Thursday, May 1, 2014

Brunei haram 19 perkataan untuk bukan Islam

Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN - BRUNEI. Kerajaan Brunei mengharamkan penggunaan 19 perkataan, termasuk ALLAH dan masjid, oleh orang bukan Islam di negara itu.

Brunei Times melaporkan, pengharaman itu berkuat kuasa bulan ini di bawah Kod Penal Syariah.

Lain-lain perkataan diharamkan adalah azan, baitullah, al-Quran, fatwa, firman ALLAH, hadis, haji, hukum syarak, Ilahi, kaabah, kalimah syahadat, kiblat, imam, mufti, mukmin, solat dan wali.

Pegawai Undang-Undang Syariah Kanan Unit Undang-Undang Islam Hardifadhillah Mohd Salleh berkata, Kod Penal Syariah juga diguna pakai kepada bukan Islam, termasuk kesalahan berzina dengan pasangan Islam, minum arak di tempat awam dan khalwat dengan pasangan Islam.

“Jika sabit kesalahan, hukuman adalah denda sehingga B$4,000 (RM10,400) dan/atau satu tahun penjara. Bagi pesalah zina yang dilakukan oleh seorang Muslim yang sudah berkahwin dan yang sudah berkahwin tetapi bukan Islam, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman rejam sampai mati jika kesalahan itu dibuktikan oleh pengakuan  atau kesaksian empat saksi,” katanya.

Menurutnya, mana-mana pihak yang menghasut lelaki atau wanita Islam bercerai atau tidak menjalankan kewajipan terhadap pasangan masing-masing, boleh dikenakan denda sehingga B$4,000 (RM10,400) dan/atau penjara setahun.

“Mana-mana ibu atau bapa beragama Islam yang ikhlas menyerahkan anak mereka dipelihara oleh orang bukan Islam, boleh dikenakan denda sehingga B$20,000 (RM52,000) dan atau penjara lima tahun,” katanya.

Puak pemisah Filipina bertempur dengan tentera

Puak pemisah Filipina bertempur dengan tentera
 Tentera meningkatkan kawalan dan melancarkan serangan dari segenap penjuru, semalam. 
1 Mei 2014ZAMBOANGA - FILIPINA. Sebanyak 14 puak pemisah dan seorang askar Filipina maut dalam serangan udara dan darat dilancarkan pasukan keselamatan negara itu, kelmarin.

Jurucakap tentera, Ryan Lacuesta berkata, pertempuran bermula selepas tentera laut dapat menawan kubu kumpulan Abu Sayyaf yang merupakan sayap kuat kumpulan Al-Qaeda di kepulauan Jolo.

“Kami menggunakan helikopter MG-520 dan serangan meriam bagi memusnahkan kubu mereka hingga menyebabkan kira-kira 15 maut. Pertempuran itu diteruskan sehingga hari ini (semalam),” katanya.

Isnin lalu, tentera menawan kem Abu Sayyaf di pinggir bandar Patikul, kira-kira 950 kilometer dari selatan Manila yang merupakan sebuah kubu kuat kumpulan terbabit.

Selepas ditawan, kumpulan puak pemisah itu cuba menawan kembali kem mereka dengan bertindak menyerang tentera menggunakan bom mortar dan senapang M203.

"Mereka cuba menumpaskan pasukan tentera, tetapi kami mempunyai sokongan kuat daripada tentera darat dan udara. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya 19 askar cedera dalam insiden tersebut akibat terkena serpihan bom," katanya.

Difahamkan, laporan dipetik dari AFP, kem itu juga digunakan untuk melatih militan baharu Abu Sayyaf selain sebagai tempat operasi asas mereka.

Pertempuran terbaharu itu tercetus beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama melawat Manila dalam lawatannya di Asia.

14 pemisah, 1 anggota marin maut bertempur


2014/05/01 - 06:30:11

Manila: Pertempuran antara marin Filipina dan pemisah Islam yang melancarkan serangan mengejut untuk menawan semula perkhemahan latihan hutan menyebabkan 14 anggota Abu Sayyaf dan seorang marin maut, kata pegawai semalam.

