Wednesday, May 18, 2011

Tun Dr Mahathir dimasukkan ke IJN




KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini bagi menjalani rawatan jangkitan pada dada beliau.
Mantan Perdana Menteri itu dimasukan ke wad biasa kira-kira 6 pagi selepas mengadu deman dan batuk sejak dua hari lalu.

"Dr Mahathir kini menjalani rawatan antibiotik dalam saluran darah dan fisioterapi dada," kata pembantunya Sufi Yusoff dalam satu kenyataan.

Dr Mahathir, 85, yang juga Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana dijangka berada di IJN kira-kira seminggu.

Sufi berkata doktor menasihati Dr Mahathir agar tidak menerima sebarang pelawat kecuali ahli keluarga terdekat beliau.
myMetro

Isteri angau lelaki Iran

myMetro

KUALA LUMPUR: Dek termakan pujukan lelaki Iran, seorang isteri sanggup memusnahkan perkahwinan dibina hampir 10 tahun dengan menuntut cerai saban hari daripada suaminya.

Lebih menyedihkan tindakan menuntut cerai wanita itu dilakukan ketika perkenalannya dengan warga asing itu baru bermula kira-kira lima bulan lalu.

Suami mangsa dikenali sebagai Remy, 32, berkata, semuanya bermula apabila isterinya, Nadia, 32, mendapat tawaran mengajar di sebuah sekolah antarabangsa, di sini.

“Sebelum ini, isteri mengajar di sebuah tadika namun terpaksa berhenti bekerja apabila ditutup. Kira-kira enam bulan lalu dia ditawarkan mengajar di sekolah antarabangsa dan membawa perkenalan dengan bapa kepada seorang anak muridnya iaitu seorang lelaki warga Iran berusia 30-an.


“Hubungan terlarang itu dikesan selepas saya menemui diari dan kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) percintaan mereka berdua yang baru mula berputik itu."

‘Dah kaya tak mau mak’

myMetro

SEPANG: “Bila sudah besar, sudah kaya...sombong, tak nak mak lagi,” luah R Mariayee, 76, yang mendakwa ditinggalkan enam anak ketika mendapat rawatan di Hospital Seremban, Negeri Sembilan, lebih setahun lalu.

Pesara kerajaan itu berkata, dia terlantar di hospital berkenaan kira-kira sebulan selepas kakinya patah akibat terjatuh di rumah.
Namun, selepas sembuh dan dibenarkan pulang, semua anaknya enggan mengambilnya dari hospital, menyebabkan dia tiada tempat untuk berlindung.

Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana jiran bersimpati dan mengambilnya dari hospital serta menjaganya di rumah sebelum diserahkan ke Pertubuhan Rumah Kebajikan Subadhra di Sepang Putra, Sungai Pelek, di sini, setahun lalu.


Mariayee yang lebih mesra dipanggil Mary berkata, dia amat merindui anaknya yang kini bekerja di sekitar Kuala Lumpur, namun perasaan itu terpaksa dipendamkan kerana mereka langsung tidak mengingatinya.



“Sejak saya tinggal di rumah ini, seorang pun anak tidak datang melawat walaupun mereka tahu saya tinggal di sini. Mereka sudah tidak mempedulikan saya."

‘Kami kahwin di Satun’

myMetro"
LANGKAWI: “Kami sudah berkahwin dan jangan ada pihak cuba ganggu dan musnahkan rumah tangga yang baru dibina ini,” kata pelajar pintar bawah umur, Halimaton Abd Rashid, 16, yang pernah mencetuskan kontroversi awal tahun lalu kerana mahu berkahwin pada usia muda.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Parit (SMK) Panjang dan berasal dari Kampung Lanai, Kupang, Baling itu mengaku sudah berkahwin dengan teman lelakinya, Mohamad Noor Abdullah, 20, pada 7 April lalu di Satun, Thailand.
“Apa yang berlaku sepanjang dua tahun kami berkenalan adalah ketentuan Ilahi dan saya bersyukur kerana kami akhirnya disatukan sebagai suami isteri walaupun terpaksa menghadapi pelbagai halangan.

“Alhamdulillah, keluarga saya khususnya ibu (Normah Abd Mutalib) sudah dapat menerima Adam (Mohamad Noor) sebagai suami saya,” katanya ketika ditemui di rumah bapa saudara suaminya di Kampung Sungai Kedak, semalam.


Halimaton berkata, dia dan suaminya berkesempatan pulang ke kampung di Baling minggu lalu untuk bertemu ibunya, selain beramah mesra dengan ahli keluarga."

Misi hantar paip PVC mungkin ikut jalan darat

KODIANG: Misi bantuan kemanusiaan kapal kargo The Spirit of Rachel Corrie yang terkandas akibat diserang tentera Israel di perairan Gaza, kelmarin akan diteruskan dengan menggunakan laluan darat sebagai alternatif untuk membawa paip PVC sepanjang 7.5 kilometer bagi membaik pulih sistem pembetungan dan bekalan air ke Gaza.


