Showing posts with label Sarbaini. Show all posts
Showing posts with label Sarbaini. Show all posts

Friday, August 5, 2011

DNA 5 pegawai SPRM tak sepadan

Analisis saintis forensik temui calitan asing belakang baju, seluar, stokin Sarbaini 
KUALA LUMPUR: Saintis forensik memberitahu Mahkamah Koroner semalam, hasil analisis DNA lima anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jalan Cochrane di sini, adalah negatif dan tidak berpadanan dengan anggota badan atau pakaian pada mayat Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed.

Dr Seah Lay Hong, 53, daripada Jabatan Kimia Malaysia (JKM) berkata, beliau menerima sampul surat dimeterai label Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Zuhairi Mohamed, jam 9.57 pagi, pada 11 April lalu.
Katanya, beliau menemui dua DNA asing pada tubuh Allahyarham Ahmad Sarbaini yang diperoleh pada calitan belakang baju kemeja dan seluar, dua stokin serta di belakang tangan. 

Beliau berkata, Zuhairi turut menyerahkan DNA milik lima anggota SPRM yang turut dipanggil dalam prosiding inkues lalu iaitu, Penolong Penguasa SPRM Wilayah Persekutuan, Henrita Serai Anak Andrew Lenggie, 24; Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad, 51; Kamal Awang Besar, 31; Abdul Ghani Ali, 57 dan Khalid Amir Meruphy Abdullah, 38. 

Katanya, analisis dijalankan terhadap kelima-lima DNA anggota SPRM itu adalah negatif dan tidak termasuk sebagai penyumbang, manakala dua DNA asing yang ditemui pada tubuh Allahyarham dikenal pasti milik dua mayat lelaki yang menggunakan katil sama dengan si mati ketika proses bedah siasat, iaitu Soo Chew Keong dan Lum Chee Weng masing-masing dijalankan pada 5 dan 6 April lalu. 

“Kami juga ada membuat perbandingan dua DNA asing itu dengan DNA kakitangan JKM yang membuat analisis di dalam bilik itu pada dua tarikh berkenaan, tetapi tidak menemui sebarang persamaan melainkan mayat dua lelaki terbabit,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Hanim Mohd Rashid. 
Beliau memberi keterangan sebagai saksi inkues ke-33 di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam prosiding inkues menyiasat kematian Ahmad Sarbaini yang ditemui mati di aras satu gelanggang badminton bangunan SPRM, Jalan Cochrane di sini, jam 10.40 pagi, 6 April lalu. 

Sementara itu, Zuhairi ketika dipanggil sebagai saksi inkues ke-34 berkata, beliau turut menyerahkan cap jari kelima-lima anggota itu bersama 14 pegawai SPRM lain dan keputusan daripada JKM mendapati ia tidak berpadanan dengan DNA yang terdapat pada pakaian si mati. 

Keterangan Zuhairi semalam sebagai saksi terakhir sekali gus menutup prosiding inkues itu selepas bersidang selama 13 hari bermula 4 Julai lalu. 

Pihak pendakwaan diketuai TPR, Mohamad Abazafree Mohd Abbas menyenaraikan 77 saksi kepada mahkamah dan 34 saksi dipanggil daripada keluarga, kenalan rapat Allahyarham, pegawai SPRM dan pegawai KDRM bagi membantu Aizatul Akmal membuat keputusan bagi meleraikan persoalan mengenai kematian Ahmad Sarbaini. 

Mahkamah kemudian menetapkan 26 September depan untuk keputusan inkues itu. bharian

Wednesday, August 3, 2011

42 kesan cedera di tubuh Sarbaini

Doktor sahkan kecederaan mangsa konsisten dengan orang jatuh dari tempat tinggi 


KUALA LUMPUR: Pakar patalogi memberitahu Mahkamah Koroner semalam, Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Ahmad Sarbaini Mohamed meninggal dunia kerana mengalami kecederaan teruk di kepala dan kesukaran bernafas, selain mangsa jatuh tanpa sengaja daripada tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Cochrane di sini, empat bulan lalu.
Profesor Madya Dr Faridah Mohd Noor, 49, dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berkata, beliau membuat kesimpulan itu berdasarkan 42 kesan kecederaan ditemui pada badan mangsa dan hasil tinjauan di tempat kejadian, tanpa mengesyaki ada unsur dibunuh atau mangsa membunuh diri.
Katanya, mayat ditemui dalam keadaan mukanya tertangkup ke lantai memberi impak kecederaan kuat kepada otak secara keseluruhannya termasuk mengalami luka robek dan kepatahan tulang berganda yang konsisten dengan kejadian jatuh dari tempat tinggi. 

Dr Faridah berkata, kecederaan otak menyebabkan berlakunya pendarahan teruk di kepala, mulut dan hidung sekali gus menyebabkan saluran pernafasan tidak dapat berfungsi dengan betul. 

“Kejadian itu membuatkan oksigen berkurangan di dalam otak sehingga berlakunya sawan. Ia dapat dilihat hasil daripada gigitan lidah yang ditemui pada bahagian itu. 

“Gigitan itu menyebabkan selaput mata pecah dan berlakunya pendarahan teruk,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd Rashid. 
Beliau memberi keterangan di depan Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam prosiding inkues bagi menyiasat kematian Ahmad Sarbaini, 56, yang ditemui mati di gelanggang badminton bangunan SPRM, 6 April 2011. 

Dr Faridah yang berkhidmat dengan PPUKM sejak 1999 juga menolak kemungkinan mangsa membunuh diri kerana sepanjang siasatannya, beliau tidak menemui sebarang nota bunuh diri dan cubaan untuk melakukan perkara itu seperti menggelar diri sendiri malah tiada dadah dan alkohol dikesan di dalam darah mangsa. 

Saksi inkues ke-29 itu berkata, hasil pemeriksaannya di dalam bilik pantri bangunan SPRM juga tidak menunjukkan berlaku kesan pergelutan sebaliknya bilik itu berada dalam keadaan kemas dan teratur, malah tidak menemui sebarang luka tangkis (kesan mempertahankan diri) pada mayat Allahyarham. 

Menjawab soalan peguam SPRM, Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah, sama ada kecederaan dialami mangsa adalah konsisten dengan seseorang yang jatuh dari tempat tinggi sehingga tulang kaki dan tangannya patah, kepalanya berdarah teruk, jam tangan dan kasutnya tercabut, saksi itu berkata, “Ya.” 

Katanya, Allahyarham berada dalam keadaan sedar diri dan ‘spatial’ atau sedar setiap ruang di atas, bawah, kiri dan kanan badannya ketika beliau jatuh, malah suhu badannya masih suam serta badannya mengalami kekejangan apabila tiba di tempat kejadian jam 10.30 pagi. 

Ditanya jika mangsa terjatuh sebelum dipukul sehingga pengsan dan dibuang ke luar tingkap itu, saksi memberitahu pastinya ada kesan melawan kejatuhannya. 

Bagaimanapun ketika menjawab soalan peguam keluarga Sarbaini, Awtar Singh mengenai perkara sama, Dr Faridah memberi jawapan ‘mungkin’ dan berpendapat tidak mudah untuk melakukannya. 

“Mungkin (boleh dibuang ke luar tingkap). Pada pendapat saya ia tidak semudah itu sebab mesti ada kesan pergelutan di lokasi kejadian dan luka tangkis pada badan mangsa. 

Prosiding bersambung hari ini