Kejadian berbalas tembakan menggunakan raifal dan mortar berlaku lewat kelmarin di kawasan pergunungan di selatan bandar Patikul di wilayah Sulu dan kemudian reda kepada kes berbalas tembakan curi selepas tengah malam dengan pasukan marin menewaskan 100 penyerang Abu Sayyaf.


Sekurang-kurangnya 14 militan maut dan beberapa lagi cedera dalam pertempuran tiga jam, kata jurucakap marin, Kapten Ryan Lacuesta, merujuk laporan perisikan. Seorang anggota marin terbunuh dan 19 lagi cedera, lapan daripada mereka serius.

“Mereka cuba menyerang pasukan marin untuk menawan semula kem mereka tetapi kami mempunyai pasukan bantuan berhampiran dan bantuan udara berdekatan. Mereka menggunakan mortar dan raifal M203. Kebanyakan anggota marin yang cedera terkena serpihan,” kata Lacuesta.

Kem Abu Sayyaf yang lengkap, dilindungi pokok renek dan pokok dalam hutan, mempunyai kira-kira 50 pondok dan boleh menempatkan kira-kira 100 orang. Ia digunakan pemisah untuk melatih rekrut, melakukan pertemuan dan kawasan pelancaran serangan dan penculikan, kata komander marin, Brig Jeneral Martin Pinto.


Abu Sayyaf bergabung
Lacuesta berkata, sekurang-kurangnya tiga cabang Abu Sayyaf bergabung untuk melancarkan serangan tetapi marin, yang dibantu helikopter tempur dan artileri, menewaskan pemisah yang berundur ke pelbagai arah, sebahagiannya mengheret rakan yang maut dan cedera.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala, berkata mereka menjangka pemisah, termasuk mereka yang di bawah kepemimpinan komander Radullan Sahiron, akan melancarkan serangan balas.

Abu Sayyaf, yang berada dalam senarai pertubuhan pengganas Amerika Syarikat, mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas asing, termasuk al-Qaeda kerana pengeboman, peras ugut, penculikan. - AP

Parlimen, kediaman PM Pakistan bergelap, elektrik kena potong

Parlimen, kediaman PM Pakistan bergelap, elektrik kena potong
Sebuah bas melalui hadapan bangunan Parlimen Pakistan, kelmarin. - Foto AFP 
Islamabad: Kerajaan Pakistan kelmarin memotong bekalan elektrik ke beberapa bangunan utama kerajaan termasuk Parlimen, pejabat Perdana Menteri dan kediaman rasmi presiden kerana tidak membayar bil.

Pakistan berdepan dengan pemotongan bekalan elektrik, sebahagiannya disebabkan penduduk yang tidak membayar bil dengan pejabat kerajaan antara paling kerap berbuat demikian.

Rakyat bergelut dengan ketiadaan elektrik selama 12 hingga 18 jam sehari dalam musim panas, tetapi hingga kini tidak banyak tindakan diambil terhadap birokrat degil yang bekerja di pejabat dilengkapi pendingin hawa.



Potong bekalan elektrik

Menteri Air dan Elektrik, Abid Sher Ali, mengumumkan tindakan mengutip bil yang tidak dijelaskan dan memberi amaran bekalan elektrik ke semua pejabat dan pelanggan yang gagal berbuat demikian akan dipotong.

“Saya mengeluarkan arahan bekalan elektrik ke Parlimen dan Sekretariat Presiden dipotong segera kerana kegagalan membayar bil berjumlah jutaan rupee,” katanya.
Pihak Berkuasa Pembangunan Capital, agensi sivik Islamabad yang bertanggungjawab membayar bil pejabat kerajaan, berhutang 2.36 bilion rupee (RM78 juta) dengan Syarikat Bekalan Elektrik Islamabad (IESCO).

