saja mengganggu mereka tetapi juga mencemarkan imej negara selain terbabit dalam kegiatan haram.

Banyak kaedah 
Polis berkata, pengemis juga menggunakan banyak kaedah untuk mendapatkan wang daripada orang ramai termasuk bepura-pura tidak ada wang untuk membeli barangan keperluan.

Ada juga menyamar sebagai jiran dan mendakwa pintu rumah terkunci dan perlukan wang untuk membeli minyak.

“Ada juga yang berpura-pura lumpuh, mendakwa menghidap penyakit serius, tidak mampu memberi nafkah kepada keluarga atau memerlukan wang untuk pembedahan,” kata pegawai polis.

Dalam kes lain, ada pengemis memberi dokumen palsu mengenai kutipan derma membina masjid atau sekolah untuk anak yatim.

Polis Sharjah juga mendapati wujudnya sindiket jenayah terancang membawa masuk peminta sedekah asing.

“Kami sedar ada kumpulan dan pengemis yang diberi visa.

Kami akan menumpukan kepada usaha membanteras peminta sedekah jalanan selain pihak yang membantu mereka. AGENSI

Mengurangkan keganasan pada Ramadan bukan satu perjanjian


Skuad pemusnah bom Thailand memeriksa kawasan letupan bom di tepi jalan di Narathiwat pada 25 Mei lalu. - AFP
BANGKOK 16 Jun - Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra berkata, mengurangkan keganasan di selatan Thai sempena bulan Ramadan bukanlah satu perjanjian rasmi.
Sebaliknya kata beliau, ia adalah ikrar daripada pihak berkuasa dan wakil-wakil pemberontak di wilayah bergolak itu.
Beliau berkata, pengurangan keganasan sepanjang Ramadan hanya satu 'cadangan' oleh kedua-dua pihak bagi menunjukkan bahawa kami mempunyai misi yang sama iaitu membawa keamanan di wilayah tersebut.
Namun, Yingluck berkata, beliau masih tidak dapat menyatakan sama ada situasi di selatan Thai semakin baik selepas rundingan kali ketiga diadakan di antara kerajaan dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN), Khamis lalu.
"Ini baru permulaan. Masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Kami berharap dapat membawa keamanan di rantau itu, meskipun rundingan ini akan mengambil masa yang panjang," katanya yang dipetik daripada Bangkok Post.
Panel rundingan kerajaan Thai yang diketuai oleh Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan, Paradorn Pattanatabut, dan wakil pemberontak wilayah selatan, BRN, bersetuju mengurangkan keganasan sepanjang bulan Ramadan yang akan bermula pada 9 atau 10 Julai ini ketika rundingan pusingan ketiga di Malaysia.
Yingluck dalam pada itu menolak untuk mengulas berhubung lima permintaan awal yang dikemukakan oleh BRN dan menyatakan segala tindakan perlu dibuat selari dengan undang-undang Thailand. - AGENSI
BRN mengeluarkan lima tuntutan melalui video yang dipos di YouTube pada April lalu iaitu menerima Malaysia sebagai orang tengah dalam rundingan itu, membebaskan tanpa syarat tahanan dan pembatalan waran tangkap kepada suspek kes keselamatan, mengiktiraf BRN sebagai pergerakan pembebasan Pattani, penglibatan negara Asia Tenggara lain dalam rundingan dan menjadikan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta pertubuhan bukan kerajaan sebagai saksi dalam rundingan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130617/lu_04/Mengurangkan-keganasan-pada-Ramadan-bukan-satu-perjanjian#ixzz2WQ5W93tX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis tutup Dataran Taksim


POLIS pencegah rusuhan menggunakan meriam air untuk mengusir penunjuk perasaan antipemeritah di Dataran Taksim di Istanbul semalam.


ISTANBUL - Polis menutup Dataran Taksim kepada lalu lintas dan pejalan kaki di sini selepas menyuraikan penunjuk perasaan yang menawan lokasi tersebut untuk mendesak Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan meletak jawatan selepas 10 tahun memerintah Turki.
Pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan yang cuba untuk kembali ke dataran berkenaan berlanjutan hingga pagi semalam.
Polis menembak gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan.
Pihak berkuasa turut mengawal semua jalan raya menuju ke Dataran Taksim.
Sementara itu, beberapa jentolak digunakan untuk merobohkan semua binaan yang didirikan oleh penunjuk perasaan sepanjang protes selama dua minggu di lokasi tersebut.
Tunjuk perasaan besar-besaran itu bermula sebagai bantahan aman bagi menghalang pemerintah daripada membangunkan semula Taman Gezi, di dataran itu.
Polis menyerbu lokasi itu kelmarin selepas kumpulan penunjuk perasaan berikrar meneruskan bantahan mereka walaupun Erdogan berjanji akan menggantung projek pembangunan tersebut
Beliau turut berjanji akan mengadakan satu referendum untuk menentukan sama ada projek pembangunan Taman Gezi akan diteruskan atau sebaliknya.
Polis bergerak masuk ke Dataran Taksim dua jam selepas Erdogan memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya meninggalkan taman itu.
"Kita akan menghadapi tunjuk perasaan di Istanbul esok (semalam)," kata Perdana Menteri berkenaan di hadapan puluhan ribu penyokong pada satu perhimpunan parti pimpinannya, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di ibu kota Turki, Ankara kelmarin.
"Ingin saya jelaskan di sini, kosongkan Dataran Taksim. Jika ia tidak dikosongkan pasukan keselamatan negara ini tahu cara untuk mengosongkannya," kata Erdogan.
Dalam perkembangan berkaitan, Gabenor Istanbul, Huseyin Avni Mutlu berkata, sebanyak 44 orang cedera dalam kekacauan kelmarin tetapi tiada kecederaan serius berlaku. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2WQ0oajQZ 
Hakcipta terpelihara