Penasihat Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF), Datuk Mukhriz Mahathir, berkata serangan kapal peronda Israel terhadap kapal kargo terbabit tidak akan menghalang misi berkenaan, sebaliknya paip PVC itu akan tetap dibawa masuk dengan jalan darat iaitu melalui Mesir ke Gaza dan Rafah.
Katanya, keadaan di Gaza ketika ini semakin meruncing kerana selain kekurangan barangan keperluan asas, berlaku penularan pelbagai penyakit berikutan kekurangan peralatan perubatan termasuk ubat.
“Misi kemanusiaan itu akan tetap diteruskan dengan menggunakan jalan darat kerana keadaan di Gaza ketika ini sudah terlalu teruk. Sekiranya usaha membangunkan sistem pembetungan dan saluran air yang baik tidak dilakukan di negara itu, maka akan lebih banyak penyakit dan wabak akan menular.

“Akibat pencabulan berterusan tentera Israel, 1.5 juta penduduk di Palestin terpaksa menderita dalam keadaan serba kekurangan. Selain serangan penyakit berbahaya berikutan bekalan ubat tidak mencukupi, keadaan infrastruktur di sana juga tidak sempurna," katanya selepas majlis dialog bersama pesawah di Kampung Kubang Chenok di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan, Kapal kargo The Spirit of Rachel Corrie yang membawa bantuan kemanusiaan ke Palestin dipintas dan ditembak kapal peronda Israel di zon selamat Palestin, sebelum dipaksa berundur ke perairan Mesir, 1.5 batu nautika dari perairan Gaza.

Bagaimanapun, semua 12 krew dan penumpang termasuk tujuh rakyat Malaysia yang berada atas kapal itu, selamat.
Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, dunia perlu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kapal peronda Israel berkenaan kerana ia ternyata menyalahi undang-undang antarabangsa, selain mencabuli hak asasi manusia.
Berita Harian

Rakyat kita tak dapat keluar dari Rachel Corrie


Foto
SAHARUDDIN (tengah) dan akauntan, Mohd Sharbini Zaini berbincang sesuatu dengan ejen, Muhammad Abdul Aziz (kiri) dalam usaha mengeluarkan rakyat Malaysia yang berada dalam kapal 'The Sprit Of Rachel Corrie'.


Foto
KAPAL The Sprit Of Rachel Corrie menunggu giliran memasuki Pelabuhan Al Arish untuk menghantar bantuan kemanusiaan anjuran PGPF ke Palestin.
KAPAL misi kemanusiaan The Spirit of Rachel Corrie yang cuba memasuki Gaza, tetapi dihalang bot peronda Israel kelmarin masih menunggu kebenaran pihak berkuasa untuk berlabuh dan menurunkan 12 krew dan penumpangnya di pelabuhan Al Arish, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Rafah-Gaza.

Sehingga jam 12 tengah hari waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia), 22 jam selepas melabuhkan sauh berhampiran pelabuhan itu, kapal kargo yang turut membawa tujuh rakyat Malaysia, belum mendapat kebenaran menurunkan penumpang dan 7.5 kilometer paip PVC yang dibawa misi kemanusiaan tajaan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) itu.
Difahamkan kapal yang berlepas dari pelabuhan Piraeus, Greece, pada Rabu lalu, tidak dijadualkan berlabuh di Al Arish sebaliknya berlayar ke Gaza. Mengikut peraturan pelabuhan, penghantaran barangan memerlukan ‘Bill of Landing’ yang akan menentukan kesahihan barang yang dibawa dan penerima barangan itu.
Ketika berita ini ditulis, pasukan jawatankuasa evakuasi diketuai Menteri Penasihat Kedutaan Malaysia di Mesir, Saharuddin Hassan, berbincang bagi mengeluarkan semua krew dan penumpang di atas kapal dengan selamat.

“Kita sudah menghubungi ejen kapal tempatan bagi membolehkan penumpang dan barang diturunkan secepat mungkin,” katanya.

Jurucakap PGPF di Jordan, Tan Sri Samsudin Hitam ketika dihubungi mengesahkan yayasan itu meminta bantuan kedutaan untuk membantu memastikan semua krew dan penumpang selamat turun daripada kapal itu.

Katanya, PGPF juga meminta kedutaan membantu penghantaran paip PVC ke Gaza melalui sempadan Rafah.
Wartawan New Straits Times, Alang Bendahara yang berada atas kapal itu, berkata semua penumpang selamat dan cukup bekalan makanan walaupun keadaan laut di perairan Al Arish agak bergelora. Berita Harian

Abdul Majid bekal alat buat senjata

JOHOR BAHRU: Ahli perniagaan Singapura, Abdul Majid Kunji Mohamad yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dipercayai membekalkan peralatan kejuruteraan dwi-kegunaan kepada kumpulan militan di selatan Filipina.