Sekretariat Presiden, iaitu kediaman dan pejabat ketua negara, berhutang sebanyak 28 juta rupee (RM929,000), manakala blok kediaman ahli perundangan, Parlimen Lodge, perlu membayar sebanyak 20 juta rupee (RM662,000) kepada syarikat berkenaan.

Pegawai IESCO berkata, bekalan elektrik kepada lebih 100 pejabat kerajaan dipotong kerana bil yang tertunggak.

Usaha menyelesaikan krisis bekalan elektrik Pakistan adalah ikrar kempen Perdana Menteri Nawaz Sharif pada pilihan raya umum 2013.

Namun potongan bekalan elektrik setiap hari, dikenali sebagai pengurangan bebanan, sudah bermula tahun ini, walaupun masih ada sebulan lagi sebelum kemuncak musim panas, apabila suhu di sesetengah tempat melepasi 50 darjah Celsius. - AGENSI

Tiada 'harta karun' ditemui di Pulau Nangka

Harta karun milik Kesultanan Islam
MELAKA - Smart Partnership International (M) Sdn Bhd syarikat, yang menjalankan kerja mencari harta peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka dianggarkan bernilai berbilion ringgit di Pulau Nangka, gagal menemui harta itu setakat ini. 
  
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, kontrak pencarian selama empat bulan bermula Januari lepas yang diperoleh syarikat itu, akan tamat pada 12 tengah malam ini.
  
Mulai esok, katanya kerja pencarian itu akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat lain, yang akan menumpukan pencarian di kawasan lain di pulau itu.
  
"Sebenarnya kerja pencarian harta karun di pulau itu telah dilakukan sejak lebih 25 tahun lepas oleh pelbagai pihak tetapi sehingga kini ia tidak ditemui," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini.
  
Isnin lepas, Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata kerja-kerja mengorek dinding batu di kawasan yang dipercayai pintu tempat simpanan harta itu, sudah siap 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya hari ini.

Idris berkata kerajaan negeri bercadang menjadikan Pulau Nangka sebagai pusat tarikan pelancong jika harta itu ditemui tetapi tidak dapat dikeluarkan dari pulau itu atas sebab tertentu.
  
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa bersedia menyiasat dakwaan salah laku yang melibatkan pegawai kanan pentadbirannya jika dakwaan yang dikemukakan itu berasas dan mempunyai bukti kukuh.
  
"Setakat ini, aduan yang dikemukakan itu sekadar aduan emosi sahaja... aduan apabila saya meletakkan orang baharu yang tegas dalam organisasi itu.
  
"Kita sentiasa bersikap terbuka, tetapi janganlah buat aduan sesuka hati tanpa kemuka bukti yang kukuh," katanya.
  
Baru-baru ini, seorang pegawai kanan sebuah akhbar harian milik Kerajaan Negeri Melaka dikaitkan dengan penyelewengan melibatkan wang kerajaan negeri. Sebelum itu, seorang pegawai kanan Jabatan Ketua Menteri Melaka dikaitkan dengan kegiatan judi haram di negeri ini.
  
Dalam sidang akhbar itu juga, Idris turut mengumumkan Melaka bakal menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka pada 21 Jun ini.
  
"Kita jangka antara 15,000 dan 20,000 orang bakal menghadiri sambutan itu. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dijadual merasmikan sambutan itu," katanya. - Bernama

Mungkin benar pengakuan Raja Dalelah

MH370
DAKWAAN seorang wanita yang baharu pulang dari umrah telah melihat bangkai pesawat di perairan Laut Andaman mungkin ada benarnya.

Ini kerana berdasarkan dakwaan yang dilaporkan syarikat GeoResonance kelmarin, yang membuat pencarian sendiri pesawat tersebut sejak 10 Mac lalu, mengesan objek berkemungkinan sebuah bangkai pesawat di Teluk Benggala berdekatan dengan perairan Laut Andaman.

Berdasarkan laporan wanita tersebut, Raja Dalelah Raja Latife, 53 mendakwa melihat bangkai sebuah pesawat yang sebahagiannya tenggelam dan sebahagian lagi timbul di perairan Laut Andaman ketika pesawat yang dinaikinya itu melintasi kawasan berkenaan pada pagi 8 Mac lalu.

Raja Dalelah yang ketika itu berada dalam pesawat milik Penerbangan Saudi SV2058 dari Jeddah pada jam 3.30 pagi waktu Arab Saudi(8.30 pagi waktu Malaysia) telah melewati kawasan bandar Chennai di India sebelum memasuki ruang udara di perairan Laut Andaman.

Abdul Khalid bayang tak pertahan penggal ke-3

Abdul Khalid bayang tak pertahan penggal ke-3
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini membayangkan beliau tidak akan mempertahankan jawatannya untuk penggal ketiga.
  
Abdul Khalid dalam catatan terbaru Twitternya berkata: "Saya tidak bercadang menjadi Menteri Besar untuk penggal yang ketiga. Tapi saya akan terus berkhidmat hingga akhir penggal ini (penggal kedua).
  
"Dalam hidup ini, saya hanya mahu dikenang sebagai seorang yang berkhidmat kepada rakyat".
  
Sebelum ini, beberapa pihak terutama melibatkan rakannya dalam partinya sendiri seperti timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sering mengkritik pentadbiran kerajaan negeri membabitkan beberapa isu tertentu.
  
Ini termasuk isu penamatan perkhidmatan Mohamed Azmin sebagai Anggota Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan penamatan kontrak 20 petugas PKNS Holdings.
  
Terbaharu, Anggota Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi dilaporkan mendesak Abdul Khalid dipecat ekoran kegagalan beliau menangani isu air di negeri itu termasuk pelan catuan air yang dilaksanakan.
  
Bagaimanapun, kerajaan negeri Selangor hari ini mengumumkan penamatan catuan air di semua kawasan terlibat mulai esok.

Abdul Khalid yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua pada Mei tahun lepas merupakan orang pertama dalam kalangan pemimpin pembangkang yang dilantik ke jawatan itu.
  
Kesemua 13 MB Selangor sebelum ini daripada Umno, parti komponen utama BN.
  
Abdul Khalid dari PKR mengangkat sumpah pertama kali sebagai menteri besar pada 13 Mac 2008, empat hari selepas PRU 2008.
  
Barisan anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor mengangkat sumpah pada 23 Mac.

Pada PRU13, pakatan pembangkang memenangi 44 daripada 56 kerusi Dun Selangor, meningkat daripada 36 kerusi yang diperoleh pada 2008.
  
PKR menang 14 kerusi berbanding DAP dan Pas yang masing-masing memperoleh 15 kerusi. BN memenangi 12 kerusi. - Bernama

JACC tolak dakwaan pesawat di Teluk Benggala



SEBUAH pesawat P-3C Orion milik Pasukan Pertahanan Maritim Jepun yang terlibat dalam misi mencari kapal terbang MH370 berada di Pangkalan Pearce, Tentera Udara Diraja Australia di Bullsbrook, 35 kilometer dari Perth pada 28 April lalu.- AFP