Menurut sumber perisikan serantau, bekalan peralatan kejuruteraan itu adalah untuk kegunaan kilang membuat senjata milik kumpulan berkenaan di kawasan yang dikuasainya di selatan negara terbabit.
“Dia (Abdul Majid) dipercayai diminta untuk membekalkan peralatan kejuruteraan dwi-kegunaan untuk kilang senjata milik kumpulan itu, yang berkeupayaan membuat pelbagai jenis senjata termasuk pelancar roket,” katanya.
Katanya, bagi membolehkan kilang itu mengeluarkan senjata, ia memerlukan peralatan kejuruteraan yang moden dan berkualiti yang hanya boleh didapati di Malaysia dan Singapura.

Beliau berkata, walaupun Abdul Majid yang kini menetap di Kuala Lumpur memiliki fahaman Islam yang radikal, tetapi beliau dipercayai bukan anggota mana-mana kumpulan militan.

Katanya, ahli perniagaan Singapura itu berkemungkinan akan diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura selepas tamat tempoh 60 hari penahanannya mengikut ISA.

Pada 9 Mei lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, dalam satu kenyataan berkata Abdul Majid ditahan kerana disyaki terbabit menyalurkan dana dan memberi bantuan logistik kepada kumpulan militan di selatan Filipina.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penahanan ahli perniagaan Singapura itu kerana kaitannya dengan kumpulan militan di selatan Filipina. – BERNAMA
Berita Harian

Trump batal niat jadi calon presiden

NEW YORK: Jutawan hartanah Amerika Syarikat yang turut mempunyai program realiti televisyen, Donald Trump membatalkan hasrat bertanding menjadi calon presiden Parti Republikan 2012.


“Selepas membuat pertimbangan masak-masak, saya memutuskan tidak meneruskan hasrat menjadi calon presiden. Perniagaan adalah keutamaan utama saya dan saya tidak bersedia meninggalkannya,” kata Trump dalam satu kenyataan.
Pemaju hartanah berusia 64 tahun itu mengakui menimbang untuk merebut pencalonan ke Rumah Putih beberapa bulan lalu dan mendapat sokongan dalam tinjauan meskipun ada keraguan dan cemuhan ahli politik negaranya.
Trump, seorang bilionair mempunyai isteri terkenal, empayar perniagaan dan rancangan televisyen The Apprentice bukan penyokong kuat parti Republikan. – AFP
Berita Harian

Terminator akui ada anak luar nikah


LOS ANGELES - Bekas gabenor California yang pernah berlakon dalam filem Terminator, Arnold Schwarzenegger, 63, mengaku dia mempunyai anak luar nikah hasil hubungan sulit dengan salah seorang kakitangan wanita di kediamannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Hubungan Schwarzenegger dan wanita tersebut terjalin lebih 10 tahun lalu. Aktor itu bagaimanapun hanya mendedahkan perkara tersebut kepada isterinya, Maria Shriver ketika mereka belum berpisah.

Pendedahan Schwarzenegger itu dikatakan menjadi penyebab dia dan Shriver berpisah setelah 25 tahun mereka berkahwin dan mempunyai empat anak.

Kakitangan wanita itu dipercayai sudah berkhidmat dengan keluarga Schwarzenegger sejak lebih 20 tahun lalu sebelum mengambil keputusan untuk berhenti pada awal tahun ini.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh akhbar LA Times, Schwarzenegger menyatakan: "Selepas meninggalkan pejabat gabenor, saya memberitahu kepada isteri tentang perkara sebenar (hubungan sulit) yang berlaku 10 tahun lalu.

"Saya faham dan wajar menerima perasaan marah dan kecewa daripada kalangan rakan-rakan. Tidak ada sebarang alasan dan saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kelukaan yang telah saya lakukan.

"Saya memohon maaf kepada isteri, anak-anak dan keluarga. Saya benar-benar kesal." - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Kate Moss balik naik helikopter ke kampungnya di London




KATA MOSS berjalan ke arah sebuah helikopter di atas bumbung sebuah pusat beli-belah di Croydon, London Selatan baru-baru ini.


LONDON - Model terkenal, Kate Moss, 37, pulang ke kampungnya di Croydon, London Selatan di sini dengan menaiki sebuah helikopter dalam penggambaran fotografi untuk iklan komersial terbaru kosmetik Rimmel, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita tinggi lampai dan berambut perang itu meninggalkan kampungnya selepas memulakan kerjaya sebagai model seawal usia 14 tahun.
Moss memakai gaun pendek, kasut tumit tinggi dan lipstik berwarna merah semasa menjalani penggambaran iklan komersial tersebut di bumbung pusat beli-belah terkenal di Croydon iaitu Whitgift.
Dia yang pernah menjadi model Calvin Klein dilihat berjalan ke sebuah helikopter tersebut.
Moss pulang semula ke kampungnya dengan menaiki sebuah helikopter selepas dia membuat kenyataan sekitar enam bulan lalu bahawa dia membenci tempat tinggalnya itu semasa kecil.
"Saya tidak menyukai Croydon. Bapa saya berada di sebuah pub dan keesokan hari ada orang mati ditembak," katanya kepada majalah Stylist.- Agensi