SYDNEY - Pihak berkuasa Australia semalam menolak dakwaan sebuah syarikat penerokaan marin yang mendakwa elemen kimia yang dijumpai di Teluk Benggala mungkin berasal dari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia yang hilang pada 8 Mac lalu.
Stesen televisyen 7News sebelum ini melaporkan syarikat GeoResonance mendakwa menemui bangkai sebuah pesawat di satu lokasi di Teluk Benggala yang terletak kira-kira 5,000 kilometer dari kawasan pencarian ketika ini.
Jurucakap Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) berkata, pihaknya menggunakan maklumat dari satelit dan data-data lain bagi mengenal pasti lokasi pesawat ini.
"Lokasi yang didakwa GeoResonance tidak berada di zon pencarian Australia dan zon menyelamat.
"Pihak Australia mengetuai misi mencari berdasarkan maklumat dari satelit dan data-data lain untuk menentukan lokasi pesawat MH370 yang hilang.
"Lokasi yang diperincikan dalam laporan GeoResonance tidak berada dalam koridor pencarian," katanya.
Dalam pada itu, operasi mencari serpihan pesawat MH370 melalui udara berakhir semalam manakala beberapa kapal yang menyertai misi berkenaan mula meninggalkan Lautan Hindi.
Operasi mencari serpihan secara visual itu dihentikan selepas pihak berkuasa Australia kini memutuskan untuk memfokuskan carian di dasar laut bagi mengesan pesawat berkenaan.
Pesawat Boeing 777-200ER itu hilang semasa membawa 227 penumpang dan 12 kru ke Beijing, China selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Berdasarkan analisis radar tentera, pesawat itu berpatah balik dan dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz30Pe8Z2xm 
Hakcipta terpelihara 

Felda menang kes saman isu jual minyak ke Israel


KUALA LUMPUR 30 April - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah dan empat yang lain diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini membayar ganti rugi RM100,000 kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) setelah didapati memfitnah konglomerat perladangan itu kononnya menjual minyak sawit mentah (MSM) ke Israel.
Hakim Lee Heng Cheong dalam keputusannya hari ini berkata, Felda berjaya membuktikan fakta, tidak pernah menjual MSM kepada Israel dan entri yang dimuat naik oleh Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dalam laman sosial Facebook adalah fitnah bertulis terhadap entiti tersebut.
Menurutnya, setelah mendengar keterangan saksi-saksi dan meneliti bahan bukti, beliau turut mendapati pernyataan yang dibuat oleh Mazlan dalam satu perhimpunan haram di hadapan pejabat Felda pada 23 November 2012 dan dua artikel yang disiarkan dalam Harakah dan Suara Keadilan adalah artikel fitnah terhadap lembaga tersebut.
Malahan Felda selaku pihak plaintif juga, katanya, berjaya membuktikan Felda IFFCO Oil Products Sdn. Bhd. dan Felda Global Ventures adalah dua entiti yang berbeza dan tiada penjualan MSM oleh Felda kepada Israel.
Mahkamah itu juga mendapati, Bunge Agribusiness Singapore Pte. Ltd. yang didakwa oleh Mazlan sebagai syarikat Israel sebenarnya bukan syarikat milik rejim terbabit.
“Sehubungan itu, saya mendapati dua artikel yang dibuat Mazlan telah disiarkan oleh Mustafa selaku penerbit Harakah, selepas ditulis semula oleh penulis artikel, Mohd. Arif Atan; yang diluluskan oleh Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Harakah, Taufek Yahya dan pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran ENT Sdn. Bhd. mampu memfitnah pihak plaintif," ujar beliau.
Menurut beliau, kesemua mereka yang dinamakan sebagai defendan kedua hingga keenam telah gagal membuktikan pem­belaan masing-masing yang bersandarkan kepada perlindungan bersyarat dan gagal membuktikan dua artikel yang disiarkan dalam Harakah merupakan suatu komen yang adil.
Hakim Heng Cheong berkata, sungguhpun beliau mendapati artikel tersebut memfitnah Felda namun mahkamah berpendapat, Maz­lan telah berjaya dalam pembelaan bahawa kenyataan itu diterbitkan di bawah perlindungan bersyarat dan suatu komen yang adil dalam isu melibatkan kepentingan awam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140501/ma_01/Felda-menang-kes-saman-isu-jual-minyak-ke-Israel#ixzz30PcY00r6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lagi bangunan kerajaan Ukraine ditawan pro-Rusia


Beberapa anggota kumpulan pemisah pro-Rusia berlindung di belakang sebuah kereta bagi mengelakkan sebarang kecederaan dalam satu pertempuran yang berlaku berdekatan ibu pejabat di Luhansk, Ukraine, semalam. - REUTERS
LUHANSK, Ukraine 30 April - Be­ratus-ratus anggota puak pemisah pro-Rusia menawan beberapa bangunan kerajaan di sini, semalam dan menyerang anggota polis yang bertugas menjaga keselamatan ibu pejabat wilayah berkenaan.
Anggota kumpulan pemisah memasuki ibu pejabat kerajaan di sini yang berdekatan sempadan Rusia serta menaikkan bendera kumpulan di bangunan berkenaan, manakala pihak polis dilaporkan tidak bertindak dalam kejadian itu.
Kira-kira 20 anggota pemisah turut melancarkan serangan menggunakan senjata automatik dan bom tangan di ibu pejabat polis sebagai cubaan memaksa anggota polis menyerahkan senjata mereka.
“Pasukan polis tidak berbuat apa-apa," kata pembantu Menteri Dalam Negeri Ukraine, Arsen Avakov.
Puak pemisah juga menawan pejabat pendakwa raya dan stesen televisyen.
Operasi penawanan bangunan kerajaan oleh puak pemisah itu dilihat sebagai langkah bagi menguasai wilayah kedua selepas mereka berjaya menawan Donetsk dan mengisytiharkan pembebasan wilayah itu pada Mac lalu.
Penguasaan kumpulan pemisah pro-Rusia terhadap Luhansk juga dilihat akan memberi akses kepada sumber arang batu yang penting dalam industri berat.
Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) yang mengenakan sekatan ekonomi terhadap Rusia terus menuduh Moscow sebagai dalang bagi memecah-belahkan Ukraine.
Setiausaha Negara AS, John Kerry semalam berkata, Rusia dilihat cuba mengubah landskap keselamatan di timur dan tengah Eropah.
“Namun, walau apa pun tindakan Rusia, AS dan sekutu kami tetap akan bersatu mempertahankan Ukraine," katanya.
Presiden Rusia, Vladimir Putin pula menjawab sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas negaranya bakal memberi kesan buruk terhadap penyertaan Barat dalam run­dingan sektor tenaga. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140501/lu_13/Lagi-bangunan-kerajaan-Ukraine-ditawan-pro-Rusia#ixzz30PaOsSIS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

14 militan Abu Sayyaf terbunuh


MANILA 30 April - Tentera Filipina hari ini melancarkan serangan udara dan darat terhadap kem militan Abu Sayyaf di Pulau Jolo, selatan negara ini menyebabkan 14 anggota militan dan seorang tentera terbunuh.
Menurut jurucakap tentera, pertempuran tersebut berlaku selepas pasukan tentera menakluk kem kumpulan militan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda itu di dalam hutan tebal di Pulau Jolo.
“Kami telah bekerjasama dengan pasukan tentera udara dan menggunakan helikopter MG-520 serta serangan meriam menyebabkan kecederaan yang teruk kepada kumpulan militan," kata jurucakap tentera yang terlibat dalam pertempuran, Kapten Ryan Lacuesta.
Sementara itu jurucakap tentera di bahagian selatan, Kapten Rowena Muyuela berkata, kem tersebut digunakan sebagai lokasi menjalani latihan untuk anggota baharu bagi melancarkan serangan penculikan yang lebih kerap. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140501/lu_08/14-militan-Abu-Sayyaf-terbunuh#ixzz30PZdBAIt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Xi Jinping kunjungi Xinjiang pertama kali


Presiden China, Xi Jinping (tengah) beramah mesra dengan penduduk Kashgar dalam lawatannya ke wilayah Xinjiang, China, semalam. - AGENSI
BEIJING 30 April - Presiden China, Xi Jinping mengadakan lawatan ke wilayah Xinjiang buat kali pertama hari ini dalam usaha untuk mengeratkan hubungan de­ngan kumpulan minoriti negara ini dan mempertingkatkan kawalan keselamatan.
Wilayah yang diduduki kumpulan etnik Islam Uighur itu sebelum ini sering menjadi lokasi pertempuran antara pihak berkuasa dan penduduk etnik berkenaan yang disifatkan sebagai penindasan budaya oleh kumpulan hak asasi manusia.
“Langkah terbaik perlu dilaksanakan bagi menangani keganasan dan jenayah dalam memelihara keamanan wilayah ini," katanya yang dipetik agensi berita, Xinhua.
Jinping sempat melawat sebuah rumah di bandar Kashgar dan beramah mesra dengan penduduk sambil disajikan makanan tradisional oleh sebuah keluarga tempatan.
Menurut Jinping, pihak berkuasa perlu memberi perhatian utama terhadap keadaan di Kashgar bagi memulihkan keadaannya yang disifatkan kini sulit dan suram.
Selain itu, Jinping turut melawat sebuah sekolah rendah dan menyeru supaya guru-guru mengajar murid-murid bahasa kebangsaan.
“Pembelajaran bahasa Mandarin bukan sahaja memudahkan anak-anak mendapatkan pekerjaan, malah hal itu juga mampu mempromosikan penyatuan etnik," katanya yang turut menggalakkan guru-guru mendalami bahasa etnik Uighur.
Lawatan Jinping itu disifatkan sebagai langkah menggalakkan penduduk China di luar wilayah Xinjiang untuk datang ke kawasan itu tanpa perlu berasa takut de­ngan sebarang kejadian ganas, menurut akhbar Global Times.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140501/lu_07/Xi-Jinping-kunjungi-Xinjiang-pertama-kali#ixzz30PZQ1Ria
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hudud Brunei bermula hari ini


PELAKSANAAN hukum hudud yang diumumkan Sultan Hassanal Bolkiah (kanan) bakal dilaksanakan dalam tiga fasa bermula hari ini. - AGENSI
BANDAR SRI BEGAWAN 30 April - Brunei Darussalam bakal melaksanakan hukum hudud bermula esok secara berperingkat-pe­ringkat.
Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah hari ini dalam majlis Deklarasi Perintah Kanun Keseksaan Jenayah Syariah 2013 Fasa Satu di Pusat Konvensyen Antarabangsa, di sini.
“Beta hari ini reda dengan takdir dan bersyukur kepada Allah untuk mengumumkan bahawa esok, Khamis 1 Mei 2014 akan menyaksikan penguatkuasaan undang-undang syariah fasa satu yang akan diikuti fasa-fasa berikutnya," titah baginda di sini.
Menurut Sultan Hassanal, Brunei tidak pernah memandang negatif tindakan pihak-pihak lain untuk memilih pendekatan yang dirasakan sesuai untuk dilaksanakan mereka.
Titahnya, Brunei tidak mengharapkan negara lain bersetuju atau menerima pelaksanaan hukum hudud, namun memadai dengan menghormati keputusan negara ini sebagaimana Brunei menghormati pihak luar.
Perundangan syariah itu bakal diperkenalkan dalam tempoh tiga tahun secara berperingkat-peringkat.
Menurut laporan Brunei Times, dalam fasa satu, hukuman yang diperuntukkan adalah denda dan hukuman penjara.
Fasa kedua pula menyaksikan hukuman potong tangan dan sebatan, sementara rejam sehingga mati bakal dilaksanakan dalam fasa tiga.
Ketika kebanyakan umat Islam di negara yang mempunyai 400,000 penduduk menyokong hukum itu secara berhati-hati, masyarakat bukan Islam pula melahirkan kebimbangan mereka diikuti kritikan-kritikan oleh pengguna Internet menerusi laman-laman sosial pada awal tahun ini.
Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Rupert Colville sebelum ini mengkritik pelaksanaan hukum hudud Brunei yang dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.
Hampir 70 peratus daripada 400,000 penduduk Brunei merupakan penduduk Melayu Islam dengan 15 peratus lagi adalah etnik Cina. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140501/lu_04/Hudud-Brunei-bermula-hari-ini#ixzz30PYnbFRc
© Utusan Melayu (M) Bhd